Badai Ogos
Tiada berpuasa pada hari ini kerana menghadiri jamuan aidil fitri, rumah terbuka ITBM Wangsa Maju. Banyak juga jumpa rakan-rakan penyair.
Tak dapat dielakkan jua pertanyaan-pertanyaan nakal mengenai politik. Ia tidak hadir kerana orang-orang seperti saya yang memulakannya. Ruh UG yang hadir mengalir di jiwa penyair, kerap cari pasal dengan kami.
"Depa tanya Shuk..., Prabowo dan Jokowi dah selesai di Indonesia, tapi PKR masih belum selesai lagi," demikian Arwai beritahu saya antara rakaman bualan penyair UG itu.
Saya fikir, mereka salah tafsir. Di Indonesia, Prabowo malah membawa kes kekalahannya itu di mahkamah untuk dibicarakan semula. Jadi, masa bila pula masalah Pemilu di Indonesia itu dianggap selesai?
Apa pun, saya beritahu Arwai sanya para penyair UG itu sebenarnya tidak memahami sejarah-sejarah politik silam dan mereka sudah terlanjur membuat penghakiman ke atas orang berdasarkan sangkaan-sangkaan.
"Kalau depa tahu sejarah, mereka sedar bahawa pertikaian Umno 1986 itu membawa pengharaman Umno. Ini jauh lebih teruk berbanding PKR lantaran Umno diharamkan dan lahirnya Semangat 46," kata saya kepada Arwai.
Dan...ketika Dr Mahathir menjadi Presiden Umno sejak 1981 hingga krisis 1986 itu, tempoh beliau menjadi presiden parti berkenaan cuma 5 tahun sahaja. Makanya, kenyataan para penyair UG yang seperti berikut...
"...Umno perlu masa yang lama untuk jadi rosak, tapi PKR hanya perlu masa yang sebentar saja..."
... untuk saya adalah kenyataan yang terzahir daripada akal dangkal dan rumusan cetek dan kesimpulan yang tiada berjejak kepada realiti dan beberapa hakikat kenyataan sejarah politik tanah air.
Malam di Wangsa Maju. Di rumah Masyi, bawa nasi Arab Kak Siti. Malam ni berbual dengan keluarga. Hal pengawal keselamatan yang sangat ketat kawalannya di rumah Syi itu menjadi tajuk utama bualan kami.
Abah akhirnya merumuskan ~ sebab itu kerajaan kita dan malah Singapura telah mengguna tenaga Nepal ini, sebab mereka ini setia (bercampur tidak pandai berfikir) kepada orang-orang yang mengupah mereka itu.
"Masa nak lawan komunis di hutan dahulu, British guna tentera Gurkha sebab depa ni patuh arahan British," kata abah. Saya balik ke pejabat, tamatkan catatan bahan sastera untuk 'deadline'.
Malam ini, layan Beauty and The Beast. Tapi, ia tak ditayang di TV2 sebab esok Hari Perkabungan Negara. Semua hiburan lagha tidak ditayangkan. Mungkin lusa bermula hari lagha semula. Inilah Islam acuan Umno!
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
23 Syawal, 1435 | 19 Ogos, 2014
Currently have 0 comments: