Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

17 - 27 Sept, 2011

Saturday, September 17, 2011 , Posted by nota untuk Syiah at 8:21 AM

24 Sept, 2011 (Sabtu)
Artikel malam ini terbuang, berhubung kritikanku ke atas Muhyiddin, tapi aku letak ia semula kepada cik Not agar ia jadi bahan stok penulisanku jika ada ruang kosong.

@@@@@@@@@@@@@@

18 Sept, 2011 (Ahad)
Menekuni Risalah Untuk Kaum Muslimin. Ada beberapa ayat al-Quran yang tertuang di dalamnya kucatatkan dalam simpanan. Juga kutamatkan Sang Pencerah dengan beberapa dialog bagus yang juga aku simpan untuk masa depan.

Hari ini aku berjaya memasak makaroni ciptaan aku sendiri. Aku tidak lagi kelaparan!


MALAM - Aku cuba tamatkan The Stoning of Soraya. Aku rasa, ini filem Iran Amerika. Tidak semua filem Iran ini baik. Tapi, ada juga filem Amerika yang dibikin untuk mencacatkan imej Islam, Iran, mencalarkan wajah orang Islam, mempersendakan hukum agama Islam. Pendek kata, ini serampang entah berapa mata.

Walaupun ia kisah benar, tetapi Amerika tetap ambil kesempatan ini untuk mencalarkan imej Iran. US tak ada pun kritik Syiah dalam hal ini. Iran dalam fikiran US adalah musuh politiknya dan Syiah tiada kaitan pun.

Kadangkala, aku syak - mungkin ada penipuan juga di dalam hal ini. Mustahil Soraya sahaja yang kena rejam? Kenapa tidak lelaki yang mereka tuduh 'tidur' dengan Soraya itu direjam sekali Tang bab inilah aku mula rasa was-was dengan filem ini.

Tapi, tak apa. Kita tonton, tak semestinya kita setuju. Mesti ada penjelasan juga. Aku juga tertanya-tanya, adakah dihukum rejam sampai mati dengan dihukum rejam saja? Masih banyak hal yang perlu aku belajar lagi.

Wartawan yang menulis kisah The Stoning of Soraya ini adalah warga Iran-French. Aku teringat ketika aku di Iran menuju ke Perancis dulu. Iran-Perancis terkait dengan bumi pergolakan, bumi revolusi. Perancis itu tempat Ayatollah Khomeini dibuang. Aku sudah pun melangkah ke beberapa tempat yang bersejarah!

http://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=Q58nLi5eA-I - (The Stoning of Soraya M.)

Abah call, Kinah balik Shah Alam dari Pendang rupanya. Suara abah kedengaran lemah. Kinah tak boleh dihubungi. Aku minta nombor telefon kawan dia. Hampir-hampir aku nak pergi KL Sentral, nak cari dia kalau-kalau dia tersangkut di sana.

Akhirnya, aku dapat maklumat daripada rakannya - bahawa Kinah terlekat di Subang Jaya. Hasil penelefonan berkali-kali, akhirnya aku dapat nombor hp kawan dia di Subang Jaya. Setelah abah call kawan Kinah, aku dapati abah terasa lega, lapang dada dan fikiran. Itu pun sudah membuatkan hatiku lega dan tenang.

Keluar makan, pekena sup sayur. Beli roti gradenia dan jem pandan untuk habuan puasa 6 esok!

Hurm, memang patut pun aku terkenang Perancis - Iran tadi. Semak punya semak, rupa-rupanya kes Soraya direjam di Iran itu ada mirip persamaan dengan Sakineh, seorang wanita Iran yang gambarnya turut diabadikan di sebuah universiti di Padova, Italu saat kami berjalan-jalan di sepanjang kota universiti itu.

Maka, inilah wajah kisah Sakineh...


@@@@@@@@@@@@@@@@

17 Sept, 2011
Di pejabat selepas 'deadline', aku turun aras 1 untuk ber'maggi'. Ada surat sampul besar dialamatkan kepadaku. Tapi, aku tidak terus buka. Malah, sebaliknya, aku melayan 'Sang Pencerah' dulu. Setelah Subuh berlabuh beberapa ketika, filem itu baru melewati tempoh ke- 1:12:43.

Aku berehat seketika menghilangkan penat menonton dengan berfikir!

Aku fikir, ada baiknya jika beberapa babak yang menarik dalam filem ini aku abadikan di dalam siri-siri catatan nota 44 yang daku tukangi selama ini. Boleh juga diselit dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis.

Secara ringkasnya, aku temui beberapa babak yang menarik seperti...

1. Kiai Ahmad Dahlan bergabung dengan perkumpulan priyai anjuran Budi Utomo.

2. Kiai Ahmad Dahlan mula dituduh kafir oleh penduduk desa Kauman sebab beliau mengajar di sekolah Belanda.

3. Kiai Ahmad Dahlan bangkitkan isu arah kiblat.

4. Rupa-rupanya setiap orang yang belajar di Mekah itu akhirnya akan mengubah nama mereka sendiri.

5. Langgar Kidul yang dibangunkan oleh Kiai Ahmad Dahlan itu boleh jadi tidaklah berapa jauh dengan Laut Selatan, tempat Ratu Roro Kidul dikatakan bertakhta di laut itu. Jika ia benar, maknanya memang telah menjadi amalan para penduduk di situ; menyediakan sajian terhadap makhluk ghaib (antaranya Ratu Roro Kidul). Lalu, rasionalnya memang ada, jika dilihat Kiai Ahmad Dahlan selalu menggemakan kemusyrikan orang-orang di wilayahnya.

Sesudah kuhentikan sebentar tayangan filem itu, aku buka surat Pak Jamaluddin D itu. Rupa-rupanya, beliau menghadiahkan aku kumpulan puisinya yang berjudul 'Penerbangan Cinta'.

Di muka depannya hanya tertulis ucapan begitu ringkas, "Salam Aidul Fitri", dengan tarikh 21.8.2011.

Jamaluddin D mendapat tempat pertama dalam sayembara puisi Jubli Emas DBP pada tahun 2007 dan aku mendapat nombor dua, manakala Sahrunizam A Talib meraih tempat ketiga. Hanya aku dan Sahrunizam yang dipilih DBP ke Samarinda sebab pihak penganjur berkehendakkan orang-orang muda.


PETANG - Baru selesai ambil nombor pendaftaran motor, plat besi di bengkel motor Flat PKNS. Sudah bayar Digi dan bayar wang pendahuluan untuk tukar 'seat' motorku yang sudah lusuh.

Aku mesti berpuasa cepat, sekarang sudah masuk 10 Syawal terakhir di hujung bulan. Bermaghrib dan Isyak, aku selesaikan beberapa amalan. Tiba-tiba bila balik SPKB, aku dapat maklumat tentang Rosmah dan Najib ada di Stadium Merdeka sempena sambutan Hari Malaysia dengan Suara Kami.

Aku ingat nak batalkan kutukanku ke atas Najib Razak di Facebook, tetapi nampak gayanya tidak jadi juga.

Ke arah mana Najib Razak nak bawa anak-anak muda hari ini? Ke neraka ka? Bukan salah berhibur, tapi cuba alihkan perhatian anak-anak muda yang terkinja-kinja berseronok itu dengan soalan-soalan ilmiah. Aku jumpa Ari Lasso. Najib boleh alihkan perhatian anak muda itu ke atas Mokhtaruddin Lasso.

Kita kenalah kreatif dalam usaha mengasuh pemikiran dan generasi muda hari ini. Cuba suntikkan fikiran kritis di dalam hiburan-hiburan yang sedia ada. Apa nak buat? Memang tabiat anak muda sebegitu; suka hiburan.

Tetapi, kita-kita yang tua ni, tak bolehkah cuba mengalihkan perhatian mereka yang asyik dengan perkara lalai itu dengan fakta-fakta sejarah yang lebih berfaedah? --- ['mode':] Malam ini layan 12 Rounds.

Currently have 0 comments: