Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Breathless in Pendang

Monday, November 22, 2010 , Posted by nota untuk Syiah at 10:56 PM

Rabu
"Rumah cikgu Man dimasuki pencuri pagi tadi," kata emak pagi ini.

"Dalam pukul berapa?" aku bertanya semula, sambil kedua-dua belah tanganku ligat melibas dan melipat kain ke dalam beg galasku.

"Dengar kata masa Subuh jugaklah," balas emak semula. Baru saja pulang dari Gunung Jerai, nak tuntut ilmu dari Tok Chik mengenai ilmu nak bagi pencuri berenang di laman rumah depa kalau depa ada niat jahat.

Tapi Tok Chik dengan jujurnya berkata, "Saya tak ada ilmu tu, kalau ada memang saya dah bagi dah..."

Belajar ilmu iktisad daripada Gordon Gekko, Wall St.
Sempat melayan Wall St lagi, walau jam 11:15 pagi ini aku akan ke KL. Dapat belajar dua perkara, duit tidak boleh dinamakan sebagai aset, komoditi - kata Gordon Gekko dalam penjara.

"Time is better," kata Gekko (Michael Douglas) kepada Shia Le Bouf. Banyak betul idea, ilham mencurah bila duduk sepanjang perjalanan dalam bas ni. Kalau selalu naik bas macam ni, aku dah boleh jadi failasuf!

Tiba di Bukit Jalil, aku menerima panggilan telefon dari Kimi. Dia nak jumpa Tok Chik di kaki Gunung Jerai. "Hang nak aku kirimkan salam hang kat dia tak?" tanya Kimi lagi. Aku angguk.

Aku rasa dia memang akan lebih akrab dengan Tok Chik berbanding aku sendiri. Kimi, pintu gerbang terawal untuk aku meneroka segala bentuk alam yang lebih mencabar pada masa hadapan kelak. Aku akan mengenali dunia kejahatan, gangster yang tepu kejam, mistik, hal batuan dan sejarah Kedah lewat bualan dengan Kimi!

Dahan kasih, ranting cintaku yang rapuh mula patah! Isk! Urgh!
Di tepi monorail, ada restoren, aku pekena sup daging, teh o dan nasi putih; RM7. Ka Ching! Pergh! Tujuh ringgit bib! Aku naik monorail, terus turun Cempaka. Kelibat seorang wanita muda melintas depanku.

Aku usha dia, dia terperasan lalu dia melayur diri dekat kanan aku. Aku rasa dia tunggu aku mengorat dia kot ni? Tapi, aku teruna sunti. Tak kanlah aku yang nak mulakan dulu. Masyi datang dengan motor.

Daku dapat rasakan bahawa dia mungkin berasa kaciwa juga dengan sikapku yang aku tidak ngorat dia. Dan dia mungkin dah anggap bahawa aku dah berpunya walhal aku tunggang motor ni dengan adik perempuanku. Oh! Cinta pandang kali ke-3,475 terputus di tengah jalan dekat monorail Cempaka, isk, isk, isk...

Sampai di flat adikku, aku capai motor yang kuparkir di situ lebih hampir seminggu. Pergi KLCC bayar bil Celcom dan usha awek yang menjaga bil itu. Nampaknya namanya tiada dalam Fesbuk. Aku pun terus keluar bank-in duit Imran dalam akaun aku dekat Bank Islam Dang Wangi.

Pekena segelas teh tarik di sebuah restoren Minang di Jalan Raja Alang, lalu aku terus pulang SPKB! Haih!

Antara perjuangan di Fesbuk sejak aku berbual lewat Digi sms di FB ialah (1) Nak belajar ilmu pagar rumah; (2) Nak belajar ilmu pertanian padi huma, akan menemui Wan Empuk dan Wan Malini, jiran rumah Pn Ainon berdasarkan maklumat yang beliau selitkan tadi.

##########################

Selasa
Pergi ke USM sekitar 11:30 pagi. Singgah di RNR Gurun. Ada 'wahyu' yang mengalir turun dari Gunung Jerai meluncur ke benakku berbunyi, "Untuk memerdekakan Selatan Thai, maka hendaklah diusahakan Vox Populi ke atas rakyat-rakyat itu lewat kaedah kiriman surat berantai."

Singgah di Masjid Jamek Batu Uban, menubuhkan sekolah pemikiran (SPBU), khutbah pencerdasan, batu asas belum diletak. Aku berhajat ke Kanita kemudiannya, tapi akhirnya gagal menemui orang di sana.

Pergi ke Pusat Pengajian Komunikasi, kemudian dapat tahu Dr Mahyuddin ada di PJ. Kata R.O beliau, "Dia akan pulang Jumaat ini." Aku terus jumpa Kakti lalu kami ke Subaidah, USM.

Betapa mamak-mamak ini juga masih juga mengekalkan ungkapan murtabak. Aku terpegun melihat mereka ini ghairah berkreatif; ada roti john Chicago, Merdeka, Alaska, Hong Kong, Merdeka... etc...

Sambil makan, Kaktie cakap mengenai hal-ehwal pokok Rambong yang tumbang dan lain-lain perkara. Daku melihat betapa banyak perubahan kini. Bangunan C10 yang dulunya tempat tidur kami kerana deadline sudah tidak digelar bilik berita atau pun balai berita. Tapi, bertukar namanya kepada balai media. Fuh! Hadhari!

Selepas itu, aku ke rumah P Ramlee. Malangnya, aku terlewat dan rumah itu tutup. Aku menyusuri jalan yang tidak pernah aku lalui sebelum ini; sekolah Jepun, Penang Free School dan kemudian Jalan Sungai Pinang.

Ada seorang lelaki yang menunjuk jalan ke arah Masjid Maqbul, Pulau Pinang. Brader yang jual tomyam di situ berkata, "Dulu zaman Jepun, dua tiga kali kena bom, tapi masjid tu terselamat, tak runtuh..."

Agaknya, betul kata Khai, Masjid Maqbul di tengah-tengah kota Tanjung ini ada barakahnya barangkali. Aku balik diiringi hujan lebat di sepanjang jalan.

###########################

Isnin
Siapkan bahan, hantar ke Harakah, dan Umno Kalam Allah yang dihujahkan oleh rakan FB juga telah kuhantar ke Harakah sebagai jawapanku. Malam ini Ibah balik ke Gunung Keriang.

Petang ni Imran pulang dengan keponakanku, Sarah. Kami berkumpul ramai. Emak buat daging bakar. Buka pula cerita Walinong Mayang Sari, Ulek Mayang, Puteri Saadong dan Lubuk Bedil di Sik yang ada pinggan mangkuk dari alam bunian untuk dipinjamkan kepada manusia di alam nyata.

Aku sudah boleh cantumkan sedikit 'puzzle' teka-teki yang dah lama berselerak di urat kepala. Aku juga telah tahu kat mana Tanjung Jaga, tempat Islam mula tiba di Kedah. Daripada penerangan abah, aku sedar aku dah pernah lewat Tg Jaga dalam perjalanan pi Merbok, rumah pejabat Cikgu Mie Teras pada suatu masa dahulu.

"Kalau mai dari Guar pergi ke Merbok, laut sebelah kanan, kiri kita tu Gunung Jerai dah," kata abah. Aku masih ingat nama tempat itu adalah Ruat, ia dekat sangat dengan Tanjung Jaga.

Petang ni aku dah keluar ke Pendang untuk beli tiket balik ke KL, Rabu pagi! Khamis jumpa S di Shah Alam. Dan Jumaat, mungkin syuro di selatan Thai! Kita merancang, Tuhan yang menentukan... Ameen...

################
Ahad
Masyi pulang malam ini ke Kuala Lumpur, Hakim pula disuntik apabila umurnya berlayar ke pelabuhan usia setahun setengah. Maka, semalam demam dan menangis sahaja dia sepanjang malam.

Sepatutnya aku jumpa Kimi yang mahu perkenalkan aku dengan Pak Long Zainol Asri. Hajatku tergendala!
#################
Sabtu
Akhirnya petang ini walau hati berbalah, aku berjaya juga tiba ke Puncak Gunung Jerai di Padang Tok Syeikh a.k.a Batu Shaff. Ada dua anak beranak dari Kelawei, Pulau Pinang di menara kubah itu yang sudah ada orang korek tanah di situ. Ish, khurafat ker? Apa pun, nama mereka; Zainol dan Abd Wahab; aku masukkan sudah nama kedua-dua mereka itu ke dalam nota catatan FANSURI'S LIST.

Mereka jadi temanku bersembang. Sampai ke petang. Alhamdulillah, berjaya juga sampai ke laluan yang aku takut berjalan itu. Masuk kali ketiga, baharu aku dikurniakan keberanian. Sepanjang jalan, aku bertakbir raya dan ia mengalirkan kekuatan juga akhirnya. Balik dari pendakian, kita boleh rasakan semangat kita jadi kuat!

#################

Jumaat
Jumpa Kimi, dia bawa aku jumpa Abang Shah, seorang murid kepada Dr N, pakar batu. Pakar batu ini pula adalah orang yang rapat dengan Sultan Brunei, Hassanal Bolkiah.

Daku teringat kenapa Paksu Hamid Bukit Tembaga cakap Sultan Brunei berminat membeli batu merah milik kepunyaan Sultan Selangor itu. Kami berbual lama di kaki Gunung Jerai, khasnya sejarah purba Kedah.

"Namanya Syeikh Abdullah Al-Yamani Al-Fansuri," kata abang Shah. Al-Fansuri? Aku dah mula pening. Dia datang dari Acheh ka? Berdasarkan ceritanya, Syeikh Abdullah Al-Yamani ini turun kat Tg Jaga. Merong Maha Wangsa ketika itu bernama Raja Daun Lebar. 

"Ada sedara Kimi di Tg Jaga yang boleh cerita hal ini dengan lebih baik," kata abang Shah lagi. Atau, kata Abang Shah, boleh tanya Dr N, gurunya sendiri dalam ilmu batu. Daku kena berguru juga dengan Abang Shah ni, serap habis ilmunya. Baru kufaham bagaimana dunia ini mula terjadi. Ia terkait dengan air dan batu.

Rupanya herba dan batu ini sama sahaja. Patutlah Paksu Hamid minta aku juga kawannya di Bukit Jenun yang arif bab tumbuhan herba sebelum ini. Oh! Abang Shah ini rupanya cucu menakan Penjaga Gunung Jerai tu!

"Boleh jumpa dia," katanya lagi. "Ada orang kaya mimpi nak datang jumpa dia, lalu dia jumpa saya."

Jumpa Haji Hashim; Penjaga Gunung Jerai
Confirm. Nama orang ghaib (rijalul ghaib) itu ialah Syeikh Ibrahim yang masuk ke dalam mimpi Haji Hashim. Rupanya Haji Hashim ini pengamal Selempang Merah. Si kaya yang mimpikan Hj Hashim ni melihatnya dalam selempang merah juga. Patut pun dia kuat semangat. Pada usia 90 tahun, dia tinggal sendirian di kaki gunung!

Setelah mendengar pengakuan Kimi, kami serentak memutuskan dalam syuro Neo Ikhwan Safa, bahawa aku tidak dibenarkan mengamalkan Selempang Merah. Bahaya! Tetapi, daku beritahu bahawa itu tidak menafikan hakku guna mencetak saf hulubalang, pasukan askar upahan (mercenaries) dan kumpulan gerilya bawah tanah di bawah tadbiranku sendiri! Lagi pun isim-isim Ayat 4 itu memang 'panas'...

Teringat Ayat 4, aku baru tahu bahawa Syeikh Ibrahim pesan kepada Hj Hashim untuk amal Ayat 7 yang dia kata sedia termuat dalam risalah kecil buku Yaasin yang dibaca orang pada setiap malam Jumaat. 

Jika Ayat 4 bukan peganganku, mungkinkah Ayat 7? Haih! Fekah dan laluan kerohanianku sudah tidak sama dengan cara laluan perjalanan rohani dan fekah orang lain gamaknya. Aku sendiri boleh tengok cara daku fikir dan berpendapat, juga bertindak kerap berlawanan dan sukar disamakan dengan manusia sekeliling.

"Hang ada kelebihan yang tak dak kat orang lain," kata si Kimi. "Jangan buat satu benda yang sudah ada orang buat. Guna kelebihan tu untuk buat tugas lain yang mana orang silat tu tak mampu buat."

Malam itu, kami bawa Haji Hashim keluar makan, kami bersolat Maghrib di masjid pekan Guar Chempedak dan gelagatnya bertakbir raya buat kali terakhir menarik minat penduduk setempat. 

Kami keluar pekena bihun sup Hj Jaapar. Sedap betul bihun sup! Hj Jaapar rupanya kenalan Hj Hashim ketika mereka sama-sama belajar kat pondok dahulu. Kami kemudian pi rumah Pak Andak Majid Gayung.

Malangnya hajat kami tidak kesampaian. Pak Andak tiada di rumah. Mungkin dia ada jemputan mana-mana? Kalau tidak, malam ni boleh aku tanya soalan macam aku tanya kat Abang Shah tadi; "Macam mana mahu gerakkan orang-orang silat untuk ikut bertempur guna membebaskan 5 wilayah di utara kita?"

'Fatwa' Hj Hashim Selempang Merah sudah daku dapati, "Kita tak boleh serang depa, biar depa dulu mai serang kita, baru kita boleh bertindak balas untuk serang mereka tentera Siam tu..." 

Ya, cuma terhenti 'fatwa' beliau setakat itu. Titik! Sekarang aku mahu tahu, fatwa' Pak Andak Majid Gayung ni dan lain-lain guru silat di Tanah Melayu ini bagaimana pula keputusannya?

Currently have 0 comments: