Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

24 Ramadhan - 20 Syawal / 3 - 29 Sept

Thursday, September 16, 2010 , Posted by nota untuk Syiah at 12:46 PM

21 Syawal / 30 Sept (Khamis)
Ny mengirim sms lalu cc kepadaku dan juga S Zack, S S Al-Johori, S L.I bahawa dia dapat pergi ke seminar peradaban Asia Barat.

Sungguh kemaih dan eksyen banget bunyi sms tu. Huh! Mentang-mentang aku masih menyusun agenda perobahan islah hadhari glokal di kampung nan permai nan indah, maka sukarlah daku terjebak dengan kegiatan kependetaan di ibu kota.

Pagi ini, emak suruh aku angkat tv dari bilik ke ruang dapur. Ini kerana, tv di dapur, abah sudah pindahkan ke Taman Wawasan pagi kelmarin. Rasa sunyi juga bila tiada tv di ruang dapur ini.

Jiran sebelah rumah beritahu emas bahawa ada rakannya yang menyewa di Taman Wawasan baru-baru ini.

"Dia kata kawan dia menyewa sampai RM400 di taman tu..." kata emak. "Tapi, kalau anak-anak nak duduk, takkanlah mak nak letak harga tu. Harga tu berpada-padalah."

Perlu masa seminggu juga agak-agaknya untuk aku 'setup' rumah itu sebagai pelabuhan langgar kesaktian dan sanggar kependetaanku. Peta Israel dan Nusantara Baharu mesti ada di situ untuk aku teliti rencanaku nanti.

Malam ni telah kubeli tiket bas balik ke KL. Rasanya, 'mood', panggilan dan seruan dan gerak naluri telah pun menderu masuk mengetuk pintu hatiku ini. 'Knock', knock', dan 'knock'...!

########################## 



20 Syawal / 29 Sept (Rabu)
Pagi ini, abah bawa tv ke rumah Taman Wawasan. Rupanya, tiada jadi juga dan tiada kesampaian jugalah aku nak suntik modal saham permulaan untuk 'setup' Sekolah Pemikiran Pendang (Gunung Jerai) itu.

Forum Patani di USM jadikah?
Petang ini aku rasa perlu ke USM sebab, dengar khabarnya geng-geng Patani ajak mahasiswa berbincang hal buku Herry Nurdi berhubung selatan Thai di Dewan Budaya itu. Lagi pula petang ini daku melihat langit teduh berwajah muram dan awan mendung. Hati sarat dengan rasa berat, ada aral dan kandala, hajatku tergandala..

Tapi bila aku sms Herry untuk pengesahan acara itu, dia tak jawab. Aku was-was. Rugi kalau pi tapi acara itu batal. Kalau jadi, boleh bina suatu jaringan baharu. Mungkin aku boleh cari tenaga laman Jala Pos Dot Com.

Malam ni oleh kerana 'line' internet tidak bagus, aku bawa diri ke Taman Wawasan juga. Tetapi, seperti biasa yang terjadi, 'line' pun semput. Ada tiga hal yang tidak 'best' pabila di Sekolah Pemikiran Pendang (SKP);

(1) Internet lemah; (2) Hujan pagi atau petang atau kedua-duanya sekali; dan (3) Gangguan keponankanku; Hakim yang suka mencabut wayar leptop saat aku sedang menaip bahan... Argh! Urgh! Urgh! Urgh! Adurgh!



##########################

19 Syawal / 28 Sept (Selasa)
Terima sms pak Razali Endun tentang bahannya di emel sastera Harakah. Ya, daku sudah terima. Tapi, bahan cerpen ustaz Azizi Abdullah yang mengkritik Suriname dan Gapena belum juga masuk. Kenapa? Pur que? Ny juga sms, apakah aku sudah balik ke SPKB. Seperti biasa, aku tidak menjawab...

Kalaulah aku di kampung memang sulit daku nak menjawab. Kerja-kerja merbahaya seperti menakluk dunia ini, mana boleh kita cerita dekat orang. Tulis dalam blog tak apa la untuk pengetahuan SB Bukit Aman. Mereka perlukan maklumat, tak apa lah... berbakti kepada SB apa salahnya.

Aku tujukan lagu SB Bukit Aman sebagai simbol dan lambang Aman dan Keamanan dan Kedamaian. 'Peace no war' ya? Dengarkan lagu Judy Garland; 'Somewhere over the rainbow' khas untuk kalian di Bukit Aman.


Debat SK vs FT = produk Dom?
Berkali-kali Ny call dan sms, tetapi tiada kujawab. Saja la... Lalu, dia ajak pekena nasi kukus ala mafia dekat Kg Pantai Dalam. Kalau aku di ibu kota, mungkin aku boleh bawa catatan SK mengkritik FT petang ini untuk difikir tindakan selanjutnya sebagai bahan debatan DOM (Dialog Orang Muda). Padaku, inilah produk Dom!

Lalu, kubalas sms Ny itu, "Bahawa diri ini masih di Pendang..." Dia jawab balik, "Bahawa buku penting tentang tech CIA dari era perang dingin hingga Al-Qaeda yang ada di Booxcess sangat penting untuk orang-orang macam ko... Dan buku tu makin habih. Bila bukak SPKB?"

Sekali lagi... aku tak jawab... kah! kah! kah! Biar ia kekal misteri. Eh, pabila membaca buku mengenai hal-hal sulit CIA-KGB ni, mungkin lebih baik kalau aku buka laman internet berjudul - mari saling berkenalan dengan SB Bukit Aman!? Aku fikir, ini masanya untuk buat perjanjian dengan Bukit Aman. Ahah! Ka Ching! Ahaks!

########################

18 Syawal / 27 Sept (Isnin)
Aku naik ke puncak Gunung Jerai. Aku berjumpa dengan papan tanda Bomoh Sakti yang mendakwa dirinya sebagai 'Penjaga Gunung Jerai'. Dulu, 'signboard' ni tak ada. Agaknya, dia baru letak gamaknya?

Dulu masa aku masih berkuliah di USM, aku bersama teman datang bertemu bomoh itu. Rakanku bilang yang rakan rohaninya membisikkan bahawa bomoh tua ini ada hubungan istimewa dengan 'penghulu' Gunung Jerai. Memang akhirnya bomoh ini mengaku yang 'penghulu' itu datang bertemunya selepas solat.

"Dia tanya saya, ada apa masalah kah?" kata bomoh itu dahulu. Lalu dia jawab kepada 'penghulu' gunung itu, "Di dunia ini, siapa yang tiada masalah?" Selebihnya, dia banyak berahsia tentang apa yang dia dapat.

Bomoh ini pernah minta doa di depan Kaabah, agar sentuhannya menyembuhkan orang. Aku rasa, 'penghulu' gunung ni mungkin yang tiba dari Hadralmaut, Yaman. Aku mesti jumpa 'penghulu' walau menelan masa lama.

Aku nak pastikan adakah 'penghulu' ini yang Islamkan Sultan Muzaffar Syah, raja Kedah pertama yang peluk Islam sebagai yang disebut dalam Hikayat Merong Mahawangsa itu.

Atau, kalau pun bukan, mungkin 'penghulu' ini salah seorang daripada anak-anak kapal daripada dua bahtera yang dipimpin oleh Nakhoda Khalifah dari Hadralmaut itu?

Di Telaga Tok Syeikh, ada sekeluarga dok bercakap hal-hal dunia. Aku langsung pergi ke Batu Kapal, tetapi aku sedar sesuatu-masa tidak cukup dan aku sudah tidak memiliki keberanian apabila melewati sebuah rumah batu usang itu. Semoga Tuhan memberi aku seorang rakan dalam perjalanan dan kembara rohani di dunia ini.

Dalam perjalanan pulang, hujan sungguh lebat. Sepotong kayu agak besar menghempap dadaku lalu daku pun menjerit. Bahaya jika sendirian mengembara. Tuhan... jikalau daku Musa, kupohon Yusya' bin Nun kembara rohani ke pergunungan. Jika aku Muhammad, kupohon Jibril jadi rakan kembara rohani dalam Isra' Mi'raj.

Jika aku Musa pemimpin umat, kupohon rakan kembara rohani Khidhir. Moga aku dipertemukan. Ameen...

########################

17 Syawal / 26 Sept (Ahad)
Dapat surat 'cinta' daripada KWSP, mengingatkan aku yang belum mencarum untuk September baru ini. Jika aku tidak membayar juga, maka harus aku dipenjarakan dan didenda berdasarkan Akta KWSP. Fuh, senang sungguh menjadi penjenayah di negara ini. Apa punya turr... daa... Wajib ditumbangkan Umno - BN ni. Huh!

Petang ni, kutonton The Wizard of Oz di TV2. Daku baru sedar yang jiwa aku tidak sama dengan orang lain. Mana ada orang suka tengok filem-filem klasik, kisah-kisah lama ini? Tetapi, menurut hematku-kekuatan yang ada pada filem ini terletak pada lagunya, 'Somewhere over the Rainbow' nyanyian Judy Garland.


Somewhere over the rainbow
Way up high,
There's a land that I heard of
Once in a lullaby.

Somewhere over the rainbow
Skies are blue,
And the dreams that you dare to dream
Really do come true.

Someday I'll wish upon a star
And wake up where the clouds are far
Behind me.
Where troubles melt like lemon drops
Away above the chimney tops
That's where you'll find me.

Somewhere over the rainbow
Bluebirds fly.
Birds fly over the rainbow.
Why then, oh why can't I?

If happy little bluebirds fly
Beyond the rainbow
Why, oh why can't I?

Malam ni emak dan abah ajak aku dan Ibah dan Hakim dan Syukor pergi Taman Wawasan lagi. Di sini, ada tempat pengamal ruqyah, tempat buang 'saka'. Mungkin aku boleh belajar dengan depa? Dada ini kosong...

Emak kata dia nak 'share' duit dengan aku kalau aku memang berniat nak beli tv untuk menginap di kawasan perumahan di situ. "Mak bayar harga tv tu separuh, Ali bayar separuh?" cadang emak. Aku setuju...

########################

16 Syawal / 25 Sept (Sabtu)
Ke Bukit Tembaga. Pak Su tak banyak beri petunjuk melainkan bercerita mengenai Tauke Salleh; orang kaya di Geylang Serai, Singapura. Juga dia cerita hal Rashid Maidin di selatan Thai.

Katanya, serangan ke atas Malaya pernah terjadi dari atas (Jepun melalui Thai) dan dari bawah (Israel melalui Singapura.) Banyak rahsia hidupnya tadi yang dia tak cerita kepada warisnya sendiri.

Rumusan awal - agaknya dalam hal ini aku kena berdikari. Ayat tersirat pada awal mukadimahnya, "Bila kita minta, jangkakan awal-awal bahawa kita tak akan dapat..kalau jumpa tuan Syed dia boleh bagi kita RM100 juta sekelip mata, tapi kita kena jadi hamba dia..."

Petang ini, bukan seperti pertemuan antara 'the founding fathers of Malaya' dengan Abdullah Pak Him yang memberi tarikh merdeka. Tetapi, bagaimanapun, aku puas hati sebagaimana yang disebut - akan lebih banyak jangkaan mengenai hajat-hajat yang tidak boleh dipenuhi buat masa ini.

Aku putarkan balik faham ini dengan ayat - untuk cari Al-Fateh, perlu cari ayahnya dulu. Bermaksud, rencana ini mungkin perlu 3 generasi. Hari ini, tiada yang terfikir nak buka Palestin. Mungkin selepas ini, mereka lahir.

Zaman ni ramai nak iktikaf di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Tiada yang nak iktikaf di Masjid Al-Aqsa.

Maka, antara rumusan lain yang kupelajari hari ini...

1. Kena belajar menerima kemungkinan bahawa ada hajat-hajat kita yang tidak kesampaian.
2. Kena sindir hal lailatul qadar yang kupetik daripada Futuhat Makkiyyah. Aku silap sebab letak nama dia di paper baru-baru ini. Jadi, tadi dia sudah pun baca balik beberapa pandangan Ibnu 'Arabi berhubung Lailatul Qadar itu termasuk pendirian Ibrahim bin Adham untuk betulkan kesilapanku itu.

"Depa dok tanya macam-macam sampai kepada Wahdatul Wujud tu," katanya lagi. Aku diserang rasa bersalah. Balik rumah rasa bersalah masih menyerangku lagi. Pak Su sampai sanggup fotostat perenggan yang ditulis Ibnu 'Arabi. Banyak dia fotostat. Mungkin ramai ke rumahnya, bertanya hal sama agaknya. Aku kesal.

3. Aku mula memahami bahawa setiap amalan itu akhirnya jadi bersih dan suci dan diiktiraf apabila tiba dekat Allah, 'tuan punya' segala amalan itu, walaupun amalan-amalan kita dipertikaikan manusia. Fiqh aku, hanyalah aku sendiri yang bertanggungjawab dan orang lain tak berhak pertikai dan aku tak pula mengembangkannya.

"Fa subhanallazi biyadihi malukuutu kulli syai'in wa ilaihi turja'un... hujan jatuh ke bumi, kena najis maka ia najis, tapi kemudian air itu pergi ke laut, maka suci balik, kemudian naik ke atas, jadi hujan, jadi suci balik..." demikian Pak Su menjelaskan. Agak tinggi, tapi aku cuba paham ikut aras akalku sendiri.

Dalam perjalanan ke Bukit Tembaga sempat aku anjakkan tarikh pemulangan buku pinjaman di perpustakaan negara. Juga dalam perjalanan pulang, kulihat pelangi. Teringat kata-kata pakcik Kelang tidak lama dahulu.

"Pabila kau melihat pelangi, masa tu tsunami akan hampir tiba," katanya. Rupanya itu tanda dan isyarat tsunami politik! Dalam tilikan pakcik --- lima buah negeri yang dilanggar tsunami bukanlah tsunami dalam rupa paras yang sebenar, tapi tsunami politik yang menyerang 5 buah negeri PR tahun 2008.

Kini, pelangi petang dilukis, warnanya dipaku pahat di dinding langit. Ia mengirim makna petaka atau makna apa?

#######################

15 Syawal / 24 Sept (Jumaat)

Ada pegawai Bank Rakyat call Abg Man tapi Abg Man guna no hp daku dan hal ini sungguh menjengkelkan. Bagaimanapun, daku harap dapat call kerani itu kelak untuk urusan 'loan rumah' nanti.

Ke USM petang ini, lalu terserempak dengan Abg Azhar. Alhamudulillah dia masih kenal diri ini. Aku nampak banyak perubahan USM sekarang. Antara yang menarik, 'Anjung' cafe dekat Dewan Budaya.

"Sejak 2008 perubahan ni berlaku," kata Abang Azhar sambil memberi no hp Dr M.A, setelah kunyatakan hasrat untuk bincang tajuk master dengan pensyarah tersebut.

Daripada brader itu, aku dapat tahu Chia Ming mungkin dapat title Phd kelak dan kini dia menjadi tutor untuk kuliah Tn Hj Haroun yang mengendalikan Berita Kampus sekarang. Bangunan C10 bilik balai berita kami pun sudah bertukar wajah. Pendek kata, 'it's perfect!'; sungguh sempurna pada penglihatan mata.

Di Restoren Nasi Kandar Pelita, kata Kaktie, USM sudah capai Apex, maka perubahan pun dilakukan. Dah ada tiga perpustakaan dan yang paling ketara jelas ialah keindahan DTSP. Fuh! Lawa betul!

Kisah pokok Rambong yang ditebang
Maka kutanya kaktie darihal pokok Rambong yang menaungi surau HBP; tempatku menyelak novel Inggeris, To Kill A Mockingbird buat kali pertama itu. Dengar kata, Rambong atau nama saintifiknya Ficus Elastica itu sudah rebah menyembah bumi sebab ia tumbang lalu menghempap bas yang diletakkan di situ.

"Memanglah Rambong dah nak tumbang tapi Jabatan Pembangunan kena ganti balik. PM Talha pun cakap, kenapa tak tanam balik 5 pokok, bukankah universiti ini inginkan pembangunan lestari?" kata adikku itu ketika kami sedang berbual-bual di Pelita petang ini.

Sesuatu perlu dilakukan bagi menggantikan balik pokok Rambong yang tumbang itu! Jika arwah NC Hamzah Sendut itu masih hidup mungkin ada langkah susulan dibuat. Pantang betul dia kalau orang tumbangkan pokok sesuka hati, tanpa mengambilkira perhitungan ekosistem alam ini.

###################

14 Syawal / 23 Sept (Khamis)

Rupa-rupanya Azizi Abdullah nak hantar cerpen tentang Melayu Surinam dekat Amerika Latin tu. Sebab itu, dia call aku berkali-kali.

Sampai ke malam aku tunggu ketika mahu kirim bahan ke Harakah. Lalu, terpaksalah aku hantar bahan lain pula kerana - rupa-rupanya dia tengah dok fikirkan ending cerpennya.

"Saya tengah dok pikiaq macam mana nak tamatkan cerpen ni," katanya. Dekat 3,000 patah perkataan juga. Kisahnya berlegar seputar hal Melayu Surinam yang nak diajak masuk ke Malaysia. Tapi akhirnya depa ni tak nak jadi rakyat di sini kerana berlaku banyak pembunuhan; Altantuya, Sosilawati dan sebagainya.

"Aku nak hantar kat tempat lain, takut depa tak mau nak terima," katanya lagi. Mungkin sekali lagi, dia akan hantar kot. Minggu depan ka? Aku cuma menunggu dan mungkin kena buat dua siri agak-agaknya.

Berjaya hantar borang mohon kad kredit
Petang ini aku berjaya hantar borang mohon kad kredit kepada pegawai yang anggun cun-melecun itu. Ketika hampir pulang setelah berjaya selesaikan urusan pengaktifan akaun syarikat, pegawai itu call aku balik.

"Encik Ali, I.C encik ni tertinggal pada sayalah masa saya fotostat ni..." katanya. Mujurlah aku masih di bawah pejabat kerana sedang pindahkan wang Imran berkali-kali di mesin ATM itu.

Ketika ambil I.C itu, sempatku tanya, "Kena tunggu berapa lama untuk dapat maklumat kad kredit ni?"

"Dalam sebulan," katanya, tunduk malu-malu. "Encik boleh call mana-mana pegawai di pejabat ini."

Dalam perjalanan pulang sambil naik motor, aku layan blues dan melayani fikiran sendirian. Moga aku berjaya mendapat kad kredit pertama! Mungkin ia permulaan untuk beli 'domain' laman berita-rencana aku sendiri.

Selama ini, dah ramai ajak aku buat, malangnya hanya kapitalis yang ada di jiwa mereka dan hanya harapkan aku sahaja yang 'update'. Pakcik Klang antara contoh dan kes yang paling baik. Aku kena pindah rumah dan dia goyang kaki. Dia tidak akan disusahkan dan dibebankan dengan apa-apa. Fuh! Aku berdendam nih!

Susah-susah sangat, biarlah aku yang buat semuanya sendiri. Rasa tidak adil juga kepada diri sendiri, kalaulah terbeban dan dibebankan dengan kehendak orang lain. Kita pun ada perjuangan kita sendiri. Hanya kita yang faham. Mana ada orang sanggup fikirkan cara nak menakluki dunia!? Aku seorang sahaja rasanya setakat ini.

Seperti mana sekarang ini, mana ada orang yang tahu peranan New Islamic World Order (Niwo) yang sudah menaikkan Tengku Faris sebagai Sultan Kelantan? Tetapi kena berhati-hati juga sebab kedudukan baginda itu tidak selamat dan goyah. Keanggotaan Niwo Kelantan perlu diberikan tugas untuk fasa yang seterusnya.
Bini orangkah si dia itu?
Ketika kumelayani blues di atas motor kukenang kembali akan si dia. Aku pun jatuh cinta untuk pandang kali ke-2,985! Melewati lebuh raya Plus Utara Selatan diiringi rerintik ujan, bebola mata keranjangku menyambar padi-padi hijau yang sedang mula menyalakan semarak warna kekuningan.

"Kuning itu lambang kekayaan jiwa. Kuning itu emas. Patutlah raja terdahulu mengenakan kuning-kerana ia lambang kekayaan kekuasaan. Semua itu hadir pada padi sebagai komoditi!" desis hatiku...

Hati girang jiwa lapang! Tapi, adakah si dia bini orang!? Kuang, kuang, kuang...Ah! Kalau bukan jodoh daku saat ini, masih ada lagi Ali Lohan dan Paris Hilton yang nun jauh di Beverly Hills. Demi leptop yang aku beli di Low Yatt dan Demi Moore, ketahuilah olehmu bahawa demi sesungguhnya, "Mengurat itu suatu ibadat!"

Petang ini, Ny sms, "Buku baru masuk di Bookxcess. Aku sambar 6 buku hemingway + buku menarik tentang sejarah tech CIA + emoir satira tentang Iran. Yang lain aku terpaksa tutup mata."

Bila aku nak balik KL ni?
Aku belum terima apa-apa 'wahyu' untuk balik ke KL setakat ini. Biar pun Masri Publika telah call tadi untuk bincang penulisan novel yang bercorak rawatan ruqyah ala-ala Darul Syifa' yang dibuka oleh Haron Din itu. 

Sekurang-kurangnya daku kena turun USM, berbincang hal Master filem P Ramlee, jumpa Pak Su Bukit Tembaga minta fatwa untuk menubuhkan Nusantara Baharu dan berkelana sebentar di Gunung Jerai di Telaga Tok Syeikh untuk cari pedoman dan petunjuk baharu untuk takluk dunia ini. Kemudian, barulah daku ke KL.

Tetapi, selewat-lewatnya, Isnin ini mesti ada di KL kerana aku perlu tebus tiket filem percuma - MAGIKA!

Khabar baru dari Singapura
Malam ini, saat aku memindahkan kerjaku di Wifi Umno Pendang, aku telah menerima perkhabaran baharu di FB berhubung kegiatan parti pembangkang di Singapura. Daku fikir, mereka perlu ada (1) kabinet bayangan (2) manifesto dan percubaan untuk menyatakan kebagusan manifesto mereka itu.

Aku harus semak juga apakah mereka ini ada Kementerian Wanita kerana kerap kudengar kisah wanita yang tertindas di Mahkamah Syariah Singapura. Lantas aku teringat Perani dalam Bujang Lapok, filem P Ramlee.

Masih hidupkah dia atau sudah arwah, berkelana ke alam barzakh? Daku perlu buat kumpulan puisi mencari Perani kalau macam ini, sebagai usaha peribadiku untuk menjejaki Perani dan keturunannya di Singapura.

Mungkin... 9 buah parti pembangkang di sana perlu wujudkan juga Biro Kebudayaan, Biro Anak Muda, Biro Siswa Kampus bertujuan memudahkan Niwo dalam melaksanakan kerja bahayanya kelak. 

Maka...adalah dengan ini...aku; Guru Besar SPKB akan meletakkan batu asas penubuhan Sekolah Pemikiran Tg Pagar (Sepat) di stesen kereta api KTMB Tg Pagar kelak, barang diidjinkan olehNya insya Allah Ta'ala...

######################

13 Syawal / 22 Sept (Rabu)
Hujan lebat petang merencatkan usahaku ke Alur Setar. Daku baru sedar bahawa Ustaz Azizi Abdullah call aku tadi. Petang ini juga Alo call.

"Mai rumah sembang-sembang," katanya. Seperti biasa, pekerjaanku di sini masih melambak-lambak. Tiada dapat ke KL lagi buat masa ini. Pak Su Hamid belum sempat jumpa.

Demikian juga, belum sempat mendaki ke puncak Gunung Jerai di Telaga Tok Syeikh. Petang ini, Hakim pula terkena musibah; jarinya terkapit di pintu. Kejadian itu terjadi ketika aku baru nak keluar ke Alur Setar pabila hujan itu kulihat sudah mula teduh.

Oleh kerana Hakim manja denganku dan hanya berasa tenteram pabila berada dalam dakapanku, maka daku pun terpaksalah berkorban sedikit masa untuk sekali gus menunda hajatku itu. Ya, kecintaan itu pengorbanan!

###################

12 Syawal / 21 Sept (Selasa)

DINIHARI
Rakan-rakan berhaluan kiri dari Singapura mengirim isyarat. Kata mereka dalam rumusan mereka di chat FB, "Kami berharap Singapura dapat dikembalikan kepada Malaysia..."

Aku balik rumah dari tempat Wifi Umno Pendang. Lalu, berbekalkan French Fries dan White Coffee, berjaya tamatkan tontonan Singin' in the Rain.

PAGI
Ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kukorbankan RM23 untuk dapatkan balik sijil perniagaan dan maklumat perniagaan. Hal ini perlu untuk memudahkan urusan permohonan kad kredit.

Aku pi Bank Islam Alur Setar pula. Pegawai wanita yang uruskan kad kredit tidak hadir. Dia orang luar, bukan pegawai dalaman.

Aku perlu buat kad kredit agar aku dapat buat laman Jala (Yala) Pos dot com dengan blogspot atau pun wordpress. Mungkin berguna untuk pilihan raya Singapura nanti termasuk membantu rakan-rakan di Jala, Patani untuk menakluk dunia! Ameen

Sedang menunggu giliran yang ramai itu, tetiba Ny call, mengajak aku pergi ke Puchong kerana ada jualan gudang. Harga buku runtuh merudum. Juga peringatan mengenai kartun Zunar.

"Aku ingat tak jadilah program tu," kataku kepadanya. "Program Zunar tu jadi, kau saja yang tak dapat pergi," sindirnya lagi. Ceh!

PETANG
Dalam perjalanan dari Alur Setar ke Pendang, aku diserang rasa kantuk berganda. Singgah tidur sendirian di Taman Wawasan.

Sms Masri Anbakri Publika mengejutkan lenaku, sekali gus mengingatkan daku tentang projek penulisan buku mengenai ilmu hitam. Aku terfikir juga, kalau boleh dilibatkan kes Rosmah Puaka dalam hal ini. Mungkin laku kot!?

Imran balik Pendang dengan keponakanku; Sarah. Berjaya mendapat 'ibu duit' dari adikku itu untuk hidupkan akaun syarikat.

Rupanya Maxis Broadband tu ada pada Imran dan dia letakkan gajet itu dalam beg abah. Fuh! Lega... tiada lagi kebosanan menyengat jiwa ini.

Ke Taman Wawasan semula bersama Kakti, dan kedua-dua keponakanku; Sarah dan Hakim. Ya, Celcom Broadband aku berfungsi dengan baik di sini. Aku mula berkhayal untuk bawa tv di sini dan jadikan Taman Wawasan tempat aku berkhalwat dan bertapa dan beruzlah dan mengarang protokol Niwo untuk mula menaklukkan dunia!

MALAM
Tolong abah meletak papan tanda pesuruhjaya sumpah di pejabatnya di Pendang. Bersama mak dan Hakim, aku pergi membantu. Abah dah puas hati nampaknya malam ini kerana salah satu tugasnya selesai.

Pergi jenguk rumah Taman Wawasan sekali lagi. Abag dan mak 'offer' aku tinggal terus di rumah itu.

"Kalau nak tv, ambik saja tv di bilik abah tu," kata abah. Aku beritahu mak, bahawa ada baiknya aku beli tv baharu. Abah dan mak kata, depa tak ada masalah dengan keputusan aku itu.

Di Pendang tadi, depa siap tunjuk kedai elektrik dan elektronik yang boleh kita angkat televisyen baharu.

#############


11 Syawal / 20 Sept (Isnin)

Hujan lebat dari pagi hingga petang, mematahkan hasratku ke Alur Setar. Kinah balik UiTM Seri Iskandar bersama Hamster dan Maxis B.bandnya Celcom B.band aku tidak berfungsi langsung di rumah Pendang. Urgh!

Di rumah Taman Wawasan, aku belum cuba. Jadi, aku mesti guna tempat Wifi Umno Pendang juga akhirnya. Bila Maxis BB Kinah sudah tiada, maka bermulalah hari-hari yang paling membosankan di Pendang. Mujurlah ada tempat di Umno Pendang ini dan selesailah sudah daku kirim bahan sastera di Harakah.

Huh! Ironikkan? Terpaksa guna tempat musuh guna membedil musuh sendiri. Tapi tempat ini banyak nyamuk. Aku dah syak, adakah Umno dan SB Bukit Aman mengirim nyamuk ini untuk susahkan kerja-kerja godaman bebahan sastera ini? Huh! Musuh dan seteru ada di mana-mana. Urgh! Urgh! Urgh!

Malam ini kalau tiada cerita besat, maka bolehlah daku melayan DVD Singing in the Rain bersama french fries dan cerita-cerita lagho yang lainnya. Aku turut menerima sms Ny yang menyarankan penubuhan fakulti kartun grafik, berikutan kerja-kerja reformasi kartun anjuran Zunar Jumaat ini.

Aku fikir nak buka Fakulti Seni Halus sejak bertemu brader Pyanhabib di RA Fine Arts bersama aweks cool yang bekerja di sana tempoh hari. Semoga berjayalah hendaknya. Ameen...

Bagaimana mahu tangani debat SK dan FT?

Mutakhir ini, aku terserempak dan terjerembat dengan tulisan SK mengkritik FT. Aku fikir, nak kaw tim juga dengan Roslan TC, juga NY dan juga L.I, kalau boleh sunting semula tulisan SK untuk dimuat dalam TC. Ini pun kira produk DOM juga, iaitu DOM telah berhasil memeriahkan lagi debat-debat dunia sastera baharu.

Hanya yang pasti - kita mestilah belajar menangani debat-debat ini secara adil, jujur, ikhlas, tulus, telus qudus, dan berani mati... Semoga berjayalah hendaknya produk DOM kali ini - meriahkan dan raikan debat!

###################

10 Syawal / 19 Sept (Ahad)
Menonton Akhirat di tv3 tiadalah menumbuhkan apa-apa ke atas akhirat, buat diri ini. Lalu, aku alih ke rangkaian tv2. Hajat ke Alur Setar batal.

Mungkin ditunda esok pula. Ibah demam, tapi tiada kutahu adakah ia dari selesema berpunca daripadaku? Nak tanya segan. Rasa serba salah pula bila Kinah dan Hakim dah selesema.

Dinar Emas di S'gor dan NNB PR?
Prof Kembara Bahasa sudah menjawab di FB berikutan pautanku di Dinding FB semalam mengenai sistem 2 matawang. Dia pun mengaku di Kemboja, mereka gunakan duit Riel dan Dollar Amerika; USD.

Tinggal lagi persoalan kini - apakah jalan dan cara yang boleh aku gunakan bagi memastikan dinar emas boleh juga digunakan di Selangor dan Negeri-Negeri Bersekutu (NNB) di bawah naungan Pakatan Rakyat.

Serta-merta aku teringat Jalan Telawi. Adakah laman itu boleh beri aku ruang untuk desak Anwar Ibrahim?

###################

9 Syawal / 18 Sept (Sabtu)
Menonton Fenomena Seni yang membincangkan isu Filem Patriotik Yang Kurang. Atau, filem kita kurang patriotik? Aku pun dah lupa tajuknya...

Aziz M Osman sebut peranan bahasa sebagai asas kepada kemunculan filem patriotik. Lebih kurang begitulah katanya. Sempat juga kurakam isi bualan tadi dengan 'voice recorder'.

Seorang pemanggil; Maria dari Melaka marah-marah dengan sikap orang kita, "Patutkah orang Malaysia sokong Manchester United. Kemudian, mereka kata, esok aku nak tengok MU belasah M'sia; 2-0."

Khoo Kay Kim pula berkata, darurat bukan halang negara mencari nama di peringkat antarabangsa. 

"Darurat 1948... tetapi awal 1949, pasukan badminton kita cari duit sendiri, naik kapal layar pergi ke England dan mereka akhirnya menang piala Thomas," kata beliau.

Selain mencadangkan rombakan sistem pelajaran, khasnya ilmu sejarah secara besar-besaran, demikian kata Khoo, aku mencadangkan hal-hal berikut untuk mengasuh fikiran dan cara berfikir masyarakat kita.

1. Filem bersejarah dan filem patriotik mesti diberikan keutamaan oleh negara. Ada peruntukan khas untuk penggiat filem membuat filem ini sepanjang tahun.

2. Setiap tahun, mesti ada sekurang-kurangnya 12 filem (12 bulan) sejarah yang ditanggung SEPARUH oleh negara. dan SEPARUH oleh penerbit. Maka, promosi, iklan juga mesti ditanggung oleh negara melalui media kerajaan, akhbar. Tak sepatutnya filem yang berkisarkan sejarah negara ini dibiarkan hanya kepada penerbit yang terkontang-kanting sendirian membuat iklan mengenainya.

3. Filem-filem bercorak sejarah mesti diberikan lebih masa untuk berada di pawagam sehinggalah penerbit itu dapat balik modalnya, ATAU, jika hal ini tidak mendapat usahasama para pemilik pawagam, maka hendaklah negara membina pawagamnya sendiri, khas untuk menyiarkan filem-filem bercorak sejarah, patriotik ini untuk mendapatkan semula modal pusingan kepada pihak penerbit.

Hakim tiru perangai aku
Aku baru sedar, Hakim dah tiru perangai aku - hembuskan hingus dan lap hidungnya yang diserang selesema.

Budak-budak ini suka betul tiru perangai orang-orang tua di sekeliling mereka. Daku rasa selesema ini sangat kuat sehingga masuk hari yang entah ke berapa aku selesema ini. Tidur pun terganggu!

Azan Asar sudah berkumandang memenuhi ruang udara. Hakim pun ikut sama berbunyi mengikut alunan azan itu. Anak kecil itu kadang-kadang kulihat mengangkat takbir juga, meniru cara gaya tok wannya saat bersolat.

Call dari Ny dan CD
Aku menerima panggilan dari Ny, bertanyakan hal ketidakhadiranku di Rumah Pena tadi. Kudengar suara L.I di belakang. Mungkin mereka sedang mengumpat aku agak-agaknya. Ada agak dah.

"Aku kena betuk-betul cari rumah untuk dibuat opus SPKB ni," begitu aku jelaskan hal aku mutakhir ini.

Sementara itu CD dari S'pore sudah berikan nombor kontek politician pembangkang Tg Pagar di sana. Daku rasa dalam tempoh terdekat ini, kalau ada masa, mungkin kena turun KTM Tg Pagar juga. Rasanya masa dah semakin hampir. Riwayatku menurun ke selatan, kemudian ia mungkin akan mengocak ketenangan di utara.

"Kami harap dapat lakukan sesuatu untuk kepentingan Melayu di Singapura," katanya. Aku kena lebih banyakkan bacaan tentang kegiatan politik pembangkang di S'pura kini. Pilihan raya S'pura pun makin dekat.

Setelah berjaya melobi dengan menaikkan Tengku Faris sebagai sultan Kelantan yang baru (dengan izin Allah) mungkin Niwo (New Islamic World Order) perlu menyusun dan merumuskan politik S'pura yang baharu.

#######################

8 Syawal / 17 Sept (Jumaat)
Mak dan abah ke Pulau Pinang untuk servis kereta. Rupa-rupanya, selain Bank Islam, tempat servis kereta juga perlu ada di pekan Pendang ini selain KFC yang dah ada di sini.

Aku keluar ke Bank Islam Alur Setar petang ini. Jumpa unit rumah lelong dan bahagian kad kredit. Tapi, daku terlupa sesuatu hal. Pejabat KWSP cuti hari ini. Aku di Kedah la ni, boleh terlupa pulak. Hanya bank ini yang bekerja mengikut waktu di Kuala Lumpur.

Antara rumusannya...

1. Kalau nak dapatkan rumah lelong sekitar Lembah Kelang, aku kena pergi ke bangunan TH Perdana, Jalan Sultan Ismail, berdekatan Tune Hotel. Ia tidak jauh juga dsengan Kg Baru

Pegawai itu menurunkan catatannya ke atas kertas kosong sebagai berikut:-

"...03-26151420 (credit recovery unit, central region), menara TH Perdana, Jalan Sultan Ismail..."

"Saya tak ada senarai rumah lelong di Lembah kelang," kata En Irwan ketika aku bertanya rumah untuk dijadikan sanggar seni SPKB, rumah untuk kaum penulis dan kaum pelukis.

2. Usaha mendapatkan kad kredit memerlukan salinan I.C, salinan lesen daftar perniagaan dan salinan akaun bank syarikat aku sendiri. Maklumat ini kudapatkan daripada pegawai yang cantik di bahagian kad kredit itu.


"Encik bahawa salinan daftar perniagaan tu cukuplah," katanya. "I.C tu boleh kami fotostat di sini, akaun bank syarikat encik tu boleh kami cetak di sini juga."

(Segan juga mahu tanya tadi; apakah si dia masih dara atau tunang orang atau janda berhias atau bini orang?) 

Tinggal satu masalah - lesen daftar perniagaan ada di KL. Aku terpaksa cetak semula di SSM, Alur Setar lah kalau macam ni. Urgh! Barangkali, kena letak satu salinan lesen daftar perniagaan di Pendang agak-agaknya.

L.I tetiba beri sms kosong, aku terus teringatkan DOM esok. Padanlah Ny call baru-baru ini. Sorry geng, diri ini terpaksa berjuang mencari rumah terlebih dahulu untuk kaum penulis di ibu kota.

Hari ini, aku baru sedar bahawa selesema daku sudah merayap kepada Kinah dan anak menakanku, Hakim.

######################

7 Syawal / 16 Sept (Khamis)
Hari Malaysia. Semua pejabat cuti rupanya. Tak jadi ke Alor Setar lagi.

Alo sms, "Petang semalam ana ziarah Samsuri Roslan di ICU Hospital Ipoh, masih separuh sedar, kena stroke Isnin lepas."

Malam ni menonton 1957: Hati Malaya dan Saus Kacang. Betapalah banyaknya usaha untuk jelaskan semula sejarah negara. Perjuangan memerdekakan negara ini, semuanya Umno bolot. Cis!


############

6 Syawal / 15 Sept (Rabu)
Hajat nak pi Alor Setar untuk carum KWSP gagal. Hujan lebat sentiasa. Kelmarin, masa pi Bank Islam, sang kerani perempuan itu berkata, bahawa aku boleh beli rumah lelong sekitar Lembah Kelang juga di Bank Islam cawangan Alur Setar ini. Unit Mortgage, begitu aku difahamkan Mashi jika aku mahu berurusan nanti.

"Tapi, kerani tu masuk pejabat Jumaat ni," katanya lagi sambil memberi nombor telefon pejabat kerani. 

Aku masih dalam 'mood' raya di samping menelaah Judaism, sebagai bahan nota 'Kebudayaan Barat menurut Al-Attas'. Hari ini termasuk malam nanti, lebih banyak filem-filem hantu di televisyen.

Aku pun jadi keliru, ini hari raya manusia ke atau hari untuk merayakan hantu dan hantu raya? Filem Susuk ini agak best. Walaupun ia cerita hantu, tetapi ia cuba mendedahkan maklumat. Filem hantu kedua best pada aku adalah Mantra yang juga turut mendedahkan beberapa maklumat dan fakta berhubung alam goib ini.

Pada aku, pembikin filem ini bukan cuma perlu menitikberatkan hal emosi penonton, tapi juga perlu menyuntik fakta dan menggeledah serta menyelongkar timbunan kisah yang bertindan dalam fail ilmu kebatinan Melayu.

############

5 Syawal / 14 Sept (Selasa)
Ke Alor Setar, hantar buku cek Bank Islam. Tetapi, kerani itu cakap daku tidak perlu hantar. Daku syak ada orang cuba menipu. Mungkinkah ada orang dalam bank yang sedang cuba 'pekena' aku?

"Kecuali encik nak tutup akaun syarikat," katanya. "Kalau kerani yang call encik tu kata, nak diganti dengan buku cek baru, maka di sini pun tertera logo Bank Islam yang baharu juga."

Masri call, minta tulis buku tentang jin dan perawatan Islam. Ada dua orang ustaz yang dia mahu perkenalkan kepadaku. Aku melihat, ini 'turning-point' selanjutnya untuk aku bina pasukan polis anti ahli sihir.

“Tapi, enta tulis dalam bentuk santai,” katanya. “Buat macam dalam bentuk travelog.”

############

24 Ramadhan / 3 Sept
Hati berbalah, apakah aku harus pergi Tg Tuan? Tiba-tiba, aku menerima panggilan dari Ny. Dia ajak daku pi ke Rebung. "Lutfi nak belanja sebelum balik ke kampung," katanya.

Di Rebung mereka masing-masing mahu sambung pengajian. Ny tanya perkembangan master aku. Aku kata, mungkin di USM pula. "Wah, tak dapat kami nak peralatkan ko pulak lepas ni..." katanya. Ceh!

Kebudayaan Barat bagaikan lubang biawak?
"Mereka borong saja pandangan Barat hingga gemuk di lubang biawak," kata Lutfi, memetik kata-kata Malik Badri, seorang sarjana Al-Attasian.

Bualan itu meluncur kepada mengenai jin dan saka, Lutfi buka kisah hal pertikaian keluarganya dulu-dulu yang terkait dengan pergolakan dalam istana Kedah. Ringkasnya, aku petik di sini, bahawa saka itu memang masih ada dalam kalangan raja-raja. Aku rasa nak kena 'scan' diri jugak la kalau macam ni. 

Risau juga! Apasal aku suka buat benda-benda lagho? Adakah ini kesan daripada saka-saka juga?

Azizi Abdullah pun cakap, Mufti Harussani tak berani tegur Sultan Perak yang masih bergelut dengan pelbagai amalan khurafat dalam adat-istiadat di istana. Aku kena tubuhkan pasukan polis anti ahli sihir kalau macam ni.

Bagaimana pertemuan dengan Prof Wan bermula?
Kata L.I asalnya pertemuan itu untuk membincangkan Risalah Untuk Kaum Muslimin. Tapi, Prof Wan syor untuk baca bukunya dahulu. Aku tak kisah, janji ada pertemuan berkala. Walau belum baca, tapi yang paling penting, ada hubungan antara kumpulan penulis muda dengan Prof Wan terlebih dahulu.

Ya, aku bersetuju dengan buku Budaya Ilmu. Tiada masalah. Anggap sajalah, belum tiba masanya untuk Prof Wan bercakap lagi mengenai Risalah Untuk Kaum Muslimin itu.

"Aku dengar, orang-orang Al-Attas ini akan sanggup berbincang mengenai ilmu hatta jam 2, 3 pagi," kata L.I, "ertinya, kalaulah ada orang mai rumah depa jam 2, 3 pagi pun, mereka sanggup bincang."

Dalam hal ini, aku teringat L.I cakap, bahawa Syed Naquib berpendapat, bahawa dalam Islam pendidikan itu mesti dari rumah. Ia adalah peranan bapa untuk mengasuh dan mendidik anak-anaknya sejak dari awal.

Sekarang, aku melihat, ketika barah sekularisme menyerang dengan hebatnya, mana ada kaum bapa yang dah capai tahap sebegitu, kecuali sedikit sahaja dalam kalangan mereka.

Jadi, mungkin Attasian terpaksa bekerja lebih giat untuk memastikan masyarakat hari ini benar-benar cintakan ilmu pengetahuan. Sebab itu, barangkali, sampai jam 2, 3 pagi pun depa masih 'steady' untuk bahas hal ilmu.

Tapi, tambah L.I lagi, kita pun kena faham-fahamlah sama... Takkanlah sampai nak pergi rumah depa malam-malam. Ya...daku bersetuju, tettapi dalam keadaan sekarang, kalaulah ada orang gelar aku Attasian, aku tolak sebab perangai aku buruk. Nanti, orang akan kata begini...

"Haa... tengoklah tu, itu... anak-anak murid, anak-anak rohani, anak-anak asuhan Al-Attas lah tu!"

Siapa yang nak bertanggungjawab kalau tiba-tiba terkeluar ayat-ayat macam tu daripada orang-ramai? Sudah ada orang yang mendakwa dirinya rapat dengan Al-Attas, tapi suka mencela dan pandang rendah orang lain.

Menurut hematku biarlah yang buruk nama itu adalah kita sendiri, tapi janganlah sampai buruk nama guru kita.

Daku berdoa supaya Allah tidak melekatkan perangai ini kepadaku. Daku berlindung daripada Allah agar tak berkawan dan bersahabat dengan kelompok manusia berlagak ini, semoga takbur tidak menjadi pakaian jiwa aku hari ini dan buat hari-hari yang seterusnya. Ameen ya rabbal 'alamin...

Ya, itu sebab yang pertama. Sebab yang kedua kenapakah daku menolak digelar nama sebagai penuntut atau murid kecil Al-Attas, ialah aku sendiri tidak mampu menyerap banyak fahaman Al-Attas itu sendiri. Itulah dua sebab, kenapa aku tolak gelaran Attasian muda dan sebagai gelaran yang terkait dengannya buat masa ini.

Aku menulis hal ini setelah aku mendengar suara-suara di belakang yang menggelarkan aku sedemikian rupa. Tidak kusalahkan mereka menggelarnya sedemikian jika mereka jujur menyatakan sedemikian, tapi cuma aku yang rasa segan sendirian.

Sejauhmanakah besarnya 'ancaman' Jalan Telawi?
Sambil menunggu waktu berbuka puasa, aku turut menyemak dan memeriksa pendirian mereka tentang Jalan Telawi, kerana kulihat ada jalur kebimbangan dan garis kerisauan mereka terhadap sekolah liberal itu.

Aku terima mereka sebagai rakan berbincang yang baik dan kita boleh tolak pandangan Jalan Telawi seperti mana kita menolak pandangan rakan-rakan kita sendiri ketika berdebat dan lebat berhujah.

Ini bererti, aku boleh berkarya di situ dan ketika aku menulis di situ bukanlah bererti daku sokong liberal. Hal kunyatakan sebab memang sudah lama berbekas dalam fikiran orang-orang kita bahawa menulis di Utusan itu ertinya menyokong Umno, menulis di Harakah itu bererti menyokong Pas dan kiaskanlah dengan contoh lain.

Pada masa akan depan aku mungkin terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk memahamkan orang akan hal pendirianku ini. Pemikiran simplistik atau dalam tafsiranku, 'faham selapis' adalah antara punca utama, kenapa orang-orang Melayu pada zaman aku ini lembab berfikir dengan tangkas.

"Tiada masalahnya kumpulan ni, mereka bukan ancaman pun sebab orang Melayu jenis tak berfikir," kata Ny ketika menjawab pertanyaanku berhubung kononnya 'ancaman' yang ditimbulkan oleh JT ini.

JT bukan ancaman besar padaku sebab setakat ini aku rasa aku boleh jawab tetapi ia mungkin suatu ancaman bagi mereka yang mungkin diserang oleh JT, lalu mereka tidak boleh menjawabnya nanti.

"Kalau begitu, apa kata kalau suatu masa nanti, zaman cucu-cicit nanti, Melayu kita sudah suka dan berani berfikir?" aku bertanya. Kulihat L.I mengangguk, memahami maksud daripada pertanyaanku itu.

Hujah yang melihat JT bukan ancaman hanya kerana Melayu tidak berfikir itu agak longgar, sebabnya... mana tahu nanti kalau ada Melayu yang suka baca hal kritis lalu 'pendeta' baharu di zaman itu belum bersedia menjawabnya?

Currently have 0 comments: