Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

25 J. Awwal - 1 J. Akhir | 9 - 15 Mei (Ahad - Sabtu)

Sunday, May 09, 2010 , Posted by nota untuk Syiah at 12:40 PM

1 J. Akhir | 14 Mei (Sabtu)
Hilman kirim sms ke-2 kepadaku, "... Presiden Kelab Mahasiswa Sains Politik akan didakwa atas dua dakwaan yang berbeza, keempat mahasiswa ini dijangka akan didakwa pada tarikh-tarikh yang berbeza."

"Ini kerana surat pertuduhan kepada Hilman adalah pada 2 Jun manakala Ismail akan didakwa pada 3 Jun. Setakat ini, dua daripada empat orang mahasiswa telah menerima surat pendakwaan. Namun, kesemua mahasiswa berkenaan telah bersedia untuk dibicarakan."


Aku tak tahu nak buat macam mana. Mungkin terpaksa guna Harakahdaily jugak ni. Dulu, di EP. Senanglah sikit nak update story. Sekarang, dah tak ada tempat nak menulis isu secara cepat.

Hari ini, daku abaikan rencana melihat tapak perumahan di Sri Sendayan Seremban. Tambahan pula, petang ini Zahir mahu bertemu untuk berbincang sesuatu.

Dia baru sahaja balik daripada menjenguk isterinya yang hampir bersalin di desa. Kami berjanji bertemu di Masjid Jamek Kg Baru.

Berbual dengan Zahir PTS
"Bila Cina mati, anak dia kaya," kata Zahir. "Sebab, dia masuk banyak syarikat insurans."

Sebab tu lah, kata Zahir, dia terfikir, bila ayah depa mati, depa dapat berjuta-juta dan boleh buat kilang. Aku fikir ada kebenaran pada katanya itu. Mereka boleh beli tanah Melayu dengan sebab kematian salah seorang daripada setiap ahli keluarga mereka itu.

Resolusi - aku fikir bila aku mati, kalau aku tak dapat buka Yala, mesti ada dalam keturunan dan zuriatku akan dapat duit hasil kematianku untuk pembebasan Yala dan Selatan Thai.


Bergebang dengan Zahir sangat banyak sekali perkongsian maklumat antara kami. Antara yang dibincangkan ialah penulisan novel Islam. Dia juga mahu cuba bawa Rice Without Rain, kalaulah novel terjemahanku itu boleh diterbitkan di bawah PTS.

"Nanti ana bagi contoh proposal, kertas cadangan untuk menulis novel di PTS," katanya lagi.

Malam. Selepas berbual dengan Zahir PTS, aku solat di Masjid Jamek Kg Baru, terdengar kitab Al-Hikam Ibnu 'Athaillah dibaca. Rasa syahdu menjalar ke dalam diri.

Teringat zaman remaja ketika menapak sejak Maghrib ke Masjid Akar Peluru di Jalan Pegawai dari Maktab Mahmud.

Daku pun mula berangan-angan nak menulis kata-kata hikmah ini untuk aku kreatifkan menjadi novel. Banyak sungguh jasa Al-Hikam kepadaku.

Aku suka Ketika Cinta Bertasbih, bukan sebab Ayatul Husna dan Anna Althafunnisa', tapi hatiku terpaut dengan sikap mereka yang cuba menegakkan nama Al-Hikam lewat novel dan filem itu.

Berbual bersama Prof Giles
Malam ini, aku sempat chat dengan Pokpong Lawansiri dan Prof Giles, seorang penggerak Baju Merah di Bangkok. Dia rasa marah, katanya lewat chat kami di Facebook. Kenapa dia marah?

"Thai military kill my comrades," katanya. Hasil bualan itu, Prof Giles perkenalkan aku dengan seorang lagi nama pensyarah di Chulalongkorn University,
Srisompop.

Aku sentuh hal Melayu selatan Thai. Dan, akhirnya aku dapat kiriman mel-e kertas kerja Prof Giles yang memuatkan pandangannya tentang Melayu selatan Thai.


1:01amSaya

Hi Prof Giles

how do you do today?
1:02amGiles Ji

angry
1:02amSaya

just asking - do you know some experts in southern Thai in Chulalongkorn University?

owh, angry with Thai politics?
1:04amGiles Ji

yes, angry with the army killing my comrades
1:05amGiles Ji

The best person to contact about southern Thailand is Srisompop at Songkla University. I have a paper on the subject too.
1:07amSaya

oh Susan told me you are the right person, i am glad that can meet you Prof Giles

do you publish a paper on that subject on the internet?
1:10amGiles Ji

Its in my new book, but I can send you the file if you e-mail me at ji.ungpakorn@gmail.com
1:10amSaya

okay, will e-mail you now, Prof Giles

Aku dah terfikir nak tubuhkan pasukan Red Shirt (Baju Merah) di Malaysia. Dan mereka ni akan selalu berdemo di kedutaan Thai di Kuala Lumpur.

Juga biarlah semua kedutaan Thai di Nusantara ni akan digempur oleh Baju Merah di Indonesia, Singapore, Brunei dan Filipina. Champa, Vietnam, Burma dan Myanmar.

Tapi, aku harus pastikan juga - apakah pendirian pasukan Baju Merah terhadap Melayu selatan Thai itu? Adakah mereka ini, cendekia Thai sokong perjuangan kemerdekaan di selatan Thai?

Prof Giles sokong kemerdekaan Selatan Thai jika itu yang mereka mahu
"By the way, do you think Malay in southern Thai have their own right to freedom from Thai?" aku bertanya penuh berhati-hati, bimbang jika dia tidak sealiran denganku.

Maka, dijawab oleh Prof Giles, "Yes, if that is what the majority really want."

Canteek!! Kalau beginilah jawapan setiap cendekiawan Thai di semua universiti. Aku akan jumpa OIC untuk minta dana, geran penyelidikan untuk membuat bancian besaran-besaran, membuat pungutan suara ke setiap wilayah-wilayah di selatan Thai itu, insya Allah Ta'ala.

Bagaimanapun, daku harus membuat perjanjian dan kontrak sosial dengan 'murabbi' Baju Merah ni dulu agar pasukan ini dapat menyertakan hal kemerdekaan selatan Thai dalam memorandum bantahan kepada Abhisit. Kalau Prof Giles, sang 'murabbi' dah setuju, maka kerja lebih mudah!

Tapi, Prof Giles ini nun jauh di London. Sapa boleh jadi wakil SPKB di London? Ada sapa-sapa ke yang ada kawan-kawan di London untuk bincang dengan Prof Giles ini? Ish daku kena tubuhkan SPKB cawangan London pulak dah kalau macam ni!

###################################

29 J. Awwal | 13 Mei (Jumaat)
Aku tidak hadir ke demonstrasi anti lesen judi kat Masjid Jamek Kg Baru. Terpaksa uruskan hal peribadi. Banyak yang terpaksa diurus. Berulang-alik ke KWSP dua kali kerana hal teknikal.

"Sekarang, borang A kita sudah tak keluarkan dah," kata sang kerani di Jalan Raja Laut. "Kena cetak di internet, melalui laman sesawang kami."

Cabaran makin kuat. Rintangan dan halangan ni mesti diatasi. Kenapa dengan tiba-tiba borang A dah ditiadakan? Kerajaan dah potong peruntukan ker sampai nak cetak borang pun tak de duit?

Petang. Selesai tugas aku manjakan diri dengan nasi lemak berhampiran Balai Polis Dang Wangi yang sungguh lazat, enak dan berlemak itu.

Sekarang, aku mengerti kenapa Bani Israel masih inginkan makanan di dunia selepas Tuhan beri Manna dan Salwa ketika mereka tersesat di
Padang Teh selama 40 tahun itu.

Ya Tuhan, jika aku masuk syurga, kupohon kelazatan nasi lemak ini dipertahan kualiti, mutunya di dunia untuk menjadi hidangan dan santapanku di mahligai kelak. Ameen...

Malam. Aku berazam untuk mengetahui juga di manakah letak duduk pustaka masjid Kg Baru ini. Puas aku tunggu orang masjid keluar lepas Isyak, belum kutemui ruang dan kesempatan.

Seorang pakcik mula mendekati motornya, lalu aku beri salam. Dia mendongak melihat wajahku.

"Pakcik ada tak perpustakaan di masjid ni?" aku beranikan diri bertanya walau di wajah tua itu terbit bermacam keraguan mendengarkan pertanyaanku itu.

"Tak ada," jawabnya ringkas. Aku dah naik hairan. Amir M'siakini kata, ayahnya imam. Takkan anak tok imam boleh silap dengan maklumat ini? Hari tu, dia kata masjid ni ada pustaka.

"Apa-apa pun cuba tanya dekat pejabat masjid kat belakang tu," tambah pakcik tu lagi.

Alhamdulillah! Pakcik ini memberi buah fikiran yang aku tak terfikir sebelum ini. Ada pejabat. Di depan masjid, dekat kolah itu baru aku perasan pejabatnya.

Aku simpan azam untuk pergi waktu pejabat. Selama ini, aku guna kaedah tunggu orang masjid selepas solat Maghrib dan Isyak. Ternyata, kaedah ini tidak banyak membuahkan hasilnya.

###################################

28 J. Awwal | 13 Mei (Khamis)
Dinihari. Susan Loone di Forum Asia, Bangkok perkenalkan aku dengan beberapa orang yang mungkin boleh aku tanyakan cerita perkembangan politik di Thailand.

"Giles tu fasih perkembangan politik Thai," kata Susan. "Dia kini hidup dalam buangan di London. Dulu ngajar Chulalongkorn, kat Bangkok. Dia ni penyokong kumpulan Baju Merah."

Aku kena siasat dan buat tinjauan mengenai pendirian kumpulan cendekia Thai tentang, apakah pendirian mereka berhubung pergolakan di selatan Thailand.

Pagi ini aku menerima kiriman sms daripada Dr
A berhubung perkembangan kertas kerja kajian Champa, "Asm. Saya sedang siapkan paper. Ada perubahan, 3 penulis."

Ish, lama sudah aku tak ambil tahu perkembangan kajian Melayu purba zaman Hindu - Buddha. Akhir-akhir ini, ketika aku mendengar rakaman SMN Al-Attas, aku rasa ia ada kaitan. Aku kena pergi balik ke Atma atau Inspem untuk mengadap bertemu Dr A semula, insya Allah.

Petang. Hujan petang, lebat turun mencurah-curah dengan kerasnya. Hajat daku untuk carum KWSP tidak kesampaian lagi. Sejak kelmarin aku cuba, tapi keadaan tetap sama.

Di JPB, Wan Nordin buka cerita Abuya Ashaari. Aku nak terus buat kesimpulan. Zabidi, seorang peguam-dia bekas anggota Al-Arqam berkata-kumpulan ni asalnya bagus. Tetapi kemudiannya, ada kumpulan lain masuk, lalu ia bertukar kepada unsur tidak elok.

"Titik-tolak atau kemuncak kepada kemasukan unsur negatif ini, berlaku pada 1985," katanya di dalam salah sebuah temuramah yang disiarkan di RTM (aku lupa tarikhnya)

Aku pernah terima Aurad Muhammadiyyah. Tetapi, oleh kerana keraguan yang berselaput jauh di dalam hatiku, maka aku mengabaikannya. Aku tak amalkannya kerana jiwaku tidak secocok.

Jirannya di Seremban adalah orang jemaah tersebut. Jadi, daku tidak fikir ia adalah langkah baik untuk dedahkan keaiban orang lain. Kalau dedah rahsia Najib, Rosmah, Musa Hassan kira oke la.

"Kalau hang mai la Sabtu ni, aku boleh bawa hang pi tengok rumah di Sri Sendayan," katanya ketika beralih ke tajuk bualan kedua mengenai pembelian aset rumah.

K. Sal dan Wan dalam bualan mereka tadi, berpesan agar aku tidak mengambil 'loan' Bank Islam. Ada banyaklah hal yang mereka menyesal. Aku tidak begitu jelas dengan penjelasan dan bentuk penyesalan mereka itu.

"Baik hang ambik yang konvensional macam Public Bank. RHB pun tak apa," kata Wan lagi.

Kata Wan, tempat itu mengambil masa selama setengah jam ke Port Dickson. Cheng! Cerah bijik mata aku. Dah dekat dah dengan kerajaan aku dah tu! Kerajaan Pulau Masjid, Tg Tuan!

Rakanku di PTS Islamika
Sedang aku di opis JPB, Zahir PUM call. Katanya, dia kini di PTS Islamika. Barangkali dia editor untuk buku-buku agama agaknya. 'Line' telefon tak 'clear'. Jadi, bualan kami terputus.

"Ana lani jaga buku-buku agama, macam buku Alexander adalah Iskandar dan lain-lain," kata beliau. Kemudian, bualan terputus. Aku cuba call guna telefon pejabat, tapi tak diangkat pula.

Mungkin ada apa-apa perkembangan terbaru agaknya. Apa-apa pun tahniah ya syeikh terhadap kerjaya baru itu. Semoga kerjaya ini membawa rahmat ke serata alam.

Mini Syura; jalan darat ke Mekah
Tak sampai 10 minit barangkali, setelah aku masukkan nota ringkas di dinding FB aku, tiba-tiba, Mat Khalil merapati mejaku lalu. Sambil tersenyum dia bertanya...

"So.. macam mana dengan projek kita nak ke Mekah ni dengan basikal lipat tu?"

Kami sama-sama tertawa. Maka, kami berbual, disaksikan Cik Net. Kami dok bermain teka-teki mengenai jumlah harga basikal lipat itu.

"Hang try cari di Arked Mara, pemiliknya jurulatih sukan lumba basikal dulu," kata Cik Ned.

Maka, antara resolusi dan cadangan lain yang berbangkit...

1. Buat acara Jejak Sufi-masuk kawasan Selangor dulu. Ni idea Mat Khalil. Ini bertujuan melatih stamina kita daripada segi mental dan fizikal. Aku rasa, idea ini memang masuk dalam fikiranku.

Ini kerana, daku memang ada hajat mahu pusing Malaya untuk cari masjid-masjid yang nak bina pustakanya sendiri. Semoga Allah memberkati usahaku untuk membela agama-Nya!

Ah! Mungkin boleh jumpa Nik Nazmi, bawa idea ni kot-kot boleh buat liputan di TV Selangor. "Pi masjid-masjid lama yang bersejarah," kata Khalil. "TV3 ada Jejak Rasul. Kita ada Jejak Sufi."

2. Caravan.. Ini hasil bualan daku dan Don F. Ini untuk meletakkan barang-barang; basikal lipat, motor dan lain-lain barang perkakas masakan.

"Tapi, alat nak angkut caravan tu kita nak pi cari mana?" tanya Khalil. Fuh! Tough question!

3. Mesti ada kredit kad. Ini perlu jika tiba-tiba tak jumpa 'money changer' sedangkan kita sudah ada keperluan mendesak. Maka, kredit kad adalah penyelamat keadaan.

4. Di Malaysia, kena ada seorang yang akan sentiasa memantau perjalanan kita dari jauh. Dia ini juga bertanggungjawab mengendalikan blog jikalau kami di perantauan sukar nak kemaskinikan blog ketika berada di luar negara, di sepanjang perjalanan itu.

5. Kena wujudkan blog khusus bagi memudahkan semua ahli kumpulan mengemaskinikan segala pandangan mereka dan permasalahan di dalam perjalanan untuk dikongsi bersama mereka yang memantau perjalanan kami dari Malaysia.

Untuk niat itu - kami mestilah ada Wifi, modem yang dapat capai internet di semua negara yang kami akan lalui kelak.

6. Mesti ada peta untuk kaji tempat mana nak berhenti rehat, backpackers dan sebagainya.

7. Dan lain-lain lagi yang aku sendiri sudah tak ingat dah... (nanti kalian tolong taip sama, apa lagi keperluan kami ya)

"Aku yang berminat dengan benda ni semua bukan pasai pa," kata Khalil. "Dulu aku pengakap. Kami semua berkayuh sampai Morib, Port Dickson. Memang berlaku kerosakan macam tayar pancit. Sebab itu, perlu ada seseorang yang pandai mekanik."

Ya tak ya jugak! Seseorang yang ahli dalam ilmu teknologi basikal perlu dilibatkan sama. Hmm... perjalanan yang jauh beribu batu mestilah dibincangkan dengan lebih teliti lagi.

"Tapi, dalam dua hari lepas, Najib dah lepaskan dah group motorsikal yang nak pi buat umrah ke Mekah tu di PWTC," kata Khalil. Ah! Najib Razak and the gang dah mula curik idea aku!

Huh! Macam mana aku tak bengang dengan Najib Razak ni. Hangpa selalu dok tanya aku, apasal aku ada masalah dengan Najib. Macam mana aku tak da masalah? Ini salah satu sebabnya. Najib kerap curik idea aku tanpa kebenaran!

Esok demo anti judi di masjid jamek Kg Baru
"Syekh, esok ada demonstrasi kat masjid Kg Baru," kata Raimi, setiausaha agung Abim. Ketika ini, aku sedang menukangi blog untuk mudahkan perjalanan kami ke Mekah melalui jalan darat.

Beliau turut bertanya, kalau-kalau aku ada maklumat mengenai arak. Aku cakap aku tidak tahu.

"Ana la ni dok jaga sastera di Harakah ja syeikh," demikian aku menjawab. "Tapi, tak apa lah, boleh juga kalau-kalau nak buat liputan esok ni."

Besar jua harapan dan hajat orang kepada kita. Lingkaran kepercayaan orang bahawa aku dapat usahakan sesuatu menyebabkan hatiku resah. Daku cuma wartawan yang kini cuba mengangkat martabat dan diriku sendiri ke tahap penyelidik.

Tapi usaha untuk keluar daerah lapangan kewartawanan tetap sukar. Rosihan Anwar, wartawan veteran, editor akhbar Indonesia telah berkata, "Sekali jadi wartawan, selama-lamanya jadi wartawanlah." Adakah aku ini bukti ke atas kebenaran kata-kata sakti beliau itu?

Siswa kita diserang lagi!
Hilman Idham daripada Kami tadi sms daku juga tentang kawan-kawannya yang akan berdepan dengan tindakan tatatertib. Ish, jahat sangatkah bebudak universiti ni?

"....... 4 mahasiswa Sains Politik UKM akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM pada 3 Jun 2010 jam 8 pagi. Mahasiswa ini didakwa kerana dipercayai terlibat dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor. Keempat mahasiswa ini juga adalah Ahli Majlis Tertinggi Kelab Mahasiswa Sains Politik UKM. Mahasiswa yang didakwa: Hilman Idham - presiden, Ismail Aminudin - naib presiden, Azlin Shafina Azhar- setiausaha agung. Wong King Chai - exco. Tq ...".

Sms ini aku terima sekitar jam 8 malam ni. Fuh! Perjuangan belum selesai nampaknya...Hai, Pak Rosihan, ya Pak Rosihan. Aku kena mengadap Pak Rosihan jugaklah kalau begini keadaannya.

###################################

27 J. Awwal | 12 Mei (Rabu)
Keluar rumah, aku sedar tayar motor pancit lalu aku uruskan hak motor aku terlebih dahulu. Ini tugas khalifah; memberi atau memulangkan hak kepada mereka yang punya hak.

Makan-makan burger sambil menunggu motor siap. Masa dah banyak terbuang. Akhirnya, daku hanya berjaya 'draw' duit untuk carum KWSP esok dan bank-in cek Harakah.

Aku dah 'ketagih' nasi lemak kat Balai Polis Dang Wangi ni. Walau lepas makan burger, aku tetap nak pekena juga nasi lemak bungkus di sini. Aku tanya, bila dia mula buka gerai restorennya?

"Dalam 3:30 petang, baru kita buka dik..." kata akak itu. Aku lupa tanya, bila depa tutup kedai. Urgh! Rasa nak tapau tadi, tapi kutabahkan hati.

Terserempak dengan NY di lebuh raya
Dalam perjalanan ke Stadium Bukit Jalil tadi, aku terlanjur sampai ke UPM. NY of BH kebetulan sedang balik ke rumahnya di Bangi dengan menaiki motor juga.

"Stadium Bukit Jalil dah terlepas laa.." katanya. "Kau kena masuk balik UPM dan patah balik."


Dalam bualan di tengah lebuh raya itu, NY ajak aku pi ke UKM esok. Katanya, ada acara 10 pagi. Sejak kelmarin dia asyik tanya, apakah aku akan jumpa Dr Wan Daud di Atma? Dia tanya begitu kerana melihat aku menulis nama pensyarah itu di senarai buku terbitan Istac kelmarin.

"Tengoklah macam mana," kataku ringkas. Memang tiada dalam fikiranku untuk jumpa dengan
pensyarah itu setakat ini. Aku ada urusan lain yang lebih mustahak. Aku ingin selamatkan dunia, yang kini sedang menderita nazak dan cedera parah diancam tangan-tangan manusia!


Kelmarin masa tengah makan nasi ayam kukus di Kg Pantai Dalam, aku tawarkan dia ikut daku tonton badminton sekali. Tapi, dia sibuk, lalu daku pun mengajak Don F untuk tonton.

Malam. Tertekan aku tengok badminton la ni dengan Don F. La ni tengah 'game' perseorangan antara Malaysia dan Denmark. Inilah kali pertama daku masuk ke Stadium Bukit Jalil.

Masa mula masuk aku pelik tengok ada 4 gelanggang. Yang mana satu Thomas, yang mana satu Uber? Mataku cuma melihat aweks cool Polikarpova & Russkikh sahaja. Mereka pemain Rusia.

Aku buka leptop, membuat kiriman entri, laporan ke FB berhubung corak permainan malam ini, dan gelagat kelaku penonton, penyokong kita. Depa riuh dan seronok sungguh!

Tapi, abah selalu cakap. Kita dalam apa jua keadaan pun, jangan terlalu seronok sampai lupakan Tuhan. Kelak nanti, akan ditimpa musibah yang menyebabkan kita menangis berduka.

Untuk elakkan ketegangan, sesekali bebola mata keranjangku melantun-lantun ketika menonton aksi hadhari dan lagak ngeri glokal pemain badminton wanita Rusia Polikapova dan Russkikh itu.

Aku godam internet, lalu cari mereka dalam FB. Yes! Eureka! Aku dah jumpa! Aku jemput depa berdua lalu daku terus tinggalkan pesanan berikut yang berbunyi ---

"I am Ali, a journalist from Kuala Lumpur, Malaysia. I watch your beautiful game. Can i make an appointment to interview you for newspaper, magazine? This is my cellphone number..."

Ahem! 'Jahatnya' daku! Sambil meneliti gelagat Malaysia - Denmark bermain, kuperhatikan juga gelagat kedua-dua aweks ini. Lalu, daku ajukan pandangan hampehku kepada 'mufti' Don F.

"Dalam rangka menuju Malaysia alaf baharu, kita kena pertimbangkan usaha untuk halalkan pernikahan Mut'ah yang terkandung dalam fiqh Syiah itu juga," lalu pecah tawa antara kami.

"Baru tengok aweks Rusia main badminton, terus pikiaq pasai mut'ah," kata Don F, ketawa.

Aku baca bahawa dengan mut'ah - boleh bernikah dengan ahli kitab. Ish, bahaya jikalau akal kita dikawal oleh segala keinginan gelap yang tiada berkesudahan. Tuhan, kupohon jalan pencerahan!

Jalan darat menuju ke Mekah
"Kat siapa kita nak minta penajaan ni?" tanya aku kepada Don F selepas kami tamat menonton badminton di Stadium Bukit Jalil. Saat ini, kami sedang makan malam dekat IMU.

"Di Selangor ni, ramai orang kaya," balas beliau, ringkas. Aku teringat kembali Pak Engku yang kerap dia cerita kepadaku dahulu. Katanya, dia kerabat diraja juga.

"Boleh cuba dulu dengan Yayasan Al-Bukhary," dan dia sebutkan nama beberapa buah tempat lagi yang boleh aku ikhtiarkan kemudian. Nak tunggu LUTH, 2030 baru boleh pi.

Tetapi menurut Don S, lewat kiriman FB sebelum ini sebenarnya tak perlu tunggu sampai 2030. Kalau duit dalam simpanan kita dah cukup, maka LUTH akan panggil kita untuk kursus.

"Tapi," Mat Khalil tetiba mencelah dalam FB, "LUTH pun ada masalah juga..."

Ya, daku teringat bagaimana duit zakat dihilangkan. Wang rakyat boleh dimanipulasi begitu ja.

Lalu, aku buat keputusan begini, naik haji seumur hidup mesti dua kali. Pertama, dengan LUTH. Kedua, melalui jalan darat. Banyak benda nak disiapkan kalau ikut jalan darat ni.

"Basikal lipat tu harganya berapa ribu?" aku teringat Don F pernah cakap tentang basikap lipat ayah Badek itu, yang harganya mencecah ribuan ringgit. Tapi, aku lupa jenama basikal itu.

"Hummer jenamanya, harganya mungkin ribu-ribu kot?" katanya. "Tapi... tengok juga jenama lain yang mungkin lebih murah lagi."

Don F juga bercerita tentang pengalaman Muhammad Asad ke Mekah dalam bukunya, Road to Mecca. Dia juga bercerita, ada baiknya jika ada caravan macam orang putih dok buat tu.

###################################

26 J. Awwal | 11 Mei (Selasa)

Dinihari. Bersyukur dapat jugak dengar kuliah rakaman, 3 jam oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas itu.

Terima kasih kepada Siti Fauziana kerana mengirim rakaman itu. Lewat rakaman itu, Al-Attas berkata bahawa Rasulullah s.a.w dah tahu letak duduk kawasan Nusantara ini.

Kata beliau lagi, ada sejenis benda yang disebutkan dalam Al-Qur'an; Kaafuura, lalu dinisbahkan hal itu kepada 'kapur' yang ditemui di Alam Melayu.

Ia ada di Sumatera Utara, sebuah tempat bernama Fansur, daerah kelahiran Hamzah Fansuri. Wallahu 'alam...

Seorang pensyarah pernah berkata kepadaku sekitar 2007, bahawa Al-Attas sudah pun menulis mengenai sejarah Islam di Tanah Melayu yang lengkap sejak 1961.

"Tetapi, sampai sekarang buku itu belum diterbitkan lagi," katanya. "Al-Attas sangat cermat, teliti orangnya. Makna Melaka pun ada maksudnya..."

Hatiku terus disengat rasa kagum. Bayangkan, sejak 1961! Sampai sekarang ia belum terbit lagi! Nak menunjukkan bahawa - betapa mahalnya kajian-kajian seperti itu!

Sejak 2007 daku menunggu waktu yang sesuai untuk membaca deraf buku tersebut. Syukurlah, rakaman ini boleh membantu daku sedikit sebanyak.

Tuhan, anugerahkanlah kami ilmu yang bermanfaat dan haramkanlah kami daripada sikap sombong dan takbur, menghina dan mencela orang-orang lain... Ameen...

Petang. Aku pi Istac. Alhamdulillah, dapat berkenalan dengan Nazri, pustakawan Istac. Lalu dia minta aku ke unit pentadbiran, aras dua jika mahu membeli Risalah Untuk Kaum Muslimin itu.

Di aras dua, mereka melayanku dengan baik. Tapi, malangnya Risalah Untuk Kaum Muslimin itu sudah kehabisan stok. Aku tak pasti, adakah buku ini menjadi rebutan ramai pihak?

Di Perpustakaan Negara Malaysia pada 16 April lalu, aku gagal mendapat buku itu. Jadi, la ni kat Istac pun aku gagal mencarinya. Ikut hadis nabi, nyawa orang alim akan ditarik menjelang masa kiamat. La ni, bukan kata nyawa orang alim. Hatta, buku yang terbaik pun sukar nak dicari!

Debat santai di Kg Pantai Dalam
NY of BH call, mengajakku berborak. Aku rasa, ini antara proses debat yang menarik...

Bukit Marak, Robin Hood, Imam Mahdi, 30 Nabi Adam, Israeliyat ada tiga pecahan, banjir Nabi Nuh. Hal perbincangan debat ini, akan daku kembangkan kemudian, insya Allah Ta'ala.

"Kau tau kenapa aku suka tempat ni?" tanya NY. Aku geleng kepala. Selain nasi ayam kukus tu, aku tak pasti kenapa dia suka tempat ini.

"Tempat ni mengingatkan aku kepada cerita Mafia, mereka berbincang tiba-tiba ada keretapi lalu dan bunyi bising itu akan menyebabkan bualan mereka tidak begitu didengari," kata NY.

Huh! Kuat berangan jugak mamat nih. Aku ingat, daku sorang ja yang kuat berangan, kunun nak jadi macam Mafia, dan Don-Don yang ganas itu. Benar, kita rasa 'cool' pabila kita ada watak jahat sekali gus dikelilingi aweks-aweks cool yang gediks. Huh! Neraka! Neraka!

###################################

25 J. Awwal | 10 Mei (Isnin)
Tak dapat pegi ke Istac untuk beli Risalah Untuk Kaum Muslimin sebab hari hujan lebat. Ketika sepi ini, daku bertafakur sendirian, lalu menjelma 'wahyu' baru.

Baru terfikir suatu perkara-kita tidak perlu garu kepala mencari teori untuk memajukan bangsa, tapi carilah di mana silap dan salah bangsa lalu betulkan segera dan bangsa ini akan maju dengan sendirinya. Tak payah 'import' rumus-rumus asing dari Barat dan sebagainya.

Selepas hujan reda amukannya, daku ke KLCC untuk bayar bil Digi. Selepas bayar bil, aku dapat tiket percuma untuk tonton perlawanan badminton piala Thomas - Uber di stadium Bukit Jalil. Sapa nak ikut jom! Ada dua tiket percuma!

Turki dan Mongolia ada kaitan ker?
Di Kinokuniya, KLCC aku belek novel Orhan Pamuk berjudul The Museum of Innocence. Di sini, aku jumpa nama Kemal Bey, Hifzi Bey, dan Orhan Bey.

Hal ini menyebabkan aku teringatkan penulis Bey Arifin yang kerap aku temui di dalam pustaka keluarga kami, adakah bey ini gelaran 'bai' (abang) seperti gelaran orang Johor dan Singapura ke atas Benggali 'jaga' (pak guard)?

Baru-baru ini, aku sembang dengan Chen. Dia kata nama Altan adalah Turki, ertinya gunung. Di Mongolia, Altantuya adalah nama perempuan dan Altan adalah nama lelaki, demikian kataku.

Apakah Mongolia ada pertalian dan perkaitan dari segi bahasa? Altan adalah gunung, Malaya ini pun bermakna bukit atau gunung juga. Kebanyakan manusia berasal dari gunung, demikian aku menyusun postulat dan hipotesisku sendiri.

Sejak zaman Nabi Nuh mereka rasa takut turun ke lembah kerana bimbang air bah melanda dan keturunan Melayu itu pun dikatakan berasal daripada Bukit Siguntang. Ya, bukit juga!

Petang. Ke Harakah nak hantar bahan. Dapat cek Harakah. RM6++. Khairul baru balik ziarah Alo di Ampang. Dia bukak cerita lawak mengenai sikap Alo.

"Dia tak lalu nak makan. Jadi, badannya lemah, nak angkat tangan pun tak larat," katanya.

"Habis tu? Apa jadi?" tanya TMJ kemudiannya, lalu disaksikan kaum ibu, K. Sal dan K. Anis.

"Dah dia tak lalu makan bubur, lepas tu dia suruh ana pi beli nasi kandar Kudu."

Lalu... pecah deraian ketawa antara kami. Kaum ibu menempelak, "Tu lah bos hang Ali, ketegar nak mampuih. Dah tau sakit, pi makan tak tentu hala lagi."

Aku tak kata apa, ketawa dan senyum saja. Tok sah kata apa la. Aku dok malam-malam sambil borak dengan Alo di Haslam dan Rafiya, aku tengok memang dia tak pantang dalam pemakanan.

Puas aku tegur, dia tetap tak ambil peduli. Lepas tu mula mengadu rasa sakit... He.. he.. ketegar macam aku jugak la..

Malam ni, baru tahu, Cikgu Pa nak jerat Husam dengan biarkan Kickdefella buat pendedahan. Ni spekulasi yang berlegar dan beredar antara kami di sini. Telinga lintahku mencerap maklumat.

Hasrat nak pi Mekah
Azraie Andrew, rakanku di Facebook call. Katanya dia nak pi Mekah, belanjanya termasuk pakej lawatan berjumlah RM14,000. "Aku pi sana sebulan, bulan Ramadhan," katanya.

Tadi, masa tengah hujan turun, saat meratib, turun 'wahyu' meminta daku buat blog perjalanan besar aku berkelana 'menakluk' dunia ini.

Masa hujan sedang lebat petang tadi, daku terfikir mahu beli tanah di Yala, menggunakan nama orang di sana. Boleh bangunkan pustaka, rumah kebajikan anak-anak yatim dan ia harus dibuat dengan kerjasama OIC juga.

Jala itu kawasan perairan, ketika menonton Madu Tiga malam ini, terpacul fikiran-patut la daku ada bayangan mengenai kawasan sungai sebelum ini.

Islam di Tanah Melayu
Aku lihat seorang peminat Al-Attas dari Singapura dedahkan bahawa ada rakaman selama 3 jam yang membincangkan perihal kedatangan Islam ke Tanah Melayu ini.

Aku cerita hal ini di FB beliau, bahawa Bro Sani Badron, IKIM pernah beritahu aku tentang hal kedatangan Islam di Tanah Melayu mengikut pandangan Al-Attas.

Ada sebuah buku yang ingin beliau terbitkan sejak 1961, tapi sampai sekarang ia tak diterbitkan lagi. Kata Bro Sani, Al-Attas sangat teliti orangnya dan dia tak nak orang pertikai kajiannya itu.

Betapa panjangnya masa yang dia perlukan untuk menulis sesuatu dengan cermat dan teliti!

Sastera Jumaat, aku kena jaga
Bersama TMJ aku sembang hal-ehwal aku nak jaga ruangan 16 - 17. Daku jadi keliru dengan hal sastera edisi Jumaat. Jadi, TMJ cakap, aku kena bincang lagi dengan Mr Lanh.

Aku melihat, mereka tidak dapat maklumat yang tepat mengenai apa yang aku buat selama ini. Aku jaga Isnin sahaja, edisi sastera Jumaat, aku tidak jaga langsung.

Jadi, hasil keputusan bualan bersama TMJ tadi, daku jaga kedua-duanya. Itu yang lebih mudah rasanya supaya tak dak lagi pertindanan tugas. Semoleknya begitulah.

Nanti kena bincang hal ini dengan Mr Lanh dan Mr Taufek, insya Allah. Semoga dipermudahkan.

###################################

25 J. Awwal | 9 Mei (Ahad)
Aku tak keluar ke mana-mana, menghabiskan sisa riwayat hidup hari ini di SPKB dengan tulisan antik yang masih berbaki dan bersawang dalam fikiran dan berkeladak di jiwa.

Malam ini daku rehat panjang, sambil tengok tv. Misteri Nusantara siar kisah Tok Selan harimau jadian, Tok Balan dan pelbagai ilmu sihir lagi.

Aku fikir, kita kena wujudkan pasukan pelobi untuk mengekang ilmu sihir dalam negara. Patut la ni kena ada penguatkuasa, polis anti sihir dalam negara ini.

Aku teringat Pulau Besar, Melaka. Mufti Melaka baru-baru ni minta ia dimajukan. Kemudian, Ali Rustam cakap akan dibangunkan muzium bernilai 1.9 juta, kononnya ada harta karun tertanam di Pulau Besar atau di sekitar perairannya.

"Ketika Portugis serang Melaka, maka di sinilah tersimpannya harta-harta karun tu," kata Ali Rustam lagi dalam berita tadi. "Kalau ada, Melaka adalah negeri terkaya di Malaysia."

Sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu
Tapi dalam kebanyakan paparan Misteri Nusantara itu, aku gemar kisah misteri yang ada unsur sejarah. Mereka ada temubual seorang tua di Kedah yang mendapat duit syiling emas lama.

Orang tua ini dulunya belajar agama di Alor Setar. Aku tak faham sangat apabila dia kata duit syiling emas tu ada guna khadam dari alif sampai ya.

Yang sempat kucatatkan dalam nota jurnalku adalah kalimat berikut...

Ada huruf ain lam alif ba, burung abadil pada duit syiling bertarikh 638 H.

Di syiling kedua, ada paparan gambar bahtera Nabi Nuh, Kaabah, Hajarul Aswad, Masjid Syam.

Di syiling ketiga, ada gambar para sabahat, pedang zulfakar dan ia keluaran 15 H.

Aku tidak berminat sangat dengan misteri-misteri yang jenis khadam-khadam ni. Sebagai sosok peminat dan pencinta sejarah, aku cuma nak tahu, adakah 'mereka' ini bunian; orang ghaib yang masih beranak pinak di alam lain.

Adakah orang bunian adalah para pendakwah, mubaligh Islam yang terawal yang kerap bermain burdah dan berzanji di Gunung Angsi yang pakcik kerap mendengar suara mereka itu.

Ertinya, seawal 638 H dan 15 H (andaian aku dengan merujuk kepingan syiling emas bertarikh 638H dan 15H), mungkinkah sudah ada orang Arab yang tiba ke Nusantara ini?

Lalu mereka berdakwah, bertapa dan berkhalwat dekat Gunung Jerai, Gunung Ledang, Gunung Angsi? Lalu, mungkinkah ada kalangan yang ghaib ini telah mengambil keputusan membina desa baru yang ghaib lalu kini dinamakan kampung bunian?

Jika benar-mungkinkah Imam Mahdi sekarang ni disembunyikan di daerah bunian dan dia akan keluar seperti yang diyakini oleh orang-orang Syiah itu?

Aku harap sangat dapat bertemu deraf buku SMN Al-Attas yang belum diterbitkan sejak 1961 itu. Semoga aku akan dipertemukan dengan buku itu. Ameen...

Jala (Yala) itu kawasan nelayan dan perairan?
Terbaca berita tentang aset bumiputera Pulau Pinang yang dipertanggungjawabkan di bawah Dr Ahmad Zahid Hamidi. Dasar hangpa silap dari awal. Kona pi kona mai, buleh hangpa jugak nanti.

Aku bosan!

Lebih baik aku bangunkan daerah Yala. Aku kena fikir ekonomi baru negeri tu, kena fikir konsep pendidikan, pentadbiran, pertahanan, sistem mahkamah.

Kalau aku dok sibuk politik Malaysia, mana sempat nak bangunkan negara aku sendiri. Dan, bila chat malam ni dengan Deep Peace, dia berkata -- bahawa suatu ketika dulu memang ada aktiviti perairan dan kegiatan nelayan. Yala itu bahasa Thai, Jala bahasa Melayu, katanya.

"Maknanya, di situ ada kegiatan menjala ikan agaknya?" aku menduga.

"Ya, tepat sekali," balas DP, ringkas. Jadi, kegiatan ekonomi terawal di Jala mungkin ada kaitan yang banyak dengan pelabuhan dan perikanan.

Aku teringat suatu perkara, sejak rakanku di USM beritahu daku ada darah titisan Champa, aku terbayang air laut, sungai dan sampan. Tuhan bawa aku ke Champa (Kemboja) dengan Harakah.

Aku tiba di sebuah kampung lalu daku lihat perahu, sampan tertambat di tebing Sungai Mekong. Aku rasa di sini juga tempat nenek moyangku barangkali.

Kini, Jala. Tempat orang jala ikan. Aku rasa mungkin ini gambaran yang lebih tepat agaknya. Hai bilalah Tuhan akan membuka pintu hatiku agar dapat kuteroka isi langit dan bumi?

Currently have 0 comments: