Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

18 - 24 J. Awwal | 2 - 8 Mei (Ahad - Sabtu)

Sunday, May 02, 2010 , Posted by nota untuk Syiah at 2:35 AM

24 J. Awwal | 8 Mei (Sabtu)

Dinihari. Aku fikir, jika malaikat pencabut nyawa datang, maka rugi dan sesialah amalanku. Jadi, niat ke JYAS kubatalkan.

Aku singgah makan dekat Jalan Daud. Restoren di sini pekerjanya boleh cakap Thai. Aku tak sempat tanya mereka ni asal mana.

Petang. Ke Mid Valley, Hooperz tidak dapat kutebus kerana sudah tidak ditayangkan lagi. Tapi, sempat tonton SUSTER KERAMAS kerana aku pencinta filem seram. Rupa-rupanya, ada masuk juga unsur lucah. Ada adegan Rin Sakuragi atas ranjang. Mujurlah ajal belum tiba tadi. Fuh!

Aku tengok orang-orang perempuan pakat-pakat meneru keluar panggung. Depa malu agaknya.

Selesai tonton filem, aku pegi ke MPH Mid Valley. Terbaca buku Dunia Ini Samarata - daku rasa pengarangnya orang Yahudi, guru agamanya Rabbi..(aku lupa namanya)

Di Devis'a Corner, Bangsar, makan nasi briyani. Tiba-tiba 'wahyu' turun; aku harus pergi Mekah melalui jalan darat, Laluan Sutera bersama rakan-rakan.

Aku teringat Paksu Mid cakap yang dia akan tiba di Mekah pada 1 Zulhijjah. Aku mula dihurung pertanyaan, Imam Mahdi nak keluar tahun ni ker? Ibnu Ishak UM pun nak pergi tahun ni juga.

Terus pegi Cathay Cineleisure, rerupanya filem Hooperz memang dah tamat ditayangkan. Urgh!
Kulihat ada tiket Iron Man free anjuran Vista. Bila aku pi di booth itu, maka katanya ...

"Tiket ini untuk yang berdaftar dengan Vista," kata penjaga 'booth' itu. Aku jadi tertarik dengan rawatan mata Vista ini. Katanya, premis mereka ada di aras 2, The Curve.

Aku baru jumpa lorong jambatan untuk terus sampai The Curve di sini. Aku lewat kawasan arak dan Ladies Night di sini. Setiap Khamis malam, setiap wanita akan dapat segelas arak percuma!

Malam. Di MPH The Curve aku terjumpa buku Abraham Lincoln Vampire Hunter. Pengarang 'novel' ini, Seth Grahame-Smith. Aku dapati isinya agak menarik.

Kononnya, ibu Abraham (Abe) mati kerana ganguan pontianak. Kemudian, Abe berazam masuk politik kerana dia ingin menghapuskan amalan perhambaan yang disukai golongan pontianak ini.

Ini kerana, tuan-tuan kulit putih ini membeli puak hamba ini bukan untuk kerja-kerja di ladang, tapi untuk dijadikan makanan mereka. Rupa-rupanya, ini cerita fiksyen.

Tak pa ka depa buat cerita fiksyen macam ni dengan menggunakan watak Abraham Lincoln ni? Kalau boleh, aku pun nak buat fiksyen dengan menggunakan watak Rosmah yang main sihir.

Rupanya di The Curve hari ini sampai ke malam ada macam pasar malam sempena hari ibu. Aku pun baru tahu betapa luas dan bestnya di The Curve ni. Sampai di pokok bongsai, daku terpacak meneliti keindahan bongsai.

Citarasa dah macam citarasa orang-orang tua. Di aras dua kulihat Vista syarikat pemulihan mata yang kutemui 'booth'nya di Cathay Cineleisure. Ya, penglihatan dah kabur. Aku perlu rawatan...

Aku berjalan lagi, aku melihat Master Chin, seorang peramal. Ada orang Melayu kita pergi ramal dan tenung nasib mereka menggunakan daun terup yang macam dalam tv.

Aku pernah dengan orang kata, termasuk Ustaz Wan Salim berkata yang arwah Ustaz Nikmat ni ada pengetahuan meramal orang dengan melihat tapak tangan.

Tapi, dia hanya suka main-main sahaja. Tak adalah sampai komersial, jadi perniagaan pula. Yang ada di depanku ini, anak-anak Melayu yang mahu tahu penghujung nasib mereka. Moga aku dan mereka diberikan petunjuk untuk tidak terjebak dalam amalan syaitan ini. Ameenn...

##########################

23 J. Awwal | 7 Mei (Jumaat)
Seorang rakan mengirim pandangan yang bagus kepadaku - pergi ke Istac untuk mencari Risalah Untuk Kaum Muslimin.

Hari tu, aku pi Pustaka Negara Malaysia (PNM), tak jumpa buku itu. Mungkin ada orang sorokkan kat rak lain. Ikut rekod, tinggal satu buku. Yang lain, ada yang pinjam dan lama tak pulangkan.

"Ana nak cari Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, tak ada dalam bahasa Melayu, bahasa Indonesia ada la," kata Wanto. Jika tiada dalam Melayu, kusarankan dia terjemahkan.

Dia bertanya apakah Risalah Untuk Kaum Muslimin itu ada dalam YouTube. Aku tak tahu, tapi, rupa-rupanya dia merujuk kepada nota SPKB yang mahu dilakukannya sebelum dia mati.

Kepada mereka yang berminat membantu diri ini untuk menyebarluaskan risalah Al-Attas itu di YouTube, mari kita berjumpa dan berbincang-bincang. Aku akan cuba cari risalah itu di Istac.

Syor radio internet dan TV internet SPKB
Aku cadang nak buat radio internet dan tv internet juga untuk dapat kita bersama dalam rangka menyebarluaskan faham-faham dan pengetahuan dari Istac ini. Jom kita mesyuarat! Ayuh!

Sapa-sapa yang berminat nak wujudkan TV SPKB dan RADIO SPKB, boleh letakkan nama serta email anda di Parlimen kedai kopi nanti.

Betulkah Istac akan ditutup?
Tapi, aku juga mendengar khabar angin dan desas-desus bahawa Istac akan ditutup. Entah betul atau tidak, tiada pasti pula. Jika benar, bertambah bebanku untuk memberontak lagi.

Aku ada terfikir nak menulis 'kehilangan' Risalah Untuk Kaum Muslimin daripada PNM. Apakah nasib kita. Buku pemikir hebat kita tak ada, boleh hilang dari PNM dan tiada yang rasa apa-apa?

Lepas tu aku dengar Istac nak 'ditutup' pula! Urgh! Urgh! Urgh! Manusia sudah ingin jadi Tuhan.

Karen Armstrong, dalam bukunya, History of God, menyalin pendapat Jean-Paul Sartre (1905 - 1980), yang menyatakan: "… even if God existed, it will still necessary to reject him, since the idea of God negates our freedom."

Berhubung kenyataan di atas-Adian Husaini di dalam Minda Madani menuliskan, "Kerana itulah, manusia moden merasa diri mereka boleh mengatur Tuhan dan berani mereka-reka Tuhan. Bukan Tuhan yang mengatur kehidupan mereka."

Terlupa ke malam puisi Pena
NY sms, "Jom ke Buluh Perindu, malam ni ada deklamasi puisi Pena," katanya. Tapi, ia tiba ke telefon bimbitku jam 10:45 malam ketika asyik tonton filem seram Lewat Tengah Malam.

Urgh! Jadi ralat hatiku. Kalau tidak, mungkin boleh bertemu orang tertentu untuk bentuk pelan pembaharuan terbaru. Masa inilah sepatutnya aku bersosial dengan lebih rapat lagi.

Tetapi Jumaat malam Sabtu memang antara malam yang banyak program televisyen best. Tang bab tu, aku memang tak boleh nafikan. Hatiku masih lemah lagi tatkala berdepan dengan tv ni.

Sengaja aku siapkan bahan mengutuk Musa Hassan secepatnya supaya boleh dapat luang masa yang lebih dengan tv. Tv ku bagaikan 'bini' juga. Dia teman dialah penghibur tatkala duka.

Daku suka betul cerita, filem seram. Aku ingin tahu banyak kisah kehidupan hantu menyesatkan manusia. Kata mak, dari Ibah, katanya, hotel di Alor Setar, tempat dia praktikal dulu ada sebuah aras yang sengaja dibiarkan kosong. Aku dengar, orangg kata, ia memang sengaja dibuat begitu.

Mesti ada aras kosong untuk hantu. Bangunan-bangunan di kota pun begitu juga. Aku dengar di Pulau Besar, Mufti Melaka minta pulau itu dibangunkan untuk mengurangkan amalan khurafat.

Apabila ada pembangunan, maka secara tak langsung, kubur 7 beradik akan diruntuhkan. Kalau ada kemajuan, aku harap hotel-hotel yang mahu dibangunkan nanti tiada memperuntukkan satu aras kosong atau satu bilik kosong untuk hantu dan syaitan itu.

Aku cakap bukan tiada bukti. Di Parangtritis, Indonesia ada sebuah hotel di tepi Laut Selatan. Di sana ada bilik yang dikosongkan untuk pemujaan Ratu Laut Selatan a.k.a Nyai Roro Kidul.

Hal ini telah dilaporkan dalam Misteri Nusantara. Orang Melayu kita masih ramai yang tersesat. Bila dengar cerita Rosmah Puaka, lagilah pening kepala. Najib Razak dah tentu terkena!

Ya, dengan tv banyak kuperolehi maklumat dan hiburan. Kejap lagi, akan ada lagi cerita menarik dan malam nanti di Jalan Yap Shak, akan bergentayangan lagi 'hantu-hantu' mabuk.

Aku mungkin akan sertai mereka untuk berfoya-foya. Dan, moga malam ini malaikat Izrail yang mencabut nyawa tidak hadir lagi malam ini. He.. he... Astaghfirullah Al-Azhim!

##########################

22 J. Awwal | 6 Mei (Khamis)
Pagi. Sambil sarapan, kulihat the making of Belukar. Aku teringat filem ini yang aku dah tengok masa Jabatan Pengajian Media buat minggu alumni media dahulu. Aku teringat master. Kena buat betul-betul kali ni. Tuhan... berikan daku kekuatan!

Hari ini aku pulang! Kulihat beratku hilang 5kg. Dulu, awal sampai di rumah, 60kg, kini 55kg. Jangan-jangan ada yang tak kena dengan diri ini tak?

"Abah tengok Utusan, tak keluar lagi isu tu," kata abah. "Tapi, Berita Harian tak tengok pula."

Entah bila isu abah nak perjuangkan haknya ini akan keluar di media perdana? Abah tahu hal ini setelah dia membacanya di Pustaka Awam Pendang. Aku terkejut. Ada pustaka di Pendang?

"Ada," kata abah sambil memandu saat membawaku ke Pendang, hala nak baik bas Mara Liner. "Tadi, abah pi pejabat tanah, rupanya memang ada pustaka di situ."

Kewujudannya dah lama. Ia bernaung di bawah Pustaka Awam Kedah. Tapi, kad pustaka awam Kedah tak boleh guna untuk pinjam buku di situ. Kata abah, nak jadi ahli pun mudah, percuma!

Buku khazanah 'fatwa' Paksu Mid hilang!
Sebelum keluar rumah, hatiku dibalut ralat. Ini kerana, buku yang memuatkan catatanku, fatwa Paksu Mid Bukit Tembaga itu tak sempat kubawa pulang ke KL. Puas aku cari tak jumpa!

Hari ini talian Digi expired. Urgh! Dah memang tiba waktunya aku pulang KL. Pakcik Razali pun sudah call, memaklumkan artikelnya untuk ruangan sastera sudah dihantar.

Akhirnya, aku sempat tengok kedai yang abah nak sewa. Memang banyak premis disewa, tetapi kedai mereka tak buka. Hai, orang Melayu ni kalau meniaga, macam manalah agaknya?

Sepanjang perjalanan dari Pendang ke KL, aku terfikir kenapa orang kapitalis Cina banyak buat kerja-kerja kebajikan bila depa kaya? Kemudian baru aku sedar sesuatu, mereka akan buat satu kerja kebajikan lalu dengan cara itu dia dapat mengelak daripada membayar cukai LHDN.

Orang-orang bukan Melayu, khususnya Cina sakit jiwa kerana cukai mereka akan diguna untuk membantu Melayu dan Bumiputera. Sebab tu, mereka akan buat kebajikan kepada Cina sendiri.

Orang Kajang dah mula call lagi, meminta pengesahan mengenai diges Islamik. Aku sangat resah saat memikirkan semua ini, terbeban segalanya ke atas pundakku.

"Saya dalam perjalanan pulang ke KL," demikian kataku. "Belum sempat sediakan apa-apa."

Putrajaya oh Putrajaya. Nak kena sediakan 'mock-up' pula kat KDN. Aku harap tak dibebankan semua ini ke atas kepalaku kelak, walaupun memang aku berhajat ke Putrajaya sekali lagi untuk urusan hal-hal tertentu.

Tetapi, bila aku kenang kembali betapa abah terpaksa berulang-balik ke Putrajaya untuk hadiri peperiksaan dan temuduga sebagai Pesuruhjaya Sumpah, hatiku kembali tenang.

Aku tidak boleh tewas kepada keadaan. Abah lagi jauh, sanggup dia turun Putrajaya. Sampai dia dapat jawab periksa, temuduga. Kemudian, dia terpaksa bergelut dengan karenah sikap pegawai MDP. Dia pergi ke pejabat tanah dan segala macam.

Blog Pustaka Masjid
Aku pun kena buat juga semua perkara sampailah aku berjaya. Dalam perjalanan ini, banyak hal yang merasuk dalam fikiranku. Jika ada masa lapang, aku nak jelajah satu Malaya dengan motor dan senaraikan nama-nama masjid yang bersedia menakung limpahan idea Pustaka Masjid.

Akan kubuat blog Pustaka Masjid dan 'update' setiap hari ketika daku berkelana daripada masjid ke masjid. Aku catat nama-nama masjid, tangkap gambar masjid, masukkan dalam blog itu. Dan, kalau boleh, biarlah penjelajahan dan penaklukan itu sampai ke benua Yala!

Petang. Selesai solat di hentian Duta dan makan-makan lebih kurang, maka aku pulang ke SPKB. Ada beberapa surat yang tiba di rumah. Alhamdulillah, dah selesai bayar bil sewa SPKB.

Kemudian, aku terus ke opis Harakah, mengirim bahan sastera. Tiba di sana, terus Maghrib dan aku selesaikan kewajipan solat. Jumpa Pak Abu, Lanh, Mat Khalil dan semuanya di surau tadi.

Baru aku tahu satu berita! Rupa-rupanya Ustaz Idris Ahmad mai check tetiap malam deadline.... Maka, terjawablah persoalanku baru-baru ini, kenapa 'deadline' cepat habis tak seperti selalu.

Sudah ada 'light' 'gate-keeper' di Harakah
"Dia akan tiba jam 10 malam, mahu tak mahu kita kena siapkan juga. Takkan kita nak tunjuk kosong muka surat masa dia mai pejabat ni?" demikian kata Pak Abu.

Lanh dan Mat Khalil mengesahkan hal tersebut. Selama ini aku sangka depa memang ingin balik awal, tapi rupanya memang dah kelam-kabut macam tu sebab 'orang besar' datang nak 'check'.

"Bila 'start' semua benda ni?" tanyaku semula.

"Tak lama sangat," kata Mat Khalil. "Baru-baru ni saja, agak-agak dalam seminggu ada la."

Patutlah. Selama ni aku dok di Pendang, asyik-asyik halaman tertentu dah siap dah. Sekarang ni terjawablah sudah misteri yang tak terungkap sebelum ni. Ada juga dua tiga bahanku yang tidak sempat mereka masukkan agak-agaknya, gara-gara pemeriksaan oleh orang parti ini.

Aku tak tanya pula kenapa hal ini dibuat. Tetapi, dalam firasat awalku yang mungkin salah, ialah hal ini mungkin disebabkan keuzuran Alo, pembedahan pintasan jantung dan ketiadaan beliau di pejabat, hingga memaksa pimpinan turun memeriksa perjalanan akhbar ini menjelang deadline.

Agak-agaknyalah kot? Malam ini selesai deadline, aku layan sampai habis filem Lari Dari Flora. Di hatiku kini sedang membuak-buak rasa dan menjulang-julang keinginan untuk mengkaji puak Samin yang kulihat hubungan mereka dengan Islam sebagai puak Sabiin (penyembah bintang).

##########################

21 J. Awwal | 5 Mei (Rabu)
"Tidak payahlah ke Gunung Jerai tu..." ibu tegah aku pergi lepas aku sebut keinginanku untuk naik gunung itu hari ini dengan motor.

Dia sebut kisah adik kak Ani (isteri abang Fauzi) yang maut ketika turun dengan motor dalam keadaan brek tak berfungsi.

Daku tiba-tiba mengeluarkan keputusan baru - aku nak balik KL esok pagi. Ia bukan disebabkan ibu melarang. Tapi, kerana aku rasa sudah terlalu lama di Pendang.

Kalau ikutkan hati, nak pi jumpa Pak Ngah Jaafar, orang tua di kaki Gunung Jerai dan Pak Ndak Majid Guru Silat Seni Pusaka Gayong. Tapi, aku perlu tempoh lebih lama di sini.

Jadi, aku fikir kena balik KL, uruskan bayaran bilik sewa dan segala bil yang lain terlebih dahulu, termasuk urusan-urusan di Putrajaya. Kemudian, baru patah balik ke Pendang.

Ke Bukit Jenun, aku tersesat beberapa tempat dan tanya beberapa orang. Akhirnya, baru jumpa rumah Pak Ngah Jaafar setelah dibantu seorang budak. Orang sini memanggilnya Lebai Jaafar.

"Dia pi bendang, telefon dulu kalau nak mai," kata ahli rumahnya. "Selalu juga orang datang di sini sebelah malam untuk berubat."

Aku bercerita darihal tujuanku ke sini yang bersanad dengan permintaan Pak Su Mid itu.

"Ya, selalu juga orang yang datang sini, depa kata Pak Su Bukit Tembaga tu yang minta depa jumpa dia di sini," tambahnya itu lagi, mengesahkan. Ertinya, bukan aku sahaja yang macam tu.

Hala nak balik aku guna jalan lain, terus keluar ke Kobah. Di situ aku pekena teh. Sms Haji Razali masuk, menyatakan bahannya tiba untuk ruangan sastera Harakah.

Tiba-tiba, NY of BH call, menyatakan tujuannya kelmarin menelefon daku. Nak ajak makan. Dan terbuka kisah baharu - Pak Jawahir cakap dah ada orang nak sunting buku Dinar Solusi itu.

"Malaslah, aku pula yang jadi posmen," kata NY. Dalam hatiku berbisik, "Dah kau sendiri yang dok ingatkan dia mengenai hal aku..."

Ye lah, aku ngaku dah banyak aku buat silap. Aku rasa, lepas balik ke KL ni kena mengadap Pak Jawahir baliklah dan buat keputusan segera.

Di sini, sambil pekena teh tarik di bawah lebuh raya Pendang, aku baca Utusan. Tak dak pula isu abah disiarkan setakat ini. Aku perati (perhati) tulisan Saifuddin Abdullah tentang roh universiti, Syed Azidi vs. Cikgu Pa dan isu Kesultanan Sulu yang terkait dengan Melayu Moro Mindanao.

Menarik juga isu-isu ini untuk diulas semula. Dalam kes Kickdefella vs Cikgu Pa, entah kenapa aku rasa pendedahan Azidi itu ada kebenarannya juga. Kalaulah sah Azidi benar, daku nak minta Cikgu Pa ni tok sah bagi kenyataan media dah lepas ni.

Wahai Cikgu Pa. Ente mahu tipu ketika umat berada di zaman Facebook, Twitter, YouTube, Blog dan Wordpress? Dulu, umat takutkan Allah, sekarang kalau tak takut Tuhan, takutkan FB, blog ni pun jadilah. 'Bertuhankan' teknologi (takut teknologi) pun jadilah untuk elakkan kita menipu!

Aku lihat isu Kesultanan Sulu pun perlu diberi perhatian juga untuk kukuhkan Nusantara Baru, kerana kerajaan itu bertanggungjawab ke atas Melayu Moro di Mindanao. Aku kena hantar juga wakil-wakil aku seorang dua ke sana.

Aku teringat cerita P Ramlee dalam filem Laksamana Do Re Mi. Ada pelakon Dayang Sulu. Daku berteori, filem terakhir seniman itu cuba membuat dan menyusun pertalian antara raja-raja.

Ada watak-watak Puteri Buluh Betong, Dayang Sulu, kerajaan bawah pokok Pasir Dua Butir dan kerajaan Pasir Berdengung. Ikut laporan Utusan itu, orang yang diberi anugerah Dato' daripada Kesultanan Sulu, maka anak perempuannya akan digelar Dayang.

Jadi, Dayang Sulu dalam filem tu, anak kepada Dato' yang mana satu? Urgh! Banyak soalan dari jawapan-jawapan di sepanjang perjalanan hidupku ini.

Tentang tulisan Saifuddin ni perlu diulas juga. Tetapi mungkin selepas ini kot, bila aku dah ada di SPKB, i'Allah. Tapi, esok deadline. Urgh! Banyak benda yang tak dapat dibuat dalam hidup ini.

Abah dah buat papantanda Pesuruhjaya Sumpah
Selesai minum di bawah lebuhraya Pendang dekat Kobah, aku ke pekan lalu beli tiket. Yes! Esok aku balik lalu meneruskan perjuangan di ibu kota di SPKB.

Hala nak balik, terpampang papantanda di depan rumah; PESURUHJAYA SUMPAH.

Aku tanya mak. Tetiba abah jawab yang dia dah beli dua papantanda itu. "Satu letak kat rumah dan satu lagi letak kat kedai sewa," kata abah.

Aku ingat nak minta Imran buat blog untuk abah. Tapi, abah tanya, apakah aku boleh buat juga? Aku tak jawab, takut tak terbuat. Mungkin kalau ada kesempatan lain boleh aku buat kot.

Petang ini mak bawak keluar ikan siakap yang aku beli hari tu untuk BBQ. Kami tak sempat nak bakar sebab kami dah bakar ikan keli pakcik Liyas dari Keroh.

Emak keluarkan ikan siakap dari peti ais sebab aku akan pulang KL esok. Abah keluarkan arang untuk hidupkan api di halaman rumah.

Tetiba Pyan, grafik Siasah call, "Jom pekena teh di Haslam?" Depa ingat daku dekat Batu Caves, pejabat lama di EP. Aku pun rawikan kisah semuanya dan hal aku berada di kampung la ni.

"Dok cari emas bodo ka?" tanya dia lagi, mengingatkan daku kenangan lama ketika pecah cerita yang bijih emas ada di sini. Emas! Lubuk emas aku sebenarnya bertimba-timba di KL.

Aku selesai makan ikan siakap bercicahkan air asam. Kini, sedang menyusun bahan sastera. Dan, malam ini aku mahu berlibur dengan tv dan menyusun rangka kerja untuk hari-hari berikutnya.

Tugu kenangan banyak terpacak di daerah ini. Dan, esok pagi, saat mentari akan memuntahkan sinarnya di bumi, seorang putera Yala akan kembali menggalas piala kemenangan di ibu kota!

##########################

20 J. Awwal | 4 Mei (Selasa)
Berjaya bertemu Paksu Mid Bukit Tembaga petang ini. Syukurlah akhirnya dapat juga beberapa 'fatwa' dan petua.

"Tapi, kita tak boleh salahkan askar Thai 100%. Antara mereka sendiri ada masalah dan saling berbunuhan," kata Paksu lagi saat kupinta amalan pendinding rakyat Yala jika diancam tentera.

Aku pun terfikirkan Temudgin a.k.a Genghis Khan ketika mula-mula membangunkan rakyatnya sendiri di Mongolia. Dalam filem itu, dia bertapa, bertembung dengan serigala dan akhirnya telah merumuskan beberapa peraturan dan undang-undang untuk rakyat Mongolia.

Rakyat Mongolia akhirnya tunduk akur, patuh dan taat ke atas undang-undang 'wahyu' yang dia terima dari gunung itu. Serangan demi serangan, akhirnya membuatkan tenteranya bertambah besar. Apabila rakyat Mongolia disatukan, maka barulah dia memerintah dua pertiga dunia ini.

Kalau ikut Nabi Muhammad, urusan menyatukan umat bawahan dulu kemudian baru dakwah di luar Madinah di peringkat antarabangsa.

Kalau ikut Nabi Musa, urusannya tumbangkan sistem Fir'aun dahulu, itu yang disebut awal-awal ketika wahyu pertama diterima di Bukit Thur.

Aku memikirkan watak Musa, Muhammad dan Temudgin. Mungkin ada yang boleh disesuaikan nanti dengan apa yang aku nak buat nanti.

Kisah 'samseng' Yala
"Ada seorang tu namanya Merah. Dia ni kepala 'samseng' di Yala," kata paksu lagi. Dia bangkit kisah batu merah. Paksu ni mengirim makna tersirat kepada aku agaknya.

Batu merah ini ada pada Raja Selangor? Entah apa pula khubungannya dengan Syed Amir, cucu laksamana?? Ia dijual pada harga RM70 juta kepada Sultan Brunei. Ish, makin tak faham aku.

Ada maklumat sebelum ini yang aku tidak dapat, lalu ia menyebabkan daku sulit mempertalikan rangkaian gambaran besar mengenai watak seseorang yang aku perlu temui ini.

"Dia berjumpa Raja Thai lalu mengaku sudah tinggal hukum-hakam Islam. Sebab tu dia boleh masuk dengan Thai dan dapat peluru. Akhirnya, dia 'supply' peluru kat orang-orang kita.

"Satu masa dahulu orang gelar dia pengkhianat sebab dia jumpa Raja Thai dan mengaku dah tidak pegang hukum-hakam agama. Tapi bila orang dah tau kerja dia la ni, depa mula sokong dia balik," kata paksu lagi.

La ni, kata paksu, askar Thai dah mula nak ancam nyawa dia dah. Sebab itu, dia datang bertemu paksu, meminta 'fatwa' untuk teruskan kehidupan di sana.

Aku teringat anugerah Sea Write dalam bidang penulisan oleh kerajaan Thai. Kalau daku berjaya dapat anugerah ini, mungkin daku boleh keluar masuk istana Thai lalu menjadi 'samseng' secara landasan intelektual juga. Hmm... aku kena giat mengarang karya kreatif la ni.

Merah ni pernah jumpa paksu kerana kononnya ada orang nak bunuh dia. Jadi, dia mintak bulu Cenderawasih. Aku lihat, burung cenderawasih dah tak ada dah di rumah paksu. Mungkin sudah ada orang beli agaknya.

"Di pinggang dia ada herba-herba. Semua ada khasiat untuk lari daripada peluru," kata paksu.

Paksu mula sebutkan khasiat tentang teras sintok. "Himpun banyak-banyak, cucuh api pun tak makan. Nibong tunggal tu pula antara yang pernah Kiai Salleh guna."

Oleh kerana banyaknya khasiat herba tumbuh-tumbuhan yang menyebabkan tubuh tak lut oleh senjata besi ini, maka askar Thai guna peluru timah dan mereka guna tumbuhan lain juga untuk membunuh orang-orang kita di sana.

Patutlah paksu dok sebut nama Pak Ngah Jaafar sejak awal mula bualan kami. Dia seakan kirim isyarat nampaknya. Bertambah lagi tugasan aku macam ni..mungkin esok kena jumpa Pak Ngah.

Aku kena lebih rapat dengan alam tumbuhan nampaknya. Semalam tonton filem Lari Dari Blora di YouTube lalu bertembung dengan watak Samin yang membentuk orang-orang Samin.

Samin seorang peneraju kebatinan baru. Ia akrab dengan alam dan menolak pajakan, percukaian Belanda dan menghormati penggunaan sumber alam, khasnya tumbuh-tumbuhan.

Aku fikir, yang membentuk orang-orang Melayu ini, adalah seorang lelaki yang bernama Melayu juga dan ia memiliki watak yang sama dengan Samin.

Melayu ini mungkin lelaki berwatak soleh, islah, berjiwa pembaharu yang menentukan segala pantang larang Melayu sejak zaman Hindu, Buddha dan animisme, iaitu sejak Melayu menyatu jiwanya dan begitu akrab dengan alam khasnya tumbuh-tumbuhan dan herba.

Maka, perjanjian daku dengan pokok-pokok di Taman Tasik Titiwangsa serta kontrak sosial aku dengan pokok-pokok di mata air Tg Tuan perlu diangkat semula dengan sumpah ikrar baru.

Barangkali, Sri dari Pelabuhan Klang dapat membantu aku berkomunikasi dengan pokok-pokok ini. Dah lama perhubungan kami terputus. Kami mula berkenalan sejak dia terbaca artikelku di Hdaily mengenai kisah adikku bermimpi, bertemu Nabi Muhammad s.a.w.

Kembali kepada riwayat Merah yang tali pinggangnya sarat dengan herba ini, maka paksu cerita mengenai soalan yang kerap diajukan kepadanya oleh orang-orang di wilayah selatan Thai itu.

"Tak takut ka mai sini?" tanya depa. Lalu, paksu berkata, "Kami datang sebab hangpa dok jual barang, kami datang nak beli. Kalau hangpa tak jual, buat apa kami mai?"

Kata paksu, di sana Jumaat di sana depa tutup pasar. Sabtu pasar dibuka semula. Kena hati-hati kalau pi ke sana.

"Jangan tidur kat hotel mewah, restoren mewah, kalau pergi sana jangan tidur, terus balik," pesan paksu lagi. Aku akur. Ini zaman-zaman merbahaya.

Belajar sambil bekerja
"Kami orang Medan, belajar sambil bekerja," kata paksu lagi. Dia bercakap mengenai masa lalu saat dia bekerja di Pekan Rabu.

Menjadi adat budaya orang-orang di sana, cari duit sendiri. Bila tua, mengaji balik. Agaknya, dia tahu niatku nak sambung pengajian ni.

Paksu sebut kenangan masa dia belajar. Malam kerja siang belajar. Demikianlah sebaliknya. Aku fikir kena ikut contoh semangat paksu belajar.

Ketika itu 1950-an dia berniaga di Pekan Rabu. Dia baca The Star. Ada kelas belajar B.I di Kilang Kayu Julung, dekat Wat Siam, Aminah School. Inilah yang sempat aku catatkan tadi.

Paksu ni kasyaf orangnya, cakapnya berlapik dan pesannya tersirat. Dia akan bercerita tentang dirinya sendiri dan kita kena faham bahawa apa-apa yang diceritakan itu ditujukan kepada kita sendiri untuk dicontohi dan diambil pengiktibarannya.

Demikian pengalamanku sejak sekian lama berkenalan dengannya.

Pergi haji ketika usia emas
Agaknya dia juga tahu aku ada simpan niat nak buat haji. Dan, aku ada niat nak pergi haji dengan jalan darat, melalui Laluan Sutera (Silk Road). Jadi, dia mula bukak kisah dan ceritanya.

"Ada orang kesian kat paksu, jadi kami suami isteri boleh pi Mekah cepat atas alasan usia tua kami ni. Kami warga emas. Nak tunggu lama, takut ajal dah sampai," kata paksu.

Dia akan pergi Mekah pada 1 Zulhijjah, melawat Madinah tanpa menjalani apa-apa kursus pun.

Dia ada bercerita mengenai UUM, wanita kaya yang taja dia. Sepatutnya aku rakam bualan tadi. Semua itu pasti ada kait mengait. Paksu ni orang lama. Bahasa percakapannya orang lama. Daku pula ada masalah lambat tangkap untuk mencerap, menyerap pengertian makna.

Patutnya aku rakam dan dengar semula rakaman suaranya dengan lebih cermat. Rugi aku tidak bawa pita perakam yang kutinggalkan di KL tu. Urgh!

Aku mula tanya tentang amalan arwah Tok Mey yang dia patahkan balik, untuk kutanya semula kepada Paksu Mid itu. Ia adalah cara membuka pandangan ke atas sesuatu yang terselindung.

Maka, inilah amalannya jika kalian dapat beramal dengannya. (1) Selawat 1000x; (2) Al-Fatihah 1000x (tiba Iyyakana'budu wa iyyakanasta'in... mintak dibuka segala-galanya); (3) Ala ya'lamu man khalaq... (Al-Mulk: 14) 4001x.

Tg Tuan dan Pulau Besar
Penunggu, khadam wujud pada bukit-bukit. "Dia bukan datang ikut niat, dia ikut watak kita."

Hatta, kata paksu, di bukit yang kecil pun depa ada. Demikian kata paksu ketika aku tanya akan perihal wilayah Nusantara ini dilindungi oleh suatu 'kuasa' yang kita tak nampak.

Tapi, aku tak dapat jawapan banyak sangat dalam hal ini apabila kumajukan pertanyaan tentang Tg Tuan. Nampaknya paksu jujur dan ikhlas dengan jawapannya, "Paksu tak tahu."

'Teori' aku ialah - 'kuasa' ghaib ini mula bertapak di Hadharalmaut. Mereka ini ikut di mana ahlul bait berjalan, mengembara, berkelana dan berpetualang.

"Kata orang Islam ni tiba di Sumatera masa zaman Bani Abbasiyyah, tak tahulah kalau-kalau paksu ada kaitan dengan depa tu.

"Tak dak, depa nak masukkan paksu dalam senarai ahlul bait, tetapi paksu tak mau," katanya lagi. Aik!? Cekap pulak orang tua ni menangkap benda tersirat yang belum sempat kuluahkan.

Bila masa pulak aku bercakap hal ahlul bait? Mana dia tahu? Tapi, kali ini kehadiranku di rumah dia menyaksikan gambar-gambarnya yang penuh bersama lelaki Arab yang perawakan mereka seperti habib-habib. Kata orang, habib-habib ini ahlul baitlah.

"Tg Tuan dengan Pulau Besar ni jauhkah?" soal dia lagi seolah-olah dia tak pernah dengar nama tempat itu. Aku pun tulis peta. Dia nampak sikit. Kemudian, dia kata, kalau dah dekat N9, boleh jadi Rais Yatim tahu sejarahnya. Atau, katanya, kalau di Pulau Besar, boleh jumpa Dato' Hashim.

Alamak, sapa pulak Dato' Hashim ni? Dia lantas mengeluarkan keratan akhbar Kosmo! Katanya, dua beradik yang mati lemas di telaga itu suatu masa dahulu ada kaitan dengan dato' itu.

"Telaga tu dia gali sendiri. Jadi, dua beradik tu dok main-main di telaga milik dia," katanya.

Kisah kebakaran di pondok Padang Lumat
Bercakap tentang kejadian kebakaran di Pondok Padang Lumat, kata paksu, ia mungkin terkait dengan pengkhianatan orang-orang yang dengki dengan kemajuan pondok itu.

Kebakaran itu pada tahun daku sedang belajar di Maahad itu, menelan korban seramai 27 orang pelajar wanita berusia belasan tahun semuanya.

"Bila selak-selak pondok yang rentung tu, depa jumpa sebuah lubang, dalamnya terisi dengan 27 biji telor," katanya. "Sama seperti jumlah 27 pelajar wanita itu."

Masa itu, kata paksu, jumlah pelajar meningkat sehingga 4,000 orang. Jadi, mungkin ada orang yang dengki dengan kemajuan pondok Padang Lumat itu.

"Lepas tu, Pak Ngah Jaafar bagi nasihat, kena cari 7 ekor kerbau, sembelih dan biarkan darah tu mengalir masuk dalam lubang yang ada 27 biji telor tu," katanya.

Barangkali, darah sembelihan kerbau itu 'membersihkan' kekotoran ilmu sihir yang diletakkan dalam lubang itu. Wallahu Ta'ala 'alam..

Dia bagi aku alamat serta nombor kontek Pak Ngah Jaafar di Bukit Jenun. Wah! Dekat Pendang! Bukit Jenun, tempat aku mengaji sekolah rendah dulu.

Pak Ngah ni ada ilmu herba. Demikian kata paksu. Aku rasa herba-herba ni berguna dalam ilmu kependekaran Melayu yang perlu dirahsiakan daripada pengetahuan musuh.

##########################

19 J. Awwal | 3 Mei (Isnin)
Imran balik Sg Petani. Kaktie balik USM, Penang. Rumah menjadi sunyi kembali. Sempat aku cium pipi Sarah sebelum dia balik.

Abah pulang lalu bercerita tentang perkembangan di MDP. Betul, keputusannya tetap sama. MDP ada buat benda tak betul di sana.

"Jadi, macam mana abah?" kataku meminta pengesahan, apakah perlu aku kirim isi surat yang aku taip semalam kepada Utusan dan Berita Harian?

"Baik, tukar sikit maklumat, lepas tu hantar," kata abah. Dia kemudian membaca laporanku itu.

Selesai hantar surat laporan itu, maka terasa kurang sedikit bebananku. Semoga urusan ini akan menjadi amal solehku ke atas kedua-dua orang tuaku yang dinilai Tuhan kelak. Ameen...

Petang. Hati berbalah, apakah mahu siapkan bahan atau terus ke Bukit Tembaga. Cadangnya nak jumpa Pak Su Mid, Bukit Tembaga untuk dapatkan 'fatwa' untuk membebaskan selatan Thai, khasnya Yala. Tapi, aku kena hantar bahan sastera hari ini.

Selepas solat Zuhur, gerak hati meminta aku menunda lagi. Ya, kawan... aku terpaksa tunda lagi.

Sedang menggodam bahan, Bakaq Haq a.k.a bloggers Penarek Beca call, minta no hp MZ. Sudah aku send, tapi dia call lagi. Aisehmen bang, sorrylah, diri ini terlalu bz. Tiada dapat kujawab lagi.

Sajakku masuk Dewan Sastera, Mei 2010
Dapat panggilan Pak Zahari Hasib. Kalau aku tak jawab, dia mungkin akan call lagi dan lagi. Jadi, aku jawab juga. Syukur alhamdulillah, dia membawa khabar gumbira...

"Ali guna nama H Fansuri kan?" dia bertanya.

"Ya, saya pakcik," jawabku ringkas.

"Tahniah, ada sajak encik Ali yang tersiar di Dewan Sastera, Mei ini, keluaran yang terbaru... Dapatlah RM200..."

Seperti yang kuduga, Pak Zahari bertanya lagi tentang puisi-puisinya, sama ada sudah tiba atau belum? Seperti biasa, kujawab ia mungkin dah ada di pejabat, tapi aku belum lagi membacanya.

Alo dah keluar wad di HUKM, Cheras
Alo kirim sms, "Sudah bersiap keluar wad, terima kasih kepada mereka yang mendoakan."

Alhamdulillah, syukur semuanya dah selamat. Jiwaku kembali tenang dan tidak lagi berkocak.

Ibah, Shukor dan Hakim pulang ke Gunung Keriang. Entah urusan apa? Mungkin jumpa saudara mereka agaknya? Tapi, kata mak, mereka pergi sekejap sahaja. Malam ni mereka pulang.

Malam. Hantar bahan sastera. Tapi, nampaknya mereka dah siap bahan. Sejak aku tiada di opis makin payah nak hantar bahan. Urgh! Kalau aku tahu begini jadinya, nescaya aku dah pegi Bukit Tembaga, meminta 'fatwa' Pak Su Mid mengenai pembebasan selatan Thai.

Ibah dan Shukor pulang bersama Hakim. Esok, adik iparku Shukor akan berkursus di Seremban atau di Port Dickson. Dahsyat-dahsyat tempat mereka berkursus nih! Fuh!

Falsafah di sebalik babak, adegan filem P Ramlee
Sambil makan malam, aku tonton kisah Tiga Abdul. Filem inilah yang buat pertama kalinya telah membangkitkan kesan dalam diriku bahawa P Ramlee sedang cuba menyampaikan sesuatu buat generasi seterusnya.

Ada suatu budaya Melayu zaman dulu yang tidak mahu ke hospital. Mereka lebih suka meminta doktor datang ke rumah mereka. Tapi, dalam filem ini, Ulam Raja diminta dibawa ke hospital.

Aku sedang mencari jawapan, tapi tidak jumpa-jumpa. Lebih banyak aku tonton filem P Ramlee, maka ada banyak juga babak, adegan yang kulihat ada pengertian dan falsafahnya.

Tetiba, ketika menggodek internet, daku terpandang mel-e Dr Abu Hassan Hasbullah mengenai proposal master berhubung kewartawanan filem yang aku nak buat di bawah seliaannya.

Dia syor aku bertemu dengannya untuk berbincang tentang tajuk kewartawanan filem yang ada kaitan dengan majalah Gelanggang Filem yang diuruskan P Ramlee itu.

Hmm..aku wajib balik KL dalam masa terdekat ini. Selamat tinggal dunia wartawan yang banyak mengasuhku mengenal dunia. Semoga Tuhan memberkati perjalanan hidup ini! Ameen...

##########################

18 J. Awwal | 2 Mei (Ahad)
Hari ini baru berkumpul ramai ahli keluarga. Dan, aku membeli lagi bahan peralatan untuk menjalankan BBQ.

Aku beli ayam seekor dan ikan siakap di Pasaraya Pendang Taman Wawasan. Apabila kulihat ada bahagian menjual barangan basah di pasaraya itu, aku teringat ikan keli pakcik Ilyas di Kroh.

Kalau di Taman Wawasan ini dijadikan tempat penternakan ikan keli molek juga. Boleh aku tolak ikan keli dekat pasaraya itu kalau mereka mahu.

Petang. Selepas balik daripada tukar minyak hitam motor adik, tiba-tiba ada mesyuarat keluarga secara tidak dirancang.

Abah hadapi kesulitan untuk mendapatkan premis menyewa di pekan Pendang. Kami syak berlaku penyelewengan. Akhir daripada bualan itu, timbul resolusi...

"Abah tulis dan bagi maklumat sikit, nanti Ali tulis dalam paper," demikian aku mengesyorkan.

Malam. Start buat BBQ. Alhamdulillah, kali ini lebih meriah. Yang tiada cuma Masyi dan Kinah. Aku buat resipi french fries yang baharu. Mulanya aku ingat tak menjadi. Tapi, tiba-tiba...

"Sedapnya french fries ni," kata Ibah. "Sapa buat ni?" Hatiku kembang semangkuk.

Aku letakkan foil aluminium atas tempat BBQ dan teknik itu menjadi! Ia membuahkan pulangan hasil yang lumayak sedap, lazat dan enak pada lidah seseorang yang lain. Dia makan penuh rasa sedap sekali. Kini, baru aku tahu betapa bahagianya bila masakan kita dipuji orang!

Mak pun cakap, air asamnya yang sedap sehingga dipuji orang itu disebabkan dia membuatnya dengan penuh perasaan kasih sayang kepada kami.

Selepas makan malam, daku merangka surat untuk abah melawan Majlis Daerah Pendang. Abah pun baca dengan teliti dan rapi sekali.

"Tunggu sat, jangan hantar lagi. Tunggu sampai esok, abah nak jumpa depa balik," katanya.

"Takut-takut depa sudah berubah cakap. Tapi, kalau depa masih cakap macam tu juga, baru kita buat aduan kat surat khabar."

Daku mengangguk tanda setuju. Sekarang, aku hanya menunggu hari esok. Seseorang perlu beri pengajaran kepada MDP. Dan, orang itu adalah abahku!

Kalau ia meletup, keluarga kami adalah Keluarga Gerila, siap menuju medan perang. Pramoedya Ananta Toer mengarang novel Keluarga Gerilya (Gerila), keluarga Amilah, anaknya mati satu persatu pada zaman penjajahan Belanda.

Dan, yang paling menyedihkan, seorang anak gadis Amilah sudah hilang kehormatannya kepada seorang pegawai penjara yang berjanji akan bebaskan abangnya, jika gadis itu rela menyerahkan kehormatannya.

Tapi gadis itu tertipu. Maruahnya terburai dan abangnya masih belum juga dibebaskan daripada penjara Belanda. Aduh sedihnya!

Currently have 0 comments: