Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

11 - 17 J. Awwal | 25 April - 1 Mei (Ahad - Sabtu)

Sunday, April 25, 2010 , Posted by nota untuk Syiah at 6:04 AM

17 J. Awwal | 1 Mei (Sabtu)
Pagi. Bertolak ke Baling hadiri kenduri Pak Lang masuk rumah baharu. Tok, Tok Wan Sik sudah menanti.

Petang. Kami buat keputusan secara main-main mahu ke Kroh untuk mengutip kembali kenangan lama. Daku rasa, aku paling seronok ketika ini.

Kami tiba ke pekan Baling. Sudah banyak perubahan. Bila kami mahu pergi ke Kroh, sudah tiada askar berkawal seperti 30 tahun lalu. Jalan dah baru dan dah tiada bijih timah yang diangkut.

Hatiku dirundung kaciwa. Kami jalan lagi. Tengok tanah abah yang dijual pada harga RM12,000 pada 1980-an dulu di pekan Kroh. Sekarang, dah jadi RM100,000, demikian kata Pak Wan, jiran kami yang baru kami kenal itu. Abah jual tanah itu kepada pakcik Mail, rakan usrahnya.

"Cina dengar RM100,000 depa terus nak beli. Tiba-tiba Mail pun tak jadi nak jual," kata Pak Wan lagi. Dia bekas Polis Hutan. Dia juga dapat tanah dekat sitii ketika dia bekerja dahulu.

Antara tempat lawatan
Kami melawat rumah rehat Perak, pejabat pos yang asal dan kini sudah ditinggalkan. Aku masih teringat mak bawa aku ke pejabat pos ini masa kecil-kecil dahulu.

Kami pergi ke Sekolah Rendah Kroh, tempat aku sempat mengaji hanya darjah 1 tahun 1984. Di sini, aku tengok dah banyak perubahan.

Pelik! Kenapa bila dah besar, aku tengok semua rumah dan bangunan ni kecil-kecil belaka. Kroh atau Pengkalan Hulu sudah ada hotel. Bolehlah aku menginap bila aku datang sendirian kelak.

Kami terus ke Kuarters Imigresen Air Panas. Aku dapat lihat tadika Kemas, tempat daku belajar masa kecil dulu. Kemudian, masjid Kuak, tempat ini sempat aku masuk belajar di tadikanya.

Kami masuk kawasan kuarters. Jalan menuju kolam air panas sudah ditutup. Tanah lembap itu sudah diturap. Pokok durian sudah ditebang. Masjid Kuak dan Sekolah Kebangsaan Air Panas itu pun kelihatan sangat dekat dengan rumah kuarters kami; 196F itu.

Tempat rakan-rakan abah bermain badminton itu sudah diganti dengan tempat bangsal baharu.

Aku tetiba kacewa dan marah saat semua keindahan ini hilang! Kesejukan serta kedinginan tidak lagi menerpa pada waktu petang.

"Kalau dulu, jam 10 pagi ada lagi kabus," kata mak lagi. Abah menambah, minyak rambut pun beku. Ya, betul. Aku masih ingat. Aku masih anak-anak lagi masa itu. Aku minyakkan rambutku menggunakan minyak kelapa. Aku mesti panaskan minyak itu di dapur untuk mencairkannya.

Aku masih ingat, lantaran kesejukan, maka pacat ada di mana-mana. Pacat akan ada dalam bilik air. Dengan cuaca panas di Kroh, aku tak fikir pacat akan ada lagi di Kroh.

Perjalanan diteruskan ke rumah pakcik Liyas. Dia ni adalah kawan abah masa dalam usrah Abim unit Kroh dahulu. Selepas minum-minum sekejap, kami keluar ke Betong.

Kami ke Betong dalam keadaan kami tak bawa passport tanpa sebarang pengenalan. Kami lepas masuk begitu sahaja. Ya, kami masuk secara haram ke Thai, he he...

Thai tak peduli Komunis ancam Malaysia
Dalam perjalanan, abah bercerita mengenai petanda-petanda dan isyarat bahawa Komunis akan serang Malaysia. Abah mula bekerja di Bukit Berapit, Perak pada 1980-an.

"Apabila Komunis nak serang Malaysia dari Thai, kadar kemasukan orang-orang Thai masuk ke Malaysia, berkurangan. Ini bermaksud, mereka dah tahu yang Komunis akan serang kita.

"Atau, berkemungkinan pihak Thai sendiri dah buat sekatan di Imigresen Thai supaya rakyat mereka tak dapat masuk ke Malaysia," kata abah.

Aku teringat ketika Najib diasak Thai ketika Bangkok Post membuat dakwaan bahawa Malaysia ada menyimpan 'pengganas' Melayu Muslim di selatan Thai. Najib menafikan.

Tapi, bila Komunis (yang disifatkan Malaysia sebagai pengganas Komunis) berlindung di selatan Thai tidak diganggu Thai, Najib takut dan tidak membuat desakan ke atas Thai pula.

Aku harus mengakui dengan jujur bahawa, apabila lewat ke daerah ini, segala 'syiar' iklan wanita yang mengghairahkan dan kelibat wanita-wanitanya yang menggiurkan akan mengundang suatu masalah baharu ke atas diriku.

Tetapi, kelibat jemaah Tabligh yang kulihat di masjid ini, menyebabkan aku fikir, bahawa masih ada harapan di sini. Ada juga universiti sebelum tiba di bandar Betong ini.

Maghrib. Kami makan di sana menjelang Maghrib, beli mempelam dan beras untuk dibawa pulang. Dalam perjalanan balik, pakcik Liyas bercerita yang dia banyak terhutang dengan abah.

"Pakcik ni dulu cuci tandas ja, abah hangpa yang tolong mengesahkan sampai dapat kerja," katanya. Aku bercita-cita mencontohi sikap abah. Dia guna kuasanya untuk bantu orang.

Baru-baru ini pun abah menurunkan tandatangan ke atas seorang lelaki yang menghadapi susah hidup untuk meneruskan kehidupan, sehinggakan hal ini menyulitkan dirinya sendiri.

Balik ke rumah pakcik Liyas, pakcik Mail pun datang. Dia bercerita mengenai pengalaman beliau merantau ke Kemboja. Dia cakap, dia pernah baca catatanku mengenai Kemboja di Harakah.

Aku rasa malu dan segan juga. Aku tulis entah tentang hapa-hapa. Tapi, yang paling menarik itu, kisah pakcik Mail jadi ahli majlis daerah Pengkalan Hulu.

Kesilapan PR di Perak berawal dari kelemahan sendiri
"Macam mana kita tak cengil (marah-marah) bila kita tau depa tipu duit orang? Belanjawan defisit," katanya. Dan, banyak lagi kisah Umno sabotaj PR di Perak.

Abah lalu menambah, "Saya lihat, selain isu Umno sabotaj, kita kena tengok juga kelemahan dalaman kita sendiri. Nizar masa dia jadi MB dulu, sepatutnya dia boleh kawal terus polis. Dia selaku MB, dia ada kuasa ke atas polis, tapi dia tak nampak hal itu barangkali."

Pakcik Mail menambah, PKR yang tak banyak jasa apa-apa pun, dah tuntut macam-macam.

Aku belum cerita lagi kes Anwar call Ustaz Ahmad Awang, meminta Nizar masuk PKR ketika PR dah bentuk kerajaan di Perak. Hal ini diceritakan Alo ketika Ustaz Ahmad Awang rawikan hal ini kepadanya sejak awal-awal penubuhan kerajaan PR di Perak dahulu.

Alo pun mengaku yang dia dengan kesibukannya dan keuzurannya maka dia tidak sempat untuk mengarang lagi. Selepas pembedahan pintasan jantung, aku tak tahu keadaan kesihatannya lagi.

Sebelum balik, pakcik Liyas beri ikan keli yang diternaknya dalam tong. Aku kagum dengan dia. Daripada orang biasa, sekarang dah jadi hartanah, buka tanah sana-sini. Dia beli tanah bukit dan tanah tepi jalan untuk menubuhkan Maahad Tahfiz sendiri.

Kami sekeluarga dah tengok tanah-tanah dia. Betapa dia daripada bawah, kini sudah pun megah dengan hasil usaha, kudrat, keringat dan pemikirannya yang tercurah di daerah ini.

Dalam perjalanan pulang, abah bercerita mengenai kisahnya yang lalu di Keroh. Katanya, pakcik Liyas ini kerjanya mengepam air di pejabat Imigresen Bukit Berapit.

"Keadaan masa tu, dengan serangan Komunis, Betong dengan hiburan, orang-orang banyak keluar masuk di situ menyebabkan abah rasa perlu ada pengisian di situ.

"Dengan seorang kawan abah, encik Nasir namanya, kami tubuhkan Usrah Unit Kroh. Rumah kita pernah jadi tempat muktamar Abim," demikian kata abah.

Rumah kami pernah jadi muktamar? Mungkin sebab tu kot Ustaz Siddiq Fadhil kenai abah? Kat rumah, memang Tafsir Fi Zhilal Al-Qur'an ada ja dalam rak pustaka rumah tu. Dahsyat abah ni!

Dia rupanya yang wujudnya usrah Abim di daerah ini. Pakcik Liyas dan Pakcik Mail inilah antara orang yang abah berjaya tarik dan akhirnya mereka dah bina Maahad Tahfiz. Subhanallah!

Bila kami pindah ke Pendang, 1984 - 1985, aku mula masuk darjah 2. Aku dikirim ke Taski Abim dan bila aku dewasa, baharu aku perasan sesuatu - Masjid Batu Hampar adalah taski pertama!

Taski adalah hasil cetusan, idea arwah Ustaz Nikmat Yusuf, Mudir Dehrang. Agaknya, ketika ini, abah berkenalan dengan orang-orang Dehrang. Dan sampai sekarang abah dok mengaji Dehrang.

Daku dan anak-anak di taman perumahan ini adalah anak-anak terawal yang dimasukkan dalam taski nomad ini. Kami berpindah randah, tiada sistem silibus yang mantap seperti yang ada pada hari ini.

Yang aku ingat, abah beri sebuah buku tebal, buku pejabatnya dan pada setiap petang, aku cuma ikut rutin - apabila van datang setiap Jumaat petang depan rumah, aku akan naik sahaja.

Aku terkenang cerita pakcik Liyas tadi yang bercerita mengenai kenakalannya masa muda pada abah yang disaksikan kami semua. Aku juga mendengar cerita kenakalan abah ketika muda dan sesekali mak bercerita juga perihal abah dan ustaz-ustaz Abim semasa mereka muda.

Aku tahu ustaz Wan Salim segan nak bagi gambarnya masa muda kerana ada gambar dia menari waktu muda. Hal ini berlaku ketika aku bekerja di Siasah dan menemubual beliau untuk Siasah.

Ketika itu arwah Ust. Nikmat baharu saja meninggal dunia lalu dia bercerita tentang semua yang bersifat rahsia-rahsia semasa muda.

Aku menulis di sini bukan bertujuan nak mendedahkan pekung mereka. Ini sekadar suatu cerita bahawa DAKWAH, PENGETAHUAN, ILMU, KESEDARAN DAN PENCERAHAN itu akan ubah watak seseorang yang tidak kita sangka-sangkakan.

Oleh itu, jangan kita pandang rendah kepada orang lain yang kita lihat tiada pendidikan agama, dan jangan kita pandang hebat kepada amalan dan ilmu kita. Allah akan mengubah seseorang itu dalam sekelip mata. Yang jahat boleh jadi baik dan baik boleh dicelakakanNya.

Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berdoa untuk ditetapkan iman sentiasa.

Malam. Bila kami tiba di rumah, semua dah ada. Aku terniat untuk buat BBQ sekali lagi. Malam ini antara malam penuh bermakna. Berjalan dan merantau akan membuka ufuk pandangan kita selebar-lebarnya dan seluas-luasnya.

Imran dan Pah, isterinya, Ibah dan Shukor, suaminya bersama Hakim dan Sarah, anak saudara aku sudah berada di rumah. Mak dan abah memang gembira bila semua berkumpul.

Aku rasa, ini adalah waktunya untuk aku menyelami permasalahan keluarga, masalah abah dan mak dan aku cuba selesaikan seperti mana mereka berusaha keras menyelesaikan masalah aku ketika aku muda-muda dahulu.

Masalah abah yang bergelut untuk mendapat premis perniagaan di MDP dengan segala karenah yang tidak sepatutnya berlaku adalah antara hal yang menarik perhatianku saat ini.

#####################

16 J. Awwal | 30 April (Jumaat)
Bila aku celik mata, aku teringat mimpi semalam. Mimpi pegi ke Mekah. Abah masuk ke bilik dan bau Mekah semerbak di dalam bilik. Bau minyak atar!

Aku terjaga dan mahu bersiap untuk solat Jumaat. Rerupanya, diam-diam, mak sudah beli bahan BBQ di pekan Jumaat, Kilang Kecil. Ia menghala jalan menuju ke Bukit Jenun.

"Petang ni lepas Asar kita buat BBQ," kata mak lagi. Belum lagi sempat aku mencelah dengan pertanyaan, mak menyambung...

"Mana ada sapa dah, Ibah balik Gunung Keriang, kenduri nikah adik-beradik sebelah Shukor. Imran balik Perik, kenduri besar sebelah mentua dia."

Aku terdiam sejenak. Memang dah tak ada siapa. Aku harap Kaktie balik hari ini. Nanti aku akan tebus balik semuanya, insya Allah.

Bila balik daripada solat Jumaat tadi, timbul kisah kucing-kucing yang asyik kencing atas motor.

"Jadi, bila pagi abah naik motor untuk Subuh, kena basuh motor dulu, kucing kencing," abah mengadu masalah kucing-kucing jiran sebelah. "Tak kan nak basuh motor, masjid dah azan."

Sebagai langkah mengatasi masalah ini, mereka cadang nak pasang perangkap. Bila dapat seekor terus mereka nak buang jauh-jauh. Sesekali pulang kampung, tahu juga masalah orang tua.

Aku pernah buang kecil, lepas itu aku dihurung rasa bersalah. Jiwaku terkurung dan penjara dan rasa bersalah buat selama-lamanya. Tapi, kucing-kucing 13 ekor ini tidak pantas kubiarkan.

Nanti dulu! 13 ekor! Ini angka musibah! Bagaimana aku mahu mengelak musibah ini?

Dulu, abah pun protes hal membuang kucing itu. Tetapi bila motornya yang mahu dibawa masjid itu, maka dia pun mengubah 'fatwa'nya.

Di rumah Ust Siddiq Fadhil dulu, dia pun rasa sukar nak buang kucing di rumahnya di Sg. Ramal, Kajang. Tapi, aku lihat kucing-kucing di rumahnya jinak-jinak dan bukannya buas sangat.

"Kita perjuang keadilan! Berteriak keadilan! Tapi kucing di rumah sendiri dibuang," kata-kata pimpinan Kolej Darul Hikmah (KDH) itu masih terngiang-ngiang di telingaku.

Atas nama Hamtaro, kucing yang telah berjuang memperjuang rumah kami daripada dicerobohi kucing-kucing jahat itu, maka aku cuba tangkap mereka yang menceroboh rumah kami. Takbir!

Kisah Ali Mamat, editor Bernama
Ada seorang editor di Bernama, Ali Mamat namanya. Aku mengenalinya pada 2004, ketika daku sedang menjalani latihan amali (praktikal) sebagai wartawan pelatih di Bernama, KL.

Salah satu sikapnya, ialah dia akan kerap pulang ke Trengganu pada Jumaat petang. Aku hairan apabila melihat dia kalut-kalut dan bergegas pulang dari pejabat setiap Jumaat petang.

Suatu hari Biey, rakanku di USM bertanya hal itu kepadanya. Akhirnya, baru aku tahu, dia akan pulang ke kampungnya setiap minggu untuk menziarahi kedua-dua orang tuanya.

"Encik Ali kan ada adik-beradik di sana?" tanya Biey kepada editor kami itu.

"Memang ada, tapi saya tak percayakan mereka. Saya mesti tengok sendiri keadaan orang tua saya," katanya. Jadi, aku ingin mencontohi jejak langkahnya.

Kalaulah aku dapat rezeki lebih, dapat kerja tetap, atau dapat tulis buku best-seller dan kerana itu, aku boleh dapat duit banyak, daku beriltizam untuk kerap balik ke kampung, insya Allah.

Nanti bolehlah aku jelajah banyak tempat untuk membuka kerajaan-kerajaan baru, pergi Hatyai untuk tiba ke Yala, Champa, turun ke Singapura dan pergi ke Acheh untuk bina Nusantara Baru!

Petang. Aku tak sedar bila Kaktie balik. Apabila nak pergi Taman Wawasan, terus nampak dia. Jadi, kami terus ambil peralatan BBQ.

Pasaraya Pendang cawangan Taman Wawasan dirasmi hari ini oleh Senator Mashitah Ibrahim, Chef Wan pun datang meraikannya antara jam 3 - 4 petang.

Kami membeli-belah sekejap di Pasaraya Pendang. Aku beli bebola udang dan beberapa perkara untuk dimakan malam nanti.

"Kat sini, akan ada stesen minyak Petronas nanti," kata abah ketika merujuk sebuah kawasan lapang berdekatan Pasaraya Pendang itu. Wah! Pekanku akan membangun!

Malam. Kami mula ber'BBQ' dalam jam 7 petang. Bila Maghrib tiba, kami bergantian mengipas ayam, udang, french-fries dan bebola udang.

"Orang dulu-dulu bila makan nasi, kalau tak habis, buat nasi goreng. Kalau tak abis juga, baru bagi dekat ayam. Depan manfaatkan sepnuhnya," kata Kaktie ketika bercerita tentang isi kuliah PM Talhah Idrus, guru kuliahnya.

Betapa ramainya orang yang tidak bersyukur kepada Tuhan, demikian aku khutbahkan kepada Kaktie malam ini. Kita perlu kempen berterusan untuk kembali kepada nilai Melayu dahulu.

"Kami 'mati air' bila nak jaga ikan daripada rosak. Cucuk ikan dengan bemban. Kalau beli ikan, tak guna plastik, kami guna kertas. Alam jadi selamat sebab kertas boleh mereput kat tanah," kata mak pula. Aku dan Kaktie hairan, apa maksud 'mati air'?

"Rebus ikan dengan air garam, bolehlah tahan ikan tu sampai beberapa hari," jelas mak. "Dulu mana ada peti ais."

Esok ada kenduri nak masuk rumah baru di Baling. Pak Lang, adik mak dah keluar dari kuarters guru. Mungkin aku pi. Kita digalakkan untuk kembali mengeratkan tali silaturrahmi.

#####################

15 J. Awwal | 29 April (Khamis)
Lihat bayangan Tg Tuan dalam impian. Kali ini aku tiba dengan seorang rakan yang tak jelas kelihatan, hanya dengar suaranya.

Lautnya jernih menghijau sehingga nampak ke bahagian dasar.

Petang ini, menyambung dan siapkan bahan sastera semalam. Rasanya tak dapat nak tengok premis kedai yang abah sewa tu.

Hani kirim sms - jikalau aku mahu menjadi tenaga pengajar untuk program PP, maka hendaklah aku mengirim CV kepada pegawai di UKM. Kini, aku sedang mengirim CV itu.

Kickdefella terima RM4 juta gelapkan imej Pak Lah?

Pak Lah berucap di IKIM. Demikian menurut laporan berita yang kuterima jam 3:30 petang ini di TV1. Pak Lah berkata - agihan bantuan itu tidak mengira apa-apa kaum di Selangor.

Baru aku teringat kata Ai of Utusan semalam bahawa dia akan pergi ke IKIM kerana menghadiri syarahan Pak Lah. Dia sempat bertanya Pak Lah isu Kickdefella dapat RM4 juta untuk gelapkan imej bekas PM itu. Tapi, Pak Lah tak ambil sikap menyerang.

"Awak tahulah Pak Lah, baik sangat," katanya. "Pak Lah kata, tak pa lah biar dengar dululah apa kata Syed tuh."

Petang. Ketika aku masih menggodam bahan, tiba-tiba sudah masuk kiriman sms dari H yang menyatakan CV yang aku hantar tadi sudah siap diproses untuk PP.

Aku juga mendapat kiriman mel-e dari AG of Jalan Telawi menyatakan bahawa dia akan siarkan cerpen aku. Daku pun mula memasang angan-angan untuk membuat cerpen fantasi, komedi dan berniat membukukan antologi.

Hidup ini suatu perjuangan dan kita mesti cuba apa sahaja yang terlintas dalam kepala dan dada.

Malam. Selesai hantar bahan. Ibah, adik iparku dan keponakanku Hakim balik Gunung Keriang malam ini. Tinggal aku dan mak berdua. Baru aku faham pengertian hidup sendirian.

Jadi, mak sudah mula belajar tinggal bersendirian. Masa arwah Tok Langgar masih hidup, arwah Pak Tam akan mewakafkan salah seorang anaknya untuk tidur di rumah Tok Langgar.

Iaitu, sepupu aku, abang Fauzi. Aku beriktikad jika aku punya anak lelaki, akan aku rapatkan dia dengan ibuku agar dia lebih kerap, akrab dengan Pendang ini.

Huh! Anak laki konon. Calon seorang pun tak dak lagi. Nak simpan angan-angan tinggi. Tapi, bila aku fikirkan balik. Hakim anak lelaki dari sebelah adik iparku, ertinya dia bukan waris kuat Haji Amir. Sarah anak perempuan Imran. Jadi, dia bukan waris kuat setakat ini.

Haji Amir belum ada pewaris kuat. Maka, tugas aku menurunkan zuriat anak lelaki untuk terus bekerja membuka ruang wilayah Tauhid di Yala dan Champa dan lain-lain wilayah! Jeng! Jeng!

Ya, ibu sudah mula belajar tinggal sendirian. Rakan kita yang paling akrab dan karib adalah amal soleh kita sendiri. Maka, kita mesti memperbanyak amal soleh kita di dunia ini.

Tapi kenapakah hatiku masih terpaut kepada dunia? Kecantikan wanita dan semua tipudaya ini?

#####################

14 J. Awwal | 28 April (Rabu)
Dinihari. Selepas menonton The Persuaders, TV2, aku masuk internet menyelongkar Tg Tuan di Melaka menggunakan satelit Google Maps. Kali ini dapat 'scan' pulak.

Tapi, pabila aku menyelongkar Pulau Besar, Melaka, ada dalam 60% ke 70% daripada kawasan itu yang satelit tak boleh 'scan'.

Persoalannya, kenapa? Ada apa-apa ker. Aku lihat, Pulau Besar berdekatan dengan Muar. Daku kena pergi Muar agaknya lepas ini. Fuh! Sibuknya aku la ni, mengalahkan kesibukan Sinchan.

Pagi. Aku bangun pagi ini, lalu termenung memikirkan mimpi semalam. Aku siap ceramah serta bagi khutbah kepada siswa-siswa universiti. Hampir semua watak yang pernah bergaul dengan aku sudah datang malam tadi dalam mimpiku.

Aku terfikir nak bukukan Falsafah Kewartawanan Pelajar untuk rujukan mereka yang berminat untuk mendalam ilmu kewartawanan. Semoga diberkati usahaku ini. Ameen..

Tengah hari. Makan tengah hari ini sungguh menyelerakan. Kata ibu, dia beli udang itu 7 ekor (400 gram). Ada orang datang berjualan bahan-bahan mentah di rumah kami pagi tadi.

"Ada tiga peringkat udang tadi," kata mak. "Ada yang RM30 sekilo, dan RM40, RM50 sekilo."

Tengah makan, abah dan mak bercerita mengenai sebuah KFC yang akan dibuka di Pendang tu. Aku rasa rugi kerana lewat meminta KFC menyewa kedai kami.

"Tapi, kedai kita mungkin tak sesuai, sebab KFC nak bahagian bawah satu dan tiga lagi unit di atas," kata mak lagi. "Jadi, KFC mungkin kena buat perjanjian dengan jiran kita pulak."

Aku terdiam. Kalau KFC tak boleh, Mc Donald macam mana? Burger King ok tak? Hati dihurung rasa serba-salah yang masih menebal.

Abah jemput aku ke Balikpapan, tempat pondok Ustaz Fahmi Zam Zam di Banjarmasin, anjuran Maahad Dehrang semua ini. Ada sidang pengajian kilat melibatkan Kitab Al-Hikam katanya.

Tiada sempat aku bertanya, apakah Al-Hikam Ibnu Madyan atau Ibnu Athaillah As-Sekandari?

"Duit tu abah, RM1,500," demikian aku menolak dengan menggunakan alasan duit.

"Abah bayar tak apa," kata abah lagi.

Lalu, aku nyatakan kekhuatiranku, kalau-kalau pihak KK panggil aku bekerja. Jadi, mungkinlah akan sulit untuk aku bergerak ke mana-mana nanti. Maka, dengan sendirinya bualan tertutup.

Petang. Abah juga berkata, yang dia akan buka pejabat Pesuruhjaya Sumpah kat pekan. Petang ini, dia akan pergi bertemu majlis daerah untuk cari premis yang boleh disewa.

Dia balik dah jumpa satu premis. Aku doakan abah berjaya menuju cita-citanya.

Menggodam internet, aku bertemu 'debat' antara NY of BH dan Puan Ainon of PTS. Debat yang seperti ini boleh kalian temukan di laman seperti di bawah ini.

http://universitipts.com/index.php/site/comments/lagi-lagi_cerita_penulis_ditipu_penerbit

Aku berhajat besar jika Lutfi Ishak dapat usahakan Dom untuk bincangkan isu ini secara tuntas!

Berbual dengan beberapa orang lewat chat YM. Wartawan Utusan, termasuk penerbit yang nak minta aku kendalikan sebuah diges terbaru.

Dengan bantuan wartawan Utusan ni, mungkin juga aku boleh berkarya mengenai isu-isu agama untuk hari-hari akhiratku. Kena ada juga buku-buku agama sebagai panduan kepada umat!

Juga Diges agama ini, mungkin boleh aku jadikan modal sulungku untuk akhirat jua. Ameen...

Malam. Abah baru balik usrah. Makan malam juga menyelerakan kerana hidangan tengah hari tadi masih berbaki. Bila abah balik dari usrah, depa jamu Nasi Arab.

Sedap sungguhlah Nasi Arab ni. Aku ingat masa aku nak buat BBQ hari Sabtu atau Ahad ni, daku nak minta mak masak juga Nasi Arab ni dan sediakan juga air asam yang dicicah dengan daging.

"Esok, kalau nak tengok premis kedai yang abah nak sewa tu, naik tangga kat pasaraya GM," kata abah ketika kami makan malam tadi.

Aku angguk-angguk. Ada lebihan ruangan yang agak luas untuk dibuat bengkel, kelas pengajian juga kalau abah berminat. Mungkin boleh cari duit lebih sikit dengan cara tu.

Malam ini, aku siapkan bahan sastera Harakah untuk besok supaya tidak kalut-kalut lagi. Hidup perjuangan! Takbir!!!

#####################

13 J. Awwal | 27 April (Selasa)
Aku mula sedar sesuatu. Kalau tidak siap bahan sebelah malam, maka akan tergendala banyak urusan di sebelah siangnya.

Jadi walau macam mana pun, daku kenalah siapkan bahan pada sebelah malam dan esok paginya bolehlah aku keluar jalan.

Hari ni, mahu ziarah Pak Su Mid Bukit Tembaga pun tergendala dan hajat nak naik Gunung Jerai pun sudah terbengkalai.

Petang kerap hujan. Aku mungkin sukar bergerak untuk berjalan jauh kalau macam ini. Tapi jika hujan petang, ia kerap mendamaikan sekali gus mententeramkan jiwa.

Hari ini, aku menulis lagi tentang Rosmah untuk JPB, walaupun JT telah menolak hasil karangan aku. Mengarang ini memerlukan kecekalan dan daya usaha mencuba yang berterusan.

Petang. Berbual dengan kawan PTS, juga aku baru mengenali Herman dari S'pore dan Ram dari pasukan Rela. Terasa hati yang mati kembali hidup dan bernyawa semula.

Perkara-perkara yang berbangkit agak menarik. Tapi, tidak berminat aku menukilkannya di sini kerana ia berkaitan hal-ehwal kerajaan persekutuan. Kena jaga sama periuk nasi mereka.

#####################

12 J. Awwal | 26 April (Isnin)
Dinihari. Zaid Ibrahim kalah. TV melaporkan berulangkali hal kemenangan BN itu. Di FB, 'debat' kecil dengan Azraie; Chinese convert to Muslim.

Dia tak suka Zaid sebab calon itu masih baru. Aku cerita kat dia, bahawa ada orang Pas tidak suka Zaid dan mahu naikkan Syed Shahir.

Resolusinya, PR patutnya buat satu acara debat untuk debatkan calon-calon yang mahu dibawa dan bukannya hanya mengiyakan kata-kata Anwar seorang sahaja.

Pagi
. Sakit gigi geraham sejak semalam. Bila sampai tengah hari, ia beransur-ansur pulih secara semulajadi. Aku masih menaip bahan-bahan penting.

Pagi ini, Alo sudah mula masuk bilik pembedahan untuk pintasan jantung. Ia bermula jam 7 pagi tadi dan berakhir pada jam 12 tengah hari tadi. Aku baru terjumpa ayat yang Alo nak.

At-Taubah, ayat 128. Bila aku sms telefon bimbit dia. Anak dia jawab, ayahnya dah selamat dah di ICU dan dijangka pada jam 4 petang ini, Alo mungkin sedar sikit-sikit.

Kepadamu Tuhan, daku mengucapkan syukur alhamdulillah...

Petang. Masih terkial-kial menaip dengan menggunakan leptop abah. Hujan petang di Pendang ini begitu mendamaikan. Hilang sedikit rasa serabut di kepala berbanding suasana di ibu kota.

Sesekali bermain dan melayan keponakanku Hakim, terasa indah dan mengasyikkan sekali, biar pun sesekali dia suka menarik wayar leptop abah (tokwan dia sendiri).

Budak-budak. Biasalah. Pantang apa yang dia lihat kita sentuh, yang tu lah dia nak sentuh sama.

Ke Taman Wawasan, tengok mak mop lantai. Sedikit masa lagi, Chef Wan dan Senator Mashitah Ibrahim akan tiba di sini untuk merasmikan cawangan Pasaraya Pendang yang baru dibuka.

Maghrib, aku balik ke rumah dan singgah solat Maghrib di Masjid Ar-Rahman, sebuah masjid di kampungku yang penuh dengan kenangan.

Malam ini, aku baru dapat tahu yang TMJ dan Taufek memberi aku tugasan baru di Harakah.

"Page 16 - 17 enta kena siapkan," kata Taufek. Daku jadi gelabah dan gabra sedikit sebab tidak dimaklumkan tugas itu sebelum ini. Bagaimanapun, aku buat dan susun juga bahan-bahan.

Akhirnya, Dr Nots dah siap dan page aku itu ditunda ke hari Isnin. Memang kalau Alo tak ada tu, jadi kelam-kabut sikitlah dengan arahan yang tidak terurus.

#####################

11 J. Awwal | 25 April (Ahad)
Pagi. Bergegas pi Jalan Duta untuk cari tiket balik Pendang jam 11 pagi ini. Mujurlah aku sempat juga.

Seorang aweks memerhati. Daku rasa mungkin dia kenal diri ini (sorry terperasan sat...) Bas Mara Liner kali ini turun Sg Perak dan tidak berhenti di Bukit Gantang seperti kebiasaannya.

Pagi tadi, terima jemputan Akmal Abim untuk hadir jamuan makan di Restoren Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa; RM28.50 untuk satu kepala.

Apa nak buat? Keputusan telah dibuat. Risau juga jika ditunda banyak kali balik kampung, nanti tak jadi-jadi. Walhal, boleh ja datang malam ni dan terus naik bas jam 11 malam ni. Tapi, macam aku kata tadi, penundaan boleh menyekat banyak urusan. Maaf tuan-tuan...

Petang. Tiba di Pendang sekitar jam 4:50 petang. Aku usha ayam, burger, fishball, fishcake kat Mesra, Petronas, Pendang, habuan nak buat BBQ kepada keluarga. Abah datang. Maka, aku tak jadi beli.

Dalam perjalanan ke rumah, aku bertanya cara nak pi Hatyai. Berdasarkan pengalaman abahku sebagai mantan pegawai Imigresen, maka aku layak guna 'border pass' (pas sempadan) kerana aku kelahiran Perlis dan kini menetap di Kedah, iaitu ia adalah negeri di bawah naungan Siam.

Aku terlupa nak bawak balik passport. Ralat sungguh! Mak tanya, tak bahaya ke Hatyai tu?

Abah kata, "Hatyai dengan Setoi (Satun) tak bahaya. Kalau Yala dengan Narathiwat memang bahaya."

Sambil minum-minum petang, aku bincang cara nak buat BBQ. Abah kata, nanti dia akan keluar senarai bahan yang patut dibeli. Mungkin aku akan dok seminggu kat sini kot untuk menunggu kepulangan adik-adik semua...

"Jangan beli lagi. Hari tu pun kami beli banyak sangat, makan tak habis..." kata mak pula.

Malam. Selesai solat, aku 'perasap'kan 'senjata' aku; netbook. ASTAGA! Terlupa nak bawa balik charger Netbook. Aduhai! Bukan saja passport aku lupa nak bawa balik, malah yang amat parah ialah aku terlupa nak bawa balik pengecas Netbook!

Waa... Urgh! Urgh! Urgh!

Ada suatu hal lagi yang membimbangkan. Berat badan mencecah 60kg. Dengan ketinggian 168 cm, adakah berat itu 'ideal'? Dulu, beratku 'maintain' 55kg untuk satu tempoh yang agak lama.

Kena jaga kesihatan. Tidur awal dan exercise, jaga pemakanan. Apa yang berlaku kepada Alo itu amat menginsafkan diri ini. Kalau ada lebihan waktu, aku akan naik Gunung Jerai untuk exercise kelak, insya Allah Ta'ala...

Currently have 0 comments: