4 - 10 J. Awwal | 18 - 24 April (Ahad - Sabtu)
Tengah hari. Saif tidak dapat 'join' aku untuk tonton filem seram Phoonk2. Aku tonton seorang jam 2:45 p.m tadi di TGV Capsquare.
Tiada dapat aku mahu meniru watak hero aku dalam filem Rwanda kali ini. Niat di hati, kalau dapat bertemu mungkin lebih banyak hal yang boleh dibincangkan kemudian.
Tamat tontonan ingat nak makan nasi lemak Dang Wangi. Rupanya hari Sabtu mereka pun cuti. Lalu, aku pergi area Yap Ah Shak, di sana pun ada nasi lemak juga.
Sepertinya kan ada sebuah lagi bangunan baru akan dibina di situ. Makin banyak pembangunan, makin banyak tempat makanan marhaen yang akan ditimbus oleh kapitalis ini.
Perlahan-lahan, pembangunan akan menelan dan membaham banyak perkara dalam kehidupan ini. Dan yang ternyata masih dapat diselamatkan adalah ingatan kita untuk dirakamkan di dalam bentuk catatan dan buku-buku.
Sejak pagi tadi dan dua tiga hari belakangan ini, kerap ada suara dalam hati mendesak aku untuk menyusun catatan berbentuk kenangan sejak zaman sekolah menengah dan zaman kuliah. Boleh jadi, tiba masanya untuk aku tulis sikit-sikit dan mulakan karangan besar pula selepas ini.
Pergi Masjid Jamek Kg Baru. Selepas solat, hatiku digerakkan untuk pulang kampung malam ini. Tapi sebelum itu, aku tergerak nak menziarahi Alo di HUKM Cheras sebelum balik Pendang.
Petang. Ke HUKM Cheras, setelah bertanya pengawal keselamatan, aku jumpa alamat Alo kat Wad Sutera, B3, di aras 7. Hasil bualan tadi menunjukkan Alo masih minat mengetahui kes siswa kena tangkap, seperti yang aku dengar daripada Intang dan Amri Upsi.
Tapi, oleh kerana wajahnya tampak lebih jernih dan tenang kerana tidak dicemari berita politik - maka aku tidak berhasrat menyuntik khabar berita derita politik sehingga mencemar rohaninya.
"Isnin pagi ni jam 7 ana dirawat, kemudian akan dimasuk wayar, masuk ICU dalam dua, tiga hari kot," kata Alo lagi, menceritakan perkembangan rawatannya.
Malam. Aku pulang ke SPKB. Dalam perjalanan pulang, pelan bertukar-tidak jadi balik Pendang malam ni dari Jalan Duta. Aku tunda esok. Singgah semula di Masjid Jamek Kg Baru. Baca tahlil, dapat makan nasi ayam bungkus.
Solat dalam bas, KTM tanggungjawab siapa?
Fadhil, lulusan UKM, yang dahulunya pernah bersekali denganku di Kemboja (Champa) di dalam program korban lembu bersama Harakah, menegurku lewat chat FB.
Dia kini di Mersing. Dia menyedarkan aku tentang perlunya mendaftarkan nama untuk buat haji kalau tidak, sampai bila pun kita tak boleh pi tunaikan haji.
Menyentuh soal tabiat Melayu naik bas, keretapi KTM waktu malam dan tak solat Subuh, maka dia pun memberi syor, "Patutnya kena ada panduan solat sambil duduk dalam KTM tu."
"Try enta tulis dalam BH, Utusan, insya Allah KTM akan baca hal itu," demikian aku memujuk.
Tapi, nampaknya dia ingin aku menulis hal itu. Aku pun sukar menulis. Biarlah orang menulis hal yang dia minat. Aku akan sokong tulisannya itu. Itu pandangan aku.
Kalau kita ingin tulis semua hal, tak menang tangan. Banyak isu yang berlingkar di sekeliling dan kita semua perlulah bertindak mengatasi masalah yang sedang berlaku di depan kita sendiri.
Bila aku nak susun Schindler's List nih!?
Chat dengan Ustaz Kamaruddin, dia offer aku ke Saiburi, Pattani, Yala jika aku ada bajet. Di sana ada program anak yatim dalam 96 orang.
"Asalnya, kami buat acara dengan 60 orang anak yatim saja, tapi yang datang 96 orang. Nak tolak, rasa kesian," kata sang ustaz. Acara itu tamat 26 April ini.
Panggilan tanah air sudah pulang. Apakah aku boleh menjadi Schindler, mengambil senarai nama 96 orang anak yatim itu untuk dimasukkan dalam Schindler's List?
9 J. Awwal | 23 April (Jumaat)
Tengah hari. Selepas Jumaat, ke Bank Islam, cari info mengenai rumah lelong, juga transfer duit.
Kirim modem Streamyx, potong perkhidmatan dan melihat kelibat orang tertentu yang meresahkan jiwa. Terkenang cinta nan lalu.
Kupohonkan agar Allah segera mengirimkan daku kekuatan jiwa untuk meneruskan kehidupan.
Ke Celcom tak tahu nak buat pilihan sama ada nak batalkan perkhidmatan salah satu broadband atau tukar nama kepada orang lain. Kenapa lawa-lawa semua kerani ni? Lagilah susah aku mahu buat pilihan dan pemilihan. Lebih hebat pilihan ini berbanding pilihan raya Hulu Selangor!
Akhirnya, aku cuma bayar bil sahaja. Sama ada Streamyx, Celcom, kulihat masih ada lagi duitku yang terbazir begitu sahaja dengan percuma!
Pelajar ditangkap di Hulu Selangor!
Ke JPB, Intan beritahu maklumat berhubung beberapa pelajar yang dah kena tangkap kat Hulu Selangor. Aku dah tak tahu nak kona macam mana story student ni.
Dulu, Hilman beritahu yang mereka mahu turun atas nama peribadi dan bukan atas nama parti tertentu. Tapi, HEP bukan ambil peduli soal itu. Kalau hangpa bukan orang depa, sah akan kena!
Tak dapat nak tanya lanjut. Lagi pun terlanjur berjanji dengan Saif untuk bertemunya di DBP. Di Buluh Perindu, kami berbual tajuk Dom; Penyangak Sastera.
Aku dijemput jadi panel oleh Saif, tetapi daku tidak pandai nak ulas, kerana ini bukan bidang dan perjuanganku. Kalau isu itu melibatkan pemecatan editor kerana siarkan cerpen satira, aku ingin juga tampilkan pandangan berbeza.
Dalam isu ini, aku melihat kedua-dua rakanku itu masih belum dapat tangkap maksud aku sejak aku bangkitkan hal pemecatan editor selepas penyiaran karya satira, berita dan laporan.
Seolah-olah... mereka masih lagi buat penafian bahawa kes pembuangan editor itu tidak berlaku. Isu yang sebenarnya masih wujud, masih ada potensi untuk berlaku tapi masih nak 'disucikan' hal-ehwal pemecatan mereka itu.
Kenapa masih segan, malu nak mengaku bahawa ada ketakutan kalau-kalau berlaku pemecatan. Kenapa kita harus terus mengurung kebenaran kata-kata kita dalam dada, hati, jiwa dan rasa?
Puisi Aziz Desa kritik Anwar penyebab pemecatan editor Sastera BH
"Aziz Desa kirim puisi mengkritik Anwar masa dia jadi TPM, masa itu Dino cuti, akhirnya Dino dipecat," kata NY. Hah! Ngaku pun. Memang ada pemecatan kan? Jadi, buat pa simpan peluru!?
Kalau bab ni, memang aku akan pi ke depan, sebab aku tahu kawan-kawan aku mana berani nak cakap benda-benda macam ni dalam Dom dan dalam Perhimpunan Penulis Muda kelak.
Semangat nak menyatakan yang benar masih boleh dikira. Nak bersatira pun masih menimbang apakah karya tu boleh terlepas atau tidak dalam media perdana. Akhirnya jangankan editor, kita sendiri sebagai cerpenis pun jadi takut-takut dan tak yakin nak hantar karya kita sendiri nanti.
Yang aku maksudkan, jikalau selepas sesuatu karya satira misalnya disiarkan oleh editor dengan andaian bahawa dia (editor) boleh selamat dengan cara boleh menjawab, tapi jika hal sebenarnya tidak berlaku (iaitu masih boleh dipecat) maka adakah kita boleh buat tindakan (misalnya demo) untuk membela editor sastera tersebut?
Jadi, sampai bilalah sajak protes nak meriah di akhbar perdana kalau kita masih mengajar kaum penulis muda ini bersajak mengenai rembulan, pasir di gigi pantai dan hal malam menelan siang?
Bilalah 'turn' isu, tema macam ni akan dibawa oleh Dom? Nak cakap hal penyangak sastera serta hal-hal yang bukan bidangku dan di luar minatku, belum sampai lagi agaknya?
Shopping di Low Yatt
Selepas berpisah aku singgah di Low Yatt, beli keyboard, mouse dan beg khas untuk netbookku. Aku rasa 'feel-good' selepas beli semua ini. Rasa lebih bersemangat nak mengarang.
Tiba di SPKB, bayar kepada Man Motor jumlah kerosakan motor tempoh hari. Sedikit demi sikit rasa lapang dada apabila dah bayar beberapa bil hari ini dengan jayanya. Hurrah!
8 J. Awwal | 22 April (Khamis)
Tengah hari. Entah kenapa daku rasa berat nak selesaikan kerja menguruskan bahan sastera ni.
Nafasku rasa tertimbus oleh tekanan yang bukan sepatutnya daku terima. Patutnya, hari ini boleh pulangkan Celcom Broadband yang kubeli bersama netbook HP Mini dulu, tapi tak sempat.
Akhirnya, aku hanya berjaya transfer wang untuk program pengaktifan akaun bank. Di sini, aku baru perasan ada nasi lemak yang masya Allah... SEDAP SUNGGUH! Dekat Dang Wangi.
Esok, bila-bila, aku pasti akan datang lagi. Ya Allah, jika aku dikurniakan bini, tolong carikan aku bini yang handal membuat nasi lemak yang sungguh sedap. Ameen ya rabbal 'alamin...
Petang di Nasi Lemak Wak Manjor
Selesai Asar di Masjid Jamek Kg Baru, berbual dengan NY di Nasi Lemak Wak Manjor. Di sinilah aku nyatakan hasratku untuk buat program untuk cungkil bakat-bakat MPR yang boleh karang karya berdasarkan 'realisme'.
Aku terpegun sejenak bila NY kritik MPR. Banyak betul. Sebagai pendatang baru, daku memang tak pandai nak ulas sangat hal-hal ini. Aku baru saja dok simpan angan-angan nak bagi yang baik untuk adikku masuk MPR. Fuh! Terdengar cerita yang gelap-gelap pulak tentang MPR ni.
Banyak betul orang anti itu dan ini. Anti Indonesia lah, anti MPR lah. Haduhai! Pening lagi kepala aku kalau macam ni. Baru saja aku bertaubat, dah jadi macam ni pulak dunia sastera kita.
"Kau kena ada persatuan kalau nak minta tajaan bahagian korporat kementerian ni," katanya lagi. Aku rasa, kalau macam ni, kena naik taraflah SPKB daripada NGI kepada NGO. Terpaksa la aku ke Putrajaya lagi untuk daftar SPKB sebagai pertubuhan sah di sisi perlembagaan negara.
Aku harap adikku dapat dilibatkan sama. Juga dengan pertubuhan SPKB ni-aku boleh guna KPT atau Kementerian Pelancongan untuk buat program ini. Banyak juga idea terbit, nak guna teknik 'homestay' untuk dapatkan kesan 'feeling' ke atas suasana desa.
"Daripada kau pi Perak, baik kau pergi kampung kau di Pendang," kata NY. Juga, dia sebutkan rumah Lutfi Ishak sebagai tempat yang betul-betul ada suasana kampung.
Bila NY rawikan isu 'sub-urban', aku mula rasakan suasana desa yang asli sulit ditemukan. Kalau dulu, desa-desa sesak dengan hantu, pengganas komunis dan ia jadi medan tempur, darah serta air mata. Tetiba, aku teringat selatan Thai yang masih ada balu, janda dan orang mati dibunuh.
Jadi, ia mungkin sesuai sebagai tempat, medan latihan berkarya ala realisme. Tapi, bila aku syor nak pi ke Selatan Thai, NY tarik muka lain macam. Sambil senyum-senyum ala Intang.
"Kau nak cari keturunan kau kat Selatan Thai," dia menduga lagi, senyuman sumbing melekat di antara celah-celah giginya.
"Tak de la. Kau juga cakap, penulis sekarang bukan lagi realisme. Budak-budak MPR pun, kau kata dah nak jadi macam Pak Samad Said, nak menulis jer.
"Tapi, dia orang tak tau, betapa Pak Samad tu pernah kena penampar Jepun, hidup dalam zaman peperangan. Kita nak bawa budak-budak MPR hayati zaman pergolakan tu di selatan Thai, walaupun harus diakui ada bahaya, tapi kita kenalah cuba.
"Wartawan sekarang pun nak jadi Pak Samad Ismail, tapi tak sanggup nak masuk penjara..."
Mai tang bab ni, 'khutbah' daku terhenti kerana NY dah tergelak, "Pelan, pelan, kau pekena aku yer..."
Ish, aku tak dah niat nak cakap macam tu. Tiba-tiba ja terkeluar. Tak pa, tang bab ni, biar rahsia jer. Apa yang penting sebetulnya, aku rasa baik aku dan NY bersetuju dalam suatu perkara iaitu, sesi latihan ke atas MPR ni memang 'sangat manja'.
Daripada bualan tadi, aku seolah-olah boleh menghidu bahawa, latihan MPR hanya sekitar hotel, dewan kuliah, bengkel di hotel. Jadi, itu yang menyebabkan mereka jadi manja barangkali.
Ada puak-puak, kabilah-kabilah (spt Lutfi Ishak, seperti diriwayatkan NY, [yang penting bukan aku yang kata oke! he... he...])
Projek yang aku teringin nak 'handle' ini, seolah-olah tamrin kepada penulis muda menjelangnya perhimpunan Penulis Muda 2011. Projek NY dan Lutfi telah pun berlangsung dengan Dom, iaitu - Dialog Orang Muda. Jadi, aku cuba nak tamrinkan bebudak ni kalau menjadilah hendaknya.
"Kau tau tak NY, masa di Samarinda dulu, kami keluar hotel, jalan-jalan ke tebing laut, akrab dengan alam," kataku sambil sebut nama bonda Dr Siti. NY senyum. Hai daku akan ada masalah selalu kalau macam ni. Biarlah rahsia!
Dalam rancanganku, para penulis muda MPR ini akan menemu bual keluarga yang suami, abang, adik lelaki mereka dibunuh, ditahan tentera Thai. Jadi, akhirnya, mereka ini akan dilatih menulis puisi dan cerpen berdasarkan temu bual. Mungkin penulisan ini akan menjadi realisme sifatnya.
Angan-angan ini aku simpan. Semoga ia tidak menjadi kenangan hendaknya. Ameen...
Buku mengenai buah fikiran Alo
"Aku rasa kita kena tiru Indon la dalam hal ni," kata NY kepadaku. Di dalam hatiku mula terbit rasa ingin menempelak dengan kata-kata, bila masa pulak kau sokong Indon ni?
"Dan ini membuktikan bahawa aku bukan anti Indon seperti yang kau sangkakan.." pintasnya dengan cepat, tangkas, pantas dan sungguh bertenaga. Takut betul dia melihat senyum sindirku.
Kah! Kah! Angin petang menyambut kehadiran kami. Aku yang sudah membelasah dua bungkus nasi lemak dekat Dang Wangi tadi, hanya menantikan butiran bicaranya.
Lalu, dia berkata, "Kita kumpul artikel, bukukan artikel untuk mengkaji pemikiran Alo."
"Yang itu, aku ada buat sikit-sikit..."
"Tak de... kita buat ramai-ramai. Kumpul rakan-rakan. Jika Alo ada anak yang boleh tulis lagi oke, kita boleh tahu pendirian anak seorang pejuang," katanya lagi.
Aku termenung lagi. Memang Alo ada juga minta aku tulis tentang dirinya. Tapi aku sendiri yang jadi ragu-ragu. Perlukah kutulis kisah cintanya? Bila aku cakap macam tu, Alo kata, la... tang bab tu, enta tak payah tulislah. Pulak dah! Itu yang nantutkan semangat aku nak mengarang tu.
Kalaulah NY boleh cari lagi dua seorang yang boleh menulis pasai Alo, aku on saja. Jika takdirnya Alo lulus pembedahan jantung 'by-pass' dengan baik, nanti boleh kuhadapkan hal ini kepadanya, insya Allah.
Antara lain yang kami bualkan ialah kritikan Razali Endun yang mengutuk Malam Puisi Riong. Di sini, aku dengar KS merungut-rungut akan hal itu. Sensitif sungguh editor ni. Aku hanya siarkan sahaja. Inilah ruang demokrasi, bebas bersuara.
Kalau kita boleh godam orang dalam kolum Godam, orang nak Godam kita, kena tahanlah sikit.
Juga, aku bercerita tentang Tg Tuan mengenai santuari, perlindungan burung-burung. Aku rasa, tak perlu bercerita semuanya. Kini, aku dah mula faham pendirian Pak Su Mid Bukit Tembaga.
Tak semuanya yang kita tahu, boleh kita ceritakan kepada seseorang. Tidak semua orang boleh menelan semua kenyataan dalam kehidupan ini, apatah lagi ia ganjil dan aneh-aneh. Kelak, akan jadi lain macam pula. Nasihat orang lama ini aku cuba patuhi.
Mungkin sesetengah orang ini, memang Tuhan tidak izinkan dia menerima kisah-kisah ini. Daku kena belajar menerima kenyataan hidup. Setiap orang ada limit, had dan batasan pengetahuan.
Dan, inilah yang harus aku patuhi. Beri mereka ilmu sekadar kemampuan akliah mereka setakat itu. Bila murid itu sudah bersedia, maka gurunya akan tiba. Sebagai 'guru bangsa', hal ini yang aku perlu fahami. Kalau curahkan semuanya, nanti orang akan menolak dan ini kerugian besar.
Malam. Ke JPB, mengirim bahan sastera. Nizam Shah call, bertanya harga emas jatuh. Tapi, dia keliru kerana harga jatuh banyak sangat. Aku kata, ini semua mungkin 'typing error'.
Bagaimanapun aku sabarkan diri agar tidak membeli kerana aku ada keperluan lain untuk bil-bil lain yang perlu aku utamakan. Kalau tidak, dah lama aku beli emas.
Mak call, bertanyakan keadaanku. Smsnya yang terbaru tidak kujawab. Aku tak beritahu emas, tentang rancanganku untuk turun Pendang jika urusan bil-bil semua sudah selesai kelak.
Malam ini, chat di YM dengan Ustaz Kamarudin Landas. Kami capai beberapa matlamat. Kalau Allah izin, maka idea yang kubentangkan depan NY tadi menjadi kenyataan. Di samping melatih penulis muda, boleh mengkaji masalah orang-orang di Yala.
Aku mahu jadi kapitalis Yahudi Jerman; Schindler
Daripada ustaz juga, aku berkenalan dengan Huda, seorang aktivis, siswa Thammasart, Bangkok dan hal ini mengundang kegembiraan buatku. Pertamanya, Thammasart adalah universiti yang pernah hadir, mengisi dalam novel Rice Without Rain; novel yang aku terjemah di Harakah dulu.
Aku tanya hal masjid-masjid di Yala yang boleh kubangun pustakanya. Kalau berhasil projek ini, maka aku akan pegang watak di dalam filem The Schindler's List; seorang kapitalis Yahudi yang guna kekayaan dan kekuatan daya fikirnya untuk selamatkan Yahudi era Hitler di Jerman.
Seperti Schindler, setiap orang Yala yang akan kutemui di jalan-jalan akan daku masukkan nama mereka dalam senarai merahku. Fuh! Mana boleh hikayat sampai habis. Nanti tentera Thai tahu rancangan Protokol Yala ini, rosaklah program pembebasan negara ini.
7 J. Awwal | 21 April (Rabu)
Tengah hari. Kumpulan warga kerja Harakah berkumpul untuk makan-makan tengah hari di rumah Alo.
Di sana, Dinsman tanya apakah benar daku sudah tamat di EP. Aku mengesahkan. Aku jelaskan niat nak sambung pelajaran. Dia faham dan tak tanya lagi.
Selepas jemaah pulang, berbual dengan Alo, lalu dia bertanya, "Selepas enta tulis tentang ana tu ada orang call tak?" Aku kata, tak ada.
"Kenapa? Ada orang marah ka?" aku bertanya dia semula.
"Tak ada... Tak lama lepas tu, ana orang Terengganu call. Dia kata nak 'scan' ana dari jarak jauh, lepas tu, katanya ada la jumpa 'benda-benda dalam rumah ni," kata sahabatku itu.
Aku gelak, geli perut. Rasa macam tak percaya. Rumah yang hidup dengan solat, al-Qur'an, ada ka benda-benda pelik dok hinggap. Susah nak percaya. Kalau jenis orang tak solat boleh jugaklah nak percaya.
Tetiba panggilan daripada TMJ mencelah bualan, "FB ana, pengunjungnya dah 5,001. Dah tak boleh nak masukkan rakan-rakan dah. Ada cara tak nak buat?"
Bertambah satu lagi 'job' baru. Harapnya, daku dapat temui kaedah untuk mencari rakan-rakan FB lebih 5,000 kelak, tanpa perlu ada Fan. Aku bukan tokoh. Mana ada peminat.
Petang. Ke Kelana Jaya, tebus tiket filem free. Dapat Phoonk2, cerita hantu Tamil. Pagi tadi, dapat sms Saif, DBP. Aku dapat tahu, dia suka tengok cerita Tamil.
Mungkin sambil tonton nanti dapat bincang sikit projek-projek IMT-GT yang terkurung dalam fikiranku sejak sekian lama.
Dari sms dia juga aku dapat tahu bahawa adikku layak masuk MPR. Sebagai abang long, aku ada pasang anganan agar adikku itu akan berhasil membuat antologi cerpen selepas MPR. Ameen..
Bila daku check lagi rupa-rupanya, aku turut dapat tiket filem free untuk Hooperz juga. Tak rugi aku datang petang ni, dapat dua tiket sekali gus! ---> http://mytupai.blogspot.com/2010/04/senarai-pemenang-peraduan-hooperz.html
Hala nak balik SPKB, berehat di tol Damansara. Terlelap. Aku jadi cepat letih. Mungkin deretan timbunan masalah menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dalam tubuh?
Orang-orang Kajang dah call. Aku rasa depa serah semua, A - Z, pembikinan diges Islamik itu ke atas pundakku. Dalam perbincangan yang lalu, aku tak tentukan pun bahagian-bahagian apa.
"Masukkan saja dalam emel saya. Nanti saya check," demikian kataku. Tak kan sampai urusan nak dapatkan permit penerbitan di Putrajaya nanti pun kerja aku juga?
Sesiapa ada rumah di Putrajaya harap dapat beritahu hamba. Nak tumpang menginap sat sehari dua untuk bereskan beberapa urusan negara di Putrajaya.
6 J. Awwal | 20 April (Selasa)
Tengah hari. Ke Putrajaya. Selesai urusan permohonan biasiswa pelajaran yang ditawarkan kerajaan Indonesia melalui KPT.
Mulanya, aku pergi Presint 1. Lepas 'download' borang di situ, pegawai di situ cakap, borang itu perlu diserahkan ke KPT Presint 2 di Menara PJH.
Jenuh bertawaf juga cari bangunan kedua ni. Presint sungguh memeningkan! Presint, presint, pening, pening...
"Tak ramai orang hantar permohonan," kata kerani itu. Aku selesai fotostat borang semuanya. Amanat rakan-rakan, telah pun kulaksanakan. Lepas ni, tengok apa keputusan Tuhan. Hidup ini, perlu diteruskan.
Malam. Di Masjid Jamek Kg Baru, ada pendakwah Indonesia mengajar. Ceramahnya bertenaga dan penyampaian mengasyikkan. Tapi, sudah dua tiga Maghrib aku di sini, mudah sahaja diri ini ditumpaskan oleh rasa kantuk.
Motor dah siap. Lepas Isyak ketika aku balik dari masjid, melewati 7-11 Wisma Zikay, pekerja di bengkel itu menyerahkan motorku itu. Kena RM180. Sebelum ini aku bayar RM70. Bakinya aku tunda esok agaknya kot?
Aku ke Putrajaya hari ni dengan motor bengkel yang dipinjamkan kepadaku oleh Man; pemilik bengkel tersebut. Balik rumah, terlelap bersama pening kepala tiba-tiba.
Polemik baru di Unisel
Iz call selepas aku terjaga. Katanya di Unisel kini sedang bergelut dengan masalah - polemik hal pemakaian jeans. Dia tanya pengalaman aku dulu mengenai hal yang lalu.
Bagi nasihat sikit-sikit apa-apa yang patut. Aku juga dengar sosialis mula bangkit dan beberapa perkembangan terbaru di sana. Iz cadang nak jemput aku ke sana. Aku iyakan sahaja.
5 J. Awwal | 19 April (Isnin)
Alhamdulillah kebah daripada kesakitan sepenuhnya. Hantar bahan kepada TMJ. Terima sms dari pakcik, terpaksa kuuruskan suratnya dan akibatnya tak sempatlah aku ke Putrajaya.
Imran call, bercerita tentang BBQ di Taman Wawasan, Pendang pada 17 April lalu. Terasa ralat kerana gagal hadiri acara keluarga itu.
Agak melucukan apabila mendengar Kinah marah diusik di FB kerana tidak dapat hadir BBQ itu. Bila aku dah tua ni, rasa kasihan perlahan-lahan mula menjalar dalam hatiku ke atas nasib adik aku yang seorang itu. Aku ada rancang nak masukkan dia dalam MPR.
Mungkin di sini dia boleh gilap bakatnya itu dan orang mula menaruh hormat kepadanya kelak, insya Allah Ta'ala. Ameen...
Motor kurang sihat, tak berjaya ke Putrajaya
Elok nak hidupkan motor, tiba-tiba mati. Aku syak ada masalah. Motor dibawa ke bengkel. Dan, sahlah ada masalah. Patahlah lagi hasratku ke Putrajaya memandangkan ada kerosakan kecil ke atas motorku itu.
"Licking..." kata Man, tuan punya bengkel motor itu. "Minyak hitam cepat habis, tumpah. Ada skru yang loose."
Dia minta deposit awal RM100. Tetapi daku ada RM70 saja dalam poket. Duit tu aku cadang nak beli tiket ke Pendang untuk buat kenduri BBQ, sebab tak sempat balik hari tu.
Musafir ke Putrajaya ditunda ke esok. Hajat nak ke Kelana Jaya untuk tebus tiket Phoonk2 pun terbatal sebab dapat gantian motor kepunyaan tuan bengkel yang tak serasi dengan tubuhku.
4 J. Awwal | 18 April (Ahad)
Pagi. Alhamdulillah, kadar denyutan di kepala semakin berkurangan. Ia memudahkan aku membuat urusan karangan, suntingan semula.
Kalau ada kesempatan, nak beli tiket bas balik kampung. Abah, mak nak buat BBQ di Taman Wawasan; rumah yang baru kami beli itu.
Esok, adalah hari paling sibuk. Sudah kurancang bermacam hal untuk diselesaikan. Ke Putrajaya itu suatu kepastian yang mutlak! Insya Allah. Semoga tidak uzur esok. Ameen...
Mendapat tiket filem percuma - http://mytupai.blogspot.com/2010/04/senarai-pemenang-peraduan-phoonk-2.html. Sapa nak ikut, jom!
Kepada rekan-rekan pengunjung, silahkan mendengar lagu-lagu di pautan di bawah ini untuk keinsafan.
http://www.youtube.com/watch?v=eYQldbj518s (Wali Band - Mari Shalawat)
Wali Band - Cari Jodoh (http://www.youtube.com/watch?v=44dC-GjFMzc)
Thaniah! abg ali moga abg ali dpt biasiswa tu dan ubah hidup abg ali.ameen.
Jumpa di battle of the don mei ini...
akan datang...
ameen..kita usaha saja, kepada Tuhan kita berserah..
biarlah Dia yang tentukan apa yang terbaik untuk diri kita...
semoga usaha berhasil ya mas...hehe..
Tuhan xakan ubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah diri mereka sendiri...=)
sama-sama Anonymous...
SPKB ini digerakkan semangat dan dirangsang oleh kata-kata manusia di sekelilingnya...