Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

16 - 22 J. Akhir | 30 Mei - 5 Jun (Ahad - Sabtu)

Monday, May 31, 2010 , Posted by nota untuk Syiah at 4:50 AM

22 J. Akhir | 5 Jun (Sabtu)

Keluar dari SPKB, tiba ngam-ngam jam 6 petang di Kolej Pendeta Zaaba di UKM. Aku daftar untuk latihan mengajar untuk program Permata Pintar.

Petang tadi, ketika makan malam, Faizal, ahli e-sastera menegur aku. Aku terpinga-pinga sebab aku tidak kenal.

"Saya kenal abang masa acara kat Ayer Keroh, Melaka dalam program penulis muda anjuran Pena," katanya. Semalam, katanya, dia nampak aku di Rumah Pena ketika e-sastera menjalankan acara deklamasi puisi.

Syukurlah. Aku tidak menderita kebosanan sangat di sini. Tiada televisyen dan bermacam benda lagi. Malam ini, ada taklimat dan banyak lagi persoalan mengenai Permata Pintar yang tidak dapat kujawab. Terlalu banyak persoalann berbanding jawapan. Argh!

Berbual dengan Faizal ini menyenangkan. Aku teringat suatu perkara. Sajak-sajak protes aku di Kg Baru ini mungkin boleh dimasukkan dalam e-sastera juga. Kalau nak harap DBP dan penerbit lain mungkin sulit. DBP kerajaan. Penerbit lain rasa antologi puisi sukar nak laku untuk dijual.

Sepanjang seminggu di sini, mungkin aku boleh ke Atma, masuk Pustaka Tun Seri Lanang serta berbual dengan Dr Wan Daud untuk minta penjelasan mengenai sejarah kedatangan Islam yang dikaji Prof SMN Al-Attas. Itu pun kalau aku sempatlah...

Baru jumpa Fakulti Pengajian Umum
Aku mencari kolej ini sampai sesat juga. Tapi, akhirnya baru aku temui Fakulti Pengajian Umum iaitu fakulti yang menempatkan Dr Sulaiman Nordin pensyarah yang menguak pintu kecerdasan dalam diriku terhadap hal-hal yang terkait dengan Freemason dan Zionis.

Hal ini berlaku pada 1996 saat aku masih berkuliah di Kolej Mara Kulim (KMK). Effendi, seorang rakan yang sangat pendiam, suatu hari menyarankan aku menatap isi tulisan pensyarah itu.

Ia mengisahkan tentang bagaimana kapitalis dan sosialis yang kelihatan bergolak di permukaan, tapi sebenarnya berasal dari akar tradisi ideologi dan kitab yang sama; Yahudi Zionis.

Balik ke rumah Pendang, daku ditemukan Tuhan dengan buku Dr Ahmad Syalaby yang menulis mengenai Agama Yahudi. Di situlah aku bertemu Protokol Yahudi.

Fuh! Ini boleh dibuat cerpen, atau novel menarik; kisah hidupku hingga mengenal Yahudi Zionis itu semacam makhluk raksasa, dan gergasi dengan wajah yang menyeramkan peradaban dan menyebabkan banyak bangsa meracau-racau dalam mimpi ngeri mereka di dunia ini.

Kiblatnya di mana?
Aku tak tahu di manakah arah kiblat di Kolej Pendeta Zaaba di bilik ini. Tetapi, sebagai pengikut Ibnu 'Arabi (Futuhat Makkiyyah dan Fususul Hikam), maka aku hadap jua ke arah mana sesuai.

Ibnu 'Arabi kata, dalam solat, arah kiblat bukan termasuk antara syarat sah solat. Pak Su Mid tu pun banyak merujuk Ibnu 'Arabi dalam hal Lailatul Qadar.

Aku rasa sangat 'cool' apabila memegang pendapat Ibnu 'Arabi. Entah kenapa banyak pemikiran Wali Allah yang faqih dan kontroversi ini sangat akrab dengan jiwaku.

Antara pendapat lain yang masih daku teliti ialah, Wahdatul Wujud yang dikelompokkan sebagai ajaran tasawuf falsafah yang dianggap sesat oleh kebanyakan orang.

Malam. Selesai taklimat, demikian banyaknya soalan dan pertanyaan yang menerpa fikiran aku kini. Adakah aku yang akan mengajar? Pensyarah ini akan mengajar atau aku ni cuma bertindak sebagai pembimbing dan tutor?

Kenapa mesti ada seorang peneliti daripada Center For Talented Youth (CTY) di John Hopkins University? Adakah kerana Anwar Ibrahim pernah menjawat jawatan di kampus ini maka pihak pemerintah juga mahu masukkan tenaga intelektualnya dalam program ini?

Ada ujian bernama UKM1, UKM2 dan pelajar pintar ini akan disaring mengikut soalan-soalan ini yang akhirnya melayakkan mereka dibawa ke Amerika Syarikat nanti. Setakat ni katanya, cuma 5 pelajar sahaja yang lulus ujian itu dan akhirnya dibawa ke USA.

"Kita pilih pelajar ni berdasarkan merit," kata pensyarah itu. "Memang ada surat menteri yang akhirnya meminta kita buat macam-macam, tapi kita tak layan."

Cara taklimat itu disampaikan, maka aku ada persoalan dan rumusan awal - adakah Adiputra yang terkenal cerdas dalam matematik itu pernah diserapkan di dalam Permata Pintar?

Rumusan lain, ertinya pernah juga ada percubaan di pihak menteri untuk sokong pelajar-pelajar yang tidak lulus ujian ini. Mungkinkah pelajar yang disokong menteri ini adalah anak mereka dan kaum kerabat mereka juga? Wallahu'alam...

Dan pertanyaan lain - Amerika la ni sedang buat apa dengan para pelajar pintar cerdas di negara kita ini? Argh! Hati aku memang tidak pernah tenteram dan aku kerap syak yang gelap-gelap ja dengan Amerika la ni. Bukan hangpa tak tau!?

Ambik satu contohlah. Amerika dok buat apa la ni bila dia tahu kapal Rachel Corrie, misi bantuan Flotilla nak masuk ke Gaza itu sedang disabotaj dan ditawan oleh Israel?

Jadi, kenapa universit di Amerika la ni berminat nak cari budak-budak kita yang cerdik-cerdik? Aku kena siasat. Aku kena masuk dalam sistem. Hanya yang masuk dalam sistem akan tahu apa yang sebenarnya berlaku sekarang ini. Kalau tengok dari luar, memang tak nampak apa-apa.

Mel-E Isa Kamari
Menggodek FB malam ni, aku mendapat kiriman mel-e Isa Kamari, "Salam Ali Bukhari. Bilakah hari dan waktu yang sesuai untuk kita bertemu di KTMB minggu hadapan? Jika boleh jangan waktu kerja (9 pagi hingga 6 petang)."

Minggu depan mungkin Sabtu, Ahad. Jadualku tamat 12 Jun. Mungkin boleh kot minggu depan. Tapi, belum jua aku menjawab kiriman mel-e tersebut. Khuatir tersilap memberi tarikh sesuai.

Tg. Pagar... akan kucuba pertahankan maruah dan setiap inci daerah wilayah kehormatanmu!

###############################

21 J. Akhir | 4 Jun (Jumaat)
Pagi. Aku pergi ke Kelab Sultan Sulaiman, mewakili Asasi. Tapi oleh sebab masa yang tidak mencukupi, maka aku dan beberapa wakil NGO lain tidak dapat menyuarakan pandangan dan hasrat.

Tiba di bilik mesyuarat itu, Ridhuan SMM pun cerita mengenai isu Hilman dan rakan-rakannya yang bakal digantung atau dibuang UKM itu.

"Mereka dah ada keputusan dah sebelum perbicaraan akan dijatuhkan," katanya. Aku mendengar dan bertanyakan banyak soalan kepadanya tadi.

Hasil risikan, aku dah dapat kenalpasti 'key-player', watak-watak utama di dalam usaha memerangkap UKM4 ini. Boleh juga dibuat sedikit catatan nanti, insya Allah.

Macam mana kalau idea pembentukan tentera OIC tak menjadi kenyataan jika semua pemimpin negara Islam penakut? Aku mesti wujudkan pasukan askar upahan sebagai langkah permulaan!

Dan, mungkin daku mesti susun pasukan tenteraku sendiri bila dah ada kerajaan kelak. Mungkin pasukan tentera aku ini akan bergabung dengan tentera Imam Mahdi nanti.

Tengah hari. Rupanya, hari ini ada orang nak masuk rumah sewaan kami. Aku pulak sibuk kat Kelab Sultan Sulaiman. Jadi dia tak dapat nak masuk. Banyak panggilan masuk bertalu-talu saat aku 'silent' telefon bimbitku tadi.

Tiba waktu makan tengah hari, aku bersembang dengan cikgu Mie, Yusmadi. Ahli Parlimen ini bercerita hal B'nai Birth; kumpulan pelobi Yahudi yang terhandal berbanding Aipac di Amerika ini sedang cuba menjatuhkan reputasi Anwar dalam pelbagai gaya, kaedah dan cara!

"Depa hantar surat dekat semua pertubuhan yang Anwar anggotai," kata Yusmadi. Cikgu Mie Teras pun mengangguk-angguk. Maklumat ini adalah hal terawal bagi kami semua.

Aku juga tanya Cikgu Mie kalau-kalau dia arif isu KTMB Tg Pagar. Dia pun masih meneliti cerita permasalahan Melayu di S'pore. Aku tanya dia kalau dia boleh beri maklumat mengenai Zulfikar.

"Saya ada nombor telefon dia. Dia kat Australia la ni. Dulu, saya pi Australia, saya jumpa dia," katanya lagi. Zulfikar ni orang yang vokal di S'pore dulu. Kemudian, dia lari dari negara pulau itu.

Selesai solat Jumaat, aku melihat silsilah raja-raja Melayu yang ada sanad dengan nabi. Aku tau, ada orang menyampah dengan sikap orang-orang yang menyandarkan silsilah raja-raja dengan nabi ni. Depa kata, raja-raja ni berlagak sebab nak tunjuk depa ada kaitan dengan nabi.

Aku faham sentimen depa tu. Tapi perkara yang paling awal dalam kerja-kerja penyelidikan dan akademik ialah perihal menyatakan yang benar. Katakanlah yang benar walaupun pahit!

Tapi, yang sebenarnya, aku pun bukan pemuja raja-raja. Daku nak cari siapakah ulamak terawal yang naik di dalam kapal nakhoda khalifah itu. Orang itu yang masih kekal sebagai misteri!

Mengikuti Mat Sabu dan minah Palestin
Berjalan dari Masjid Jamek Kg Baru dari 2:14 petang sampai ke Kedutaan Amerika jam 3:17 p.m dan tiadalah yang lebih menggembirakan diri ini daripada melihat minah Palestin melaung suara dengan nada semangat, "Wake up! Stand up! Free Palestine!"

Hatiku langsung berdesis lalu ia berbicara indah bermadah, "Isy lawa jugak! Tapi sedikit ganas dan mungkin tiada sesuai dengan jiwaku yang lembut lagi berjiwa romatis!" (Ahem!)

Di Kedutaan Amerika, aku bertembung dengan Nas. Aik, dia rapat dengan minah-minah Palestin tu rupanya. Sempat kutegur Nas. Lepas tu, aku bawa haluan blues sendirian ke sudut lain. Daku sedar suatu perkara. Rupa-rupanya ramai penulis kreatif MPR ni yang berhaluan kiri juga.

Aku lihat Mat Sabu menunggu gerombolan demonstran di hujung Jalan Raja Abdullah menuju ke Jalan Ampang. Mereka menjeritkan nama Mat Sabu lalu dia pun turun menyertai mereka.

Patutlah dia popular dan kalangan budak Pas ni ramai yang dok 'condemn' tok-tok guru yang tak turun berdemo suatu ketika dahulu. Daku tertarik apabila Mat Sabu sebut "Israel 'Aduwallah..." sesekali ketika kami beramai-ramai berjalan bersama-sama.

Dan budak-budak muda...masa ni lah mereka nak tunjuk champion kat aweks-aweks cool tepian jalanan yang sedang memerhatikan mereka. Oh! Indahnya dunia ini buat mereka itu!

Petang. Aku balik SPKB. Kulit kaki melecet. Jumpa Salmi, kawan lama di Maktab Makmud, lalu kami berbual kisah-kisah lama dalam perjalanan balik. Kat Ampang Park, daku naik LRT sampai ke LRT Kg Baru.

Dalam perjalanan ke LRT Ampang Park, daku lihat buku hitam, dialog Sunnah - Syiah yang aku beli dengan harga RM10 itu turut dijual di depan LUTH dekat Kedutaan Amerika tadi.

Balik SPKB, terus tertidur kepenatan, capek dan keletihan... zzzz

Malam. Bank-in cek Harakah, lalu aku beli nasi lemak Dang Wangi dan terus pegi Rumah Pena. Di sini, Lila beri senaskhah majalah Dakwah lalu dia bertanya kedudukan kerjaya aku.

"Bukan di Sinar Harian, Karangkraf ker sekarang ni?" dia bertanya. Daku jelaskan kedudukan aku yang sebenar. Dia juga bertanya isu laporanku yang hampir nak disaman itu.

Ia tentang kes laporanku yang hampir akan disaman bekas wartawan penyiaran RTM berkaitan wartawan penyiaran ditiduri semata-mata untuk dapatkan slot di tv.

"Saya betul-betul dengar dia sebut hal tu," kataku mempertahan laporan itu. "Tapi, tak jumpa lagi rakaman untuk membuktikan isu yang dia sebutkan tu."

Melihat esei kritikan filem S. M Zakir yang akhirnya dibukukan, aku teringin nak buat macam tu juga. Lagi pun, sayanglah dah tengok filem percuma, tapi tak buat 'review' filem.

Kalau sudah terbitkan buku ulasan filem, lepas tu aku akan cuba pasarkan sendiri dan hantar ke Kinokuniya dan MPH. Cubalah. Hidup ini kita mesti berani mencuba!

Penubuhan kerajaan dan negara baru
NY of BH berkata, bahawa Kerajaan Tg Pagar yang daku nak tubuhkan itu akan dijual oleh Najib kepada Singapura. "Najib nak jual dah kerajaan kau tu," katanya. Aduhai! Semua orang dah nak mengalah. Alangkah mulianya kalah berbanding mengalah. Kalah itu kejatuhan selepas perang.

Dan, mengalah itu ertinya kejatuhan sebelum berperang. Ada berapa ramai orang macam aku di dalam dunia ini agaknya? Tak kan aku seorang sahaja kot!?

Tetapi, tak apa. Masa inilah daku perlu jadi seperti Talut yang menguji tentera dengan sebatang sungai. Masa ini kena jadi macam Salahuddin Al-Ayyubi yang hanya ambil golongan bertahajud untuk dibawa ke medan jihad dan peperangan.

Masa inilah, kita boleh meneliti siapa yang lemah iman, lemah fikiran serta berputus asa melihat keadaan pincang di depan mata, lalu mereka tidak berbuat apa-apa untuk mengubah keadaan.

Masa ini kita boleh tengok siapa yang betul-betul mahu perjuangkan tanah Melayu. Demikianlah mutu wartawan, penyair dan jagoan pejuang kemerdekaan zaman sekarang berbanding dahulu.

Masa A. Samad Ismail tubuhkan PAP, Lee Kuan Yew yang ajak wartawan veteran tu deraf parti itu. Kini, PAP dah jadi parti pemerintah Singapura. Padahal, Lee bukanlah mahir sangat cakap Melayu. Pak Samad wartawan, penyair, pejuang kemerdekaan yang tubuhkan parti.

Lee juga pernah minta bantuan Said Zahari, wartawan Utusan Melayu (anak didik Pak Samad) untuk mengajarnya pidato dalam bahasa Melayu untuk menubuhkan parti PAP itu. Maksudnya, Said Zahari dan gurunya A Samad Ismail, kedua-duanya adalah wartawan agung lagi ternama!

Presiden Republik Singapura pertama adalah Yusof Ishak, seorang wartawan dan editor Utusan Melayu. Mereka ini semua ada sejarahnya membina kedaulatan negara.

Menurut hematku, wartawan dan penyair yang berjaya mencipta parti politik serta membentuk negara-negara baru adalah wartawan dan penyair yang berada di tahap tertinggi.

Sedikit kisah Anwar
Brader yang jaga penjara Sg Buloh (aku lupa namanya) cerita yang dia pernah urut Anwar masa dia dok jaga Anwar dalam penjara dahulu. Anwar dok sorang-sorang, katanya.

"Takut-takut ada orang menyamar," katanya ketika aku membangkitkan isu seorang banduan yang kononnya duduk sekali dengan Anwar, sambil memerhatikan perilaku Anwar dulu.

Aku tanya dia mengenai hukuman parol. Dia kata, hal itu baru dibuat pada 2008. Daku teringat kisah Raimy Abim cerita hal ini dulu kepadaku. Lalu, aku ceritakan hal ini pada dia.

"Ya, betul. Ketua Penjara la ni okay. Cuma, orang bawahan dia yang selalu 'buli' dia," katanya. Daku ralat sebab tak sempat nak tasykil ideaku berhubung cara mengurangkan PATI sekali gus memanfaatkan para banduan parol ini untuk isi kekosongan kerja yang kini diambil buruh asing!

Aku datang ke sini bukan untuk perkenalkan diriku sebagai watak penyair sangat pun. Aku ingin lobi beberapa idea untuk mencorak wajah dunia ini ke arah kehidupan yang lebih baik. Ameen...

Tatacara menyusun masyarakat, generasi baru
Sembang dengan pakcik penjual buku mengenai banyak perkara tadi. Dalam banyak buku, daku tertarik wasiat dengan Luqman Al-Hakim itu. Dia rupanya berkulit hitam, bibir tebal, juga hidup pada zaman kegemilangan Nabi Daud a.s.

Kalau dialah wakil atau anak murid Buddha yang diutus ke Barat, mungkin dia orang India. Kulit dia hitam bukan kerana dia negro, tapi dia mungkin sebangsa dengan Buddha; bangsa India.

Muhammad Alexander menyifatkan Socrates sebagai Luqman Al-Hakim. Tetapi Socrates adalah berbangsa Yunani, berkulit putih. Fuh! Banyak lagi yang aku nak kena baca, kaji dan selidik nih!

Tapi apa yang penting bukanlah soal siapakah Luqman itu. Yang penting, ia mengenai wasiat dan nasihat kepada anak-anaknya. Agama itu nasihat, wasiat. Di sinilah, aku mesti main peranan!

Wali Songo ada penetapan undang-undang bagi membentuk masyarakat baharu. Temudgin atau Genghis Khan ada 4 rukun. Musa ada Ten Commandments. Jadi, untuk menyusun masyarakat baharu ini, maka pedoman nasihat dan wasiat Luqman itu aku mesti syarahkan kepada umat ini.

Berkenalan dengan Puzi Hadi, penyair sejarawan
Daku diperkenalkan Razali Endun dengan penyair lama Puzi Hadi. Dia orang yang bergiat dalam persatuan sejarah Kedah. Aku sangat berbesar hati dengan pertemuan ini.

Rupa-rupanya dia simpan apa yang aku tulis. Dia puji aku dan hatiku kembang semangkuk tadi. "Masa saya baca tulisan itu, saya tahu penulis ni banyak maklumat," katanya.

Aku fikir, adalah suatu keperluan yang sangat mendesak juga untuk aku korek sejarah Kedah ini dan mengetahui asal-usul peneroka di Kulim. Kata abah, kami datang dari Yala, kemudian orang tua kami yang buka Kulim - Bandar Baharu itu. Wallahu'alam...

Apa pun, semoga Tuhan menjauhkan daku daripada penyakit riyak, 'ujub dan sum'ah. Ameen...

Konsep Negara Pendidikan
Apabila aku berbual dengan pakcik penjual buku di Rumah Pena tadi, aku terfikir nak wujudkan negara berpendidikan sebagai gantian kepada negara berkebajikan.

"Baca Al-Mawardi, Plato, Muhammad Asad, Burhanuddin Khan..." dia banyak menyenaraikan kepadaku buku-buku yang boleh memahamkan diri ini mengenai kaedah pembentukan negara.

Sekali lagi... barangkali Luqman Al-Hakim adalah watak yang sesuai untuk menterjemah semua rancanganku ini. Aku terfikir nak wujudkan Luqman Al-Hakim Society di bawah SPKB.

Hidup ini, kita mesti berani bermimpi dan berani menterjemahkan mimpi, mengukir impian agar ia dipersembahkan ke alam realiti. Kita mesti berusaha memahat kesedaran dan pencerahan ke atas umat. Ya! Kita juga mesti berani menulis mimpi dalam nota, hatta waima blog sekali pun!

###############################

20 J. Akhir | 3 Jun (Khamis)
Masuk opis, Darna beri sampul surat berisi cek. Aku mulakan kerja seperti biasa. Telinga lintahku mendengar berita-wartawan tak dapat peruntukan yang sewajarnya untuk membuat liputan di muktamar akan datang.

Macam mana mereka nak melawan untuk jemaah dan parti jika duit sudah dikawal selia oleh golongan yang tidak faham perjuangan?

Mereka juga berborak hal
Alo yang gigih mahu pergi demo anti Israel esok di Masjid Kg Baru. Kaum ibu syor tak usah dilayan sebab dia belum baik.

Entahlah. Daku pun belum faham letak duduk perkara ini. Aku tengok hari tu dia tenat sangat Jumaat lalu. Dia mengadu tak boleh tidur. Tak kan dia dah sihat kot?

Hari tu dia sms, minta aku ke rumahnya. Sebab, dia ada benda nak cakap untuk disiarkan dalam Harakah. Hmm... Sepatutnya minggu inilah aku pi, tapi tak pi jugak.

Jadi wakil Asasi ke Kelab Sultan Sulaiman esok
Malam. Semasa menggodam bahan, Dr A mengirim sms kepadaku berhubung Pakatan Rakyat yang nak minta Asasi hadir dalam acara pertemuan di Kelab Sultan Sulaiman esok.

Jadi, kenyataan Nurul Izzah yang disaksikan oleh Nik Nazmi dan Amir Sari yang kulihat di Astro Awani sejak petang tadi di opis ini adalah lanjutan kepada usaha pertemuan esok.

Maka, aku akan mewakili Asasi esok pagi di Kelab Sultan Sulaiman. Ish! On the spot! Kalau depa tanya aku mengenai kaedah nak lawan Yahudi, Zionis ni, aku nak jawab apa?

Tak kan daku nak cakap, Asasi mengecam sekeras-kerasnya, mengutuk sekeras-kerasnya sikap Israel yang telah menyekat bantuan ke Gaza? S
ebagai wartawan itu ayat biasa yang aku dengar.

Rasanya aku nak cakap lebih kurang macam ni, "Maka hendaklah tok-tok guru silat itu bersatu hati mengirim orang-orang kebal untuk pergi berjuang melawan Israel. Pakatan ketenteraan OIC perlu segera dihantar untuk menggempur Israel."

Itu pun, kalau kena cakap. Kalau tak kena cakap, syukurlah. Rasa tak best nak cakap atas nama pertubuhan lain. Takut kena marah dengan pimpinan pertubuhan itu.

Kalau aku cakap atas nama Sekolah Pemikiran Kg Baru tak pa la. Orang nak gelak ka, orang nak peleceh ka, aku peduli hapa! Ah! Harapnya aku cuma jadi pak pacak sudahlah.

Ya Tuhan, jadikanlah kehadiran aku esok sebagai salah satu amal solehku yang terhitung sebagai pemberat pahal di neraca timbangan pada hari akhirat kelak!

Rancangan penubuhan Yayasan Al-Fansuri
Aku menerima mel-e daripada editor Jalan Telawi malam ini. Katanya, dia sudah bank-in duit untuk cerpenku; Seorang Tua Di Tanjung Tuan. Jadi, tekaanku kelmarin ada kebenarannya.

Rasanya, aku perlu rancang penulisan secara lazim di Jalan Telawi. Rancangan ini mungkin boleh membantu aku untuk menyusun Yayasan Al-Fansuri. Ameen...

Esok adalah hari yang amat sibuk. Selepas pertemuan dengan Pakatan Rakyat untuk mengecam Israel, maka selepas solat Jumaat, ada demo pula dekat Masjid Jamek Kg Baru anjuran Pas.

Pemuda Umno pula akan buat perhimpunan di Masjid Negara. Tetapi yang ini aku tak pergi kot. Maka, esok adalah hari-hari yang sibuk untuk diri ini. Fuh! Sinchan pun tidak sesibuk ini!

Aku melihat emas jatuh merudum. Daku semak harganya. Daku rasa mungkin tak boleh beli lagi sekarang ni walaupun harganya tengah jatuh.

DINAR SELLING BUYING
2 Dinar 1,120.00 1,000.00
1 Dinar 566.00 506.00
1/2 Dinar 289.00 258.00
1/4 Dinar 151.00 135.00

###############################

19 J. Akhir | 2 Jun (Rabu)
Draw duit di Maybank kulihat duit tidak menyusut. Daku fikir, ini mungkin disebabkan honorarium cerpen di Jalan Telawi dan masuk agaknya.

Ketika berkira-kira ingin ke JPJ untuk bayar cukai jalan dekat JPJ, Zahir call, "Selesai hal dekat JPJ tu, datanglah ke PTS, bawa Rice Without Rain."

Daku patah balik ke SPKB. Ambil novel itu lalu bergegas ke JPJ. Di PTS, maka berlakulah sidang perbincangan 8 mata antara PTS Litera, termasuk Zahir.

Baru daku nampak kedudukan hal ini dari sudut undang-undang. Kita kena rujuk penerbit dulu jika nak buat terjemahan. Aku bantai serupa ja bila buat terjemahan di Harakah dulu. Buta akta!

"Kita lebih banyak terjemah Indonesia sebab ada persamaan budaya. Kalau novel Inggeris tu, kurang sikit sebab budaya lain-lain," kata seorang editor di situ.

Tapi, Rice Without Rain latarnya bukan di New York, penulisnya saja di NY. Kisah itu berlaku di Bangkok, Thammasart University; masih lagi dalam rantau Asean.

Bagaimanapun, mereka nak tengok sejauh mana kekuatan novel ini boleh dijual. Daku pun tidak mendesak sangat. Kita faham juga dengan kesibukan mereka.

Paling penting ialah hal To Kill A Mockingbird yang akan mereka berhasrat mahu terjemahkan. Selepas Rice Without Rain, aku teringin nak terjemahkan To Kill A Mockingbird.

Aku melihat timbunan novel-novel Indonesia yang mereka ingin terjemahkan ke bahasa Melayu kita. Setelah meminta kad perniagaan editor-editor itu, maka daku pun terus balik.

Aku terfikir juga nak jadi penerbit. Syarikat dah ada. Cuma perlukan modal sahaja. Teringin juga nak rasa bagaimana jadi penerbit ni. Kita buat semua dari A sehingga Z, berunding dengan pihak penerbit luar negara dan sebagainya.

Malam. Ke GSC Mid Valley, menonton Lagenda Budak Setan dengan tiket percuma Tupai. Aku tunggu di situ hingga Raja Farah datang. Tingginya dia! Oh, patutlah... pakai kasut tinggi. Mekap dia pun tebal juga. Ahaks! Tapi, aku tak nampak pula pelakon LBS yang lain datang di sini.

Dalam masa yang masih berbaki, aku pegi ke MPH sebelum itu-mencari buku-buku yang terkait filem-filem Islam Iran. Aku jumpa satu buku saja; A History of Iran. Tak ingat pengarangnya.

Lalu, Don F pun tiba. Kami berbual hal Sunni dan Syi'ie. Rujukan dan sandarannya masih kepada buku hitam yang kubeli di depan Masjid Jamek Kg Baru sebelum ini.

Bila aku ceritakan hal perawi hadis Imam Bukhari dan Imam Muslim yang kebanyakannya syiah maka Don F cakap, "Rasanya buku ini dah ada orang radd (bantah), Ustaz Hafiz Firdaus kot."

Beruntung jadi Farid Kamil!
Kat Mc Donald Bangsar, sedang makan-makan selepas menonton LBS, daku sebut kepada Don F bahawa betapa indahnya kehidupan Farid Kamil itu.

"Empat orang aweks; Lisa Surihani, Raja Farah, Shiqin Kamal dan Nur Fazura, nak apa lagi?" kataku. Cukup-cukup muat untuk kuota bini jika mahu poligami. Lawa-lawa pulaks tu. Aduhai!

Kalau bukan kerana aweks-aweks cool dan lawa-lawa ini, ada kemungkinan aku tak pi tengok. Di Wangsa Walk malam ni pun aku dapat tiket percuma juga; Killers! Cerita omputih!

Malam ini juga, daku sepatutnya menemani Saif of DBP untuk tonton teaternya. Dia sendiri yang cari pelakon dan menulis skrip teater. Kalau aku pergi, bolehlah belajar sikit mengenai skrip dan juga aspek-aspek lakonan nanti. Tetapi, penangan LBS punya pasai, tergendala semuanya. Huh!

Y , lawa-lawa punya pasai, terpaksa daku 'berjihad' mengorbankan keinginanku di Wangsa Walk! (Ayat ni tak sesuai guna jihad, tapi saja nak bagi orang menyampah bila baca. he.. he..)

Revolusi penternakan kambing
Selain itu, daku dedahkan juga rancanganku untuk 'attack' Jala melalui 8 mukim dengan revolusi penternakan kambing itu. Don F bersetuju walaupun idea itu kedengaran lawak.

"Fahmi sokong apa sahaja yang baik yang abang Ali nak buat ni," katanya. "Tak boleh dengan kewangan, maka setidak-tidaknya Fahmi tolong dengan doa."

Mungkin dah tiba saatnya aku usahakan Yayasan Al-Fansuri yang aku angan-angankan dahulu!

Malam ini, Darna melalui, FB menegurku lewat chat, "Ada cek di Harakah. Esok mai la..." Fuh!!! Lega! Alhamdulillah! Biar duit sikit, tapi berkat dalam kehidupan. Ini modal awal untuk yayasan!

###############################

18 J. Akhir | 1 Jun (Selasa)
Seharian membawa ke petang, aku membaca buku dialog Syiah dan Sunni susunan al-Musawi yang daku beli di Masjid Kg Baru sepekan lalu (Jumaat sudah). Aku menemui catatan menarik berhubung khilafah Ali.

Yang penting, Al-Hakim lewat Mustadraknya banyak meriwayatkan hadis tentang Ali k.w di mana hadis itu tidak diriwayatkan Bukhari dan Muslim.

Aku teringat Ustaz Wan Salim kata-Al-Hakim ini orang yang kedua selepas Bukhari dan Muslim dalam meriwayatkan hadis sahih yang tidak dirakam oleh kedua-dua imam hadis itu.

Petang. Selepas hujan turun melampiaskan kemarahan dan dendamnya kepada para penduduk bumi, maka seorang aku terus pekena nasi lemak Dang Wangi.

Kemudian
aku ke Mydin, beli wayar. Kini aku dah boleh mengarang di laman tamu SPKB dengan tenang bersama plug panjang itu. Aku pun dah 'draw' duit dan siap membayar sewa bilik SPKB.

Hanya urusan yang masih belum terlaksana ialah pembayaran cukai jalan
. Hujan lebat maka aku sukarlah nak bergerak ke mana-mana lagi. Hanya 'murajaah', menelaah kitab di rumah sahaja.

Malam. Saif of DBP call. Katanya, esok ada
pementasan teater 10 minit di Balai Tun Syed Nasir. Maka, dia menjemput aku menonton teater pendek itu di sana.

"Jadi, ada 6 kumpulan teater yang pentaskan lakonan mereka selama 60 minit," kata Saif lagi.

Kali terakhir dia ajak aku tengok teater ialah Hikayat Kaziq karya Jasmina Ibrahim. Itulah yang pertama kali aku tengok. Jasmina menang tempat pertama kategori teater dan aku pula menang tempat kedua bagi kategori puisi; Balada Burhan Di Kota Raya.

Aku rasa, sejak itulah aku mula berjinak-jinak dan minat menonton teater. Esok, kata Saif, skrip teater dia akan mula dipentaskan. Jadi, sebab itu dia ajak aku tonton sama.

Aku terfikir juga, mungkin inilah masanya untuk aku sokong usaha dia menyusun Melayuwiyyat (tradisi sejarah lisan Nusantara) dalam blog dia itu. Harapnya janganlah impiannya itu berkubur.

Hakim dah boleh berjalan!
Emak call, menggunakan telefon bimbit Kinah. Saja nak perabiskan kredit sebab adik bongsuku itu dah tak nak pakai nombor itu. Berita yang suka aku dengar ialah Hakim sudah boleh berjalan.

Maka, dia aku berjalan ke mana-mana. Sasarannya sekarang ialah Kinah, maksu dia sendiri!

"Dia buas sungguh la ni. Syok sungguh dia, sebab dah boleh pi jalan mana-mana," kata mak.

Masa daku pulang KL awal bulan sudah (Mei), Hakim dah boleh berdiri. Tapi dia masih tak boleh melangkah berjalan-jalan. Daku berasa, Sarah dan Hakim nanti akan berlari-lari di laman rumah kami. Dan, keriuhan itu akan memaksa aku pulang dengan segera! (Agaknyalah...)

"Kinah marah sungguh pasai Hakim kacau dia main internet. Kinah cakap, nanti maksu nak ikat dia kat pokok," kata mak ketika memberitahu aku kejadian-kejadian lucu di rumah.

Dan, abah la ni dah mula masuk pejabat Pesuruhjaya Sumpah dia. Tengah hari abah balik makan di rumah dan petang dia masuk pejabat balik sampai 4:30 petang.

Abah dah terbiasa dengan waktu kerja pejabat. Kerja itu sudah menyebati dengan jiwanya. Tadi, itulah yang mak sebutkan mengenai jadual rutin abah sejak dia dah dapat pejabat yang baharu.

'Perang' abahku dengan MDP dah jadi senyap sepi. Surat yang daku hantar untuk ruangan Surat Pembaca di BH dan Forum di Utusan entah dah masuk bakul sampah agaknya. Bukan kita tidak mahu lawan. Tapi, 'newspaperman' yang tidak nak siarkan. Nak buat macam mana?

Tafsir Al-Fansuri
Baru mula mengarang Tafsir Al-Fansuri malam ini. Dah berapa lama tertangguh! Betullah, kalau nak mengarang benda bersih dan jernih ni kita kena ada kekuatan rohani dan intelektual tinggi.

Hamka pun tak dapat nak siapkan tafsirnya; Tafsir Al-Azhar itu. Akhirnya, dalam penjara jugak dia berjaya lengkapkan tafsir beliau itu. Keadaan ini samalah dengan Tafsir Fi Zhilal Qur'an Syed Qutb yang terkenal dengan gaya bahasanya yang luarbiasa indah itu.

Hamka dan Syed Qutb mengarang dalam penjara juga akhirnya! Daku mula terfikir hal yang tak sepatutnya pulak la ni. Musa Hassan tu, aku dah belasah lewat kata-kata dalam Facebook.

Kalau Ketua Polis Negara ni nak cari pasal dengan aku, boleh ja dia sumbat aku dalam penjara la ni. Pertuduhan dan dakwaan boleh direka-reka. Saksi boleh dicari. Apa susahnya?

Jangan-jangan, masa di penjara la kot, tafsir ni boleh siap? Ish, aku tak lah doa sampai ke situ...

Aku telah menaip bahagian yang bertajuk, 'Membunuh tanpa memberitahu ke Melaka' di dalam Sulalatus Salatin. Hanya menunggu waktu yang sesuai untuk menumbangkan Musa Hassan.

Ya Allah, tumbangkanlah Musa Hassan kerana dia telah berlaku zalim dengan membela pasukan polis yang telah menembak mati adik Aminulrasyid yang masih muda remaja itu...

###############################

17 J. Akhir | 31 Mei (Isnin)
Dinihari. Aku menggodam Youtube lalu aku bertembung dengan pelbagai cerita berkaitan syiah. Mulanya nak cari filem-filem Iran untuk pengkajian master, tapi akhirnya aku terserempak dengan semua perkara ini.

Daku teringat SK pernah sebut hal Imam Hassan Al-Askari (Imam ke-11). SK bertanya aku adakah nama aku disandarkan kepada nama anak imam itu. "Anak dia (Al-Askari) bernama Ali Bukhari juga," kata SK dahulu.

Yang aku hairan, anak Hassan Al-Askari tu adalah Imam Ke-12; Muhamad Al-Mahdi, yang dikatakan ghaib (hal ini juga pegangan Al-Arqam). Dan, dia akan muncul pada akhir zaman ini. Itu, kata orang yang percaya hal inilah.

Lama-lama, baru aku terfikir sesuatu. Mungkin Hassan Al-Askari ada ramai anak. Imam Mahdi yang ghaib itu anak sulung barangkali. Ali Bukhari itu anak dia yang kedua atau ketiga agaknya?

Mungkin Al-Askari itu menikahi Puteri Byzantin seperti dalam catatan yang aku temui dulu dan al-Mahdi itu lahir dari puteri itu dan anak Al-Askari yang namanya macam aku itu dari isterinya yang lain pula? Fuh dunia akademik dan ilmiah ini banyak diselaputi andaian dan hipotesis.

Hai..entahlah. Aku nak buat kajian filem P Ramlee asalnya. Then jumpa Dr Abu di UM, dia minta aku kaji bentuk, analisis kandungan ke atas filem-filem Islam Iran pula.

Aku tidak mahu berkeras kerana aku selalu percaya bahawa Tuhan ada rancangan ke atas daku. Dulu, daku dikunjungi orang-orang kuat Hizbut Tahrir. Bukan aku rancang, ia jadi sendirinya. Ini pun, aku fikir kes yang lebih kurang sama jugak agaknya.

Pagi. Selamat hari pelajar 31 Mei. Tetapi daku menyambutnya sendirian. Di Shah Alam, Hilman dan rakan-rakannya sedang berhempas pulas berjuang menyelamatkan pengajian mereka.

Hari ini juga, Soh Sook Hwa pulak membawa kes lamanya (2005) kat USM, di mahkamah untuk mencabar Auku yang menurutnya telah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ya, pagi ini aku terjumpa semula Sulalatus Salatin dan setelah kuselak, terjumpa catatan lama di sana-sini. Antara yang menarik ialah hal membunuh seseorang mesti diberitahu ke Melaka dulu.

Ini berlaku pada era Sultan alauddin Riayat Syah. Jadi aku mahu ulas bahawa adik Aminulrasyid ini jangan ditembak bunuh sewenang-wenangnya. Musa Hassan!!! I got you!!! Huh!!!

Petang. Menggodam bahan sastera. Daku mengelui Don S yang sejak pagi tadi menelefon daku. Rerupanya dia dah pi Cherating dan Mersing. Dia nak ajak aku tadi. Maka tiada rezekiku di sana.

Malam. Abah call, minta petunjuk tentang bagaimana nak turun ke LCCT. Abah dan kumpulan madrasah Dehrang akan ke Banjarmasin, Indonesia pada 16 Jun ini.

"Abah naik bas dari Pendang, turun ke Pudu, ambil teksi terus ke KL Sentral," kataku. Aku tak bagi abah turun ke Duta. Menurut pengalamanku, teksi di situ mahal sungguh dan KJ, menantu Pak Lah ada 'share' dalam syarikat teksi tersebut.

Revolusi tanah, reformasi penternakan dan perladangan!
Malam ini, aku tonton Ahmad Albab di TV2. Aku fikir ada baik aku buat reformasi tanah dan revolusi penternakan. Di Jala, ada 8 mukim. Kena lantik 8 orang untuk buat reformasi tanah dan revolusi pertanian di sana. Tapi, aku mesti lantik menteri pertanian terlebih dahulu!

"Kita bincang hal ni di FB," kata Deep Peace setelah menjawab sms aku baru-baru ini pabila aku sentuh hal mewakafkan harta-hartaku di sana.

###############################

16 J. Akhir | 30 Mei (Ahad)
Pagi. Aku bangun dengan mimpi aneh. Lalu, tafsiran gelap pun mula bersarang di kepala. Daku melihat ada air berputar, berpusar-pusar hingga ke paras dada!

Aku melihatnya dari BELAKANG chalet atau bangsal tempat peranginan. Ada tanah tinggi, dan air berpusar keras! Walaupun keras, tapi pusaran itu amat cantik dan indah.

Daku melihat diriku bersolat jemaah bersama rakan-rakan baru dan lama. Di depan chalet, kulihat diri ini berada di tempat tinggi. Awan kabus hening menutup pandangan alam dan suasana tenang.

Apabila air laut bergelora di belakang chalet itu surut maka tiba-tiba kulihat ada anak-anak kecil bermain-main di anak-anak sungai di bawah chalet itu. Fuh! Pelik benar...

Pelik! Di BELAKANG chalet ada laut bergelora keras tapi di DEPAN pemandangan yang nyaman sekali. Rumusan awal, mungkin ini berkaitan dengan jiwa dan rohaniku yang ada dua watak, baik dan buruk. Satu jiwa lembut, tenang dan mendamaikan dan satu jiwa lagi hangat bergelora!

Rumusan kedua, pada suatu masa dahulu, air laut memang pernah mencecah ketinggian separas gunung. Apabila air laut itu surut, barulah ada penempatan baru di lembah-lembah.

Tapi apa pula kaitan dengan solat jemaah dengan rakan-rakan lama dan baharu itu? Agaknya ini untuk peringatan kepada diri ini supaya buat kerja-kerja perubahan secara berjemaah kot?

Tapi, kali terakhir kulihat mimpi air laut ini, ada macam-macam hal terjadi. Gempa bumi Padang dan macam-macamlah! Ish! Hal inilah yang membuatkan aku nak buat kapal besar ni...

Petang. Hasratku ke Perpustakaan Negara Malaysia aku batalkan kerana tetiba hatiku terpaut kepada sebuah filem klasik Singing In The Rain di TV2.



Ia juga menceritakan bahawa itulah kali pertamanya filem Hollywood berjaya membuat sebuah filem bersuara. Sebelum ini, filem bisu.

Jadi filem yang tiba di Singapura melalui Shaw Brothers itu memang sudah moderen. Kalau pergi ke PNM tadi, ingat nak cari buku tentang filem Iran.

Tak apalah, biarlah aku 'kaji' filem Hollywood dulu. Sambil itu, aku menaip bahan-bahan sastera dan artikel isu semasa untuk esok.

Alo minta aku ke rumahnya
Alo sms meminta aku datang ke rumahnya. "Bolehlah enta tulis tentang ana sikit."

"Ana pun dah tulis, tapi belum publish di Detik Daily lagi," kataku.

"Ana juga nak minta anta selit dalam Harakah hal tertentu," katanya aku. Mesej ini aku tak jawab. Hal tertentu? Apa dia?

31 Mei Hari Pelajar!
Hilman sms, "Esok, 31 Mei, 2:30 petang, 4 orang siswa UKM akan bawa kes pendakwaan ke atas mereka di bawah Auku ke Mahkamah Tinggi Shah Alam..."

Hari ini juga Ridzuan SMM mengirim nota di FB, kes Soh Sook Hwa mencabar Auku didengari di mahkamah esok. Ya, 31 Mei, aku pernah tulis supaya 31 Mei itu diangkat sebagai Hari Pelajar!

Diam tak diam, kes Soh Sook Hwa sudah menjangkau usia 5 tahun rupa-rupanya. Perjuangan ini sungguh panjang sekali. Hanya yang bersabar, faham dan tabah akan lulus dalam perjuangan ini.

Menggodam FB malam ini. Zahir PTS chat denganku. Daku baru teringat naskhah Rice Without Rain yang aku janji nak serahkan kepadanya dahulu.

"Nanti sebelah petang ana ke pejabat enta di sana insya Allah," demikian kataku.

Currently have 0 comments: