Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

21 - 27 R. Awwal | 7 - 13 Mac (Ahad - Sabtu)

Sunday, March 07, 2010 , Posted by nota untuk Syiah at 8:35 AM

27 R. Awwal | 13 Mac (Sabtu)
Beberapa program terbatal lantaran kelemahanku sendiri yang tidak pandai menguruskan masa.

Menerima kiriman sms Dr A-dia syor aku buat FB BB agar kami dapat kendalikan FB itu secara bersama.

"Tolong bangunkan FB BB yang kita berdua boleh kendalikan," katanya. Jadi, sesiapa yang berminat, boleh bincang bersama daku. Untuk pengetahuan, BB itu, adalah Budayawan Bertindak.

Menyusul sms kedua, "Saya akan tulis paper untuk seminar arkeologi atma, UKM 12-13 Julai. Tajuk 'prasasti Champa". Saya mahu saudara sebagai penulis kedua, boleh?"

Sesungguhnya, ini adalah suatu penghormatan. Aku terfikir nak ke Pengkalan Kempas sekali lagi sambil berangan-angan menjadi Dr Robert Langdon dalam Da Vinci Code & Angels and Demons.

Petang. Bertemu keluarga di Masjid Jamek Kg Baru. Kami ke Kajang. Dalam perjalanan singgah di Mines Resort. Aku teringat member-member cakap ada Gramedia di situ.

Ketika berjalan-jalan di Gramedia Mines Resort, aku dikunjungi ilham menjatuhkan Bik Mama, aku putuskan untuk rahsiakan rancangan ini. Biarlah rahsia ini antara aku dengan Gusti Alloh!

Ketika berjalan-jalan di Gramedia itu juga aku teringat mimpi yang kulihat di Tg Tuan, ada bot mengelilingi tanjung lalu aku berhenti di sebuah pulau. Di sana, aku terjumpa mata air kecil.

Maknanya, mata air yang aku temui di teratak Pak Dat itulah mata air yang aku temui dalam mimpiku itu ketika aku berwudhuk di situ. Aku ternampak yang aku akan bermalam dan mungkin berkhemah di situ. Aku akan datang lagi ke sana, insya Allah.

##########################

26 R. Awwal | 12 Mac (Jumaat)
Dinihari. Melihat rakanku sendirian, bergelut dengan masalah pentadbiran di pejabat, maka aku menawarkan untuk menolong dengan kiriman surat-surat sulitku kepada pentadbiran atasan.

Sesuatu perlu dilakukan agar 'Bik Mama' JPB dapat ditewaskan. Moga dengan ini mereka dapat bekerja lebih ceria dan bersemangat!

Pagi. Masuk opis, edit story. Tiba-tiba, Dr A sms, "Elok duduk bincang kembangkan kumpulan kajian tempatan BB itu."

Rancanganku kepada Budayawan Bertindak (BB) ini ialah, nak wujudkan jaringan dan cawangan BB ini di setiap kampus. Aku akan sms Dr A untuk syor dia buat Facebook BB dan melantik aku sebagai salah seorang pengasas Facebook BB. He.. he..

Tengah hari. Usai berjumaat di Masjid Saidina Hamzah, jumpa Syafiq. Dalam bualan ringkas, aku tahu dia ada kawan di Maij. Aku tanya tentang masjid Maij (Majlis Agama Islam Johor), tapi rakanku yang bekerja di PTS itu berkata masjid di bawah Jaij (Jabatan Agama Islam Johor)

Daku pening seketika. Bukankah ada masjid Johor di Singapura itu yang berada di bawah Maij?

"
Masjid Teluk Belanga, di Singapura tu bukan di bawah Maij ker?" demikian aku bertanya.

"Ya betul, betul, kecuali masjid tu. Masjid tu special case sikit," jawabnya ringkas.


Aku minta diri ke opis. Syukur, dah dapat maklumat dan mendapat 'jajahan takluk' yang baru.

Petang. Aku keluar pejabat awal, kununnya nak mencarum KWSP, tapi aku hanya sempat bank in cek sahaja. NY call
tiba-tiba, mengajak ke bucu untuk borak-borak.

Di sini, aku terus buka leptop. Depan-depan aku, NY siap dok baca blog aku dan dia pun komen macam-macam. "Tahniah," katanya, lalu bersalam denganku. "Aku suka betul ayat kau ni."

"Ayat yang mana satu?" aku bertanya, tercangak-cangak mencari perenggan demi perenggan.

"Ni... ayat ni..." kata NY lagi. Di bawah inilah yang perenggan yang dia suka baca ...

Bagi merealisasikan hasrat 'murni' ini, aku mesti ada zuriat di Champa untuk isteri pertama, juga zuriat kedua di Yala, zuriat ketiga (dalam cadangan, may be Beverly Hills kot), keempat sedang difikirkan... (nak letak zuriat ke-4 ini di negara mana ya? Err... Mongolia oke dak?)

"Tang nak letakkan zuriat di Champa dan Yala ni memang aku suka baca. Nampak idealisma, tapi bab nak letak zuriat kat Beverly Hills ni yang dah nampak lain macam ni," katanya lagi.

"Kau nak ke Kemboja? Jom kita pi sekali? Kat sana (kahwin) murah," gurau si Saif.

Di sana, beberapa rumusan tercapai tentang sastera untuk rakyat... iaitu aku didesak menyusun 100 buah puisi berhubung Kg Baru sebelum kampung itu diroboh kerajaan.

"Dari Samarinda lagi aku desak kau tulis hal Kg Baru ni, sebab kau ni sudah ada 'trademark' Burhan," kata Saif. Kini, tiba giliran NY menambah 'kutukannya'...

"Dulu, aku dah minta kau tulis novel, tapi nampaknya kau mungkin susah sikit nak tulis," kata wartawan aliran perdana itu. Dia kata begitu sejak berbual di gerai nasi lemak antarabangsa.

Tetapi, NY juga mengakui. Mengarang novel ni kalau dah terhenti akhirnya sukar nak cari mood untuk karang semula. Katanya, kita perlu masa yang betul-betul konsisten untuk buat novel.

Akhirnya aku beri alasan, "Bagaimana nak menulis novel kalau dah jadi editor akhbar ni?" Dan alasanku ini diterima nampaknya. Mereka pun faham. Syukurlah...

Ringkas cerita, rumusannya ialah - aku ditugaskan setiap malam menulis sebuah sajak sehingga lengkap 100 buah puisi berhubung hal ehwal Kg Baru sebelum ia dirobohkan.

Ketika aku terkial-kial mencari pen (aku terlupa bawa pen) untuk mencatat idea mereka itu, NY dan Saif secara serentak menghulurkan kedua-dua pen mereka. Aku rasa terharu. Aku gunakan kedua-dua pen mereka untuk mencatat idea mereka itu, walaupun ayat yang kucatat itu sama...

"100 puisi Kg Baru ... " demikianlah daku menulis ayat itu dua kali, menggunakan dua-dua mata pena mereka. Jadi, bermula dari situ, mereka telah ada saham dalam perjuangan menolak usaha Umno merobohkan Kg Baru itu.

Melaghokan diri dengan filem wayang
NY berkata bahawa dia akan menjadi 'bujang' tidak lama lagi. Bagi mengelak kebosanan, aku pun tasykil mereka agar menjadi kumpulanku untuk menonton wayang percuma di Cinema Online.

Menggunakan leptop dan broadband di bucu, aku minta mereka masuk peraduan, kalau mereka dapat tiket percuma, pakat-pakatlah boleh tengok filem tu. Lagi pun, rakan-rakan Don, sudahlah lama hidup mereka itu tenggelam oleh putaran arus kesibukan pekerjaan mereka di ibu kota.

"Aku pun sebenarnya dah lama nak tengok filem ni, tapi tak ada la member yang nak pi sekali menonton dengan aku," kata Saif, memberi maklumbalas awal.

"Hah! Kau ajaklah Saif ni," sampuk NY. "Dia tengah cari orang untuk tengok wayang."

"Kau nak tengok cerita apa?" aku bertanya Saif, penuh bersemangat.

"Aku teringin nak tengok filem Tamil kat panggung Colleseum tu..."

"Cait... patutlah tak ada orang nak temankan kau..." aku pun ketawa.

"Tu lah pasal...
"

Ya, petang itu melucukan. Daku dijebak ke dalam perangkap mereka, khasnya perangkap yang dipasang oleh NY. Berjaya juga mereka 'merempuh' SPKB akhirnya. Aku agak tidak selesa. Tapi, inilah risikonya jika kita benar-benar mahu perjuangkan kebebasan.

Malam. Kedua-dua rakanku itu malah sempat tumpang mandi dan berhemat diri di SPKB. Aku, tertarik dengan keinginan mereka ingin mencari bilik sewa di Kg Baru. NY misalnya berasa ralat kerana tidak sempat berasakan kenikmatan menetap di Kg Baru ketika bujang dahulu.

"Apa kata kalau kita bertiga menyewa satu rumah di sini?" kata Saif memberi cadangan. Daku jadi tertarik lalu aku teringat Pak Ndak Hussin, bapa saudaraku yang bekerja di DBP dahulu.

Kesemua mereka ini - Usman Awang, Said Zahari dan lain-lain penggiat Asas 50 pernah sepakat untuk menjadi jiran tetangga di Petaling Jaya. Rumah Pak Ndak aku dekat rumah arwah Keris Mas. Pak Ndak masih sihat. Ya, sihat cara orang tualah.

Bila aku cerita peranan Pak Ndak ketika menyusun Kamus Dewan DBP dulu, Saif kata Pak Ndak aku mungkin berada dalam jawatankuasa yang sama dengan Dato' Baha Zain.

Aku semak balik kamus tu. A'ah, ye lah. Aku pun tak perasan yang Dato' Baha ada sama. Jikalau kalian terbuka Kamus Dewan tu, yang berada dalam jawatankuasa menyusun Kamus Dewan itu, adalah Pak Ndak Hussin aku yang bernama Hussin bin Jamil.

Syura disambung di Nasi Lemak Mak Wanjor
Kami makan juga di Nasi Lemak Mak Wanjor, tempat Najib Razak makan masa dia turun ziarah Kg Baru tempoh hari. Memang sedap, secara ijmak, aku dan NY mengakui ia lebih sedap jika nak dibandingkan dengan Nasi Lemak Antarabangsa itu.

"Sambal dia pun oke kan?" kata NY lagi. Di sini ada beberapa teori kenapa nasi lemak di sini tak dikunjung ramai orang.

Teori pertama, aku majukan - memang gerai ini tak ramai kunjungan, tetapi Najib Razak sengaja datang, kerana restoren nasi lemah ini berjiran dengan pusat khidmat masyarakat Dr Lo' Lo'. Ini mengirim isyarat buat musuh politiknya.

Teori kedua datang dari NY. Dia 'berfatwa', mulanya memang ramai pengunjung. Kemudian, bila Najib datang, terus kedai tu tidak laku.

Teori ketiga, sintesis bersama antara aku dan NY --- akhirnya, berkat kedatangan kami bertiga pada malam ini, maka orang-ramai pun berkunjung semula di sini. Ha, ha, ha...

Sebelum bersurai mereka sempat mengambil gambar KLCC antara rumah daif beratap zink. Dia orang ni bersemangat betul, hanya aku yang tak nampak lagi sebab aku berada di daerah ini.

Mereka sekali lagi mendesak aku supaya buat 100 puisi Kg Baru itu. Kata si Saif, tidak lama lagi, dia meramalkan Muzikal Kg Baru akan menjadi catatan sejarah!

"Kau buat puisi kau tu tiap-tiap malam, hantar kat kami berdua," kata Saif.

"Lepas tu, kami olah balik puisi kau tu. Tak pernah ada orang buat lagi ni," kata NY. "Ni, kira nak ambil persetujuan kau la. Kami dah siap prakata ni, sejak tengok bilik SPKB kau tadi."

"Aik, olah puisi aku macam mana pulak tu?" aku bertanya kembali, hatiku tepu dengan sangsi. Kesangsian ini harus dibunuh dengan menikam mereka guna menuntut beberapa penjelasan.

"Macam Winstedst dan seorang lagi orientalis yang kaji teks manuskrip Tun Seri Lanang tu, mereka akhirnya membukukan, menyusun teks masing-masing. Tapi, orang tahu itu karya Tun Seri Lanang," kata Saif menjelaskan. Ya, aku faham dan aku pun bersetuju.

Kali ini hasrat kami benar-benar tumbuh untuk menterjemahkan inti makna sejati seni; ia untuk umat guna membela kebenaran, menendang penindasan, dan menerajang kemunafikan.

Di celah itu, abah pun call, minta persetujuan, bila nak mai jumpa aku. Sekarang mereka dah ada di Kajang. Aku cakap esok petang. Then, Alo call, minta aku datang di JPB jam 11:30 malam ini di Rafiyah. Aku balik ke SPKB dihantar dengan kereta oleh NY dan Saif.

Masalah Bik Mama JPB
Di JPB, akhirnya aku mendengar lagi permasalahan Bik Mama di sini. Entah bagaimana mahu ku lakukan lagi. Bergaduh dengan CP sudah, tak kan aku nak bergaduh lagi kot?

"Semua surat-menyurat ni, dia sendiri yang tandatangan. Boleh ker buat macam tu," kata rakan aku itu. Banyak lagilah yang disumpah seranahnya tentang geng-geng Bik Mama ini.

Depa sudah jadi tension dan tegang. Ya Allah, seburuk-buruk rupa paras jiwaku dan sehina-hina kerohanian dan serendah-rendah maqam martabatku di sisimu, aku berikrar untuk tidak akan buat naya kepada orang-orang di bawah tanggunganku.

Ya Allah, kurniakanlah kepadaku ilham nurani untuk membalas kejahatan Bik Mama, sekali gus membela nasib-nasib wartawan yang tertindas selama ini.

Mereka telah menderita seperti mana yang pernah aku deritai selama ini. Biar azab ini, aku yang tanggung seorang, jangan orang lain pun turut menderita hal yang sama. Jadi, kepadamu Tuhan, aku bermohon petunjuk dan perlindungan! Ameen...

##########################

24 R. Awwal | 10 Mac (Rabu)
Dinihari. Chat dengan seorang kenalan di S'pore menyedarkan daku tentang akhir zaman yang mana hal angkat senjata itu, tak berlaku pada zamanku.

Mereka ni kumpulan tarekat yang hampir 'terus mata' dan fasih berbicara hal-hal ismuz zat, zikir lataif segala...

"Mungkin zuriat awak yang teruskan kerja-kerja ini," katanya. Antara rumusan yang kudapat..

Jika aku belum dapat bebaskan Yala, maksudnya keturunanku yang akan buat kerja ini. Macam Muhammad Al-Fateh yang buka Constantinople. Sebenarnya ayahnya dah usaha sejak awal lagi.

Apa pun, aku mesti tinggalkan khazanahku berbentuk pemikiran, kitab-kitab pusaka agar zuriat aku pada masa depan akan teruskan perjuangan ini.

Bagi merealisasikan hasrat 'murni' ini, aku mesti ada zuriat di Champa untuk isteri pertama, juga zuriat kedua di Yala, zuriat ketiga (dalam cadangan, may be Beverly Hills kot), keempat sedang difikirkan... (nak letak zuriat ke-4 ini di negara mana ya? Err... Mongolia oke dak?)

Nabi Ibrahim a.s meletakkan zuriatnya Nabi Ismail a.s bersama Siti Hajar di tanah tandus. Issh! Makin difikirkan, haizz... semakin berat tugasanku kini! (he.. he.. kah! kah! kah)

Pagi. Pi ke Hotel De Palma, Ampang sempat up story berhubung kebiadapan polis, sambil susun buah fikiran baru untuk 'rebranding' akhbar kiri ini.

Sempat bentangkan idea mengenai 'Jom Harakah', kununnya nak tiru Sua Rasa (TV9) dan Jom Heboh (TV3).

Di sini, aku lihat mantan 'bos' lama di Siasah yang pernah aku berperang dengannya, sudah jalan capik-capik (mungkin gout). Lalu hati aku jadi lunak dan timbullah rasa kasihan pula. Rerupanya daku ni taklah ganas bangat. Romantik jugak orangnya... (Ahem! Promote... promote...)

Semasa makan tengah hari, dapat kurasakan jurang, 'gap' dengan orang-orang tertentu daripada barisan mazhab UG. Tapi, hendak kulakukan bagaimana lagi, terpaksalah juga daku berdepan.

Masa tengah makan, aku buka kisah lain, asal-usul Langgar yang bermaksud 'surau', 'pesantren', dan lain-lain yang aku sifatkan sebagai bahan nota kuliah SPKB. Aku tak sentuh langsung isu-isu dalaman jemaah, demi keamanan sejagat, ketenteraman umat. (Daku 'peacemaker'!)

Apa pun, aku nampak, depa sudah mula kenal aku. Cuma, mungkin terasa segan mahu tegur aku kot, sebab jarang sembang. Tetapi, akhirnya sempat bergebang bersama P berhubung hal ehwal parti dan jemaah. Namun, biarlah hal bualan ini tenggelam bersama rahsia Allah dan rasulNya, cheewaah! Ahem!

Tengah update story, sambil meneguk kopi dan makanan kuih-muih, penganan yang rencam itu, aku sempat bersalaman dengan pembentang tadi, Wan Hamidi Hamid dan Shirzad Lifeboat.

Bual, borak sekejap dengan mereka di kamar santapan yang menyelerakan sambil menaip news di sini, membuatkan aku terasa seperti kapitalis pula. (Aku memang kuat berangan!)

Tetiba abang Mat sapar call meminta persetujuan membuat suatu kerja besar. Aku berjanji akan bertemu dengannya. Menggodek FB, terjumpa mesej kak WZ UM, kata ada peluang baik. Maka, aku terus keluar bergegas ke sana untuk merebut peluang baik tersebut.

Sebelum ke UM, aku ke opis JPB, ambil cek dari K. Sembang dan berbual ringkas sikit lalu, daku minta diri, beransur pulang. Fuh! Jadilah, ada modal sikit dah dari cek ni untuk beli emas!

Di bilik Kak WZ di UM, setelah selesai urusan, daku pun pulang. Sebelum pulang, kami berangan nak ubah dunia ini agar kembali aman dan tenteram. Antara hal-hal yang ingin di'reform' ialah ...

(1) jangan lihat pointer PNGK kalau ada pelajar nak sambung master,
(2) sistem masa bekerja, jangan terikat lagi pada jam 9 sampai 5 petang.
(3) kita mesti ubah dunia ini melalui serapan elemen, unsur budaya, jangan jadikan parti sebagai saluran. Ramai orang yang tak jujur dan tak ikhlas dalam parti politik.

Hala nak balik, terserempak dengan Faisal Aziz, Presiden PKPIM. Pendek cerita, aku join budak ni sat, sajalah dah lama tak sembang-sembang. Ada yang tanya aku, kalau-kalau boleh bantu bro Mustapha Kamil Ayub di HQ PKR di Tropicana. Ini peluang baik untuk cari news pimpinan PKR!

Isyak menjelang tiba. Mereka beransur ke surau, meninggalkan daku sendirian, menaip story di sini. Tadi, mereka jemput aku makan-makan bihun. Aku fikir, nak kena join juga usrah ni. Sudah lama daku menderita kekontangan jiwa! Isk, isk, isk...

Tak sedar, aku dah menang tiket filem free!
Pulang ke rumah godek-godek internet lagi. Dan buat pertama kalinya sepanjang memburu tiket free, hari ini aku rasa paling ralat. Dah dapat tiket filem free Edge of Darkness, tapi aku tak tahu bahawa aku sudah menang. Lalu, aku tak tengok filem tu malam ni. Waa...nak nangis ni!

http://mytupai.blogspot.com/2010/03/senarai-pemenang-peraduan-edge-of_05.html

Kalau tidak, hari ni antara hari tersempoi, makan cara hebat di hotel De Palma gaya orang-orang ternama, elit lagi kapitalis adanya, lalu pada sebelah malamnya, menonton filem secara percuma!

Dan, daku terkenang kembali puisi Pak A Samad Said - "Segala yang dihasrat, tapi tak didapat, adalah nikmat yang paling padat!"

##########################

23 R. Awwal | 9 Mac (Selasa)
Semalam ke bilik kak W UM, teropong hal pengajian dan seperti biasa aku pun menyatakan rasa susahku jika masih menulis berita orang. Dia faham, tapi dia tak dapat menolong banyak.

Semua orang jenuh dengan bebanan tugasan masing-masing. Di sini, ketika sedang chat, seorang rakan bercerita pengalaman suluk lewat chat FB.

Aku langsung jadi berminat, apatah lagi setelah beberapa soalan yang selama ini lama berlegar dalam kepala dan batu jemala, kini seolah-olah telah terlepas bebas dar
i sangkarnya jiwa.

Emas makin turun!
Menggodek harga emas di pasaran, aku melihat harga emas jatuh. Ini peluang baik untuk beli emas. Tetapi, aku ingat nak relaks dulu. Nak tebus dulu emas yang kugadai. Dah lama tak beli emas nih! He.. he..

Selepas pekena nasi lemak ayam dan teh tarik di Jalan Riong di Bangsar, Alo call, ajak aku minum bertukar-tukar fikiran lagi, tentang Dr Zulkifli Mohamad, seorang pimpinan Pas yang juga penyair.

"Ana tahu hal ini pun sebab Dr Siti Zainon Ismail dok bercakap tentang hal itu di Samarinda," demikian aku berkhutbah dan mentasykil bosku itu.

Di situ, aku mula tahu bahawa Dr Siti ini sebenarnya agak radikal juga orangnya. Pabila Alo kata, ada rancangan supaya Budayawan Bertindak bekerja untuk memelihara kampung tradisi di ibu kota, aku dapat rasakan bahawa beliaulah antara penggeraknya.

Di Samarinda, atas jemputan DBP, dengan selambanya, Dr Siti menyebut mengenai peranan Pas dan puisi Dinsman era Reformasi di Taman Melewar.

Aku takjub dan ini menukar arah fikiranku 360 darjah dari Selatan ke Selatan, Utara ke Utara, Timur ke Timur dan dari Barat ke Barat terhadap wanita penuh adat tradisi, berdarah Aceh dan berusia separuh abad ini.

Aku pun tanya Nizam Shah, rakan penyair Bera yang turut bersama, ikut hadir dalam program Mastera itu "Lain macam jer dia ni. Radikal jugak yer?"

"Kau tak tahu.. memang dia ni radikal masa zaman mudanya," jawab sahabatku itu, ringkas.

Tertarik dengan pengalamanku di Samarinda itu, jadi Alo pun berkata, "Enta temubual dia sikit, biar nampak kumpulan budayawan ni dah mula sokong Pakatan."

Antara perkembangan lain, Alo berkata, dia sudah kirim surat kepada Kang Abik, surat itu akan diserah kepada novelis Ayat-Ayat Cinta itu melalui Intan.

Isi surat itu, bertujuan menjemputnya untuk jadi kolumnis Harakah. Alhamdulillah, desakan aku berjaya juga akhirnya! (bi'aunillah, dengan izin Allah!) ;) --- [12:08 p.m, 30,350 hit]

Petang. Keluar opis awal setelah up dan tulis beberapa story. Aku beritahu pada Jie, yang daku mahu uruskan hal KWSP. Tiba-tiba, aku sedar sesuatu, fail merah yang mengandungi ijazah dan borang KWSP tiada di SPKB. Hatiku cemas, jiwaku dirundung rasa masyghul bertimpa-timpa!

Dalam solat munajatku, dengan pening kepala aku berdoa, minta dicerahkan pandangan mataku dan pandangan batinku untuk melihat di manakah letaknya fail merahku itu.

Derita, munajat orang kehilangan
Aku betul-betul rasa tidak bermaya bila terasa kehilangan ini. Dalam tidur lelap tidak seberapa tadi, aku bermuhasabah sendirian mengenangkan janjiku kepada Tuhan sejak kehilangan kunci motor sebelum ini. Tafsir Al-Fansuri belum lagi aku mula. Mungkinkah ini hukuman kedua?

Setelah selesai punggah barang-barang dalam bilik, aku bertawakal nak ke opis JPB, mencari fail merah itu. Dalam fikiranku, mungkin terselit kat mana-mana sejak acara Sesar anjuranku itu.

Malam. Aku lihat news yang berkaitan polis, cepat naik. Ini menunjukkan umat mahu tahu atau mungkin mereka ni menyampah dengan polis, agaknya.

Kebetulan petang ini, Rozan sms hal AMK nak lapor ke Suhakam tentang kejahatan polis Khamis petang ini. Jadi, aku kena bersedia menjatuhkan Musa Hassan setelah menjatuhkan Najib Razak.

Perkembangan terkini, Hrkh tidak luluskan peruntukan untuk Int ke Tanah Jawa, tapi dia pergi juga, untuk bertemu Kang Abik atas perbelanjaan sendiri, demikianlah yang daku dengar.

Demikianlah, kita mahu hantar surat 'by hand' untuk jemput novelis tersebut sebagai kolumnis, tapi kapitalis akhbar tidak faham kehendak nurani wartawan-wartawan perjuangan ni.

"Enta tak payah jemput orang, dah cukup dah untuk program esok," kata bos lagi. Esok pagi di Hotel De Palma Ampang, aku dijemput memberi 'input' kepada akhbar ini.

Alhamdulillah. Akhirnya daku jumpa fail merah itu. Ia berada dalam bilik Khairul. Aku tertinggal fail merah ini ketika berbual mengenai 'claim' untuk ruangan sastera. Syukur, alhamdulillah...

Tapi, kejadian ini juga suatu peringatan untuk aku giatkan mengarang tafsir, janji nazar yang tak terlunas. Jangan tangguh-tangguh lagi. Hang kena buat segera ya Fansuri!

##########################

22 R. Awwal | 8 Mac (Isnin)
Ada pengunjung yang meminta aku meriwayatkan kisah cintaku di sini. Tetapi, nescaya tiada orang yang percaya.

Ya, bagaimana mereka ingin percaya bahawa Deanna Russo dan Megan Fox pernah bercinta dengan diri ini?

Aku ingin mendakwahi dan mentarbiayahi mereka dengan sikap berani, tanpa berahi, dan tak takut mati, tapi mereka tetap enggan menerima Islam sebagai 'the best way of life'. Jadi, harus aku lakukan apa lagi?

Nantilah... jika ada kelapangan, sebagai 'Romeo Beriman' dan 'Casanova Bertaqwa' akan aku rawi segala hikayat dan riwayat kasih kemudaan ini, insya Allah Ta'ala. Tetapi, jika kalian tidak mahu percaya kisah cintaku bersama mereka, yah! Terserahlah... nak buat macam mana lagi?

Tengah hari. Sidang media SMM di Api, UM. Rupanya sidang media anak-anak muda ini tidak
dihadiri oleh wartawan dan pemberita. Cuma aku seorang saja yang mai. Itu yang aku hairan tu.

"Kami ingat nak buat teater gerakan siswa, abang ada ke sapa-sapa yang boleh bantu kami," kata Shazni di cafe Api selepas tamat sidang media. Aku teringat Alo ada no hp Erma Fatima.

Bila dapat, terus aku call, menyatakan hasrat siswa UM, PMI, Gamis ni yang nak buat teater. Di sini, aku terfikir nak jemput dia untuk sesi bertukar fikiran berhubung acara Sesar di Harakah.

"Erma tak dapat hadir sebab Khamis dah nak ke Mekah, dan Rabu tu nak buat persiapan ke sana," kata beliau. "Balik 19 Mac ni. Apa pun, sms Erma semula nama saudara, emel dan nama persatuan yang nak buat teater untuk kita bincang kemudian."

Aku nyatakan juga hasratku nak tubuhkan pustaka siswa yang gabungkan buku-buku gerakan siswa seluruh dunia. Mereka nampak berminat. Mereka nampak, selepas Kongres SMM ni, baru nak susun semula, daripada mana mereka nak bertindak.

Aku cuba test depa dengan pertanyaan, "Tahukah sejarah asal-usul penubuhan SMM ni?" Aku tengok, sukar juga mereka nak jawab. Tapi, ini bukan salah mereka 100%. Tak ada 'senior' yang nak tulis sejarah gerakan siswa sejak 2001 dengan begitu rinci sekali.

Aku harap, dalam kongres itu, akan dijemput semula 'senior' untuk bercerita mengenai asal-usul sejarah penubuhan SMM. Aku dah ada versi sejarah lisan aku sendiri.

Dr A sms, Budayawan Bertindak perlu ada pengkaji sejarah. Aku tak sempat reply. Aku rasa, aku perlu bantu dia juga untuk mendapatkan imbuhan dana dan promosi gerak kerja kajiannya yang terbengkalai itu. Aku terfikir juga nak bantu Aku Oku untuk kendalikan sebuah laman web.

Sms Saif DBP tentang no hp Kak Salina Ibrahim, juga tentang hasrat membukukan antologi puisi nanti. "Kau datang di sini, nanti aku bawa kau jumpa mereka," kata Saif.

Bakaq call, bertanya, kalau-kalau dia boleh menulis di EP. Aku kata ok, cuma aku tak tau berapa 'rate bayaran'. Jadi, aku lepaskan no hp taukeh atas, CM. Biar dia bertanya urusan bayaran news. Kalau ada yang nak jadi freelance, hubungi daku. [4:18 p.m, 30,327]

##########################

21 R. Awwal | 7 Mac (Ahad)

Dinihari
. Berbual bersama SK di Singapura. Dia mengajak aku berbai'ah dengan suatu tarekat di Kajang. Di sana, katanya, ada sebuah perkampungan tarekat.

SK berkata demikian kerana dia terlihat bahagian profail FB aku telah tertera status agama aku sebagai, 'Islam - ahli sufi'.

Aku cuma berjanji yang aku mungkin boleh bai'ah jika rohaniku serasi dengan pimpinan tarekat itu.

Pagi. Keluar menuju ke Shah Alam bersama Alo. Dalam perjalanan, sahabatku itu amat prihatin ke atas iklan yang mendedahkan tubuh wanita.

"Kita sebagai pengguna jalan raya, ada hak untuk menolak iklan sebegini, ia mengganggu tumpuan pengguna jalan raya," katanya. Ini idea yang baik, tapi entah daripada mana harus aku mulakan.

"Sepatutnya, kerajaan negeri Selangor kena peka terhadap hal-hal pendedahan tubuh wanita yang mengganggu tumpuan pemandu kereta ini," kata beliau lagi.

Sempat juga aku berborak dengan Alo mengenai filem Lentera Merah; sebuah filem seram di mana, bagiku, ia sebenarnya mengisahkan perjalanan pelajar kewartawanan komunis di Indonesia.

Alo nampak berminat mendengar cerita itu hingga dia menutup radio kereta kerana nak dengar aku bertasykil berhubung filem itu.

"Enta try cari dalam YouTube," demikian saranku, "Ada kot filem tu di YouTube."

Tiba di Muzium Shah Alam hatiku ralat juga sebab tidak sempat aku masukkan artikelku dalam buku esei Budayawan Bertindak yang telah menyokong perjuangan A Samad Said walaupun aku dijemput menyumbangkan artikel.

Walaupun namaku tidak dikenal sebagai makhluk Allah yang bantah PPSMI ini, kurasa puas kerana sempat menulis kepada Dr M untuk mansuhkan PPSMI di Harakah Daily.

Tetapi, hal itu terhenti setelah pengendalian laman portal itu sudah kena 'hijack' oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Apa pun, benih fikiranku mengecam PPSMI telah pun melarat hingga berakhir dengan demonstrasi di depan Istana Negara. Hatiku riang sendirian.

Perjuangan di Sandakan selepas era PPSMI

Zaman melawan Auku di universiti, kemudiannya melarat ke PPSMI. Selepas benih perjuangan ini aku biarkan kepada GMP, aku perlu tabur benih di Sandakan pula. Aku sasarkan tiga bulan untuk ia tumbuh merendang dan meranum di sana.

Jadi, aku merayu kepadaMu Tuhan untuk berkati segala usaha-usahaku selama ini.

"Tinggal seorang saja lagi anak keluarga Norhatta yang belum dapat dokumen perjalanan," kata Alo tiba-tiba ketika membuka bualan tentang keluarga tahanan ISA di Sandakan.

Sebelum ini, kata Alo, mereka sekeluarga tersekat dalam perjalanan pulang ke Sandakan.

Di Muzium, aku bertemu abang Pyanhabib, jagoan puisi yang ada masalah pendengaran itu. Jadi, agak susahlah baginya untuk menjawab pertanyaan kami itu.

Juga, terjumpa Ilhami FB, rupanya dia Ismail di Siasah. Lama dah aku dok tengok dia menulis di sini. Tetapi, bila dia cakap yang dia pernah baca blog aku, rasa segan membungkus jiwa ini.

Pak Samad, seperti biasa, dia tidak menganggap PPSMI dimansuhkan, tapi ditangguhkan.

"Kalau tidak mansuh lagi PPSMI ini, kita tak akan teragak-agak untuk berdemonstrasi lagi," katanya.

Terjumpa Dr A yang bangkitkan kajian ilmu-ilmu Melayu ketika zaman Hindu dan Buddha di Tanah Melayu.

"Geran itu tak diluluskan kerana mereka nak kajian itu ada kaitan dengan Islam," kata beliau.

Aku terbayang, alangkah baiknya jika ada kewartawanan siswa yang boleh menyelongkar segala permasalahan para pensyarah ini dengan lebih meluas lagi.

Kewartawanan siswa bagiku bukan cuma tumpukan hal menentang Auku, lawan HEP menjelang pilihanraya saja, malah ada seminar, bengkel di universiti yang boleh siswa ini buat liputan juga. Masalah golongan pensyarah pun bukannya tak ada.

Petang. Bersidai di Rafiyah. 'Mood' kantuk mula menjalar dan rasa keletihan segera menyucuk di segenap tubuh.

Maka, antara isu-isu berbangkit...

a. Syor membuat Malam Deklamasi Puisi Harakah macam Malam Puisi Riong.

b. Kena beri penghargaan kepada wartawan. Cuba dulu, untuk anugerah kepada Kak S yang buat laporan tentang sekolah di bawah flat itu.

"Maafkanlah mereka dalam hal kesilapan ayat-ayat dan tatabahasa," demikian aku memujuk.

Maka, berdiri di atas falsafah memaafkan orang ini, daku berkhutbah kepada rakanku itu yang aku sifatkan dia ini amat baik, sehingga musuh-musuhnya ambik peluang.

Hal ini, seperti Dr Burhanuddin Al-Hulaimy yang amat baik sehingga sikap ini kurang disenangi Ahmad Boestamam sendiri.

"Ahmad Boestamam pernah kritik Dr Burhanuddin ini. Dia kata, Dr Burhanuddin ini amat baik hingga beliau sangka, semua orang adalah baik seperti dia juga," demikianlah isi khutbah tasykilku kepada bos tadi.

Akhirnya, manusia yang disangka baik dan dimaafkan itu ambil peluang untuk lanyak insan seperti Dr Burhanuddin itu kembali.

Aku bagitahu perihal memaafkan CP adalah seperti sikap Dr Burhanuddin memaafkan musuh dan berbaik kepada seterunya yang akan jadikan dirinya binasa, kerana dibinasakan oleh musuh yang dia buat baik sebelum ini.

Pada aku, alang-alang nak buat baik, nak bagi anugerah atau jika mahu memaafkan seseorang, maka hendaklah dimaafkan orang bawahan, marhaenis sosialis dan bukanlah kapitalis penindas yang berlagak angkuh dan sombong.

"Berilah penghargaan, maafkanlah orang-orang bawahan, berilah anugerah ketua pengarang kepada wartawan kita," demikian kataku lagi.

Maaf di dalam hal ini boleh dibuat kerana kelemahan grup bawahan ini sebenarnya bertujuan mengangkat martabat kewartawanan juga.

Sedangkan majikan kita ini hanya mahu kita bekerja untuknya dan bukan ambil peduli soal turun naik hasil jualan akhbar dan untung rugi akhbar ini.

Aku balik ke SPKB. Sepatutnya, aku rancang nak pergi ke TGV, KLCC kerana ada tontonan filem Niyang Rapik dan The Valentine's Day dengan tiket jauh lebih murah.

Tapi, mataku memberat dan aku rasa hatiku mula mengeras, jiwaku membeku dan mula kejang otak, akhirnya aku rasa lebih selesa 'bertafakur' dan 'hibernate' sahaja di SPKB.

Malam. Terjaga sekitar 6:30 petang. Aku bangun mandi dan rasa segar merasuk dalam tubuh. Keluar makan dengan hati yang lapang dan 'mood' gembira. Riang! Pergi ke restoren mamak 24 jam, Wireless KL di sini tak berfungsi pulak dah!

Balik tulis story di SPKB sambil menonton King Kong dan dokumentari Tunku Abdul Rahman. Di Buletin Utama, kulihat segmen anak-anak interview Najib Razak dan 'ikan terubuk masin' untuk PM. Ini semua sandiwara Najib menjelang pilihan raya Sarawak nanti ni.

Lutfi Pena sms, "Kalau yang lompat parti ni ikhlas, mereka jangan masuk Umno, aku dengar akan ada yang lompat lagi ni." Aku tiada komen apa melainkan mengangguk sahaja.

Mak call. Mak dan abah, katanya akan naik keretapi dari Sg Petani turun di Kajang. Serta-merta daku teringat perkampungan tarekat di Kajang, dalam bualanku bersama SK semalam.

"Kami dapat potong sebab tunjuk kad pencen," kata mak, sambil memberitahu bahawa mereka dapat tempat tempat tidur yang agak baik di atas keretapi itu.

Currently have 1 comments:

  1. Anonymous says:

    Hаving reаԁ thiѕ Ι belieѵed it was гather infοrmatіve.
    I аpрreciаte уоu taκing the time and
    eneгgy tо put this article together. Ӏ once again fіnd myself
    spending a sіgnіficant amоunt of time bοth reaԁing and poѕting comments.
    But sο what, it ωas stіll ωorthwhile!


    Here іs my wеb sіte ... New Bingo Sites