Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

12 - 18 R. Akhir | 28 Mac - 3 April (Ahad - Sabtu)

Monday, March 29, 2010 , Posted by nota untuk Syiah at 10:05 AM

18 R. Akhir | 3 April (Sabtu)
Pagi. Selesai solat Subuh di surau JPB ada 'wahyu' baru tiba. Dan ia berbunyi lebih kurang begini...

"Maka, hendaklah ditubuhkan suatu majlis, jawatankuasa untuk mententeramkan semua pertarungan antara salafi, wahabi, syiah dan ASWJ...

"Maka, daripada jawatankuasa, majlis itu, hendaklah ada semacam peraturan khas yang mesti dipatuhi oleh pelbagai aliran itu.. hingga boleh membawa kepada 'gencatan senjata' dan gencatan perang mulut, lidah.."

Aku putuskan untuk temu Ishak Surin, kalau sempat pagi esok dalam syura Pas Batu, kemudian akan balik kampung untuk sambut ulangtahun penikahan abah-mak yang ke-34, insya Allah.

Petang. Meyde Sefira (Ayatul Husna, pelakon Ketika Cinta Bertasbih) baru membalas kiriman sms aku tengah hari tadi, "Mas, bagaimana jam 8 malam nanti? Karena saya dalam perjalanan pulang ke rumah.. terima kasih."

Soalan seperti apa yang aku nak tanyakan kepadanya? Mungkin lebih mudah untuk chat di YM agaknya?

Malam. Maghrib ini, mak call bertanyakan bila aku nak balik? Aku cakap, bahawa esok aku nak balik selepas tengah hari. Ia selepas tamat mesyuarat Pas Batu itu. Insya Allah!

Suara mak penuh dengan pengharapan agar aku pulang. Sementara TMJ di Pas Batu call hp aku tadi. Semoga aku dikurniakan kekuatan untuk memenuhi hajat-hajat mereka itu.

###########################

17 R. Akhir | 2 April (Jumaat)
Pagi. Subuh di sebuah surau di Kg Baru mengalirkan ketenangan dalam diri. Aku mula amalkan apa-apa yang disampaikan kepada aku oleh En Ibnu Idris of UM.

Terasa mantap di jiwa. Maka mengalir 'wahyu' yang melimpah ke dalam ruang batinku.

Hanya yang kurang menyenangkan, ialah sikap 'kasar' agamawan di sini. Loghat mereka seperti orang-orang di selatan Gajah Putih. Apakah suatu masa nanti, aku dapat berdepan dengan suku kaum ini untuk menawarkan kemerdekaan kepada mereka sendiri?

"... adapun 'wahyu' pertama berbunyi..."

Untuk disatukan umat, perlu diwujudkan wadah kesatuan fikiran. Adapun jalan menuju ke arah itu ialah, mengusahakan laman baru guna mengumpulkan pemikiran warga-warga cendekiawan di seluruh Alam Melayu.

Menerima kiriman sms TMJ, jemputan untuk hadir menjadi tetamu khas Pas Batu pada 4 April. Tapi, aku harus balik untuk raikan wedding annivesary mak dan abah. Apa keputusanku la ni?

Rasa rugi kalau tak pi. Jemputan Pas Batu dan YDP kawasan itu; Ishak Surin menyebabkan aku rasa ralat jika tidak hadir. Ia mengingatkan daku terhadap arwah Rustam A Sani.

Putera Ahmad Boestamam itu pernah mewasiatkan buat kali terakhir kepadaku katanya, "Cuba cari Ishak Surin, mungkin dia tahu tempat mana Ahmad Boestamam pegang keris pusaka tu lalu berkata, jika saya mengkhianati perjuangan, tikam saya dengan keris ini."

Ini ruang daku berbual dengan Ishak Surin, lelaki tua daripada balang sejarah, lulusan madrasah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang tahu banyak kisah terpendam Melayu Kiri.

Sajak Balada Burhan Di Kota Raya, membawaku Samarinda, antara Julai - Ogos, 2006. Di situ, aku kenal Dr Siti Zainon. Aku hairan melihat ucapannya yang memihak Melayu Kiri.

Aku takjub bercampur hairan melihat ucapannya. Dia memuja Dr Zulkifli Muhammad TYDP Pas sebagai jagoan puisi, memuji peranan Reformasi dalam membangkitkan semangat rakyat.

"Di Taman Melawar juga memang sudah ada puisi-puisi Reformasi," jelas beliau. Aku meminta penjelasan Cikgu Nizam Shah, lalu dia berkata, "Dia vokal waktu muda-muda dulu."

Lama-kelamaan, melalui chat dekat FB, daku mula mengetahui bahawa beliau ada hubungan tali kekeluargaan dengan Ishak Surin. Syukur kerana aku dipertemukan dengan beberapa teka-teki yang berselerak selama ini.

Petang. Selepas diserahkan dompet oleh sang mamak semalam di Rafiya, daku dapat keluarkan duit untuk bayar hutang piutang kepada rakan-rakan untuk membeli netbook.

Bersama NY, kami pekena ayam kukus Pantai Dalam. Aku tunjuk netbook yang baru kubeli. Dia rasa kesal kerana netbook itu adalah HP Mini dan bukan Isus yang dijangkanya sebelum ini.

"Kau ni memanglah..." keluhnya, kesal. Kah! Kah! Seorang, dua aweks memerhati kami. Berjaya juga daku menyakatnya kali ini. Huh! Bukan senang nak sakat orang. Tapi, mujurlah mereka itu sebenarnya 'trainee' di NST. Fuh! Tak berjayalah daku nak mencipta 'skandal'. He.. he..

Selesai urusan itu, jumpa Jay di Bangsar. Apabila selesai pembayaran piutang, aku bentang buah fikiranku tentang sebuah revolusi rahsia. Selesai debat, akhirnya kami capai keputusan sulit!

"Hang kena guna nama samaran lain, MAB tu orang kenai dah!" katanya. Wajib aku berhatilah bermula sekarang kerana mutakhir ini, aku dipantau orang. Ini membuatkan aku rasa tergugat!

Di Rumah Pena
Di Rumah Pena daku jatuh cinta pandang kali ke 2,367, 2,368, dan 2,369 dengan aweks Rusia. Di sini, malam ini gerombolan Upsi dan UM datang membawa persembahan mereka.

Bertembung buku-buku menarik, Isa al-Masih akan tiba pada 20??, Imam Mahdi akan muncul pada 20??, exodus (penghijrahan) Israel keluar beramai-ramai dari Israel pada 2020, 2022??

Pada tahun itu, 10 tahun lagi, usiaku adalah 43 (masehi) dan 44 (hijrah). Kini, usiaku 33 tahun (Masehi), 34 tahun (Hijrah). Ini bermaksud, Nusantara Baru perlu disegerakan.

Kenabian dan kerasulan Muhammad s.a.w bermula pada usia 40 tahun. Pada usia 35 tahun, nabi masih lagi muda belia yang mengikut ajaran susur galur nenek moyangnya, Ibrahim.

Ketika 35 tahun, baginda walau belum jadi nabi tapi telah berjaya menyelesaikan pertelingkahan antara bani-bani. Pemimpin suku kaum itu bertelagah untuk memutuskan siapakah yang paling layak meletakkan Hajarul Aswad di Kaabah.

Jadi, pada usia 35 tahun, baginda telah berjaya meleraikan kekusutan umat. Apakah yang sudah aku lakukan pada usiaku 33, 34 tahun belakangan ini?

Banyak mana masalah dan persoalan umat yang berjaya aku selesaikan? Apakah aku sudah pun menawarkan jawapan terhadap setiap persoalan umat? Oh! Aku mesti bekerja keras lagi!

Apa pun, kalaulah Imam Mahdi muncul, Nabi Isa a.s tiba semula, pasukan tentera aku atau bala tentera yang dikendalikan zuriat-zuriatku perlu segera merangka strategi.

Lagi pun, bukankah menurut hadis, kebangkitan itu bermula daripada sebelah Timur? Aku kena rangka segera protokol pembinaan negara dan kerajaan baru dengan rapi dan tuntas!

Membeli Hujjatullah Al-Balighah
Bersama Rahimidin, aku mengenali nama seorang Pak Kiai Palembang yang ada FB. Tajuk buku beliau - Cahaya Atas Cahaya.

Berbual tentang dominasi Salafi, Wahabi ke atas pondok-pondok (Ahl Sunnah Wal Jamaah), aku pun mendengar beliau menyifatkan bahawa, pengiriman lulusan pondok kita ke Madinah adalah suatu kerugian besar kerana tempat itu 'madrasah' Wahabi.

"Kubu kuat kita adalah pondok-pondok tetapi akhirnya mereka sambung belajar di Madinah," kata beliau lagi. Aku fikir, jika pengalaman ilmu ASWJ di pondok ini hilang, maka kena ada pelan 'back-up' yang baharu. Iaitu kalangan cendekiawan intelektual perlu dokong pemikiran Al-Attas!

Jadi SPKB perlu bekerja keras mempromosi hasil kerja dan karya Al-Attas ini. Di samping itu, di sana, ada ancaman baharu melibatkan institusi Al-Azhar.

Setelah Syeikhul Azhar Dr Sayed Tantawi meninggal dunia, telah ada pengganti baharu yang ada dalam fikiran Presiden Mesir Hosni Mubarak.

Hal ini pun menjadi antara tajuk bualan antara Rahimidin, NY dan Al-Johori tadi. Sikit demi sikit virus dalam tubuh badan umat ini sedang berkembang marak dan berleluasa dengan hebatnya.

Sedangkan, ramai umat semakin lalai dan dilalaikan. Jadi, kedudukan ilmu ASWJ dalam negara ini dilumpuhkan di dalam negara dan juga di luar negara. Pelan back-'up' di mana?

Kepada siapa harus aku hadapkan pertanyaan ini. Ke pihak mana, perlu kunyatakan pernyataan ini? Urgh!

Membelek buku-buku sekali lagi, pakcik penjual buku itu memujuk aku membeli kitab-kitab itu, dengan sebuah pertanyaan, "Buku apa yang kamu minat baca?"

"Tasawuf, sufi, tarekat," jawabku, ringkas. Futuhat Makkiyyah, Fususul Hikam Ibnu Arabi, dan lain-lain, Al-Hallaj, tokoh wahdatul wujud bersepahan di atas mejanya.

"Ini buku paling baik, Hujjatullah Al-Balighah!" demikian sarannya kembali.

Aku cuba sabarkan hati aku untuk tidak membeli. Ada baiknya jika aku pinjam sahaja di pustaka negara.

Tapi, tetiba brader Rahimidin lalu di sisiku lalu beliau mengesyorkan supaya aku beli Hujjatullah Al-Baalighah. Oleh kerana ada dua seruan yang meyakinkan, maka aku beli juga akhirnya.

Aku tak nak beli sebab SPKB dah sesak dengan 'urusan dalaman'. Rasanya, setelah habis kerjaya wartawan ini, aku nak tumpukan 'urusan dalaman' SPKB sebagai yang disarankan NY itu.

Membeli buku dan kitab lagi akan menambahkan khazanah, mengundang bebanan berat untuk menguruskan 'urusan dalaman' itu. Jika mahu mengubah corak peta dunia, maka hal itu perlulah bermula daripada SPKB. Tapi, aku kalah dengan godaan ini.

'Mossad' dah masuk negara kita?
Ada suatu kisah menarik yang disampaikan kepadaku oleh Wak Saring. Dia dalam perjalanannya ke Chieng Rai, Thailand, beliau bertemu seseorang di Rim Kok Hotel.

Wak berkata, dia pernah bertemu pegawai 'Mosad'. Pada kad namanya, tertera 'Mos.ad
'. Ketika awalnya, dia memang tak perasan. Lama-kelamaan, baru dia teringat.

Dia bagi aku kartu nama, lalu berkata, "Nanti kita minum kopi sekali dan berborak panjang lagi hal ini." Dia sentuh nama-nama Lanh, Yunus, Nazri dan nama-nama orang Anwar di BH.

Semua hal ini memang menarik perhatianku. Tapi, masa tidak mengizinkan. Alo menunggu daku di Rafiya. Aku minta diri lalu segera beredar.

Malam masih muda dan kelibat 'aweks cool' Rusia sudah tidak kelihatan. Selamat tinggal sayang! Muah! Peta Rusia pun aku kena ubah. Harus aku cari aweks Rusia yang fasih berbahasa Melayu untuk menjadi penterjemahku dalam urusan membuat rampasan kuasa ke atas negara itu.

Err.. Altantuya pun penterjemah bahasa Peranchis jugak kan? Erk! Urgh! Bahaya betul cara aku berfikir ini. Ia barangkali menimbulkan kegerunan dan kengerian bagi sesiapa sahaja!

Di Rafiyah, aku menerima berita yang 'menyeramkan'.
Zul SK bertanya Alo mengenai hal diriku. Sekali lagi, aku berasa tergugat. Pada saat nama kita ada dalam fikiran orang-orang maka ketika itulah kita mungkin berada dalam keadaan tergugat, bahaya!

Kedudukan kita ketika memerhatikan orang lain itu, adalah lebih baik dibanding kedudukan kita ketika diperhatikan seseorang atau diperhatikan oleh ramai orang.

Adalah selamat jika kita sedang memerhatikan cyber troopers Umno, PG dan lain-lainnya ketika ini, jika dibandingkan pada suatu saat nanti di mana mereka asyik meninjau gerakan kita.

###########################

16 R. Akhir | 1 April (Khamis)
Merdeka! Heh! Heh! Tapi, tidak sepenuhnya! Banyaklah rupanya tuntutan orang ke atas diri ini.

Bertempur dengan hujan dan 'deadline' di JPB. Daku gagal lunasi piutang kepada rakan-rakan. Ia datang melambak-lambak.

Dompet duit masih tak jumpa. Aku fikir mungkin aku kena jumpa orang-orang rohani untuk tilik diriku semula. Apa yang tak kena dengan diri ini.

Sesetengah orang berkata, kita ditimpa bebanan masalah ini sebab dua perkara. Pertama, untuk hapuskan dosa. Kedua, untuk naikkan makam kita di sini Tuhan.

Tapi, adakah hal ini hukuman ke atas dosa-dosa atau ujian meningkatkan iman ke darjat taqwa?

Hatiku patah dan hancur melebur ketika melihatnya betapa banyaknya tuntutan orang-orang ke atas diriku. Tidak semuanya dapat kuselesaikan dalam tempoh terdekat.

Hari ini, bekalan air tiada di SPKB, terpaksa menjadi perantau di masjid. Waktu susah, baru aku teringatkan masjid rupanya. Lalai betul aku ini.

Banyak betul yang aku terlepas dalam hidup ini. Peluang di Shah Alam tergendala lantaran sibuk melayani tuntutan-tuntutan orang yang mendadak datang secara tiba-tiba itu.

'Ayatul Husna' KCB nampaknya telah membalas kiriman mel-e aku lewat FB. Hatiku girang. Aku cakap nak interview dia semalam. Agak-agaknya, sebab itu dia balas, (agaknyalah).

Tiba-tiba (prangg..) bunyi hatiku berkecaian kerana terpandang statusnya yang menjadi tunang orang. Aduh! Kaciwa lagi! Proses penguratan gagal. Nampak gaya nasib aku dah jadi macam Mas Abdulloh Chairul Azzam. Sudah jatuh ditimpa tangga.

Teringat macam mana Khairul Azzam terpaksa berjuang mencari cinta, melamar gadis daripada rumah ke rumah. Ya Tuhan, apakah hamba terpaksa menempuh pengalaman yang lebih kurang sama? Dahulu, aku diuji dengan cinta kepada seorang gadis.

Selang dua, tiga hari aku pergi ke pejabatnya untuk bayar bil. Dan, dia melayanku dengan sikap baik sekali. Pabila kupandang wajahnya, aku sudah beriltizam untuk segera menamatkan zaman bujangku. Selang beberapa bulan kutinggalkan dia entah kerana urusan apa, aku sudah lupa.

Sehinggalah suatu hari, kulihat perubahan pada sosok tubuhnya. Wah si dia sudah mengandung! Patutlah dia seperti mengelak dan rasa malu-malu.

Aduhai, Tuhan mengujiku dengan rasa cinta pada milik orang. Kalaulah aku tahu, akan segera kupadamkan api perasaan hangat yang marak menyala-nyala ke terhadapnya.

Urgh! Dan banyak lagi kisah-kisah yang boleh aku menukanginya sehingga ia terbangun lengkap sebagai cerpen-cerpen dan novel-novel karya cinta agung! (Insya Allah)

Sebab itu, kalau soalan ini ditanyakan kepadaku, "Apa itu cinta?" Nescaya aku tidak menjawab sebagai yang terakam oleh catatan madah Ayatul Husna dan Anna Althafunnisa' itu. Mereka itu, telah berhasil menemukan sebuah catatan cinta yang indah.

Sedangkan aku... sehingga kini dihimpit derita. Ya.. cinta bagiku hanyalah deraian air mata...

Hajat yang kesampaian dan tak kesampaian
Malam ini, selepas diserahkan bahan-bahan di JPB, minum malam-malam di Rafiya. Sungguhlah aku terharu dengan Allah yang telah mengirim hiburan dalam batinku. Inilah munajat, doaku...

Ya Allah, betulkah kata orang, jika seseorang itu ditimpa masalah, maka itu bererti Kau kasihkan orang itu? Jika benar, haramkan diriku dari disentuh oleh maraknya api neraka!

Ya Tuhan, tumbuhkanlah perasaan cinta, rindu, kasih yang sentiasa hangat membara ke atasMu dan janganlah Engkau memalingkan wajahMu daripada memerhatiku.

Beri kami sebuah negara untuk kami usahakan penduduknya supaya tetap taat, setia dan patuh sentiasa adil dan cermat menegakkan hukum dan ketika menjatuhkan hukuman.

Dan, beri kami wilayah besar untuk kami pastikan setiap umat yang bernaung di dalamnya akan menunaikan ajaran-ajaranMu sebagai yang diwahyukan oleh Rasulullah s.a.w. Ameen...

Syahadan, sang mamak itu menghampiriku, lalu menunjukkan sebuah dompetku yang hilang itu. Hatiku menjadi sebak, dunia sempit terasa lapang. Ya Allah, anugerahkanlah kebaikan terhadap sang mamak dan warga kerja Rafiya. Ameen...

Aku berdoa, 'lailan wa nahaaran', siang dan malam supaya diberikan petunjuk untuk melihat ke arah mana jatuhnya dompet duit itu. Munajatku mungkin didengari seisi penghuni langit.

Ahah! Adapun sahabatku Alo, mulalah memutarkan cerita berhubung hajatnya sejak muda yang tiada kesampaian itu. Dia bersama tiga sahabatnya ingin berkelana ke tanah Arab untuk dalami bahasa Arab dan untuk mengarang kitab-kitab agama dalam bahasa Arab.

Mereka nak mengaji dan berguru, duduk lama-lama di Timur Tengah. Tapi, akhirnya, ketiganya tidak sampailah hajat besar itu. Dia sendiri sudah tercampak ke sini.

"Kawan ana tu dah jadi jutawan. Dah hilang semua angan-angan tu. Dia masuk Umno, tinggal Pas dan hilanglah semua yang pernah kami rancangkan itu," katanya.

Ya Allah, berkatilah cita-cita dan perjuangan kami. Jangan Kau ubah tujuan kami seperti mereka yang pernah kau tukar arah hala tuju mereka. Tetapkan iman kami dan para pengunjung blog ini yang asyik membaca coretanku yang entah hapa-hapa ini. Rahmatilah kami semua. Ameen...

###########################

15 R. Akhir | 31 Mac (Rabu)
Dinihari. Semalaman menulis proposal kajian. Rupa-rupanya di sini, apabila kita menurunkan buah fikiran kita, semakin banyak dan jelas, satu persatu idea-idea tercurah ke kertas.

Sudah siap, selesai aku hantar proposal kepada K. W untuk beliau nilaikan kemudiannya.

Pencarian dompetku yang hilang di JPB ini masih belum tamat. Hati dipukul oleh riak keresahan bertalu-talu. Ujian seperti apa yang ditanzilkan buatku kali ini? Denda sebab tak tulis tafsir ker?

Tengah hari. Z call, "Katanya, awak dah berhenti?" Aku terus buat pengakuan Ka'ab. Tak mahu panjangkan cerita. Sejak berbual dengan encik Idris di UM, aku jadi nekad mendengarkan kata-kata nasihatnya - "Terus fokus apa yang awak nak buat, hantar dan tawakal."

Hujan lebat jam tiga petang, aku dapat mesej opis, sudah dapat pengganti baru. Syukur. Bermula esok aku merdeka, insya Allah. "Leptop hantar semula ke pejabat," katanya.

Memang hari ini sudah ketetapkan hasrat nak beli leptop dengan offer RM988 bersama celcom broadband. Ini hari terakhir untuk membuat pembelian.

Tuhan tunaikan hajat kita pada masa yang berlainan
Di Celcom KLCC aku terus register. Rerupanya brader tu cakap, ada satu sahaja lagi untuk aku. Hatiku menangis sendirian. Rupa-rupanya, Tuhan yang 'reserved' sebijik leptop ini untukku.

Dulu, aku teringin sangat nak beli leptop, sampai slip gaji jadi-jadian yang aku hantar di Giant tu dah kena reject dan sebagainya. La ni, barulah dapat sebijik leptop milikku secara sah!

"Tapi, kami tak terima cek," kata brader itu. Aku mati akal kejap. Nak draw cash, kad atm pun dah hilang entah ke mana bersama isi dompet duitku yang hilang itu.

Masa ni la teringat kat kawan-kawan. Call Alo, tak dapat pinjaman. Jadi banyak cerita pulak dah dan aku terpaksa buat pengakuan Ka'ab lagi dekat dia. Dan, masa pun terus berjalan.

Syukur, ada orang pinjamkan wang!
Akhirnya, Jim dan NY setuju nak pinjamkan wang. Kami bertemu di Bangsar. Daku tulis catatan, atas kertas hutang, tapi depa bantai gelak kat aku kaw-kaw punya.

Zaman la ni, kalau kita nak ikut peraturan, hukum Al-Qur'an, kita pulak yang digelakkan orang. Sabar je lah! Yang penting, aku buat yang terbaik untuk tegakkan hukum-hakam.

Di antara isu-isu berbangkit ketika berada di La Tha Cafe, ialah kedudukan cyber-troopers Papa Gomo, tapi masih tiada keputusan untuk masuk dalam untuk curi peluru Umno.

Selain tu selepas Dialog Orang Muda (Dom) membawakan tema penyangak sastera, Jim syor isu pengharaman buku dibicarakan. Kami pun bersetuju secara 'ijmak'.

Aku apungkan juga syor Pak Jawaher untuk diketengah di dalam Dom; iaitu isu pelanggaran hak cipta, khasnya membabitkan buku-buku agama Indonesia di Malaysia.

Hal ini pernah kami debatkan bersama Tukya Azizi, Samsudin Al-Johori, Rahimidin dan ashabul MKDT (Menunggu Kata Dari Tuhan) pada malam 27 Mac lalu selesai tamat pementasan yang ke 34 sempena setahun usia teater tersebut.

Tapi, katanya, "Ah! lagi-lagi Indonesia!" Ya, ini persoalan hak. Nampaknya hal ini tidak menjadi minat kami secara ijmak. Tiada sepakat dan muafakat. Baru teringat, ada orang anti Indon.

Silap daku bawak idea ni. Tak pa, aku sebetulnya nak cari pengalaman jadi agen kebenaran serta perubahan untuk membawa isu hak-hak asasi manusia, penulis ni.

Nanti ada juga pengalaman berdepan dengan kes hak cipta ni. Hal ini turut mendapat perhatian Tukya Azizi yang menyifatkan hal ini seolah-olah pengajian tanpa sanad dan ijazah.

Itu belum lagi idea lanjutan syor Barajiwa malam tu, "Hangpa la ni kena groom masuk Gapena, tak kan Amirudin sorang saja nak cabar kedudukan Ismail Hussein?"

Aku kena susun protokol baru untuk persatuan penulis ni. Semoga nasib kaum penulis akan juga terbela jika peluang membuat 'revolusi penulis' terbit pada waktunya nanti.

Motorku sayang!
"Kau nak jual motor tak?" tanya Jim kepadaku. Fuh! Motor itulah nyawaku. KAT 2298. Tuhan yang pilih nombor tu. Rumahku di Pendang nombor 22. Rumah P Ramlee kat Jalan Dedap, 22.

Motor tu dibeli pada 1998. Jadi, angkat 2298 tu sangat bererti dan sarat dengan nostalgia sekali. Aku tak terfikir langsung nak jual. Ia menyimpan sejarah pahit, manis, kelat, kailan ikan masin, masam cuku, suka duka, 'sweet sour' dan tiga rasa.

Ia sudah membawaku ke USM, menjelajah KL dan kemalangan beberapa kali pun dengan motor tu lah jua. Ia telah membawaku ke Tanjung Tuan, Gunung Jerai dan beberapa tempat tapa yang lain. Oh, sungguh berjasa dan berharga sekali motorku itu.

Motorku sayang yang tercinta. Kalaulah kau bisa bersuara, pastinya kau akan menjerkah marah kepadaku, "Hampeh! Tau naik tunggang aku aja, cuci aku haram tak pernah!"

Selain itu, antara kutukan mesra yang lain terhadapku oleh NY - "Antara hikmah kau berhenti ni, bolehlah kau uruskan 'urusan dalaman' SPKB tu."

Walaupun pandangan ini diutarakan secara lawak, tapi daku cuba menselatankan, mentimurkan, mentenggarakannya dengan makna lain pula-jika aku nak merdekakan Yala, Champa dan Acheh aku harus mulakan dengan 'urusan dalaman' SPKB itu sendiri.

Pi UM, tonton KCB2
Habis berbual di Bangsar, aku terus terpa KLCC balik. Selesai urusan beli laptop di KLCC, terus ke UM, menonton KCB2. Hatiku membuak-buak rasa nak kahwin bila tengok percintaan Azzam tak menjadi-jadi selepas proses 'penguratannya' tergendala banyak kali.

Manis-manis belaka deretan saf barisan para aktres KCB2 ni, bikin hatiku berdegup kencang, dup, dap, dup, dap!! La ni aku mesti terus buat tindakan nekad, mengurat tanpa takut, malu dan segan.

Apakah nasibku akan jadi macam Pak Samad Said? Mengurat guna ayat serapah jampi? Ah.. tak mungkin! Tidak macho dan tidak cool jika daku berbuat demikian.

Adakah harus daku mengurat Ayatul Husna di dalam KCB2 itu? Tapi, apa kata Megan Fox pula? Susah betul nak buat pilihan. Hmm.. projek mewujudkan wilayah 'Nusantara Baru' memerlukan ramai bini. Ini suatu kemestian, fardhu kifayah guna melengkapkan perjuanganku kelak!

Bila daku keluar dewan setelah selesai tayangan, abah hantar sms, "4 April, wedding annivesary mak dan abah, ada hadiah menarik menanti, yang lama tak balik tu boleh balik."

Aik, perli nampak? Eloklah daku balik. Ada hikmahnya. Lama tak tengok anak-anak buah, Sarah dan Hakim. Pak Long balik la nanti. Bermula esok, Pak Long dah merdeka! Alangkah nikmatnya kemerdekaan yang aku kecapi menjelang esok hari. Alhamdulillah!

Pada 4 April 1976, kedua orang tuaku menikah. Pada 14 Januari, 1977, selepas 9 bulan, aku lahir dan 'due date' selisih kelahiranku, menurut mak, cuma sehari.

Sebetulnya, aku dijadualkan lahir pada 13 Januari (Khamis) tetapi Tuhan tunda esok, 14 Januari (Jumaat). Syukur kepada Tuhan yang memilih hari yang baik dan mengilhamkan kepada kedua orang tuaku untuk memberiku nama terbaik walau ada tentangan di pihak orang tua mereka.

###########################

14 R. Akhir | 30 Mac (Selasa)
Dompetku hilang hari ni, daku syak mungkin ia jatuh di JPB, atau di UM. Ya Allah, kembalikanlah barang yang hilang.

Apakah ini suatu denda kerana aku gagal menyiapkan tafsir yang telah aku nazarkan tempoh hari sejak kunci motor aku hilang?

Bermodal bekal tawakal, aku pun melangkah ke UM untuk hadiri Minggu Media. Kali ini mereka tampilkan Fedtri (TV3), Rosli (RTM) dan Zainor (BH).

Apabila makan tengah hari, terserempak dengan bro Shukri Abdullah, Sri Diah juga rakan-rakan PENA yang ada. Aku masih mencari dompet di sini, tapi tiada juga berjumpa. Haizz...

Selesai acara bual bicara itu, daku ditakdir, berjumpa encik I. Hal ini, aku anggap sebagai hadiah yang cukup besar dan berharga daripada Allah.

Memang tepu ceritanya yang berbaur agama. Ia bersifat kerohanian. Dan semuanya menyentuh naluriku. Sekadar menurunkan beberapa catatan.

Selepas Subuh dan Maghrib - 100x (istighfar), 100x (selawat), 100x (tahlil). Amalan ini diterima daripada Habib Mohsin, Rawang. Dia 'ijazah'kan kepadku sebentar tadi sekitar jam 3 petang.

"Kalau kita nak bebaskan diri daripada neraka, selepas Subuh dan Maghrib, baca Allahumma ajirna minannar 7 kali," kata beliau lagi.

Amalan ini, menurut beliau, diterimanya daripada Kiai Ahmad Jamhuri al-Banjari. Beliau sudah mendapatnya pada 8 Mac tahun ini (atau tahun lepas? Tak ingat pula).

Kekosongan jiwa terisi sekejap
Lama dah aku tak berdampingan dengan orang-orang lama, orang-orang tua yang akrab dengan orang-orang agama. Benarlah kata ustaz-ustaz, berkawanlah dan selalulah ziarah orang soleh.

"Jangan meletak pergantungan kepada makhluk," kata beliau. "Mereka hanya penyebab saja. Kalau tempat awak di universiti, tiada suatu kuasa pun tidak dapat mengubahnya."

Dia menasihatkan aku sedemikian kerana aku memberi alasan, bahawa aku takut kedudukanku sebagai 'insan yang berhaluan kiri' bakal mengundang kesukaran untuk aku dapat tempat di sini.

Aku berkata, kegelisahanku ini ada asasnya - betapa aku telah menyiarkan serta menyelongkar masalah di kampus, kisah siswa-siswa berdemonstrasi menyerang HEP, bukankah hal itu sedikit sebanyak akan menyebabkan nama aku kurang jernih?

"Kadangkala kita takut kepada bayang sendiri," kata lelaki yang pernah mendapat asuhan dari pesantren di Indonesia itu. "Usaha sahaja dan bertawakallah..."

Terima kasih Tuhan sebab menemukan aku dengan orang-orang yang baik-baik dan mereka ini sudi memberi nasihat dan bimbingan tanpa apa-apa imbuhan dana.

Pada lidah mereka, sudah mengalirlah ombak kesedaran yang kuat sehingga merempuh benteng kekhuatiran sekali gus memecahkan bingkai-bingkai ketakutanku selama ini.

Akan tetapi, harus aku berwaspada - kerana beliau telah mengingatkan aku tentang ramalannya yang pernah aku dengar daripada pakcik dan makcik di Kelang. Ia mengenai bencana besar yang akan menimpa negara kita. Ia sungguh mengerikan!

Setakat ni 3 orang dah bercakap. Kalau bencana yang bakal menimpa Malaya ini dibikin novel, ia mungkin meletup menjadi kontroversi. Di sini, aku rasakan, sepertinya Tuhan itu ingin berbicara kepadaku lewat hati dan lidah insan-insan yang kerap hatinya diasah dengan parang zikrullah.

Akan mengalir keberkatan mereka dalam mengisi, mewarnai sekali gus mencorak ibadat-ibadat kita. Ya, di sini juga, aku up story sikit lalu menaip apa-apa yang ada.

Tidak seperti kelmarin, tiada kelibat pelakon seperti Ahmad Tarmimi Serigar, Jason Chong serta lain-lain. Hanya kalangan intelektual yang berdiskusi mengenai permasalahan mereka.

Malam. Selesai tayangan filem Ketika Cinta Bertasbih (1), aku pulang. Ketika ada babak tentang makna cinta, Anna Althafunnisa' dan Ayatul Husna memberi takrifan mereka mengenai cinta.

Tapi apabila selesai tayangan itu, Kak Wan tanya aku cinta itu apa? Maka, daku cuma menjawab cinta itu 'air mata'. Aku nak tambah - ia adalah 'darah' dan 'air mata'. Kenapa daku jawab begitu? Biarlah rahsia.

Di opis JPB, aku cari dompet, hasilnya tetap sama. Tak jumpa! Rakan-rakan di sini berdebat hal Ustaz Nasha yang kerap duduk semeja dengan puak-puak Umno di Parlimen.

"Pakaq datang terus dekat Ustaz Nasha tadi dan pegang tangan dia, lalu berkata, ustaz kena pi masuk Parlimen!" kata rakanku itu, bercakap mengenai hal petang tadi.

Depa tak puas hati - ustaz Hadi bercakap di parlimen tentang Yahudi, Apco, tapi ustaz Nasha tak masuk untuk dengar ucapan tersebut.

Aku tak heran. Dua tiga hari lepas pun Wan Nor 'mengamuk' kat K Sal kerana orang nombor dua dalam parti itu asyiklah bergelak ketawa dengan MP Umno, sedangkan dia nak dapat kenyataan dalam 5 minit untuk dibuat berita pun tak dapat-dapat.

"Memang patut sangat orang kata dia mahu masuk Umno," kata Wan Nor. "Sudahlah imej dia rosak dengan sebab isu Kerajaan Perpaduan. Buat pulak perangai macam ni."

Fuh! Perjuangan, perjuangan...penuh dengan deraian air mata dan kutukan penghuni di bumi. Di langit, agak-agak masyarakat malaikat akan kutuk dan laknat tak? Wallahu'alam...

###########################

13 R. Akhir | 29 Mac (Isnin)
Pagi ini, aku keluar bersarapan. Kemudian, dengan tiba-tiba, 'brader' Darul Andalus ini duduk di depanku.

Dia datang entah dari mana. Seperti 'malaikat', tiba-tiba saja dia hadir. Bila aku sembang-sembang dengannya... maka...

Dia adalah anggota Tabligh Singapura. Punya gedung pustaka. Dia hadir di sini sebab ada urusan di PBAKL. Juga dia memiliki madrasah pendidikan sekitar 8,500 murid-murid!

Pejabat di Wisma Indah, Changi dan dia tau Suffah Circle! Wah, memang Tuhan bijaksana amat.

Kami berbual isu politik Malaysia dan Singapura. Dia senang sekali dengan kebersihan Kampung Baru. Aku bertanya keadaan Geylang Serai, Changi dan Kg Gelam di Singapura.

"Sepatutnya, kawasan itu milik Melayu," katanya. "Tapi, sekarang dah berubah dengan sebab polisi pemerintah."

Lama-kelamaan, makin bertambah kawan-kawan mentol lampu yang boleh aku petik suis untuk menerangi alam Nusantara Baru ini. Semoga rencanaku berhasil hendaknya. Ameen...

Tengah hari. Hadiri Minggu Media kat UM-mencatat beberapa isi butiran yang mungkin boleh diangkat sebagai bahan berita.

Dapat maklumat mengenai ketidakpuasan hati orang mengenai prestasi kerja. Elok juga aku berhenti. Kalau tidak, susahlah daku nak mengaji kalau macam ni.

Sudah lama dah aku cakap dan minta depa stand-by cari orang lain, takut kalau-kalau aku dapat tiba panggilan kampus.

Aku tulis surat untuk mengesahkan perberhentianku jika sudah ada pengganti tempatku. Moga ada penggantinya nanti. Dah selesai, aku hantar surat lewat mel-e. Syukur, rasa tenang, kurang denyutan di kepala. Syukur, alhamdulillah...

Selang tak berapa lama selepas itu, aku menerima sms baru daripada Shah Alam, sunting buku. Wah... hatiku semakin tidak keruan dibuatnya. Cuma yang kupinta, baik-baik sahaja hendaknya. Betapa sukar dan sulit sungguh nak buat keputusan ini.

N USM tegur daku di bilik mesyuarat JPM UM. Baru la aku teringat wajah senior aku di USM ni. Dia dok di Pandan Indah. Lepas tu, dia buka kisah lama - Sekretariat Pelajar Wartawan Islam.

Jadi, terbuka balik kisah aku 'fight', melagakan idea dengan En 'Zahar'. Dia aliran sosialis. Tentu, dia banyak menentang adegan konsep-konsep sebegini.

Dalam hati terbit kerisauan akan zaman kenakalan lalu. Nampaknya, N dah banyak tahu hal-hal aku dulu, dia turut menyentuh seorang pimpinan editorial di majalah Al-Islam yang dulu pernah chat denganku di YM. Wah! Serta-merta aku rasa tergugat.

Apa yang depa tahu mengenai aku ini? Ini sangat merbahaya. Keadaan akan menjadi tidak stabil kalau ada orang mengenali hasil kerja kita dan dalam masa yang sama, kita gagal mengetahui hal orang yang meneropong hasil kerja kita itu. Aku meletakkan diriku dalam keadaan berjaga-jaga.

Malam. Ada tayangan filem Belukar. Daphne Iking berlakon. Daphne ni satu batch dengan aku di USM. Masihku ingat, tatkala dia masih muda bergetah, pabila dia turun di cafe Bakti, seluruh mata lelaki memandang ke arahnya.

Yalah orang Sabah dan Sarawak, Iban, Kadazan, Dayak ni ada darah keturunan Mongolia. Maka, memang la genetik depa ni lawa-lawa.

Bertanyalah kepada Abu Google, mintalah fatwa kepada Ibnu Yahoo dan ustazah Wikipedia. Aku fikir, kalian akan pasti mendapat jawapannya kelak. Teringat Mongolia, teringat Altantuya.

Di JPB. Berkisah dengan member akan perihal penulisan buku ISA. Jenuh lama sejak dahulu lagi kami mendebatkan idea ini. Akhirnya, ia mesti dibuat secara santai. Rasa semangatku pulih balik dan kembali segar untuk meneruskan kerja-kerja ini.

###########################

12 R. Akhir | 28 Mac (Ahad)
Hari terakhir di PBAKL. Bertembung dengan majlis buku pelancaran Pak Jawaher lagi. Aku buat news lagi untuk promote hal-hal berhubung hal pemikirannya.

Bertembung Mie Long, kawan lama di Maktab Mahmud. Rupa-rupanya, member aku ini, sangat berminat dengan karya-karya Ramlee Awang Murshid.

Mungkin, buku-buku yang menambat perhatian orang-orang sepertinya adalah berkisarkan hal sejarah, Islam dan politik. Akhbar-akhbar ini, catatan dan coretan akan hilang ditelan arus masa.

Buku juga yang dipandang orang. Akhbar cuma sekadar menghidangkan ramuan-ramuan, sajian terkini yang akhirnya mungkin akan dilupakan ramai orang.

Petang. Aku hanya mampu melihat Mami Mariani dari jauh. Juga, pertandingan yang tak dapat aku sertai lantaran kesibukan atau ketidakpandaian aku menyusun, mengurus waktuku.

Apa nak buat? Aku buat yang terbaik. Tapi, selalu saja nasib baik dalam hal-hal ini, tak memihak kepada diriku. Semoga dalam waktu lain, nasibku bertambah baik. Bak kata Pak Samad, "Segala yang dihasrat, tapi tak didapat, adalah nikmat yang paling padat!"

Akhirnya, daku pun beli Kamus Al-Qur'an dan Alexander Adalah Zulkarnain. Dapat diskaun 30 peratus kira-kira beberapa jam lagi sebelum 'booth' ditutup.

Malam ini, daku bergelut dengan Kamus Al-Qur'an dan buku itu. Alhamdulillah, tiada rasa ralat membelinya. Berdepan dengan buku ini aku mengetahui bahawa Alexander memang Zulkarnain dan Cyrus The Great bukanlah Iskandar.

Ya, daku puas hati dengan aliran, pandangan mazhab ini. Kebetulan, inilah pandangan yang lebih akrab dengan jiwaku selama ini. Dan, tidak pernah aku berkongsi dengan sesiapa mengenainya.

Currently have 6 comments:

  1. Aku Azman says:

    Sabarlah abg ali...
    jika berkelapangan, datanglah ke Pusat Kajian 1 Malaysia di Taman Berlian, mungkin kita dapat berbicara bersama membentangkan rancangan masa dapan seusai makan burger king seperti masa-masa lalu.

    Insyo Allah saya dan fahmi akan bercuti mulai bulan 5 ini. So boleh kita buat battle of the DOn kelak.

    datangla eh, jika tidak, kami anggap abg ali tenggelam dalam putaran kehidupan ..come on bebey!1

  1. insya Allah, dah semakin kurang sibuk sekarang ni. bolehlah jumpa bila2.

  1. Anonymous says:

    Sorry for my bad english. Thank you so much for your good post. Your post helped me in my college assignment, If you can provide me more details please email me.

  1. hardiansyah says:

    good post. thanks.

  1. anonymus...

    terima kasih, gembira kerana 'posting' di sini membantu sdr/i dlm tugasan anda.

    walaupun saya tertanya2, dari sudut mana 'posting' di sini membantu anda.

  1. hardiansyah...

    terima kasih kerana menyukai kiriman posting ini.

    anda dari daerah mana?