Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

10 - 16 Muharram | 27 Dis - 2 Jan. (Ahad - Sabtu)

Sunday, December 27, 2009 , Posted by nota untuk Syiah at 10:59 PM

16 Muharram / 2 Jan (Sabtu)
Masuk hari kedua tahun baru apa azamku? Nikah? Takda lagi calon ni. Aktres Brittany Murphy sudah meninggal dunia. Tak sempat aku tasykil dan bayan dia untuk memeluk Islam.

Aktres Meg Ryan pulak sakit-sakit dan kurus-kurus. Kalau la aku sempat mengurat dan depa masuk Islam, bolehla mereka jadi bidadariku di syorga kelak. Kah! Kah! Jangan marah aa..

Buku? Ahah! Aku rasa kena tumpukan cerpen saja sudahlah. Itu pun dah cukup. Bosannya. Bila dah sampai usia 35 tahun, menurut Bang Mael, "Abang dengar Herry Nurdy, pengarang diges Sabili berkata, kita kena tumpu buku dah. Tak payah rungsing bab nak tulis berita."

Maknanya, pada usia 35 tahun, seseorang yang berkecimpung dalam dunia penulisan sudah pun ada ideanya sendiri, barangkali sudah boleh tubuhkan mazhabnya sendiri, hasil dari pengalaman mereka menulis cerita dan melaporkannya sepanjang kegiatan muda mereka itu.

Bila boleh tulis buku, baru boleh fikir cari aset besar, rumah dan sebagainya. Tak apa... azam saja dulu- (1) mesti dapat rumah tahun ini juga; (2) mesti nikah tahun ni juga, err tarikhnya mustilah cantik dan menarik juga 10.10.10... fuiyoh! (3) buat buku koman-koman tiga buah...

Ada apa-apa cadangan lain daripada hangpa tak?

###########################

15 Muharram / 1 Jan (Jumaat)
Azam tahun baru? Apa itu azam tahun baru? Aku tak pernah terfikir bahawa azam aku akan terlaksana dalam keadaan diri ini masih bergelar wartawan tanpa tauliah.

Empat tahun kerja di akhbar alternatif. Aku tak ada pas media yang melayakkan aku masuk ke dalam mana-mana sidang media. Aku tidak boleh masuk Parlimen. Aku askar dan tentera yang diminta turun berjuang, tapi tidak mahu diberikan alat kelengkapan perang. Tetapi pihak atasan selalu mendambakan kemenangan.
Tengkorak hangpa!

Aku tak marah kalau akhbar itu masih baru. Tapi, Parti Kebajikan ini, lidah rasminya berusia 20 tahun lebih. Dah ada banyak pengalaman. Tok sah perintahlah. Burukkan nama Islam nanti.

Panggilan telefon yang kuterima daripada EraPakatan kelmarin meletakkan aku dalam kandang pesalah. Serba-salah dibuatnya. Mereka tanya, "Boleh join kita orang tak?"

Hatiku separuh terdesak, dan nafas turun naik sesak, daku menjawab, "Baik, boleh insya Allah."

Maka bermulalah satu lagi adegan pengembaraan baru buatku dalam bahtera lain pula. Isk! Isk! Kalau tak ambik, tak dapat duit soru bulan, kalau ambik terbeban. Tapi aku terpaksa buat benda yang aku tak suka.

###########################

14 Muharram / 31 Dis (Khamis)

Dinihari. Di opis JPB kini, aku sedang berjuang mendaftarkan istilah bahasa Melayu dalam suatu nota. Juga, aku menukang esaimen bos yang sudah lama terbengkalai.

Sedang menggodam internet, tiba-tiba mata aku terpaku. Lah ada lagi tiket free; Old Dogs. KLIK SINI!

ATAU, silahkan lihat pautan ini - http://www.cinema.com.my/contests/contest_result.aspx?cid=84 (Old Dogs)

Aku baru sedar yang dompetku hilang. Aku susah hati. Aku rasa mesti terjatuh di pawagam GSC Mid Valley tadi. Esok, aku kena pi kat sana semula, buat tuntutan!

Petang - Malam. Aku pergi semula ke Mid Valley. Cari punya cari, tekan punya tekan, syukur! Alhamdulillah. Betul tekaanku. Jatuh dalam pawagam semalam dompet aku itu saat aku terleka menonton Bandslam. Fuh! Lega. Hari ini penuh cabaran dan dugaan.

Terasa macam Tuhan uji aku satu persatu. Petang tadi seusai munajat di Masjid Jamek Kg Baru, kasut hilang, urgh! Terpaksa aku cemey selipar kat masjid. Tak pa, nanti aku beli yang baru, aku akan serah semula selipar tu. Hamba tak curi ya Rabb. Pinjam jap ja... ampuni daku Tuhan!

Dari Mid Valley, aku singgah Rumah Pena kerana ada acara Malam Puisi Genta di sana sempena menyambut tahun baru. Tetiba, Nazmi berteriak, "Woi!" Aku terkesima sendirian...

"Jom lepak kat bucu, kat kedai mamak bawah sana," katanya lagi. Bila aku pi sana, sudah pun ada Jimadie, Lutfi Ishak. Tak lama lepas itu, Hasni Abas dari kesatuan sekerja DBP mai sama.

Isu-isu yang terbit daripada meja bulat bucu tersebut antaranya ...

1. "Hang try la buat biografi Mat Sabu," kata Hasni kepadaku. "Ahah! Mat Sabu pun ramai dia punya followers," kata rakan-rakan yang lain.

2. Hasni cerita era pergolakan saat berdemo PPSMI di Masjid Negara. Dia menyorok di masjid ketika polis cari dia. "Aku kuar bateri hp. Hp aku matikan," katanya lagi. Dia yang hasut Hassan Ahmad agar turun demo. Memang orang kerajaan agak penakut sikit, katanya.

Polis tersilap jangkaan ke atas demo PPSMI itu. Polis fikir, tidak ramai orang hadir. Dua tiga hari sebelum demo, polis cari Hasni untuk siasat, berapa ramai akan hadir. "Aku tipu polis. Aku kata, Melayu kalau demo, tak ramai," katanya. Kah! Kah! Ambik kau, ramai rupanya!

Sebab itu, ada FRU dua biji saja. Aku tak reti nak ulas bab ni sebab masa kejadian tu, aku pulang ke kampung. Bagaimanapun aku syok sendiri. Hasil laporan tulisanku telah menggerak khalayak untuk bangkit menentang PPSMI secara berterusan. Alhamdulillah...

Akhir kalam, aku tanya Hasni, adakah kumpulan budayawan dan Paksi ada rencana untuk bawa orang kuat mereka dalam Parlimen nanti? Sebab, yang aku dengar sebelum ini, Hasni ada cakap, "Kalau PR pun tak serius isu bahasa, kita bahawa orang kita ke Parlimen."

Hasni pun cerita dari A sampai Z. Ya, memang ada rancangan itu. Kemudian, Hasni cakap, kalau nak lawan, cuba masuk atas nama KeADILan. "Pak Samad cakap, kalau masuk Pas, banyak hal yang nak kena settle dengan depa ni. KeADILan ni ramai sikit NGO," katanya lagi.

Aku pun tambah, "NGO-NGO dalam KeADILan dah biasa dengan 'debate'. Pas ni tak terbiasa dengan jenis-jenis berbahas ilmiah ni."

Kami beredar sekitar jam 11:30 malam. Aku terus ke Rumah Pena untuk hadiri acara-acara itu. Terjumpa Pak Jawahir. Rasa malu sebab kerjanya terbengkalai. Tapi, dia 'cool'. Aku dengar, dia jadi warganegara Malaysia. Dia bukan rakyat Indonesia. Hatinya dah ada di Malaysia barangkali.

Bila aku sembang dengan Pak Jawahir, seorang pakcik mula tegur aku. Dia ni giat betul jual buku dan luas pula perkenalannya dengan khalayak ramai. Aku dah mula nampak bingkai teka-teki yang tersirat selama ini. Pak Jawahir, pakcik ini dan Pak Zain kerap juga bertemu dan bertamu, lepak-lepak di kedai mereka selama ini. Jangan-jangan, depa ada bercakap tentang aku?

Syura terakhir - bersama Kak Wan, Zalila ketika makan di Rumah Pena. Antara bualan menarik.

a. Ada ruang kosong sebagai pembantu penyelidik di UM. Aku beritahu masalah aku yang sangat ingin melanjutkan pelajaran. Kerjaya wartawan dan dunia suratkhabar mengekang aku daripada terjun ke bidang penyelidikan dan pembelajaran di peringkat tinggi.

b. Akhirnya, hatiku berbalah lagi. Dulu, aku nak buat kajian tentang kepengarangan P Ramlee di bawah Dr Abu Hassan. Jumpa Prof Bakar, akhirnya aku tergerak nak buat penyelidikan tentang ucapan Tun Abdul Razak. Tapi sejak berulang-alik ke Memorial Tun Razak berulangkali dan aku dapati pustakanya sering tertutup, hatiku jadi marah meradang kerana banyak masaku habis.

Kalau macam ni, terpaksa aku toleh kepada retorik untuk kaji kepengarangan P Ramlee semula. Tapi, macam mana nak buat kalau banyak sangat orang bebankan daku dengan macam-macam? Kena buat esaimen orang lagi. Inilah bebanan yang paling menambahkan beban dalam hidupku.

Munajat kepada Tuhan
Rabiatul Adawiyah pernah menjadi hamba. Suatu malam dia berdoa, moga dia terlepas daripada terus menjadi hamba kepada orang untuk dia dapat tumpukan kepada Tuhan. Daku bertawasul atas nama Rabiatul Adawiyah ya Tuhan, hilangkanlah segala bebanan.

Tapi untung juga ya Allah. Ketika Rabiatul Adawiyah bermunajat itu, kebetulan tuannya sedang mendengar rayuannya. Tetapi, rayuan dan munajatku ini, siapakah yang akan mendengarnya?

###########################

13 Muharram / 30 Dis (Rabu)
Dinihari. Di opis Jalan Pahang Barat, sedang menaip bahan. Tetiba cik Pyan call. Dia dan PZ ada kat Rafiyah. Beberapa isu berbangkit ...

i. Tak sepatutnya timbul isu Husam 'beli' Alo oleh kerana Alo sakit. "Kita dah mula berfikir macam Umno," kata P.Z ketika mengulas sikap orang tertentu yang mempolitikkan keuzuran Alo. "Kena fikir dalam rangka dakwah. Sapa nak tolong Alo tolong sajalah."

ii. Ujang mula terpikat dengan dakwah TGNA. Sebab itu, dalam tempoh 1996, ketika aku berada di Maktab Mahmud dan Kolej Mara Kulim, pendekatan lawak Ujang itu lebih cenderung kepada agama dan dakwah. Hal ini yang menjadi kemusykilanku sehingga saat ini.

Ada orang kata Ujang terpengaruh dengan Ustaz Shamsuri. Tetapi kata cik Pyan tu, dia ditasykil bayan oleh TGNA. Mana satu yang betul ni? "Hang pi lah jumpa Ujang kat Creative Enterprize di Bangsar tu," katanya lagi. Aku tempat tu. Tengoklah macam mana kalau sempat.

iii. Isu penerbitan Melayu yang merudum. Kata P.Z, Dato' Aziz pemilik Pustaka Antara adalah antara yang termaju. "Dulu akhbar Watan dia beli. Dia juga ada bangunan sendiri di Jalan TAR," katanya. Aku terpegun mendengar pengalaman lalu yang asing pada pengetahuanku.

Bualan ditamatkan. Kami beredar, pulang menuju ke opis masing-masing. Cicak-cicak menyanyi di tembok-tembok dan bulan berlayar ... (Ayat W. S. Rendra... Sajak Pertemuan Mahasiswa).

5:13 a.m-berlegar-legar di ruang facebook. Mr Shirzad Lifeboat dan brader Pyanhabib Rahman menjengah di ruang chat. Bualan-bualan yang sangat mengasyikkan dan menyegarkan!

Apa-apa pun, semoga kita dapat bertembung di Bangsar atau Melawati (brader Pyanhabib) dan dapat pula 'mengeteh' (minum teh) di Haslam @ Rafiyah (Mr Shirzad Lifeboat). Kuar opis dulu... Kerja dah habis. Dah siap satu bahan, alhamdulillah!

Petang - Malam. Aku ke opis, buat kerja sampai 6:30 petang. Then baru keluar ke Mid Valley, untuk tebus tiket filem Bandslam. Kali ini, Don F ada kekangan. Maka, dia pun tidak ikut serta.

Di MPH, aku bertembung dua buah buku; (1) The Hand of Iblis An Anatomy of Evil, (Omar Zaid M.D); (2) The Complete International Jew, The World's Foremost Problem (Henry Ford). Daku bertanya bahagian Customer Servives kalau buku Henry Ford ini ada terjemahan dalam BM.

"Tak ada la terjemahan dalam B.M," kata anak mami yang cantik itu. Aku minta bisnes kad dia, kot-kot bila-bila lapang boleh mengurat, tapi tak dapat. Alih-alih dia bagi flyers. Cait!

Tiba-tiba mataku terpandang catatan pada buku Henry Ford itu; Manuscript Wisdom Resource, Taman Desa Minang, Gombak! Laa..dekat rumah Pakcik Halim, abang abahku. Dekat rumah Bro Shy juga. Mungkin boleh tengok syarikat penerbitan buku Henry Ford itu kemudian kelak?!

Aku teringat juga MPH Mid Valley ialah tempat pelakon Gerak Khas ditangkap kerana mencuri dua buah buku. Buku tu aku tak jumpa. Hal itu ditulis Pn Ainon dalam FBnya. Kemudian bila aku menyampuk, beliau tinggalkan pesanan di wall FB aku tentang prosedur menterjemahkan buku.

"Hmm, mungkin aku boleh terjemah buku tebal Henry Ford yang merawikan kegiatan Yahudi ini? Apa-apa pun, the translation case is open," kata Sherlock Holmes El-Fansuri!

###########################

12 Muharram / 29 Dis (Selasa)
Telinga lintah aku ini memasang radar, mencuri bualan antara kaum-kaum ibu di opis Jalan Pahang Barat. Antaranya...

1. Kebanyakan orang tua di sana telah dikerah menanam tanaman dan hasil tanaman itu diserah kepada tentera Thai.

2. Kununnya, anak-anak muda remaja di situ sudah rosak akhlaknya sehingga terlibat dalam gejala hidu gam, dadah. Maka, pihak tentera Thai bertanggungjawab untuk memulihkan mereka. Padahal, itu semua adalah alasan.

3. Kumpulan Landas sempat mengambil beberapa rakaman video berhubung situasi terkini. Tapi, ada antara mereka yang risau nak 'upload' ke internet. Takut tentera Thai 'detect'.

Beberapa pelan tindakan Protokol Yala:- (dalam tempoh terdekat)

a. Contact balik Pakcik Azizan, pengumpul silsilah Raja Yala.

b. Jumpa orang-orang rohaniawan yang aku kenal untuk diminta pendapat dan cara bertindak.

c. Contact Ustaz Kamaruddin dan Ustaz Tarmizi Landas.

Malam tiba. Keluar makan kambing dengan TMJ di Ampang. Sesi mengumpat bersama-sama. Balik ke opis, aku dapati laptop aku ada masalah.

Ya Allah, susahlah nak buat esaimen Alo. Esok ada deadline Fikrah pulak dah. Tolong la Ya Allah. Berilah aku duit banyak untuk aku boleh beli laptop baru yang tiada masalah! Ameen...

###########################

11 Muharram 28 Dis (Isnin)
Abah dan mak call, sama ada aku jadi balik ke Pendang atau tidak. Ya aku tidak jadi balik kampung. Tugasan menimbun di ibu kota. Hatiku kaciwa bukan kepalang.

"Kalau Ali jadi balik, kami ingat nak pergi Kg Baru, jemput Ali," kata mak. Tugasan orang menyebabkan segala cita-citaku tak sampai, matlamat terburai. Duit makin sikit.

Di opis, Atriza cakap, Ustaz Tarmizi kirim salam. Kumpulan mereka baru tiba dari Yala. Bila aku nak pi Yala, tanah tempat tumpah darah nenek moyangku ini? Siapa gerangan Ust Tarmizi ini?

Baru tadi, abang Amidi call, bertanyakan kalau-kalau aku boleh kerja di Kajang. Aduh! Jauhnya. Kalau penerbitan ni boleh dibuat jarak jauh ok jugak. Era Pakatan kat Batu Caves pun aku risau nak terima ini kan pula di Kajang.

Apa-apa pun, kena tengok dulu. Aduh! Elok nak start buat kerja je, teringat tugasan bos. Terasa sakit jiwa. Kerja ini jadi batu penghalang untuk aku bebas merdeka untuk buat kerja sendiri. Tuhan... tolongin gue

Petang ini minum-minum dengan cik Pyan dan grup Siasah. Baru kenal Aziz Muda dan Pak Zain Ghani. Rupa-rupanya Pak Zain tinggal di Sg Penchala. Ah! Pak Lah pun dok Sg Penchala juga.

Aku teringat mimpi lama terserempak dengan Pak Lah dan Najib. Najib sombong. Pak Lah siap ajak aku minum lagi. (Tapi, dalam mimpilah). Aku kena korek rahsia Najib daripada Pak Lah ni!

Aku fikir nak pi redah Sg Penchala, kalau-kalau boleh bertembung dengan Pak Lah. Mungkin dia ada jawapan mengenai bom C4 dan enjin F-5E? Tiba-tiba panggilan telefon Khai menjengah.

"Mamu Zainun ingat boleh jumpa abang Ali hari ni," kata Khai lagi. Dia ingat, aku dah sampai ke Penang. Aku kaciwa; lingkaran tali kekangan hidup ini masih kuat mengikat daku hingga saat ini. Mamu mungkin boleh rungkai teka-teka berselirat mengenai Nakhoda Khalifah.

Don F sms, tiket wayang free dah berjaya ditebus. Dapat tempat menarik. Hamba chow dulu untuk meredakan ketegangan seharian ini. Editor Solusi pula cakap, bahan aku tak sesuai untuk Februari. Apa nak buat? Walau sibuk dan tegang, tapi tension perlu di'release'. Oke, chow dulu...

Malam. Selesai menonton Did You Hear About Morgan's, pergi makan-makan di Restoren Kayu dan kali ini kami tidak pergi ke Burger King macam selalu.

Dapat no hp mak ngah Don F untuk call pak ungku Don F yang terlibat dengan Memali. Juga aku telah dapat meleraikan sedikit kekusutan berhubung masa depanku ketika berbual tadi.

"Istikharah ..." itu lafaz klise yang biasa aku dengar. Tetapi, adikku itu menambah imbuhan syor tentang cara bagaimana untuk menolak sesuatu dengan cara terhormat.

###########################

10 Muharram 27 Dis. (Ahad)
Hari ini 10 Muharam. Sejak ribuan tahun dahulu, bahtera nenek moyang kita Nabi Nuh tersadai di Bukit Judi, demikian menurut al-Qur'an. Taurat menyebut sebagai Banjaran Ararat.

Aku tengok filem saja sambil membuat tugasan bos, mana-mana yang tak siap. Susahnya apabila kita tidak boleh buat kerja kita sendiri. Kena buat kerja orang lain, kerja kita sendiri tak siap.

Antara filem yang daku layan di TV2 ialah The Gift, Kala Malam Bulan Mengambang, Marumalai (Tamil). Lagho betul. Khai call semalam, minta no Sri. Aku susah hati. Dah ada bini pun, dok buat tabiat lama. Aku bagi juga atas semangat Pulau Besar dan Tg Tuan. Kalau tidak, say gud bye la.

Untung juga buat esaimen bos, kerana aku terjumpa maklumat terbaru - Nakhoda Khalifah tiba di Samudera (Sumatera) ketika Dinasti Abbasiyyah sedang bergolak. Masa ni lah depa berjumpa dengan Merah Silu. Ini cuma teori aku. Depa ni seramai 100 orang.

Ada dua kapal. Kemudian setelah tidak berapa, ada seorang hamba Allah tiba dari Sumatera dan singgah di Tanjung Tuan. Aku rasa dia ni kot Nakhoda Khalifah? Jeng, jeng, jeng...

Sudah ada petunjuk sikit - Bak kata Sherlock Holmes - "Now...Case is open..."

Currently have 0 comments: