Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

5-7 Zulhijjah | 22-24 Nov (Ahad - Selasa)

Sunday, November 22, 2009 , Posted by nota untuk Syiah at 9:09 AM

7 Zulhijjah | 24 Nov. (Selasa)
Seharian hari ni aku di Berita Harian, Jln Riong. Bermacam-macam pengalaman, cerita yang menarik. Akhbar itu sedang mengalami zaman-zaman kemerosotannya.

"Semua itu berlaku kerana akhbar mula kelihatan memihak," kata Ketua Pengarang Kumpulan NSTP,
Dato' Mior. "Tetapi, pada Julai dan Ogos, kita dah mengatasi saingan kita, Utusan Malaysia."

Aku rasa para aktivis media Abim ini perlu dimahirkan dengan New Journalism juga. Tak ada keperluan untuk mereka menulis berita. Itu tanggapan pertama aku yang mungkin salah.

Tengah hari itu, sempatlah berborak dengan NY. Macam biasa, kami bantai Pas lagi. Dia bantai Harakah dan aku pun bantai dia balik, kah, kah, kah... bantai-membantai lah kiranya ni...

Sesi petang, kami disaji dengan ramuan penulisan rencana gaya BH. Baru aku kenal orang-orang yang membelek bahan rencana. Aku dapatlah menyerap sikit sebanyak kaedah - cara pemikiran mereka di sini dan tahu sedikit sebanyak kaedah nak menulis bahan di BH.

Acara tamat, lalu berlabuh lagi sidang protes bersama NY di cafe BH kat bawah tu. Kali ini, kami capai kata putus - dalam zaman teknologi maklumat ni, sepatutnya pimpinan Pas tak payah nak menipu dan jangan cuba-cuba sembunyikan apa-apa langsung daripada pengetahuan ahli parti.

Hanya ada satu tembok pemikiran rakan sastera itu yang belum dapat dirobohkan. Rasa hormat yang sangat mendalam terhadap ulama' menyebabkannya berasakan bahawa belum tiba masa untuk dia mensatirakan Pas di dalam tulisannya.

Aku tak salahkan dia. Dulu, aku pun sama, masa zaman budak-budak dalam kampus. Tapi, bila kita dah masuk dan tengok dengan mata kepala, dengan sendirinya, tembok kerisauan itu sudah dirobohkan. Aku tidak perlu rasa resah apabila kritik Pas. Aku bukanlah Umno ketika kritik Pas. Biarlah orang nak kata apa-apa pun, paling penting kita jangan takut kepada celaan orang lain.

Allah s.w.t pun berfirman, "..La yakhafuna laumata la'im..." (mereka tidak gentar kepada celaan orang-orang yang mencela). Jadi, berbekalkan keyakinan itu, kita perlu risaukan apa lagi? Kritik Pas, tidak semestinya mengkritik Islam.

Kritik ulamak, tidak bererti kita kritik nabi walaupun ada disebutkan bahawa ulama itu pewaris nabi-nabi. Kena ingat juga, nabi pun sebut, ada ulamak su' (ulama' jahat), ulamak yang mengejar wang ringgit. Satu lagi modal daku ketika membangunkan kritikan terhadap agamawan ini ialah dengan menjadikan Kitab al-Hikam, Ibnu 'Athaillah as-Sekandari sebagai sandaran rujukan.

Tapi, aku tak berminat memanjangkan tajuk itu. Tengoklah, kalau ada masa lain, mungkin daku akan sempat mengulasnya kelak, insya Allah Taala. Selesai merumuskan satu resolusi petang itu bersama NY ketika membangunkan kritikan terkini ke atas Pas, maka aku pun pulang ke SPKB.

Malam
Sebenarnya, sekujur tubuhku telah dibalut keletihan. Segala zat, ion-ion, zarah-zarah penat yang sudah mengalir di ruang urat, menyelinap di degup nadi, berterabur lalu melebur bersama detak jantung, dan ia bertaburan di sebalik hemoglobin merah pudar yang makin pupus oksigen.

Nafasku jadi tercungap-cungap, tapi teringatkan bos yang sedang meratibkan kesusahan, maka aku pun jadi tak sampai hati. Aku pergi juga ke Ampang.

Di sana, ada maklumat baru - gaji wartawan Harakah kena potong! Ish, kalau la benda macam ni jadi kat aku sorang, tak apa sangat. Tapi, kalau jadi kat ramai orang lain, aku rasa geram. Macam mana kita boleh sebut mengenai 'Negara Berkebajikan' kalau gaji pun kena potong?

Bos resah dengan semua ini, tetapi tak terdaya dia nak turun bantu semua wartawan ini. Dia pun tengah sakit-sakit keuzuran. Kata bos, semua ini berlaku dengan sebab orang tengah tak faham kerja-kerja wartawan. "Dari dulu lagi, ana tak suka punch card ni," katanya lagi.

Bagaimana aku mahu membantu rakan-rakan wartawan ini? Aku pulang dari rumah bos dengan seribu pertanyaan dan sejuta teka-teki ketika terkenang falsafah bos mengenai potong gaji ini.

"Potong gaji adalah tindakan terakhir sebenarnya. Ada jalan lain yang boleh dipilih sebelum nak potong gaji orang. Ini macam kita dah masukkan pasir dalam periuk nasi orang lain.

"Tindakan ni macam ada maksud seperti penghinaan, merendah-rendahkan tahap keupayaan orang lain. Bukankah di Parlimen pun ada usul, potong gaji menteri RM10? Jadi, itu seperti cara nak merendah-rendahkan orang lain," katanya panjang lebar.

Aku terdiam mendengar penjelasan itu. Ya, benar la kata bos. Dalam banyak hal, orang salahkan pengarang juga akhirnya. Bertambah bebanan pula untuk kuperjuangkan nasib kawan-kawan ini walaupun ada antara mereka yang sampai hati mengganggu, dan menyekat tulisanku selama ini.

Hampir nak balik-bos sempat ceritakan hal kenangan lamanya di UTM dan bagaimana pengaruh tulisan Syed Qutb telah membangkitkan semangat mereka melawan Jahiliyyah. Menarik juga ya kalau ditinjau semangat zaman 1980-an dahulu. Aku akan tulis juga hal ini, insya Allah Ta'ala...

Hai..apalah nasib yang menimpa wartawan Harakah ni. Dah lah Bakkah bukan Kesatuan Sekerja, depa semua la ni kena potong gaji pula. Daripada dulu, aku lawan konsep kerja wartawan; 9 to 5. Kerja wartawan, 24 jam. Jadi, mereka boleh masuk dan keluar opis tu bila-bila masa saja.

Bagi kaum wartawan ni, kita kena fikir konsep masa yang sesuai. Kalau tidak, memang beginilah jadinya, iaitu jalan penyelesaiannya adalah POTONG GAJI! Huh! Negara Berkebajikan kunun!

Dalam perjalanan pulang, aku teringat iklan TM Net, gambaran budak-budak berkompang yang melaungkan ayat separa lucu dan separuh lucah, "Potong, potong, potong..."

Ahah! Buat cerpen best nih!

########################

6 Zulhijjah | 23 Nov. (Isnin)
Akhirnya berjaya juga kubeli dinar emas, RM544 harganya la ni. La ni tak boleh tangguh-tangguh, masa berjalan tak menunggu kita.

Kita dok ingat harga turun, rupa-rupanya terus melonjak! Moral of the story - ada duit, terus jer beli. Jangan biar ralat di hati.

Pergi ke menara HQ EON Bank di Jalan Raja Laut. Dokumen tidak lengkap. Amoi tu cakap, kena bawa itu dan ini. Aku akur.

Balik ke rumah, update bahan sat, dan kemudiannya terus pergi ke Damansara, tengok wayang Jump dengan Don F.

"Rupa-rupanya, kita kerap berjumpa di tempat yang kontroversi ni, " kata Don F apabila kami dah berjumpa di pawagam, berdekatan The Curve, IKEA dan Cathay Cineleisure Damansara itu.

"Awatnya?" aku bertanya penuh kebodohan. Tak tahu bahawa Balasundram dengan adik Najib Razak tu sudah berjumpa di sini, mengikut keterangan daripada wawancara RPK. Maka, selepas itu, menjadi fahamlah aku berhubung kes akuan Bala itu.

Menonton Jump, mengingatkan daku terhadap Jinda, seorang gadis miskin dari keluarga petani di Mekung yang terakam dalam Rice Without Rain. Padi-padi yang sedang menghijau dan gadis mentah yang sedang merantau ke ibu kota mencari kerja. Tapi oleh sebab cerita ini komedi yang bersulam cinta, maka sifar juga kisah-kisah perjuangannya.

Aku tawarkan Don F kalau-kalau dia nak pegi ke bengkel penulisan Abim bersama Berita Harian esoknya. Tapi, bagai yang termaklum, dia sibuk memotong kayu-kayan di Shah Alam.

########################

5 Zulhijjah | 22 Nov. (Ahad)
Jumpa Kaktie di Mid Valley, tapi depa dah nak balik esoknya, tidak jadi tengok movie. Rupanya, exhibition hartanah habis hari ni.

Kupon yang boleh di'redeem' ini
pun, tidak boleh di'redeem' di TGV. List filem semuanya masih baru-baru. Aku minta Christmas Carol..

"Boleh bang, tapi kena tunggu seminggu lagi," katanya. Esok, siapa nak pi Cathay Cineplex Damansara angkat tangan! KLIK DI SINI.

Di Kinokuniya, KLCC ada buku yang menceritakan bangunan Rumah Putih, Madison Square dan lainnya yang ada kesan ritual Freemason. Menarik, tapi harganya lebih lumayan menarik!

Di Kinokuniya juga kuterima sms bos. Dia dah baca tulisanku di DD tapi di mana sambungannya?
Sabar bos, mutakhir ni, ada pelbagai lagi acara hujung minggu. Nanti akan di'upload'kan, i'Allah.

The Three Stooges - Micro Phonies Part 1


Lawa betul Christine Mcintyre ni. Dahlah lawa, suara soprano dia sedap pula tu. Suka betul lihat aktres Hollywood zaman klasik masa filem hitam putih dulu. Rasanya, penampilan mereka lebih tampil anggun menarik, dan bersopan (kenyataan ini masih boleh dibantah).

The Three Stooges - Micro Phonies Part 2


Tengah 'update' blog, tiba-tiba ada Three Stooges malam ni. Dengar lagu soprano tu sedap pulak. Jadi, inilah lagunya untuk tatapan bersama.

Puisiku masuk Mingguan Malaysia hari ini!
Hani menegur dalam YM, puisiku tersiar dalam Mingguan Malaysia hari ini. Terima kasih. Saya pun tak baca paper hari ini. Mujur ada kawan-kawan yang beritahu.

Beliau juga tawarkan kerja-kerja samping yang nampaknya menarik untuk mencari pengalaman sekitar universiti-universiti. Berikut adalah puisi itu ...

DARIHAL KEBENARAN, KEADILAN

Bulan tergantung di langit
alam bermandikan cahaya
Dewi Suriani, oh belahan jiwa
apa bicaramu mengenai keadilan?
cahaya rembulan harus dinikmati semua
jangan ia digerhanakan awan pemerintahan
yang menadah cahaya walau seketika cuma.

Kini matahari tiba awal pagi
mata kita masih tegar memerhati
Dewi Suriani, oh belahan hati
kebenaran itu di mana letaknya
kebenaran adalah mentari tersimpan di dada
hanya ketakutan yang menutupi cahayanya.

H Fansuri
Sekolah Pemikiran Kg Baru
4:50 p.m, 13 November, 2009
(Tersiar di Utusan Malaysia pada 22 November, 2009.)

Terbaca laporan Utusan Malaysia. Wartawan ni, kawan aku di USM dulu ni. Mungkin boleh daku menghubunginya kelak!

Currently have 0 comments: