Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

15 Rejab / 8 Julai (Rabu)

Wednesday, July 08, 2009 , Posted by nota untuk Syiah at 7:27 AM

Petang

10:30 pagi lebih kurang, saya, mak dan abah bertolak balik rumah Pendang. Sejak pagi tadi, usahaku untuk membuka internet kerap berdepan kebuntuan.

Akhirnya, Imran datang datang pada sebelah petangnya; merawat semula komputer di rumah. Baru pulih talian internet seperti sediakala.

Di Sungai Petani tadi, sedikit sebanyak aku dah mengenali tabiat, feel, sikap dan perangai Sarah; keponakanku itu. Dia seperti anak-anak yang lain, suka dipuji dan rasa gembira ketika dia dipuji berpakaian cantik-cantik.

Sebetulnya, aku tidak rapatkan diri dengannya terlalu awal. Imran kata, dia akan rasa terancam dan kemudiannya, dia akan mula sebek lalu terus menangis. Begitulah perangai budak-budak.

Sebelum pulang daripada Sungai Petani tadi, saya menonton siaran langsung mengenai kematian Raja Pop Michael Jackson. Berikut adalah ucapan anaknya, Paris.

Anak MJ menangis


Yang ini pula, adalah ucapan bekas 'kekasih lama' saya, Brooke Shields terhadap kematian 'abang angkat' saya - Micheal Jackson yang sangat terkenal itu.

Brooke Shields menangis


Akhirnya, saya pun balik ke rumah saya di Pendang ... bersama keluarga ...

Mula menggali emas
Sekitar 6:30 petang, sebagai yang dijanjikan, kami ke kuari dan kelihatannya masih ramai orang yang berpusu-pusu memecahkan batu-batuan guna mencari kepingan logam bersinar, berkilau yang dinamakan emas itu.

Berasaskan maklumat sembang-sembang dengan para penduduk kampung sekitar itu, memang sudah ada orang yang mendapat kepingan serbuk kekuningan yang berkilauan di situ, dua hari sebelum laporan ke atas isu itu tersiar di akhbar sejak Khamis lalu.

Ada yang bersifat 'opportunist', mengambil peluang itu untuk menjual minuman pada siang hari. Ada yang masih tekun menggali dan berjaya mengusir rasa malu di hati mereka.

Aku masih malu-malu dan berasa segan berada di situ. Tidak tahu dari mana mahu bermula dan kami cuma menjadi pemerhati. Waktu malam lebih ramai yang datang menggali, kata mereka.

"Kadang-kadang sampai Subuh, jam 5 pagi pun ada," kata kelompok anak-anak muda di situ.

Hampir Maghrib, kilauan batu-batuan hitam di situ lebih mudah kelihatan apabila terkena sinar lampu torch-light. Barangkali, sebab itulah kerja-kerja penggalian dilakukan pada waktu malam.

Kekadang, terbit rasa kasihan kerana melihatkan kaum ibu dan penduduk desa di situ mengetuk batu-batuan hitam di situ. Serta-merta ingatanku diheret ke arah filem Laskar Pelangi, kisah di mana bijih-bijih timah yang diangkut oleh orang luar, sedang rakyat pribuminya terus miskin.

Laskar Pelangi part 9


Sebenarnya, mereka boleh keluar dari lingkungan daerah kemiskinan itu jika harta itu diuruskan dengan sebaik-baiknya. Tetapi, oleh kerana ramainya yang curang berbanding yang jujur, maka yang kaya tetaplah kaya dan yang miskin akan terus terhina lalu terpedaya.

Sekolah Dasar Muhammadiyah Pulau Belitung itu akhirnya berjaya membuktikan bahawa, yang sebenarnya, khazanah itu adalah ilmu, hikmah, pengetahuan dan pemikiran!

Ilmu dan harta, mana lebih utama?
Ilmu dan harta, yang manakah yang lebih utama? Soalan yang sama ini telah dimajukan kepada Saidina Ali k.w lalu beliau menjawab dengan jawapan yang berbeza.

Lalu menantu baginda Rasulullah s.a.w itu berkata, "Jika ada lagi soalan begitu diberi kepadaku nescaya aku akan dapat menjawabnya dengan pelbagai jawapan pula."

Semua ini mengingatkan aku terhadap pandangan pakcik ketika dia terdiam mendengarkan hasil renunganku terhadap keislaman Parameswara.

"Kalau kau sebegini muda dah boleh 'menurun' dengan baik, kau akan naik cepat," katanya.

"Kenapa pakcik cakap macam tu?"

Kerana... 'khazanah' yang sebenarnya bukan terletak kepada harta, tetapi di sini,"
katanya lagi sambil jari telunjuknya memanah ke arah kepalanya.

Sejak itulah aku mula makin sedar dan perlahan-lahan mula mengerti bahawa pengetahuan dan deria rasa, ilham, pancaran nurani, intuisi yang menjengah ke kamar fikiranku adalah harta yang paling berharga yang dikurniakan Tuhan terhadapku.

Dengan kekuatan kepengarangan inilah, maka aku dapat menyabung nyawa di ibu kota ini setiap hari dan tiap-tiap bulan, dapat kubeli dinar emas pada suatu ketika dahulu.

Ilham mengarang, daya fikir yang tajam yang kerap mengganggu lenaku inilah sebenarnya harta paling berharga, kurniaan Tuhan yang tidak dianugerahkan kepada orang-orang yang hidupnya sezaman denganku. Wajarlah aku bersyukur terhadap anugerah pemberian ini.

Khazanah fikiran adalah harta paling berharga, amat wajarlah orang-orang itu mencemburuinya!

Currently have 0 comments: