Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

20 J. Akhir / 15 Jun (Isnin)

Sunday, June 14, 2009 , Posted by nota untuk Syiah at 10:10 AM

Malam
"Pensyarah Imran keluar Pas sebab dia dengar Salahuddin Ayub cakap, maafkanlah Chin Peng," kata adikku. Tengah hari tadi dia menziarahiku sebab mahu membaiki komputerku yang mengalami sedikit masalah kerosakan.

Aku jelaskan kembali kisah pergolakan dalaman Komunis Chin Peng dan Komunis Lai Tek. Saya lihat dia mengangguk faham. Cuma, saya tidak beritahu analogi pergeseran antara dua komunis itu seperti Pas Haji Hadi dan Pas Nik Aziz atas sebab isu Kerajaan Perpaduan.

"Dia pernah tengok tok wan dia sendiri yang dibunuh di belakang rumah. Kalau ada anak kecil di dalam pangkuan ibunya, mereka akan hempuk ke tanah," katanya lagi.

"Tapi, komunis dalam pandangan Shamsiah Fakeh lain pula," kataku. "Mereka datang rumah, mereka akan beli beras dan bukan rampas."

Komunis bahagian utara mungkin oke. Di selatan seperti di Johor inilah yang selalu bermusuhan dengan Panglima Kiai Salleh dan bikin rusuhan seperti dalam kejadian Bukit Kepong. Kisah-kisah komunis ini perlu diangkat sebagai wacana lagi agar masyarakat kita tak tertipu.

"Abah pun cakap, masa di Keroh dulu, orang-orang kampung baik dengan komunis," kata adik aku itu. Ayahku seorang pegawai Imigresen di Pos Imigresen Bukit Berapit, Perak. Kroh ditukar nama kepada Pengkalan Hulu sehinggalah ke hari ini.

1984, aku masuk darjah satu. 1985 kami sekeluarga berpindah ke Pendang. Pada tahun itu juga, semangat abah sangat kuat dengan gerakan Islam; Abim dan Pas. Abah memang rapat dengan arwah Ustaz Fadhil Noor. Memang abah yang uruskan pasport ust Fadhil dan orang-orang Abim dan Pas di Kedah, kalau-kalau mereka mahu ke luar negara.

Semua itu dilakukan dengan diam-diam. Saifudin Nasution pun pernah 'diseludup' dalam kereta ayah untuk dibawa ke sebuah pondok di selatan Thai. Arwah Ustaz Nikmat Dehrang menyuruh Saifudin bertemu abah untuk tujuan itu ketika Saifudin mahu minta doa saat dia mahu jadi calon di Lunas, Kulim dalam pilihan raya kecil dahulu.

Aku tertanya-tanya dengan video yang abah beli saat itu sekitar 1985; Ibrahim Libya dibunuh di Memali dan video debat antara Ahmad Deedat dan Jimmy Swaggart; seorang paderi Kristian.

Abah, satu-satunya orang yang berani menongkah arus dalam keluarganya, masuk gerakan ini dan menukar haluan parti ketika keluarganya di Langgar, Kedah masih tebal dengan semangat Umno. Bila gambar abah tersiar dalam akhbar Watan, dia tengah pakai serban.

Arwah tok Langgar dapat tau hal itu dari jirannya. "Mak Hasiah oi, tengoklah anak hang ni jadi apa dah?" Abah mula kerap naik van dengan rakan-rakan usrahnya ke muktamar, mukhayyam, khemah ibadat, simposium, tamrin dan apa-apa saja tajaan jemaah.

Aku tak tahu apa yang terjadi dengan abah selepas Tok Langgar mengesan pergerakan abah itu. Kemudian, tak lama selepas itu, keluarga kami dipandang sinis. Tapi, hal itu berubah lama-lama.

Paling penting, apabila kita hidup menongkah arus dengan aliran perdana, kita akan dimusuhi. Di sini, kalau kita masuk gerakan Islam pun kita dimusuhi. Masuk komunis apatah lagi...

Petang
Kami ke Low Yatt, Mydin untuk menyelesaikan urusan harian. Kemudian, di sebelah malamnya kami makan-makan western food di Chop & Steak di Kg Baru.

Saya baru tebus emas dinar, RM651.40 tadi. Adik saya mula berminat dengan pelaburan emas. Alhamdulillah. 'Berdakwah' melalui tindakan itu yang terlebih afdal. Matanya melihat dan mad'u akan berasa lebih yakin. Kini, sudah ada 14 keping. Lagi 5 keping, jadi 19.

Lepas itu, aku tak beli dinar lagi. 20 keping dah kena zakat, he he. Menjelang malam, aku dapati, komputer pun sudah tak terganggu lagi. Semoga, urusan mengarang berjalan lancar hendaknya selepas ini, insya Allah.

Awal dinihari
"Tok wan saya, Abu Bakar bin Kalang, pegawai polis dekat Bukit Kepong," kata Nazri. "Dia saksi mata masa kejadian Bukit Kepong tu. Setiap kali dia bercerita hal Bukit Kepong, dia mesti menitiskan air mata."

Aku terkejut. Ketika itu, aku, Don F dan Nazri sedang berborak-borak di Dataran Merdeka. Kami bermaghrib di Masjid Jamek Kg Baru. Makan Mix Lamb Chop kat Hip & Steak dan kami terus ke Dataran Merdeka. Hal itu terselak sebab Don F suka teliti video klip 10 Tahun Sebelum Merdeka.

Tambah Nazri, Segamat dan Muar, (Bukit Kepong) tak jauh sangat. Memang ada wartawan yang membuat temubual bersama Abu Bakar Kalang itu. Aku mesti cari saki-baki pegawai polis yang masih hidup itu. Aku berazam mahu turun ke Muar dan Segamat kelak, insya Allah.

Antara sebab komunis boleh panjat bukit itu kerana ada bahagian curam yang tidak dikawal oleh polis sendiri. Mereka tak sangka kawasan itu akan dinaiki pihak komunis.

Antara lain, kami merumuskan beberapa pendirian di Dataran Merdeka malam ini ...

1. Komunis terpecah dua, komunis Chin Peng dan komunis Lai Tek. Menurut hematku, komunis utara adalah komunis putih dan di pihak selatan itu komunis gelap.
2. Di Johor, memang komunis gelap yang bertempur dengan Kiai Salleh. Di utara, komunis Chin Peng (komunis putih) yang masih dapat berunding dengan Tunku Abdul Rahman.
3. Kesilapan kerajaan Malaysia ialah, mereka bermusuhan dengan 'komunis gelap' dan akhirnya komunis putih seperti Chin Peng turut dilibatkan sama.

Dekat Dataran Merdeka, kami mendapat 2 penemuan 'terbaru' - Pertamanya, ada Kapsul Masa yang telah dibina oleh Rotary Club (kumpulan Freemason) di situ. Oleh kerana gelap dan orang yang tidur berdekatan, kami tak pergi teliti dengan lebih dekat.

Aku teringat kepada suatu malam ketika mana aku terjumpa Jewish Cemetery di Pulau Pinang. Apa yang ada dalam kapsul masa itu. Akan ada perisytiharan apa-apakah nanti?

Kedua, ada gereja di situ. Hal itu baru kusedari dengan sebab Don F menerangkan. Kalau siang, tak perasan sangat. Banyaknya misteri dalam negara yang belum terungkap.

Dan, segala sekatan Cikgu Pa, Pas supaya tidak mewacanakan asal-usul timbulnya idea Kerajaan Perpaduan termasuk halangan-halangan menulis di H. Daily akan semakin menutup fikrah umat dalam mengenal kebenaran.

Pulang ke rumah, aku sempat ber'YM' dengan Muda M'kini. Ada peluang kerja di beberapa buah organisasi media, katanya. Aku tak berikan apa-apa kata putus.

Dua nota kuliah SPKB
Di Kg Baru - saya bangkitkan nota kuliah pertama berhubung isu konflik di ruang demokrasi kat Malaysia - adakah konflik kita bertemakan ras, perkauman, atau konflik kita diwarnai keretakan antara kelas-kelas yang berasaskan kebendaan, hubungan material.

Saya mulakan dengan contoh lelaki berlawan dengan wanita. Siapa yang menang? Mereka jawab tentulah lelaki. Sekarang, dalam kes 'singa BETINA' melawan 'ayam JANTAN', siapa yang akan menang dalam pertarungan?

Mereka jawab singa betina akan menang. Persoalan kedua-dalam kes ini adakah kemenangan itu ekoran KEBETINAAN @ KESINGAAN? Adakah kekalahan itu disebabkan 'KEJANTANAN atau 'KEAYAMAN'? Kalian semua.. boleh beri sebarang komentar?

NOTA KULIAH ke-2-Kenapakah hubungan adik-beradik boleh putus disebabkan harta? Ketika bapa menikahi ibu, hubungan itu dieratkan oleh mahar (duit, harta, dinar emas dan sebagainya yang boleh diangkat sebagai benda yang bernilai)

Maka hasil perkongsian hidup kedua-dua mereka, akan ada harta juga. Harta itu mengalir dalam tubuh kita dan adik-beradik kita.

Sebab itu, sudah menjadi sunnah alam, fitrah-apabila ada kalangan adik-beradik kita berkomplot untuk mengaut harta pusaka-maka kita akan berkata, "Ambillah semua harta itu, mulai saat ini kita akan putus saudara!"

Apabila suami isteri itu bercerai, maka mahar pun dikembalikan. Harta dikembalikan apabila si suami bercerai dengan isterinya. Maka, demikianlah halnya dengan adik-beradik. Jika ada yang mengaut harta pusaka lalu membiarkan salah seorang saudaranya kemiskinan, maka putuslah saudara itu.

Sebab itulah, diwajibkan zakat - suatu harta yang mana, dalam hasil usaha titik peluh kita sudah mengalir hak milik saudara-mara kita yang lain - anak yang sedang belajar, orang yang berjihad di jalan Allah, musafir dan lain-lain.

Aku tidak tahu, adakah laluan falsafah dan jalan fikiranku ini tepat atau tidak? Jikalau seseorang itu cuba memutuskan talian rezeki orang lain dengan apa jua kaedah, cara sekali pun, adakah dia masih boleh dianggap bersaudara dengan kita atau tidak?

Aku bersumpah seperti sumpah penghuluku-Nabi Muhammad, "Demi Tuhan yang jiwaku telah berada di dalam genggamanNya.."

..Mereka yang telah memutuskan rezeki seseorang itu, bukanlah lagi saudara kepada orang yang telah mereka putuskan rezekinya. (Sumpah Fansuri 1)

Wa fi amwalihim haqqun lis-sail wal mahrum (al-Qur'an) - "Dan pada harta-harta mereka, ada hak kepada yang meminta-minta dan yang mengharamkan diri mereka meminta-minta."

Sebab itulah diwajibkan zakat - kerana dalam harta kita itu ada hak milik saudara kita yang lain. Kata Abg Nash M'siakini - "Dalam gaji kita, 2/3 daripadanya adalah milik orang lain."

Kata P Ramlee ketika ada orang meminta sedekah daripadanya, "Duit itu hak dia. Abang tolong simpan saja duit itu."
(1:42 a.m)

Currently have 2 comments:

  1. D'Rimba says:

    Nah, semakin panjangan catatan dirimu...........Tolonglah bongkarkan hal Rotary Club seluasnya untuk tatapan umum supaya rakyat jelas lagi sedar.............Gerakan itu amat mengerikan lebih ngeri daripada melihat Setan....

    Kasihan nasib Chin Peng disalah anggapkan.....

    Buat sahabatku, semoga kau sentiasa dimurahkan rezeki di bumi Ilahi. Ayuh kita masuk tanding deklamasi puisi merdeka mahukah?

  1. D'Rimba,

    1. Rotary Club, Lion Club seperti gerakan rahsia. Ye, kami cuba teliti lagi kapsul masa di Dataran Merdeka tu.

    2. Kalau ada grup pengkaji komunis, boleh kita jemput Mat Amin berikan pengisian di Unikl ka, kat SPKB ka?

    Kat Unikl tu ada tempat untuk beri pengisian kat surau-surau?

    4. Acara deklamasi puisi? Saya tak pandailah. Tapi, kalau nak mencuba tu apa salahnya.