Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

19 - 25 Rabiul Awwal / 16 - 22 Mac

Monday, March 16, 2009 , Posted by nota untuk Syiah at 11:02 AM

25 Rabiul Awwal / 22 Mac (Ahad)
Pagi saya ke Saloma Bistro untuk beli tiket teater Muzikal Ibu Zain. Rupa-rupanya jam 8:30 p.m baru pementasan itu bermula. Pulang ke rumah menyambung penulisan. Tidur dan rehat sebab semalaman bekerja keras menulis.

Petangnya, baru saya bersiap ke Matic (Pusat Pelancongan), Saloma Bistro untuk membeli tiket, sekali gus menonton teater itu. Dapat kurasakan - inilah tempat untuk bertenang, berkhalwat mencari intuisi. Di sini tenang setenang-tenangnya!

Ketika inilah datangnya fikiran baru untuk membuat duit melalui pelancongan. Ada caranya, tapi biarlah rahsia! Mana boleh bagi tahu, he.. he..

Tiket berharga RM50. Pementasan bermula jam 8:45 p.m. Sekitar 10:10 malam pementasan itu dihentikan seketika sekitar 15 minit agar penonton dapat berehat-rehat membuang kedinginan yang membalut tubuh.

Masa itulah kumanfaatkan untuk membeli VCD lagu muzikal dan buku skrip mengenai Ibu Zain. Boleh juga kubelajar menulis skrip drama pentas! Insya Allah.

"Malam ini ada Sirah Junjungan juga," kata seorang makcik. "Tapi, macam Ibu Zain juga. Malam ini last show Sirah Junjungan."

Rugi kerana aku tidak dapat tonton Sirah Junjungan. Lutfi kata sayang juga sebab Erma Fatima nak jumpa dia untuk 'promote' Sirah Junjungan tu dalam Harakah. Malangnya, dia tak ada kat pejabat masa itu.

Pas, Harakah sedikit 'teralpa' menambat hati budayawan?
"Erma pun tahu, teater macam tu mana la orang-orang biasa nak tengok," kata Lutfi. "Harap orang macam kita la nak pi tengok teater macam tu."

Tambah menyedihkan apabila aku terbaca kenyataan Erma dalam akhbar:

Selain mengharapkan karya arahannya itu mampu menarik minat ramai penonton dan memberi pengajaran, menurut Erma, dia begitu berharap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat meluangkan masa menonton karya arahannya itu.

"Bukan apa, kita semua tahu Nik Aziz merupakan seorang ulama sebab itu kalau boleh saya mahu mendengar komen daripada mulut dia sendiri sebagai seorang ulama tentang Sirah Junjungan.

Selesai tayangan, ada makan-makan secara buffet di Saloma Bistro. Ini masa paling best. Makan selahap-lahapnya. Saya berkenalan dengan Fhaz, lepasan STPM parttimer di situ. Melihat kerja dia, saya jadi belas hati. Dia banyak bertanya mengenai cara-cara nak masuk universiti. Dia perlukan sedikit bimbingan dan asuhan.

"Kami tak tahu kursus apa yang nak dipilih," kata Fhaz. Inilah juga antara masalahku, pelajar Matrikulasi yang lain masa nak pilih kursus.

Kami tak didedahkan dengan kursus di universiti dengan sepenuhnya. Dia seperti menghargaiku kerana sudi meluangkan waktu berbual dengannya sehingga jam 1:00 pagi di Saloma Bistro. Aku akan datang lagi menghiburkan diri di sini. Di sini amat banyak untuk diperkatakan. Nanti, lepas tamat part-time di Malaysiakini, aku datang semula di sini insya Allah.. Saloma Bistro, tunggulah ketibaanku!
--------------------------------------------------------
24 Rabiul Awwal / 21 Mac (Sabtu)
Terjaga jam 9 pagi. Rasa berat kepala menyerangku. Rasa letih berkubang ke segenap tubuhku. Aku teringat semasa baru pulang dari Mekah. Aku dan adik-adik tidur memanjang. Rasa letih tu masih belum kebah dari tubuh. Adakah pengalaman semacam ini ditempuh oleh semua orang?

Aku berazam menyelesaikan beberapa buah tulisan sebelum masuk M'sia Kini. Mahu tonton Ibu Zain juga dan Jin Hutan. Okay..tamatkan segera menulis di sini Ya Fansuri. Mulakan perjuangan baru. Mengarang, mengarang, mengarang.. non stop!

Hang kena balas dendam sebab banyak urusan hang di luar yang masih belum selesai!

Alamak, penganjur Teater Ibu Zain baru sms aku tentang kedudukan MaTic, tempat teater itu dipentaskan. Dekat Saloma Bistro, Hotel Concorde. Macam mana ni? Aku harus buat keputusan sekarang! Rasa macam nak pi!
--------------------------------------------------------
23 Rabiul Awwal / 20 Mac (Jumaat)
Jumpa Hilmi di Affin, ingatkan pagi ini dapat rest, rupanya terpaksa juga menemuinya untuk bincang loan rumah. Dia ternyata sibuk, aku diperkenalkan dengan Zam, seorang rakannya. Zam gagal membantuku. Akhirnya, Zam call Nora RHB.

"Kita jumpa Isnin depan?" kata Nora. "Hari ini saya sibuk sangat."

Aku akur dengan keputusan itu. Tiada pilihan. Langkah terus disusun ke Jalan Chan Sow Lin. Di situ kujual tin aluminium. Ada satu tin besi yang dibuang. Aku hairan lalu bertanya India itu. Apa yang membezakan aluminum dan besi?

"Ya, ada beza besi dan alunium," katanya, sambil diletakkan magnet pada tin besi. Memang lekat kuat. "Tin besi kalau pijak, dia tak mudah kemek macam tin aluminum."

Dapat RM2.50 sekilo tin alunium. Harganya lebih mahal daripada akhbar lama. Pergi ke Utusan, jumpa Ku Seman. Dia ramah. Tak banyak cakap, tak perengus seperti gambaran wartawan yang kuselalu kudengar hal mereka.

Wartawan dalam mazhab Pak Samad Ismail, ego tinggi, berlagak dengan kepandaian, kuat hisap rokok dan sebagainya. Aku tak mahu masuk dalam golongan ini, malah aku memerangi mereka. Berapa ramai wartawan muda hari ini yang teringin jadi macam Pak Samad, berlagak tapi otak kosong. Kau ingat, hisap rokok dan boleh mencarut dan maki orang tu dah boleh capai tahap Pak Samad?! Koman-koman tulisannya hebat. Hangpa takat hisap rokok dan sembang kemaih saja.

Tulis apa pun tak dak. Tak ada apa yang hangpa boleh banggakan sebenarnya dengan tulisan hangpa tu. Eksyen mereka saja yang lebih!

Ku Seman bawa aku jumpa Pn Norehan untuk bincang hal pembayaran puisi. Ketika berjalan itu, dia tak henti-henti berkata, bayaran pun tak mahal. Agaknya dia rasa bersalah agaknya, sebab lama puisi-puisiku yang tak berbayar.

"Tak apa..di Utusan lagi ramai pembaca. Luas sikit," demikian aku cuba menyeimbangkan rasa bersalah itu. Sambil berjalan, aku bertanya mengenai berapa jumlah panjang cerpen. Dia cakap, dalam 1,500 ke 2,000 patah perkataan.

"Betul, tak hantar sebarang bayaran lagi," kata Pn Norehan. Ketika itu kami sudah tiba di meja beliau. "Ya, saya pun terlupa nak bagi alamatnya."

Wanita lingkungan 40-an itu akhirnya meminta alamatku. Urusan tamat di situ. Ku Seman bawa aku ke biliknya sekali lagi untuk beri kad bisnesnya. Dia buka syarikat terbitkan dokumentari. "Hantar karya pada mel di situ pun boleh juga," katanya.

Selepas meminta diri, aku pergi Digi, Berjaya Times Sq. Selepas bayar, ronda-ronda di Borders, melihat buku-buku terbaru. Jumaatku di Masjid al-Bukhary Jalan Hang Tuah yang tak jauh dari situ. Sedap betul lena di situ. Rasa aman dan tenteram.

Beli emas
Tergerak ke Bank Islam. Bincang dengan kerani. Mereka mahu gaji melebihi RM2,000. Masya Allah! Susahnya nak dapatkan rumah ni.

"Atau kembarkan gaji encik dengan isteri atau dengan sedara-mara sampai cukup RM2,000," kata kerani itu. Mana aku ada bini! Aku terfikir mahu minta bantuan adikku di Pantai Dalam. Ini adalah catatan sirah yang menunjukkan perjuangan membeli rumah yang belum selesai! Kalau dapat nanti alangkah nikmatnya!

"Segala yang dihasrat, tapi tak didapat, adalah nikmat yang paling padat!" (Nikmat) A Samad Said, 1973. Inilah antara kata-kata pembakar motivasiku membeli rumah. Dalam bukunya pun, Pak Samad bercerita mengenai kesukarannya membeli rumah dan akhirnya dia berjaya. Tetapi ibunya tak sempat melihat rumah itu. Semoga ibu bapaku sempat melihat aku membeli rumah dan 'membeli' orang rumah!

Kalah dengan jiwa Don, maka aku ke Ar-Rahn membeli emas selepas selesai urusan di bank. Dan harganya RM485.30, sama sepeti kelmarin. Kemudian, aku ke Harakah. ALO tiada. Kelibat Wan Nordin dan Irwan memang ada. Tapi, nampak mereka sibuk.

Janji pukul 3 syura untuk menulis buku bersama mereka. Tapi, oleh sebab aku ada hal sendiri, jadi teranjak masaku. Ada banyak yang tertunda sebenarnya. Buku ISA dengan ALO adalah contohnya. Terkini, aku diminta bagi cerpen untuk buku yang memuatkan perjuangan anak muda, khasnya PKPIM dan GMP.

Itu yang diminta Saifullah lewat smsnya baru-baru ini. Entah boleh siap atau tidak? Sebelum 20 April. Bolehlah siap agak-agaknya kot?

Cinema Online, Kelana Jaya
Hatiku tergerak ke Kelana Jaya untuk ambil tiket Jin Hutan. Naik LRT. Sepanjang jalan menuju ke opis CO, aku terjumpa banyak betul tin aluminum. Aku kutip tanpa malu. Inilah hobiku selain mengumpul setem semasa zaman kecil dulu. Aku kutip bukan sebab tak cukup duit. Tapi, rasa syok dapat himpun duit dengan cara itu.

Aku dah nampak jalan. Nampak saja terus kutip dan duit ini akan kumasukkan dalam akaun duit di pasaran Saham Maybank Securities! Sampai waktunya akan aku beli saham syarikat-syarikat semasa saham sedang jatuh akibat nazak dan tenat. Tunggulah mungkin 5 hingga 10 tahun akan datang. Ya, aku dah nampak jalan!

Sesudah terima tiket tebusan, kupatah balik ke SPKB dengan keletihan bersarang dalam tubuh. Sempat terlelap dalam LRT tadi! Tetapi, bila dah letih sangat, nak tidur pun susah. Maghrib tiba. Aku fikir masa mengarang terpaksa aku batalkan kerana sejak semalam belum rehat. Letih betul!

ALO beli kredit prepaid pulak, dia minta aku ke opis untuk ambil duit. La... Terpaksa ke pergi ke opis balik. Tiba di sana, selepas dapat duit, aku terlelap dalam biliknya yang berhawa dingin. Aku terasa nikmatnya tidur dalam keadaan penat yang bersangatan begitu. ALO masih sibuk menaip di biliknya dan sesekali memerliku.

"Awainya tidoq?" sindirnya sesekali. Dah penat, nak buat macam mana?

Terjaga dalam 11 malam. Taip-taip sikit di opis dan kemudian balik ke SPKB. Entah hantu mana yang mengusikku. Nampak tin aluminum di Masjid Jamek dan aku terus terbawa-bawa sampai ke Jalan Yap Ah Syak dekat kelab malam. Kebetulan malam Sabtu memang ramai orang berfoya di situ. Tin arak berbau masam kukutip jua.

Di Persiaran Capsquare pun ada banyak juga. Fuh banyak betul sebenarnya. Sekejap saja malam ni dah dekat satu kilo. Patutlah mereka yang kutip tin aluminum ni boleh survive! Huh! Ini boleh jadi bahan menulis cerpen nih..

"Saya ada kawan yang kutip tin aluminum tu untuk himpun duit untuk bayar mas kahwin," kata rakan serumah. "Saya puji, sebab dia kata dia tak nak mahar bercampur duit yang tidak jelas sumbernya." Fuh! Ini pun bahan cerpen nih!

Akhirnya tiba di rumah jam 3 pagi. Selesai semua aku rehatkan diri setenang-tenangnya. Hari ni aku manfaatku wantu dengan sepenuh-penuhnya. Ada yang kita tak dapat, dan ada yang dapat. Tapi, yang paling penting,berjuang terus berjuang!

Kumuhasabah sebelum tidur. Dapat beli emas, tak dapat runding hal loan. Dapat tin aluminum, tak dapat bayaran puisi di Utusan lagi. Tapi, dapat berkenalan dengan Ku Seman pun dah masuk bab besar dan menguntungkan tu. Ada benda yang kita dapat dan ada benda yang kita gagal. Itu perkara biasalah..

Segala yang dihasrat, tapi tak didapat, adalah nikmat yang paling padat!
--------------------------------------------------------
22 Rabiul Awwal / 19 Mac (Khamis)
Pagi - 5:30 pagi - Aku bangun seawalnya untuk buat terjemahan. Saat kuintai harga emas, daku kaciwa. Naik mendadak! Tak jadi beli! :(

Dari 89+.. terus menjadi 94+.. Saya kena ikhtiar untuk berdagang di Amerika kalau macam ni. Mana boleh jadi! Nak tunggu kedai dinar buka, lambat sangat! Hanya boleh tinggal berputih mata.

Tak apa.. bersabarlah.. aku mesti susun jadual mengarang sekarang. Stop blogging rite now dan teruskan terjemah Ya Fansuri! (5:44 pagi, 19 Mac)

2:00 petang
Baru selesai mengarang. Pagi tadi Saifullah call. Katanya ada part time di M'sia kini menjelang pilihan raya Bukit Gantang. Hatiku berbalah 50-50 sebenarnya. Dah rasa selesa hidup tanpa ada ikatan waktu.
"Malam ni ada meeting dengan kawan-kawan luar UIA," katanya. "Kalau lapang datanglah."
Aku sekadar mengangguk. Jauh banget di Gombak nih. Entah dapat pergi atau tidak.
Jimadie sms tadi, minta aku datang jam 6 petang. Kemudian, dia call lagi minta pengesahan. "Bawaklah apa-apa yang patut," katanya. Macam formal membikin jiwaku jadi gabra. Ijazah? Ada interview ker?
"Takde lah, sembang-sembang tukar-tukar fikiran," katanya lagi. Apa-apa pun, tengok nanti la jadi macam mana. Pergi dulu.. Keputusan buat kemudian..

Aqil sms, "Jadi datang tak muktamar Asasi petang ni?" Alamaks..Uniten tu jauh sangat. Segera kuhantar sms kepadanya berhubung kesulitanku itu. "Kalau bengkel prasasti, insya Allah boleh datang." Berbaloi juga mengkaji batu bersurat.

Bolehlah berangan-angan jadi macam Dr Robert Langdon dalam filem The Da Vinci Code. Novel Angels & Demons pun belum sempat kuratah dan hadam lagi isinya.

Petang
Selesaikan urusan TmNet, duit kutu di opis. Berjumpa ALO. Meja dia bersih sungguh!
"Dah ada pembantu la ni," kata ALO. Bagi 'kursus' sikit kepadanya mengenai Yahoo Messenger dan Facebook. Irwan datang lalu mereka bergebang soal politik khasnya isu Ali Rustam yang tak dapat bertanding untuk jawatan TPM.

Sikit-sikit Ali, Ali dan Ali. Terasa betul aku walaupun mereka merujuk Ali Rustam. Dulu, ada kes Saiful Bukhari. Terasa jugak aku. Sebelum itu ada kes Aishah Bukhari. Lagilah aku terasa. Sebab itu, aku beli Bible, konon nak lawan dakyah Kristian. Itu zaman remaja. Zaman remajaku banyak berbeza dengan remaja lain pada saat itu!

Malam itu jugak abah suruh aku bakar Bible kat belakang rumah. Macamlah aku ni amat mudah diperdayakan oleh dakyah agama lain. Sedih betul!

"Buat cerita politik sikit Ali," tegur ALO. Dia tersenyum. Tahu sangat dia yang aku tak berminat dengan hal-ehwal kepartian.

"Dah ada orang puji enta la ni," tambahnya. "Dia tengok banyak sangat tulisan."

"Siapa?"

"Lifeboat.."

Segera kuteringatkan penulis novel itu. Dia pernah terkenal dengan novel Projek 238?? dulu. Di mana dia sekarang aku pun tak tahu.

"Tulislah sikit ulasan tentang acara Hujah yang kita pi sekali di TV9 malam tu," gesanya. Tapi, aku sedang cuba 'mengurangkan' penulisan. ALO juga yang bagitahu ada orang komplen kerana banyak sangat tulisanku yang termuat. Ish, susah sungguh kalau hidup nak ikut cakap orang ni.

Teringat cerita Luqman dan anaknya yang terpaksa naik keldai, kadang-kadang terpaksa turun kerana sentiasa ada orang mengkritik tindakan mereka itu.

"Nanti Agus kata apa pulak.." kata ALO. Malam itulah sepatutnya aku pi TGV, KLCC. Tapi, tak dapat apa yang dihasrat kerana meneman ALO di DBP. Bak kata Pak Samad Said lewat puisinya pada 1973, "Segala yang dihasrat, tapi tak dapat, adalah nikmat yang paling padat."

Sebelum pulang, ketika aku menghidupkan motor, aku disapa Wan Nordin dan Irwan, "Jom kita tiga orang buat buku? Kita juallah masa muktamar ni."

Tawaran menarik. Esok meeting hal buku tu. Idea lawak, syura tepi jalan membuahkan idea yang baik kadangkala. Jadi, apa salahnya syura bawah pokok seperti di Perak tu? Berjayakah pertemuan dengan depa esok ni? Tiba-tiba saja, banyak offer dari kawan-kawan nak join buat buku sekali.

"Esok jam 3 petang," kata mereka.

"Okeh dude.. see ya in New York time!" balasku. Mereka beralih, tersengih dan faham benar maksudku itu. SPKB terkeluar daripada segala garis hukum 'ruang' dan jalur 'masa'.

Meeting petang di Bangsar
Ke Bangsar, bertemu Jimadie, Fathi Aris Omar dan Nash Rahman. Mereka mahu aku kerja dari 23 Mac - 8 April ni. Aku menghitung.. kira-kira 17 hari. Entah kenapa, timbul keraguan di dalam hatiku untuk kerja baru ini. Seperti terpenjara layaknya.

"Berapa upah, elaun sehari?" tanyaku kepada abang Nash Rahman.

"Berapa yang hang nak?" dia bertanya semula.

"RM50?"

"Kami akan usahakan.."

Aku tersenyum. Sebenarnya, ada banyak cerita lawak di sini, termasuk peluang bikin bisnes juga tapi biarlah semuanya rahsia.. :)

Tapi, aku mahu sentuh sekilas mengenai 'batu hidup' yang diceritakan Nash Rahman tadi. Ketika batu cincin yang dikatakan 'hidup' itu dilihat di bawah cahaya matahari, cahaya yang ada di atas batu itu akan bergerak, cahaya itu berjalan.. Itulah 'batu hidup'.

Menurut apa yang aku faham, di bawah atom ada sejenis 'tenaga'. Cahaya adalah sejenis tenaga; tenaga cahaya! Allah itu 'cahaya' di langit dan bumi - Allah nur samawaati wal ardh (al-Qur'an)

Menarik untuk dibualkan sebenarnya. Tapi, panjang ulasannya..

Jiwaku di universiti sebenarnya!
Paling penting di sini. Hari ini aku yakin suatu perkara, ketika berbual tadi di opis Harakah dan berbual bersama orang-orang kuat Malaysiakini, aku sedar sepatutnya di manakah aku berada. Tempat dan seluruh jiwaku sebenarnya di universiti!

Sejak 1950-an, telah terbit slogan-slogan seperti sasterawan wartawan seperti Usman Awang dan A Samad Said, ada wartawan sasterawi seperti A Samad Ismail, ada wartawan guru, ada wartawan politikus. Tapi, amat kurang wartawan pensyarah. Maka, aku harap, akulah wartawan-sasterawan-pensyarah itu! I'Allah..

Tuhan.. kau telah keluarkan Rabiatul Adawiyah daripada menjadi hamba kepada insan merdeka. Aku sekarang terpenjara dalam dunia kewartawanan. Mohon aku dikeluarkan dari dunia ini dan masuk ke dalam wilayah pengetahuan dan daerah ilmu; tempat pertapaanku yang sejati.

RM 3 bilion untuk jayakan PPSMI?
Dr A kirim sms tentang kiriman sms dari Dato Hasan Ahmad - "Dah jumpa. Buang masa! Cuba mengelak isu, merayu supaya GMP tok sah adakanperhimpunan lagi, kementerian pelajaran dah belanja lebih RM 3 bilion, apa nak jadi pc2 dll. Saya kata ngapa membazir buat benda salah. Dia nampaknya takut kesan buruk terhadap politik dirinya. Tapi perjumpaan mesra. Kami beritahu dia GMP akan terus berjuang hingga PPSMI dihapuskan."

Tadi, dalam perjalanan pulang ke SPKB, sempat tengok Buletin Utama, tapi tak tahu kepala ekor tentang apa isi bualan antara Hishammuddin, Dato' Hassan Ahmad dan Dato' A Samad Said. Semoga berjayalah dato'-dato' berdua!

Malam ini juga kuingat perjumpaan di Gombak batal kerana Saifullah kirim hal pembatalannya petang tadi. Rupanya perjumpaan itu masih berlaku. Aku tak dapat maklumat kerana bateri hp weak!
--------------------------------------------------------
21 Rabiul Awwal / 18 Mac (Rabu)
Semalam terlepas tayangan percuma di KLCC. Sampai ke sudah hajat tak kesampaian. Ini namanya rezeki. Demi perjuangan, kita mesti korbankan keinginan.
Nikmat
Segala yang dihasrat
tapi tak didapat
adalah nikmat
yang paling padat


(A Samad Said, 1973)

Tuhan bawa aku bertukar-tukar fikiran dengan ALO. Harakah perlu buat kursus wartawana kepada orang luar. Aku diminta bawa buku kursus wartawan karangan A Samad Ismail. Ada banyak lagi cerita yang tak dapat dicoret di sini.. panjang banget!

Semalaman aku tak tidur sejak semalam. Mengarang.. Peranan 'Rasulullah s.a.w' mengislamkan Dunia Melayu?

Pagi
"Encik, pihak bank tak dapat luluskan loan," kata cik Has. Hatiku sedikit hancur. "Bank lihat akaun macam ada masalah."

"Baru-baru ini saya terima agak banyak juga," aku membalas. "Takkan tak boleh cuba lagi?"

"Kalau macam tu, dokumen yang terbaru encik fax kepada saya petang ni," katanya lagi.

Tamat mengarang ketika azan Zuhur berkumandang. Terbit rasa lega di hatiku..

Petang
Selesai urusan eload, saya tebus dinar 2 keping. Kali ini betul rasa lega. Macam dah jadi Don semula. 11 keping semuanya! Semangat pun semakin naik walaupun pagi tadi saya dengar cerita loan bank ada masalah.

"Ada 2 dinar sekeping tak?" saya bertanya di kaunter.

"Stok kami dah habis.." katanya si kerani itu. Maka, tidak jadi saya beli.

Ke opis untuk fax dokumen terbaru kat loyer. Syukur, kerani terima dan dia nampaknya cekap buat kerja. Saya yakin yang dia membuat kerja itu dengan cekap.

Hati berbalah. Nak selesaikan hal TmNet @ Maybank Securities di Bangsar. Jiwa pelaburan lebih kuat. Aku ke sana jua akhirnya.

"Masukkan duit dulu dan baru boleh trading," kata Encik Shah. "Sekarang ini waktu orang beli saham sebab saham menjunam. Ini berguna bagi tempoh jangka panjang."

Ada banyak ilmu yang kutimba hari ini dan tak dapat kucoretkan semuanya. Memang kena banyak study tentang pasaran saham. Monitor apa kena tengok. Baru tahu saja tentang cara bagaimana nak tengok papan 1, papan 2 BSKL.

Rasa selamat 'sikit' berbanding Forex. Forex ada 'margin call' dan duit hangus! Rasanya, yang ini boleh apungkan dalam tempoh yang lama.

Aku berazam simpan RM100 tiap-tiap bulan dalam akaunku dan sambil-sambil tu boleh study dan trading ketika perlu. Tengok mana yang berpotensi pada masa depan.

Rasa lega sebab ada remieser yang boleh bagi pandangan dan nasihat.

Malam ini rasa lega sebab tak beli dinar tadi. Apabila saya melihat harga emas turun menjunam dengan begitu rendah! Harap-harap esok, esok dan esok makin turun supaya saya boleh beli! Insya Allah Ta'ala..
--------------------------------------------------------
20 Rabiul Awwal / 17 Mac (Selasa)
Nak mengusha-usha bekas awekku Bunga Citra Lestari yang dijadualkan tiba dengan suaminya Ashraf Sinclair di TGV, KLCC. Tapi Lutfi pula call, ajak aku pi tengok acara Hujah, TV9 malam ini di DBP. Argh! Tensennya! Nak berlibur pun susah..

"Allah, tangguhkanlah dulu urusan dengan marka tu," kata Lutfi. Ish! Mana ada marka lagi. Girl friend ramai la. Sebenarnya, malam ini ada meeting antara Don!

Aku perlu buat keputusan. Kehidupan adalah 'seni membuat keputusan' demikian fatwa Fansuri. Sedang bersms dengan Don Fahmi. Aku minta dia ambil aku di DBP nanti, terus ke KLCC. Tidak tahulah nanti apa nak jadi dengan perancanganku ini.

Boring dah dengan politik ni sebenarnya. Kali terakhir tengok Pak Lah jumpa Anwar dalam satu majlis. Aku teringat Ezam Md Noor cerita kat aku dan Lutfi di Harakah bahawa Anwar memang ada plan nak bawa seorang ulamak Indonesia untuk jumpa Pak Lah supaya nasihatkan Pak Lah agar tarik Anwar semula masuk ke dalam Umno.

"Anwar sanggup bayar tiket penerbangan ulamak tu," kata Ezam. Cerita ni aku berani cakap la sebab mata aku melihat dan telinga aku sendiri mendengar Ezam cakap.

Cikgu Mie Teras. Dia rapat dengan ayahku. "Lama tak dapat kontek. Dia tukar nombor telefon ka?" tanya beliau. "Dia pi Jogjakarta. Hari ni atau esok dia ada di Malaysia," begitu balasku. Tapi, sekarang pun masih belum dengar apa-apa berita.

Aku sms abah suruh kakti beli VCD Laskar Pelangi di Jogja. Entah dia dapat sms itu tak tahulah aku. Sayang betul. Laskar Pelangi tak ditayangkan di sini :(

Pakcik minta aku cari orang yang boleh bawa Anwar Ibrahim jumpa dia di Kelang. Ini pun suatu lagi beban. Takkan la Anwar ada masa nak jumpa dia? Dia mesti ikut jadual Anwar. Dengar kata P.A Nurul Izzah pun pernah kontek dia. Kenapa dia tak guna saluran yang ada dan memudahkan dia? Susah betul aku nak nego dengan ego mereka ini, khasnya pakcik. Sabar je lah..

'Parameswara' atau 'Old Man'?
Aku tidak tahu siapa di 'belakang' pakcik? Parameswara zaman silam atau 'The Old Man' sejak di zaman Nabi Adam. Aku rasa aku berurusan dengan Parameswara kadangkala, sebab dia nak dilayan sebagai raja. Perintahkan itu dan ini..

Aku mesti 'fight' habis-habisan. Aku nak berurusan dengan Old Man dan bukan Parameswara. Raja-raja ini bukannya boleh diharapkan sangat sebenarnya.

"Pakcik tau tak.. Tuhan pun suruh Musa dan Harun jumpa Firaun, kalau tak percaya cuba tanya Old Man sendiri," begitu yang ingin kukatakan kepada pakcik nanti. Tuhan beri daku kekuatan untuk mengangkat pertanyaan.

Kalau orang paling mulia seperti Musa dan Harun pun diseru agar berjumpa orang paling jahat seperti Firaun, apatah lagi Anwar Ibrahim. Apa salahnya dia berjumpa Anwar dan bukan Anwar berjumpa dia? Sebab itu, aku rasa aku sedang berhadapan dengan semangat Parameswara saja sebelum ini.

Tuhan.. berikan aku kekuatan untuk mencabar 'ego' sang Parameswara! (Eh! Baru teringat Raja Melaka dah ditabalkan!)
--------------------------------------------------------
19 Rabiul Awwal / 16 Mac (Isnin)
Dr A sms, "Pertabalan Sultan Melaka semalam di Simpang Pertang." Sms ini tak sempat jawab sebab saya pun kurang membaca akhbar akhir-akhir ini.

ALO sms, "Dah ada komplen anta tulis banyak sangat dalam daily, buat news sama."

Apa harus kulakukan. Sedih. Dendam. Marah. Geram. Segala-galanya bercampur-baur. Mereka dan aku memang tidur sebantal, cuma mimpi kami berlainan arah! Kiblat kesetiaanku tak akan pernah berubah arah, insya Allah. Kiblat kesetiaanku tetap menuju ke arah keredhaan Allah!

Sedangkan kiblat mereka mungkin mencapai kemasyhuran lewat penulisan. Jika masing-masing ingin mati memburu syahid, sepatutnya mereka akan bersaing denganku dengan melipatganda amalan, berlumba-lumba menulis, bukannya dengan komplen aku tulis banyak sangat.

Bersainglah sebagai Umar yang cemburukan Abu Bakar dalam amalan bersedekah. Melihat Abu Bakar mengorbankan seluruh harta bendanya, maka Umar turut ingin menandingi kehebatan si Abu Bakar itu. Walaupun Umar kalah akhirnya tetapi itulah pertandingan yang sihat. Bertanding dengan membanyakkan amalan..

Manusia-manusia.. Aku teringat kata-kata T S Lanang kepadaku semasa zaman kuliah. Ada juga lecturer yang anti aku dan dengki aku. Aku minta training di Berita Harian, dia bagi aku training di Bernama. Ada kawan yang akhirnya pecahkan rahsia itu kepadaku. Sungguh tidak kusangka-sangka! Isk! Isk! Isk!

"Ali ni minta di BH, macam mana ni," kata pensyarah itu kepada rakan lamaku. Kebetulannya rakanku ini sedang berbual denganku malam itu di bilik berita Berita Kampus. Sedihnya apabila kita tahu bahawa orang-orang yang kita rasa oke dengan kita rupa-rupanya 'makan' kita dalam diam-diam.

"Aku rasa.. dia memang anti kau la.." kata rakanku itu. Ish, sedih betul bila pensyarah sendiri yang buat macam ni. Bila semua, wartawan Berita Kampus diancam TNC HEP, dia tidak berani bela kami. Tapi, bila kami buat silap, bukan main menyinga.

Memang aku ramai musuh. Tapi, musuh-musuhku itu tercipta bukan dengan sengaja dan bukan pula kerana aku mengganggu urusan hidup mereka.

Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Ada berhati serigala dan berjiwa singa. Dalam Ma'thurat, ada doa diminta dijauhkan daripada Qahri Rijal (gangguan pembuli). Tapi adakah doa untuk kita jauhkan diri daripada orang-orang yang dengki kepada kita?

Fathi Yakan menulis dalam Al-Mutaqasithun 'ala Tariqi Dakwah ada lima musuh yang dihadapi oleh seseorang pendakwah. Seteru yang ke-5, pendakwah itu akan dicemburui pendakwah yang lain. Nampaknya, aku perlu menerima hakikat kebenaran daripada pemikiran Fathi Yakan ini. Tahniah al-Fadhil Ustaz Fathi Yakan!

Buat news?
Hai, macam mana sekarang? ALO mintak aku buat news pulak. Dulu, dia yang minta aku target sampai dapat RM2,000 setiap bulan. Tiba-tiba ketika berdepan dengan komplen orang bawahan dia, akhirnya dia pun terpaksa mengalah.

Sekarang.. kena buat news pula? Atau, apakah aku harus tukar strategi? Hal ini masih lagi dalam fikiranku sekarang. Hai.. sabarlah Sabarudin Tukang Kasut..

Hidupmu hidupku sama jua. Hidup dihimpit derita..Sekarang..news apa? Raja Melaka ditabalkan di Melaka? GMP? PPSMI? Aduh.. Sudah jatuh eskalator ditimpa lif..

Aku salah satu anak panah dan peluru Harakah. Kalau Harakah itu busur, maka aku anak panah. Kalau Harakah itu pistol, akulah pelurunya. Kenapa perlu disimpan anak panah itu? Dan kenapa pula perlu diperam pelurumu itu?

Musuh Umno sedang rancak dan ghairah menarikan tarian tipudaya dan mendendangkan helah ke atas rakyat dengan penuh waspada. Akulah pelurumu itu, akulah anak panahmu yang paling handal. Manfaatkan aku dengan sebaik-baiknya!

Malam
Malam ini kuhabiskan tiket Fox untuk menonton Slumdog Millionaire. Fuh! Best giler.. Patutlah dapat menang Grammy Award.. Nampaknya Bahasa Urdu sudah capai ke bahasa dunia. Bilakah Malaysia mahu bawa Bahasa Melayu ke peringkat dunia melalui filem mereka? Err.. adakah aku perlu melangkah ke dunia lakonan?

Finas perlu ambil tanggungjawab ni. Dengar cerita Geng pun tidak dapat nak bawa filem mereka ke Hollywood. Kalau tidak, glamerlah Upin dan Ipin tu.

Slumdog Millionaire - Bahagian 5


Slumdog Millionaire - Full Movie Part 7 HD Quality


Slumdog Millionaire - Full Movie Part 9 HD Quality

Currently have 0 comments: