24 - 30 Zulhijjah / 22 - 28 Disember
3:30 petang.. ibu memberiku sebuah buku puisi daripada Noor Azma (Albazrah). Buku ini sudah lama, tapi baru hari ini buku puisi beliau tiba ke tanganku.
Di kulit muka depan buku itu, tercatat tarikh 11 Oktober 2008, iaitu tarikh walimahnya dan saudaranya. Aku menyelak tidak lama kerana sibuk dengan urusan menulisku seharian. Namun, kuselak juga lembaran demi lembaran.
Sebenarnya, dalam sehari dua ini, ilham datang menjengah, menziarahi di ladang hatiku, lalu dia pun sibuk berbicara sebagai biasa dalam bualan terdahulu.
"Kau ada Sarah..," kata suara itu. Jangan silap paham.. Sarah, anak saudaraku dari adik lelakiku ketiga. Aku anak pertama, anak sulung dalam rantaian adik-beradik.
"Lalu apa?" aku bertanya kepada sang ilham semula..
"Engkau sudah lama mengarang, tapi umat tak mendengar. Baik kautulis surat buat Sarah, katanya lagi, separuh menggesa. "Nanti anakmu itu mungkin akan menggerakkan pandangan serta pendapatmu kemudian hari."
Di dalam solatku, dalam sujudku, suara ini sentiasa bergema, melantun-lantun ke segenap ruang dadaku. Nantilah, kalau ada kelapangan..
Dalam jiwaku tersemat beberapa perkara berhubung penulisan..
1. Isu ISA - ini tugasan yang Lutfi bagi. Katanya untuk dibuat buku. Berat juga..
3. Isu Politik Kampus
4. Bahan Sastera / Budaya - Terjemahan Rice Without Rain
5. Isu Bahasa, PPSMI - yang inilah yang aku tumpukan sekarang..
6. dan banyaks lagiks..
Terkenang kata-kata asy-Syahid Imam Hasan al-Banna, "Kerja kita lebih banyak daripada waktu-waktu kita. Oleh itu, sentiasalah hidup bantu-membantu."
Kembali kepada Albazrah..
Pabila menelusuri jalur fikiran ustazah muda ini, saya fikir beliau boleh gerakkan idea pemikiran Badiuzzaman Said Nursi dengan lebih jauh. Macam-macam dia boleh buat. Mungkin berseminar, bengkel dan forum atau menubuhkan pertubuhan yang akan mengkaji pemikiran Said Nursi.
Paling afdal, biar sampai tahap Syed Muhammad Naquib al-Attas yang mengkaji sosok Hamzah Fansuri sehingga berjaya meraih gelar Doktor Falsafah. Insya Allah..
Semoga dia berjaya. Ya Ustazah... kalau mahu berbual lanjut hal ini bersama-sama rakan-rakan sangat baik, mahu berbincang dengan saya falyatafadhal masykuura...
----------------------------------------------
Letih benar mengarang. Aku mesti ada satu LEPTOP. WAJIB ke atas diriku untuk membelinya. Telah kufardhukan ke atas diriku untuk memilikinya.
Kalau tidak, susah nak berjalan ke mana-mana. Cita-citaku untuk merentas Laluan Sutera dari Xian, China ke Istanbul, Turki masih dalam anganan.
Kononnya mahu ke Mekah mengikut jalan darat! Hari ini kulihat abah, kakti dan kinah telah pun selamat tiba di puncak Gunung Kinabalu. Rasa jeles melimpah tercurah ke lubuk jiwa. Abah dah penat di Laban Rata. Kinah, Kakti dah tiba di puncaknya!
Cantik benar pemandangan. Awan di puncak gunung bagaikan laut! Memutih merentangi kaki langit. Mungkin inilah gambaran Melayu Purba darihal kayangan.
Aku ada teori berbelit-belit darihal asal-usul Melayu, helang, garuda, Melayu Cham dan Sang Kelembai. Semua ini akan terpatri dalam berpucuk-pucuk suratku buat Sarah.
Dalam sujudku di sejadah, selalu menyinggah humbanan kata-kata dari langit, mendesak diriku mengarang surat buat Sarah, si kecil berlesung pipit, anak saudaraku, cucu sulung dari keluarga kami. Ilham amat membantu.
Ia amat membantu ketika melawan HEP, ketika membuat bantahan PPSMI dan semua musuh Tuhan! Aku hidup ditimpa 'wahyu'. Segala gerak hati wajib diikuti tanpa sebarang bantahan lagi.
"Buat apa yang terfikir, ikut lintasan hati, selebihnya serahkan kepadaKu," selalunya begitulah bicara-bicara Tuhan ke atasku.
-----------------------------------------------
5 Muharram / 2 Januari (Jumaat)
Reform aku berjaya! Mak dah mula masak ikan rebus! Tadi, check guna alat mesin untuk tengok semula tekanan darah. Mak aih! 117 / 71 pulak dah! Hari tu 108 / 66.
Rasanya, pasal dah makan sangat kot tengahari tadi. And then, terus jer pergi check. Mahu tidak terkejut darah-darah tu.
Ibu bertanya darihal emas. Saya telah bocorkan rahsia sedikit. Sudah empat keping kubeli. Tadi pagi, Mr Branson dari Bukit Jambul, Pulau Pinang call. Tapi, oleh kerana masa saya bekerja ialah masa bekerja menurut waktu Las Vegas, Chicago, Michigan, New York dan Wisconsin, jadi agak sulit mereka mahu berunding denganku.
Public Gold adalah satu syarikat menjual emas yang baru dibuka. Aku mendapat maklumat dari Jutawan Emas. Rasa bernafsu dan bersyahwat pula dengan emas ni! Fuh! Jiwa seorang kapitalis naik mendadak.. Terasa diri ini bagaikan seorang Don Mike Corleone, seorang Mafia dalam filem God Father.
Errr.. Teman-teman.. Memangnya.. Memang beginikah jiwa orang-orang kaya?
"Tapi.. kalau dah beli emas, nanti kena bayar zakat pulak," kata bonda.
"Apa salahnya?" kataku membidas, "Nanti kita bayar la zakat kat mak Kak S di Kg Paya Kelubi tu. Atau boleh bayar zakat kat adik-adik yang mengaji tu."
Ibu mengangguk tanda setuju. Dia tahu duit itu tak akan pergi ke mana. Atas tujuan pendidikan keluarga kami juga akhirnya. Aku fikir, Lutfi harus menggunakan wang ISA itu untuk membeli Dinar Emas Kelantan juga.
Dia perlu juga guna duit Harakah untuk simpan aset akhbar itu dalam bentuk emas. Maka, dengan cara inilah wang ISA itu dapat berkembang!
Dah lama aku minta tuan Syed daripada Gerakan Mansuhkan ISA itu beli tanah dengan gunakan wang ISA itu untuk beli tanah agar dapat didirikan perkampungan ISA. Kalau depa tak mau nak duduk di kampung tu pun tak pa. Jadikan kampung itu kampung pertanian dan penternakan.
Beli ikan keli, ternak dalam kanvas, ternak lintah, cacing, ikan pari-pari dan kambing Jamnapari. Fuh! Banyak boleh dibuat. Hasil penternakan dan pertanian itu, boleh diagihkan semula kepada ahli keluaga tahanan ISA.
Kalau kita bagi duit itu kepada sebuah keluarga ISA, duit itu mungkin hangus begitu sahaja. Jadi, kita kena galakkan mereka menceburi bidang perniagaan, penternakan dan pertanian. Beri depa duit modal pusingan awal untuk mereka berniaga!
Bak pepatah Fansuri, "Kalau beri ikan kepada seseorang, esok dia mintak lagi. Tapi, kalau kita beri mata kail, tali pancing, hari-hari dia dapat ikan sebab sudah berdikari."
------------------------------------------
4 Muharram / 1 Januari (Khamis)
Hari ini, hari yang tidak produktif. Saya gagal menyiapkan bahan sastera. Alat kelengkapan yang kurang, ditambah dengan tidak pandai menguruskan waktu, suatu penyakit yang tak dapat lagi kubanteras sejak dahulu. Bukan saya seorang, ramai lagi penulis yang menderita penyakit ini.
Hidup hari ini kosong sifar makna kalau tidak produktif. Bagaimanapun ada perkembangan yang baru sejak semalam. Iaitu, pengetahuan saya mengenai emas semakin bertambah!
Rupa-rupanya, selain Dinar Emas Kelantan, saya boleh beli Kijang Emas dan duit emas daripada UOB Bank. Ini semua menjadikan kehidupanku makin menarik! Yes!!!
Laman web rujukan:
1. Public Bank Gold Investment Account (GIA):
2. Maybank Gold Saving Passbook: .
Bacaan berkaitan:
1. Membeli emas di kedai Emas
2. Membeli wang syiling Kijang Emas di Maybank
3. Membeli Emas fizikal di UOB Bank
4. Membeli Dinar/Dinar emas Kelantan
5. Membeli syiling emas/gold bar Public Fine Gold.
3 Muharram 1430 / 31 Disember (Rabu)
Usrah di rumah, Pendang. Letih betul menyusun meja tadi. Black-out pulak di rumah beberapa kali. Tapi, syukur juga. Semuanya berjalan lancar.
Brader sebelah rumah menegur aku ketika membuang sampah malam tadi. Dia sungguh ramah. Dia dapat tahu, usrah ayahku adalah usrah Abim kerana ada cikgunya juga yang terlibat dengan usrah ayah. Dia baru menyewa rumah sebelah.
"Saya nampak bekas guru saya tadi," katanya. Diriwayatkan juga kisah pengalamannya yang lalu. Dari raut wajah dan percakapannya, memang dia banyak kenal orang dan pengalaman pun banyak. Dia seperti banyak menempuh kegagalan.
"Guru saya tu sedang menadah kitab dengan grup ayah awak tadi sejak Maghrib," begitu dia menuturkannya. Saya hanya menadah telinga. Tak tahu nak sampuk, mencelah daripada mana. Kisahnya banyak berkisarkan soal mencari rezeki.
Semua ini mendatangkan keresahan buat diriku sendiri. Sakit belakang yang kerap menyengat baru-baru ini menyebabkan saya terfikir untuk membuat 'medical check-up' banyak benda. ni cuma saya cerita kepada adik saja.
Tubuh kerap terbongkok sewaktu mengarang. Wan di Harakah dah mengadu sakit belakang dan aku tumpang simpati. Adakah sekarang, derita kesakitan itu mula menjalar ke atas diri sendiri?
"Aku dah ada kencing manis," kata Amin saat menelan beberapa pil di restoren Haslam tempoh hari. Sejak dia pulang dari Mindanao aku terserempak dengannya ketika berjanji minum-minum di Haslam bersama cik Pyanz.
Amin kira-kira setahun lebih usianya daripadaku. Tapi, tubuhnya sudah diziarahi kencing manis, suatu penyakit yang tidak diundang oleh sesiapa. Tetapi, pabila tiba waktunya, dia akan ziarahi kita juga akhirnya. Mataku berpinar. Keresahan menjalar, berkubang di jiwa raga. Ya Allah, jika boleh lanjutkan kesihatanku ini...
Tadi, buat pemeriksaan tekanan darah menggunakan alat tekanan darah yang abah beli. Syukur juga. 108 / 66, degupan nadi (pulse) 77.
Masih di tahap normal. Tapi, saya khuatir juga kalau ada tekanan darah rendah. Maklumlah kita kerap menulis pada waktu malam-malam hingga dinihari. Tetapi, masa itulah 'wahyu' melimpah mencurah-curah dari langit tertinggi.
"Mak, kita rebus ikan saja, tak payah masak gulai lepas ni," demikianlah saran saya apabila dia risau tekanan darahnya. Abah pun begitu juga.
Semenjak pulang dari Kemboja, saya lihat Melayu sana cuma rebus atau bakar lauk saja. Di sana, minyak masak sangat mahal. Jadi secara tak langsung, mereka terelak daripada menjadi mangsa kolestrol. Saya pun jadi sangat INSOF!
Pengajaran moral: Jagalah kesihatan kita semua!
----------------------------------
"Susah, Harakah nak deal dengan Celcom, Tm Net pun payah," katanya lagi. Atau, adakah dia sengaja berkata begitu kerana egonya, atau dia tidak mahu kelihatan seperti mahu beriya-iya di hadapanku? Tetapi, kalau betul-betul Harakah tak mahu, siapa yang boleh ke depan anjurkan debat itu? Ah! Lagi-lagi idea baling kasut!
"Kena ada orang yang betul-betul jiwanya sengsara tertekan melihat semua ini," katanya lagi. "Tengok kalut tu, tiba-tiba ada wartawan baling kasut!"
Nak tunggu orang baling kasut kat kepala Hishammudin susahlah! Kita kenalah berbuat sesuatu sementara nak menunggu ada orang gila baling kasut kat Hisham. Mahu tunggu si Imam Mahdi turun susahlah, kalau kita sendiri tak bergerak ikut ruang yang kita ada. Kalau diikut patah hati dan kecewa, dah tak boleh buat apa dah!
Tapi, aku bersyukur kepada Tuhan. Pengalaman yang lalu mengajarku agar jangan cepat putus asa. Kalau Harakah tak boleh anjurkan debat, mungkinkah Asasi atau Kumpulan Prihatin? boleh anjurkan? Aku mesti tukar strategi lain.
"Bolehkah TMJ Sanggah Tok Sago pujuk Lutfi?" getus hatiku.
Bro Shy demam denggi!
Setelah hancur hatinya ekoran putus cinta, Bro Shy demam denggi. Tadi, dia mengirim sms ke telefon bimbitku. Hatiku menyala penasaran! Rasa ingin tahu menyinga, mahu melompat serta meluap-luap pula!
"Salam, saya telah disahkan demam denggi," kata Bro Shy lewat smsnya, 12:48 tengahari tadi. Semoga dia terus dibekalkan semangat terus berjuang menggalas amanah kehidupan ini.
Emas mendadak naik!
Emas pun naik mendadak hari ini. Daripada 840, melonjak ke paras 868. Mujur benarlah hatiku digerakkan Tuhan untuk beli Dinar Emas kelmarin. Cuma satu hal yang meresahkanku sekarang ini. Emas yang kupajak atas namaku, bagaimana mahu menebusnya?
Adakah aku perlu tunggu sehingga harganya makin tinggi, lalu kujual surat pajak kepada orang yang pernah aku kelui tempoh hari? Atau, aku tebusnya dengan mengeluarkan sedikit wang dari simpanan ASBku selama ini?
(Lihat graf berrwarna hijau! Naik mendadak kan?)
Semalam, saya hantar sms kepada seorang brader yang berhutang pada saya sebanyak RM540. Pagi tadi, dia kirim sms, bercerita tentang nasib yang menimpanya, anak-anak empat orang dan dia sudah bekerja sebagai freelance saja.
"Harap ente faham.." katanya. Bagaimana kita nak selesaikan masalah hutang-piutang ini.?Kita pun perlukan wang untuk bayar sewa bilik dan menanggung kos kehidupan lain? Ada cara lain tak, agar rambut tak putus, tepung jangan berselerak?
---------------------------------
28 Zulhijjah / 26 Disember (Jumaat)
Beli Dinar Emas dengan harga RM419.00. Rasa puas hati betul setelah membelinya.
Berjaya melaksanakan amanah Ridwanto. RM10 telah kumasukkan dalam Tabung Anak-Anak Yatim di Kg Baru melalui mesin ATM Maybank di Masjid Jamek Kg Baru. Wanto! Enta kirimlah salam kat Dr Herman dan PMI UTM. Mintak kat depa tips untuk ana buat undian sms menerusi Telco ni. Ada perkembangan hubungi ana.
Ana dah beli 9 buah buku puisi Usman Awang yang murah tu, untuk test market.
Lutfi call, minta datang ke rumahnya malam ini. Ada hal yang nak dibincangkan.
"Enta ingat tak editor kat DB, DBP?"
"Apasal" kataku kembali. Saat itu, baru naik motor nak pi beli Dinar Emas.
"Depa pun dok cari idea macam mana cara nak highlight isu PPSMI ni," kata Lutfi lagi. "Tak pa lah. Enta mai lah ke rumah ana di Ampang nih.."
Perlukah aku lobi Harakah melalui Lutfi?
Perlukah aku lobi, pengaruhi Lutfi malam ini, agar Harakah menganjurkan Debat PPSMI antara Hishammuddin dan Tun Abdul Rahman Yaakob di TV9 tu? Moga Allah memberkati perjuangan ini dan jadikan hal ini sebagai amalan solehku. Amiin..
------------------------
27 Zulhijjah / 25 Disember (Khamis)
Bertungkus lumus menyiapkan bahan sastera Harakah. Akhir-akhir ini, Lutfi minta saya banyak tumpukan cerpen. Adus! Sakit jiwa jugak!
"Tapi, satu muka tak cukup tuan.." demikian kataku kepada Lutfi.
"Okay, kita bukak kepada dua halaman - 16 dan 17!" balasnya kembali.
Dan, akhirnya, malam ini saya berjaya memuatkan cerpen baru. Semoga hal ini berkekalanlah hendaknya. Amiien..
26 Zulhijjah / 24 Disember (Rabu)
"Nah, ini bakinya, RM13.20!" kata Hajar, cashier yang cantik genit itu. Serai saad!
"RM10 tu enta masukkan dalam mana-mana tabung untuk badan-badan kebajikan sebagai pahala ana, yang selebihnya enta ambil sebagai minyak motor enta," kata Wanto kelmarin. Berulangkali juga dia mengingatkan. Dia rasa ralat kalau duit itu hangus begitu saja.
Jadi, hari ini, saya selesai uruskan hal duit itu dan saya minat membeli 9 buah buku puisi Usman Awang yang sangat murah harganya itu. Semua itu atas ilham Wanto juga. Tengok nanti, kalau-kalau berhasil menjualnya.
Dalam perjalanan pulang, saya sms pembeli emas dan surat pajak. Tiba-tiba timbul ilham baru untuk menjual surat pajak. Tapi, harus saya selesaikan urusan ini dengan Encik Mokhtar dahulu. Saya fikir, kalau menjadi, inilah modal pusingan awal untuk mula bergerak laju dengan emas. Ha, darah pedagang Melayu Champa yang mengalir pada setiap urat nadiku bergetar semula.
Rupa-rupanya, masih ada 6 bulan untuk kutebus emas di pajakan ar-Rahnu di Jalan Raja Laut. Semoga dilembutkan hati En Mokhtar untuk berbincang dengannya. Alamak! Kamera dia tak sempat hantar lagi sejak pulang dari Kemboja!
"Kami beli emas dan surat pajak," kata brader yang call saya tadi. Masih lagi erngiang-ngiang suaranya itu. Aku dapat rasakan, dengan emas ini aku boleh maju beberapa derap langkah lagi ke depan, insya Allah Ta'ala...
Currently have 0 comments: