Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

6 - 12 Syawal

Monday, October 06, 2008 , Posted by nota untuk Syiah at 11:55 AM

12 Syawal

2 petang tadi, sepatutnya saya mengetahui mengenai Rumah Terbuka di Kelab Sultan Sulaiman di Kg Baru itu. Abah dah bagitahu awal tentang dulu mengenainya. Tapi saya lupa. Sekitar pukul 4:30 petang, barulah saya sedar setelah terbaca mengenainya di internet, dalam mel-e.

SPKB dengan Kelab Sultan Sulaiman tidaklah jauh sangat. 5:30 petang barulah saya balik SPKB. Semangkuk Yong Tau Fu, dua gelas kecil teh tarik dan dua ketul ayam mengisi perut saya yang kosong. Save sikit duit tengahari dan petang ini. :)

Berikut adalah catatan ringkas yang sempat saya simpan dalam sms saya, dan saya tulis semula pada kertas kitar semula untuk dijadikan bahan penulisan nanti insya Allah. Ini semua hasil dari penelitian ke atas gelagat dan kelaku manusia.

Tengah makan Yong Tau Fu / Tengok orang berebut ayam goreng di booth Ramly / "5 minit lagi," kata tukang masak ... "tak pa, sikit lagi macam kita sedang tunggu Anwar jadi PM la..." ... / "If you run the country, them ... / ada ayam untuk VIP / "Apa ada ayam untuk VIP pulak?" / ustaz kata, dah ada orang bertawakal dengan Anwar/..kes Umar 'buang' Khalid al-Walid) / badai 8 Mac (rakyat), tsunami 26 Ogos (rakyat), 16 September, 23 Sept. dll (elit yang ada kepentingan), kes ini sama macam Perang Badar (menang), Perang Uhud (over confident, kalah) / Tan Sri Khalid Ibrahim, datang bersalam / Melayu derhaka telah disumpah jadi batu ...

Kalau dalam filem Da Vinci Code, seandainya saya mati, kepingan nota yang tertulis ini mahal la harganya :) Polis ambil buat catatan untuk kaji apa yang ada dalam fikiran saya sebelum maut di rumah terbuka tu he ... he ...

Tak de lah, sengajalah saya coretkan di sini sebab ada permintaan daripada adik-adik dan kawan-kawan yang nak tau macam mana saya menulis selama ini. Ini style dan gaya tersendiri. Ia tercipta hasil daripada pengalaman peribadi. Mungkin orang lain pun buat hal yang sama juga.

Malam
Saya ke rumah The Bis Boss di Ampang. Ada urusan ... terima duit raya RM200. Alhamdulillah. Ada beberapa perkara yang menarik perhatianku dalam perbualanku malam itu.

1. Jadikan Harakah sebagai akhbar berkebajikan ...
2. Melaui kempen membantu keluarga yang ditindas ISA, Harakah telah berjaya mengumpulkan kira-kira RM200,000.
3. Kepada GMI saja, Harakah telah menyalurkan kira-kira RM80,000.

Kesimpulannya, akhbar ini mestilah beroperasi dalam lingkungan menjaga kebajikan rakyat kaum terpinggir dalam usahanya menyebarkan dakwah Islam, maklumat semasa politik terkini.

------------------------------------------------------------------------------------

11 Syawal
Hari-hari mengarang. Saya jadi 'berdendam' kepada hujan. Tadi, solat Asar cuaca elok. Tiba-tiba bila sentuh keyboard saja, terus hujan. Mujur tak da kilat. Sedang menulis ini, ada dokumentari Syahadah. Alhamdulillah, terasa juga sedikit suasana Ramadhan.
Saya terpandang iklan TV bahawa ada cara untuk beli rumah di Jabatan Perumahan Negara. Dia orang cakap (pelakon iklan), JPN tu bagi peluang untuk mereka yang berpendapatan rendah nak beli rumah. Saya lihat, JPN itu terletak di Pusat Bandar Damansara.
Hmmm. Mungkin saya boleh pergi ke JPN Isnin depan, Insya Allah. Saya pun membuka laman sesawang JPN. Dan, inilah hasilnya - jeng, jeng, jeng ... :(
"Harap maaf, laman ini masih dalam pembinaan ..."

Darihal dadah
Warta Jam 6 tadi melaporkan bahawa Umi Azlin yang ditangkap di China kini terbebas daripada hukuman gantung sampai mati kepada penjara seumur hidup. Ahli keluarganya memanjatkan perasaan bersyukur. Rasanya, hukuman gantung mati mandatori ini tidak patut dan ia memang tidak mengikut syariat Islam. Hukuman bunuh ini boleh dijatuhkan ke atas para pembunuh dan 'murtad harbi' (ini istilah SPKB) saja. Selain dari itu, ada hukuman lain ke atas pengedar dadah.

Tetapi, dalam kes Umi ini, rasanya dia teraniaya dan hukuman penjara seumur hidup pun sudah zalim ke atas dirinya. "Ya Tuhan, hanya dalam blog inilah daku mampu bersuara, menyuarakan ketidakadilan...Bantulah mereka yang teraniaya dan hukumlah mereka yang menganiaya..."

Jinbara - Cinta Di Pantai Merdeka


[Iklan lagu ini tiada kaitan dengan topik dan judul perbincangan di atas dan di bawah. Saja untuk tatapan hiburan. Tapi, saja la nak tanya, masa lagu ni top, anda semua berada di mana? Masa ni saya ada kat Maktab Mahmud kot..Lagu ini dekat di hati sebab ada nama Gunung Jerai, Tanjung Dawai yang menjadi tempat kelegaan dan penawar kepada jiwa saya jika hati sedang ribut.]

Pak Lah Bapa Pembaharuan Demokrasi?
Baru saja saya terlihat poster baru-baru ini - Pak Lah adalah Bapa Pembangunan Modal Insan. Tak apalah. Lantaklah. Tapi, kot mana pun Pak Lah bukan Bapa Pembaharuan Demokrasi. Dia dilihat demokratik dalam kalangan Umno sendiri kot? ISA masih ada, Auku? Akta Mesin Cetak?

Memang Pak Lah dalam mesyuarat selalu bagi ruang kepada orang untuk bercakap. Itulah yang sering saya dengar daripada orang-orang Umno. Mereka bandingkan dengan Mahathir yang tak banyak memberikan ruang kepada orang untuk bercakap.

Tetapi, kenapa orang masih meluat dan menyampah kepada Pak Lah? Saya fikir, Pak Lah tiada idea. Sebab itu dia beri ruang kepada orang bercakap. Tapi, akhirnya dia pinjam idea Khairy. Ini yang menyebabkan orang-orang Umno sendiri meluat.

Mahathir ada idea. Dan mungkin dengan sebab itulah dia tak bagi orang lain bercakap melainkan mendengar saja ideanya. Akhirnya, baru dia buka pandangan. Dan, ada pandangan orang ditolak oleh Mahathir. Tapi, akhirnya orang berpuashati juga.

Ini kerana, orang tahu, Mahathir tidak dipengaruhi seperti Pak Lah. Kesimpulannya, demokrasi Pak Lah wujud dengan sebab beliau tiada idea bernas. Kalau beliau ada idea bernas, nescaya dia akan menjadi lebih kurang macam Mahathir dan sukar dipengaruhi oleh sesiapa pun.

Orang akan meluat kepada Mahathir, tapi orang akan tetap yakin kepada kepimpinannya. Maka Pak Lah orang suka kepadanya kerana ada sedikit ruang bercakap, tetapi akhirnya orang akan meluat kepadanya kerana dia mudah dipengaruhi menantunya kerana beliau tiada idea sendiri.

Wallahu'alam ...
------------------------------------------------------------------------------------
10 Syawal

2:30 petang - Dengan semangat dan azam membara, saya menunggun teksi di depan Masjid Jamek Kg Baru, menuju ke Hentian Bas Jalan Duta untuk mengambil semula motor Kriss yang tersadai lama di sana. Sambil menunggu, Shema of Sinar Harian call.

Lenggang Mak Minah

[IKLAN: Lagu Lenggang Mak Minah oleh Bung Slamet, seorang penyanyi Indonesia. Tapi, lagu itu telah diubahsuai untuk disesuaikan dengan 'mood hari raya. Saya tengah mencari lagu raya nyanyian Jay Jay. Lagu itu juga jarang kedengaran di tv dan radio. Kadang-kala tertanya juga, adakah Indonesia buat lagu raya macam kita?]

"Abang Ali terima jawatan tu?"

"Kita pakai nasihat 'orang lama', jadi abang Ali tak ambik la."

"Apa alasan yang abang Ali bagi?"

"Kita cakap kita dapat offer lain la ..."

"Mesti diaorang bengang tu."

"Tak de lah. Biasa jer. Nak buat macam mana. Nanti terikat sampai dua tahun, tak boleh nak keluar, lagi la susah."

"Ye tak ye juga. Oke la, saya nak buat story. Bye..."

Teksi tiba. Pemandu teksi itu nampaknya orang kuat agama. Hatiku sedikit tenang. Dia pendiam dan tak banyak cakap. Sama sifatnya denganku, tak banyak bercakap, tapi suka kutuk orang via penulisan. Ha ha ha ... Saya rasa, dalam kes ini, dia tidak sama denganku. Namanya Abdul Kadir.

Saya tahu namanya ketika melihat kartu, lesen yang terlekat di dashboard teksinya. Orangnya berketayap dan ketika memandu, dia memasang lagu-lagu nasyid zaman dahulu yang ada kesan pengaruh langsung dari Indonesia. Alah, nasyid-nasyid Melayu zaman dulu sebelum Raihan dan nasyid-nasyid daripada kumpulan al-Arqam yang berpecah dulu tu lah.

[Saya berhenti mengarang sekejap, hujan petang ni, takut kilat sambar...]

Teksi tiba di Hentian Jalan Duta sekitar jam 3:30 petang. Tambangnya RM5.20. Saya kemudian makan-makan di sana, Nasi Ayam, nescafe dan ais kosong-RM5.70. Sedang makan itu tetiba ada panggilan daripada pakcik Razali Endun

"Tahniah, cerpen awak masuk Dewan Sastera," kata beliau. Dari cakap-cakapnya aku faham beberapa hal. Pertama, bukan senang karya kita nak masuk DS tu. Kadang-kadang kena tunggu sampai setahun. Itu perkara biasa, majalah tu bulanan dan ramai orang hantar bahan mereka.

"Tak minat masuk PAKSI?" katanya menjerat diriku.

"Memang minat nak masuk, tapi ada kena isi borang ker?" demikian kataku penuh minat. "Di mana pejabatnya kalau nak isi borang?"

"Tak de pejabat. Kita pun bergerak dalam keadaan serba kekurangan," katanya lalu diajaknya aku menghadiri meeting PAKSI malam ni di opisnya. Alamak, tak jadi pi la, sebab malam ni ada filem Ayat-Ayat Bercinta. Aku sedar sesuatu. Antara perjuangan, akhirnya aku pilih hiburan.

Sebenarnya, ada satu hal lain lagi. Watak Fahri Abdullah tu 80% adalah watak aku sendiri. Jadi, sebab itulah saya rasa rapat dengan karya itu. Fahri dilambangkan sebagai pelajar yang bekerja dengan menterjemah kitab-kitab. Aku pun minat terjemah dan sekarang sedang terjemah novel.

Fahri mudah tersentuh batinnya ketika melihat penindasan ke atas kaum wanita. Malam ini, ada kisah bekas pramugari yang kakinya membengkak hingga ke paras pinggang, hatiku rasa sedih walaupun dia bukan saudaraku. Aidilfitri berlalu, tapi ingatanku masih hinggap pada rumah yang daif di Kampung Paya Kelubi di mana seorang ibu tua tinggal dalam serba kedaifan.

Wanita bekas pramugari itu, menurut laporan TV9, dia memerlukan rawatan pembedahan yang berjumlah kira-kira RM700, 000 (ke RM70, 000? Kalau tak salah). Apa pun kos itu memanglah angka yang besar dan suatu perbelanjaan yang tinggi. Semoga Allah memudahkan urusannya.

Saya nak menolong, duit pun ada la sikit-sikit. Tapi, macam mana nak hubungi? Tadi tak sempat nak catat nombornya? Syukur, kemanusiaan masih lagi bertakhta di hati orang-orang media.

"Tetapi Tuhan, bilakah penderitaan dunia akan berakhir? Penindasan ada di mana-mana. Kos rawatan melambung tinggi dalam dunia kapitalis ini!"

Kekalkan hati hamba sebagai orang yang sentiasa menaruh perasaan belas kasihan kepada yang bernama wanita yang tertindas. Jadikan hati hamba berani melawan penindasan.

Hamka kedua?
Kata orang, Kang Abik, Habiburrahman el-Shirazy adalah Hamka kedua. Hamka ini, sewaktu dia mengarang Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Di Bawah Lindungan Kaabah, ramai yang menyatakan bahawa, apabila membaca novel Hamka, dia membaca garis kehidupannya sendiri.

"Sepertinya, Buya sedang menulis hal kehidupanku pada masa lalu," kata seorang pembacanya yang setia. Dan begitulah yang ingin kunyatakan, jika dapat aku bertemu dengannya...Inso Alloh.

Petang
Selesai capai motor di Hentian Jalan Duta selepas makan, langsung pulang ke SPKB. Tiba-tiba teringat nak bank-in RM300 di Al Rajhi, untuk berdagang semula di FXCM. Duit saya keluarkan di Bank Islam Kg Baru dan kemudia, terus ke Ampang untuk bank-in.

Malam
Aku sms kawan-kawan, mengingatkan mereka tentang filem kesukaanku. Saya melayan filem tu tanpa sedikit pun menyentuh komputer untuk mengarang. Kalau di rumah Pendang, siap boleh mengarang lagi, sambil-sambil mata menonton tv. Tapi, malam ni malam untuk menghayati ...

Ada yang membalas dan ada yang senyap, menyepikan diri. Adik lelakiku sms: Ayat-Ayat Cinta la, bukan Ayat-Ayat Bercinta! Saja la buat silap, semoga dia orang reply balik. Ok juga strategy ni. Seorang rakan wartawanku dari Bernama Johor, siap sms apabila dah habis menontonnya.

"Tamat cerita ..." demikian balasnya ringkas. Apabila menonton, ada banyak yang boleh dilihat. Hal buruk pun ada, adegan bercium antara Maria dan Fahri. Tapi, kalau nak sentuh keburukan, memang tak ada perkembanganlah. Semua kekurangan ini boleh diubah dari semasa ke semasa.

Antara banyak-banyak hal, hati saya tergerak untuk berbicara bahawa - poligami ni sebenarnya suatu nikmat dan anugerah kepada kaum wanita. Kalau berlaku perang tiga segi, wanita berebut lelaki, maka masih ada jalan keluar untuk mereka berkongsi kasih.

Tapi, bagi lelaki yang berebut seorang wanita, salah seorang daripada mereka kena melepaskan wanita yang mereka kasihi itu kepada lelaki lain. Seorang rakanku yang pernah menderita hal ini pernah berkata secara gurauan: "Kenapakah Tuhan tidak izinkan poligami kepada lelaki?"

"Terkadang, aku rasa, nak berpoligami pun aku sanggup. Tetapi, agama tetap tidak izinkan kaum Adam dimadukan," kata rakanku lagi. Kesimpulan awal dan rumusan mudah setakat ini, poligami adalah fitnah dan ujian ke atas keadilan kaum Adam dan pelengkap kepada cinta wanita apabila bertembung masalah cinta tiga segi.

Kalau bermonolog sorang diri dalam blog ni, memanglah 'debat' ini menang kat saya sorang, 1-0. Teringat nak panjangkan monolog, 'debat' ini dalam mailing-list yang popular macam SIM dan di sanalah baru boleh saya buat 'onar' dengan para pembaca SIM tersebut. Ha ha ...

Lalu, aku layangkan kembali sms kepada rakan wartawanku itu: "Saya ingat nak kembangkan hal ini dalam mailing-list. Macam mana?" Dia jawab kembali: "Ok, buatlah ..."

------------------------------------------------------------------------------------

9 Syawal
Petang ini keluar ke Jalan Raja Alang, semak peti surat di rumah sewaku. Syukur kerana tersiar satu lagi bahan tulisan di Dewan Budaya Oktober ini. Tajuk bahan itu - Raja Suran: Pencetus Idea Kapal Selam Pertama di Dunia.
Jadi, dalam bulan ini ada tiga bahan- Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Di masa depan, saya mungkin akan gunakan bahan ini untuk menyerang Najib. Najib biadap betul. Sampai hati dia letakkan nama bapanya untuk menamakan Scorpene baru-baru ini. SPKB akan mencadangkan supaya nama kapal selam Scorpene itu ditukar kepada Raja Suran, insya Allah.
Oleh kerana, hari ini 'deadline' Fikrah Harakah, maka saya tidak dapat menulis panjang. Malam nanti mungkin boleh update semula. Hai... motor saya masih tersadai di Hentian Jalan Duta. Bila saya nak pi ambik tak tau?

10:27 malam
Oke, baru aman sikit rasa nak mengarang selepas hantar bahan di akhbar. Hari ini saya terima satu pesanan ringkas dari seorang pensyarah: "Saya sedang kaji pengaruh logik Hindu -Buddha kepada Melayu. Cuba dapatkan tesis Ph.D Lim Kim Hui tentang logik peribahasa di internet."

Lalu saya mencarinya di internet malam ini. Saya terjumpa di sebuah laman dan tajuknya ditulis seperti berikut:-

1.75. Lim, Kim Hui. "Logika, Rasionalisasi, Falasi dan Prejudis: Satu Kajian Rintis Terhadap Peribahasa Melayu Terpilih [Logic, Rationalization, Fallacy and Prejudice: A Preliminary Study of Selected Malay Proverbs]." Jurnal Dewan Bahasa, 42, no. 12 (1998), 1106 - 1121.
Sesiapa yang pernah menjumpai bahan ini, harap dapat beritahu saya nanti. Tq.

Saya semak semula surat-surat yang saya terima petang tadi. Saya jumpa lagi cek daripada DBP RM76.69. Ingat, dalam tempoh sebulan baru dapat. Kali ini cepat mereka hantar. Juga, ada Newsweek yang saya langgan. Rasanya telah tamat tempoh, tapi langganan Newsweek ini masih saya terima. Tajuk muka depan - The Future of Capitalism - The End of the Age of Reagan and Thatcher, and What Will Follow?

Aduh! Banyak betul kena baca. Tapi, inilah antara tugas wartawan dan penulis. Pak Said Zahari berkata kepadaku ketika menemuramahnya: "Baca, baca dan baca!"

Malam ini, sambil mengarang, mataku tertumpu kepada filem Qabil Qushi Qabil Igam. Rupanya cerita sedih. Ingatkan cerita komedi dulu. Ada satu bahagian yang saya tak puas hati. Keganasan rumahtangga disahkan dengan syariat agama. Kononnya, suami boleh buat suka hati kerana ada tanggungjawab suami ke atas isterinya.

Kalau berlaku keganasan rumahtangga, sehingga si isteri dipukul lebam, bolehkah keluarga isteri bertindak membawa balik anak mereka ke rumah? Saya tidak tahu apa jawapan agensi agama. Rasanya mereka tidak membenarkan isteri itu dibawa balik ke rumah keluarganya.

Tapi menurut 'fatwa' saya dan SPKB-HARUS bagi keluarga pihak isteri melarikan anak mereka itu daripada kekejaman suami/lelaki itu. Pernah saya interview Anwar Ibrahim dulu. Dia kata, bahawa ketika dia berada di dalam kerajaan, dia pernah minta hal ini dikaji betul-betul.

"Apabila isteri buat report, Qadhi akan cakap, tak apalah, balik la dulu. Ini hal kecil saja. Nanti lama-lama baik la tu. Gaduh sat saja kot," katanya. [Dialog ini saya sunting untuk mudahkan kefahamanan. Jadi, Anwar termasuk dalam kelompok yang pandang serius hal ini.]

"Walhal apabila dia pulang semula ke pangkuan suaminya, nescaya dia kena pukul lagi kerana dia telah bocorkan masalah dirinya yang kena pukul oleh suami."

Bagaimana kita nak melaksanakan hukuman ke atas kaum lelaki/suami yang memukul isterinya ini? Tuan-tuan dan puan-puan ada cadangan? Apa-apa pun, jangan lupa tengok filem Ayat-Ayat Cinta, jam 9:00 malam esok di TV3 :)

Tergendala lagi urusan mengambil motor di Jalan Duta - Masuk hari ke-2.

------------------------------------------------------------------------------------

8 Syawal

Bas Mara Liner tiba di Hentian Bukit Gantang sekitar jam 2:00 pagi. Terlihat poster Pak Lah yang menyebutkan dirinya sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan. Saya tidak nampak poster Tun Dr Mahathir. Mungkin saya tidak perhatikan elok-elok.

Tiba di Pudu Raya sekitar 5:00 pagi. Ingat mahu capai teksi ke Jalan Duta untuk ambil motor yang tersadai lama di sana seminggu lebih. Tapi, semua tak pakai meter. Rasa risau pula.

Sebelum itu, saya solat Subuh dahulu di surau Puduraya. Itulah kali pertama saya solat di situ. Imamnya keturunan Jawa. Mungkin Indonesia. Agak pekat telor Jawa beliau. Selepas solat, saya jalan untuk meninjau teksi-teksi yang boleh dinaiki untuk ke Jalan Duta.

"RM15 bang, jalan jam kat sana pagi-pagi ni," kata pemandu pertama. Dia agak dewasa sikit.

"RM25 bang, ini semua tak pakai meter teksi ni," kata pemandu kedua. Dia paling muda.

"RM10," kata pemandu ketiga. Usianya lebih tua. Rasa macam nak gunakan khidmat teksi yang murah ini juga. Ini lebih murah. Tapi, oleh kerana rasa was-was, saya abaikan saja. Terus pulang dengan menaiki Putra LRT di Masjid Jamek dan akhirnya saya turun ke Kampuing Baru.

Ada tiga pemandu teksi. Yang muda mungkin bercita-cita tinggi, lalu dia kenakan bayaran tinggi. Yang agak dewasa, kenakan RM15 dan yang tua cuma RM10.

Sampai LRT, saya beli juadah kuih, nasi lemak dan koteow bungkus. Jumlahnmya RM5.80. Saya fikir ia boleh dibawa sampai ke petang. Semalam, rehat tidak cukup jadi saya rehat sepenuhnya!

Tergendala urusan mengambil motor - Ini hari pertama.

Tergendala urusan menonton movie di KLCC.

------------------------------------------------------------------------------------

7 Syawal

"Hari ini atau esok umum samada mahu bertanding atau lepaskan jawatan Presiden Umno," demikian antara paparan tajuk berita utama hari ini. Sama ada wartawan aliran perdana, lebih-lebih lagi Najib, Muhyidin dan aktivis Umno tentu mahu tahu hal ini.
Mereka tidak sabar-sabar mahu Abdullah berundur. Tapi, saya lihat, kalau mahu amalan demokrasi itu berkembang, wujud dan subur dalam Umno, Abdullah mestilah bertahan dan ramai orang akan diberikan peluang untuk mencabar Abdullah.

Kalau boleh, biarlah Najib dan Abdullah bertanding sebagai Presiden. Rakyat akan dapat melihat siapakah yang lebih layak, siapa yang benar-benar akan menggunakan duit untuk bertanding? Selama ini, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Jadi, apabila tiada pertandingan, maka Abdullah dan Najib sudah tentu tiada keperluan untuk menyogok para perwakilan. Semoga Abdullah pertahankan jawatan dan Najib pula akan bertindak mencabar kedudukan Abdullah itu.

Ahmad Zahid Hamidi, Mohd Ali Rustam dan lainnya akan bertanding pula demi merebut kerusi TPM. Siapa pula antara mereka yang akan menyogok perwakilan untuk mendapat kuasa itu? Amalan politik wang dalam Umno tak dapat dihentikan melainkan keberanian yang luar biasa dan usaha menegakkan amalan demokrasi dalam Umno.
###
Petang ini, saya menonton Pontianak Harum Sundal Malam II. Ada tarian kuda kepang yang ditayangkan dalam filem tersebut. Saya teringat Misteri Nusantara yang siarkan tarian yang sama dahulu. Di akhir dokumentari tersebut, disebutkan Kelab Kuda Kepang, Umno Johor?? (Tak ingat cawangan mana.)

Jelas kelihatan rasukan demi rasukan ketika permainan kuda kepang sedang berlangsung dan Umno tidak buat apa satukah untuk menentang amalan khurafat ini dalam negeri yang mereka perintah? Mufti Johor apa pandangannya? Di mana agamawan Umno?

Kisah Facebook
Ketika sedang Facebook semalam, terjumpa Facebook AIC (Anwar Ibrahim Club). Dan, saya baru terperasan satu perkara. AIC letak nama saya 'as a celebrity'?

Tersenarai dalam 'jawatankuasa' itu, dan saya sendiri pun tidak tahu apakah kriteria dipilih begitu. Er, nanti sat ... selebriti tu bukan macam artis ke?

Lagi pun, apa fungsi saya di situ? Mereka ada majalah, akhbar ke yang membolehkan saya mengarang di situ? Jika saya boleh sumbangkan sesuatu, harap AIC dapat maklumkan kepada saya kemudian.

(Rasanya tak layak nama saya diganding bersama nama-nama VIP. Kita orang biasa)

Okay, saya nak bukak puasa sekejap. Malam ini saya akan terus berangkat ke KL. Insya Allah. Doakan keselamatan dalam perjalanan pulang saya nanti, kengkawan sekalian.

7:09 petang, 7 Syawal

Sekolah Pemikiran Pendang
###
Kunci hilang ditemui semula
Tadi, sebelum buka puasa memang gelabah. Kunci rumah sewa (SPKB) hilang. Akhirnya, terjumpa juga. Saya tarik nafas lega. Ketika mencari kunci hilang itulah terdengar suara yang berkata - Manusia sudah menemui rumah batinnya, tetapi untuk masuk ke dalam rumah itu, kuncinya telah hilang. Jadi, manusia tetap tinggal di luar rumah batinnya.

Aku bertanya, kunci yang membebaskan manusia daripada kesesatan itu di mana? Suara berkata, "Ia terletak di dalam surah al-Fatihah (Pembuka)." Ia menyambung: "Di dalam nazarmu, kau berjanji mengarang tafsir al-Fatihah. Kotakan janjimu!"

Aku tersedar tentang janjiku yang belum tertunai kepada Tuhan. Tak lama selepas itulah, aku baru terjumpa kunci rumahku itu. Insya Allah nazar ini akan cuba kutunaikan sebaik mungkin. "Ya Allah, bantulah aku dalam membela agamaMu."

------------------------------------------------------------------------------------

6 Syawal

Hari ini saya terima panggilan dari Karangkraf. Saya tarik nafas panjang-panjang. Dan, buat keputusan nekad untuk menolak tawaran itu. Teringatkan tawaran Saiful semalam, hati saya lebih cenderung kepada perterjemahan, kerja-kerja menyelidik asal-usul Melayu di Sekolah Pemikiran Bangi dan penulisan kreatif.

"Jika begitu, saya tanda dalam senarai, yang encik tolak tawaran kami?" kata Aisyah.

"Ya, boleh, tak dak masalah," demikian nekad jawapanku. Bualan telefon itu tidak ambil masa yang lama. Aku cuba mengelakkan keterikatan yang mengundang padah dan parah, kerugian dalam jangka masa panjang. Semoga ijtihadku tidak tersilap kali ini. Ameen ...

"Ya Tuhan, Engkau telah menggerakkan hati mereka untuk membantu urusanku. Demi kemuliaanMu, limpahkanlah keberkatan di dalam hidupku dan terhadap mereka yang telah memudahkan urusan hidupku. Mudahkanlah pula urusan hidup mereka.

Berikut adalah antara hasil tulisan terbaru.

1. Antara rasuah seks, penganiayaan dan keadilan

2. Kembangkan dakwah sehingga di luar masjid

3. Wanita tua terdampar sepi di aidil fitri

Ish! Banyak betul saya kritik pemimpin Pas la ni. Tak tahulah nak buat macam mana lagi. Jangan sampai mereka mengikut jejak-jejak yang ditinggalkan oleh Umno sudahlah ...

Rossa - Ayat-ayat Cinta



Malam ini dan dinihari kini, sudah dua klip video AYAT-AYAT CINTA yang telah ditayang di TV3. Tidak sabar aku menontonnya tanggal 10 Syawal ini. Bila kulihat komputer Fahri yang sering rosak dan kerap terkena serangan virus, kulihat Habiburrahman melukiskan bahagian daripada hidupku sendiri.

Komputer asyik rosak dan saya sulit bekerja, menulis seperti biasa. Yang tidak sama cuma daku masih lajang (bujang) tidak dicintai oleh empat wanita sebagai Fahri itu. Walaupun bebola mataku keranjang dan punya watak pencinta wanita, namun kupohon padaMu ya Tuhan agar aku terlepas bebas daripada godaan wanita.

Sabda Rasulullah s.a.w: "Tidak kutinggalkan fitnah yang lebih besar ke atas umatku melainkan godaan wanita."

(Err...soalan Cepu Emas - Antara Maria Girgis dan Aisyah, kalian pilih yang mana? Entah kenapa, hati Fahri yang mula berkembang dalam jiwaku lebih memilih Maria.)

Jangan marahkan watak Fahri yang mula bertunas dalam diriku. (Ceh perasannya!) Hati lelaki memang begitu, hatinya satu dibelah empat, demikianlah pepatah Fansuri. :)

Malam ini berlatih main demo berdagang wang asing bersama adik lelakiku, banyak juga teknik-teknik yang kupelajari. Hari ini, hari kelima berpuasa. Esok hari terakhir puasaku dan esok juga saya berangkat pulang menyambung nadi perjuangan di KL.

Saya bermain-main dengan Sarah, anak saudara saya dengan puas hati. Usianya kini 5, 6 bulan dan dia begitu selesa dengan saya kini. Dah pandai ketawa mengekek dengan kuat. Esok, hari terakhir mendukungnya, (tetapi, bukan untuk kali yang terakhir) membisikkan ke telinganya, lafaz kalimah suci al-Qur'an yang kuamalkan sebagai wiridku selama ini.

Insya Allah ...

ROBOH MASJID BUJAL

Currently have 0 comments: