Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

1 - 5 Syawal

Friday, October 03, 2008 , Posted by nota untuk Syiah at 2:16 AM

5 Syawal - Wajarkah rumah terbuka terlalu awal?

Hari ini saya terdengar cakap-cakap ada rumah terbuka Pas di Pendang. Ada yang pergi dan ada juga yang menolak rumah terbuka ini. Sebenarnya, mereka bukan menolak cara orang-orang sekarang membuat rumah terbuka. Tau tak kenapa ada orang menentang?

Pak Mustape berkata: "Aku nak puasa 6 pun susah."

"Lain kali, depa kena buat rumah terbuka pada hari ke-8," kata Pak Munaweh, pelakon dalam filem Zombie Kg Pisang baru-baru ini di RTM menjelang hari raya.

Mereka ini semuanya berpuasa pada 2 Syawal dan dijangka menamatkan puasa 6 pada 7 Syawal. Jadi, pada 8 Syawal ini.

Saya mendengar juga, bahawa ada orang-orang pondok yang tidak suka amalan rumah terbuka pada masa yang tak tepat. Selalunya amalan mereka memang begitu. Puasa terus pada 2 Syawal tanpa bertangguh lagi, berterusan sampai habis. Kalau tak dibuat macam tu, memang tergendala puasa dan susah nak mulakan puasa lagi.

Apa pun, kalau nak bawa isu ini ke peringkat pusat tak boleh juga. Sebab, mungkin juga ada sebab lain, kenapa orang buat rumah terbuka awal. Mungkin antara alasannya ialah untuk memudahkan orang-ramai datang ke rumah pada ketika orang sedang bercuti.

Nanti, apabila habis cuti raya, tak dapatlah mereka nak menghadiri rumah terbuka itu. Wallahu'alam ...

Rumah terbuka ini rasa-rasanya, sangat baik dibuat pada 1 Syawal sahaja. Mudah, ramai orang cuti masa itu. Pandai-pandailah kita mengatur masa agar ramai orang boleh hadir dan orang yang berpuasa enam pun dapat habuannya sama.

Malam
Haidi telefon, beraya dengan handphone saja. Dari cakap-cakapnya, aku tahu gambarku turut disiarkan dalam Dewan Masyarakat. Dia turut menyatakan tekanan, bebanan dan kerjanya yang menghalangnya daripada terus menulis seperti dahulu.

Hal ini ada kebenarannya. Sejauh pengalamanku, hanya ada tiga perkara saja yang akan membantutkan penulisan. Pertama, sibuk sangat, bebanan kerja bertindan. Kedua, sakit. Sakit sehingga akal tidak mampu berfikir jernih menyusun idea. Dan ketiganya - mati.

Selain daripada tiga perkara ini, kuharamkan diriku daripada tidak menulis. Bukan Auku dan yang boleh menghalangku daripada update blog, menulis di akhbar dan sebagainya!

Malam ini juga Saiful call. Katanya, dia dah naik pangkat. Ada kekosongan di opis tempat dia bekerja. Dia merisik dengan soalan-soalan, kalau-kalau aku minat kerja di situ.

"Samada nak jadi pembaca pruf atau editor, boleh bincang samada nak part-time atau fulltime," kata Saiful. Aku menarik nafas lega. Baru terfikir kalau aku rasa mahu menolak tawaran Karangkraf, apa yang mahu kuberitahu kepada keluarga?

Lalu, ada jalan keluar daripada Tuhan ketika hari melaporkan diri ke Shah Alam semakin hampir. Alhamdulillah, syukur. Teringat firman Tuhan: "Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya diberikanNya jalan keluar ..."

Dalam bualan tadi, dia memberitahu bahawa dia terbaca hasil terjemahan Rice Without Rain di Harakah. Perkara itu pernah aku majukan kepadanya dahulu, kalau-kalau ITNM berminat menerbitkan terjemahan novel tersebut. Dia sekadar mengangguk ketika itu.

"Tak apalah, kalau abang Ali setuju, beri resume, CV ke e-mel rasmi saya."

"Baik, nanti abang Ali bagi, Insya Allah"


Dokumentari roboh rumah di Terengganu



[Klip Video ini tiada kaitan dengan posting hari ini. Melainkan dengan tujuan iklan dan pendidikan semata-mata. --- Karya Fansuri & SPKB]
-------------------------------------------------------------------------------------

4 Syawal - Kisah hidup ibu bapaku

Petang ini seorang pegawai dari kementerian call, bercerita mengenai pindaan Auku yang menurutnya ada sedikit kelonggaran. Dia terlibat dalam taklimat dalam pindaan Auku.

"Bezanya, kalau ada siswa yang dituduh melalui Auku, maka mereka tak akan dibuang universiti. Mengikut kelaziman yang lalu, mereka akan terus dibuang.

"Sebaliknya, mereka ini akan terus dapat belajar dan perlu menunggu keputusan dari mahkamah universiti. Ini antara perbezaannya,"
demikian kata pegawai tersebut.

Saya masih teringat Rafzan Ramli, Helman dan rakan-rakan ISA7 yang terus dihukum buang universiti. Kasihan betul. Sampai sekarang ini mereka masih menunggu keputusan sama ada mereka boleh atau tidak untuk meneruskan pengajian mereka.

Saya ada dua mazhab mengenai Auku. Tahap pertama, saya berfatwa, Auku tak perlulah dimansuhkan, hanya pinda. Ketika ini, saya jadi 'budak baik' dalam PKPIM. Tahap kedua saya berfatwa, mansuhkan Auku. Ini berlaku setelah saya diheret di dalam Jawatankuasa Siasatan HEP dua kali. Kali ini saya benar-benar mengenali 'the true colours of HEP'.

Mungkin hal ini pun akan cuba saya tulis juga insya Allah. Kalau Imam as-Shafie ada dua fatwa (qaul qadim dan qaul jadid), maka dalam hal Auku ini pun, saya ada dua qaul juga.

Dan pegawai tadi, di dalam kesempatan mengucapkan selamat hari raya kepada saya, dia turut bertanyakan latarbelakang pengajian saya.

"Sekarang dah habis study? Atau masih belajar?"

"Dah habis, tapi berminat nak sambung Master, cuma rezeki tak ada lagi."

"Di KL tinggal kat mana?

"Saya tinggal di Kampung Baru."

"Oh, Sekolah Pemikiran Kg Baru!"

Aku ketawa. Setiap kali ada orang menyebutkan sebegitu, aku percaya mereka membaca beberapa coretanku di Harakah Daily atau mungkin di Detik Daily.


Jejak Rasul - Footsteps of the Prophets - S12 EP4



[Klip Video ini tiada kaitan dengan posting hari ini. Melainkan dengan tujuan iklan dan pendidikan semata-mata. --- Karya Fansuri & SPKB]


Kisah kedua


Kedua ibu bapa saya membuka album lama tadi petang sekitar jam tiga. Pertanyaan yang selalu sangat ingin kutanyakan telah terjawab sedikit. Ayahku merantau dari Alor Setar ke Johor Bahru pada 1971 kerana ditawarkan bekerja sebagai pegawai Imigresen.

Setiap dua minggu sekali, dia ditugaskan menjaga pos depoh Imigresen di Tanjong Pagar, Singapura. Ketika itu dia menginap, menyewa di sebuah sekolah Public English???? yang telah kena banned. Dia sendiri tidak ingat kenapa sekolah itu kena banned.

Selama seminggu dia menyewa di sekolah itu bersama rakan sekampungnya, Rasyid dari Langgar, Kedah. Rasyid khabarnya telah pencen dan ada di Hutan Kampong, Langgar. Di Johor Bahru itulah pertama kali dia tinggal berjauhan daripada keluarganya.

"Turun dari keretapi di JB, sekolah tu dekat dengan Padang Lumba Kuda," kata abah.

Jadi, yang aku lihat kuarters Imigresen dekat RTM Johor yang berhampiran Jalan Abdul Rahman Andak bulan Mei lalu adalah kuarters yang baru rupanya.

Abahku berkata, pada 1971 dia mula bekerja. Dan, pada 1974 dia mula balik ke utara. Dia mula bernikah bersama ibuku pada tahun itu juga. Pada 1977, maka lahirlah daku. Maka di Kangar, Perlis itulah aku dilahirkan. Di Perlis, dia mula belajar dengan Abim Perlis.

Di sinilah 'turning point' tumbuhnya faham gerakan Islam dan kepentingan dakwah itu bagi orang-orang muda semacam ayahku yang pada asalnya hanya melihat agama hanya sekadar menunaikan lima rukun dan menyempurkan solat sahaja.

Syahadan, kuarters perumahan Imigresen yang baru itu mula dibuka pada 1974 apabila abahku sudah berpindah ke utara. Aku sempat melihatnya ketika aku dibawa oleh Tuhan melalui seorang kawan yang ingin menghadiri Kongres Perpaduan Melayu tajaan Gapena dan 'Umno' pada awal Mei lalu.

"Berangkat dari Alor Setar ke Bukit Mertajam $2.00 saja. Kami berhenti sekejap di situ. Kemudian, dari Bukit Mertajam ke Kuala Lumpur $13.10. Kalau terus dari Alor Setar ke Kuala Lumpur $17.10," kata abah.

Ibuku menyampuk, "Mak masa tu pernah sampai Bukit Mertajam. Lepas turun tu kena bagi kat guard tu $0.20 setiap seorang."

Lah?! Rasuah dah wujud zaman tu? "La, bukan baru-baru ni saja. Masa tu pun dah ada dah!" kata abah. Tapi, ibuku dan rakan-rakannya terpaksa memberinya.

"Tapi ada yang pandai buat trick. Diberinya guard tu $10.00. Guard tu tolak sebab tak ada duit nak bagi balance $9.80," kata emak. "Jadi, selamatlah kawan mak tu."

Jadi, perjalanan abah buat pertama kalinya ke JB ialah $15.10 saja. Dia berjimat sungguh masa itu. Dan aku pun bertanya tentang caranya membawa tilam di bandar Johor Bahru.

"Kami dua (dengan Rasyid) angkut tilam tu melalui jalan-jalan yang tak ramai orang. Jangan lalu di tempat orang-ramai lalu-lalang."

Baru aku faham. Aku cuba bayangkan ayah angkut tilam di bandar dan orang-ramai dok memerhatikan kelakuannya. Tak terasa malukah dia?

"Abah awat tak naik teksi?"

"Naik teksi kena $2.00. Kami kena berjimat. Nasi Yong Padang tu kalau sekupang boleh makan untuk dua orang."

Aku cuba membandingkan diriku dengan cara-cara kehidupan orang-orang pada zaman itu. Betapa banyaknya pengalaman hidup yang mereka timba dari sumur kehidupan ini. Dan jika aku mahu menulis semuanya, rasanya kalau penuh blog ini pun kalian mungkin membacanya dengan jemu pula. Biarlah kutamatkan sementara di sini sahaja. Titik.

6:49 petang, 4 Syawal
Sekolah Pemikiran Pendang
-------------------------------------------------------------------------------------
3 Syawal - Disiplin menulis perlu kuat!

Hari ini saya mencapai kesedaran bahawa betapa perlunya mengatur jadual mengarang. Sebuah buku yang aku beli semasa berkuliah di USM dahulu, Persediaan Menulis Novel, karya Othman Puteh adalah antara yang menarik perhatianku.

Dr Othman menulis sekitar jam 9 - 11 malam. Dalam sehari dua ini juga aku dah subcribe semacam satu mailing list yang dikelolakan Fauzul Naim Ishak, seorang penggiat buku melalui Akademi Penulis. Dalam tulisannya, dia turut menyatakan hal yang sama.

Kena ada disiplin menulis. Kalau sehari sudah boleh mengarang 3 - 4 halaman dan selalu konsisten dengan amalan tersebut, sudah siap buku tersebut dalam 15 hari!

Apalah masalahku sekarang sampai tak mengarang lagi? Aduh! Pagi tadi, ketika bersahur dengan abah, aku nyatakan tekad dan keazamanku yang membara. Azam ini makin kuat apabila dalam bulan ini ada dua bahan saya tersiar. Satu di Dewan Masyarakat, dan satu lagi cerpen di Dewan Sastera.

"Jadi, kalau boleh tulis 10 cerpen, mungkin dah boleh buat 1 antologi," jelasku padanya.

"Ada simpan ke cerpen dan bahan-bahan tu?"

"Simpan..."

"La ni dok ada berapa?"

"Baru dua cerpen, sajak puisi tu memang ada banyak juga."

"Tak pa, nanti abah beli tengok majalah tu."

Mengarang di rumah sangat membosankan. Gangguan tv merata ceruk. Di dapur, segala macam ruang ada tv. Semoga jangan masuk Astro sudahlah. Lagi kacau nanti hidup aku. Adik bongsuku pula suka sangat menggunakan komputer di ruangan khas ini untuk main chat dan melayan Friensternya. Ini pun satu gangguan mengarang juga di rumah.

Aku menyimpan azam. Selepas solat Jumaat, rasanya nak teruskan mengarang lagi. Tapi bila balik ke rumah, tengok-tengok ada filem Man Laksa, best jugak. Gangguan lagi. Tapi, cerita Mamat Khalid ni best. Zombie Kg Pisang dan lain-lain. Adik Dato' Lat la katakan.

Baik abangnya, baik adiknya, sama saja. Kedua-duanya pengkritik sosial melalui filem. Di dalam filem itu, aku terkesan suatu dialog mengenai Temasha Kg Talang itu yang dibuat dengan 'loan' yang diperolehi daripada Bank Rakyat.

"Kami tak tahu asalnya 'loan' ini khas untuk beli padi. Jadi, kami pinjam untuk buat temasya," kurang lebih begitulah dialognya. Semua ini mengingatkan aku kepada bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Haron Idris pada 1970-an dulu.

Beliau mengguna duit Bank Rakyat untuk menaja pertandingan tinju antara Muhammad Ali dan Joe Bugner pada tahun 1975. Hasilnya MB Selangor itu dipenjarakan 8 tahun atas tuduhan rasuah. Kisah selanjutnya akan saya tulis dalam Harakah Daily, itu pun kalaulah laman web portal itu menyiarkannya.

Namun tulisan berhubung kes itu tergendala kerana saya menulisnya ketika Ramadan itu hampir tiba ke penghujungnya. Lalu, tulisan itu jadi tergendala. Sebenarnya, banyak juga tulisan-tulisan yang tergendala atau terbengkalai ini. Demikianlah, kita perlu disiplin.

Wah! Disiplin, disiplin dan disiplin --- Bilakah saya mahu berdisiplin? (jerkah kepada diri sendiri dengan kuat!)

-------------------------------------------------------------------------------------

2 Syawal - Gajah, penjajahan Siam dan penindasan wilayah Selatan Thai

Saya bangun sekitar jam 5:15 pagi, menjamah nasi tomato dan ayam masak merah yang ibu masak di rumah sejak semalam. Nasi masih hangat kerana tersimpan kejap di dalam bekas yang kedap udara.

Pagi itu, sekitar 9:30 pagi kami semua sudah bersiap-siap mahu pulang ke Pendang sebab ayahku menerim undangan rumah terbuka Pengurus Pasaraya Pendang. Jadi dia rancang untuk tidak berpuasa. Sebenarnya, pengurus Pasaraya Pendang itu ajak kami semua!

"Laa pasal tak ajak semua sekali? Saya ajak Haji, maknanya ajak sekeluargalah," abah bercerita selepas pulang dari rumah terbuka. Dia pun silap faham, tak apa, tak da rezeki.

Kami tiba di rumah, elok-elok jam 11 pagi ketika rumah terbuka itu sedang bermula. Tapi abah melajakkan perjalanan kami ke Kg Kubang Anak Gajah, berdekatan Bt Menunggul.

Sebenarnya, sejak dalam perjalanan semalam ke Sik, abah bercerita mengenai asal-usul nama tempat Gajah Mati dan hubungannya dengan penjajahan Siam ke atas Kedah.

"Tempat ni gajah dikebumikan. Jadi, sebab itu depa namakan tempat ni Gajah Mati. Dan anak-anak gajah dilatih di Kg Kubang Anak Gajah.

"Telaga tempat di mana gajah-gajah dimandikan ada dekat Polis Pendang dan simpang dekat Pasaraya Pendang tu," kata abah lagi.

"Habis, gajah-gajah ini semua dilatih untuk keperluan apa?" aku pantas bertanya.

"Sultan Kedah nak hantar ufti kepada Siam, guna gajah-gajah yang dilatih itulah."

Masya Allah! Sampai ke tahap begitulah sekali tahap ketakutan dan kuatnya penjajahan Siam ke atas Kedah ini. Macam manalah dengan rakyat Satun (asal namanya Setoi) yang hidup di bawah pentadbiran Thailand sekarang, termasuk Narathiwat, Pattani, Yala dan lain-lain wilayah selatan yang kini berada di bawah jajahan negara Gajah Putih itu?

Timbul 1 persoalan - kalau sekarang Thailand sedang bergolak kerana di Bangkok sedang berlumuran tunjuk perasaan yang menzahirkan bibit sengketa antara rakyat Thai dengan pentadbiran Bangkok, tidakkah ini masa yang sesuai untuk menangguk di air yang keruh?

-------------------------------------------------------------------------------------

1 Syawal - Ada ibu tunggal kesepian di hari kita bergembira

Kami sibuk sebagai biasa. Sekitar jam 8:30 pagi, saya tiba di Masjid ar-Rahman. Ada suatu hal yang menghairankan. Kenapa di ruang luar itu, pihak pentadbiran masjid tidak izinkan orang ramai menghamparkan tikar? Kejadian ini berlaku di sebelah kiri masjid.

Sehingga sekarang, saya tidak faham kenapa larangan itu wujud. Antara yang bermain di benak fikiran ialah, kemungkinan tikar atau sejadah itu tidak dibenarkan diletak di situ kerana saf itu melepasi tok imam. Tetapi, aku rasakan hal itu tidak mungkin. Entahlah, banyak persoalan yang tidak terjawab.

Saya jadi 'tension' jika tiada jawapan. Naluri wartawan memang menebal!

Kerjaku seharian ialah menghitung duit syiling untuk dibedak dan diagih-agihkan untuk anak-anak yang tiba di rumah. Rasa malu juga kerana yang datang ke rumah itu ada yang sudah besar-besar dan masih meminta-minta.

Saya tak mahu anak-anak saya hidup meminta-minta. Menjadi kebencian orang dan hal ini jika tidak dicegah akan mewujudkan perasaan hamba yang terbawa-bawa sehingga ke hari tua. Nanti, bila masuk universiti, tidak berani berontak kepada kebejatan HEP Umno kerana takut wang pinjaman PTPTN tidak masuk ke dalam akaun bank. Ini kesan jajahan jangka panjang. Entah siapalah insan pertama yang mencipta budaya meminta duit raya?

Pagi itu adik lelakiku membawa ibu ke rumah orang tua pengasuh kami di Kg Paya Kelubi yang tidak jauh dari taman perumahan kami. Sepulangnya mereka dari rumahnya lalu mereka pun meriwayatkan kisah sedih ibu tua itu yang terlantar kesepian.

"Sedih betul, telaga itu ada dalam rumahnya. Dia tak ada pili air. Mungkin dia tak mahu atau tak mampu bayar bil air. Telaga di dapur rumahnya itu entah bersih atau tidak," itulah yang sering ibu sebutkan. Bekalan air adalah yang paling utama.

"Dia sendiri pun dah tak boleh banyak bergerak," kata adik lelakiku pula. Kak S, adalah pengasuh kami sejak kami berpindah ke tempat jin bertendang itu sekitar 1985. Jadi, aku menerima khabar dari ibu bahawa petang ini Kak S akan pulang menziarahi ibunya.

Adik lelakiku turut menyatakan hal yang sama. Timbul persoalan lagi. Adakah orang tua pengasuh kami menerima bayaran bulanan daripada pihak pengurusan zakat atau pusat kebajikan? Aku mesti siasat dan lihat semua ini jika aku betul-betul mahu menjadi 'Don'.

Selesai pulang dari masjid, kami semua ada upacara bermaafan dan dapatlah duit raya daripada abah dan mak.

Malam
Malam itu, kami bertolak ke Kg Kemelong, Sik untuk beraya di rumah tok dan tokwan di sana. Ini rumah tok dan tokwan sebelah ibu saya. Malam itu 'tension' jugak. Sepupu saya yang masih anak-anak itu tercongok di depan Astro kerana menonton channel kartun Walt Disney. Dan, malam itu aku tidak dapat melelapkan mata. Entah kenapa.

Kesunyian mencengkam rasa dan bunyi cengkerik bersulam suara bertingkah kokokan ayam kampung. Saya berniat puasa untuk berpuasa enam pada hari kedua Syawal.

Malam ini, sebelum tidur, tok, tokwan dan Pak Tih datang berbual denganku mengenai isu-isu negara, masalah masyarakat. Agaknya kerana mereka tahu aku menjadi wartawan dan penulis, maka mereka pun sukalah berbual hal-hal orang dewasa.

Aku cucu sulung! Yang lain semuanya masih anak-anak, berjiwa remaja. Jadi, pada siapa yang mereka mesti ajak berbual secara dewasa? Mereka berceloteh hal pendatang asing dan masalah-masalah seputar kerjaya mereka.

Sekolah Pemikiran Pendang
3 Syawal, 6:46 petang
(Berhenti untuk berbuka puasa. Ini masuk hari kedua...)

Currently have 0 comments: