20 - 26 Syawal
Agak-agaknya Tuhan mahu kirim isyarat supaya saya segera pindah rumah. Dengan tiba-tiba, petang tadi masuk satu panggilan daripada Selayang Properties. Entah dari mana mereka dapat nombor telefon bimbit saya tidak tahulah.
"Saya nak ajak encik datang lihat projek perumahan kami. Harga rumah sekitar RM168,000 sehingga RM300,000," kata wakil perumahan itu. Saya janji nak datang esok. Ish! Dah berjanji la pulak. Rasa sukar nak datang. Tengoklah esok macam mana.
Soal mampu tak mampu, itu soal kedua. Soraya beritahu rumah yang baru dibelinya secara sewa beli itu perlu dibayar RM800 sebulan. Condo kalau tak silap. Apa pun, suasana senyap sunyi dan pekerjaan mengarang ini perlu jauh daripada gangguan bunyi limpahan air.
Nak beli rumah ni, yang risau ni satu saja bagi orang semacam saya. Takut jadi macam kes yang melibatkan rumah terbengkalai. Sampai sekarang, saya tak tahu apa pendirian kerajaan ke atas projek perumahan yang terbengkalai.
Saya tertanya-tanya, daripada kita beri syarikat pemaju yang entah betul atau tidak mengusaha tapak projek perumahan itu, tak bolehkah kerajaan sendiri jadi pemaju? Siapa ya MP yang boleh ditanya soalan ini? Saya bukan kuat sangat hubungan dengan mereka.
Apakah Nurul Izzah mampu?
Apabila terfikirkan hal ini, terjumpa klip video YouTube Nurul Izzah di Detik Daily. Apakah anak sulung DSAI ini boleh bertanya sama ada kerajaan boleh jadi pemaju terus kepada semua rumah yang terbengkalai ini? Jangan lagi diberikan kepada syarikat-syarikat pemaju.
Dalam temubual di bawah, Nurul menjelaskan bahawa, selama ini pembangkang dianggap tidak lebih daripada membangkang sahaja, bukan banyak bagi cadangan. So, Nurul mencabar supaya diberikan ruang untuk pembangkang memberikan cadangan itu.
Baru-baru ini, saya dengar berita bahawa Zahid Hamidi bersetuju dengan syor Zulkifli Nordin tu berhubung hal pembinaan masjid dengan senibina dan rekabentuk Cina. Bukankah dalam kes ini nampaknya pihak kerajaan boleh pula terima syor parti lawan.
Semoga hal ini menjadi amalan yang baik dan berterusanlah hendaknya.
Berikut disertakan pandangan dan rumusan SPKB yang terbaru berhubung Ketuanan Melayu
1. Islam dan Ketuanan Melayu (1)
2. Islam dan Ketuanan Melayu (2)
--------------------------------------------------------------------------
25 Syawal
24 Syawal
Baru semangat nak mengarang, menitik lagi limpahan dari atas bumbung. Sukar aku mengarang kalau begini. Memang tiada cara lain, melainkan dengan berpindah! Semua ini menyebabkan aku mendapat pengajaran baru - rumah adalah satu hal yang amat penting!
Baru-baru ini dia menziarahiku. Tu pun, dia ada hati nak datang ke SPKB semata-mata sembang di Restoren Kg Pandan. Hui! Jangan diturutkan perasaan sangat syeh! He he, hu hu huh!
Teringat sabda Rasulullah s.a.w, "Lihat orang yang berada di bawah kamu dan jangan lihat orang di atasmu." Hadis ini saya hafal ketika menuntut di Maktab Mahmud. Syukur kita ada pegangan agama. Bagaimanakah nasib mereka yang menempuh garis kehidupan tanpa agama?
Ladang Khinzir
"Kalau kita tidak kawal, haiwan lain akan menanggung akibatnya," kata Rosli ketika mengangkat bangkai seekor kura-kura kecil yang telah terkulai lehernya. Fuh! Ketika mengarang ini, titisan air telah berhenti, syukur. Yang tinggal hanya bau. Syukur!
Teringat idea pakcik -kita mesti hapuskan ladang khinzir di negara kita. Aku fikir hal ini mestilah dimasukkan dalam Memorandum Permatang Pauh juga nanti. (Pautan ini akan disunting semula nanti, insya Allah).
Ladang babi mestilah dihapuskan segera. Kalau nak makan daging khinzir, impot saja dalam tin dari negara luar. Kalau ada pihak yang nak tambah saranan lagi, sila majukan pandangan kepada jawatankuasa Memorandum Permatang Pauh melalui ibnuamir@yahoo.com.
Saya fikir, hal ini perlu diberikan perhatian juga. Kasihan penduduk kampung. Kalau saya di sini pun sudah hidup terseksa dengan pencemaran bau, bagaimana keadaan mereka?
Rupa-rupanya, dalam kesempitan hidup ini, akal semakin keras berfikir dan idea semakin lancar mengalir, mengutuk kekejaman ke atas kemanusiaan. Kalau senang mungkin tidak terfikir mahu melemparkan kritikan sosial sebegini. Penderitaan hidup adalah modal besar untuk mengarang!
Aku telah korbankan banyak perkara untuk cuba mencapai keredhaan Tuhan (entah Dia redha kepadaku atau tidak, entahlah). Saya telah kotbankan masa dan waktu melawan HEP, mendapat kursus di universiti demi mendapat kepuasan hidup dan kerjaya.
Sehinggalah saya mencapai tahap kedudukan seperti hari ini. (Maaf, menulis begini bukannya kerana nak berlagak sombong, tetapi rasa ia perlu atas tujuan iktibar dan pengajaran kepada rakan-rakan lamaku di universiti dahulu!)
Nabi Daud a.s telah buktikan usaha dan amalnya terlebih dulu dengan mengalahkan Jalut dalam sebuah peperangan, barulah dia diangkat sebagai raja bagi menggantikan Talut. Nabi Sulaiman a.s telah berhasil menyelesaikan suatu masalah yang besar, barulah dia diangkat menggantikan kedudukan ayahnya, Nabi Daud a.s.
Apa sumbangan kita untuk melayakkan darjat dan makan kita diangkat oleh Tuhan dan rakyat? Menurut hemat si Fansuri, amalan itu mestilah (1) berterusan dan (2) ada unsur ikhlas dan (3) berani pula mempertahankan pandangan itu selagi mana diyakini sebagai benar.
Syukur kepada Tuhan, ruang-ruanganku mula terbuka sedikit demi sedikit. Politik Kampus, ada ruangan seni dan budaya. Orang akan yakin apabila orang melihat kesungguhan kita.
Ada seorang rakanku yang suka sembang deraih (berlagak) ketika bercakap di universiti dahulu dan dia fikir mahu aktif dalam persatuan agar terkenal dan mendapat tempat dalam parti. Tapi, masalahnya dia ini takut pula. Tetapi, nak dapat jawatan tinggi. Aku sarankan dia menulis dan mengutuk HEP. Dia enggan. Sebaliknya dia ghairah mencari ruang mecari jawatan.
"Nak kena jaga siasah nafas panjang syeikh," ... "Tahun akhir nanti bolehlah nak keras sikit."
Yaa... lah.. Masa tu hangpa semua dah nak keluar. Bolehlah nak tunjuk lagak hero. Saya bengang betul sebab 'keberanian' itu (jika boleh dikatakan berani) tujuannya memang salah! Ada nawaitu untuk kepentingan politiknya selepas berijazah. Dia akhirnya tenggelam begitu saja.
Kepada orang yang membaca catatan ini, saya minta maaf kalau nampak bongkak. Ini bukanlah sikap dan perangai saya yang sebenarnya. Tapi, inilah luahan hati saya sejak sekian lama...
Bahan terbaru - Islam dan Ketuanan Melayu (1) dan Cerita-cerita sepanjang PRK.
Semalam Big Boss memberitahu, "Minggu depan ada meeting, mungkin ruangan cerpen bolehlah nak diwujudkan di Harakah Daily." Sesiapa yang teringin nak menghantarnya, boleh hantar pada mel-e lutfi_detik@yahoo.com. Doalah moga ruangan itu diwujudkan. Amin ...
As-Sa'il wa al-Mahrum
Ketika keluar berurusan di Untung Orang-Ramai tadi, seorang lelaki India, di lehernya ada salib sedang meminta wang kepadaku, RM2. Dia menegurku dan berkata, aku kelihatan segak seperti pegawai eksekutif. Hatiku tak tergerak memberinya.
Dia sihat dan tidak seperti Mak Esah di Kampung Paya Kelubi, Pendang. Lelaki India itu as-Sa'il, dan Mak Esah adalah al-Mahrum. Rasanya hal ini ada dalam surah az-Zaariyaat. Aku fikir mahu menulis hal ini dalam ruangan Agama seperti Big Boss minta.
Mungkin boleh susun nota kuliah mengenai idea-idea dan falsafah berkebajikan untuk keperluan Pas nanti. Sama ada mereka bersetuju atau tidak, tengoklah kemudian. Kalau buat secara bersiri pun oke jugak kot?
"Saya pun menganggur, tak ada kerja," kataku kepada lelaki India itu.
"Oh, tak apa. Maaf kalau menyusahkan," dia kemudiannya berlalu dari situ.
Di Untung Orang Ramai Chow Kitt, saya belanja sekitar RM31. Beli perencah briyani dan beras basmathi. Saya kini sedang melatih untuk masak nasi daging, nasi tomato dan nasi briyani. Tadi ketika melayari internet saya dapat resipi di bawah ini:-
Cara-cara 1. Rebus daging bersama rempah sup bunjut Adabi, rempah kurma dan sedikit garam. 2. Pastikan daging empuk. Simpan air rebusan daging untuk masak nasinya. 3. Basuh beras dan toskan. 4. Tumis halia, kulit kayu manis dan buah pelaga didalam periuk nasi hingga naik bau. 5. Masukkan beras dan kacau sekejap. 6. Masukkan air rebusan daging. Kalau beras (disukat) satu mangkuk pastikan air rebusan juga satu mangkuk. 7. Bila beras sudah agak kembang, masukkan tomato soup dan susu cair. Kacau dan biarkan nasi masak. 8. Hidangkan Nasi daging dengan air asam (tomato, bawang besar, hirisan cili merah, air asam pekat, perahan limau kasturi, sedikit belacan, garam dan gula sesedap rasa) dan daging yang telah direbus tadi.
Barangsiapa yang tersinggung dengan coretan di atas, harap maaf.
--------------------------------------------------------------------------
23 Syawal
Beberapa orang rakan chat di YM menegur, tapi tak sempat kulayan semuanya. So, minta maaf kepada mana-mana pihak yang berkenaan :) Tiada niat di hati ini untuk mengguris hati sesiapa.
Fokus, fokus, fokus. Petang tadi selepas kirim bahan, The Big Boss call, ajak makan di Restoren Haslam. Dia nak tanya khabar. Ketika sampai di Restoren Haslam, ada al-Maniri sama. Mereka baru 'berdebat hangat' soal pengedaran Harakah.
Kisahnya panjang dan saya tak berniat mahu mengulas. Sebabnya, memang kurang pendedahan tentang pengedaran semasa di kampus. Teringat kata-kata Cik Mat, salah seorang pensyarahku di USM dulu. Katanya, kursus masih tak lengkap. Kenapa?
"Awak ambil kursus wartawan ni tak lengkap. Awak tak tau macam mana nak edarkan surat khabar, sepatutnya wartawan dilatih tentang perniagaan akhbar juga," itu katanya.
Aku rasa pandangan itu masih kekal relevan. Apabila tanya A Samad Ismail semasa arwah hidup dulu mengenai apa masalah wartawan sekarang, dia berkata:
"They are uneducated. They don't know how to write economic analysis.. bla..bla.. bla."
Pesanan Big Boss
BB minta aku menulis bahagian Agama saja. Di ruangan itulah yang difikirkannya lebih selamat. Dia minta saya merujuk penulisan Goenawan Mohamad atau Jalaludin Rachmat. Katanya, cara penulisan mereka mengenai agama itu sentiasa hidup.
"Ana tengok, penulisan agama di Harakah Daily kering," katanya lagi. Tapi apakah penulisanku itu akan jadi 'basah' dan 'cair'. Dia mahu aku mencatat bahan-bahan yang bersifat 'reach-out' dan ini bermaksud, aku perlu bertemu orang VVIP, mengutip pandangan mereka lalu persembahkan bahan fikiran besar orang-orang besar itu dalam bentuk yang agak santai.
"Enta ada kebolehan tu," katanya lagi. Saya melihat jam. Alamaks... 'Gadis Melayu' dah 'start' di TV9. Macam mana ni? "Jadi, manfaatkan kebolehan itu sebaik-baiknya."
Mel-E Malek Kazdaghli
Mel-E Malek Kazdaghli menendang dan menerjah ke kantung peti surat mayaku. Semalam, saya cuba sms dia, tapi tidak ada apa-apa balasan. Saya miskol beliau tadi, rupa-rupanya ada masalah untuk menghubunginya.
Mungkin dia cuma boleh dihubungi melalui Gmail Chat atau Skype sahaja. Satu hal yang menjadi bahan fikiranku sekarang. Siapakah Kazdaghli? Nama keluarganya mungkin.
"I confuse about Tunisia. Are you Arab people?" aku bertanya, meminta kepastian.
"Of course. And in Tunisia, 99% of them are Muslim Sunni," balas Malek itu. Wajahnya seperti orang-orang Syria lagaknya. "So, it is not difficult if you want to visit us."
Ramai kawan ini rasa banyak nikmatnya. Mengarang begini, kuharap sebagai salah satu langkah meramaikan kawan juga hendaknya. Politik kita pun boleh merentas benua!
Blog juga adalah suatu medan berdakwah. Seorang rakan bertanya, bagaimana mahu ramaikan pengunjung? Saya jawab, mungkin kalau cerita kita menarik, lama-kelamaan, ramailah pelawat kot.
Satu lagi, mungkin boleh kita boleh menjawab banyak persoalan semasa dan masalah dalam kehidupan seharian kita. Kalau sekadar merapu, orang pun malas baca rasanya!
Apabila ramai pengunjung, mungkin ada orang mahu menjalankan perniagaan melalui iklan juga. Terpulanglah macam-mana. Sesungguhnya, blog telah menceritakan segala-galanya tentang diri kita yang sebenarnya. Baik dan buruk ... semuanya ...
Ahah! Satu lagi pelajaran yang kuterima di bangku kuliah dulu ialah, mesti banyakkan gambar di akhbar dan majalah. Hanya semata-mata paparan teks-itu akan menyeksakan pembaca. Hiaslah juga dengan gambar-gambar bergerak (videolah tu!) dari YouTube.
(Aduh! Hari ini, nak mengarang rasa tak semangat jer. Semangat hilang ... Ruginya masa yang berlalu. Tuhan, kembalikan semangat yang hilang, pulihkan semula jiwaku yang terbang melayang. Aku masih ingin terus berjuang!)
--------------------------------------------------------------------------
22 Syawal
Ditegur warga Tunisia
Tiba-tiba, ketika sedang mencari buku-buku itu, saya ditegur oleh seorang warga Tunisia. Dia bertanya sama ada saya Melayu atau bukan. Rupa-rupanya, dia selesa dengan Melayu. Hal ini disebutkannya pada akhir-akhir perbualan kami tadi.
"Saya mahu cari buku mengenai Dr Mahathir," katanya kepadaku tadi, dan dalam genggaman beliau telah tersedia buku The Malay Dilemma. Dia meminta pandanganku berhubung buku itu dan kelihatannya dia memang sudah tahu banyak perkara sebelum ini.
Kalau tidak, masakan dengan tiba-tiba dia mencapai Malay Dilemma? Dua orang 'couple' asyik melihat gelagat kami mencari buku tadi. Sesekali mereka menjeling, mungkin hairan.
"Buku Malay Dilemma pernah diharamkankan pada satu masa dahulu, kemudian dibenarkan kembali tebitannya," demikian aku menjelaskan. Dia terpinga-pinga. Masih terlalu kurang yang dia tahu tentang realiti politik di Malaysia.
Dia juga berminat mencari buku yang menceritakan sejarah Malaysia. Turut dibelinya senaskah buku mengenai Islam Hadhari. Dia bukannya pelajar UIA, bukan pelajar Master dan Phd di sini. Jadi, kenapa dia jadi berminat dengan kajian-kajian ini?
"Saya cuma sekadar ingin mengetahui tentang Malaysia. Saya rasa kagum," itu saja katanya, sekali gus menamatkan keraguanku terhadap minatnya. Maknanya, dia betul-betul berminat dan sikap itu tidak terdorong daripada pekerjaannya sebagai penyelidik, pelajar atau pensyarah.
Malek Kazdaghli, usianya dalam lingkungan 20-an ke 30-an. Dia ini seorang jurutera di Tunisia Stock Exchange. Hmmm... menarik. Tuhan mempertemukan aku dengan seorang yang mungkin tahu serba sedikit atau sedikit sebanyak berhubung saham dan wang asing.
"Ketika di sini, saya tidak dapat bergaul dengan India dan Cina. Melayu lebih lembut," Malek berkata begitu, ternyata bukan untuk sengaja memuji, mengampu dan membodek. Mungkinlah sejak awal tadi, lafaz pertanyaan awal dia terhadapku tadi ialah, "Adakah saudara Melayu?"
"Abang tahu kat mana kami boleh cari buku tentang Pulau Besar?" tiba-tiba sepasang 'couple' tadi menerjah dengan suatu pertanyaan. Mungkin mereka sangka aku faham dengan cara buku disusun di situ. Dilihatnya aku sejak dari tadi membantu Malek itu mencari buku, mungkin juga mereka mahu bantuan mencari buku.
Ah! Aku mendapat idea. Selain daripada menulis, mungkin kerja yang sesuai bagiku adalah jaga buku dan memberi nasihat kepada orang mengenai tajuk buku yang mereka cari.
"Pulau Besar? aku bertanya kembali. Sempat kulihat mereka berada di rak Malaysia History. Di situ sudah ada buku besar yang mungkin meriwayatkan sejarah Naning. Aku rasa mereka tiba di tempat yang tepat. Cuma, kisah Pulau Besar itu perlu masa untuk mencarinya.
"Tempat yang mistik tu kan?"
"Entahlah, tapi di situlah tempat terawal ajaran Islam tersebar..." kata pasangan itu. Kalaulah bukan kerana Malek, dah lama aku ajak mereka berbual. Ini cerita menarik!
"Setahu saya, tempat awal itu di Tanjung Tuan," penjelasanku itu semakin menambahkan lagi kekeliruan mereka. Pasangan itu saling berpandangan. Ingatanku yang sekian lama membeku kepada pakcik, makcik mula cair sedikit dan lalu tertumpah ke daerah bertuah itu.
Aku sedar aku silap. Sepatutnya, tugas aku bukan memberikan tafsiran baru ketika itu. Apabila umat sedang terkapa-kapa mencari kebenaran baru, ikut sahaja rentak mereka dan jangan kita tambah beban dalam fikiran mereka dengan maklumat baru.
Ini membebankan mereka, mengelirukan dan akhirnya menjadikan mereka putus asa, sekali gus menjauhkan diri daripada kita. Aku perlu berlatih lagi menahan kesabaran bagi melayakkan diri dan mencapai taraf, tahap dan peringkat teragung - Guru Bangsa!
Pasangan itu akhirnya meminta diri untuk pulang. Aduh! Manalah tahu, kalau-kalau aku boleh membantu mereka dalam usaha mencarikan jawapan. Setiap anak muda yang tertanya-tanya mengenai agama dalam dirinya, sememangnya Allah telah menyediakan bagi mereka peluang untuk mencari kebaikan. Ah! Misi SPKB gagal lagi malam ini. Mujur Malek Tunisia ada!
Ertinya, bercambah dan bertambah lagilah cawangan SPKB sehingga ke wilayah Benua Tunisia! Apabila pasangan 'couple' itu pulang dari Kinokuniya. Aku dan Malek bertukar alamat mel-e dan nombor telefon bimbit. Kami berjanji akan sentiasa berhubung.
Malek kemudiannya meminta diri kerana kapal terbangnya akan bertolak pada 2 pagi ini. Dan, kesempatan yang ada itu digunakannya untuk membeli buku-buku mengenai Malaysia. Banyak sekali buku itu. Terpalit rasa berbangga sebab saya telah mencadangkan sebuah buku (lupa pula tajuknya) mengenai Tan Sri A Samad Ismail. Saya rasa buku itu mungkin berguna.
Dia mesti tahu pandangan Pak Samad Ismail berhubung situasi politik di negara ini. Ini mungkin cara yang ringkas dan mudah untuk tahap permulaan bagi dirinya.
21 Syawal
Ustaz Fahmi Zam Zam banyak meminta bantuannya dalam urusan passport ketika abah masih lagi pegawai tinggi di Jabatan Imigresen, Tingkat 2 Wisma Persekutuan, Alor Setar dulu. Dan, ketika remaja, aku dan adik-adik kerap ke sana. Waktu pagi kami mengikuti abah, sarapan pagi di kantin tempat kerja abah.
Kemudian kami pergi ke Perpustakaan Awam Kedah yang ketika itu masih belum ada bangunan sendiri seperti hari ini. Baru aku tahu, abah ke sana kerana dia ingin mencari tulisanku yang ada di Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya bulan ini.
Orang-orang Abim dan Pas Kedah kerap mengunjungi rumahku kerana urusan memperbaharui pasport. Cikgu Azmi Teras antara orang yang kerap meminta bantuan abah. Kerana abahku juga aku boleh masuk Maktab Mahmud kerana abah rapat dengan arwah Datuk Sheikh Azmi.
Ketika dia 'accident' suatu masa dulu, arwah Ustaz Nikmat Yusof, Mudir Dehrang pernah datang ke rumah kami. Tapi, masa itu aku budak-budak sangat. Manalah tahu apa sangat.
Ketika isu Memali masih hangat membara sekitar 1985 timbullah kesedaran abah untuk bergiat cergas dalam usrah dan apabila dia menetap di Pendang, dia pun jadi rapat dengan arwah Ustaz Fadhil Noor, mantan Presiden Pas itu.
Gara-gara dia rapat dengan arwah ustaz Fadhil, maka aku bolehlah makan setalam dengan ustaz Fadhil pada satu malam di Masjid al-Rahman, masjid yang hampir dengan taman perumahanku itu. Masa itu, aku rasa 'familiar' sangat dengan rupa paras ustaz itu. Tapi, aku tak tahu dia siapa!
Rupa-rupanya, itulah arwah ustaz Fadhil Noor @ Ali. Ya! Semuanya gara-gara hubungan abah!
Ketika Saifuddin Nasution nak bertanding di Lunas, Kedah (tahunnya aku tak ingat, tapi better check la!), Saifuddin mahu meminta doa dan restu daripada orang-orang di pondok Dehrang. Di situ, dia bertemu arwah Ustaz Nikmat Yusof. Apa kata ustaz Nikmat?
"Pergi mintak doa kat orang-orang pondok di Pattani, selatan Thai," katanya kepada Saifudin.
"Tapi, ana tak dak dokumen perjalanan," balas Saifudin.
"Tak pa, enta jumpa kawan kita di Pendang," kata arwah ustaz Nikmat lagi. Siapa lagi, kalau bukan ayahku itulah! Lalu, ayah menawarkan bantuan kepada Saifudin. Dia pun sembunyikan Saifudin di belakang kereta yang bercermin gelap. Maka, sampailah abah ke sana.
Atas jawatannya sebagai pegawai Imigresen, dia dapat pergi ke sana tanpa sebarang gangguan. Kini, abah sudah pencen, bolehlah bercerita sikit. Rasanya, tak bahaya dah kot.
Selesai urusan berdoa di Pattani, Saifudin dan ayahku terus pulang. Dengan izin Allah, keputusan pilihan raya kecil Lunas telah memberikan kemenangan kepada Saifudin dengan majoriti tipis.
Ya! Ayahku ada saham di situ. Kini, abah dah pencen. Bolehlah aku bukak rahsia begini. Banyak lagi rahsia-rahsia pemimpin parti yang aku pegang. Aku mengambil iktibar daripada pemergian A Samad Ismail baru-baru ini. Pak Said Zahari sendiri akui-apabila Pak Samad meninggal dunia, rahsia dan sejarah pemimpin negara akan hilang dan tenggelam bersama jasadnya.
"Lebih-lebih lagi, rahsia besar mengenai Tun Abdul Razak!" demikian kata A F Yassin di dalam salah satu penulisannya.
Aku memang ada niat dan hasrat untuk menulis mengenai sejarah ayahku, sejarah ibuku serta sedikit catatan mengenai datukku. Betul!!! Mereka bukannya orang-orang ternama, tetapi usaha mereka ini, aku dapati telah menimbulkan kesan-kesan sejarah yang tidak dilihat orang.
Dan ... kadangkala aku terfikir, aku memang ditakdirkan untuk menjejaki langkah-langkah yang ditinggal oleh mereka itu. Kata orang, biarlah mereka meninggal dunia dahulu, barulah menulis mengenai mereka ini. Tetapi dalam catatan Hamka yang tersimpan kemas dalam lipatan hatiku, Hamka berkata, bahawa dia takut kalau-kalau dia yang mati dahulu berbanding ayahnya.
Semua ini aku lihat dalam prakata buku Buya Hamka yang berjudul 'Ayahku'. Bagaimana kalau aku yang pergi lebih dahulu berbanding ayah? Dan, soalan ini juga yang menghantuiku.
Akan kuceritakan juga tentang bagaimana ayahku memaksaku membakar Bible yang kubeli dari Alor Setar. Ah! Panjang ceritanya. Nantilah, doakan aku diberikan kesihatan berpanjangan dan dengan itu, dapatlah aku menulis dan mengarang lagi seperti biasa.
"Oo.. nanti abah cuba fotostat tengok," kata abah. Ketika itu, dia masih berada dalam pustaka.
Ya, oleh kerana dekatnya hubungan beliau dengan orang-orang penting dalam parti dan jemaah ini, maka sebab itulah juga dia selalu berpesan dan berwasiat kepadaku.
"Jumpa ustaz Nikmat, bagitau la, anak Hj Amir, jumpa ustaz Fadhil bagitau la, anak Hj Amir," itu kata abah yang selalu sangat kudengar. Daripada sini juga timbul idea menggunakan samaran Ibnuamir al-Pendangi. Kesannya tetap ada. Agaknya kerana berkat itulah kot.
Guna teknik ini di depan Ustaz Siddiq Fadhil
Adapun teknik ini, aku tak pernah guna sebenarnya. Aku malu menggunakan nama ayah hanya semata-mata ingin diriku dikenali. Tapi, aku terpaksa menggunakannya kerana terdesak ketika berdepan dengan mantan Presiden Abim (sekarang Presiden Wadah), Dato' Dr Siddiq Fadhil.
Di sini, aku memang terpaksa. Kejadian ini berlaku di rumahnya di Kajang. Dan, pada malam itu juga, limpahan ilmu mencurah-curah datang apabila Ustaz Siddiq bergegas masuk ke biliknya dan mula menyemak tesisnya yang menjadi salah satu rujukanku yang paling utama.
Tesis itu diselia oleh Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dan tajuknya aku sudah lupa. Tetapi, ada dalam catatan itu berhubung hujah kental yang menolak keras hujah Umno bahawa mereka itu menjunjung Ketuanan Melayu. Aku mesti perkenalkan diri juga, sebabnya bukan senang nak jumpa lagi. Mujur ketika itu, isterinya Dr Siti Zulaikha hadir.
Ketika Ust Siddiq menuju ke bilik bacaannya, suasana hening itu kugunakan untuk berbual-bual dengan isterinya. Aku bercerita mengenai garis-garis kehidupan kecilku di Kroh (kini Pengkalan Hulu, Perak). Aku tahu, dari cerita ayahku, dia anak tok guru di Kroh itulah.
Ayahku berkenalan rapat dengan ust Siddiq Fadhil ketika dia selalu pergi ke Kroh untuk ziarah mertuanya di sana. Peluang itu digunakan sebaiknya oleh ahli usrah Abim Kroh untuk menemui ustaz Siddiq Fadhil yang pada ketika itu diamanahkan sebagai Presiden Abim setelah Anwar pun sudah masuk ke dalam Umno selepas 1981.
Jadi, bermula di situ, ust Siddiq Fadhil memang kenal sangat dengan ayahku. Dan, aku pun rasa, setidak-tidaknya inilah peluangnya untuk aku cuba menguji buat kali pertama sama ada kaedah ini berhasil atau tidak. Ya, aku mulakan dengan Dr Siti, isterinya yang kuajak berbual itu.
Apabila aku bercerita bahawa aku banyak menempuh kehidupan di Keroh, Dr Siti mengangguk-angguk dan dia mula menunjukkan minatnya untuk mendengar ceritaku.
"Ayah saya kerja memang selalu berpindah-pindah, jadi saya tak tetap di suatu tempat saja," demikian aku mula ringan-ringan meluncurkan bualan.
Dia masih memandang lagi ke wajahku. "Dia pegawai Imigresen. Dulu, kerja di ..."
"Bukit Berapit!!!!", lafaz itu tersembur keluar dari bibirnya yang diam membisu sejak lama. Dari tadi lagi, dia asyik mendengar bualan aku dan rakan-rakan bersama Dr Siddiq. Jadi, dia mungkin tidak mahu masuk campur dan mengganggu bualan kami.
"Siapa nama ayah?!" Dr Siti pantas bertanya. Dia mula menunjukkan minatnya.
"Amir..." kataku tergugup, bimbang kalau kaedah ini tidak menjadi. "Amir Hassan." Aku ulang sekali lagi, bimbang bergaul dengan harapan dan juga kekhuatiran kalau-kalau dia lupa ayahku.
"Encik Amir...?!" dia bertanya. Wajahnya bercahaya. Nampak girang bermain di wajahnya.
Aku mengangguk. Kali pertama ...
"Encik Amir...?!" sekali lagi dia bertanya, menagih kepastian.
Aku mengangguk lagi. Buat kali yang kedua ... Kali ini aku tahu, dan aku sudah yakin, kaedah ini telah berjaya, hampir 90%. Baki lagi 10%, aku perlu menunggu keputusan dari ust Siddiq Fadhil yang masih menyelongkar kitab tesis lamanya itu di bilik bacaannya.
Kami menunggu ust Siddiq tidak terlalu lama. Dia datang kemudiannya lalu menunjukkan kitab tesis lamanya. Di situlah aku sedang membuat sedikit catitan.
Sambil aku mencatat itu, isterinya mencelah dengan pertanyaan, "Wak! Ingat tak encik Amir. Ni anaknya..."
Proses catitan itu sedikit terganggu. Dapat kurasakan pancaran sinar wajah ustaz Siddiq sedang tertumpah ke arahku. Lalu, kudongak dan dia alihkan semula wajahnya ke arah lain. Tidak lama. Memang tidak lama untuk dia ingat wajah ayahku semasa muda-muda dahulu sekitar 30-an.
"Oh! Yang gemuk-gemuk, putih-putih itu?!" kata beliau sambil mendepakan sedikit kedua-dua belah tangannya, sebagai menunjukkan susuk tubuh ayahku ketika muda dahulu. Wah! 100% kaedah ini telah berjaya. Memang kaedah ini boleh digunakan. Tapi, aku mahu orang mengenali diriku dan bukan mengenaliku melalui kekuatan nama orang tuaku.
"Ya, betul," demikian ringkas aku menjawab. Dahulu semasa di Keroh, ayahku 'lebar' betul. Aku masih ingat kami sekeluarga makan setalam. Itu pengaruh usrah. Katanya, sunnah nabi. Ayahku mula membeli talam dan kami diajak makan bersama. Memang banyak betul dia makan.
Kadang-kala, ayahku ini nakal sedikit. Semasa aku mencedok lauk di belakangku, tiba-tiba ayah akan memusing talamnya supaya nanti aku meletakkan lauk itu ke tempat yang dia makan. Jadi lauk itu akan sentiasa penuh pada tempatnya. Ha! ha! Ada lagi kenakalannya waktu muda. Tapi, itu panjanglah ceritanya. Mungkin aku boleh bikin novel seperti Andrea Hirata nanti.
Kisah nama samaranku dengan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin
Apabila aku menjadi wartawan pelatih di Bernama antara Mac-Mei 2004, ketika itu pilihan raya umum sedang berlangsung, En Khidzir meminta aku menemubual Ust Abdul Ghani Shamsudin, [ketika dia, beliau adalah Presiden Persatuan Ulamak Malaysia (PUM)]. Aku memperkenalkan diriku. Temubual itu berlaku di Petaling Jaya, pejabat PUM berhampiran Alpha Angle.
Kasihan... pejabat itu agak lusuh dan daif sekali. Tempat aku menemubual Ustaz Abdul Ghani itu bocor di silingnya. Ketika itu hujan di ibu kota sangat lebat! Air menitik sekali-sekala, dan bualan kami agak terganggu. Bagaimanapun, hatiku tetap senang gumbira. Tahu tak kenapa?
Sejurus memperkenalkan diri, tiba-tiba ustaz bertanya: "Enta ke Ibnuamir?"
Saya tersenyum, lalu mengangguk-angguk perlahan. Inilah saatnya yang menggembirakan apabila orang-orang besar sudah kenal nama kita.
Bagaimanapun, hati kecilku yang paling dalam masih tetap berbisik: "Kau masih tetap terhitung dalam kategori 'bukan pemuda sejati."
Pandangan ini memang ada benarnya mengikut lafaz sebuah syair Umru al-Qais yang kami hafal di Maktab Mahmud, "Laisa al-Fata man yaquulu kana abi, wa la kinnal fata, man yaquulu ha ana za." Maksudnya lebih kurang, seseorang pemuda itu adalah mereka yang berbangga dengan diri dan namanya dan bukanlah pemuda jika dia cuma berbangga dengan nama keturunannya."
Aku masih lagi bukan seorang pemuda, jika aku meletakkan nama ayah pada nama samaranku. Dan, ketika aku memilih nama samaran Ibnuamir itulah, aku berazam supaya pada suatu hari, ayah akan berkata bahawa dia ingin menjadi sepertiku.
Aku harap, dia akan bertemu rakan-rakannya dan berkata, "Saya ini ayah Ibnuamir itulah!"
Syahadan, dalam tahun ini juga, aku lupa bila masanya... ayah dan mak datang ke KL, menginap di sebuah hotel di Kg Baru kerana ada urusan dengan penempatan adikku yang menjalani latihan amali di sini. Aku lihat abah kerap membawa dan mengusung sebuah buku itu ke mana sahaja. Aku sendiri sudah terlupa judul buku itu.
Saya tegur abah dengan sikapnya yang suka membawa buku itu. Tiba-tiba abah berkata: "Abah saja bawa buku, baca-baca ... nak jadi macam Ali la."
Yes! Dalam hatiku kini sudah berperang dengan rasa bangga, tawadhuk dan entah segala macam nilai-nilai mazmumah lagi. Kah! Kah! Kah! Aku telah menjadi 'pemuda' dalam tafsiran penyair Arab Jahiliyyah; Umru al-Qais. Tapi, sebenarnya, bangga di sini bukanlah bernilai negatif!
Walaupun dia penyair di era Jahiliyyah, namun nilai bangga itu bukan bererti berlagak sombong dan angkuh. Tapi nilai pemuda ini menjunjung maruah dan harga diri seorang pemuda. Bukanlah sombong yang terkait dengan nafsu iblis dan golongan yang engkar kepada Tuhan.
Ya.. kini abah sudah pulang dan mungkin dia sedang membaca hasil karangan dan tulisanku. Dan yang paling kurisaukan ialah cerpenku itu. Ada unsur 18SX! Tetapi, itulah yang mesti aku terima kerana terlanjur bercerita kepada ramai pihak.
Idea mengarang cerpen itu terbit saat aku tonton drama Sayakti dan Hanafi yang mengisahkan keperitan hidup sebuah keluarga miskin di Indonesia. Si suami bekerja sebagai penarik beca dan isteri berjual sayur-sayuran di pasar harian. Anak mereka ditahan di hospital sebab mereka tak mampu membayar biaya hospital. Ini adalah sebuah kisah benar di Tanah Jawa itu.
Lalu, kuadun kisahnya dengan kisah seorang kakak angkatku yang sering tertindas dan ditindas oleh editor kami di Siasah. Aku tetap membelanya kerana dia seorang wanita yang lemah. Tapi, dia rela ditindas, sehingga menyebabkan bayinya mati dalam kandungan!
Dan hal inilah yang menyebabkan antara faktor mengapa aku protes kepada editorku yang tidak berperikemanusiaan di Siasah! Jiwa si Fahri... si pembela kaum wanita tertindas yang mengalir dalam batang tubuhku mula panas menggelegak.
Antara protes-protes itu, telah kulahirkan lewat cerpenku itu; Doa Pak Sutan Muda. Hai kenapa la malam ni, dengan tiba-tiba 'hantu' dan 'tok syeikh' menulis dah mula merasuk di dalam jiwaku ini? Hangpa tau tak ... bila sampai tahap aku, kalau dah naik syeikh, susah la nak berenti, makan minum pun tunggang langgang. Aku terfikir, macam mana la bakal bini aku nak hadapi semua ini nanti. Sebab itu, aku tak dak calon lagi agaknya.
Lutfi dan Lanh di Harakah tu kadang-kala kerap mengadu hal rumahtangga depa tentang hal ini. Tapi, nak buat macam-mana? Inilah yang hangpa terpaksa hadapi wahai isteri kaum wartawan!
Cerpen YB J
Apabila teringat cerpen, aku teringat kelmarin, ada wartawan Sastera, Budaya di Berita Harian, Nazmi Yaakob melayangkan sms kepada saya berhubung polemik yang tercetus mutakhir ini - cerpen Politik YB J.
Pernah juga sebelum ini kami duduk semeja dalam program anjuran Paksi di Shah Alam dulu di mana Anwar, Khalid Ibrahim hadir sama, menyokong program Paksi ini. Shukri dan Sahrunizam dok berbisik di telingaku tentang rupa paras Umno hadir dan mengalir dengan begitu keras dan jelas dalam program malam itu. Antara yang dikritik ialah sikap meminta hadirin bangun untuk menghormati VIP. Aku rasa, Nazmi mungkin ada juga yang dia tak senang hati.
Tapi, maklumlah ... dia wartawan aliran perdana. Keesokannya dia melayangkan sms berbunyi lebih kurang, "...apa pandangan tentang program semalam? Kritik sedikit. Tak salah kritik ni. Tak jadi dosa politik." Dosa politik? Apa itu dosa politik? Tak kisahlah.
Tapi, kalau dia tak hantar sms itu pun, memang saya ingin menegur pun program malam itu. Dan, inilah hasil kritikan itu.
Jawapan untuk Nabila of Sabah
Saya rasa mahu ke sana kalau cukup ampuh kekuatan kewangan. Lutfi berkata, selagi dia masih bekerja di Harakah, maka dia mahu melaksanakan gerak kerja kebajikan untuk mangsa tahanan ISA dan ahli keluarga yang tidak punya pendidikan
Jadi, kebajikan itu untuk golongan-golongan seperti itulah. Untuk golongan macam saya ini tidak kot. Kita kais menulis awal, bulan, kais menulis tengah bulan, kais menulis hujung bulan, dua tiga bulan kemudian barulah dapat merasa satu cek. Itu pun kalau nasib baik, cek itu tak tendang.
Janji saya kepada kamu masih belum tertunai nampaknya. Kamu pinta penulisan tajam itu sejak dulu. Sebenarnya, dengan jujur saya beritahu kamu, tulisan itu termasuk dalam kategori tulisan-tulisan saya yang tergendala. Sudah siap dalam 70%, tapi terhenti. Mood itu hilang. Menulis agak sulit juga di sini. Nama saja media alternatif, tapi tidak semuanya boleh masuk di laman itu.
Kalau tidak sabar dengan karenah orang-orang atasan, dah lama dah saya berhenti menulis ni. Tapi, oleh kerana minat dan berasa ini tanggungjawab kita dan tanaman modal kita untuk hari akhirat, maka kita gagahi jugalah. Hidup sebagai wartawan, mati sebagai wartawan!
Menulis jadi darah daging kita, mengalir pada setiap inci urat nadi, dan darah. Nak buat macam mana!? Bagaimanapun, janji saya kepada kamu mungkin tertunai di Detik Daily. Mungkin boleh dibuat satu 'kitab panduan' juga bagi mereka yang suka membacanya secara santai-santai!
p.s: Nabila, kamu boleh kendalikan tak Sekolah Pemikiran Kg Baru (cawangan Sabah)?
Mel-E kepada Salahudin & Yusmadi
Ada dua orang ahli Parlimen yang saya 'terget' kini. Mereka ini pernah berucap dalam program forum di UIAM berhubung Auku. Nampaknya, mereka ini mungkin boleh memainkan peranan.
Saya ingin membuat bantahan ke atas penamaan kapal selam. Hujah-hujah itu telah saya karang di dalam Dewan Budaya, Oktober. Cuma, saya tidak tahu apakah kaedah ini berkesan atau tidak nanti.
Kalau ada sesiapa yang boleh beri idea lanjut, harap dapat kita kongsikan bersama. Sekian terima kasih ...
p.s: Err...ada tak yang nak ikut saya ke Istana Negara kalau kita boleh gunakan jalan ini?
20 Syawal
Kutukan Harian (akan datang, berdasarkan laporan-laporan berita )
Buletin Utama/19 Oktober 08 - Part 1
Buletin Utama/19 Oktober 08 - Part 2
Jawapan balas kepada teman-teman:
Ridwanto: Membaca shout box enta, bikin hati dan jantung hati ini makin berkobar-kobar hati ana nak sambung belajar nih. Nantilah, doa-doalah ...
Jerung Sakti: Ana dah try option pertama untuk buat read more tapi tak jadi. So, ana mungkin buat option kedua yang agak meletihkan itu. Antara tujuan kenapa ana nak kod read more-ialah kerana ana berhajat nak buat blog baru Kutukan Harian. Nantikan kemunculannya ...
Nabila: Malam itu, Encik Lutfi berceloteh kepada saya berhubung kedudukan Harakah sebagai 'akhbar berkebajikan' (ini istilah SPKB). Dia sebut mengenai kehadirannya di Sandakan, Sabah. Apakah kamu hadir semasa krew Harakah berada di sana?
Saya fikir, nak menulis satu bahan berhubung kedudukan Harakah sebagai akhbar berkebajikan ini, inso Alloh ...
Soalan bebas kepada pengunjung:-
1. SPKB berhasrat memindaskan lokasinya ke Plaza Rah, Kg Baru. Siapa yang ada kenalan atau kawan-kawannya di Plaza Rah?
2. Petang tadi terlelap ketika mengarang. Hujan lebat yang disertai kilat menyebabkan saya terpaksalah berhenti seketika, menutup komputer. Dalam mimpi tadi, termimpi dipatuk ular. Suara di dalam mimpi berkata: "Mujur patukannya ular tu tak terkena di suatu tempat ___ (tak perasan nama tempat di kaki tu), tapi terkena kat sini saja."
Tak terasa sakit, kesakitan dalam mimpi tu. Kadang-kala, ada mimpi yang kita boleh rasai sakit! Cuma, saya harap mimpi ini bukanlah alamat bahawa saya akan dipinang orang kot. Sebab, saya rasa, sebagai Pencinta Wanita, saya sukar dapat aweks. Kedua, memang tak de aweks pun.
Kalau ada pun, semuanya ada di luar negeri - Rani Mukherjee, Natalie Imbruglia, Gwen Steffani, Shania Twain dan lain-lain :) Ha ha ...
Ketiga, ia mungkin cuma permainan mimpi. Kalau ia mimpi benar sekali pun, jangan-jangan ada masalah besar atau kecil kot dalam masa-masa mendatang? Anda semua rasa apa maknanya? Saya rasa begini bukan apa? Sebagai bloggers, kita semua sentiasa terhitung sebagai mangsa-mangsa baru di Bukit Aman pada masa depan. Atau, anda fikir bagaimana?
Currently have 0 comments: