Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Maaf kerana lama tak update blog!

Monday, September 08, 2008 , Posted by nota untuk Syiah at 2:42 AM

14 Ramadhan
Selepas solat Subuh pagi tadi, saya melihat Mufti Perlis Dr Mohd Asri sedang berucap di tv. Tak pasti rancangan itu Bicara Mufti atau ceramah di mana. Antara hal menarik yang dia bangkitkan ialah mengenai ayat al-Qur'an yang meminta orang Islam mencantumkan persahabatan antara 2 puak Islam yang bertelagah. Akhirnya, beliau menyebut perselisihan antara parti.
"Kalau ada dua puak bertelagah, kita mesti satukan. Kalau ada suatu puak yang tetap berdegil, maka puak yang berdegil, enggan bersatu itulah yang mesti diperangi," kata beliau.
Saya memang anti muzakarah Umno - Pas
Saya memang anti muzakarah Umno - Pas kerana saya tahu ada antara mereka yang tidak ikhlas. Panjang perbahasannya kalau orang bertanya: "Mana awak tahu mereka ni tidak ikhlas?"
Jadi lebih baik saya pendamkan sahaja jawapan terhadap soalan itu. Tetapi, untuk memudahkan anda mengetahui sebab kenapa saya kata ada orang yang tidak ikhlas, bolehlah rujuk temubual Harakah bersama Dato' Mustapha Ali, (12 - 14 Ramadhan, 1429) dan buatlah penilaian sendiri.
Tapi, jika bukan orang parti yang bercakap mengenai usaha-usaha untuk mendamaikan antara Umno dan Pas, maka saya jadi yakin sedikit. Orang non-partisan, lazimnya tiada kepentingan.
Baiklah, jika benar mufti muda itu ingin merintis jalan ke arah persefahaman antara kedua-dua parti itu, maka inilah soalan yang ingin saya majukan kepada beliau banyak juga. Antaranya ...
1. Jika Pas berdegil atau Umno berdegil, maka bagaimanakah cara untuk 'memerangi Pas atau Umno' yang berdegil itu?
2. Tanda-tanda, maksud atau definisi 'berdegil' itu bagaimana sifatnya mengikut tafsiran beliau?
3. Apakah pakatan antara mufti-mufti boleh dijadikan sebagai jurudamai dengan rakyat semua menjadi tulang belakang kepada mufti-mufti sekiranya
4. dan banyak lagi soalannya ... harap-harap dapatlah saya bertemu mufti ini untuk bertanyakan idea beliau ini, insya ALlah Ta'ala.
Petang
Petang ini ketika mengambil bubur lambuk di Masjid Jamek Kg Baru. Hujan lebat sungguh disulam kilat, petir guntur terang benderang. Rupa-rupanya, banyak bubur lambuk yang lebih kerana ramai yang tidak hadir akibat hujan petang tadi.
Selesai hujan, ramai orang pulang membawa dua tiga bungkus. Entah kenapa, rasa malu aku nak ambik. Memang hidup ini susah, tapi jangan hidup meminta-minta. Saya mahu mengambil sikap seperti orang-orang terdahulu. Biar susah, tapi jangan menyusahkan orang lain. Biar susah, tapi janganlah sesekali hidup meminta-minta. Dan, akhirnya kita mesti memerangi penindasan!
Malam
Nak update Malaya Merdeka dua kali sebelum ini, tapi tetap tidak menjadi. Entah bila dapatku update laman ni sampai sempurna. Saya rasa perlu diletakkan audio temubual juga, termasuk fail-fail video daripada YouTube. Tapi, saya tak pandai nak letak skripnya.
Malam ini juga saya sedang menaip bahan untuk ruangan Polemik Harakah, mana tahu kot-kot boleh masuk.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
13 Ramadhan
Mungkinkah Najib dan Muhyiddin ada pakatan untuk menjatuhkan Abdullah? Hal itulah yang dibangkitkan kembali oleh Abang A kepadaku petang tadi. Ketika itu, aku mula berkira-kira nak keluar sekejap untuk depositkan sedikit wang ke bank.
"Najib pula kata baru-baru ni hal peralihan kuasa tu bergantung kepada ahli-ahli Umno," kata beliau. Mula-mula Muhyiddin dilaporkan mengeluarkan pandangan itu di Singapura.
Tapi, akhir-akhir ini, (semalam) saya lihat Muhyiddin dan Najib ada dalam sidang media Guang Dong, China. Ketika itu, mereka memang bersama-sama dalam program tersebut.
Apakah sudah ada kesefahaman antara Najib, Muhyiddin, Mahathir, Mukhriz untuk membunuh karier politik Pak Lah? Mukhriz akan berentap dengan Khairy Jamaluddin untuk berebut Ketua Pemuda Umno. Dan, sementara itu, kenapa ahli BNBBC dihantar ke Taiwan?
Taiwan pun bukannya jauh sangat dengan Guangdong, China, tempat di mana Najib, Muhyiddin dan lain-lainnya sedang berseminar untuk mewujudkan kesepakatan ekonomi Malaysia-China.
Hui, jahat sungguh Umno ni. Bukan calang-calang orang boleh baca apa-apa yang ada kat dalam fikiran MT Umno la ni. Tapi, saya lagi tak paham kenapa dengan tiba-tiba Mustapha Ali boleh bagi kenyataan bahawa 16 Sept. tak berlaku dalam arus rakyat yang hendakkan perubahan ni.
Semua orang tahu bahawa daripada segi teknikalnya, peralihan kuasa memang tak berlaku pada 16 Sept. sebab Parlimen tak bersidang.
"Jadi, kalau cikgu Pa tak cakap macam tu pun, orang dah tau dah," kataku kepada Abang A.
Bagi aku, 16 Sept tu lebih kurang macam niat orang berpuasa menjelang masuknya Ramadhan.
"Sahaja aku berpuasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta'ala."
Maka, pada 15 September malam itu, mana-mana ahli Parlimen yang beragama Islam itu sudah boleh melafazkan niat melalui mulut dan hati mereka sebagai berikut: "Sahaja daku melomparti parti dari BN kepada PR pada 16 September ini kerana Allah s.w.t @ demi perjuangan @ untuk harta benda, pangkat, darjat dan wanita!"
Jadi, apa masalahnya dengan lafaz niat itu wahai Cikgu Pa? Cuma lafaz niat dan ia bukan terkait dengan apa-apa upacara ritual dalam Parlimen yang tidak bersidang di bulan puasa!
Dia orang nak melompat ka ... tak mau lompat ka... masih belum ada Imam Mujtahid, mufti yang mengeluarkan fatwa atau hukum mengenai haram halal, harus, wajib atau sunatnya amal ibadat melompat parti itu. Wallahu Ta'ala 'Alam ...
11:36 p.m, 13 Ramadhan
SPKB.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
12 Ramadhan

Petang
Ke Wangsa Maju. Meninjau lagi keadaan sama ada saya boleh membuat urus niaga wang asing @ tidak. Akibatnya, saya miss lagi nak ambil bubur lambuk Kg Baru.

Di situ, ada seorang kakak yang sedang menunggu suaminya masuk seminar pemantapan urus niaga matawang asing.

Saya kasihankan anaknya yang tidak bersekolah. Dia tak kisah anaknya yang tidak ke sekolah.

"Pergi sekolah pun buat apa?" katanya. "Cikgu pun bukannya nak mengajar sangat. La ni bulan puasa."

Oh! Macam tu pulak fahamannya. Saya teringat ibu saya seorang guru yang memang pantang kalau saya tak pergi sekolah. Dengan tenang dan penuh kesabaran, dia memujuk.

Pernah satu ketika, oleh kerana saya malas ke sekolah kerana ramai kawan-kawan 'tuang' (atau ponteng kelas), ibu telah merayu dan melutut. Dia menangis kerana saya beri alasan bahawa pelajaran di sekolah telah saya hadam dan ibu bapa rakan-rakan tak peduli kelas tambahan itu.

"Mak tak mahu Ali dihina orang kerana tidak berilmu," kata ibu menangis lagi. Saya mengaku kalah dengan raungan ibu dan akhirnya saya ke sekolah juga dengan perasaan berat bersarang di dada. Hari ini, berkat asuhan ibu saya telah melihat kesannya!

Sesetengah orang dihormati lantaran kekayaannya. Apabila dia miskin, justeru dia jatuh terhina. Tapi, saya miskin. Namun tiada orang yang berani menghina kerana ilmu telah menjadi sebuah benteng yang kukuh dalam menepis penghinaan orang itu.

Apabila melihat anak-anak seawal usia 8 - 12 tahun, sekolah rendah ini saya semakin risau juga. Seorang kenalan memberitahu mengenai perangai anak buahnya yang tidur lewat.

"Hang tau tak? Dulu kalau dah jam 10 malam, aku tak tidur lagi, aku dah jadi risau. Takut tidak boleh bangun sekolah keesokannya," kata rakan saya itu. "Tapi, bila aku tengok anak buah aku boleh bertahan, tak tidur jam 2 - 3 pagi, aku jadi risau dengan depa."

"Sama la Syapawi aku pun macam tu jugak," saya mengiyakan pendapatnya. Teringat betul la dulu, kalau dah masuk pukul 12 pagi, tak tidur lagi, memang risau sungguh. Ini kerana, semua anak-anak yang mengalami pembesaran, mestilah tidur sekurang-kurangnya 8 jam.

Bermaksud, kalau tidur jam 10 malam, secara tak langsung, aku akan bangkit jam 6 pagi. Maka, 'penyakit kelawar' ini sejak bila pula ia bermula? Ia bermula pada 1995, ketika itu saya dengan rakan-rakan mula berjaga malam atas alasan kununnya mahu 'study'. Huh! Mana study pun!

Penyakit berjaga malam ini dalam keluarga kami mula merebak kepada adik bongsu saya yang ketika itu belum lagi masuk sekolah menengah. Saya mula marah-marah, tapi dia tak peduli.

Nak buat macam mana? 'Tok guru' ramai sangat. Adik lelakiku yang suka balik lewat malam itu kerap menjadi sandaran rujukannya. Hidup kita sudah tidak murni seperti tahun 80-an dahulu.

Kembali kepada cerita si akak ini, anaknya sudah diajarnya berdagang matawang asing. "Dan dia pun memang cepat belajar!" katanya. Memang budak-budak ini cepat benar belajar sesuatu.

Jika aku ada anak, memang akan aku didik bermacam perkara dan pada tahap ini, dia akan maju dengan begitu cepat sekali, inso Alloh. Aku sangat yakin dengan hal itu.

Setelah mendapat beberapa penerangan, aku pulang ke Kg Baru. Aku perlu depositkan beberapa ratus ringgit lagi supaya dapat kuteruskan perdagangan matawang asing itu.

Tiba di SPKB, dengan tiba-tiba, tuan punya kedai CC call. "Dah siap, boleh ambik pc," katanya. Aku prepare duit, keluarkan RM400 dari Public Bank, Kg Baru. Apabila di kedai cc, kena RM80. Huiyyoo... mahalnya! Atau, memang macam tu kot rate servis komputer? Aku kemudiannya beli nasi goreng ayam RM3.80, koteaw kerang bungkus (RM2) dan bihun goreng bungkus (RM2). Di situ, sudah RM87.80 duit terbang, hilang melayang. Sekejap betul, duit mengalir keluar ...

Aku bawa pc pulang ke SPKB. Tersekat perjalanan kerana berbual dengan Abang A, teman bilik sewa yang gemar bergebang darihal ehwal politik semasa.

Umno Johor mahukan Muhyiddin jadi PM?
"Pak Lah mesti berundur juga, ini bukan cakap Umno dan parti. Ini cakap atas dasar Melayu," kata beliau. Tambahnya lagi, Umno Johor memang mahukan Muhyiddin menjadi PM. Najib tak dapat nak jadi PM pada asalnya. Rosmah Mansor tidak layak jadi 'wanita pertama'.

"Dengan amalan boros bininya yang tak tentu hala, hai.. Najib tak boleh jadi PM," tambahnya.

"Ada kemungkinan tak, Muhyiddin serang Paklah baru-baru ini sebab Paklah mungkir janji?
"Sebelum ini Paklah nak Muhyiddin naik sebagai PM, tiba-tiba dengan peralihan kuasa ini, PM itu diberikan kepada Najib pula?" kataku dengan cuba-cuba menjeratnya. Dia diam saja.

Malam
Aku minta diri kerana mahu membawa pc ke SPKB. Mulanya, ketika aku pasang, tak boleh pula nak akses internet Streamyx. Akhirnya, malam ini sekitar jam 8 - 9 malam, aku telah berhasil menggunakan khidmat Streamyx itu. Yiihaa!!! yariba, yariba, anggre anggre ...

Inilah kebanggaan dan kepuasan hatiku. Sedikit demi sedikit aku telah menemui kejayaan demi kejayaan. Selamat tinggal dunia 'dial-up'. Aku maskin bersemangat dan bermotivasi menempuh denai-denai kehidupan di kota raya yang penuh berliku ini.

"Ya Allah, pada bulan Ramadhan ini, berikan dan ciptakanlah kejutan demi kejutan terhadap hambaMu yang hina ini!"

2:13 pagi, 13 Ramadan 1429
Sekolah Pemikiran Kg Baru
-------------------------------------------------------------------------------------------------
11 Ramadhan
8:57 pagi - Saya menerima panggilan daripada Encik Shukri, editor Dewan Masyarakat. Beliau pernah call saya sebelum ini untuk memasukkan artikel saya mengenai Auku yang terdahulu.
"Tolong beri gambar saudara. Kemudian, mungkin boleh letakkan sedikit maklumat tentang saudara - ahli MPP universiti ke, atau graduan Pusat Pengajian Komunikasi ke atau lain-lain maklumat pengenalan," katanya.
"Ya, insya Allah ... mungkin dalam tengah hari ni kot," begitu aku membalas. Tetapi bagaimana harus kuperbuat? Komputerku masih terlantar sakit dan tenat di CC Jalan Raja Alang Kg Baru.
Sukar banget nak bekerja dengan keadaan begini. "Ya Allah, permudahkanlah segala urusan."
Petang itu, seperti biasa aku keluar ketika waktu Asar mula menampakkan wajahnya. Tuan CC itu call menceritakan masalah pc ku itu. Rupa-rupanya, dia baru nak periksa.
"Tak apa, saya keluar sekarang ke cc. Kita jumpa di sana," demikian kataku ringkas. Lagi pun, memang saya nak keluar ambik bubur lambuk pun. Tiba di sana, dia mula bercerita tentang apa masalah komputerku itu.
"Tak perlu tukar processor dan motherboard dah. Ram pun dah oke," katanya. "Tinggal lagi, kita kena pilih kedudukan hard disk mana yang sesuai untuk dijadikan default."
Ketika saya menulis ini pun, dia baru telefon lagi. "Ada tak cd motherboard? Kalau ada cepat sikit siap. Kalau tidak terpaksa cari driver untuk sound pc intel ni. Ini dah lama, takut tak dak dah nak cari drivernya di internet."
Petang tadi, ketika berbuka di opis Harakah, ... Opss...keluar sekejap. Lutfi dan Tarmizi Mat Jam ajak keluar makan. La ni malam deadline Harakah, tengah dok menaip di opis Harakah la ni.
12:49 a.m, 12 Ramadhan - Saya baru selesai makan bersahur fasa pertama, fasa kedua nanti jam 5 pagi nantilah kot.
Petang
Saya berbual dengan Abang A, (dulu Pas, sekarang Umno) yang menjadi jiranku di SPKB petang tadi. Dia mengeluh kesal kerana rancangannya ke Putrajaya tergendala oleh kerana Jakim tunda hari bertakbir untuk disiarkan sempena raya itu pada Isnin depan.
"Abang dah tiba di Putrajaya tadi, tetiba kawan-kawan sms, menyatakan ditunda," katanya.
Dia bercerita mengenai kenyataan Cikgu Pa yang menyatakan kemungkinan 16 September ini, PR tidak mungkin dapat membina sebuah kerajaan baru.
"Ali jangan terkejut kalau-kalau yang sebenarnya, tiba-tiba kerajaan BN pula yang dapat 2/3 dan dengan sendirinya dapat menguasai Parlimen," tambahnya. Aku diam saja. Dia banyaklah mendapat maklumat, sebab dia orang Dato' Ahmad Zahid Hamidi.
Aku suka mengambil sikap tunggu dan lihat. Di bulan Ramadhan ini, banyak-banyakkan berdoa. Mana tau hai pemimpin Pakatan Rakyat yang beragama Islam, entah-entah hangpa berdoa tu tepat pada malam Lailatul Qadar. Terus makbul. Dulu Tuan Guru Nik Abdul Aziz dah jenuh puas berdoa hingga menangis, mengeluarkan air mata sebelum pilihan raya, supaya menang. Lani dah pi mana doa dan tawakal hangpa kepada Allah s.w.t. KEMBALI BERDOA KEPADA ALLAH!
Malam
Saya berbuka di opis saja tadi. Ingatkan boleh tengok Bual Bicara tentang A Samad Ismail. Tapi, rupa-rupanya sejak pasang Astro di opis ni, TV1 dan TV2 di aras 1 ni pula tak dapat. Frust betul.
Jadi, malam ini saya teruskan siap menterjemah novel bersiri Rice Without Rain untuk ruangan sastera Harakah. Cerpen Razali Endun mungkin naik, sebab tadi Lutfi call untuk minta saya edit.
Mujur cerpennya tak panjang. Jadi, kalau tuan-tuan berminat menghantar cerpen, malangnya di sini cerpen tak boleh melebihi 5,000 byte atau 5 kilobyte (ditulis dalam Notepad sahaja, bukan Microsoft Word). Agak membosankan, tapi nak buat macam mana kan?
Tiba di opis tadi dalam jam 6 petang setelah saya selesai menonton rancangan As Salam USA di SPKB. Yang tinggal di opis tadi, cik Anis Nazri. La ni, saya tengah menaip di komputer dia sebab pc di rumah terlantar kesakitan, isk, isk, isk.
Sekitar jam 10 malam lebih kurang, Lutfi, TMJ dan Rashidi bergebang di aras 1. Berbual darihal masalah muka depan Harakah yang baru. Telinga aku bergerak macam radar. Telinga lintahlah katakan. Berikut daku perturunkan dialog yang sempat kutangkap melalui radartelinga lintahku.
Watak 1: Tadi aku dapat panggilan entah dari siapa entah. Dia tanya - ini Pengarang Harakah kah? Aku jawab bukan. Lepas tu dia kata, Mustapha Ali ada tak? (ketawa)
Watak 2: Habis tu hang jawab apa?
Watak 1: Aku kata cikgu pa dok kat bahagian pejabat lain. Lepas tu, pemanggil tu kata, tolong bagitau pada cikgu pa, bahawa kalau dia nak kata kerajaan Pakatan Rakyat tak boleh nak dibuat dalam 16 September oleh sebab masalah teknikal sekali pun, tok sahlah letak kat muka depan. Lepas tu dia tanya, siapa yang jadi dalang dalam meletakkan berita tu di muka depan? Waktu ini rakyat tengah menongkah arus untuk tukar kerajaan. Pasai pa dok saja sebut pasal dari segi teknikal PR tak boleh bentuk kerajaan. Perbincangan tu masuk la dalam bahagian lain. Pasai apa dok masuk ruangan depan.
(Ada banyak lagi yang aku nak muatkan di sini, tapi memadailah setakat itu sahaja dahulu.)
Aku dapat rasakan bahawa peranan yang aku mainkan seperti besar juga. Beberapa minggu lalu, Big Boss pernah menyuarakan rasa tak puas hatinya berhubung tindakan orang-orang Pas yang tidak suka Harakah banyak menghebahkan kisah Anwar.
"Depa tak faham. Harakah adalah bisnes dan bukannya semata-mata politik dan lidah rasmi Pas," begitu bunyi keluhan dan raungan batinnya. "Kalau tak sumbat kisah Anwar, siapa yang nak beli Harakah ni? Ustaz-ustaz dalam Pemuda Pas tak faham benda-benda ni."
Sejak itu aku mula faham bahawa arus pergolakan dalam Pas semakin memberat, retak menanti belah dan bagaikan telur di hujung tanduk. Jealousy mereka ini terhadap Anwar cukup tinggi.
"Pas ni nampak gayanya nak berpecah jugak kali ini. 'Geng-geng muzakarah' ramai marah dekat Harakah pasai isu-isu semacam ini," demikian kata Big Boss.
Salah satu kurniaan dan kelebihan yang Allah kurniakan kepadaku ialah kata-kataku ini seperti sedikit sebanyak 'dimakan' oleh Big Boss. Tapi, aku tidaklah bersalah. Aku cuma menyampaikan beberapa saranan yang aku fikirkan akan dapat menjulang kredebiliti dan kualiti Harakah. Maka dalam bahasa aku sendiri, aku tak ubah macam seorang 'Don' juga dalam filem Godfather. Tapi, aku sering tertindas dari segi kewangan. Cuma, idea-ideaku ini alhamdulillah, mereka pakai juga.
Pada suatu malam, ketika aku dijemput datang ke rumah Big Boss di Ampang, dia sempat tanya, "Naik mendadak juga rate penulisan enta di Detik Daily tu bila enta tulis pasai Anwar."
"Kalau nak naikkan sale Harakah, banyak muatkan cerita tentang Anwar. Itu saja jalannya," demikian sarananku.
"Ish, tu masa Reformasi dulu bolehlah syeikh!" kata Big Boss. "La ni zaman tu dah berlalu."
"Sejarah berulang. Dulu kes liwat. Sekarang kes liwat dengan Saiful Bukhari. Dahulu Arsenik untuk bunuh Anwar. Sekarang, bom C4 untuk bunuh Altantuya. Sekarang ni, kes lompat parti dan itu semua terkait dengan Anwar. Kalau Harakah tak siarkan, tak naik la sale Harakah."
Big Boss terdiam. Mungkin dalam tanggapan benaknya, ada masuk akal juga sedikit sebanyak sarananku itu. Memang Harakah lidah rasmi Pas. Menulis cerita Anwar, tidak bererti kita akan memuja Anwar lalu menenggelamkan populariti pimpinan Pas. Pimpinan Pas, Pemuda Pas serta aktivis Pas perlu tahu bahawa kedudukan Harakah itu bukan cuma sebagai lidah rasmi Pas, tapi juga lidah rasmi rakyat. Sekarang arus kebangkitan rakyat bersama Anwar. Jika Harakah tidak ikut arus ini, memang jadi bangkailah akhbar berhaluan kiri yang paling berpengaruh ini.
Kalau Harakah nak buat liputan tentang Pas pun - apalah yang ada sangat sekadar merasmikan Pasti, menyembelih 3 - 5 ekor lembu untuk dibuat kenduri dan lain-lainnya yang tidak menarik minat ramai golongan pembaca, aktivis reformis dan lain-lain lapisan rakyat di negara ini.
Tapi, bagaimanakah harus kupersembahkan buah fikiranku ini. Aku rasa, aku bertanggungjawab juga sebab, walaupun aku ni terbuang bagaikan 'binatang jalang' (kununnya macam watak dalam puisi Chairil Anwar, berjudul Aku) dalam Harakah, tapi sedikit sebanyak idea dan sarananku dah diterima oleh orang paling tinggi dalam Harakah.
"Tuhan, berikan daku imbuhan kekuatan untuk berdepan dengan ustaz-ustaz Pas ni ..."
1:41 pagi, 12 Ramadhan 1429
Sekolah Pemikiran Kg Baru
(Cawangan Jalan Pahang Barat, Pejabat Harakah)
-------------------------------------------------------------------------------------------------
10 Ramadhan

3:00 petang lebih kurang, saya keluar Al-Rajhi Ampang untuk membuat urusan meminda had pengeluaran kad debit. Ini dilakukan supaya memudahkan urusan perdagangan matawang asing nanti. Bank itu bersebelahan dengan PTPTL. Mahasiswa di situ hidup seperti tanpa arah.

Tapi, bagaimanakah saya mahu masuk dalam kehidupan mereka, memandu dan mengarah hidup yang lebih bermakna. "Ya Tuhan, terima kasih kerana memberikan daku kehidupan dekat Maktab Mahmud dan USM sehingga terjadi siri-siri perobahan sehingga ke hari ini."

Pulang ke Kg Baru, terus solat dan masuk Asar. Selepas solat Asar, ada jenazah perempuan yang dimasukkan ke dalam masjid. Selepas solat jenazah, saya terus mengambil bubur lambuk. Tapi, kali ini saya menggunakan laluan di dalam masjid.

Sudah terhampar kain karpet baru berwarna kuning. Adakah sultan akan turun berjemaah pada malam ini atau pada tempoh-tempoh terdekat?

Selepas ambil bubur lambuk, hati tergerak membayar zakat fitrah di masjid tersebut.

"Untuk berapa orang?" sang amil itu bertanya. Pakcik itu usianya mungkin dalam lingkungan 60-an lebih kurang.

"Seorang saja pakcik," jawab saya, tersipu-sipu.

"Bujang lagi ye?"

"Ya, masih lajang (bujang la tu)"

"Insya Allah, nanti akan berdua kot," usiknya lagi, sambil menyuruhku membacakan lafaz akad membayar zakat fitrah sebanyak RM5.20.

Ada sms dari makcik menyinggah ke ponselku. "Fahmi demam, pi ziarah dia. Makcik tak sihat."
Memang aku baru balik dari Shah Alam baru-baru ini. Ketika aku keluar dari Pusat Fikir Seksyen 6, Fahmi belum pulang dari hospital.

"Sorry Fahmi, abg ali tak sempat nak maklumkan kepulangan malam tu. Sampai rumah terus terjelepuk ke tilam, ditewaskan oleh rasa kantuk yang masih tersisa dan bersarang di raga."

CC Jalan Raja Alang,
5:16 p.m, 10 Ramadhan 1429
-------------------------------------------------------------------------------------------------

9 Ramadhan


Saya masih di CC untuk menaip kepada saudara/i sidang pembaca yang budiman. Hari ini saya akan pergi ke Wangsa Maju. Ada la urusan peribadi, tak kan semua pun nak cerita kot? He he he

Jadi, mungkin tak sempat mengambil bubur lambuk hari ini. Apabila keluar dari rumah, sahibul Forex call.

"Saya daftar untuk seminar pemantapan pada 19 Julai ini," kata beliau. Saya tidak memberikan jawapan dan kata putus yang meyakinkannya bahawa saya akan ikut serta. RM250, bermula 9 pagi sehingga 1 p.m. Mana la kita ada duit!

Abang A, teman serumah sewa saya balik awal hari ini. Dia berceloteh mengenai harga kenaikan barang makanan yang melambung.

"Sebab itu abang masak saja di bilik," katanya. Aik, dia ada dapur ker? Demikian aku bertanya.

"Ada... abang beli di Mydin, RM50 saja," tambahnya lagi. "Dapur elektrik."

Tiba-tiba aku terasa ingin nak beli dapur elektrik tu. Ingatkan dapur gas saja ada, dapur elektrik pun ada juga. Memang aku zero bab memasak ni, tapi kena start belajar dah nak hidup berdikari la ni. Mesti tau banyak perkara. Hidup di tengah gelombang, demikian hidup orang berjuang!

3:33 p.m, CC Jalan Raja Alang.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Salam sejahtera ... Salam Ramadhan dan Salam Merdeka ...

Ketika ini saya sedang mencoret coretan blog di sebuah cyber cafe di Jalan Raja Alang. Tadi, baru ambil bubur lambuk di Masjid Jamek Kg Baru.

Komputer di SPKB (Sekolah Pemikiran Kg Baru) agak sukar mengakses internet. Di CC ini juga, saya baru hantar komputer saya itu untuk diperbaiki. Jadi, atas kesukaran itu, tidak dapatlah saya' mengganas' seperti biasa.

Catatan terhenti pada 29 Ogos lalu. Seorang rakan lama saya di Maktab Mahmud, Mie Long nama glamernya telah menghubungi sekitar jam 3:02 petang tadi.

"Hang sakit, demam ka?" "Tak dak aih, komputer aku yang 'demam'" "Posting terakhir hang pun 29 Ogos. Tu aku dok heran, pasai pa lama dah tak update."

Mie ni, mati-matian dia ingat saya dah jadi orang 'skima'. Pada malam 29 Ogos lalu, kami bertemu di Kg Baru, dan berbual-bual tentang kenangan lalu. Turut hadir bersama ialah isterinya. Tang ni saya jadi segan sikit bila dah bercampur orang rumah, jadi terkontrol dengan sendirinya cara bersembang.

Nantikan kisah saya tersangkut 3 hari 3 malam di Shah Alam ... iktikaf di Masjid Negeri Shah Alam dan kisah 'pelajar-pelajar' di Pusat Fikir Seksyen 6, Shah Alam, inso Alloh ...

Bermula sekarang, kalau tuan-tuan dan puan-puan melihat posting ini belum lagi update, paham-pahamlah. PC saya sedang sakit tenat dan kini sedang terlantar di 'wad' cyber cafe Jalan Raja Alang. Saya sedang menunggu tempoh 'doktor' merawatnya. Sekian, adios - Don Fansuri.

Syahadan, antara tulisan terbaru saya boleh ditemukan di ...

Gambar kenangan bersama Ezam, Nurul Izzah, Dr Wan Azizah ketika mahu bertemu Anwar untuk mendapatkan sokongan ke atas kes melawan TNC HEP USM dulu. Teka, mana saya?


Sekolah Pemikiran Kg Baru
5:56 petang, 8 Ramadhan 1429H
sedang menaip di CC Jalan Raja Alang sambil menunggu dokumentari Jejak Rasul
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Currently have 0 comments: