Karya puisi-puisi terbaru
Kali terakhir saya dengar berita yang agak menyedihkan mengenai Singapura adalah hal diskriminasi ke atas Melayu Muslim minoriti di negara republik itu. Sampailah hati pihak berkuasa Singapura membuat keputusan supaya setiap Muslim Melayu yang meninggal dunia akan didermakan anggotanya secara automatik.
Walaupun hal pendermaan anggota ini dipandang baik daripada suatu segi, tetapi kenapa hanya Melayu Muslim saja? Kenapa tidak keseluruhan warganegara Singapura diderma saja anggota tubuhnya secara automatik setelah mereka meninggal dunia?
Saya anggap Singapura adalah masih lagi serpihan wilayah Malaysia kerana beberapa hal tertentu. Lihat saja wajah bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, iaitu Yusof Ishak yang masih lagi dicetak di atas wang kertas Singapura. Seterusnya, bahasa kebangsaan negara itu masih lagi bahasa Melayu. Dan, ada banyak lagi faktornya.
Dalam sebuah lagu keroncong dendangan Puan Seri Saloma, (rujuk filem Labu Labi) ada disebutkan bait-bait lirik lebih kurang berikut: “Singapura akan lebih baik kalau berada di dalam Malaysia.” Saya tidak ingat liriknya secara keseluruhan.
Masalahnya, sejarah kita telah diputarbelit oleh penguasa (1) dan kedua, anak muda kini tidak lagi berminat mengkaji sejarah (2).
Semua ini sikit sebanyak terkait dengan masalah politik IPT hari ini. Saya melihat wujud kecenderungan di pihak berkuasa universiti yang ingin memutarbelitkan fakta sejarah dan anak muda, mahasiswa pula tidak berminat membaca sejarah mereka sendiri.
Orang-orang kerdil selalunya dilumpuhkan minatnya terhadap sejarah bangsanya sendiri. Usaha membunuh minat ini dilakukan pihak berkuasa. Di dalam masyarakat kerdil pula, sudah wujud generasi yang tidak mahu atau tidak suka kepada sejarah bangsanya sendiri.
Semua ini sangat merbahaya dalam jangka masa panjang. Tuntutan demi tuntutan bangsa asing ke atas tanah Melayu akan sentiasa berlaku. Singapura terlepas. Batu Putih masih di dalam perdebatan. Apabila perang tuntutan berlangsung, kita kena buka kitab sejarah.
Tanah ini hidup dan bernafas sebenarnya. Tanah ada jiwa tersendiri. Kita semua berasal daripada Adam dan datuk kita itu berasal daripada tanah (kullukum min Adam wa Adam min turab), demikianlah menurut ayat al-Qur’an.
Tubuh kita ada ciri-ciri tanah. Darah merah yang mengalir dengan urat berselirat di dalam tubuh kita adalah seperti alur-alur sungai yang mengalir di tanah dan di bawahnya. Hidup tanah kerana air. Tanpa air tanah binasa. Tanah tanpa air bakal kontang, gersang, kering, lesu dan tidak bermaya. Tubuh tanpa darah mengalir di dalamnya akan lumpuhlah ia.
Menurut Fansuri, apabila tanah itu ‘bernyawa’, ia akan membesar sebagai busut, tempat di mana anai-anai membuat sarangnya. Tanah akan membesar sebagai bukit. Paling akhir sekali, tanah itu akan meninggi sebagai gunung mencecah awan.
Rasul-rasul, nabi-nabi, dan wali-wali akan berkhalwat dan bersuluk di tanah tinggi, bukit dan gunung-ganang guna mencari ketenangan jiwa dan menerima wahyu daripada Tuhan. Musa a.s terima ‘Ten Commandments’ (10 Rukun) untuk Bani Israel di Bukit Thursina.
Baginda juga menerima wahyu pertama di bukit yang sama buat pertama kalinya menjadi rasul ketika bersendirian mengembara di waktu malam. Hal ini dicatat di dalam al-Qur’an ketika baginda melihat api menyala terang di bukit Thur.
Ketika baginda mahu mendapatkan api itulah, baginda mula menyedari bahawa di situlah tempat di mana Allah sedang menyampaikan wahyu kepadanya. Tanah-tanah ‘bernyawa’ ini mendapat perhatian ketika Tuhan mahu ‘menyinggah’ di alam ini.
Contoh yang lain Rasulullah berkhalwat di Gua Hira’ sebelum menerima wahyu. Baginda berada di bukit; tempat paling tinggi yang terasing daripada dosa-dosa manusia.
Oleh kerana manusia itu berasal daripada tanah, maka dalam kalangan manusia itu nyawa akan selalu hadir menyinggah kepada mana-mana manusia (tanah) yang berpotensi. Ada kalangan mereka yang mencapai darjat kewalian jika mereka Muslim. Insan (tanah) yang bukan Muslim akan memeluk ajaran Islam jika mereka ini berpotensi.
Demikianlah Singapura. Ia pada asalnya tanah yang berpotensi. Tapi, tidak dijaga dengan baik dengan amalan-amalan penduduknya. Akhirnya ia dirampas oleh orang bukan Islam.
Kini setiap inci anggota tubuh badan (tanah) warga Muslim Melayu Singapura sepertinya telah menjadi barang ‘dagangan’ untuk diberi kepada rakyat yang lebih memerlukan dan dalam masa yang sama, tubuh bukan Muslim negara pulau itu tidak diapa-apakan.
Tatkala nyawa Melayu Muslim di utara tanahair kita (Yala, Patani, Narathiwat) berada di hujung tanduk, jiwa mereka hangus diratah hujan peluru, warga selatan (Singapura) turut terkena tempiasnya dalam deraan yang bukan berbentuk fizikal.
Mampukah Abdullah memelihara insan-insan (‘tanah-tanah’) berpotensi?
Syahadan, ketika ini Abdullah Ahmad Badawi mahu mana-mana pihak yang mahu masuk Islam menghebahkan keislaman kepada ahli keluarga mereka sendiri.
“Ini supaya tidak lagi berlaku perebutan antara masyarakat Islam dengan pihak keluarga mereka,” kata Abdullah.
Pernahkah Abdullah terdengar kisah-kisah mualaf yang diburu dan diancam bunuh kalau mereka mendedahkan keislaman mereka? Saya fikir hal inilah yang perlu Abdullah fikir dahulu. Iaitu tentang bagaimana mahu menyelesaikan dilema mualaf ini.
Rasa-rasanya isu di sini bukanlah mualaf itu menyembunyikan keislaman mereka. Tetapi, bagaimana kalau mereka dibuang keluarga dan diancam bunuh setelah mendedah iktikad mereka yang baru? Adakah Abdullah mampu berdepan dengan keluarga mualaf ini?
Rasa-rasanya, soalan inilah yang perlu Abdullah jawab terlebih dahulu. Bukan hal mualaf tidak mahu mendedahkan keislaman mereka. Persoalan yang ingin dibangkitkan kalangan para mualaf itu ialah, kalau nyawa mereka terancam kerana mendedahkan anutan mereka itu, apakah Abdullah akan bertindak mempertahankan hak mereka?
Inilah dia Dilema Singapura. Ini dia dilema ‘tanah-tanah berpotensi’ yang gagal Abdullah selamatkan kerana beliau tiada keberanian mempertahan ‘tanah-tanah bernyawa’ ini serta beliau tiada kesungguhan pula dalam menyelamatkan jiwa-jiwa Muslimin Selatan Thai.
kalau aku sih suka aja baca puisi