Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Catatan di Pesta Buku, PDDP (12 April 2008, 10:24 p.m )

Saturday, April 12, 2008 , Posted by nota untuk Syiah at 9:38 AM

Darihal BBPM

Esok hari terakhir saya kerja di PWTC sempena Pesta Buku. Selepas itu merdeka, boleh mengarang seperti biasa.

Hari ini Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) membuat perjumpaan di PWTC. Di tandas tadi, ada sepucuk surat yang dihantar kepada seluruh umat Melayu Malaysia. Seolah-olah pesanan dan wasiat daripada pejuang Melayu (kononnya).

Ia lebih kepada melontarkan kekecewaan kepada Umno kalah dalam pilihan raya terbaru dalam menyeru ke arah penyatuan semula. Saya telah rasakan BBPM ini sebenarnya akan gagal juga. Ramai orang bercita-cita mahu jadi wira dan ramai yang tidak ikhlas. Pastinya tidak menyatukan juga antara Melayu yang kian berpecah ini.

Sebelum mahu menyatukan antara Umno dan Pas, BBPM satukan terlebih dulu Mahathir dan Abdullah. Abim pernah cuba bawa Mahathir dan arwah ustaz Fadhil atas pentas yang sama dengan menggunakan isu Palestin. Saya rasa tidak berjaya juga.

Tanpa gimik ucapan kedua-dua tokoh itu di atas pentas yang sama, Mahathir-ustaz Fadhil tetap berkongsi pandangan yang sama mengenai Palestin.

Perpecahan antara Umno dan Pas adalah kerana satu pihak mengukuhkan ISA, Auku dan lain-lain akta zalim. Sedang suatu pihak lagi membantah penggunaan dan penyelewengan akta-akta tersebut.

Kalau pemimpin kedua-dua parti itu dapat dipertemukan bagi menyusun muafakat untuk menentang dan menyokong beberapa isu yang diperselisihkan selama ini, itu baru cukup kuat untuk dilonjakkan sebagai asas atau kunci perpaduan. Wallahu Ta’ala ‘Alam.


Darihal Pak Samad Said, mantan Sasterawan Negara

Mungkin kelmarin saya pergi ke TR2 dan melihat Pak Samad bersama satu program DBP yang melibatkan kanak-kanak. Acara itu bertujuan melatih kanak-kanak mengeja istilah Melayu dalam jawi. Ketika itulah tiba-tiba pengacara menyapa Pak Samad.

“Bersama kita sekarang, Sasterawan Negara A Samad Said,” kata beliau. Pak Samad pun kemudian membisikkan sesuatu. Mulanya tidak begitu jelas apa isi butiran bisikannya.

“Ooo… Pak Samad kata mantan Sasterawan Negara,” kata sang pengacara itu kemudian, membetulkan ungkapan yang terawal tadi.

Tanpa perasaan apa-apa (mungkin??), pengacara terus mengalihkan perhatiannya kepada kanak-kanak tadi, “Apa makna mantan? Mantan itu ertinya bekas. Tapi, bukan bekas air.”

Saya tak begitu pasti apakah pengacara itu sedar dan faham kenapa ungkapan mantan SN itu diperbetulkan oleh Pak Samad. Mungkin dia faham. Hanya situasi itu tak memberikan kesempatan bagi mengulas kenapa Pak Samad menggunakan ungkapan tersebut.

Yang tertangkap dalam pemikiran saya adalah rasa kasihan kepada Pak Samad saat beliau cuba membetulkan istilah itu. Mahu buat bagaimana lagi? Kerajaan kita lakukan macam-macam cara untuk kononnya meningkatkan keilmuan. Tapi, penggiat sastera terabai.

Darihal Mas Andrea

Tadi petang sekitar jam 2:30 ke 3:00 petang, saya curi masa ke Bilik Johor (Kedah kot?) Untuk mendengar ‘talk’ daripada seorang novelis Indonesia yang sedang meningkat naik di negaranya. PTS telah menterjemahkan karyanya ke dalam Bahasa Melayu.

Sambutannya ke atas karyanya Laskar Pelangi amat hebat sekali. “Kira-kira 500,000 ribu naskhah yang telah terjual ketika awal-awal percetakannya.”

Antara catitan ringkas yang boleh saya titipkan di sini ialah …

“Sesuatu yang hebat itu ada di kiri kanan anda. Tak perlu bersusah-payah menulis karya mengenai John F. Kennedy,” dia berkata demikian ketika disoal seorang peserta tentang bagaimana menulis karya-karya yang hebat.

Mas Andrea berasal daripada Pulau Belintong, pulau kecil paling Timur di Sumatera. Dia berkata, di situlah ditemukan wajah seorang ibu tua yang boleh ditafsirkan dengan seribu penderitaan. Ibu tua itu ditunjukkan di papan layar putih dengan bantuan Microsoft Point.

“Wanita tua ini terlalu daif dan naif. Hingga, ketika ditanya siapakah Presiden Indonesia, dia berkata Sukarno dan Bung Hatta,” katanya disambut deraian tawa hadirin.

“Siapakah suaminya? Di mana anak-anaknya sekarang?” katanya ketika berhujah supaya para peserta menumpukan kepada isu-isu setempat, perkara-perkara kecil sehari-hari.

“Di tempat saya, masih wujud lagi papan tanda amaran ini yang dipacakkan oleh penjajah Belanda,” seketika itu juga layar putih menayangkan imej papan tanda bertulis: “Dilarang masuk tanpa hak.” Andrea tersinggung dengan papan tanda itu.

Beliau tak bersetuju dengan sikap Belanda yang meletakkan papan tanda bagi merangkul bijih timah sedangkan mereka bukanlah penduduk pribumi. Sepatutnya anak tempatan itu yang punya hak ke atas tanah itu dan berhak ke mana-mana tanah pun yang mereka suka.

Berkenaan penulisan karya, Andrea selalu berpesan supaya penulis melakukan semakan berkali-kali. Beliau kagum Rhoma Irama yang membuat semakan ke atas lirik-lirik lagu.

“135 juta rakyat Indonesia. Itu lirik lagu Rhoma. Dia membuat penyelidikan mengenai angka. Bagaimana dia tahu perangkaan itu kalau bukan melalui riset dan semakan?

“Sewaktu menulis Laskar Pelangi, saya tiada teori. Pedulikan apa sahaja dunia mahu kata apa tentang anda. Ketika menulis itu, saya sedang ‘terbang’ dan ‘belayar’,” kata beliau.

Andrea nampaknya melihat teori-teori pengajaran sastera sangat menyulitkan apabila dia mahu berkarya menurut susunan teori-teori akademik yang diajarkan di kuliah sastera itu.

Pada masa depan, karyawan muda ini akan menulis karya terbaru. Angan-angannya ingin menulis karya terbaru menyebabkan seorang penerbit sudah mahu menempah karya yang belum lahir itu untuk menjadikannya sebagai sebuah filem.

“Karya-karya saya sebelum ini sedang diolah dalam bentuk filem. Sampai ada pembaca yang marah-marah kepada saya. Kata mereka, kalau filemnya tidak sama dengan cerita di novelnya, awas ya!

“Tapi, penerbit yang terbaru ini mahu saya menjadi sutradara bagi filem itu. Tunggu saja kelahiran filem ini di mana saya menjadi sutradaranya,” kata beliau menutup perbualan.

12:30 a.m, 13 April 2008
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Currently have 0 comments: