Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Hari terakhir bekerja di PWTC, merdeka ...

Sunday, April 13, 2008 , Posted by nota untuk Syiah at 7:37 AM

13 Disember 2008, 9:14 p.m

Saya keluar daripada ‘booth’ ITNMB kira-kira jam 8:12 p.m berdasarkan jam di HP saya. Sebelum balik, sempat saya pergi ke PTS, lalu menghantar cenderamata ITNMB buat Pn. Ainon dan staf-staf di ‘booth’ beliau. Ketika itu jam baru menunjukkan sekitar 7:00 p.m.

Saya bertanya apakah mereka pernah terbitkan buku-buku puisi? Kata Pn Ainon, “Kami tak terbit buku-buku puisi, kecuali kalau ada nama-nama besar seperti Pak Samad Said.”

“Jadi, kalau cerpen-cerpen, ada tak diterbitkan? Macam antologi cerpen ke?” tanya saya.

“Ya, kalau cerpen-cerpen tu memang ada. Kita pernah terbitkan,” lalu dia menunjukkan sebuah karya Ilham Hamdani. Kata seorang staf di situ, pengarang itu adalah pelajar di Jepun. Tajuknya entah apa, saya tidak ingat. Mekar Sakura agaknya.

Nampaknya, saya kenalah beralih dan bergiat pula dalam lapangan cerpen!

Jarum jam menikam ke angka 7:32 malam agaknya apabila saya berbual dengan mereka. Ketika ‘booth’ hampir ditutup di PTS, mereka lelong sehingga potongan 30%. Jadi, saya beli kedua-dua novel buah tangan Andrea Hirata (Sang Pemimpi dan Edensor).

Sang Pemimpi adalah novel kedua selepas Laskar Pelangi. Edensor adalah novel ketiga beliau. Kedua-duanya berharga RM26.00 setiap satu. Selepas diskaun, ia jadi RM 36.40.



“Habis lagilah duit aku,” hati saya berbisik lagi. Kalau ada pesta jualan murah dan kalau kebetulan saya baru keluarkan duit daripada Maybank, harus kencang mengalir wang itu dalam masa yang singkat.

Terasa rugi juga. Tadi pada 7:10 petang, saya beli Laskar Pelangi dengan potongan 20%. Daripada RM28.00 jatuh kepada RM22.40. Hanya beza lebih kurang 22 minit (7:32 p.m – 7:10 p.m), maka harga setiap buku turun pula daripada 20% kepada 30%. Aduss …

Beberapa hari lalu, saya beli Memoir Kassim Ahmad, ketika itu, dapat diskaun 15%. Jadi, saya baru teringat sesuatu. Memang jadi petua orang bijak pandai, membeli pada waktu-waktu terakhir. Ada diskaun. Tiba-tiba saya teringat sesuatu mengenai agama dan akhirat.

(Ketika sedang menaip ini, terdengar letupan api pesta. Keadaan makin bingit. Entah apa sambutannya, sekitar jam 10 malam ini. Ketenangan untuk mengarang agak terganggu.)

Kata ulama’, kita ini umat Nabi Muhammad s.a.w yang terakhir. Barangkali, kerana kita ini umat terakhir, maka bermacam diskaun yang Tuhan berikan kepada kita. Sebab, masa semakin suntuk dan kiamat semakin dekat. Daripada 50 kali solat dikurangi kepada 5 kali solat sehari lima waktu. Rujuk kisah Isra’ Mikraj ketika Nabi Musa meminta Rasulullah bermohon kepada Tuhan agar mengurang jumlah solat dan bilangan rakaat itu.

Tetapi, dalam kes ini tidak samalah dengan orang yang sengaja melewat-lewatkan solat. Kalau tidak, semakin ramailah orang yang melewat-lewatkan solat untuk mendapatkan pahala diskaun itu.

Kunci rumah hilang
Kunci rumah hilang, kena buat lain. Kunci rumah RM2.50 dan kunci mangga (RM4.00). Semuanya RM6.50.

Ketika tiba di rumah tengahari tadi, budak-budak jiran di sebelah rumah beritahu, mereka nampak kunci saya jatuh. Sahlah, semalam saya terlupakan kunci itu dan ada orang yang mengambil kedua kunci mangga dan kunci pintu rumah.

Saya cuma berharap, agar pencuri itu akan kehilangan kunci yang dia curi itu jika dia ada niat mahu menceroboh ke rumah kami nanti. Saya juga tinggal berharap, agar Allah dapat campakkan penglihatan karut di depan matanya ketika dia mahu ceroboh rumah sehingga dia melihat seolah-olah ada laut di depan dan dia akan ‘berenang’ sehingga ke pagi.

Semoga kami dapat ‘menepuk’nya untuk sedar lalu kami dapat mengenal siapa orang itu. Kejujuran telah terhakis... Tuhan, masukkanlah aku ke dalam golongan insan yang jujur...



Media baru
Berjumpa Cik Pyan, grafik layout. Sebenarnya kami berjanji berjumpa. Turut hadir sama Yusdar tukang pembuat filem. Kami pun membuat penggambaran video kamera guna hp Yusdar. Sikit masa lagi Yus akan kirim fail itu. Saya akan masukkannya dalam YouTube apabila selesai suntingannya. Insya Allah …

Di antara resolusi dan deklarasi dalam forum anjuran Sekolah Pemikiran PWTC itu ialah, Dato’ Lat disaran menjadi Senator di dalam Dewan Negara bertujuan memperjuang nasib kartunis-kartunis di Malaysia. Setakat ini, ada Pekartun dan Pekomik.com.

“Depa nak buat penyusunan kartunis 60-an, 70-an, 80-an. Tapi, setakat ini tiada direktori yang tersusun,” demikian kata Cik Pyan itu. Forum itu disulam lawak jenaka kasar serta tidak serius juga. Tapi, bolehlah sekadar nak mengembangkan rasa tidak puas hati mana-mana pihak yang berkenaan. Nak harap media perdana, tobat lahum …

Pada 4:07 petang, seorang usahawan menunggu saya di Riverside. Kami berbual-bual di situ kira-kira setengah jam agaknya. Apa yang kami bualkan tak dapat diceritakan di sini. Dan siapakah dia, tidak boleh juga disiarkan di sini atas sebab-sebab tertentu.

Tapi, ia berkaitan dengan media. Sama ada ia berjaya atau tak, saya tawakal kepada Yang Maha Berkuasa. Selepas pilihan raya ke-12 lalu, sikap media tak pernah berubah nampak gayanya. Media sukar berlaku adil dalam laporan, melainkan propaganda semata-mata.

10:28 malam, 13 April 2008.
Sekolah Pemikiran PWTC.

Currently have 1 comments:

  1. Anonymous says:

    Aku la ni kat address ni: http://sofianishak.blogspot.com - harap maklum...