Umno 'restui Ahmad Said, tapi Agong masih murka kepada Abdullah
Apabila PM Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan perlantikan sesiapa pun selain Dato' Seri Idris Jusoh sebagai MB Terengganu sebagai suatu hal yang menyalahi perlembagaan, telah hangus dan rentung hati istana dibakar oleh kata-kata itu.
Semburan ucapan Abdullah bagaikan naga menyembur api ke dinding istana. Percikan api penderhakaan telah menjilat seluruh istana sehingga runtuh punahlah semuanya tanpa meninggalkan apa-apa kesan lagi. Tapi, beliau dan Umno tidak tahu kemurkaan istana ini.
Belitan Barisan Naga (BN) yang sekian lama menindas rakyat sebelum ini telah membelit istana melalui seluruh kekuatan yang ada khasnya dengan kekuatan media itulah. Adakah media perdana memberi ruang kepada istana untuk membalas kebiadapan Abdullah?
Apakah Abdullah mengira, badai kemurkaan yang kian bergelora di istana amat mudah dipadam dengan renjisan autanya dalam sidang media terbaru ketika dia berkata, bahawa Umno telah merestui Dato' Ahmad Said sebagai MB Terengganu? Sekali-kali tidak!
Siapakah 'natang' (binatang) yang dimaksudkan Umno 'Team' Idris? Dato' Ahmad Said atau pihak yang melantik Ahmad Said sebagai MB Terengganu? Tangan Umno mencincang, bahu Umnolah memikulnya.
Syahadan, itu baru secebis peristiwa daripada selaut penderhakaan kepada baginda sultan. Jangan sampai dikatakan bahawa Umno itulah yang menyemai bibit derhaka ke dalam jiwa rakyat. Paling menakutkan, setelah menderhaka, tiada maaf dipinta oleh Umno dan Abdullah daripada baginda sultan.
Siaran langsung memohon maaf kerana derhaka
Sepatutnya, majlis memohon ampun kepada baginda sultan perlu diadakan secara siaran langsung melalui RTM untuk memberi pengajaran kepada rakyat seluruhnya.
Kepada mereka yang masih ingat, Abdullah berkata demikian ketika beliau sedang dalam keadaan berhajat menonton Formula 1. Beliau diserbu dan diminta pendapatnya sebelum atau selepas beliau menonton acara sukan acuan Barat yang bertaraf dunia itu.
Beliau berada di tempat yang melalaikan di mana amoi-amoi jelita dan gadis genit Jepun kulit bergetah, putih gebu, halus mulus yang berkain hijau singkat sejengkal tingginya dari paras lutut, yang sesekali terbuai oleh desiran halus angin sepoi-sepoi bahasa Jepang pada waktu petang di Sepang atau boleh terselak akibat deruan tempias angin yang dilanggar dengan lajunya oleh kereta lumba itu. Dan, mereka itu pula berbaju singkat, ketat dan di bawah baju itu ada sebidang wilayah cerah, setinggi seinci saja dari pusatnya. Demikian nilai-nilai hadhari itu.
Arakian dalam persekitaran yang serba-serbinya berbaur penderhakaan kepada Allah s.w.t itulah, maka Abdullah mengeluarkan ungkapan 'derhaka' kepada istana. Sama ada mata beliau kerling sedikit ke arah sosok genit itu sambil mencuci matanya, sambil menyelam minum air atau sambil menonton F1 'usha' perempuan, hal itu semua adalah urusan antara Allah dan Abdullah jua.
Paling penting di sini ialah kita cuma ingin berkata, bahawa jika Abdullah tidak menonton F1 sekali pun, tidak terjejas urusan negara. Abdullah sanggup menonton F1 ketika Umno sedang bergolak! Bukankah hal ini menambah buruk imej reputasi beliau dalam keadaan gawat kini?
Antara F1 dan OIC, Abdullah hilang wibawa sebagai PM
Tetapi, itu bukan jawapan yang boleh diberikan oleh seorang Perdana Menteri yang ingin menjaga wibawanya, melainkan jika Abdullah memang tidak menghiraukan wibawanya. Apa kata orang nanti atau pada kemudian hari dengan tindakan Abdullah sebegini?
Urusan pemindahan jawatan Pengerusi OIC oleh Malaysia ke atas negara Islam lain amat penting dalam konteks OIC. Jenazah pemerintah tidaklah dikebumikan melainkan setelah rakyat setempat sebulat suara bermuafakat tentang siapakah penguasa baru yang bakal menggantikan penguasa yang baru meninggal dunia.
Malangnya, Abdullah dalam hal mempertahankan kuasanya dalam Umno, beliau sanggup menjarakkan tarikh 'muktamar' Umno sehingga Disember tahun ini. Walhal, kali terakhir 'muktamar' parti itu dilakukan ialah pada September tahun lalu.
Di dalam batang tubuh Abdullah terbangun dan terbina dua macam kuasa. Kuasa sebagai Presiden Umno dan PM. Ringkasnya, demi menyelamatkan kuasa sebagai Presiden Umno, Abdullah menjarakkan lebihan masa tiga bulan daripada tarikh sepatutnya 'muktamar' Umno itu diadakan. Dan, untuk menjaga kedudukannya sebagai PM, beliau mengawalkan pula pilihan raya umum.
Jika batang tubuh, jiwa, roh, fikiran dan perasaan Abdullah sudah kotor dan tidak lagi jernih, maka lakukan apa saja, pasti tidak akan berjaya. Samada mengawalkan pilihan raya dan melewatkan 'muktamar' untuk pertahankan jawatan Presiden Umno dan kuasa sebagai PM, beliau tetap akan kalah, insya Allah! Kalau menang sekali pun, Abdullah telah kalah dari segi moralnya.
Segala sentuhan Abdullah adalah sentuhan kecundang. Projek koridor, ECER dan segala rancangannya akan punah ranah bagai rosaknya segala perancangan Abu Lahab dan isterinya seperti yang difirmankan Tuhan dalam al-Qur'an. Abdullah dan isterinya banyak memainkan peranan di sebalik tabir sebelum ini secara diam-diam.
Ini kerana, dalam jasad, jiwa kotor dan tidak jernih, rahmat Allah tidak akan menumpang. Allah tidak bersama Abdullah. Beliau kalah tetaplah kalah! Cuma, tunggulah masanya, insya Allah.
Abdullah dan Umno takutkan bayang-bayang sendiri. Anwar, Bersih, Hindraf dan semuanya adalah bayang-bayang Umno yang menakutkan mereka sendiri. Dan, objek-objek itu diciptakan mereka sendiri sebelum ini tanpa suruhan sesiapa pun!
Riak petanda bahawa Abdullah tetap mempertahankan jawatan Presiden Umno sudah jelas kelihatan di dalam sidang medianya yang terbaru. Ketika ditanya pemberita kalau-kalau ada pertandingan dalam perhimpunan agung Umno nanti, beliau berkata:
"Saya akan menghadapi mereka. Jika mereka dapat pencalonan, mereka boleh bertanding nanti. Kenapa saya perlu mengundur diri?" kata beliau lalu terus menutup sidang media tersebut.
Kata nabi, "Keredhaan Allah s.w.t terletak di atas keredhaan ibu bapa." Tun Seri Lanang telah menukilkan sepatah titah seorang sultan dalam Sulalatus Salatin, "Daulat raja-raja terletak di atas rakyatnya." Kata rasul, "Syurga itu di bawah tapak kaki ibu."
Ringkasnya, kita perlu cermat menaruh hormat kepada 'asal' mula kita. Ibu bapa adalah 'asal' kepada anak. Daulat raja-raja itu berasal dan berpunca daripada rakyat. Asal perlantikan PM ke atas Abdullah adalah melalui perkenan istana setelah diberikan mandat oleh rakyat.
Jeritan dan pekikan rakyat telah bercantum dengan raung kemurkaan yang merobek pintu hati istana. Semua ini gagal dirawat Abdullah dalam misi Umno; merawat Kelantan kononnya. Keadaan ini bagai retak menanti belah. Beliau hanya perlu menghitung hari-hari kejatuhannya di depan pintu istana dan tersungkurnya beliau di bawah telapak kaki rakyat.
Anak Hindraf berdemo di KLCC
Dulu, ketika dia belum kenal Jean Todt, dia sanggup buat pilihanraya 2004 serentak F1,
kini bila dah berkawan dgn jean todt, dia tingalkan segalanya untuk berF1 dengan jean Todt.
sudahlah sebelum ini dia tinggalkan banjir besar di johor kerana bercuti bersama jean todt.