Negara Islam Negara Kebajikan?
Oleh kerana kritikannya ke atas tulisan saya itu diletakkan dalam kurungan (untuk edaran dalaman sahaja), maka tidak dapat saya sertakan ‘link url’ beliau dan hebahkan pendapat beliau secara terbuka di sini. Saya perlu menghormati tulisan ‘senior’ saya itu.
Antara pandangan beliau yang selalu saya kenangkan ketika membayangkan pergelutan dalaman bersama rakan-rakan sekerja ialah:-
Kata-kata begitu saya olah semula dan kembangkan supaya dilihat jelas sebagai satu cara menunjukkan bahawa pertelingkahan pendapat antara saya dan ‘senior’ saya itu bukanlah hadir dalam bentuk dendam, dengki, iri hati. Malah, pertembungan itu kerana idea sahaja.
Niat awal saya ialah mahu membetulkan keadaan. Mahu pimpinan Pas bertanggungjawab dan rakyat Malaysia sekitar 25 juta tak teraniaya. Saya pada hakikatnya adalah wartawan rakyat walaupun bekerja dalam media organ parti kebajikan tersebut. Itu sahaja.
‘Senior’ saya itu tak mahu pendapat yang mengkritik Pas diapungkan dalam media maya kerana bimbang imej Pas tercalar, apatah lagi saat PRU yang bakal menjelang. Sungguh saya mengerti dan berfikir ratusan kali ketika saya mahu menulis catatan mengkritik Pas ini. Saya tahu risiko apa yang menimpa Pas ketika kritikan ini dilayangkan ketika PRU.
Beliau pun agak terkenal dengan kritikan pedasnya ke atas pimpinan Pas juga. Jadi, pada suatu sudut, dalam diri kami memang ada persamaan dan mungkin wujud perbezaan. Dia mengkritik pimpinan parti kebajikan melalui blog. Saya cuma kritik parti kebajikan saja.
Pendek kata, saya sudah meratah segala sudut risikonya dan saya hadam faham-fahaman bertaburan yang bakal hadir untuk mengkritik pandangan saya semula sesudah itu. Saya menulis ini dengan penuh bertanggungjawab dan saya memang akan mempastikan setiap teguran itu akan dibalas dengan sesempurna jawapan.
Bukannya saya tidak terfikir kritikan ini bermasalah jika dilakukan sebagai tatapan umum dan tambahan pula ia tersiar ketika PRU akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja. Pas akan mendapat seorang pengkritik terbaik, melainkan kalau mereka melihat sebaliknya.
Asas kritikan saya dengan ‘senior’ itu mungkin berbeza kerana (1) kita kini dekat kepada ‘mood’ pilihan raya dan (2) pandangan hidup (worldview) ke atas kedudukan Pas sebagai sebuah parti, kerajaan, dan negara yang mahu memperjuang kebajikan 25 juta rakyat.
‘Senior’ saya itu mungkin tidak mahu tulisan ini dijadikan ‘bahan pameran’ untuk tatapan umum. Tapi, pada saya jika pimpinan Pas mahu menjadi khalifah di bumi bertuah ini, dia mesti berani menerima teguran sebelum dilantik menjadi khalifah dan sesudah diangkat sebagai khalifah. Belum pun menjadi khalifah sudah tidak boleh ditegur ni, apa cerita?
Nabi Muhammad ditegur Tuhan beberapa kali dalam al-Qur’an secara terbuka. Di dalam ruang masa terbatas, saya tidak dapat memperincikan dalil dan nas itu. Ketika Umar jadi khalifah, ada beberapa hal yang menunjukkan mereka ditegur sebilangan rakyat. Mereka menjawab sekadar kemampuan mereka. Saya tak tahu adakah pimpinan Pas hari ini dapat mengikuti jejak langkah sulung yang ditinggalkan pimpinan besar ikutan Muslimin sejak dulu, kini dan selama-lamanya itu?
Pengalaman ketika di Siasah
Ketika saya mula bekerja di Siasah, Mat Sabu atas nama Lujnah Pekerja pernah membuat satu sidang media tentang kebajikan buruh dan kaum pekerja. Semasa di penghujung sesi soal jawab, dalam keadaan santai, seorang wartawan Harakah bertanya kepada Mat Sabu.
“Masalah kami ini macam mana haji? Kami bukannya ada union,” lebih kurang begitulah soalannya. Saya pun jadi ingat-ingat lupa.
“Laa… macam tu ka? Oh, tak boleh kalau begitu. Kita kena wujudkan dulu. Kalau tidak, nanti orang akan kata macam-macam kepada kita kemudian hari,” balas Mat Sabu lagi.
Menurut hemat saya, beliau tidak bersalah dan tidak boleh dipersalahkan. Nampak dalam ucapannya itu, mengandungi keikhlasan membantu. Beliau tidak tahu dan mungkin tidak diberitahu. Ini semua adalah pakej kemungkinan. Tiada yang mampu menjawabnya.
Mungkin wartawan Harakah sebelum saya tidak pernah memaklumkan hal ini kepadanya atau, mungkin pihak yang bertanggungjawab menjaga lidah rasmi parti tidak peka hal ini. Jadi, kalau tidak dimaklumkan oleh wartawan veteran itu, Mat Sabu pun tidak tahu.
Kemudian ‘senior’ saya itu membangkitkan juga soal wartawan parti yang buat kerja pun tidak berkualiti, pemalas, copy-paste. Jadi, menurut beliau, kita asyik menulis kelemahan parti. Tapi, kelemahan wartawan sendiri, adakah mahu diketepikan?
Jawapan saya, hal wartawan yang malas, yang copy-paste berita boleh diangkat menjadi pengarang berita, itu bukanlah jenis wartawan yang ingin dimasukkan dalam bualan ini. Mereka ini bukanlah orang-orang yang mahu saya perjuangkan.
Ketika menulis di dalam catatan pertama dulu, saya lihat wajah ‘senior’ saya itu sendiri termasuk wajah saya dan rakan-rakan lain yang tidak mendapat pembelaan dan mereka ini boleh dikatakan bersungguh-sungguh dalam membuat pekerjaan.
Soalan saya, bagaimanakah kumpulan ini terpilih dan menduduki jawatan tinggi. Adakah wujud pemilihan secara sistematik atau pakai cekau begitu sahaja? Ini memang kes lama, tapi cukuplah menjadi peringatan kepada mereka yang ingin memimpin supaya memilih orang yang betul untuk menduduki jawatan yang betul.
Saya terpaksa bercakap dan menulis hal ini walaupun saya sendiri tidak suka menulisnya secara terbuka. Ingat, saya sendiri tidak suka menulis ini. Saya menulis di dalam keadaan dilema. Tapi, ingat ya. Parti ini mahu memerintah negara. Negara itu bersendi kebajikan. Dan kebajikan itu membabitkan kira-kira 25 juta rakyat kita termasuklah 1.6 juta warga asing yang direkodkan dan selebihnya belum direkod oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
Sehingga kini, saya belum lagi berjumpa dalil, nas, syariat, hukum, fatwa yang melarang kritikan terbuka terhadap pemimpin negara mahu pun pimpinan parti. Agama melarang keras fitnah. Kebajikan warga wartawan termasuk saya dan ‘senior’ saya itu bukan fitnah. Ada hak saya termasuk ‘senior’ saya yang belum lagi dilunas oleh ‘parti kebajikan’ itu.
Jadi, kritikan terbuka ke atas parti kebajikan menjelang pilihan raya tak tersenarai sebagai jenayah besar dalam pemerintahan Islam. Maaf saya cuba berpegang kepada ajaran Islam berasaskan tafsiran saya yang mungkin salah dan mungkin benar. Dan saya tidak berpaut pada dahan ajaran Islam yang ditafsirkan pimpinan parti kebajikan. Kalau tidak berpuas hati dengan tafsiran saya, marilah sama-sama berbual. Saya sudah terlalu lama bersedia.
Yang saya jumpa adalah kes kritikan terbuka seorang lelaki yang menghunuskan pedang kepada Umar lalu dia berkata: “Jika begitu, pedang inilah yang akan meluruskan engkau wahai Umar!” Lalu Umar berkata, “Syukur kerana masih ada orang yang mahu luruskan Umar.” Ini kritikan terbuka di hadapan khalayak ramai ketika internet belum wujud.
Mungkin ada pihak berkata, “Masa itu, parti-parti politik belum wujud.” Adakah ucapan ini bermaksud, jika Umar ada parti politik, maka beliau tak mahu keburukannya disiarkan kerana bimbang politik beliau akan berakhir? Jika demikian, sama tarafnya Umar dengan pimpinan politik kepartian (kebajikan) Islam pada hari ini.
Walhal Umar tidak sebegitu. Jika dia salah, maka dia akan segera minta maaf. Contohnya sudah ada. Kenapa kita tidak mahu ikut? Bukan tak pernah terserempak dengan kes Umar mengendap (baca: menyiasat) orang dan akhirnya Umat pun mohon maaf setelah ditegur orang itu. Saya tidak perlu menulis habis kisah Umar kerana tahu agamawan parti handal belaka dan lebih handal daripada saya sendiri.
Najis milik siapa di kampung kita? Dan, siapakah yang memberaknya?
‘Senior’ saya itu menyatakan dalam emelnya, bahawa Pas adalah kampungnya. Janganlah melumurkan najis di kampungnya. Ada dua isu berbangkit di sini; ‘kampung’ dan ‘najis’. Pas adalah kampung saya juga. Saya ahli Pas dan saya memang mengundi Pas.
Saya tidak melumurkan najis di kampung saya sendiri. Ketua kampung, penggawa JKKK desa itu sendiri yang memberakkencingkan najis itu di desa kita sendiri. Kita menjerit di sini cuma ingin menyapu saja sampai bersih. Kalau tidak bersih juga, kita tidak bersalah.
Najis telah wujud walaupun kita menjerit di blog untuk membersihnya atau kita pendam rasa. Najis tetap najis. Cuma, ada penghuni yang setia membutakan mata, pekakbadakkan telinganya atas nama bimbang wala’nya diragui penghulu kampung.
Tugas penghulu adalah membersihkan desanya sendiri. JKKK yang berak kencing. Kita cuma ingin membersih. Tapi, kita pula yang difatwakan sebagai memburukkan kampung. Ini semua mengingatkan ya kepada pengalaman berperang di zaman bangku kuliah.
Lupakah HEP bahawa yuran universiti itu datang daripada wang PTPTN pelajar? Dalam kaedah yang sama, sedarkah bahawa wang rakyat turut mengalir dalam badan organ parti melalui pembelian media kita dan yang mengirim wang dalam akaun kita? Yang membeli akhbar ini bukan ahli parti saja tetapi orang luar juga. Rakyat membeli akhbar kita kerana mereka ingin mencari kebenaran maklumat dengan seadil-adilnya.
Jadi, pertanyaan begini pernah dimajukan Ketua Penolong Pendaftar HEP Nazru Ismail kepada saya dalam jawatankuasa siasatan dahulu, “Tidakkah awak rasakan penjelasan ini memalukan dan menjejaskan nama baik universiti?”
Sebenarnya, inilah soalan yang saya tunggu-tunggu daripada beliau, “Saya tidak malukan nama universiti. Malah kita perlu debatkan siapakah yang memalukan nama universiti itu melalui kelulusan Aman Damai Idol tersebut.”
Dia terdiam akhirnya. Matanya tunduk kerana sedar diri. Sebenarnya, beliau sendiri yang menubuhkan Aman Damai Idol ketika menjadi penggawa desasiswa Aman Damai. Maka, yang melumurkan najis di kampung itu bukan saya, sebaliknya penggawa.
Jadi, apabila saya mula menjerit di laman surat pembaca, maka saya dituduh memalukan nama baik universiti. Siapa yang memalukan siapa sebenarnya? Ramai pimpinan pelajar yang termakan racun hasutan HEP sebegini. Sebab itu mereka tidak mahu menulis kerana ingin menjaga nama baik universiti, di samping takut bayang-bayang sendiri dan Auku.
Kebajikan bersumberkan wang keahlian parti dan cukai negara ke atas rakyat --- (Daripada parti ‘kampung’ ke ‘kota’ dan menjadi ‘negara’)
Pas adalah sebuah organ parti yang berdaftar secara sah. Nafasnya akan bergerak melalui wang keahlian. Saya ahli parti dan saya pernah membayarnya. Tetapi, hal itu tidak akan membatalkan hak saya untuk mengkritik secara sihat demi kebaikan bersama.
Seringkali Pas digambarkan sebagai sebuah parti kampung. Samada benar atau tidak, itu semua bergantung atas tafsiran masing-masing. Kita bukan mahu bualkan soal tafsiran itu pun di sini. Cuma, kita mahu melihat kedudukan kampung, pekan, kota dan negara.
Setiap desa, pekan, kota dan negara mempunyai jabatan tersendiri yang akan memungut hasil cukai-cukai guna memanjangkan peruntukan itu untuk keselesaan infrasturuktur dan prasarana di setiap kawasan tersebut. Pendek kata, untuk dipulangkan kembali atas nama menjaga hal-ehwal di desa, pekan, kota dan negara itu sendiri.
PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dibina oleh Majlis Kerajaan Tempatan. Ini semua tidak perlu saya kembangkan ceritanya lagi. Ramai orang boleh faham. Jadi, apakah kaitannya dengan parti-parti yang bergabung bagi memenuhi kebajikan 25 juta rakyat Malaysia itu?
Seperti yang tersebut di atas, saya adalah ahli Pas dan saya bayar yuran keahlian. Pas ini adalah badan organisasi di peringkat kampung. Tiba-tiba dia mahu melangkah, melonjak dan menjejakkan kakinya ke sebuah wilayah bernama negara. Badan organisasi ini bakal berubah menjadi negara. Yuran keahliannya bertukar nama sebagai cukai rakyat.
Seluruh rakyat Malaysia sekalian. Tolong fahami betul-betul hal ini. Yuran keahlian parti sebagai organisasi akan berubah nama dan tarafnya menjadi cukai negara. Negara adalah organisasi yang tersusun lengkap dan teratur.
Dan, sekali lagi diperingatkan. Parti atau parti-parti itu akan dinaiktarafkan sebagai suatu organisasi baru yang bersifat negara. Dan, negara itu bercitra kebajikan. Yuran-yuran pun yang selama ini dinamakan sebagai yuran keahlian parti ditukar nama kepada cukai-cukai negara. Saya mahu mereka yang benci pandangan saya sebelum ini akan faham ‘sampah’ fikiran saya terlebih dahulu, sebelum mereka memusatkan sepenuh tenaga kebencian itu.
Orang akan kata, Umno lagi teruk. Tolak ketepi dahulu hal Umno. Satu dunia tahu Umno parti korup. Pemimpinnya tidak berwibawa, hanya bermodalkan nama ayah dan datuknya sahajalah dia boleh dilantik ke tempat Presiden Umno dan Perdana Menteri.
Saya sayangkan kampung saya yang telah terpalit najis, gara-gara kritikan saya terdahulu dan bukannya gara-gara tindakan para dewa-dewa dan penggawa kampung.
Organisasi kampung ini mahu dilonjakkan kepada negara tanpa melalui laluan asal; kota, pekan, bandaraya dan negara. Inilah yang saya mahu tanya. Faham yang menghubungkan yuran keahlian dengan cukai negara sudah benar-benar masak, meranum serta merendang dalam hati, jiwa dan perasaan mereka atau belum?
Jawablah… Ini cuma tangga pertama atau bab satu daripada Sekolah Pemikiran Kg Baru.
Teguran dalaman menjelang PRU tidak menjejaskan apa-apa
Mengenai teguran bersifat dalaman yang kononnya akan menyebabkan musuh akan dapat menggunakan hal ini sebagai senjata, saya tidak fikir kelemahan dalaman Pas yang mahu Umno gunakan sebagai peluru mereka ini akan berhasil.
Semua ini tertakluk kepada dua faktor. Pertamanya, Pas mempunyai pengikut tegar, totok yang tetap akan mengundi Pas walaupun parti ini akan menjadi teruk walau dalam situasi apa sekali pun. Percayalah, dalam hal ini, pengundi tegas, totok Pas dan Umno sama saja.
Kenapa tidak? Antara pengundi totok dan tegar dan tetap mengundi Pas walaupun parti itu bersimbah paparan imej negatif adalah saya sendiri termasuk ‘senior’ saya juga. Dan, ketegaran dalam mengundi Pas-BA ini tidaklah membatalkan semangat mengkritik parti dan kepimpinan parti itu sendiri. Ini penting, agar jangan sampai mereka dibuai leka.
Kedua, manusia atas pagar yang tetap akan memilih BA kerana rasional berfikir. Mereka ini akan berkata, walaupun BA ada masalah tetapi dalam BN lagi teruk. Biarlah BN jatuh dahulu dan bila BA teruk, kita pangkah BN semula. Dan, begitulah seterusnya.
Semua pendapat ini dicatatkan kerana saya menghormati rakyat. Rakyat berhak memilih pemimpin berdasarkan maklumat yang mereka terima. Kita jangan menjadi wartawan su’ (jahat) seperti ulamak su’, (jahat) yang menyembunyikan terus kepincangan pemerintah, termasuklah enggan menegur pemerintah dan pemerintahannya.
Wartawan Umno akan menyembunyikan keburukan Umno dan wartawan Pas pula akan menyembumnyikan hal keburukan pimpinan Pas. Yang ruginya nanti adalah rakyat itu sendiri. Saya wartawan rakyat walaupun saya bekerja di akhbar milik parti kebajikan.
Kalau ada pihak berkata, Umno pun teruk juga. Jadi, kenapa tidak kritik? Sebelum anda bertanya, sila semak Harakahdaily dan taip nama saya di situ. Lihat apa benda yang saya tidak kritik mengenai Islam Hadhari, Pak Lah dan Najib. Takkanlah saya hanya menegur Umno saja lalu membiarkan pemimpin parti kebajikan tidak ditegur kesilapan mereka?
Apa beza Islam Hadhari dan kebajikan hadhari?
Bercakap mengenai kritikan saya ke atas Umno, Pak Lah dan Najib, seingat saya, hampir kesemua kritikan tersebut terpusat seputar Islam Hadhari. Soalnya kenapakah saya terlalu kuat menentang gagasan Islam Hadhari ini? Padahal, dahulunya ada juga sokongan kerdil saya terhadap gagasan tersebut. Agak-agaknya kenapa ya?
Inilah pelajaran kedua daripada Sekolah Pemikiran Kg Baru.
Islam adalah nama Allah, Asma’ul Husna. Antara 99 nama-nama Allah adalah as-Salam. Ini mengandungi makna yang hampir sekali dengan kebajikan Tuhan. Kesejahteraan dan kebajikan ini amat rapat. Jadi, Tuhan meminjamkan namanya sebagai suatu pegangan ke atas manusia untuk dijadikan sebagai pedoman dan cara hidup.
Maka, daripada lafaz kalimat as-Salam itulah terciptanya istilah Islam sebagai pedoman dan cara hidup. Istilah Islam kini dikembarkan kepada parti yang berpotensi naik kepada sebuah negara; Negara Islam. Dan Negara Islam itu adalah Negara Berkebajikan.
Saya cuma tidak mahu pemimpin saya termasuk saya sendiri mencederakan nama Islam. Mencederakan nama Islam ertinya kita merosakkan salah satu nama Allah; as-Salam itu tadi. Selalu kita diperingatkan supaya menjaga nama baik ibu bapa.
Apakah kita telah menjaga nama baik Allah s.w.t? Ini perkara besar, bukan main-main. Kalau diikutkan rasa hormat saya kepada pemimpin parti kebajikan, saya tidak mahulah tulis secara terbuka. Tetapi, apabila direnung sedalam-dalamnya, terpaksalah saya tulis.
Ini kerana, orang Islam ada dalam Pas, Umno dan lain-lain parti. Islam itu milik bersama. Rosaklah nama Allah di hadapan orang-orang bukan Islam. Siapa mahu jawab dan siapa yang nak bertanggungjawab? Kita mahu sedarkan bahaya ekoran kesilapan kita nanti.
Ketika menulis ini pun ilham datang daripada Allah. Dia yang meminta saya susun bahan pemikiran seperti ini, sebab parti-parti ini yang dulunya bertaraf parti, mahu dilonjakkan kepada sebuah negara yang akan menjaga kebajikan kira-kira 25 juta ahli parti negara itu.
Manifesto kebajikan ini seakan-akan sama dengan manifesto Islam Hadhari yang sepuluh rukun itu. Dulu, saya bagai nak gila menyokong Islam Hadhari sehinggalah Pak Lah kata ISA tidak bercanggah dengan makna dan maksud Islam Hadhari. Rosak lagi nama Allah.
Saya lawan dengan cara saya sendiri. Saya lawan ‘gila babi’. Babi pun tidak segila saya ketika melawan ini. Ini kerana, PM pernah menjaga ‘kebajikan’ haiwan itu ketika beliau jadi TPM dahulu. Jadi, haiwan itu tidak akan memberontak sebagai ‘haiwan jalang’ yang disyairkan penyair Indonesia, Chairil Anwar itu.
“Aku ini binatang jalang, dari kumpulannya terbuang …” --- ‘Aku’, Mac 1943.
Jalan bahasa kepenyairan ini bukanlah bermaksud beliau itu benar-benar binatang, tetapi manusia yang dilayan seperti binatang dan dibuang daripada kumpulannya sendiri kerana mungkin tidak sehaluan pandangan dengan arus perdana. Tetapi, itu lebih mulia.
Namun, Abdullah pernah diamanahkan untuk duduk di dalam sebuah jawatankuasa untuk menjaga hal-ehwal kebajikan khinzir itu. Haiwan itu tetap dilindungi berbanding insan.
Tetapi, tidak apalah. Itu sebelum timbulnya Islam Hadhari. Jadi, apakala timbulnya Islam Hadhari saya fikir ada sedikit yang mungkin terlaksana. Tapi, seperti yang saya sebut tadi ISA telah menanggalkan kesucian manifesto baru yang bernama Islam Hadhari itu.
Sekarang, parti kebajikan mahu menawarkan pakej kebajikan itu kepada rakyat. Sebelum ia mendapat tentangan ketika memerintah seperti mana Islam Hadhari, lebih baiklah saya menyampaikan pesan terlebih dahulu agar parti kebajikan ini berjaga-jaga.
Ini semua kerana ingin memelihara nama baik Allah Ta’ala. Islam Hadhari telah merosak nama Tuhan, harap-harapnya kesilapan yang sama tidak diulangi oleh seteru partinya.
Bayangkan, Tuhan pernah menafsirkan watak manusia dengan sehalus-halus, sesuci-suci kalimah; ibadur rahman (hamba kepada ar-Rahman). Dia menisbahkan panggilan kepada manusia Islam dengan namaNya; ar-Rahman.
“Wa’ ibadurrahman al-lazina yamsyuna a’ala al-Ardhi hauna, wa iza khatabahumul jaahilunn, qoolu salaama …”
Saya tidak ingat ayat ke berapa, surah apa. Tetapi perhatikan di akhir penghujung ayat itu ada istilah salaama. Tidakkah, ungkapan salaama itu sama dengan Islam dan as-Salaam?
Sekolah Pemikiran Kg Baru
8:18 pagi, 7 Februari 2008.
Currently have 0 comments: