Memo kepada PM sempena pilihan raya
10:44 malam, 24 Januari 2008
Ini sepucuk surat daripada seorang warganegara Malaysia kepada Perdana Menteri, Presiden Umno-BN dan waris turunan anak cucu dua orang ulama. Yang termaktub di dalam surat ini adalah persoalan berdasarkan kedudukan dan jawatan-jawatan tuan di atas.
Syukur kepada Allah. Sembah salam buat junjungan besar penghulu kita, Muhammad s.a.w.
Tuan yang dimuliakan …
Tidak berapa lama lagi, kita semua akan berdepan dengan pilihan raya bagi menandakan kita ini demokrasi (kununnya demokrasi yang bersih!). Ketika Bersih menuntut perjalanan pilihan raya yang bersih, tuan menganggap perhimpunan di jalanan itu sebagai suatu pemberontakan!
"Apa yang mereka mahukan lagi?" kata tuan dalam Perhimpunan Agung Umno tempoh hari. "Mereka mahu memberontak ke atas kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat secara amalan demokrasi."
Hati-hati tuan dengan ucapan itu. Pertamanya, tentang ayat "inilah kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat." Keduanya, ayat "secara demokrasi."
Pada saya, selama 50 tahun belakangan ini, kerajaan ini dipilih bukan hanya oleh rakyat, tetapi juga telah dipilih oleh 'mayat'! Jadi, ini bukan tulen demokrasi. Mayat-mayat ini menjadi suatu lembaga zombi yang tiada perasaan dan boleh dibeli oleh puak puaka kapitalis.
Demokrasi – Plutokrasi
Jadi, ini adalah sebuah negara demokrasi zombi. Demokrasi yang dibeli oleh kapitalis. Secara jelas, inilah negara yang dinamakan demokrasi–plutokrasi. Dalam Kamus Dewan, plutokrasi bermaksud penguasaan politik yang dimonopoli oleh golongan kaya, kapitalis dan pemodal.
Kedua, dipilih 'secara demokrasi'. Demokrasi ini tak tulen, banduan-banduan di penjara yang berhak mengundi tidak dibenarkan mengundi. Satu kemujuran bagi pihak tuan apabila Bersih tidak sedar untuk menuntut agar banduan kita keluar mengundi.
Mereka memang bersalah, tapi hak mengundi tetap ada pada hakikatnya. Adam telah berdosa kerana memakan buah larangan. Tetapi, hal dosa tidak membatalkan status khalifah. Jadi, jika anak cucu Adam berdosa, status khalifahnya tidak terbatal dan haknya menaikkan khalifah dan berbai’ah (mengundi) tidak boleh dinafikan dalam negara yang kununnya demokrasi.
Sekali lagi, mujurlah Bersih tidak menyedari dan sedikit alpa tentang hal ini. Selamatlah tuan dengan 'berkat' ketidaksedaran rakyat ini. Hal pemahaman mengenai dosa Adam yang tidak membatalkan kekhalifahan ini tentu menelan 100 halaman jika mahu didebatkan. Jadi, biarlah saya bunuh lebih awal pandangan ringkas itu di sini. Kita lanjutkan hal lain.
Di atas tadi telah saya jelaskan secara ringkas kedudukan Malaysia sebagai negara demokrasi–plutokrasi, iaitu sebuah negara model demokrasi yang dikuasai golongan pemodal kapitalis.
Dalam buku The Best Democracy Money Can Buy (kalau tidak salah ingatan saya), pengarangnya Greg Palast menulis mengenai pilihan raya Amerika yang penuh curang di mana nama ‘felon’ banduan telah dijadikan aset untuk membawa pengundi hantu mengundi dalam pilihan raya.
Adakah ini juga cara di Malaysia? Saya tak tahu. Bagaimanapun, saya pernah terdengar cerita di mana dalam pilihan raya pertama lagi, kes 'orang mati' boleh mengundi semula dan hal ini tersiar di akhbar perdana. Seorang pensyarah mengesahkan hal ini dan saya mahu kaji hal ini.
Tuan …
Kita pernah diserang Siam, Inggeris, Belanda, Jepun, dan Portugis. Tapi, ada satu ‘ilmu’ yang diajar penjajah terakhir (British) yang tak sempat diajar oleh penjajah yang sebelumnya. Siam, Belanda, Jepun dan Portugis tak sempat menurunkan ilmu menipu dalam pilihan raya ini.
Berasaskan pengesahan pensyarah itu, saya yakin Britishlah yang mengajar 'Founding Fathers of Malaya' tentang hal menipu bersikap curang dalam membentuk pasukan zombi dan mayat bergerak ini. Dengan rancangan British, kad pengenalan pun dicipta untuk membezakan pro komunis dan rakyat awam yang bukan komunis.
Hanya akhir-akhir ini saja orang kita bising-bising sama ada mahu kekalkan atau tidak istilah Islam yang tercatat di My Kad orang yang murtad itu. Kalau tanya saya, mudah saja. Letaklah istilah 'murtad' pada My Kad si murtad. Yang nak gugurkan istilah Islam pada My Kad milik seluruh umat Islam di Malaya ini apa cerita?
Yang murtad dia seorang saja. Letak istilah 'murtad' pada My Kad dia. Habis cerita. Tentang urusan dia murtad tu, serahkan urusan itu antara dia dengan Tuhan. Kita tunggulah di akhirat saja. Lagi pun kita sendiri pun belum tentu lulus. Ada hal lain lagi yang mahu saya cerita akan hal 'murtad' dan 'pemurtadan' ini. Ini beza. Tapi, 100 halaman pula saya kena menulisnya.
Sebelum itu pun, Tun Dr Mahathir mahu lengkapkan My Kad dengan segala cip elektronik. Padahal, niat asal penjajah British memulakan tradisi kad pengenalan ini untuk membezakan antara komunis dan orang awam. Itu saja.
Dalam kepala British tiada langsung nak memikirkan soal murtad dengan kad pengenalan ini. Hubungan kad pengenalan dan komunis ini amat rapat sebetulnya. Tetapi, mungkin di dalam tempoh pilihan raya pertama di Persekutuan Tanah Melayu dulu, mungkin British mula fikir tentang satu cara untuk memenangkan Umno dengan menggunakan zombi-zombi ini.
Bukankah segala pentadbiran, jabatan pendaftaran negara, hal-hal yang bersangkutan dengan kelahiran dan kematian penduduk Tanah Melayu pada saat itu di bawah tadbiran British. Jika ada anak baru lahir, maka namanya didaftarkan kepada polis dan mungkin matinya diberitahu kepada polis juga. Dan polis berada sepenuhnya di bawah pentadbiran British.
Mungkin sebab itulah pensyarah itu tadi ketika kecilnya pernah terbaca kisah orang mati yang hidup semula untuk mengundi. Mungkin British sudah mula menghidupkan tradisi ini.
Tuan yang dimuliakan …
Jadi, berdasarkan buku The Best Democracy Money Can Buy yang saya sebutkan di atas tadi itu, saya fikir sekurang-kurangnya ada tiga sumber hantu dan zombie yang mengundi. Pertama, Umno mungkin menggunakan nama banduan seperti yang didedahkan dalam buku di atas.
Banduan masih hidup. Biarlah kita namakan mereka sebagai zombi. Keduanya, Umno boleh jadi menggunakan mayat-mayat, yang dihidupkan sebagai hantu yang diterjemahkan di dalam rupa wajah warga Bangla dan sebagainya.
Ketiga, menggunakan nama polis dan tentera. Hasil capaian internet dan maklumat daripada khalayak ramai, telah ditemukan nama-nama tentera ini. Mungkin Timbalan Presiden Umno, merangkap TPM, merangkap Menteri Pertahanan boleh menjawab isu tentera yang namanya ditemui terdaftar sebagai orang awam dalam senarai nama pengundi SPR ini.
Dia tu mahu lari sembunyi ke mana? Kapal selam? Tak boleh … Bak kata Fansuri, sepandai-pandai kapal selam menyelam, akhirnya kapal selam itu timbul ke permukaan juga. Jangan dia bermegah sangat dengan kapal selam itu. Najib bukanlah orang yang pertama mengglokalkan dirinya dengan kapal selam dari Perancis tersebut.
Jawab isu kad pengenalan tentera
Menurut Fansuri, antara bangsa terawal mencipta kapal selam itu adalah kaum Melayu sendiri setelah Panglima Awang berjaya bertawaf dunia. Nenek moyang raja Melayu yang mencipta kapal selam adalah Raja Suran. Tetapi, saya perlukan 100 halaman untuk hal ini. Apa pun, sila jawab isu kad pengenalan tentera terlebih dulu sebelum nak 'sembang deraih' isu kapal selam.
Tuan yang dimuliakan …
Rasulullah s.a.w pernah bersabda dengan maksud yang berbunyi lebih kurang begini, "Amat baik jika harta yang baik diberikan kepada lelaki yang baik."
Untuk mendapatkan maksud dan makna yang lebih tepat, mungkin tuan boleh merujuk tuan penasihat agama di Jabatan Perdana Menteri. Dalam ruang dan masa terbatas, tak dapat saya utarakan rawi dan simpulkan matannya dengan rapi. Jika tidak, 100 halaman pula jadinya.
Daripada belanjawan inilah lahirnya projek-projek yang mungkin mendatangkan keuntungan yang boleh dilaburkan semula dalam pilihan raya kelak dan pilihan raya berikutnya. Cumanya, saya ingin bertanya. Adakah hadis ini menjadi sandaran ketika membentang belanjawan?
Marilah diperhalusi satu persatu. Duit adalah aset, modal, alat perkakas yang Allah pasti akan tanya kita semua kelak. Jadi, kita patut guna wang sebaik-baiknya. Mari kita cermati…
Pertamanya, duit halal yang terletak dalam genggaman lelaki yang soleh (baik). Ini kedudukan yang paling baik dan 'ideal'. Sudah tentulah wang itu dilaburkan kepada hal yang baik.
Kedua, duit halal yang dipegang oleh lelaki yang jahat. Ini satu kerugian kerana wang halal itu akan menjadi sia-sia kerana mungkin akan dilaburkan dalam casino, cukai rakyat yang baik itu mungkin digunakan bagi membeli kapal selam, melabur dalam projek membawa Mat Rempit ke kutub ais dan akhirnya mereka ini dibawa berkempen demi kepentingan diri jua akhirnya.
Mat Rempit dibawa belayar
bermain salji di kutub utara
duit cukai rakyat membayar
wang halal dah tiada ertinya.
Ketiga, wang haram yang dipegang oleh lelaki atau penguasa yang baik. Ini mendatangkan hal yang dilema pada akhirnya.
Duit-duit dari Magnum, Toto, Genting, judi empat nombor ekor ini masuk dalam penbendaharaan negara. Pemerintah yang baik pun mungkin akan terbeliak dengan wang haram ini. Tapi, jika imannya teguh, dapat dikawal wang haram ini sebaiknya.
Tapi, jika rumah menteri-menteri berjiranan dengan rumah menteri yang berjudi, tidak susah sangat mahu dikirim beg hitam yang sarat dengan RM6 juta wang judi melalui pintu belakang rumah bukan? Alah … Kita pun kawan dengan SB juga. Jadi, tahulah sedikit sebanyak.
Keempat, wang haram yang ada dalam tangan penguasa jahat. Inilah yang paling merbahaya sekali. Dengan kejahatan dirinya dan kejahatan yang dikendongnya bersama wang haram itu, maka makhluk perosak ini akan melahap setiap inci tanah, memperkosa hutan dara bernafsu serakah guna membina mahligai peribadi dengan mengusir peneroka asal yang bermastautin lama, tapi disetinggankan melalui fatwa di gedung pemerintahan Dewan Undangan Negeri.
Arakian, adakah projek-projek pembangunan (kununnya) yang mahu diberikan kepada empat jenis manusia ini diperhitungkan samada mereka lelaki yang soleh, baik, pandai mengguna wang atau tidak? Dan, adakah peruntukan wang itu telah dibedakkan, dibezakan mana yang halal atau yang haram sebelum pengagihan? Atau halal haram itu dicampur semunya lalu diagihkan tanpa mengira watak baik buruk lelaki kontraktor penerima tender itu?
Jangan main-main dengan hadis Rasululah. Petunjuk nabi telah diberi. Sudah ada, tapi kita ini buta mata dan buta hati.
Wang halal bercampur haram inilah yang mungkin diberikan sebagai upah kepada zombi dan warga Bangla oleh insan-insan korup yang menaja pengundi hantu ini. Dekat pilihan raya kali ini kita pun tahulah rumah bomoh mana yang cerah sampai dinihari. Semua ini merosakkan.
Salah guna wang ini telah menjahanamkan ruang demokrasi kita. Kembali kepada perbualan asal; demokrasi kita adalah demokrasi – plutokrasi, suatu jenis model demokrasi yang sudah pun dikawal oleh golongan pemodal yang kelihatan intelektual tapi percayakan hal khurafat.
Tuan yang dimuliakan …
Mungkinlah tuan di Davos kini atau sudah mahu berangkat pulang daripada mengikuti World Economic Forum. Selamat berforum. Sekarang, marilah kita bercerita tentang Nylonkong.
Amerika akan mula jatuh dan makin lembab ekonominya. Majalah Time meneropong kepada Nylonkong (NY-LON-KONG) atau New York, London dan Hong Kong. Ketiga-tiga bandar utama ini telah dibuka oleh Empayar British suatu masa dulu. Siapa di sebalik kuasa empayar terakhir dalam tamadun manusia ini? Siapa yang menjadi tulang belakang raja-raja Eropah?
Dalam novel Little Lord Fauntleroy yang pernah saya baca di zaman Matrikulasi menceritakan pergolakan bagaimana Amerika cuba 'berjuang' membebaskan dirinya daripada cengkaman British. Jangan salahkan saya ketika menulis ini. Saya dididik oleh Kementerian Pendidikan pada saat itu.
Kementerian ini telah membekalkan novel ini dan tiga novel lain; Rice Without Rain (Minfong Ho) dan The Village By The Sea (Anita Desai) pada tahun 1996. Tahun berikutnya, saya sudah khatam secara mentah novel Little Lord Fauntleroy (Frances Hodgson Burnett) dan To Kill A Mockingbird (Harper Lee).
Agak-agaknya, siapa yang telah mewajibkan bacaan ke atas novel-novel berkualiti dan panas' sebegini? Tidak mungkin pegawai Kementerian Pelajaran seperti yang bekerja di bawah Hishammuddin Tun Hussein kini. Mereka tidak sukakan hal ilmiah.
Nantilah, jika ada kelapangan saya cuba menulis dalam 100 halaman mengenai hal ini. Isu ini pun penting juga sebab ada seorang sasterawan negara yang enggan menggunakan gelaran SN dengan sebab tindakan Menteri Pelajaran meminggirkan novel-novel sastera berat dan serius di sekolah kita.
Sebelum saya melalut lebih lanjut, saya ingin menjawab soalan awal. Jawapannya satu sahaja – Freemason! Ya, Freemason inilah dalang kepada kuasa Empayar British dan tulang belakang raja-raja Eropah. Mereka inilah ksatria (Knights Templar) yang berjuang dalam Perang Salib.
Ketika kolonial British semakin tumbang akibat gerakan menuntut kemerdekaan di India dan China termasuk di kebanyakan negara-negara Asia, golongan Freemason mula melabuhkan pengkalan kekuasaannya ke Amerika. Kuasanya itu berpunca daripada ekonomi.
Kini, ekonomi Amerika mula lembab. Mereka masih hidup dan setiap yang hidup, bernafas dan bernyawa akan terus mencari suaka. Freemason asalnya adalah warisan kepada golongan penyembah berhala. Berhala mereka berpuaka. Puaka-puaka bergentayangan mencari suaka.
'Agama' mereka ini (jika boleh disebut agama) adalah warisan daripada ahli sihir Fir'aun sejak zaman Musa a.s berusaha keras menanam Tauhid di dada Bani Israel. Apabila mereka bebas merdeka daripada penjajahan Fir'aun, amalan menyembah berhala warisan ahli sihir ini telah pun diwariskan oleh Samiri. Kesimpulannya, ia telah menjadi darah daging dan sukar dihapuskan.
Mereka sebenarnya adalah pelarian daripada sebuah negara ke sebuah negara. Dari wilayah ke wilayah, mereka meneroka dan memunggah khazanah hasil bumi di sesebuah negara. Dalam Persekutuan Tanah Melayu, mereka berlabuh di Melaka. Ketuanya Alfonso De Albuquerque.
Kaum puaka ini kemudian berlabuh ke Singapura, kemudian ke Pulau Pinang. Sebab itu, hal politik Negeri-Negeri Selat ini disatukan di bawah satu pentadbiran di mana ketiga-tiga negeri tidak mempunyai raja Melayu yang dahulunya dilihat sebagai pemelihara agama Islam.
Negeri-negeri Selat di Tanah Melayu sama seperti Nylonkong
Melaka-Pulau Pinang-Singapura. Tidakkah gabungan ini serasi dan sama dengan Nylonkong? Ny-Lon-Kong (New York, London dan Hong Kong) adalah jelmaan kepada tradisi kekuasaan Freemason di zaman lalu. Jadi, berhati-hatilah terhadap gabungan kuasa ekonomi baru ini.
Mengapakah ketika tertutupnya Studio Jalan Ampas di Singapura, maka P Ramlee ingin pergi ke Hong Kong? Kenapa MFP (Malay Film Production) berpindah ke Hong Kong? Kenapakah dengan mudah seniman dan seniwati mendapat laluan mudah berlakon dan bertemu pelakon Hollywood pada suatu masa dahulu?
Seniwati veteran Mariani dalam satu temubual mengaku mudah bertemu pelakon Hollywood dan arwah Ibrahim Pendek dapat berlakon di Hollywood. Ini semua tentu ada kaitan. Semua kekayaan Shaw Brothers di Hong Kong adalah hasil peluh keringat pelakon kita dulu. Tetapi, hasil khazanah berharga kini diratah bersendirian oleh golongan Freemason.
Pelakon veteran kita kerap ditipu dengan perjanjian kabur. Hal ni perlukan kajian sejarah rapi juga. Kalau kerajaan tidak membaca atau gagal mendalami makna yang tersirat mengenai hal-ehwal perfileman di negara kita, mudah kita dijajah melalui produk budaya. Terus-terang saya katakan bahawa, kita dijajah produk budaya kerana kerajaan lemah dalam kajian sejarah filem.
Sejarah dikaji semula bukan dihafal
Jika sejarah dikaji dan tidak cuma dihafal, nescaya ia menjadi menarik. Menurut hemat saya, Umno tidak suka pelajar mengkaji sejarah. Pelajar-pelajar yang cerdik akan selalunya kembali mempersoalkan dan setiap persoalan ini akan difatwakan Umno sebagai suatu penentangan, malah pemberontakan pula!
Jadi, jika pelajar dibiarkan bebas mengkaji sejarah Freemason, bersediakah Umno dengan rela membiarkan generasi rebung ini membuat rumusan sendiri ke atas wajah parti pemerintah?
Jika ilmu sejarah sebegini diajarkan di sekolah, ia tidak membosankan. Malah, pelajar sendiri yang akan mempertahankannya.
Tapi, cabaran utama di sini ialah bagaimanakah kita mahu mewujudkan guru-guru sejarah yang mencintai sejarah dan berupaya pula menggerakkan hati nurani pelajarnya untuk kembali mencintai sejarah?
Cuma ilmu sains yang dilihat sebagai ilmu yang berkaitan dengan kajian dan penyelidikan. Ini pun suatu hal yang menarik juga diperbincangkan. Suatu masa dulu, kalau tak salah saya, ada semacam satu gesaan untuk menonton drama bersiri Mc Gyver (Richard Dean Anderson).
Drama itu dikatakan akan menumbuhkan minat kepada sains. Akhirnya, ia diharamkan hanya kerana seorang pelajar yang ditemui mati di celah sayap kapal terbang. Ramai pihak membuat andaian bahawa si mangsa cilik itu telah meniru aksi Mc Gyver.
Ini cuma andaian atau mungkin hipotesis. Ia belum diselidiki, belum diadakan temu bual dan ibu bapanya dan rakan-rakannya belum lagi diasak dengan persoalan samada pelajar memang terpengaruh dengan drama itu atau tidak. Tapi, dengan pantas drama itu diharamkan.
Sekarang, drama itu kembali disiarkan di TV2, RTM setiap Jumaat malam Sabtu. Jenis fikiran bagaimana telah kita gunakan sekarang ini? Menurut fikiran kerajaan, apa yang menjadi halal dan haram dan terkadang bertukar hukum pula itu? Adakah ia bersandarkan akal atau emosi?
Sejenis arak yang haram diminum pada asalnya menjadi halal kerana masa berlalu menjadikan ia berubah sebagai cuka. Penglihatan, mengirim maklumat kepada akal bahawa arak telah pun berubah menjadi cuka bersandarkan bau, rupa cuka.
Maka, hukum halal haram itu bersandar kepada akal pada kes ini. Bukan emosi. Saya rasa, Mc Gyver dihalal haramkan bukan bersandarkan akal fikiran, malah ia terletak kepada kemahuan, kehendak dan emosi.
Harap tuan dapat fikirkan hal sekecil ini dengan mendalam. Tak ramai menteri-menteri yang suka fikir dengan mendalam. Yang berbakat sikit dah dipecat daripada kerajaan. Kita tertekan kerana dipimpin manusia kurang cerdik (bukanlah kita ini pun cerdik sangat). Lihat kepada sikap meminggirkan novel sastera bermutu tinggi sudahlah. Tanyalah Hishammuddin itu.
Tuan yang dimuliakan …
Dosa adalah kekotoran yang perlu dibersihkan. Pendosa perlu dihukum agar mereka bersih dan suci kembali kepada keadaan fitrah asal kejadian mereka. Yang dihukum atau terhukum tanpa sebarang 'dosa' yang pernah mereka lakukan akan dinamakan sebagai 'mangsa'.
Dosa dan mangsa. Kedua-duanya mungkin berasal daripada istilah Sanskrit. Bahasa ini diikat kuat dengan agama. Saya yakin bahawa agama purba itu ada kaitan dengan Tauhid. Mungkin, ada juga nabi-nabi purba yang tidak dikenali. Agama itulah yang membekalkan hukum dan peraturan.
Syurga dan neraka. Ini istilah Sanskrit. Orang Melayu tidak menyebut 'al-Jannah' (syurga), 'an-Naar' (neraka). Ertinya, mungkin ada agama purba dalam kalangan Melayu purba sebelum kedatangan Islam ke wilayah Nusantara.
Orang Melayu sudah kehilangan atau pun tidak mengenali akar sejarah. Tapi, mahu berbual-bual mengenai hal ini perlu waspada sentiasa. Kalau mahu lanjutkan kisah 'nabi-nabi' Melayu ini saya perlukan 1000 halaman pula barangkali. Jadi, mari kita bualkan tentang hal dosa saja.
Umno bukan dibenci kerana dosanya, tapi kerana 'bias'nya
Sedarkah tuan bahawa ada kalangan rakyat yang membenci Umno bukan kerana dosa Umno. Umno bernasib baik kerana pembangkang telah 'bertawakal' kepada dosa-dosa Umno untuk menang. Percayalah tuan… tuan jangan bimbang apa-apa. Pembangkang tidak akan menang selagi mana wujudnya sikap bertawakal kepada dosa-dosa Umno-BN ini.
Saya pun geram kepada Umno bukan sebab dosa Umno. Yang mengkritik Umno-BN pun, manusia juga yang pernah menindas orang bawahannya. Lantas, apa bezanya kalau mereka ini memerintah?
Dalam realiti hari ini, seorang wanita akan memilih pemuda yang gagah dan nakal berbanding pemuda lemah tapi baik. Kenapa ini terjadi? Inilah jawapan kepada persoalan, kenapakah BN tak rebah. Jika mereka perhalusi baik-baik hal ini, nescaya mereka faham. Tuhan memberikan kefahaman jika ada usaha manusia untuk memahamkan sesuatu.
Nasib rakyat (wanita) akan menjadi malang jika pemuda yang lemah tapi baik ini menyangka, kerana kejahatan pemuda itulah maka wanita (rakyat) tadi memilihnya. Lalu, mereka berusaha menjadi jahat juga. Malangnya, lelaki yang baik tadi cuba menjadi jahat dalam keadaan lemah. Walhal, wanita memilih kegagahan dan bersabar buat sementara ke atas kejahatan lelaki tadi.
Syahadan, rakyat benci BN bukan kerana dosa (kejahatan) mereka. Rakyat bersabar atau pun terpaksa bersabar dengan dosa itu. Tapi, rakyat benci BN kerana sikapnya berat sebelah. Jika ternyata ada seorang ahli Umno yang ditahan, ia akan dilepaskan dan jika musuhnya ditahankan, habis diselongkar luar dalam segala isinya. Ini 'bias' dan mendatangkan kebencian ramai.
Jadi, kalaulah BN dapat menghukum dosa-dosa ini, maka rakyat (wanita) akan dapat menaruh keyakinan terhadap pemuda gagah tadi yang telah dibersihkan sikap nakal buasnya. Dan, hal ini tentunya memerlukan usaha jihad yang lumayan berterusan. Awalnya ramai pihak menganggap watak agamawan dapat menawarkan hukuman ke atas BN ini ditambah imej Islam Hadhari.
Tetapi dalam kedudukan telur di hujung tanduk atau seperti kata Fansuri bagaikan tahi cicak di hujung kaki saat solat, entah siapa yang dapat menyucikan kaki pentadbiran? Kini, terpalit pula najis khinzir. Entah siapalah yang dapat menyamaknya?
Tuan yang dimuliakan …
Dua hari sebelum tangkapan terbaru di KLCC 26 Januari lalu, filem Cuci telah ditayangkan di TGV, KLCC. Para pelakon ini berpakaian serba kuning yang sama warnanya dengan pakaian rasmi Bersih. Minda bawah sedar menggerak pemikiran rakyat agar membenci ketidakadilan.
Filem Cuci sokong Bersih?
Kalau tanya Afdlin, Hans Isaac, Awie dan A.C Mizal, sampai kiamat mereka takkan mengaku bahawa mereka itu penyokong Bersih. Ini kerana, minda bawah sedar itulah yang memainkan peranan. Beza cuma, Cuci ditaja Celcom dan bukan Digi yang lazim dikaitkan dengan Bersih.
Sekarang ini, Maya Karin pun sudah pandai bercakap soal demokrasi. Baru jadi ahli panel di Kelantan telah diancam macam-macam oleh parti pemerintah. Keadaan ini sangat merbahaya kepada Umno jika berterusan menekan artis yang cerdik.
Mujurlah BA belum lagi mengambil kesempatan ke atas artis. BN bernasib baik kerana BA tidak sedar tentang kekuatan artis.
Bekas Presiden Amerika Ronald Reagan juga artis. Demikianlah Gabenor California Arnold Schwarzenagger pun artis juga. Pengikut dan peminat mereka memang ramai. Dan, tiada satu hukum pun yang menghalang mereka daripada bergiat dalam lapangan politik kepartian serta sesekali berbicara dengan nada kritikal ke atas pemerintahan Amerika.
Michael Moore, Martin Sheen Angelina Jolie, George Clooney, Leonardo DiCaprio serta lain artis lagi begitu selamba mengirim pesan politik di bumi Hollywood ke atas politik Amerika.
Daripada suatu sudut, saya kagum kerana mereka sedar bahawa kritikan itu mahal harganya kerana terpaksa bertarung dengan satu kuasa besar. Tetapi, mereka berani menggalas amanah dalam mengirim teguran itu dengan berani dan penuh kesedaran.
Di Malaysia, saya fikir kesedaran baru memuncak dan sedang bermula. Artis yang selama ini tenggelam dalam dunia hiburan kini beranjak ke ruang politik hiburan apabila mereka telah mengirim laporan kepada BPR berhubung kekecohan Persatuan Karyawan. Ini pun politik juga, cuma politik hiburan, bukan kepartian. Kini politik kepartianlah yang menguasai negara.
Mujurlah ia bukan politik di ruang kepartian. Sekali lagi, suatu kemujuran bagi BN kerana BA tidak mengambil peluang untuk menyantuni artis dalam menyelami permasalahan mereka. Di sini, saya makin menghormati artis berbanding ahli politik kepartian.
Dalam politik hiburan tiada kawalan. Lihatlah berita politik hiburan (Melodi) dan bandingkan dengan berita politik kepartian (Buletin Utama). Ada beza antara keduanya. Di dalam Melodi, 'dibogel telanjangkan' semua tanpa seurat benang dengan soalan Nash Terjah. Adakah Karam Singh Walia dan editor Buletin Utama dilepas bebas semahunya untuk melaporkan?
Tuan …
Setakat ini sajalah celoteh saya ini. Tidak tahu bagaimanakah caranya untuk membetulkan hal yang makin tenat dan pincang kini. Sempena Maal Hijrah, Tahun Baru Cina, Thaipusam serta segala macam cuti di Malaysia ini, dan atas nama bulan Muharam, Safar, Januari dan Februari yang bakal tiba, saya ingin memohon ampun dan maaf di atas keterlanjuran saya menulis ini.
Saya minta maaf jika ada kesilapan dan kesalahan saja. Tetapi, di atas kebenaran kata-kata itu tidak dapatlah saya minta maaf lagi. Kita kena minta maaf atas apa-apa yang kita khilaf saja dan untuk itu, sekali lagi tangan yang sedang menaip ini dirapatkan sebagai isyarat maaf.
Sempena Maal Hijrah saya cuba ingin berbaik-baik dengan tuan, tapi tidak dapat-dapat juga. Entah kenapa hati ini belum masuk ke ruang wilayah perdamaian lagi. Nantilah esok lusa jika hati saya akur kepada kehendak saya yang asal. Banyak perkara yang mahu dibualkan.
Sekian dengan itu, wassalam …
10:00 pagi, 29 Januari 2008,
Sekolah Pemikiran Kg Baru.
Maklumat kedua ialah hal keraguan mengenai kemungkinan Najib Tun Razak menggunakan I.C Tentera untuk memenangkan beliau dalam pilihan raya 1999 yang lalu. Saya kutip data ini pada jam 3:00 pagi, ketika melayari Harakah Daily.Net
Currently have 0 comments: