Soi Lek masih sihat, dia tidak perlu meletakkan jawatan
[Tatkala menulis ini, tersiar laporan mengenai Chua Soi Lek meletak jawatan. Tulisan ini bertujuan memujuknya agar tidak terus meletakkan jawatan.]
Isu Menteri Kesihatan Chua Soi Lek yang didedahkan aibnya di media mengingatkan kita kepada fitnah yang menimpa seorang pemimpin Pas Mat Sabu di suatu masa dahulu. Tapi akhirnya, Pas terlepas kerana tidak cukup bukti. Sebab itu Mahathir memang bara kepada Mahkamah Syariah. Perangkap dan jebakannya tidak mengena sasaran. Itu cerita lama.
Pada masa itu, orang-orang yang mahu buat penganiayaan ke atas musuh politiknya tidak berfikir panjang mungkin. Peristiwa itu menjadi iktibar kepada Mahathir, lalu diusunglah tilam ke mahkamah sekular di mana para hakimnya boleh dibeli dengan mudah.
Kembali kepada isu Soi Lek, rasa-rasanya kita harus minta seseorang meletakkan jawatan jika beliau tidak sihat. Dalam kes Soi Lek, beliau tak perlu digugurkan jawatannya kerana masih sihat bertenaga, sesuai dengan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan.
“Ya lah, kalau tidak, takkan dia boleh beraksi dengan seorang gadis muda berusia dalam lingkungan 20-an?” kata Fansuri. Saya terdiam sebentar mendengarkan hujah tersebut.
Selalu kita mendengar pimpinan Umno yang ada masalah penyelewengan akan meletak jawatan. Hal ini memang menjadi budaya mereka dan arwah Ustaz Fadhil Noor pernah menyindir hal ini dalam Parlimen dahulu, lalu ia menjadi bahan ketawa.
“Bukan kita tidak tahu style Umno. Letak jawatan atas masalah kesihatan. Dua, tiga bulan kemudian dilantik semula sebagai pengarah. Sihat balik!” demikian kata Ustaz Fadhil.
Mereka masih sihat, dan bertenaga untuk memuaskan syahwat seorang wanita muda. Kita patut ‘berbangga’ dengan kesihatan mereka ini. Kita yakin, hal menyimpan kekasih gelap (mengikut Indonesia), mistress (cik tekan, mengikut T S Lanang) adalah antara suatu cara di mana pemimpin Umno menonjolkan kekuatan. Tapi, mereka cuma enggan berpoligami seperti parti lawan. Takut dituduh tiru pembangkang barangkali. Nanti hilang pengaruh.
Kita pasti masih ingat lawak jenaka berbau lucah antara Najib, Badarudin (Jerai) di dalam Perhimpunan Agung Umno lalu di mana Najib berangan-angan untuk menambah ‘kilang’ satu lagi. Ertinya, Najib teringin juga. Cuma dia malu atau mungkin dia takut kilang lama mogok atau maruah dan reputasinya terjejas nanti.
Soi Lek sebetulnya dapat menghidu jebakan pihak-pihak yang ingin menjebaknya. Beliau seperti ahli politik lain, tahu benar apa motif perangkap. Akhir dari jebakan itu, bertujuan menyebabkan beliau terpelanting jauh daripada jawatan kabinet dan parti.
Akan ada pihak yang ingin dia meletak jawatan. Sebab itu, beliau tidak meletak jawatan dan enggan akur serta tunduk terhadap kehendak musuh-musuh politiknya itu. Dosa Soi Lek tidaklah besar sangat kalau kita berfikir secara liberal. Beliau cuma berzina. Zina itu bukannya rogol. Dalam kamus liberal, zina tidak bersalah kerana ia bukan jenayah.
Zina adalah hubungan intim lelaki dan wanita atas dasar suka sama suka. Jadi, tiada unsur jenayah. Rogol adalah hubungan lelaki dan wanita secara paksaan atau rela yang dipaksa atau rela yang terpaksa atau memaksakan diri untuk merelakan atau apa-apa istilah yang boleh dimaksudkan di atas tujuan, niat, nawaitu yang berunsurkan paksaan.
Berzina dengan kekasih gelap, yang boleh ditemukan di Lebuh Chulia, Lorong Gaharu di Pulau Pinang, Jalan Dolly di Surabaya atau pun di hotel bintang lima dari kelas ternama, semua itu terkait dengan transaksi wang dari poket lelaki yang melompat ke bra wanita.
Kalau hubungan intim itu mahu dilakukan secara baik, maka adat merisik, meminang dan seterusnya wang itu dimaharkan dalam bentuk wang juga. Ia disusuli akad nikah, sumpah janji, izin berwali dan waad pun bersaksi. Ucapan dan lafaz taklik disertakan bersama.
Hubungan intim rakyat serta pemimpin ditandai dengan bayaran cukai kepada kerajaan. Cukai bagaikan mahar rakyat kepada pemimpin. Ertinya, rakyat itu pengantin lelaki dan penguasa itu pengantin wanita. Mutakhir ini pengantin wanita mula jadi Queen Control.
Mereka enggan memberi keizinan untuk suaminya (rakyat) keluar berhimpun di Dataran Merdeka mencari teman wanita lain. Iyalah, isteri (pemimpin) mana tidak cemburu kalau suaminya (rakyat) bermain kayu tiga bersama wanita lain (pembangkang).
Berbalik kepada zina dan rogol, sang menteri bukanlah melakukan jenayah dalam kamus kehidupan liberal yang diwarisi dari tradisi pemikiran Barisan Nasional. Rogol itu adalah jenayah sebab ada unsur karahah, kebencian yang terkait dengan paksaan.
Soi Lek tidak memaksa. Beliau memujuk dengan wang. Tapi, mahar dalam bentuk wang jutaan ringgit yang dijenamakan atas PPRT, telah dirogol semahu-mahunya oleh seorang pemimpin. Wang rakyat ini bukan dizinai secara sukarela oleh rakyat, tetapi dirogol. Hal ini tentulah jenayah yang lebih besar dan lebih afdal menerima hukuman.
Tapi, masalahnya di Malaysia ini, hukuman kebanyakannya mahu ditangguhkan ditunda ke hari akhirat. Bagi yang percaya kepada akhirat, mungkin tiada masalah. Tapi, mereka yang beriman dengan Islam Hadhari yang tiada falsafah tentang akhirat di dalamnya, ini tentunya mengundang masalah besar.
Apa pun, tahniah kerana Soi Lek berani mengaku. Dan, hal ini jarang-jarang dapat dibuat oleh pimpinan Melayu. Kalau pimpinan Melayu punya kekasih gelap, dia pun tidak mahu mengaku bahawa dirinya pernah bercanda di tepi pantai Port Dickson yang indah permai.
Di depan wartawan di dalam sidang media mereka rela mengucap madah berhelah seperti tajuk lagu Ziana Zain itu. Paling hampeh, mengelak daripada wartawan serta enggan buat sidang media pula. Bukan sedikit wartawan akhbar perdana yang marah. Kita tahulah …
Sikap ingin memiliki kekasih gelap ini turut diamalkan oleh Khairy De Brooke. Padahal, mereka seharusnya bersyukur dengan nikmat serta syahwat. Mereka diberikan segalanya termasuk citarasa tinggi ke atas gadis, wanita yang cantik. Jadi, apa salahnya De Brooke pasang dua. Nak malu apa? Sekali lagi, hal ini ada kaitan dengan politik. De Brooke ini khuatir dibuang oleh ayahanda PM. Kalau bukan kerana itu, dah lama dah projek jalan …
Memang adat orang berkedudukan (khasnya Umno dan istana) dulu, kini dan mungkinlah selamanya bercitarasa tinggi sehingga mahu berkahwin dengan minah salleh. Filem 1957 Hati Malaya mendedahkan Tunku telah menikah dengan Violet, anak kelahiran London.
Jika De Brooke tidak percaya, tanyalah Karin Maya, antara pelakon utama filem tersebut.
Semua kejadian ini, sekali gus membuktikan bahawa sama ada MCA, Umno atau pendek kata pimpinan politik hari ini sihat-sihat belaka. Jadi, mereka tidak perlu meletak jawatan kerana masalah kesihatan. Mereka cuma perlu meletak jawatan di atas kelemahan kerana hal kelemahan mengundang masalah yang terkait dengan kepercayaan rakyat.
Apabila rakyat (suami) tak percaya kepada pemimpin (isteri), barulah lafaz cerai tersebut boleh disebutkan di hadapan saksi. Kepimpinan terkait dengan kepercayaan. Dosa-dosa ini tidaklah sampai membatalkan kepimpinan dan kekhalifahan.
Nabi Adam telah berdosa memakan buah khuldi, sebaliknya dengan dosa itulah khilafah Adam dan keturunannya menjadi semakin lengkap di muka bumi ini. Semua ini berasal daripada kepercayaan Allah ke atas Adam dan keturunannya sebagai khalifah berbanding Iblis dan malaikat walapun mereka ini pada mulanya mempersoalkan kemampuan Adam.
Maka, Soi Lek hanya akan meletakkan jawatan bukan kerana citarasa tingginya terhadap wanita. Citarasa ke atas lawan jenis ini adalah kurniaan Tuhan dan tidak boleh dikatakan sebagai jenayah. Soi Lek akan meletakkan jawatan pun pada hakikatnya bukan oleh PM.
Abdullah cuma hamba Allah dan dia juga bergantung kepada kepercayaan rakyat. Maka, Soi Lek hanya akan meletakkan jawatan kalau semua atau kebanyakan rakyat atau rakyat daripada kaumnya sudah tidak lagi mempercayai beliau memimpin mereka. Itu saja.
Tapi, Soi Lek berkata bahawa semua hal itu bergantung kepada PM kerana beliau dilantik oleh permuafakatan syura BN. Tidak apalah, setidaknya beliau masih sihat pemikiran dan dapat berfikir secara rasional mengikut cara fikiran Barisan Nasional atas nama semangat permuafakatan BN. Itu hak dan cara fikirnya sebagai Non-Muslim dari aliran MCA - BN.
Nafsu syahwat seks adalah nikmat dari Tuhan. Sebab itulah Allah perintahkan agar insan menjalani kehidupan berumahtangga. Hidup berpasangan secara halal adalah sunnah nabi pula. Jadi, tiada masalahnya dengan seks itu.
Akibat nikmat syahwat itu dari Tuhan, maka wanita pun diangkat darjatnya sebagai isteri. Sebab ia adalah anugerah Allah. Seperti kata Dato’ Rahim Razali: “Isteri bukan hak milik tapi anugerah”. Kekasih gelap boleh disebut sebagai hak milik kerana tarafnya jauh lebih rendah dari isteri. Kita temui fikrah ini pun ketika berborak dengan menteri juga. Ahem.
Bercakap tentang anugerah, ramai orang terkeliru lagi dengan kepimpinan. Kata Fansuri, “Kepimpinan itu suatu tanggungjawab dan amanah, ia bukan hak milik dan anugerah.”
Felda dan Dinasti Bilut mungkin anugerah hak milik atau warisan Najib tapi jawatan PM, TPM bukan miliknya hanya kerana beliau anak Tun Abdul Razak. Demikian juga sepupu beliau. Tapi, semua ini memerlukan masa untuk ramai pihak mencapai kesedaran.
Jika diajar dan diajak mereka belajar falsafah, itu satu pekerjaan sukar. Yang mudah bagi kita memahami daripada mereka ini adalah wang, pangkat dan kuasa. Errr… tambah satu lagi – kekasih gelap, mistress atau cik tekan.
Jika betul-betul ingin disemak, diselak, diteliti berapa ramai pemimpin politik yang tidak ada cik tekan ini, jangan-jangan tiada seorang pun yang layak jadi menteri. Apa tidaknya, jika kita ada Biro Pencegah Mistress (seperti BPR) nescaya kita tiada pemimpin lagi.
Kalau Soi Lek melepaskan jawatannya ke atas semua parti atas kes itu, bolehkah Presiden Umno menjelaskan–kenapa VIP Gabem, merangkap bekas pimpinan tertinggi Melaka itu masih diambil sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno?
Maka, Fansuri bertanya kepada penulis: “Nih … Yang hang dok candek, sindir orang tak ketahuan ni pasai apa? Hang tu bila nak menikah?”
Sekolah Pemikiran Kg Baru
8:15 malam, 2 Januari 2008
Hah betoi! bila abang ali nak menikah?