------------------------------------------------------------------------------------------------
Oleh H Fansuri Darihal Abdul Rashid, guru mursyid & 'bullshit!
Syahadan, Pengerusi SPR Abdul Rashid pun dikepung suara-suara yang menjebak beliau dalam seminar tentang hubungan media dan pilihan raya di UM baru-baru ini. Dan semua ini adalah gara-gara isu pilihan raya di Likas itulah.
Makin menipu, makin Abdul Rashid dibelasah dengan lisan serta tulisan bloggers yang menikamnya dari kiri, kanan, depan, belakang, atas dan bawah. “Mana ada? Hakim sudah ‘bias’,” demikianlah Sang Abdul Rashid bermadah helah sebagai biasa.
Imamah seperti imam solat, pilihanraya adalah air wuduk dan SPR adalah gayung yang mencedok air mutlak guna menjirus ke anggota tubuh untuk penyucian diri dan jiwa yang kotor, menuju kesempurnaan solat. Tetapi gayung itu dipenuhi najis selama 5 dekad imamah, dan air itu dikeruhkan kejernihan fikrah hadhari sejak dulu, kini dan selamanya.
ar-Rashid (Pemberi Petunjuk & Hidayah) adalah antara nama Allah yang terbaik, Asmaul Husna. Kita juga diseru mencari guru yang mursyid (yang diberi petunjuk). Lalu, hal ini sering dijadikan senda gurau dalam ceramah, “Tarekat dipimpin guru mursyid dan bezanya dengan ajaran sesat adalah, kumpulan itu dipimpin oleh guru yang bullshit.”
Abdul Rashid sesuai dengan namanya itu (hamba kepada Yang Pemberi Petunjuk) wajar menunjukkan sikap aslinya yang dipimpin Allah dan bukannya dipimpin Abdullah, khasnya dalam hal ehwal berwuduk (pilihan raya) untuk melantik kepimpinan negara ini.
- Fansuri selalu berwuduk dan bertaubat mengikut ajaran awal as-Shafie dan al-Ghazali.
# # #
Bersih perlu tuntut pungutan suara rakyat ke atas wibawa Abdul Rashid
Maka Bersih berbondong-bondong ke Parlimen 11 Disember ini lantaran pindaan Perlembagaan yang dibaca bagi melanjutkan usia bersara ahlul SPR dengan niat bullshit.
Lutfi, ketika menyelak kitab Parlembagaan Persekutuan berkata, bahawa perlulah ahli-ahli SPR dilantik dari kalangan mereka yang dipercayai rakyat akan kewibawaannya.
Jika bantahan itu sekadar membantah lantikan semula Abdul Rashid punya rekod buruk dalam mengendalikan pilihan raya, ada baiknya Bersih fikirkan semula. Isu paling utama bukanlah lanjutan usia persaraan Abdul Rashid itu, malah sikap pengerusi lembaga itu yang tidak dipercayai oleh kalangan rakyat di negara ini.
Dalam kes ini, pungutan suara mungkin diperlukan kerana pelantikan semula sang pengerusi ini melibatkan keyakinan rakyat, demikian menurut satu tafsiran. Arwah Tunku pernah membuat pungutan suara ketika mahu memasukkan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan, kerana kedua-dua wilayah itu jadi rebutan Filipina dan negara Asean lain.
Hal ini (pungutan suara) dilakukan untuk meyakinkan kebanyakan pihak bahawa, rakyat Sabah, Sarawak sendiri yang ingin bergabung dalam Malaysia. SPR bagaimana?
Arakian, wajarlah kumpulan Bersih dibahagi dua, satu pihak menuju ke Parlimen. Pihak lain, mengirim nota bantahan ke istana kali kedua, melantunkan fikrah baru ke atas sultan supaya dipertimbangkan satu tuntutan untuk melakukan pungutan suara rakyat itu.
- Suara rakyat, suara keramat …
###
Pulau akhbar aliran perdana, jangan pulaukan wartawan arus perdana
Apabila Abdul Rashid bermadah helah dalam beberapa siri ucapannya berhubung pilihan raya dan sikap ini ditiru secara turun-temurun oleh anak-anak buahnya, lalu yang marah bukan wartawan berhaluan kiri saja. Malah, tempias bahang kemarahan membakar rentung hati wartawan aliran perdana yang telah lama dihanguskan oleh penipuan BN.
Fansuri pernah membuat liputan dalam Berita Kampus (BK) yang melaporkan hal kemenangan propelajar 19 – 18 pada malam yang sama ketika seorang wartawan Utusan turut mengirim keputusan yang sama seperti laporan BK ke ibu pejabat Kuala Lumpur.
Esoknya tersiar laporan di akhbar arus perdana bahawa Aspirasi menang di USM. Seminggu sesudah itu, wartawan itu membuat liputan dan kami kebetulan bertemu dalam acara liputan yang sama ketika bekas Menteri Pelajaran, dan Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Rahman Yaakob sedang berpidato di Dewan Persidangan Universiti.
“Saya tulis macam keputusan BK juga, propelajar yang menang di USM. Sampai saja berita itu di KL, terus saja editor pusing,” kata beliau. “Sebenarnya, berita saya telah dibakulsampahkan.” Demikianlah kisah pada 2004 atau 2005. Akibat kecewa (mungkin), wartawan itu akhirnya tidak lagi bekerja di akhbar itu.
Jika Abdullah berani, tubuhkan suatu suruhanjaya atau jawatankuasa bebas dalam kalangan ahli akademik, pensyarah kewartawan universiti untuk mengkaji laporan pilihan raya umum pada Mac–Mei 2004 ketika Abdullah mula dilantik sebagai Perdana Menteri.
Penulis berani tampil ke depan sebab beliau sendiri adalah saksi mata dan telinga pada ketika menjadi wartawan pelatih di agensi berita kerajaan. Kita cabar Abdullah!
- Kita berani kerat kepala, potong jari jika Abdullah mahu tubuhkan suruhanjaya itu dan jika benar beliau pantang dicabar!
###
Wanita dan kaum minoriti tidak dilindungi Islam Hadhari?
Berbual tentang rakyat yang ditipu pengerusi SPR, Umno dan BN maka kita pun teringat ajaran Islam bahawa selepas mati, seseorang itu telah terputus amalannya kecuali sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan doa anak yang soleh.
Tapi, di dalam Islam Hadhari, ada empat amalan Muslim Hadhari yang pahalanya berterusan selepas kematiannya. Selain sedekah, ilmu dan doa anak, yang keempat adalah undi roh-roh yang telah mati. Pahala mengundi Umno–BN tetap mengalir kepada si mati.
Jika ada Islam Hadhari, tentu wujud Hindu Hadhari yang dipelopori Syekh Samy. Mengikut ajaran asal, roh si mati akan bertukar menjadi haiwan. Menurut ajaran terbaru, roh si mati bertukar menjadi warga Bangla dan pendatang asing. Kita main teka saja. Jika Abdullah pantang dicabar, wujudkan suruhanjaya bagi mengkaji isu pengundi hantu.
Hindu Hadhari anti Hindraf sama kedudukannya dengan Islam Hadhari tajaan PM ini. India adalah kelompok minoriti yang tidak dilindungi Islam Hadhari walaupun ajaran baru itu jelas menyebut gagasan untuk melindungi wanita dan kelompok minoriti.
Munirah, Umi Azlim dan lain-lain wanita muda ini adalah kelompok wanita yang dipinggirkan Islam Hadhari secara tak disedari. Syed Abdul Hamid Albar selaku Menteri Luar dalam kenyataannya cuma menyebut: “Memandangkan isu ini menjadi hal dalaman negara luar, ia sulit.” Dasar Luar Negara menyebabkan Malaysia tidak boleh mencampuri urusan negara lain, walaupun ia melibatkan warganegari sendiri.
Jadi Islam Hadhari tidak dapat dimanfaatkan di sini dan dasar negara tidak diserap dengan roh Islam Hadhari setakat ini. Ia sekadar suatu sebutan yang memikat hati rakyat, guna memukat undi dalam pilihan raya.
- Kita pejuang emansipasi dan mempelopori perjuangan mengangkat kaum wanita …
###
Perhimpunan Hindraf, Umno perlu berfikir di luar kotak
Akibat Anwar menyokong perhimpunan Hindraf, Umno menyusun tohmah; bekas TPM menyokong suatu perhimpunan yang menolak hak keistimewaan Melayu, walaupun Umno bukan pejuang hak keistimewaan Melayu sebagai tuan di negara ini.
Dalam ilmu Sains Politik, akan ditemukan pepatah Voltaire: “Saya tidak bersetuju dengan anda, akan tetapi hak anda untuk menyuarakan pandangan tetap saya berikan.”
Ramai polis SB berkuliah Sains Politik di universiti untuk menaikkan tangga gaji mereka dan bukan berkuliah untuk mendapatkan ilmu. SB dan FRU yang suka menyiram water Canon ini tentu akan bertindak mulia dengan membenarkan perhimpunan itu kalau menghayati Voltaire, yang ditemukan namanya, fikrah dan pepatahnya dalam kuliah itu.
Jadi, kuliah Sains Politik yang dipelajari polis SB untuk menaikkan pangkat tidak berkat kerana ilmu itu dituntut bukan untuk mencari kebenaran dan keadilan. Ilmu untuk menaikkan gaji menyebabkan fikrah polis semakin sifar hadhari. Jika fikrah polis hadhari maka Umno dan Abdullah tentu susah hati kerana polis mengamalkan ilmu secara ikhlas.
Polis berfikrah hadhari akan menolak arahan Umno Hadhari secara bistari kerana beriman dengan faham Voltaire. Kita perlu polis yang mampu berfikir di luar kotak juga. Jadi, menyokong perhimpunan Hindraf bukan bererti menyokong tuntutan mereka.
- Fansuri ikhlas belajar Sains Politik ...
###
Umno dicabar kirim nota bantahan kepada British, bebaskan Selatan Thai
Kalau Umno berfikir di luar kotak nescaya mereka dapat pelajari sesuatu daripada Hindraf, walaupun tuntutannya bersifat anti Melayu. Tuntutan Hindraf itu maju ke depan dan menggambarkan pemikiran hadhari yang disifatkan sebagai berfikir di luar kotak.
Niat awalnya mereka ingin melawan ketuanan British yang mengirim datuk nenek mereka ke Tanah Melayu sebagai buruh ladang-ladang. Itu idea asal penentangan. Kalau Umno berfikir di luar kotak, nescaya Abdullah akan tiru gaya penentangan Hindraf juga.
Abdullah dan Umno jangan meletakkan diri mereka sebagai tali barut British pada zaman ini seperti kedudukan mereka di zaman lalu yang menyalakan api warisan British– iaitu ISA untuk menangkap pejuang kemerdekaan berhaluan kiri yang anti-British.
Sudah ada dakwaan bukan-bukan yang menyamakan Hindraf dengan Tamil Elam, sebuah gerakan pemberontak di Sri Lanka. Seperti biasa, setelah dakwaan yang direka ini terapung dalam suatu tempoh, maka ISA akan digunakan. Dengan ini, Umno menjadi tali barut British kini yang tak mahu kepentingan penjajah British di zaman ini tergugat.
Tuntutan Hindraf ke atas British dapat dicontohi jikalau Umno mahu perjuangkan hak kaum minoriti Melayu Muslim di selatan Thai yang kerap ditindas oleh Thai. Hal ini terkait dengan British juga. Umno perlu sedar bahawa British mesti bertanggungjawab.
Menurut sejarah, setelah perang panjang antara negeri-negeri Melayu utara–Siam, maka semua negeri itu menjadi seperti bawah naungan Siam. Dengan Perjanjian Bangkok 1909, British–Siam bersepakat membedak negeri-negeri itu. (Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu di bawah British. Siam pula mengambil Patani, Menara, Jalor dan Setol.)
Pada 1957, ketika kita mencapai merdeka, Tunku sebagai anak Kedah seolah-olah lupa (mungkin takut) menuntut, mendesak dan melakukan tekanan ke atas British supaya negeri-negeri Melayu utara (antaranya seperti jajahan Kedah, iaitu Setol yang kemudian ditukarkan nama kepada Satun oleh Siam) digabungkan dalam Persekutuan.
Jika dibuat tuntutan ke atas British bertalu-talu supaya diserahkan semula wilayah itu ke dalam Persekutuan kemungkinan besar Melayu Muslim di wilayah Selatan Thai itu tidak menderita seperti yang berlaku sekarang ini.
Yang menariknya usaha masukkan Sabah Sarawak dilakukan dengan keras secara pungutan suara. Tapi, Melayu Muslim di tempat itu yang diikat dengan tali persaudaraan yang kuat dari segi sejarah, tak menarik minat Tunku dan waris petadbirannya, Abdullah.
Abdullah sebagai anak Tanjong (Pulau Pinang); serpihan daerah Kedah tentu tahu filem The King & I (kini Anna & The King, Jodie Foster – Chow Yun Fat); mengisahkan riwayat hidup Anna berhijrah ke Siam untuk mengajar bahasa Inggeris kepada istana bagi melengkapkan usaha memodenkan Siam.
Suami Anna adalah rakan Francis Light yang meninggal dunia lalu dikuburkan di Pulau Pinang. Setelah kematian suami itulah maka Anna berhijrah. Raja Bhumiphol yang sedang sakit kini adalah cucu ke-4 dari Raja Mongkut. Raja itulah watak sebenar seperti yang digambarkan dalam filem The King and I itu.
Penjajahan wilayah Selatan Thai dilakukan sejak zaman raja-raja Siam bukannya pada ketika negara Thai diperintah junta tentera seperti sekarang ini. Ulama Patani adalah ulamak pejuang yang ada kaitan dengan Turki Uthmaniyyah yang membebaskan wilayah itu juga. Jika Abdullah berdarah ulamak tentu beliau peka dan cekap menghidu siasah ini.
Abdullah Fahim juga ulamak pejuang yang menentukan tarikh kemerdekaan. Dan jangan cucu Abdullah Fahim meninggalkan perjuangan ini lalu menanggalkan setiap inci maruah harga diri keturunannya yang ada rekod cemerlang, gemilang dan terbilang dalam perjuangan merebut kemerdekaan. Soalnya, bersediakah Abdullah yang kini telah kuasa?
Jangan hanya berani bertempik: “Saya pantang dicabar!” kepada Bersih – Hindraf iaitu orang bawahannya, tapi lunak dan takut kepada kuasa-kuasa besar Barat atau negeri atas angin itu. Jadi, kalau Hindraf berani menuntut hutang lama ke atas British, Abdullah dan Umno perlu berani menuntut wilayah Selatan Thai yang dirampas melalui Perjanjian Bangkok 1909 ketika British menyerahkan wilayah itu kepada Siam. Tapi, beranikah dia?
Kita nantikan keberanian Umno mengirim nota bantahan kepada ratu dan Gordon Brown bagi menuntut British bertanggungjawab ketika diserahkan Pattani, Satun (Setoi), dan lain-lain wilayah selatan itu kepada Siam dalam episod, babak perjuangan depan.
- Tak sanggup potong jari dan kepak tengkok lagi …Bukan apa, sebabnya dapat dirasakan bahawa Abdullah dan pentadbirannya tidak berani menyahut cabaran ini…
Currently have 0 comments: