Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Abdullah akan dibantu Allah jika mampu berjihad bagi menebus kesilapannya

Monday, December 03, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 12:25 AM

Oleh Ali Bukhari Amir

Selepas berakhirnya episod drama ‘Saya pantang dicabar!’ yang diarahkan di atas pentas lakonan PWTC, kini beralih pula kepada ‘Faiza hakamtum baina an-Naas, an tahkumuu bil adli’ (Jika kamu menghukum antara sesama manusia, hendaklah hukum secara adil).

“An-Naas ini ertinya manusia, tidak hanya Melayu saja. Saya pemimpin semua bangsa di Malaysia termasuk Cina dan India. Jika tidak, di akhirat nanti saya dihukum,” kata beliau dalam satu ucapannya berhubung tuntutan Hindraf baru-baru ini ke atas Queen Elizabeth.

Dalam program yang sama, Abdullah turut meluahkan rasa kecewanya terhadap kritikan-kritikan padu Hindraf yang menyebutkan bahawa mereka tertindas di bumi bertuah ini.

Ekoran itu, yang terbaru Abdullah mengarahkan Samy Vellu agar tubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji segala permasalahan kaum India di negara ini. Pada malam yang sama saat media melaporkan penubuhan jawatankuasa itu, media turut merakamkan: “Demikianlah menyelesaikan masalah; dengan rundingan jawatankuasa dan bukannya melalui jalan raya.”

Tapi, harus disedari juga bahawa jawatankuasa itu diwujudkan setelah 50 tahun merdeka dalam keadaan Samy tidak pedulikan nasib kaum India sendiri. Minat Samy cuma kepada kenaikan tol dan jawatankuasa itu cuma wujud setelah Hindraf bangkit di jalan raya. Dan, tanpa kebangkitan Hindraf, mustahil akan wujud jawatankuasa tersebut.

Maka, jasa Hindraf tetaplah ada iaitu mereka membangkitkan rasa sedar di hati PM untuk prihatin ke atas nasib kaum India di mana hal ini tidak dipedulikan oleh Samy sendiri.
Jadi, jika mahu diharapkan hati Samy tergerak untuk wujudkan jawatankuasa itu memang tidak akan bergerak sehingga bila-bila pun. Buktinya, media sendiri melaporkan bahawa Samy diarahkan Abdullah bagi menubuhkan jawatankuasa itu. Ertinya, jika tanpa gesaan Abdullah, nampaknya jawatankuasa itu tidak terbentuk.

Ertinya, Abdullah tidak dibantu oleh kalangan menteri-menterinya sendiri. Ini antara masalah terbesar yang wujud dalam pentadbiran Abdullah jika beliau ingin mengetahuinya.

Jika Abdullah menyembak kembali lembaran Utusan, ada satu hadis nabi yang diselitkan dalam akhbar itu ketika Abdullah mengumumkan barisan kabinet baru setelah dikunjungi ilham membangunkan kabinet itu dalam suatu tempoh yang lama.

Rakyat ingat, tempoh yang lama itu digunakan agar kembali meneliti prestasi menteri dan akan naiklah menteri yang baru. Akhirnya, rakyat turut kecewa kerana menteri perasuah diberi ruang semula. Wartawan aliran perdana yang ada kesedaran agama turut kecewa ke insiden perlanggaran ini, kerana sepatutnya inilah detik awal dan punca bagaimana bantuan Allah sampai ke atas Abdullah. Tapi, Abdullah mungkin tidak peka terhadap hal ini.

Lalu, kalangan pengamal media yang ada kesedaran agama itu telah meletakkan sebuah hadis berbunyi lebih kurang, “Jika Allah mengasihi pemimpin itu, maka diberinya menteri-menteri pembantu yang baik bagi membantu urusannya.”

Tetapi, Abdullah telah terlanjur juga melantik menteri-menteri yang bermasalah. Sebagai hukuman, beliau terpaksa berdepan dengan krisis sebegini setelah tiga tahun memerintah.

Apabila Abdullah tidak dibantu menteri-menterinya yang beriman dan bertaqwa, adakah mampu Abdullah meneruskan pelaksanaannya ke atas ucapan semboyan retorika terbaru? Iaitu, kalam ucapan – ‘Faiza hakamtum baina an-Naas, an tahkumuu bil adli’.

Biar saya jawab secara peribadi, di sini saya menjangkakan bahawa Abdullah tak mampu bukan kerana tidak dibantu oleh menterinya dan lulusan Oxford di tingkat empat lagi, tapi kerana beliau tidak nampak bahawa beliau sentiasa berada dalam kezaliman lantaran warisan kepimpinan yang beliau warisi daripada Perdana Menteri yang sebelumnya.

Sebagai warganegara yang baik, saya ingin bertanya Abdullah, adakah beliau faham tuntutan Tuhannya saat bertempik! ‘Faiza hakamtum baina an-Naas, an tahkumuu bil adli’ itu? Saya rasa cemas berbalut khuatir kerana saya percaya Abdullah tidak faham. Jika tidak, ISA sudah lama dibatalkan sejak beliau menjadi PM.

Seperkara lagi, dialog Abdullah ini adalah rakaman firman Allah mengenai keadilan khalifah dalam menjatuhkan hukuman. Tapi, jika Abdullah berdosa ke atas rakyatnya, bagaimana dosa Abdullah itu mahu dihukum? Adakah hal ini turut menjadi bahan fikiran Abdullah?

Hakikat Abdullah berdosa ini malah turut diakui beliau dalam Mingguan Malaysia ketika beliau menyebut “Berdosalah saya!”. Hal ini terkait dengan masalah kemiskinan rakyat. Ketepikan dulu masalah kemiskinan tegar. Orang miskin tetap wujud sehingga kiamat.

Kita tumpu kepada kalimat keramat Abdullah daripada ‘Saya pantang dicabar!’ dan yang terbaru – ‘Faiza hakamtum baina an-Naas, an tahkumuu bil adli’. Ini kerana, hal keadilan inilah yang diperjelaskan oleh Islam Hadhari; bikinan ramuan dari acuan tangannya sendiri.

Abdullah dan rakyatnya sama-sama bukan malaikat. Kita semua terdedah kepada dosa. Dan setiap dosa itu perlu dihukum atau ditebus. Seperti yang dibangkitkan persoalan di atas tadi-Abdullah mahu hukum dengan adil ke atas umat. Tapi, bagaimana mahu hukum Abdullah jika beliau telah menjatuhkan hukuman ke atas umat secara yang tidak adil?

Dosa ini lebih berat dan keras hukumannya dibanding dosa tidak sempat memberi agihan kekayaan. Semua ini lebih ringan hukumannya kerana setiap pemimpin itu wujud batasan waktu untuk memberikan perhatian ke atas rakyat seorang demi seorang.

Untuk lebih memahami dosa-dosa yang terkait dengan pemerintahan ini, ada sebuah cerpen karya Awamil Sarkam yang tersiar di Utusan Zaman, pada 8 Ogos 1954 [http://ibnuamir.multiply.com/journal/item/62/Pak_Cik_Saya_Kembali_ke_Masjid]

Ia mengisahkan hal Pak Cik Bakaruddin (seorang pegawai kerajaan yang menindas) yang ingin menebus dosanya terhadap insan dengan hanya memohon ampun dari Allah sahaja.

Awamil Sarkam membangkitkan pertanyaan: “Adakah dosa pak cik saya itu akan hapus begitu saja? Sedangkan guru agama saya menyatakan, kalau berdosa kepada Tuhan, cukuplah meminta ampun kepadaNya saja; kemudian melakukan segala titah perintahNya dan meninggalkan larangannNya. Tetapi, kalau berdosa kepada sesama manusia, maka seharusnya ampun dan maaf diminta kepada manusia itu sendiri dan sesudah itu barulah Tuhan akan mengampuni kita.

“Tetapi, Pak Cik Bakaruddin hanya sembahyang dan berdoa di masjid dengan tidak mencari orang-orang yang telah dianiayanya dulu itu.”

Cerpen ‘Pakcik Saya Kembali Ke Masjid’ ini juga menambat perhatian kolumnis Mazlan Nordin. Beliau menulis dalam kolumnya itu di Mingguan Malaysia dengan niat membangun peringatan kepada pemimpin. Tapi, adakah mereka suka membaca karya sastera?

Jika Abdullah dan menteri kesuntukan waktu membaca cerpen ‘Pakcik Saya Kembali Ke Masjid’, saya sarankan beliau menonton satu drama bersiri menarik yang boleh Abdullah mengambil inti pengajaran daripadanya.

Iaitu, ‘My Name is Earl’ yang ditayangkan di NTV7 setiap Rabu, jam 11:45 malam. Earl terhimpit kecelakaan satu demi satu sehinggalah dia menyedari bahawa punca kecelakaan itu adalah kerana Hukum Karma telah menghukumnya akibat kenakalannya yang lalu.

Berakar daripada kesedaran itulah, Earl telah menulis senarai orang-orang yang pernah dizaliminya ketika dia muda. Lalu, di dalam setiap episod, beliau akan berjuang mencari mereka yang dizaliminya dan diserahkan segala hak mereka yang telah diambilnya dulu.

Sebab itulah beliau mesti menyediakan blog untuk memastikan kalau-kalau ada perlanggaran hak secara tidak sengaja yang mungkin tidak beliau sedari. Beliau mungkin tidak perlu pergi menemui sendiri mereka yang telah dizaliminya yang menulis dalam blog beliau itu.

Semua orang tahu Abdullah adalah Perdana Menteri sedangkan watak Earl adalah sosok pemuda nakal yang tiada pengetahuan pula. Perdana Menteri tentu sukar mencari waktu untuk menemui mereka yang mungkin dizaliminya secara tidak sengaja.

Ini kerana Abdullah terlibat dengan pelbagai kegiatan dan seminar antarabangsa, berjabat tangan dengan Bush dan lain-lain hal dan terkini usahanya mempromosi Islam Hadhari di peringkat antaraangkasa. Mana Abdullah ada masa bagi menebus dosanya kepada semua!

Berdasarkan pengajaran daripada Pakcik Saya Kembali Ke Masjid dan My Name is Earl, kita maklum bahawa seorang pemimpin itu mungkin boleh berjalan berpimpinan tangan dengan seteru politiknya sebagai Abdullah memimpin tangan Nik Aziz dalam pelancaran ECER. Tapi, zalim tetap zalim. Tindakan memimpin tangan tidak mengurangi kezaliman.

Memimpin tangan si bapa ketika melancarkan program ECER tidak mungkin membasuh dosa seraut luka kerana menahan anaknya dalam ISA. Walaupun Abdullah ada ketikanya menyatakan bahawa dia berteleku lama di atas tikar sejadah bermuhasabah selepas Subuh namun zalim tetap zalim ketika membiarkan jutaan anak-anak bersusah payah memahami ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa bukan ibunda.

Zalim tetap zalim ketika Abdullah dan menterinya bertawaf keliling Kaabah sedangkan masih ramai tahanan ISA yang merengkok dalam penjara, tanpa dibicarakan ‘kesalahannya’.

Allah tidak seperti Abdullah. Allah tidak ‘bias’ dalam hukuman. Pahala Abdullah ketika bertawaf keliling kaabah, ucapan tazkirah ke atas menteri dan pegawai kerajaan itu tidak boleh membasuh dosa-dosanya terhadap insan yang dizaliminya. Kebaikan itu hanya boleh membasuh dosa peribadi kepada Allah saja, tapi dosa ke atas orang lain hendaklah diminta ampun daripada pihak yang telah dianiayai kita sendiri.

“Inilah yang menjadi bahan fikiran saya selepas mendengar cerita Pak Cik Bakaruddin.” tulis Awamil Sarkam dalam cerpennya, “Sesungguhnya fikiran inilah yang membuatkan perasaan saya menderita sekarang. Hati saya selalu tertanya: Adakah dosa pak cik saya itu akan hapus begitu saja? Dan, setiap pertanyaan ini timbul, maka saya tidak dapat menjawabnya, malah membingungkan, juga menakutkan.”

Demikian Awamil Sarkam membawa watak pegawai kerajaan yang di usia tuanya cuma memohon ampun kepada Allah sahaja dengan selalu berulang-alik ke masjid tanpa sikap seperti watak Earl itu. Abdullah hampir sama dengan Pak Cik Bakaruddin dalam jemaan yang lalu kerana berfikir kebaikannya boleh membasuh dosa – membiarkan ramai pelajar terpaksa berhutang dengan tiba-tiba akibat penindasan riba oleh PTPTN dan lain-lainnya.

Setidak-tidaknya, di usia tua selepas persaraan, Pak Cik Bakaruddin punya waktu berfikir soal semacam itu walaupun cara fikirannya tidak menentu betul atau salahnya. Tetapi, Abdullah di usia senja ini dan masih belum bersara lagi, adakah cukup waktu muhasabah segala saki-baki daki kekotoran pentadbirannya; yang berpunca daripada warisan pemerintahan yang lalu?

Bermula sekarang, menjadi tugas Abdullah dan sekalian menteri untuk membuat catitan ke atas setiap dosa mereka ke atas rakyat kalau tidak ingin ditimpa kecelakaan dunia atau akhirat. Abdullah, khasnya jangan ambil nasihat manis mulut mahu menyemai keuntungan dunia, tapi akhirnya menuai bala dan mengundang banyak padah di akhirat kelak.

Jika beliau ambil nasihat yang salah, maka hal ini adalah seperti kata Fansuri – bagaikan dahaga, disuruh minum logam panas pula. Bagai lapar dimakan batu, seperti luka dirawat air garam mendidih. Sakit tak hilang, luka bertambah pedih.

‘Nasihat busuk’ merupakan makanan yang tak pernah mengenyangkan, air yang tak akan membunuh rasa dahaga. Akibatnya luka rakyat terpendam telah merebak dalam diam dan membusung lalu pecah menampakkan pekung bernanah. Baunya itu membusuk, menusuk ke hidung umat di serata dunia.

‘Pekung’ Bersih dan Hindraf telah pecah nanahnya dan meruap pula segala kehanyirannya itu menerusi paparan al-Jazeera, CNN, BBC dan lain-lainnya. ‘Nasihat busuk’ penasihat Oxford jelmaan Residen British masa dahulu bukanlah penawar. Kembali merujuk rakyat dan jadilah sebagai watak Earl dan bukannya Pak Cik Bakaruddin itu!

Sekolah Pemikiran Kg. Baru,
3 Disember 2007, 10:01 pagi.

Currently have 0 comments: