Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Santa Claus Melayu, Petronas dan White House

Friday, December 28, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 12:47 AM

Ali Bukhari Amir
Thu | Dec 27, 07 | 11:32:48 am MYT

Ketika umat Islam merayakan Aidiladha ini, dan laungan takbir bergema selama empat hari ini, telah tertegak sebuah pokok Krismas raksasa yang menjulang tingginya separas bumbung Suria KLCC di tengah ibu kota itu. Pucuk pokok itu setia mencakar atap gedung perniagaan.

Abdul Rahman Daud, 24, salah seorang pengunjung di situ sedang asyik meneliti tiket wayang di Tanjong Golden Village (TGV) di tingkat 3 di gedung membeli belah itu. Hari raya ini beliau tidak dapat balik beraya di Pahang memandangkan rumah keluarganya tenggelam separas 8 kaki dihanyutkan deras air sungai yang melimpah dengan cepat sekali.

"Raya di sini saja. Lagi pun, ramai kenalan IPT yang menerima nasib yang sama," katanya dengan wajah yang bersalut kedukaan. Sebenarnya tadi kami terserempak di Kinokuniya, sebuah gedung yang sarat dengan muatan buku-buku antarabangsa, tempatan dan Jepun.

Dari gedung buku itu di tingkat empat, kami pergi ke TGV yang terletak di lantai tiga.

Ada dua pasangan remaja Melayu (mungkin Muslim) sedang berpegangan tangan sambil topi Santa Claus terpacak megah di atas kepala mereka. Topi merah putih seperti warna bendera Sang Saka Merah itu berbulu tebal, mungkin berbaldu dan kelihatan lembik sehingga puting bucu di atas itu terjatuh menutup telinga. Kadangkala ia terjatuh di bahagian belakang kepala.

Dua tiga hari sebelum pulang beraya, dalam perjalanan menuju ke Kelang dengan komuter dari KL Sentral, hal yang sama berlaku. Pada hari itu, saya terlihat dua remaja lelaki dengan sengaja meletakkan topi Santa Claus di atas kepala mereka.

Jatuh akidah?

Di mana-mana gedung membeli belah utama di ibu kota ini, di Pavilion misalnya, saya terlihat ada anak Melayu yang menyulam perhiasan di pokok Krismas sebagai perhiasan. Peristiwa yang seperti ini walaupun mungkin tidak melambangkan jatuh aqidah, namun ia menampar hati nurani Muslimin bagi mereka yang masih tebal dengan keislamannya.

"Mungkin dalam hal para pekerja Melayu kita boleh beri sedikit kelonggaran dengan berfikir, bahawa mereka sebenarnya terpaksa berbuat begitu kerana mencari rezeki. Mungkin mereka hias pokok Krismas kerana dibayar upah," kata Abdul Rahman, anak kelahiran Bera ini.

Saya dapat bersetuju dengan Abdul Rahman, tapi betapa halnya dengan remaja yang dengan sengaja memakai topi Santa Claus dalam komuter tempoh hari? Adakah mereka ini didesak oleh keadaan, dibayar berbuat begitu ataupun sekadar menerima seadanya segala budaya luar yang bukan milik kita? Jelas, mereka cuma memenuhi waktu libur dan kerana suka fesyen.



Pada 20 Disember lalu, lima hari sebelum perayaan Hari Natal, separuh bangunan White House telah dijilat api. Media melaporkan, kejadian itu berlaku di bilik pejabat Dick Cheney. Mujurlah kebakaran ini berjaya dipadamkan. Tetapi, dalam nahas itu juga White House masih sempat lagi mengirim kira-kira 895,000 kad Hari Natal yang diedarkan seluruh pelusuk dunia.

Syiar Natal berkembang dengan ghairah dan kental, dimantapkan lagi oleh pokok Krismas di KLCC ini. Jika gedung perniagaan ibu negara ini tertegak sebuah pokok raksasa di bahagian tengahnya, White House telah membina 33 pokok raksasa yang lebih kurang ketinggiannya.

Sikap Petronas

"Walhal, gedung ini dibina dengan syarikat GLC, Petronas sebagai nadi tonggak bangunan ini. Sekali imbas, kerajaan yang menguasainya. Kenapa syiar Aidiladha tidak jelas?” rakan baru saya menyoal. Dan soalan itu, entah siapalah yang mampu menjawabnya?

Persoalan yang dibangkitkan Abdul Rahman itu ada kebenarannya. White House menjemput tetamu seramai 60,000 ke pentadbiran neraka itu sempena perayaan mereka. Sebanyak 20,000 biskut disediakan dan 450 kg udang besar disajikan sebagai hidangan santapan istimewa.

Namun, gema takbir raya atau dan ayat suci sempena sambutan Aidiladha yang sepatutnya akan dilagukan di mana-mana itu telah ditenggelami kebanjiran syiar agama bukan rasmi di Malaysia. Di mana teguran agensi agama Persekutuan sedang Petronas, GLC ada di situ?

Bukankah disunatkan takbir itu diratibkan selama beberapa hari selepas Aidiladha? Jadi, dalam tempoh itu, sementara menunggu ketibaan Hari Natal, di mana wirid menghilang?

Kita mungkin dapat menerima hakikat bahawa setidak-tidaknya sebuah gedung perniagaan besar milik bukan Melayu dan bukan Muslim tidak akan mengendahkan hal ini kerana meningkatkan syiar Islam dan menerapkan pengaruh kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan kebangsaan bukan sebahagian daripada amanat yang dipikul (walaupun mereka patut bertanggungjawab juga dalam hal ini sebagai warga Malaysia).

Tapi, kalau gedung perniagaan yang ada di dalamnya syarikat GLC; milik kerajaan sendiri tidak berupaya meningkatkan kesedaran itu, bagaimana warga bukan Melayu dan bukan Muslim mahu menghormati agama dan bahasa rasmi di negara ini?

Pertandingan menarik

Ketika ini, dunia sedang menonton pertandingan calon Democrat dan Republican dalam merebut jawatan Presiden USA. Antara yang menarik, ialah pertarungan antara wakil gereja Evangelical Huckabee dan wakil gereja Mormon Romney untuk calon Republican.

Perpecahan Kristian lebih menebal berbanding agama lain di dunia. Ini jelas terpancar dalam krisis perebutan jawatan itu. Mormon sering dianggap sebagai suatu aliran 'cult' yang terasing daripada Kristian itu sendiri. Malah, daripada dua aliran itu tercetak ribuan pecahan lagi.

Huckabee (Evangelical) ketika disoal di dalam temu bual bersama Newsweek, enggan mengulas kedudukan Mormon sebagai 'cult'. "Jika saya jawab soalan saudara, ramai pihak akan berkata, Ah! Anda bercakap seolah-olah anda seorang yang arif di bidang agama.

"Oh, anda sedang menggambarkan diri anda sebagai hakim yang memutuskan kebenaran antara agama-agama," demikian kata Huckabee. Agama di Barat ini sebenarnya semakin merosot kalau dibandingkan dengan Islam yang semakin berkembang di Barat di mana gereja-gerejanya telah dibeli oleh saudagar Muslim untuk dijadikan masjid.

Demi menyelamatkan maruah agama, suatu akta warisan digubal bagi mengelakkan gereja yang usang dibeli oleh Muslim untuk dijadikan binaan lain. Di sini jelas kelihatan peranan politik bagi menyelamatkan agama yang pernah gemilang di Barat itu. Gejala keusangan gereja berleluasa di Britain. Anak muda termasuk masyarakat telah kurang menghayati agama.

Dalam konteks Amerika, White House dilihat sebagai kuasa penentu yang menyambung warisan syiar perayaan itu, bersanad dari zaman-berzaman walaupun hukum perundangan agama tidaklah tertegak sebagai landasan negara sekular tersebut.

Wacana kristologi di negara kita masih lagi di tahap rendah berbanding Indonesia. Kalau ada pun nescaya ia terzahir secara perbincangan tertutup dan tidak meluaskan di mana perdebatan hanya terhad kepada mereka yang ahli-ahli sahaja.

Bencana alam

"Apalah bezanya umat Islam dan Kristian saat ini. Kedua-duanya mengalami peristiwa bencana alam yang lebih kurang sama. Mereka dan kita atau berdepan banjir, gempa bumi dan ribut ketika dua musim perayaan agama besar ini menjelang tiba.

"Namun, dalam apa jua keadaan syiar agama mereka bagaikan banjir di mana limpahannya tetap meluncur di mana-mana negara walaupun hukum-hakam agama itu diketepikan," kata rakan saya tadi. Dia seorang anak muda biasa dan kami tiada latarbelakang agama yang tinggi.



Kata-kata itu meresap masuk, menerobos ke ruang fikir sehingga menjadi bahan fikiran saya kini. Hukum agama sebagai inti perundangan negara dan syiar agama, sejauhmana golongan pemerintah terfikirkan hal seumpama ini?

Ada dua sendi agama yang dilupakan. Hukum-hakam dan syiar agama. Selain hukum-hakam dan perundangan, syiar juga harus ditegakkan. Kelebihan di Barat – walaupun hukum-hakam sekular, tapi syiar agama tetap wujud. Di negara kita, selain perundangan Islam tidak tertegak, syiar makin malap di luar masjid seperti tempat tumpuan umum sebagai pasaraya itu.

Syiar menyebabkan manusia akan terdorong dan didorong hatinya untuk mengamalkan agama. Apabila manusia mula mengamalkan syariat agama dalam jiwanya, raganya akan aktif bertindak untuk menuntut pelaksanaan hukum-hakam yang selaras dengan maksud yang dicita-citakan oleh al-Quran itu sendiri akhirnya.

Sebanyak-banyak dana

Inilah satu kelebihan White House dari aspek tertentu, iaitu lembaga itu memperuntukkan sebanyak-banyaknya dana demi mempertahan syiar Kristian. Fakta yang dipersembahkan di dalam sebuah majalah antarabangsa menyebabkan hati saya dipagut rasa kagum.

White House menyiapkan 10,000 hasil kraftangan, 263 meter kalungan bunga hiasan, 700 kek penganan beraneka rupa warna, 270 kilogram asparagus, 347 perhiasan pokok Krismas, 1,200 liter eggnog, 232 susunan bungaan dan daunan yang dipilih atau dianyam menjadi lingkaran bunga, 73 sukarelawan dan lain-lain lagi.

Aduhai, pemimpin kita cuma meningkatkan syiar sekadar rumah terbuka dan tidak cukup waktu untuk memanjangkan gelombang dan getaran syiar itu ke mana-mana. Yang ada, tv menyiarkan takbir bersama PM, artis dan tentera. Mujur ada. Syukur ... tapi takat itu sajakah?

Mungkinkah kehebatan syiar agama ini menyebabkan anak-anak Melayu dalam komuter dan pasangan sejoli di KLCC tadi telah didorong untuk menjadikannya sebagai fesyen ikut-ikutan? Hal ini pun harus menjadi perhatian, renungan dan menungan kita bersama juga.

Dalam suatu artikel yang sudah lama saya baca, seingat-ingat saya sama ada Muhammad Rashid Redha atau Syeikh Muhammad Abduh pernah ditegur seorang paderi mengenai Islam ini. Dan teguran inilah menjadi bahan fikiran dan penulisan tokoh pemikir Islam ulung itu.

Paderi itu berkata, “Seandainya saya Muslim, pasti saya akan berdakwah dengan lebih hebat lagi mengenai Islam. Tetapi, saya dapati banyak ajaran Islam yang tidak disampaikan oleh pendakwah walhal agama kami mempunyai ajaran yang amat sedikit untuk dikembangkan.”

Di manakah silap kita? Dan bukankah setiap Muslim itu pada hakikatnya adalah pendakwah?

Currently have 0 comments: