Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Pemimpin sejati lahir daripada kekuatan peribadi sendiri

Saturday, July 07, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 8:05 AM

Sumber: Siasah, Bil. 53.

Oleh Ali Bukhari Amir

Sebelum kedatangan Islam di jazirah Arab, Kaabah wujud sebagai suatu medan untuk penggiat sastera Arab mengungkapkan kehebatan syair mereka. Syair Arab itu amat kaya dengan pemikiran, selain daripada ketinggian nilai dan mutu bahasa.

Salah satu syair Arab jahiliyyah yang termasyhur dan masih diwarisi setelah kedatangan Islam, ialah sepotong syair oleh penyair terkenal, iaitu Imra’ al-Qais. Sajak itu berbunyi:

Laisa al-fata man yaquulu kaana abi, wa lakin al-fata man yauulu haa ana za! (“Tidaklah dinamakan pemuda, sekiranya seseorang lelaki itu berbangga dengan keturunannya. Tetapi, lelaki sejati itu dinilai apabila dia berkata, ‘inilah aku!’).

Mafhum daripada syair ini ialah janganlah sesekali pemuda berbangga dengan kekayaan, kehebatan dan kegagahan nenek moyang. Tapi, mestilah berbanggalah dengan kekayaan, kehebatan dan kegagahan diri sendiri.

Memang wujud sikap sebegini dalam kalangan pemuda Arab. Mereka berbangga dengan keturunan serta mengagungkan kepahlawanan bapa dan nenek moyang dalam bani-bani dan kabilah mereka.

Imra’ al-Qais membidas sikap buruk ini melalui syairnya. Beliau melihat sikap berbangga itu mesti dinisbahkan kepada jasa dan bakti pemuda itu sendiri ke atas kaumnya. Mereka tidak lagi boleh berbangga terhadap jasa bakti bapa mereka yang telah menaikkan nama kaum dan kabilah mereka sendiri.

Pemuda Arab ini ditanya, “Apa yang disebutkan itu adalah jasa bakti bapa kalian. Tapi di manakah bakti yang kalian tumpahkan ke atas kaum sendiri yang boleh dibanggakan?”

Soalan ini jarang-jarang dapat dijawab oleh anak-anak muda. Penyakit ini sebenarnya ada pada setiap orang tanpa mengira kaum apa sekalipun.

Tahap paling kronik di dalam sebuah kabilah itu ialah apabila seorang pemuda yang tidak berkualiti, atau tiada kekuatan sahsiah tapi diangkat sebagai ketua, hanya kerana bapanya adalah pimpinan ternama di dalam kaum tadi.

Pemimpin sejati bagi sesuatu kaum adalah pimpinan yang teruji pemikirannya. Dia boleh menjawab persoalan umatnya. Mereka mampu menjawab permasalahan ekonomi, politik, dan lain-lain masalah yang melingkari kaum mereka.

Dia memiliki kekuatan peribadi, sahsiah terpuji. Ideanya dicatatkan, sebab hasil renungan pemikiran dan analisis kehidupan kaumnya telah dibahaskannya dengan lebih mendalam.

Apabila seseorang pemuda yang tidak berkualiti, diangkat sebagai pemimpin kaum hanya bermodalkan nama bapanya sebagai pemimpin, maka tunggulah saat kehancuran bangsa. Ini kerana, kerosakan bangsa bermula daripada kebejatan pemimpin, bukan rakyatnya.

Bagi pemuda yang memiliki jurai keturunan yang baik, dan kebetulan memiliki kekuatan pemikiran, peribadi yang baik, sudah tentulah hal ini menjadi lebih baik. Nabi Sulaiman a.s misalnya menaiki takhta sebagai raja bukanlah semata-mata baginda anak raja Daud.

Tetapi sebelum itu lagi Sulaiman telah membuktikan kepintarannya dalam menyelesaikan masalah yang tak dapat dirungkaikan oleh bapanya sendiri. Nabi Daud diangkat sebagai sebagai raja kerana baginda berhasil menumbangkan Jalut.

Daud ketika usia mudanya yang telah berjasa dalam perang, lalu beliau diangkat sebagai raja. Sulaiman a.s diangkat sebagai raja apabila dapat menyelesaikan masalah yang tidak ditemukan jawapannya oleh bapanya, Daud. Mereka tidak menumpang nama, jasa bakti bapanya demi melayakkan diri sebagai pemimpin bangsa.

Dalam kepimpinan alam Melayu, politik istana dan siasah antara bangsawan adalah suatu hal yang boleh kita ambil contoh juga. Contohnya Tun Abdul Razak yang digelar sebagai ‘Bapa Pembangunan’. Beliau naik dengan sendirinya melalui usaha-usaha dan jasa bakti ke atas rakyatnya sendiri. Tetapi, adakah nilai ini mengalir ke atas anaknya sendiri?

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyusun program yang membahaskan jasa-jasa ayahnya. Daripada suatu sudut, Najib seperti berbangga diri dengan nama bapanya. Adakah akhlak ini selaras dengan sikap pemuda seperti yang telah digariskan oleh penyair Arab jahiliyyah Imra’ al-Qais tersebut?

Rakyat atau generasi muda seperti penulis ini tertanya-tanya tentang sumbangan Najib ke atas bangsa Malaysia dan rakyat di negeri ini. Apakah sumbangan beliau sebagai Menteri Pertahanan sebagai contohnya? Adakah dengan pembelian kapal selam?

Menurut bacaan saya, orang Melayu kemungkinan besarnya adalah bangsa yang pertama membina kapal selam sebelum kaum-kaum lain mempunyai teknologi ini. Dalam Sejarah Melayu, disebutkan mengenai Raja Suran yang mencipta sejenis pesawat untuk meninjau sebuah kerajaan di bawah laut.

Namun, tahap pemikiran Melayu zaman kini hanya sekadar membeli kapal selam dengan bayaran jumlah komisyen jutaan ringgit. Ertinya, kementerian ini tidak banyak membuah hasil dan pulangan yang banyak kepada khazanah negara.

Lihat juga kegagalan program PLKN. Ia suatu program ad-hoc yang memisahkan ibu-ibu muda daripada anak-anak kecil yang masih menyusu. Pada saya, Akta Latihan Khidmat Negara (ALKN) persis perundangan Fir’aun dan Namrud yang gentar kepada Musa serta Ibrahim yang masih kecil.

Titah perintah Fir’aun dan Namrud untuk membunuh anak kecil inilah yang memisahkan Musa dan Ibrahim daripada ibu mereka ketika kecil. Musa dihanyutkan di Sungai Nil dan Ibrahim disorokkan di sebuah gua. Akhirnya, mereka membesar sebagai pimpinan agung.

Agak keterlaluan jika kita menyamakan Menteri Pertahanan dengan Fir’aun. Tetapi, saya rasa analogi ini memang wujud persamaannya. Kekuatan Fir’aun adalah pada tenteranya apabila sosok itu ingin membunuh Bani Israel beramai-ramai di Lautan Merah. Ingat, Najib adalah Menteri Pertahanan.

Ketika Najib membuat undang-undang ALKN yang memisahkan ibu-ibu muda daripada anak-anak yang masih menyusu, Fir’aun juga membunuh bayi-bayi kecil Bani Israel. Dan jangan dilupakan bahawa Fir’aun memiliki isteri; Asiah yang bersifat penyayang kepada anak-anak. Asiah menyelamatkan Musa dalam istana daripada cengkaman Fir’aun.

Isteri Najib bersifat penyayang sehingga wujud program anak-anak dengan slogan ‘Setiap Anak Permata Negara’. Sikap ini ada pada Asiah, isteri Fir’aun yang penyayang dan berlawanan dengan sikap suaminya.

Maka, lengkaplah putaran sirah yang diwakili dua watak yang sama dalam masa berbeza. Analogi ini tentunya mengundang kemarahan pihak-pihak yang tersebut di atas. Saya pun tertanya-tanya, kenapakah pimpinan negara selalu menjadi mangsa kritikan maut dengan penulisan rakyatnya sendiri? Adakah sudah hilang hormat mereka terhadap pemimpin?

Jawapan yang bermain dan berlegar di batu jemala saya cuma satu. Iaitu, mereka itu anak muda yang bukannya pemimpin sejati. Mereka diangkat sebagai pemimpin hanya kerana bermodal nama bapanya dan menumpang kemasyhuran nenek moyangnya.

Maka, bagaimana mungkin kepemimpinan jenis ini akan dihormati rakyatnya sendiri?

Currently have 2 comments:

  1. dhuat79 says:

    Teruskan kritik sosial anda dan bersama kita bangunkan Islam!

    Takbir!

  1. sama-sama ... terima kasih atas kunjungan ... hidup atas nama Islam mati atas nama Islam ...