Kuala Lumpur kota kelahiran ilmu pengetahuan
Biarlah kita bicarakan tajuk di atas secara idealnya serta mengenepikan hal realiti. Pada segi idealnya Kuala Lumpur adalah sebuah kota kelahiran ilmu pengetahuan. Biarlah kita tambah satu hal lagi. Ia bukan sekadar kota kelahiran, malah kota perkembangan ilmu.
Tanpa perlu berhujah dengan berdolak-dalih, kita letakkan Universiti Malaya sebagai hati dan jantung ibu kota Kuala Lumpur sebagai kota kelahiran dan perkembangan ilmu itu.
Hal ini tentunya disanggah khalayak dengan melihat faktor realiti. Misalnya, orang akan bertanya, “Wajarkah atau layakkan Kuala Lumpur dinobatkan sebagai kota kelahiran dan perkembangan ilmu? Bukankah di sini juga didirikan segala macam lubuk maksiat?”
Sebab itu kita sebutkan pada awal-awal bualan tadi, bahawa secara ideal, kota ini adalah kota kelahiran dan perkembangan pengetahuan. Tapi, oleh kerana ia dihuni oleh manusia jahat, justeru amalan penghuninya menuai seribu satu macam kebejatan moral.
Kota Basrah dihuni oleh wali-wali Allah seperti Rabiatul Adawiyyah dan Hassan al-Basri suatu masa dahulu. Gelaran al-Basri misalnya, dinisbahkan kepada Basrah, nama sebuah kota. Persoalannya, dapatkah KL meraih dan mempertahankan gelaran kota ilmu? Malah, Rasulullah s.a.w memulakan dakwah pertamanya di Kota Makkah!
Jawapan kita, ialah YA! Sudah tentu, sudah pasti! Sekali lagi, secara idealnya, semua itu bergantung kepada Universiti Malaya; pusat gedung ilmu yang memuntahkan puluhan ribu graduan sekali gus meletakkan dirinya sebagai gudang pengetahuan yang terunggul.
Soalan kedua yang mungkin ditanya, “Layakkah KL dinobatkan sebagai kota ilmu? Lihat kepada sikap pimpinan universiti yang membelanjakan RM40,000 ribu dengan sia-sia di Ijok? Lihat apa yang terjadi dengan kelakuan siswanya di tepi tangga Vista Angkasa? Itu belum lagi hal Auku!”
Sekali lagi, persoalan itu datang daripada pihak yang menoleh ke arah ‘realiti’ hidup. Dan bualan kita buat selama-lamanya akan menoleh kepada sesuatu yang ‘ideal’. Jikalau kita selama-lamanya membuat perbandingan antara ‘ideal’ dan ‘realiti’, bualan kita kosong!
‘Ideal’ mesti didebatkan dengan ‘ideal’. ‘Realiti’ mesti didebatkan dengan ‘realiti’. Kuala Lumpur itu, kehadirannya harus menuju ke arah kebaikan umat, bukan bagi meruntuhkan akhlak dan ilmu penghuni negara ini. Sepatutnya, hal itu yang berlaku secara idealnya.
Kuala Lumpur sebagai kota ilmu, dengan kehadiran UM pun sudah porak peranda. Inikan pula jika UM dipindahkan dari tempat asalnya. Tapi ini bukan salah UM. Mungkin silap ‘wali kota’. Bayangkan KL tanpa UM? Bayangkan insan tanpa jantung – hati. Kota mati dengan sendirinya.
Bayangkan keadaan insan tanpa detak jantung serta degupan perasaan! Layakkah digelar manusia dan kemanusiaan? Oleh itu, sikap yang diambil oleh penghuni UM yang berkata TIDAK ke atas proses perpindahan (atau ‘pengusiran’?) ini sangatlah terpuji.
Suatu ketika dahulu, mantan pensyarah UM Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam sebuah syarahannya pernah membayangkan Kuala Lumpur sebagai kota ilmu yang mana jadual ahlinya sarat dengan muatan acara ilmu dan lain-lain amalan kebaikan.
Beliau juga mengimbau kota Betawi (Jakarta) sebagai tempat terhimpun segala yang alim lagi cendekia. Semua itu berlaku secara idealnya. Dan, situasi ini boleh dicapai jika ada kesungguhan ‘wali kota’ dalam menjelmakan Kuala Lumpur dalam bentuk sebegitu.
‘Wali kota’ bukan wali-wali keramat dalam erti kata sebenarnya. Mereka adalah pentadbir yang mengurus soal penempatan penghuninya. Tapi, oleh kerana sensitiviti ini belum ada dalam kotak pemikiran wali kota, ia tentunya memenatkan. Jadi, wali kota perlu berfikir dan merenung jauh di luar kotak! (Think out of box)
Hal Kuala Lumpur sebagai kota ilmu bukanlah hal yang aneh. Bapa ilmu sosiologi Islam, Ibnu Khaldun dalam kitab agungnya, Muqaddimah pernah mencatatkan bahawa kota itu sepatutnya berfungsi sebagai tempat kelahiran ilmu dan perkembangan pengetahuan.
Dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) oleh Tun Seri Lanang, tercatat sebuah kisah di mana kitab tasauf Duril Mazlum diarak dan dijulang secara terhormat. Kitab itu apabila tiba di pelabuhan kota Melaka, ia terus disambut oleh rakyat dan raja Melaka.
Gajah kebesaran diraja digunakan untuk membawa kitab tersebut sehingga ke istana. Dan semua itu adalah simbolik kepada rasa penghormatan rakyat dan raja Melayu ke atas ilmu pengetahuan. Istana pada saat itu, secara idealnya adalah universiti terbuka untuk rakyat.
Selain penghormatan, kita wajar bertanya kenapa Duril Mazlum itu diarak dari pelabuhan ke istana?
Menurut tradisi ilmu Islam, di mana tempat guru-guru dan wali-wali berbicara mengenai ilmu, maka di situlah ‘universiti’ akan wujud atau diwujudkan. Ilmu-ilmu itu, secara adab dan moral, ia didatangi dan bukan mendatangi.
Guru-guru didatangi murid-muridnya dan bukan guru-guru mendatangi murid-muridnya. Ilmu itu dicari dan bukan mencari. Oleh itu, ilmu tidaklah boleh diubah tempat duduknya. Tapi, tempat kitab Duril Mazlum perlu diubah demi keselesaan rakyat yang ingin mempelajarinya.
Sebagai balasan, raja Melayu dan rakyat Melaka berkorban untuk menghormati kitab itu. Raja menggunakan gajah kebesaran bagi menghormati perpindahan ilmu. Rakyat pula keluar di jalanan untuk mengiringi perjalanan kitab tersebut ke istana dengan gajah sultan.
Orang Melayu dan umat Islam Melaka berkorban masa, tenaga untuk menghormati kitab. Nilai-nilai inilah yang menyebabkan bangsa Melayu Muslim sangat terpandang istimewa. Nilai-nilai ini mungkin tiada pada kaum-kaum lain saat itu. Duril Mazlum diubah lokasi dengan bermotifkan keilmuan, bukannya melalui pertimbangan perdagangan dan ekonomi.
Kaum Cina dan India datang ke Melaka dengan motif perdagangan. Taugeh misalnya adalah ‘barangan dapur’ yang didagangkan lalu istilah itu meresap masuk dalam perbendaharaan kata Melayu. Falsafah dan pemikiran Konfusius misalnya, tidak dibawa oleh para pedagang Cina.
Syahadan, untuk menguji kebenaran pandangan ini, mari kita bertanya. Bangsa apa yang beriya-iya mengubah lokasi Universiti Malaya ke tempat lain? Apakah pengubahan lokasi universiti itu bermotifkan ilmu, ekonomi atau dagangan? Bak kata Munsyi Fansuri, tepuk dahi tanya fikiran.
Mantap deh!
terima kasih ya akhi dhuat... lepas ni boleh tolong buat lagu puisi kot?? lirik dah ada... lagu aja yang kita tak pandai nak buat...