Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Perihal Perkampungan ISA

Thursday, June 28, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 3:04 AM





Dengan spontan, ilham tentang Perkampungan ISA menghempap kepala saya. Lalu saya cadangkan kepada wartawan tersebut untuk bertanyakan tuan dalam wawancara itu sama ada GMI pernah terfikir atau tidak sebelum ini untuk menubuhkan kampung tersebut.


Beberapa hari selepas itu, saya mendapat khabar daripada wartawan itu yang menyatakan bahawa tuan sendiri menyatakan usul itu amat mustahil untuk dilaksanakan. Menurutnya, tuan berasa mustahil idea itu tercapai ketika terkenang darjah ketakutan para tahanan ISA dan keluarganya sendiri. Saya sangat mengerti kesulitan itu dan saya menyetujuinya.


Tetapi, apabila saya tanyakan kembali wartawan itu, adakah beliau betul-betul berhujah seperti yang saya sarankan, iaitu membuat analogi hubungan kumpulan bebiri / serigala? Beliau mengakui, analogi itu tertanggal dalam bualannya bersama tuan syed tempoh hari.

Jadi, perbualan itu belum tamat, kemas dan mantap. Justeru, di sini tulisan ini bertindak mengambil peranannya kembali bagi menyambung bualan mengenai perkampungan ISA tersebut. (Selepas ini digelar kampung Asi)
Ahli hukama' pernah berkata bahawa serigala akan membaham kambing yang bertindak menjauhi kawanan kambing yang berjalan dalam kumpulan. Serigala tidak pernah serang seekor kambing pun yang berada di dalam jemaahnya sendiri. Wallahu 'alam!
Di atas perumpamaan ini saya sarankan supaya tuan dapat berbincang semula mengambil kira pandangan beberapa orang teman yang sudah menjadi tahanan ISA, ahli keluarganya dan mana-mana individu yang belum pernah ditangkap tapi berminat dengan usul ini.

Jika suatu hari nanti usul perkampungan ini diterima, saya harap tuan syed dapat letakkan nama saya sebagai salah seorang penghuni Kampung 'Asi tersebut. Tindakan ini tentunya akan menyulitkan ‘serigala-serigala’ SB-SB untuk mengganggu isteri-isteri tahanan ISA.


Kampung Asi boleh dilengkapkan dengan peralatan CCTV yang canggih terkini. Semua ini berfungsi sebagai mana peralatan 'kotak hitam' di dalam kapal terbang. Apabila kotak hitam jatuh terhempas bersama kapal terbang, pasukan keselamatan akan menyiasat pita rakaman kotak hitam tersebut.

Dalam masa-masa hadapan, saya yakin teknologi CCTV boleh berkembang dengan lebih baik. Mungkin rakaman CCTV dapat ditonton seluruh dunia sehingga agensi berita BBC, CNN atau al-Jazeera pun boleh memantau perkampungan ini 24 jam, 7 hari seminggu.


Tiada lagi tangkapan dibuat pada waktu malam kerana rakan jiran-jiran semuanya saling menyokong antara satu sama lain. Mereka bukannya jiran-jiran di Wisteria Lane di dalam Desperate Housewives yang banyak menyimpan rahsia, melindungi satu sama lain di atas hal-hal pembunuhan, penganiayaan, perselingkuhan suami isteri dan sebagainya.


Kampung Asi adalah perkampungan orang-orang pejuang. Mereka bagaikan kumpulan Melayu serta para pejuang berhaluan kiri yang bermukim di Selatan Thai. Dahulu mereka digelar komunis.


Walaupun komunis dimomokkan dengan imej negatif, tapi menurut Pak Said kepada penulis (tatkala beliau mengunjungi arwah Rashid Maidin), desa itu bersinar dan hidup dengan penghayatan agama Islam.


'Serigala-serigala SB' tentunya malu dan takut dengan perhimpunan begini dalam sebuah desa. Setiap kali khutbah Jumaat, sentiasa sahaja dibacakan doa khas untuk menjatuhkan maruah SB, memecahbelahkan ikatan perpaduan antara SB dan lain-lainnya.


Pada setiap malam Jumaat, adakah solat Tahajud dan ajak mahasiswa berdoa agar mereka diberikan kekuatan berdepan dengan SB-SB kampus sama ada dalam kalangan HEP, NC, TNC, pensyarah dan mahasiswa Aspirasi.


Ajak penghuni luar berkempen untuk ‘merakyatkan perkampungan Asi’. Antara agenda merakyatkan perkampungan ini ialah mereka diajak menghadiri ceramah-ceramah dalam di sini secara bulanan atau mingguan. Jangan lupa tahlil untuk arwah-arwah tahanan ISA.


Lemahkan emosi, rasional SB-SB dengan cara ini. Lumpuhkan kekuatan mereka dengan keampuhan doa. 'Wa zalzil aqdaamul SB'. Wujudkan satu generasi anti SB. Ibu-ibu cipta lagu-lagu dodoi anak yang berunsurkan anti SB dan suku-sakat serta kaum kerabatnya.


Diriwayatkan bahawa antara sebab kenapa Belanda kalah ketika menggempur bumi Aceh ialah kerana ibu-ibu Aceh menyanyikan lagu dodoi kepada anak-anak mereka, 'Belanda masuk, bunuh! Belanda masuk, bunuh!
Apabila kampung ini hidup dengan amalan-amalan anti polisi tahan tanpa bicara ini, lalu tiada lagi ruang dan peluang bagi menangkap dan menahan bakal tahanan ISA. Di dalam memoir Pak Said, ada dicatatkan bagaimana beliau diheret pada waktu malam sedangkan, jiran-jirannya hanya tinggal melihat berputih mata.


Semua ini kesan daripada paradigma yang melihat bahawa, itulah nasibnya yang terpaksa diterima jika menentang. Walhal, tindakan ini boleh dihalang dengan memukul emosi SB tersebut. Ketika saya menulis ini, masih tergambar di mata saya bagaimana mudahnya SB masuk ke USM hanya kerana mereka mahu memantau ucapan NC yang pro mahasiswa.


Geram sungguh di hati saya pada saat itu. Tapi, apakan daya. Paradigma warga universiti termasuk pensyarah, pelajar dan lain-lainnya ialah, menerima kehadiran mereka seadanya atas alasan mereka memelihara keselamatan. Ahli akademik mana ada senjata?


Seperkara lagi, jika mereka masuk untuk memantau IPT, apa guna pengawal keselamatan universiti? SB-SB kampus juga telah meletakkan alat perakam dalam tandas berhampiran bilik saya. Saya hairan kenapa sebuah tandas tertutup, dengan seluar hitam yang sentiasa tergantung seperti ada orang di dalamnya.


Sehinggalah seorang rakan datang ke bilik saya malam itu dan bertanya mengenai 'tandas misteri' tersebut. Keesokan harinya, seluar hitam yang tergantung lebih seminggu itu pun hilang dan tandas itu kembali beroperasi seperti biasa. (Mungkin SB dengar bualan kami)


"Jangan-jangan mereka letak alat perakam tak?" rakan saya itu berhipotesis, setelah dilihatnya seluar hitam yang mungkin terisi dengan alat perakam itu hilang keesokan harinya.



Tuan Syed,

Tibalah masanya untuk kita menakut-nakutkan SB-SB yang biadap. Tenaga-tenaga yang kuat berselerak, bertebaran ini perlu dihimpun. Bawalah berbincang dengan rakan-rakan. Apakah kelemahan idea ini. Apakah kekuatannya? Apakah ancamannya, apakah peluang yang boleh kita lakukan dengan kehadiran kampung bersejarah ini.


Buat analisa SWOT (Strength, Weakness, Opportunity, Threat) di dalam seminar-seminar dan bengkel-bengkel anjuran GMI pada masa-masa akan datang. Tuhan menjadikan alam ini hidup dengan cara menyatukan tenaga-tenaga yang tersebar di seluruh jagat raya ini.


Bila mana asap-asap, wap-wap dan gas-gas dipadukan, maka terbentuklah peristiwa yang dikenali sebagai 'Big Bang'. Maka, pengumpulan tenaga-tenaga dan kekuatan ini sesuatu kewajipan yang tidak boleh kita lengahkan lagi.

Perlahan-lahan, kita boleh bincangkan kawasan dan tanah mana yang boleh kita beli bagi memusatkan ketumbukan dan kekuatan raksasa itu. Jika suatu hari nanti usul ini diterima, maka saya akan himpunkan rakan-rakan untuk membuka perkampungan Auku pula, yang berhampiran dengan perkampungan Asi nanti.


Oh ya! Mengenai nama perkampung itu, terpulanglah kepada budi bicara tuan dan rakan-rakan. 'Asi' adalah 'ISA' jika dibaca terbalik. Satu lagi, 'Asi' dalam bahasa Arab, maknanya ialah 'orang yang melakukan maksiat'. Di sini, kita ini kononnya adalah orang yang buat 'maksiat' kepada pemerintah.


Kamus Dewan mentakrifkan Asi sebagai menderhaka atau melawan (tidak mengikut). Ini memang jelas dengan cara kita yang menolak akta drakonian ciptaan drakula. Derhaka ini adalah penderhakaan yang sah. Ini kerana, pemerintah menderhaka kepada Tuhan apabila mereka melaksanakan undang-undang yang tidak hadhari ini.

Ada banyak lagi yang ingin saya bualkan bersama tuan syed. Tetapi, biarlah saya khatam di sini dahulu sebagai permulaannya. Saya secara peribadi mahu mendengar apakah yang sulit bagi kita dalam menubuhkan kampung ini. Ingat, mohon daftarkan nama saya!
Pemikiran Kg. Baru
2:53 pagi, 26 Jun 2007

Currently have 0 comments: