Atap bumbung bocor, tandanya kita belum merdeka sepenuhnya
10 Jun lalu kita menyaksikan bagaimana hebatnya hujan menyerang ke bahagian tertentu di KL. Sebenarnya, jika hujan ini biasa, ia tidaklah membahayakan penduduk. Tetapi, oleh kerana hujan turun berterusan dengan luar biasa lebatnya, maka berlakulah hal-hal yang meresahkan menteri.
Kalau air bertakung lama-lama, akan berlaku kebocoran tanah, melahirkan lecah dan lopak-lopak. Hujan yang berterusan seperti ini menyebabkan kebocoran, rumah roboh, ketirisan parlimen dan mahkamah. Istilah bocor, roboh dan tiris menggambarkan kehancuran sejak dahulu sampai kini.
Perkataan ini mewarnai kehidupan rakyat. Suatu ketika dulu, seorang pahlawan mungkin sedang berpantun. Istilah roboh ada kaitan di awal-awal penjajahan. Pantun itu berbunyi sebagai berikut:-
Kalau roboh Kota Melaka,
papan di Jawa hamba dirikan,
kalau sungguh bagai dikata,
nyawa dan badan hamba serahkan.
Bait di atas kemungkinannya pantun perjuangan. Ia mungkin menggambarkan keazaman seorang pendekar yang menyimpan persiapan strategi peperangan jika Melaka kalah.
Strategi itu mungkin berbunyi, “Jika Melaka dikalahkan Peringgi, maka kita akan minta bantuan Jawa untuk menebus semula kekalahan ini.”
Mungkin sebab itu kerajaan Melayu Melaka berhijrah ke selatan tanahair; Johor, berhampiran Jawa. Sultan tidak mara ke utara, singgah ke Patani. Mungkin ini ada muslihat tersendiri untuk menggempur Melaka kembali yang dijajah Portugis.
Rangkap terakhir pantun itu mungkin boleh ditafsir sebagai berikut: “Kalau sungguh bagai dikata, iaitu kita perlu berjihad menyelamatkan setiap inci bumi Melaka, maka nyawa dan badan saya serahkan di medan perjuangan itu!”.
Menurut catatan sejarah, Portugis menggempur Melaka berkali-kali sebelum ini. Sehingga 1511, barulah penjajah berhasil ‘merobohkan’ Kota Melaka. Bandingkan kemaraan Portugis itu seperti hujan memanah ibu kota. Serangan hujan dilakukan berkali-kali sehingga roboh Kuala Lumpur.
Pada 1945, setahun sebelum lahir parti Pekembar (sekarang Umno) pantun di atas disambut Dr Burhanudin al-Helmy seiring kelahiran parti Melayu yang pertama Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Dr Burhanudin, Presiden PKMM amat memahami jiwa Melayu serta roh perjuangan asli yang bertaut di dalam pantun itu. Dinyalakan semula obor makna pantun yang selama ini terpendam dan terpelanting daripada pengertian asalnya. Ramai pihak menganggap ia pantun romantis.
Di atas robohan Kota Melaka,
kita dirikan jiwa merdeka,
bersatulah Melayu seluruh baka,
membela hak keadilan pusaka.
Ertinya, sebelum Datuk Onn Jaafar berkelana untuk menyeru ke arah perpaduan Melayu seluruh baka (Boyan, Jawa, Riau dan lainnya), dalam menentang Malayan Union, sekali gus menubuhkan Umno, Dr Burhanuddin terlebih awal menyeru ke arah perpaduan itu.
Pada 1985, dalam suatu temubual bersama bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj di Pulau Pinang, Tunku sempat menyebutkan kemurkaannya apabila rumah kerajaan yang diberikan British untuk beliau tumpangi habis ‘bocor’ akibat hujan lebat.
“Baru saya sedar betapa peritnya berada di bawah penjajahan. Malam itu saya bersumpah untuk percepatkan tarikh kemerdekaan daripada British,” katanya. Di dalam temubual itu juga Tunku berkata, hal kebocoran dan ketirisan menyebabkan rumah itu basah kesemuanya.
Tunku mungkin baru menyedari hal kebocoran itu kerana hal itu jatuh tertimpa ke atas dirinya. Sebenarnya, filem Melayu terbaik pada era merdeka seperti Penarik Beca ada dilakonkan adegan bumbung rumah orang miskin yang bocor tertimpa hujan.
Ertinya, masalah kebocoran bangunan kerajaan ini telah bermula sejak penjajahan lagi. Kalau di zaman penjajahan bocor teruk, apatah lagi rumah si miskin di zaman tersebut. Penderitaan rakyat lazimnya disedari pemerintah apabila mereka menjiwai kesusahan yang sama terpalit ke atas batang tubuh mereka.
Di dalam kes ini, kita boleh katakan bahawa, jika masalah kebocoran bangunan kerajaan berlaku pada zaman selepas merdeka, ertinya dalam hakikat sebenar kita belum merdeka kerana masalah lama berulang. Atau, kita mungkin gagal membina minda kelas pertama.
Masalah kebocoran dan ketirisan ini turut digunakan bagi menggambarkan kehancuran Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tidak berkat akibat perselingkuh pemerintah. DEB juga, dalam hal ini bolehlah disamakan sebagai bumbung yang kononnya memayungi hak dan keistimewaan Melayu. Bumbung DEB juga tiris dihiris dan dihempap skandal ‘alibaba’.
Bumbung dan tiang DEB tempat bumiputera bernaung dan berpaut untuk kesejahteraan semuanya telah hancur melebur dirobohkan anai-anai ‘alibaba’. Maka, sekarang ini jika kita letakkan segala kemusnahan bangsa Melayu di atas pundak DEB, tidak adil juga.
Anai-anai hadir dalam mana-mana rumah pun. Di mana ada rumah, di situ ada anai-anai. Khazanah DEB berpunca daripada hasil cukai rakyat, buruh, pekerja dan petani selama ini. DEB berhasrat membangunkan negara melalui peruntukan tadi ke atas rakyat.
Malangnya, anai-anai DEB daripada golongan elit kapitalis telah menyedut kekayaan ini dengan amalan ‘sub kontrak’ kepada rakan-rakan mereka yang lain.
Anai-anai ini mungkin mampu meratakan Kg Berembang bagaikan padang jarak tekukur, dalam masa yang sama membunuh kemanusiaan. Dalam kes Berembang, penduduk juga menyatakan bahawa mereka pernah membayar cukai selama ini.
Mungkin anai-anai kapitalis yang menyebabkan bangunan dan pembangunan kita mudah bocor dan apabila atap bumbung DEB dicemari virus dan bakteria rasuah?
Kalau bocor bumbung Dewan Rakyat
Kg Berembang hamba ratakan
celupar ‘bocor’ mulut Yang Berhormat
blogger dan wartawan hamba himpunkan.
Currently have 0 comments: