Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Kepimpinan mahasiswa berhaluan kiri tidak disokong?

Friday, July 20, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 3:20 AM

Sumber: Siasah 56.

Oleh Ali Bukhari Amir

Saya tidak ingat tahun itu dengan begitu jelas. Mungkin tahun 2002 atau 2003. Di USM pada saat itu telah terbentuk dua kumpulan dalam MPP. Salah satu daripadanya berpihak kepada Barisan Alternatif dan sebuah kumpulan lagi memihak kepada parti pemerintah.

Oleh kerana Timbalan Naib Canselor HEP terang-terangan memihak kepada Umno dan memiliki sikap meng‘umno’kan pelajar maka, terbentuk jawatankuasa yang tidak stabil.

Contohnya, ‘portfolio’ yang penting telah diberi kepada Aspirasi, walhal undi diperolehi dalam pilihan raya kampus banyak memihak untuk pelajar berhaluan kiri. Kenapa pelajar alternatif ini gagal mendapat jawatankuasa tinggi walaupun berhasil meraih banyak undi?

Dalam mesyuarat lantikan jawatankuasa ini, HEP akan memainkan peranan penting bagi melantik Aspirasi ke tempat-tempat strategik khususnya enam jawatan tertinggi seperti Presiden, Setiausaha Agung dan sebagainya.

Peliknya, tiada seorang pun yang berani mendedahkan keganjilan amalan demokrasi yang pincang dalam MPP ini. Apabila diperhalusi, saya dapati mereka ini memiliki keyakinan yang rendah untuk memperjuangkan sesuatu yang mereka yakini sebagai benar.

Ertinya, pepatah yang menyebutkan berani kerana benar, takut kerana salah tidak terpakai dalam kalangan mereka. Dengan tiba-tiba mereka ditimpa keraguan-ramaikah orang yang menyokong jika mereka mahu mencetuskan apa-apa isu?

“Kalau kami nak buat bantahan dan memorandum apa-apa, siapa nanti yang akan sokong kami?”–“Kalau kami ditahan di bawah Auku nanti, siapakah yang akan tolong kami?” ini antara soalan yang kerap penulis dengar.

Sebenarnya, atau pada hakikatnya mereka telah disokong, tetapi mereka disokong secara senyap-senyap. Para penyokong senyap ini tidak akan mendedahkan diri mereka, lantaran bimbang dengan tekanan, ugut dan ancaman.

Apa yang perlu dilakukan ialah terus menggerakkan tulisan, blog, memorandum dan apa-apa medium bagi menyampaikan maklumat kepada rakan-rakan anda. Tindakan ini bakal menakutkan seteru anda dalam kalangan Aspirasi, HEP dan KPT.

Jika anda terus berdiam diri, semua pihak akan yakin bahawa anda berada dalam wilayah gelap. Apa-apa yang saya sebutkan ini adalah terhad ke atas pengalaman lalu di universiti penulis. Mungkin keadaan ini berbeza di kampus-kampus yang lain.

Musuh dalaman, iaitu ketakutan adalah yang paling utama dibanteras. Musuh luaran tidak dapat berbuat apa-apa ke atas orang yang yakin dengan kebenaran sendiri. HEP walaupun bersalah, tapi dilihat sebagai pihak yang benar. Hal ini tentu ada kaitannya dengan kuasa.

Padahal, tidak semua yang berkuasa itu benar. Sentiasa ingat, bahawa ‘the right is might’ bukan ‘the might is right’. Ada masa-masanya, HEP tersilap dan ada masa-masanya HEP benar dalam tindak-tanduknya.

Kita tidak boleh menentang kepimpinan atau sistem secara melulu. ‘Raja’ dan ‘kerajaan’ adalah sesuatu yang berlainan. ‘Sultan’ dan ‘kesultanan’ adalah dua entiti yang berbeza. ‘HEP’ dan ‘universiti’ adalah hal yang berbeza. ‘Pegawai HEP’ dan ‘HEP’ juga adalah dua perkara yang berbeza.

Anda menentang raja dan sultan bukan bererti menentang kerajaan dan kesultanan. Raja dan sultan yang zalim boleh dinyahkan dan digantikan dengan yang raja atau sultan yang baru. Maknanya kita boleh tolak ‘seorang pemimpin’, tapi tidak kita menolak sistem yang menaikkan pemimpin itu. Ini kerana, kepimpinan itu suatu kefardhuan. Ia berbeza dengan revolusi di Eropah di zaman yang lalu.

Revolusi melancarkan perang ke atas kedua-duanya sekali; ‘pemimpin’ dan ‘sistem untuk menaikkan pemimpin’ itu sendiri. Usul ini dilonjakkan oleh pihak Freemason yang mahu merebut kepemimpinan di sesebuah negara itu.

Jadi, dalam fahaman kita, HEP itu perlu dikekalkan dan pemimpin HEP itu wajib ditolak jika kepimpinannya bersarang dengan amalan korupsi. Menolak pemimpin HEP tidaklah bererti kita menolak kepimpinan universiti. Memalukan mereka, bukan memalukan IPT.

Jadi, sebarang tindakan yang ditafsir sebagai memalukan ‘seorang pemimpin HEP’, tidak bererti kita memalukan ‘universiti secara keseluruhannya’. Semua ini haruslan anda jelas. Inilah doktrin-doktrin yang dipersembahkan HEP agar kita tidak memalukan pegawainya.

Dan. yang malangnya dan menyedihkan, kalangan pelajar ini pun akur dengan pandangan HEP itu. Ertinya mereka telah pun kalah sebelum berperang. Pihak yang bijak berfalsafah tidak akan dengan sewenang-wenangnya mudah menyerah.

Oleh itu, jangan sesekali menyerang kepimpinan universiti dan HEP hanya kerana dia itu HEP. Ini serpihan fahaman Freemason yang mengakar dalam pemikiran kita secara tidak disedari. Jika ada sultan yang adil, tentu ada sultan yang zalim. Demikian juga HEP.

Tapi, ketika HEP menganjurkan program hiburan yang melampau, sudah tentulah ia jelas menzalimi universiti dan warganya. Ketika HEP memansuhkan pilihan raya desasiswa di USM, sudah tentulah fahamannya tersilap mengenai amalan demokrasi di negara kita.

Tindakan memansuhkan pilihan raya desasiswa itu ertinya anda mendidik serta mengasuh generasi rebung hari ini yang bakal tumbuh sebagai generasi buluh esok lusa untuk tidak menghormati akar tunjang negara kita, iaitu demokrasi.

Lawan adalah proses yang panjang. Kata Kanang anak Langkau-‘Agi Idup Agi Ngelaban’ iaitu selagi hidup selama itulah kita berjuang. Adakah kita perjuangkan kepercayaan yang terdahulu selepas tamatnya kuliah di universiti? Kita sendiri perlulah jujur menjawabnya.

Tetapi, Kanang menyerang sendiran bermati-matian. Semangat ini turut dijiwai Leftenan Adnan. Dia bertempur, dikelilingi musuh, dan bersendirian meletupkan diri. Kita ‘berani kerana ramai walaupun salah’, tapi beranikah kita tegakkan ‘kebenaran walau sendirian’?

Currently have 0 comments: