Empat martabat mahasiswa dalam misi perjuangan
Ada empat jenis mahasiswa yang boleh dikategorikan berdasarkan nilai-nilai keberanian, kecerdikan, ketakutan dan kurang ilmu. Sebab itu, ada empat saf perjuangan yang mesti diisi oleh keempat-empat jenis mahasiswa tersebut.
Kita tentu tertanya-tanya, kenapa kepimpinan mahasiswa kurang menyerlah dengan idea tersendiri dan segar? Salah satu puncanya, ialah kerana ada pimpinan pelajar tertentu yang sepatutnya berada di saf pertama, tetapi telah dipilih untuk berada di saf belakang.
Ada pimpinan pelajar yang sepatutnya berada di saf ketiga, tetapi diangkat untuk berada di saf pertama. Apabila hal ini terjadi, wujudlah hal yang dinamakan gejala gerakan lesu. Antara mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini ialah majlis syura kampus.
Kebiasaannya syura kampus terdiri daripada mas’ul dalam kalangan pensyarah, termasuk pimpinan pelajar terdahulu yang bakal memutuskan, siapakah pimpinan baru yang bakal menduduki saf kepimpinan di masa akan datang.
Pemilihan saf pimpinan yang tidak tepat, kebanyakannya berakar daripada penyakit hati yang tidak bersih. Misalnya, pimpinan terdahulu telah berpecah dan masing-masing telah ada calon mereka yang tersendiri yang akan memihak kepada polisi mereka nanti dalam kampus.
Mas’ul pula, ada yang tidak mengenal pimpinan baru yang bakal menggantikan saf lama. Mereka lazimnya tidak mempedulikan faktor-faktor di atas sebagai pertimbangan; berani, cerdik, sifat penakut dan kurang pengetahuan tatkala membuat pemilihan dalam syura.
Setelah pemilihan, ada di antara pensyarah mas’ul yang berjumpa pimpinan baru. Mereka menasihatkan pelajar agar tidak terlalu berani, supaya tidak terjebak dengan Auku. Kalau mas’ul sendiri sudah takut, sudah pasti mereka tidak membantu mana-mana pelajar yang akan terhukum dengan Auku di universiti.
“Nantilah, biar enta sudah lulus universiti, enta buat apa-apa yang patut. Dalam universiti bahaya, mereka ada Auku,” itu yang sering disebutkan oleh kalangan pensyarah sendiri.
Jika fenomena ini masih berterusan, kita menemui masalah yang tidak akan selesai untuk selamanya. Mas’ul serta pimpinan pelajar lama memilih yang kurang berani untuk makin ditakutkan-takutkan dengan bahaya Auku, bukannya mereka ikut membantu. Ini berlaku pada sesetengah universiti seperti yang saya difahamkan, termasuk pengalaman saya sendiri.
Apabila siswa itu menyedari bahawa mereka tidak akan dibantu pensyarah, maka lumpuh pergerakan dan semangat mereka. Kecuali bagi mereka yang faham dan tidak pedulikan rintangan walaupun tidak dibantu mas’ul dan tidak didukung perjuangannya oleh jemaah.
Kembali kepada perbincangan asal. Siapa kalangan pelajar itu? Juga tentang jumlah saf.
Kelompok pertama, mahasiswa yang cerdik dan berani. Mereka inilah sepatutnya yang menjadi pimpinan di saf pertama. Mereka ini tahu bagaimana mahu menjawab dengan teratur, pemikiran dan hujahnya tersusun. Tidak ramai pelajar yang mampu menjawab dengan ikhlas, berani dan bertanggungjawab.
Kelompok kedua, mahasiswa yang cerdik tapi takut. Mereka ini pantas diletakkan dalam saf perjuangan kedua. Mereka ini sedar ada masalah rakyat yang perlu dibereskan, tetapi untuk berbicara mengenainya mereka jadi takut. Penawarnya ialah iman yang diyakini.
Ketiga, mahasiswa kurang ilmu dan berani. Walaupun berani, hal itu tidaklah meletakkan mereka di saf kedepan. Ini kerana perjuangan ini pengisiannya adalah ilmu. Penawarnya adalah meluaskan bacaan serta diskusi bersama kaum yang pelbagai aliran jalur pemikiran.
Keempat, mahasiswa kurang ilmu dan takut. Kelompok ini perlu diletakkan di saf perjuangan belakang sekali-saf keempat. Mereka tidak boleh menjadi pemimpin. Mereka ini pengikut biasa. Penawarnya, diskusi berpanjangan dan iman kepercayaan yang diyakini.
Di antara masalah pimpinan pelajar ialah hampir semuanya ingin memiliki pengikut yang ramai, mengejar kemasyhuran nama di kampus. Dengan itu nama mereka melonjak sekali gus mendapat tempat di hati rakyat.
Tapi, realitinya tidak ramai yang sudi dipenjarakan, dibuang universiti, walaupun mereka meyakini bahawa idealisme mereka telah diyakini benar dengan diperteguhkan oleh kata-kata yang benar seperti demokrasi, kebebasan bersuara, kebebasan media dan lain-lainnya.
Sebenarnya, ada tiga kata keramat yang harus tersemat dalam jiwa mereka apabila pelajar itu mahu menempuh jalan ini. Pertamanya, pastikan kata-kata mereka ‘betul’. Keduanya, ‘benar’ dan ketiganya, ‘baik’. Jika ketiga-tiganya sudah hadir dalam pemikiran, maka idea itu boleh diapungkan kepada penguasa IPT dan penggubal dasar negara tanpa perlu takut.
Malangnya masih ramai yang sedar bahawa mereka telah berada di pihak yang benar, tapi bersikap berdiam diri khasnya dalam kampus. Malah, golongan ini mungkin paling ramai dan bersikap menakut-nakutkan kalangan pelajar dan pensyarah yang berani.
Kalaulah mereka penakut dan mengambil sikap menolong pensyarah dan pelajar yang berani, demi sesungguhnya hal ini tentulah mendatangkan manfaat yang besar juga akhirnya. Apa yang tidak diperlukan ialah, mereka yang takut, dan penakutnya itu menakutkan yang berani.
“Tengok apa dah jadi pada Said Zahari. Oleh kerana dia enggan mengalah, akhirnya dia terhumban 17 tahun di penjara. Masanya rugi begitu saja. Kalau dia akur, dia boleh habiskan masanya dalam kewartawanan semula,” pujuk seorang teman ke atas temannya agar kembali menjadi penakut, secara tidak disedarinya.
Kita berkata, Saidina Bilal r.a boleh menipu, bahawa dia kembali kepada dunia kufur kalau beliau tidak tahan ujian pada saat tubuhnya tertimpa batu besar oleh Mua’wiyah. Dan, beliau tidak bersalah jika dia mengucapkan bahawa dia kembali kufur walhal hatinya beriman. Nabi tidak marah dan Tuhan tidak murka jika Bilal menyatakan kekufurannya jika dia ditindas.
Namun, apa yang Bilal lakukan pada saat itu ialah beliau menentang sistem perhambaan, mencabar sistem jahiliyyah amalan tradisi warisan penguasa yang zalim. Inilah yang akan dilakukan oleh mereka yang berani dan tidak takut mati. Salut kepada Said Zahari!
Menjawab hujan rakan tadi tentang kerugian 17 tahun merengkok dalam penjara, maka kita perlu kembali kepada surah al-Asr yang menyatakan bahawa hanya yang beriman, beramal soleh dan berdakwah menentang kezaliman akan untung dan tidak pernah rugi. Orang kufur dan kaum penzalim itu akan sentiasa berada dalam kerugian.
Said untung dua perkara di penjara. Pertama, madrasah penjara mengajarnya bahasa Cina. Ini untung dunia. Sebagai Muslim, Said diberi pahala sabar kerana istiqamah pertahan kebenaran kerana dipenjarakan penguasa yang zalim selama 17 tahun. Ini bahagian keuntungan akhirat berdasarkan surah al-Asr. Untung ini tidak diperolehi oleh kalangan Non-Muslim.
Melihat keuntungan Pak Said ini, kita ingin sebut sekali lagi, sebagai yang pernah dipuisikan Usman Awang; “Salut kepada Said Zahari, salut kepada mereka yang berani!”
Currently have 0 comments: