Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Wawancara bersama Anwar Ibrahim

Friday, May 11, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 9:54 AM

(Tersiar di Harakah cetak)

Dalam perkembangan terbaru, walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah memberikan syarahannya di beberapa buah institusi pendidikan tinggi di arena antarabangsa, namun beliau tidak pernah melupakan beberapa isu pendidikan negara mutakhir kini.

Bersama wartawan ALI BUKHARI AMIR, mencungkil pengalaman lalu beliau sebagai Menteri Pendidikan, Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terhadap isu kekeliruan dan konflik kepentingan sesetengah pimpinan politik ke atas penubuhan sesebuah institusi ilmu dan lain-lainnya.

S: Boleh berkongsi sedikit pengalaman Datuk Seri semasa menjadi Presiden UIAM dan pengalaman ISTAC sebagai pusat kecemerlangan ilmu antarabangsa?
ISTAC itu sememangnya salah sebuah institusi yang diletakkan di bawah UIAM sejak awal. Sebab itu, dari segi dana dan lain-lainnya kita ambil dari sana. Kewujudan ISTAC itu penting kerana saya lihat pada ketika itu, harus ada satu pusat ilmiah dengan kumpulan khazanah pustaka Melayu Islam di Kepulauan Melayu yang agak unik.

Dan Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas tentunya memiliki kelebihan dan keupayaan untuk mengangkat martabat institusi akademik tersebut. Kalau kita terikat dengan prosedur biasa seperti universiti, dengan peraturan, skim dan nisbah profesor luar, hal itu sangat merumitkan dan institusi itu tidak boleh menjadi suatu mercu cemerlang dari segi ilmu.

Apatah lagi dengan bidang peradaban dan tamadun yang mula diimbang oleh al-Attas sejak ucapan pengukuhan sebagai profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1971 lagi mengenai Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu.

Jadi, apabila saya menjadi Menteri Pendidikan, saya melihat ada kebijaksanaan dalam program pendidikan yang beliau mahu terapkan di situ. Saya setuju semuanya. Kemudian dia bawa beberapa profesor kanan daripada luar negara, dan kita pun terus menggunakan kurikulum itu sebagai kursus siswazah. Dan kita teruskan dengan penerbitan buku-buku yang tidak dianggap popular sifatnya.

Bahkan, antara langkah terakhir yang saya lakukan sebagai Presiden UIAM ialah untuk menyambung tempoh perkhidmatannya itu. Kemudian cara beliau (al-Attas) disingkirkan dan sebagainya itu, bagi saya adalah tidak wajar dilakukan semua itu.

Walaupun ISTAC kekal, tetapi ia tidak seperti mana yang kita harapkan. Kerana ia tidak dapat bertahan sebagai suatu institusi ilmu yang cemerlang. Sampai sekarang ini kesan pemikiran Islam ISTAC itu wujud di peringkat antarabangsa.

Saya baru pulang dari Istanbul. Kerana mereka sedang bersedia mengadakan simposium sambutan mengenang Jalaludin ar-Rumi. Di situ, dalam perbincangan saya dengan pengarah program itu, saya dengar beliau mengaitkan semua itu dengan ISTAC dan Syed Naquib al-Attas dahulu.

Dan mereka sendiri menyatakan betapa kesalnya mereka kerana pusat cemerlang itu tidak dipertahankan. Ia tidak semestinya selari dengan pemikiran politik semasa. Ini yang saya lihat, betapa ceteknya pemikiran pemimpin Islam. Kalau kita lihat pusat itu adalah tempat perbincangan ilmu, mereka kena hormat pusat itu.

Tidak semestinya pusat keilmuan itu kena bersetuju dengan kita. Tidak semestinya buku yang diterbitkan itu boleh membawa dan mengukuh fahaman kita tentang hadhari. Tiada seperti itu. Kerana, ISTAC memperjuangkan konsep ilmu seperti perbincangan mengenai ‘arrival meaning into the soul’ atau kehadiran makna ke dalam jiwa sanubari.

Apa maknanya ini? Orang politik tidak faham. Tetapi inilah yang memerlukan keupayaan khusus dan tahap wacana ilmu yang lebih tinggi. Dan di mana-mana negara pun begitu.

Kita perlu pusat ilmu walaupun ia tiada pulangan banyak kepada ekonomi negara. Kenapa kita boleh wujudkan maahad tahfiz? Hal ini kerana, kita memang perlukan maahad tahfiz. Kita tahu tentu tidak semua orang boleh menjadi hafiz. Tapi, maahad tahfiz itu penting.

Jika tidak, kita selalu menghitung maahad tahfiz dari sudut ekonomi. Kita persoalkan apa faedahnya dari segi ekonomi jika pelajar dapat menjadi hafiz, hafal dan faham al-Quran sedangkan negara kita sekarang membangunkan teknologi IT dan maklumat. Kalau kita bayangkan begitu, memang tiadalah kesudahannya.

S: Apa kesudahan Prof Dr Syed Naquib al-Attas selepas itu?
Dia diberhentikan. Kontraknya itu tidak lagi disambung setelah saya tidak lagi menjadi Presiden UIAM.

S: Bagaimana kaedah lantikan Presiden UIAM sekarang ini menggantikan Datuk Seri?
Itu pemilihan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir. Mungkin dia sendiri melihat itu tokoh yang paling layak bagi menggantikan tempat saya.

S: Secara ringkas boleh ceritakan pergerakan pelajar Universiti Malaya dulu yang boleh dikongsi bersama.
Pada masa itu ada banyak isu yang gerakan pelajar perjuangkan. Ketika itu Naib Canselor Universiti Malaya adalah Prof Diraja Ungku Aziz. Memang dia dilihat, dalam beberapa isu, terlalu tunduk kepada beberapa arahan orang atasan. Tetapi dia adalah orang berilmu.

Jadi, sikapnya itu lebih toleran dan terbuka. Kemudian, ada beberapa profesor kanan pada ketika itu seperti Syed Naquib al-Attas Dekan Fakulti Sastera, Tunku Syamsul, Zainal Abidin Wahid tokoh pendidikan Melayu dan bahasa, Prof Bakar Hamid.

Jadi orang ini, dengan kepelbagaian fahaman telah mempertahankan kebebasan universiti dan kebebasan akademik. Mereka sungguh kuat mempertahankan prinsip itu berbanding pensyarah dan Naib Canselor sekarang.

Misalnya, Ungku Aziz. Anda boleh lihat kalau demonstrasi melibatkan kawasan kampus, dia tidak benarkan dengan begitu mudah FRU masuk dalam kawasan universiti. Dia kata, “Kalau demonstrasi berlaku luar kampus, itu bukan lagi kawasan saya.” Jadi, kalau kami buat demonstrasi di luar, memang kami kena. Kalau dalam kampus, dia pertahankan.

Kemudiannya, ada beberapa kes melibatkan isu bahasa. Saya memang terdidik di kolej di dalam bahasa Inggeris. Tapi, saya melihat pada masa itu, ada kawan-kawan Melayu yang masuk dalam universiti terus serang bahasa Inggeris. Ini sangat parah.

Jadi, saya kata mesti ada ‘dual system’ yang diwujudkan. Sebab itu, kita tekankan supaya pelaksanaan dasar bahasa itu dihormati. Jangan ekstrem hingga kita menolak kepentingan bahasa Inggeris.

S: Bagaimana nak menjayakan agenda reformasi dengan lebih berkesan dalam keadaan tekanan yang pelbagai? Apabila tekanan banyak, rakyat makin takut bersuara.
Kita kena kerja lebih kuat dan bersungguh-sungguh. Kemudian, bertawakal kepada Allah sahajalah. Nak buat kerja-kerja pembaharuan ini, memanglah tidak mudah. Tetapi, jangan kita terlalu banyak merungut mengenai kesusahan yang kita terima. Ini buang masa kita.

Jadi, kita kata itu tak boleh, ini pun tak boleh. Macam pemimpin mahasiswa sekarang ini selalu berkata begitu. Janganlah kita kata benda yang kita tak boleh buat. Cuba kita sebut perkara yang kita boleh buat.

Anda boleh bercakap mengenai isu-isu semasa boleh. Seperti isu Iran, anda nak sebarkan maklumat mengenainya pun boleh. Nak menulis blog pun boleh. Jadi, anda buat perkara yang boleh sahajalah. Kemudian, biar orang lain bantah apa yang anda lakukan itu.

Kalau dah sampai ke peringkat saya ini, hal ini tidak timbul. Sejak dua tiga isu besar yang timbul, saya lawan. Tetapi, jangan biar orang lain bersedia mengambil risiko yang sama.

Itu tidak bolehlah. Orang-orang besar dalam kepimpinan itu mestilah bertanggungjawab. Dan yang lain-lain dan kecil-kecil itu kena bantu sikit-sikit dari belakang. Dan, kalau ada semangat yang sedemikian, dibantu sedikit dengan media, insya Allah ada perubahan.

Saya cakap dengan ramai orang. Sejak saya keluar penjara hingga sekarang saya lihat ada macam-macam isu. Harga tol naik, harga barang naik. Banyak isunya, kapal mewah dari Turki, perempuan cantik dari Mongolia dan lain-lain isu yang berhari-hari dibincangkan.

Kalau begini memang teruk. Kadang-kadang mereka memang bersalah. Tapi, kita sendiri yang tidak menegur. Kita ini memang pembangkang, sebab itu kita menegur. Mereka pun tanya kita juga, “Walaupun dikritik, kami dah buat banyak benda, kamu buat apa?”

Tak mungkin kita tiada kelemahan. Sebab itu dalam ucapan, saya selalu kata kita perbaiki dahulu kesalahan dan kelemahan kita juga. Kalau kita asyik serang orang, kita kena ingat bahawa kita kalah pun bukan sebab dia tak betul, tapi oleh kerana kelemahan kita juga.

### TAMAT ###

Currently have 0 comments: