Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Kepungan ke atas siswa adalah gambaran kegelabahan penguasa

Monday, May 14, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 9:05 AM


Sumber: Siasah, bil. 47.

Oleh Ali Bukhari Amir

Sikap penjajah yang panik dan gelabah ke atas kebangkitan kaum pribumi mudah dikesan dalam pelbagai cara. Salah satu gambaran kepanikan penjajah yang jelas ketara itu ialah apabila mereka menggunakan seluruh jenteranya untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas kaum pribumi tersebut.

Mengimbau sirah perjuangan nabi-nabi dalam al-Quran, hal yang sama turut berlaku ke atas mereka. Ada tiga orang nabi dan rasul yang menerima ancaman bunuh ketika kecil; Ibrahim, Musa dan Isa. Mereka hidup di era Namrud, Firaun dan King Herod (Herodus).

Ancaman mereka bermula apabila ketiga-tiga raja yang zalim itu mula menerima mimpi buruk yang lebih kurang sama, iaitu seorang anak kecil telah datang menaiki singgahsana lalu merampas takhta mereka. Ketika itu, raja tidak mampu berbuat apa-apa.

Pada pagi berikutnya, dengan bermodalkan mimpi yang dianggap sebagai mainan tidur, Namrud, Firaun dan Herod telah membuat undang-undang paling zalim, iaitu membunuh setiap anak lelaki daripada kaum hamba. Segala kekuatan ketenteraan digunakan.

Pendek kata, dalam suatu malam saja, kota-kota syurga dunia itu bermandikan darah anak muda yang tidak tahu apa-apa darihal politik. Mereka sendiri tidak tahu di atas alasan apa jiwa mereka diragut oleh penguasa yang zalim pada ketika itu.

Akibatnya, Ibrahim terlontar di sebuah gua, Musa dihanyutkan ke Sungai Nil dan Isa pun, menurut Scriptures, telah dilarikan ibunya di suatu malam bagi mengelakkan dia dibunuh. Kesudahan kisah pertarungan ini memberikan kemenangan ke atas perjuangan anbiya’.

Pembunuhan beramai-ramai (massacre) adalah kemuncak ketakutan penguasa pemerintah ke atas golongan hamba yang akan memberontak. Salah satu contoh termasyhur massacre yang dipilih Allah untuk digambarkan dalam al-Quran ialah apabila segala jentera tentera Firaun digunakan untuk memburu Bani Israel yang merentasi Lautan Merah.

Massacre adalah kemuncak kepada aksi kegilaan seorang pemerintah di zaman yang lalu. Ia adalah manifestasi kepada kegelabahan dan kepanikan tahap agung di mana selepas itu akan bermulalah akhir ke atas kekalahan total mereka seperti Firaun lemas di Laut Merah. Ertinya, tindakan massacre melambangkan ketakutan mereka dan bukan keberanian.

Salah satu sebab kemenangan Musa dan nabi-nabi lain, ialah mereka selalu berusaha, tidak pernah mudah menyerah kalah dan mati akal, selain daripada mereka dibantu wahyu. Di dalam sejarah kita, massacre muncul dalam bentuk yang lebih kurang serupa.

Ibnu Khaldun menulis dalam Muqaddimah bahawa kaum yang terjajah lazimnya meniru sikap kaum penjajah. Bagaimanakah kita mahu mengaitkan Yahudi (bangsa dijajah) dan bangsa penjajah mereka dalam hal ini? Dalam kes Yahudi, kaum ini sebenarnya pernah dijajah bangsa Romawi melalui King Herod selain daripada bangsa Mesir melalui Firaun.

Maka sikap penjajah purba terdahulu menjalar dalam batang tubuh Yahudi hingga kini. Kita jangan lupa bahawa saki-baki sikap Yahudi Freemason wujud dalam jiwa Founding–Fathers of Malaya. Maka, ‘massacre’ telah menjadi amalan Founding–Fathers of Malaya itu.

Hakikat ini telah menjelaskan bagaimana sikap membunuh dan mengepung kaum pribumi di Tanah Melayu ini dengan tiba-tiba muncul dalam suatu bentuk ketumbukan yang maha hebat melalui perundangan yang dianggap sebagai sah.

Misalnya, Operational Cold Store yang dijalankan oleh British dalam Februari 1963 yang menyaksikan tangkapan ke atas Ketua Pengarang Utusan Melayu Said Zahari termasuk kira-kira 107 orang pemimpin gerakan radikal berhaluan kiri di Singapura.

Antara mereka yang turut menambat perhatian British adalah Setiausaha Agung Barisan Sosialis (BS) Lim Chin Siong, Timbalan Pengerusi BS S Woodhull, ahli jawatankuasa eksekutif BS Fong Swee Suan, ahli jawatankuasa BS Dominic Puthucheary dan lainnya.

Zaman berlalu tahun beredar, peristiwa pembunuhan beramai-ramai, massacre ini masih tetap digunakan dengan cara mengepung sehingga kaum tertindas ini tidak terdaya melarikan diri. Hal ini boleh dilihat dalam Operasi Lalang, 1987 (Weeding Operation).

Dua tahun sebelum itu, telah diwujudkan suatu ketumbukan bagi menggempur Kampung Memali pada 1985. Tragedi berdarah ini menyaksikan pembunuhan ustaz Ibrahim Libya.

Pendek kata, hal kepungan dan seterusnya membunuh jiwa penentang sekali gus adalah suatu gambaran kepada kepanikan pemerintah kepada kuasa-kuasa kerdil yang berpotensi melawan kuasa-kuasa besar tersebut.

Sekarang, bandingkan dengan kebangkitan anak muda yang mati dibunuh oleh penguasa. Kes itu dikenali sebagai Ashabul Ukhdud iaitu kisah pemuda yang telah dibunuh kerana penguasa amat khuattir terhadap usaha dakwahnya.

Jangan pula lupa, bahawa Sulalatus Salatin pernah merakam kisah seorang cilik cerdik, iaitu Hang Nadim yang mengusulkan idea batang pisang sebagai benteng daripada serangan todak ke atas Singapura. Anak kecil ini pun syahid kerana kecerdikannya.

Itu baru kisah seorang anak muda yang cerdik di Alam Melayu dalamSulalatus Salatin dan al-Quran. Pasti ada banyak lagi kisah berdarah seperti ini. Mereka bukanlah ramai. Mereka bergerak sendirian, bukannya dalam bentuk jemaah. Tapi, mereka tetap ditakuti pemerintah.

Apakah kita fikir pentadbir universiti, HEP dan Umno akan berdiam diri apabila mereka mula menyedari bahawa akan wujudnya satu pakatan mahasiswa yang terancang untuk berkempen atau merayu undi di kawasan pilihan raya Ijok baru-baru ini?

Sudah tentulah mereka akan menyusun suatu pakatan pula dengan niat menggempur atau pun ‘membunuh secara beramai-ramai’ atau ‘massacre’ secara sah di sisi perundangan universiti walaupun dengan menggunakan harta awam sekali pun.

Currently have 0 comments: