Bagaimana Harakah boleh membantu perjuangan kaum pelajar?
“Saya panggil kamu ke sini cuma nak tanya satu perkara,” encik Norizan Khalid bersuara tenang dan tegas, “surat pembaca bertajuk Demokrasi Universiti Sudah Mati (DUSM) ini kamukah yang menulisnya?”
Saya meneliti isi kandungan surat tersebut. Tercatat pada bawah surat itu nama samaran saya, ibnuamir. Memang sebelum ini saya pernah hantar surat itu kepada akhbar perdana yang lain. Tapi, hanya Harakah dan Harakah Daily yang berminat menyiarkannya.
“Betulkah ibnuamir ni kamu?” encik Norizan bertanya kali kedua, setelah melihat saya khusyuk membaca tulisan itu. Beliau adalah Ketua Pengawal Keselamatan USM.
“Ya, memang saya yang menulisnya, kenapa?” saya bertanya beliau kembali.
“Jika begitu, tak mengapalah. Itu saja yang saya nak tahu. Pertemuan kita tamat di sini.”
Encik Norizan mengiringi saya keluar daripada bilik. Saya berjabat tangan dengan beliau, sebelum pamit. Tangannya saya genggam erat, sebagai isyarat – saya sebenarnya tidaklah bersalah sedikit pun ketika saya (pengarang Berita Kampus (BK) menggodam dasar HEP USM yang memansuhkan pilihan raya desasiswa melalui Harakah.
Pertemuan itu tidak sampai lima minit. Saya tak perlu berbohong, menipu dan menafikan isi kandungan surat itu adalah cetusan idea saya. Ramai pelajar yang bertanya, kenapakah saya mengaku? Adakah saudara dipaksa mengaku? Tidak takutkah anda dengan Auku?
Malang sekali, yang bertanya soalan seperti ini adalah pemimpin persatuan pelajar, exco MPP dan pertubuhan pelajar Islam di universiti. Jika mereka orang bawahan dan barisan saf belakang dalam kepimpinan, itu lainlah cerita.
“Tidak, memang saya berniat berdepan dengan HEP dan bersemuka dengan mereka,” itu jawapan ikhlas saya kepada teman-teman. Bukanlah saya berani sangat. Saya juga takut pada mulanya. Tapi, ketakutan perlu dilawan. Musuh sejati bukan di luar, tapi di dalam.
Sehingga kini saya tidak faham kenapa ada kalangan pemimpin mahasiswa berhaluan kiri mengambil sikap, baling batu sembunyi tangan. Apabila mereka menulis di media (sama ada mengguna nama samaran atau nama sebenar) lalu dinafikan tulisan itu milik mereka.
Walaupun hati diserang gementar, tapi bibir mengukir senyuman awal. Ketika keluar dari bilik encik Norizan, hati berbisik halus, “Perjuangan ini telah bermula. Saatnya telah tiba untuk HEP diperangkap dan diserang habis-habisan. Kini, bertemu buku dengan ruas!”
Beberapa minggu kemudian, surat daripada HEP tiba dan mengarahkan saya hadir dalam Jawatankuasa Siasatan Tatatertib. Allah Maha Besar! Apabila diasak soalan bertalu-talu daripada Ketua Penolong Pendaftar HEP, Nazru Ismail, saya bersyukur kerana berhasil menyatakan hal yang menyebabkan beliau tunduk malu dan tidak mampu menjawab lagi.
Semua soalan Nazru bersumberkan daripada tulisan DUSM saya di Harakah itulah, “Apa yang kamu tulis ini mengenai Aman Damai Idol, bukankah memalukan imej universiti?”
Dada saya berombak kencang bagai genderang mahu perang. Kurang asam!! Tapi, soalan inilah yang saya nanti-nantikan daripada beliau. “Tidak, saya tidak memalukan universiti. Malah, saya fikir kita perlu berdebat secara terbuka untuk kita cari siapakah di antara kita yang sebenarnya telah mencalarkan imej USM!”
Saya tahu dia tidak boleh mempertahankan hujahnya. Mereka kalah berhujah. Universiti ladang ilmu, lembah pengetahuan. Ia bukan disko, kelab malam tempat berpesta bersuka ria. Kita bukan anti hiburan, tetapi kita tidak faham kenapa mereka boleh mengguna harta awam universiti untuk melampiaskan keinginan syahwat ingin berhibur?
Padahal mereka diberi upah gaji daripada wang PTPTN (KWSP) itulah. Dan jika mahu berpesta, berhibur dan berlibur, silakanlah guna wang gajian sendiri, janganlah disentuh langsung wang universiti. Diriwayatkan, Hamzah Sendut, NC USM yang pertama amat berhati-hati dengan penggunaan harta awam universiti. Kenapa semangat ini hilang?
Ya ampun… saya telah menang… saya telah menang… Semuanya kerana saya tuliskan di DUSM mengenai Aman Damai Idol (Adi) tajaan encik Nazru itulah. Kenapakah beliau melebihi TNC HEP dalam hal ini? Itulah yang saya selalu bualkan bersama rakan-rakan.
“Kalau TNC anjurkan Malam Bintang di setiap desasiswa, kenapa di Aman Damai lebih teruk berbanding desasiswa lain?” demikian yang kami selalu bualkan bersama.
Di samping bertugas di HEP encik Nazru juga adalah Penggawa Desasiswa Aman Damai dan beliau dilihat sebagai pencetus Adi. Kritikan ke atas Adi pernah dimuat dalam kolum Minah Kerek di BK. Memang ada yang melompat kepanasan. Lalu, kepanasan itu diheret semula di Harakah. Barangkali, heretan kali kedua itu memang berbisa!
Peranan media alternatif sangat penting dalam menyemarakkan suara keramat mahasiswa dan hal itu cuma terjadi jika pelajar nekad menyatakan bahawa Auku itu berada di bawah telapak kaki mereka. Jika media berani, tapi pelajar takut, itu tidak membuahkan apa-apa.
Melalui peranan Harakah dan Malaysiakini jugalah, TNC HEP ketika itu, Datuk Profesor Madya Dr Jamaludin Mohaiadin mengajak saya berbual lemah lembut dan bertukar-tukar fikiran dan pandangan mengenai Auku serta isu-isu lain yang melingkarinya.
“You mesti melihat Auku itu daripada sudut yang positif. You jangan melihat akta itu dari kaca mata negatif semata-mata,” kata Dr Jamaludin dalam pertemuan sulit tersebut.
“Jika demikian, kenapa datuk tidak bawa semua hujah ini kepada pihak akhbar? Cubalah datuk tulis apakah kebaikan Auku. Akhbar mesti siarkan pandangan pentadbir universiti,” saya ‘mencabar’ beliau secara halus dan lunak, sesuai dengan usia dan jawatan beliau.
“Kalau saya menulis begitu, teruklah saya dikritik di akhbar nanti,” tambah beliau.
Saya sudah faham. Mereka sebenarnya tidak dapat mempertahankan Auku dalam pasaran idea terbuka. Mereka akan kalah. Jadi, apa yang mereka lakukan ialah dengan berterusan menahan, kemudiannya mengugut pelajar agar tidak mengeluarkan kenyataan akhbar.
Sebenarnya, saya boleh menjawab isu itu melalui jalan falsafah. Undang-undang itu tidak pernah negatif. Semuanya positif. Adapun undang-undang yang negatif itu tidak layaklah digelar undang-undang. Atau, jika mahu digelar sebagai undang-undang, maka hendaklah disebutkan bahawa, itulah undang-undang yang zalim, drakonian dan sebagainya.
Perbahasannya tentulah panjang. Saya fikir, hal ini akan saya kemukakan di dalam tulisan yang khas. Kalau TNC menyahut cabaran saya, tentu saya akan ganyang pendapat beliau dalam Harakah juga. Dan saya tidak peduli jika dipanggil mengadap sekali lagi.
Maaf kedengaran angkuh. Tapi menurut hemat saya, Harakah perlu memupuk membakar ego pelajar untuk menentang HEP dalam realiti sekarang. Apatah lagi kes di Machap dan Ijok yang jelas menggunakan RM40,000 duit universiti untuk faedah parti pemerintah.
Kita perlu salurkan keegoan pelajar dengan baik. Adalah baik ego Musa melawan Firaun. Walaupun Musa takut, baginda tetap memiliki ego dalam menentang Firaun.
Antaranya, Harakah dan Harakah Daily perlu menyediakan ruang khas atau kolum untuk pimpinan pelajar ini bersuara sama ada menggunakan nama samaran atau nama sebenar. Inilah bentuk tekanan ke atas HEP yang paling digeruni. Pelajar kita tidak menekan HEP.
Ambillah pengajaran daripada semangat dan kecerdikan Mohandas Karamchand Gandhi, yang terkenal dengan pergerakan yang lemah lembut tetapi cukup tegas bertenaga. Beliau telah memanfaatkan media dengan sebaik-baiknya untuk menekan penjajah British sama ada di dalam dan di luar penjara.
Sebenarnya, ada banyak lagi yang saya ingin bercerita dan kongsi bersama pembaca setia Harakah dan Harakah Daily. Wasiat Imam Hasan al-Banna sangatlah benar ketika beliau menyatakan, bahawa tugas kita lebih banyak daripada masa yang kita perlukan. Oleh itu, salinglah bantu-membantu antara kita.
Dalam konteks perhubungan antara pelajar–pengamal media alternatif (khasnya Harakah dan Harakah Daily), mereka haruslah sentiasa bertemu dan berbincang tentang masalah-masalah yang melatari pergolakan dunia kampus sejak dahulu, saat ini, dan selamanya.
19 Mei 2007, 2 Jamadil Awwal 1428,
Currently have 0 comments: