Luas atau banyakkan bacaan? Pendekatan dakwah kampus perlu dinilai semula?
Oleh Ali Bukhari Amir
Saya menulis ini kerana teringatkan satu peristiwa bersama beberapa teman di universiti. Suatu hari mereka dengan megahnya menunjukkan kitab-kitab dan buku-buku usrah yang memenuhi ‘atau menghiasi’ rak buku mereka.
“Hey… lihatlah betapa banyaknya buku yang ana beli,” kata seorang teman. Lalu dia pun bercerita tentang buku-buku usrah itu. Rakan sebelah pun berkata, “Masya Allah, enta ini sememangnya ulat buku. ‘Banyak’ sungguh buku yang enta baca.”
Raut wajah rakan yang ‘kaya’ ilmu tadi berbunga menguntum senyuman dan kembanglah hatinya tidak terkata. Lalu, dia semakin banyak bercakap darihal buku-bukunya. Sebentar kemudian dia menoleh kepada saya, “Syeikh apa pendapat? Dari tadi lagi diam saja.”
Mungkin beliau menyangka saya memuji tindakan membeli buku itu. Memang betul saya memuji. Saya jarang-jarang mengeji, sebaliknya mengkritik secara sihat agar rakan-rakan itu dapat memikirkan semula, apakah pendekatan dan tindakan mereka selama ini benar?
Lalu, saya bangkitkan persoalan, “Apa bezanya antara banyak bacaan dan luas bacaan?”
Ada beza yang jelas ketara antara ‘luaskan pembacaan’ dan ‘banyakkan pembacaan’. Apa perbezaan itu? Misalnya, jika saya membeli 10 buah buku agama (haraki) di mana nama-nama pengarangnya itu berbaris seperti berikut:- Hasan al-Banna, Syed Qutb, Abu Hasan Ali an-Nadwi, Maulana Iqbal, al-Maududi dan lain-lain, adakah saya luas bacaan?
Daripada satu segi, saya mungkin banyak rujukan bacaan, tapi saya belum tentu luas ilmu pengetahuan. Saya tidak hadam falsafah Immanuel Kant, idea kemasyarakatan oleh Ibnu Khaldun, tidak faham idea Spinnoza, Maimonides, idea hegemoni Gramschi ketika beliau dipenjarakan, dan saya tidak faham politik Mao Zedong dan Sun Yat Sen dan sebagainya.
Ringkasnya, jikalau 10 buah buku itu saya punggah dari gedung pengetahuan Kinokuniya dan gudang ilmu MPH, lalu ditokok dengan timbunan buku-buku agama haraki itu, maka mungkin saya hampir kepada kategori mahasiswa yang luas mencakupi di dalam pelbagai dimensi ilmu dan juzuk pengetahuan. Tetapi, saya percaya bahawa itu pun belum cukup.
Ini kerana, ilmu sentiasa berkembang dengan perkembangan alam. Ilmu dicerap daripada alam ini. Maknanya, jika alam ini berkembang, maka berkembanglah pengetahuan. Hujah bahawa ilmu dicerap daripada alam ialah, ketika Adam wujud, Allah memerintah baginda menyebut nama segala benda di syurga sebagai bukti kepada malaikat. (2 : 31 – 33)
Maulana Muhammad Iqbal (1876 – 1938) pernah menyebutkan, “Diri dan angkasa adalah sumber pengetahuan (makrifat).” Hujah Iqbal ini berasaskan surah Fussilat ayat 53. Saya tidak mahu mengulas hal diri sebagai sumber ilmu kerana bahasannya akan panjang. Baik kita tumpukan hujah awal, iaitu ilmu berkembang seiring dengan perkembangan alam.
Perhatikan bagaimana Tuhan tamsilkan ilmuNya yang luas dengan perumpamaan dalam al-Kahfi, ayat 109 dan Luqman, ayat 27. Ranting dijadikan pena dan laut adalah dakwat. Tapi, ilmu belum habis ditulis. Ini kerana, angkasa (universe) sentiasa berkembang luas.
Lihat juga surah az-Zaariyat, ayat 47: “Dan langit itu Kami bangunkan dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.” Di sini Allah menggunakan istilah wasa’a (luas). Seorang saintis Barat telah mengesahkan bahawa langit angkasa ini sebenarnya sentiasa dalam proses perkembangan untuk keluasan alam semesta.
Kembali kepada Iqbal, maka benarlah kebesaran Allah s.w.t apabila kita dapat mencerap pengetahuan daripada alam luaran (langit, angkasa) walaupun kita belum mencerap ilmu dengan merujuk alam dalaman (diri, jiwa). Proses peluasan alam semesta ini terus terjadi sehinggalah kiamat. Saintis Barat itu terpukau dengan al-Quran yang mendahului zaman.
“Jadinya syeikh...” saya berhenti sekejap, sambil memandang wajah teman itu, “kalau era 70-an kita masih kekalkan teks usrah itu sehingga tahun 2000, adakah mungkin ilmu kita akan berkembang dengan luasnya?”
HEP telah beberapa kali melakukan bedah siasat ke atas kelemahan Auku demi mengikat erat perjuangan mahasiswa. Kerajaan telah berkembang pendekatannya sehingga tertubuh Kementerian Pengajian Tinggi yang telah menyusahkan kegiatan seminar pensyarah yang di luar negara. HEP telah upgrade prosedur penangkapan kutu siswa di Ijok dan Machap.
Tapi bagaimana dengan pergerakan siswa sekarang, khasnya Muslim? Adakah masih lagi kegiatannya terhad kepada usrah, tamrin, mukhayam, program menjemput artis nasyid di universiti? Saya tidak bermaksud, kita mesti meninggalkan teks usrah lama.
Kita kekalkan semuanya, tapi dalam masa yang sama kita harus meneropong kekurangan, lalu kita tambah dengan mengemaskinikan pengetahuan dan meluaskan ilmu dan bacaan, ketika HEP sedang upgrade kelemahan Auku untuk mengukuhkan akta itu.
Saya membayangkan tindakan HEP menyelak Auku ini seperti rabbi Yahudi serta paderi Nasrani yang sentiasa menyelak Bible, Gospel, New dan Old Testament saban tahun pada setiap muktamar mereka sepanjang tahun. Mereka perlu melakukan perubahan itu kerana sentiasa saja mereka menemukan kesilapan dan percanggahan antara ayat-ayat kitab itu.
Contoh perbandingan begini tentunya membangkitkan kemarahan HEP. Apa kejadahnya kami dibangsakan dengan rabbi Yahudi dan pendita Nasrani? Mungkin itulah yang akan HEP bebelkan. Tapi, percayalah bahawa saya sendiri tidak suka mengatakan begitu.
Saya juga dapat berasakan kepedihan rakan-rakan siswa daripada agama lain jika mereka terbaca coretan ini. Tetapi saya harap mereka memahami bahawa perbandingan ini ditulis dengan semata-mata niat nawaitu yang tulus suci ingin menghina HEP sehina-hinanya ke tahap dan darjat martabat paling rendah daripada haiwan kerana melacurkan wang KWSP dan PTPTN di universiti untuk majikan Umno mereka.
Syahadan, ini zaman teknologi maklumat. Setiap pemimpin asiswa perlu wujudkan blog. Anda perlu update dan upgrade ilmu pengetahuan setiap hari. Dalam seminggu, setidak-tidaknya, anda perlu kemaskinikan maklumat dua atau tiga kali.
Ahli-ahli usrah digalakkan mencetak silibus usrah yang dikirimkan oleh naqib usrah yang memiliki web atau blog. Kumpulan naqib universiti wajib ada blog. Bagi pimpinan siswa, tugasan anda yang paling agung, sila dedahkan maklumat penyelewengan dana universiti oleh HEP anda dalam pilihan raya di Ijok baru-baru ini dalam blog anda masing-masing!
Ya Allah, bebalnya kau Ibnu Amir! Berat .... kalau bodoh, fikir. Kalau rasa bodoh, diskusi. Baca buku. Jangan merapu! FAO
terima kasih atas komentar. Harap dapat letak nama samaran, emel dan url blog untuk memudahkan perbincangan di masa-masa akan datang...