Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Wang simpanan kaum buruh dihanguskan oleh negara?

Friday, May 04, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 1:41 AM

Oleh Ali Bukhari Amir

Sama ada kita sedar atau tidak buruh adalah golongan yang telah menumpahkan bakti dan jasa yang tidak ternilai kepada negara dan masyarakat sekitarnya. Al-Quran tidak sunyi membicarakan kisah kaum-kaum yang berhasil membina bangunan tinggi melalui tangan kaum buruh binaan.

Bangsa Mesir purba tergolong sebagai bangsa majikan kapitalis yang memiliki bangunan tinggi di mana buruh-buruh binaan mereka adalah kaum hamba dalam kalangan Bani Israel. Kaum hamba itu tidak diberi upah setimpal, malah anak lelaki mereka dibunuh.

Di India, tercatat sejarah Shah Jehan membina Taj Mahal untuk isterinya Mumtaz Mahal. Setelah siap bangunan itu, beliau bertindak memotong tangan kaum buruh binaan, kerana beliau tidak mahu ada bangunan lain yang menandingi keelokan Taj Mahal itu.

Sikap penguasa begini masih wujud selagi mana mereka masing-masing ghairah merebut gelar kerana mahu membina binaan tertinggi di dunia. Dan dalam masa yang sama, buruh binaan itu tertindas dengan sendirinya.

Masa berlalu dan kita menyaksikan telah wujud perundangan bagi membela kaum buruh. Tetapi, sejak bilakah undang-undang buruh dirukunkan dan diamalkan secara sah?

Di dalam filem biografi Prairie Giant, seorang paderi, iaitu Tommy Douglas (1930–1961) ditonjolkan sebagai salah seorang paderi yang mempejuang nasib kaum buruh di kawasan Prairie, Canada yang terkenal dengan penanaman gandum.

Tommy melihat bagaimana peladang ditindas oleh tuan tanah. Maka dalam pidatonya di gereja itu langsung dipenuhi kritikan terhadap penguasa dan tuan tanah. Antara isi pidato, ialah buruh tidak mendapat rawatan yang baik padahal Jesus Christ memberi rawatan ke atas umatnya dengan percuma!

Khutbah gereja itu tentunya menaikkan kemarahan penguasa dan tuan tanah. Oleh kerana pendirian Barat tidak mengizinkan agama disatukan dengan politik, lalu Tommy diminta memilih, sama ada ingin teruskan khutbah gereja atau bergiat dalam bidang siasah.

Tommy membuat keputusan yang tepat apabila pada suatu hari dalam khutbahnya, beliau mengisytiharkan dirinya sebagai paderi yang akan meneruskan khutbah dalam Parlimen. Bermula detik itu, beliau dan rakan-rakan parti dituduh komunis dikecam sebagai sosialis dan lainnya. Berkat kesungguhan, Tommy membuat perubahan besar dalam akta buruh.

Seperti yang sering dilaungkan dalam khutbahnya sebelum ini, rawatan ke atas peladang dan buruh adalah suatu keutamaan. Dan hal itu telah dikotakannya. Sebenarnya, sejarah para anbiya’ telah menitikberatkan soal rawatan secara percuma ini.

Antara mukjizat rasul adalah rawatan dan kesembuhan. Dakwah Islam menjalar ke Tanah Melayu apabila pendakwah itu berhasil menyembuhkan penyakit raja-raja dan penduduk tempatan dengan izin Allah.

Ringkasnya, rawatan buruh dan hak mereka yang lain seperti amalan piket, menubuhkan persatuan tidak boleh diabaikan penguasa kerana mereka tulang belakang negara. Dalam konteks negara kita, para buruh sektor perkilangan dan elektronik adalah kumpulan yang perlu diberikan perhatian serius oleh negara.

Kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Dr Syed Husin Ali serta Pengerusi Lujnah Pekerja PAS Mohd Sabu dalam kenyataan mereka di Siasah yang lalu menyentuh hal yang sama mengenai nasib pekerja kilang elektronik.

Antara isu besar itu yang dibangkitkan kedua-dua mereka ialah negara tidak memberi ruang kepada para pekerja kilang untuk menubuhkan persatuan. Presiden MTUC Syed Shahir berkata dalam satu kenyataannya bahawa piket adalah jalan terakhir setelah pintu rundingan telah ditutup.

Dalam kes pekerja kilang elektronik, kita lihat sekiranya hak menubuhkan persatuan pun dihalang, bagaimana mungkin para pekerja dapat menyuarakan sebarang permasalahan di tempat kerja? Sudah tentu piket adalah jalan terakhir.

Padahal, negara kita mengorak langkah ke arah kerajaan elektronik. Kursus di universiti dianggap kritikal apabila ia terkait dengan kejuruteraan dan elektronik. Betapa ‘mahalnya’ kursus ini sehinggakan negara memutuskan untuk memberikan pinjaman, hanya ke atas pelajar-pelajar yang mengikuti kursus-kursus kritikal.

Paling memenatkan ialah perkembangan mutakhir ini yang menyaksikan anak muda kita yang sanggup mengundi penyanyi Akademi Fantasia dengan menggunakan PTPTN. Apa yang pastinya, PTPTN adalah duit kaum buruh juga, iaitu caruman KWSP.

Itu belum lagi termasuk kegilaan pentadbir universiti yang menggunakan wang PTPTN KWSP sebagai jentera memenangi kerusi Umno – BN di Machap dan Ijok baru-baru ini!

Currently have 0 comments: