Menunggu Hishammuddin perjuang bahasa Melayu
Oleh Ali Bukhari Amir
Datuk Onn Jaafar adalah seorang pejuang nasionalis ulung. Beliau ada campuran Melayu dan Turki. Maka, suatu fakta yang tidak boleh dipertikaikan adalah beliau tidaklah mahir berbahasa Melayu pada awal-awal kebangkitannya.
Hal ini diperakui salah seorang cucu Datuk Onn, Mohd Adib yang menulis bahawa sosok nasionalis itu asalnya tidak mengerti sepatah pun istilah dalam bahasa Melayu pada awal-awal kemunculannya.
Tetapi, hakikat sejarah menunjukkan bahawa mereka yang tidak mahir berpidato, kurang fasih berbahasa ibunda telah berupaya mengikat persatuan bangsa terjajah untuk merebut kemerdekaan daripada penjajah.
Nabi Musa yang kurang mahir pidato telah berhasil menumbangkan penjajah Firaun yang menjajah Bani Israel. Ajaran Musa diperkukuhkan melalui lidah saudaranya Nabi Harun. Sudah tentulah pidato Musa itu diucapkan dalam bahasa ibunda mereka; Ibrani.
Dalam memoir Meniti Lautan Gelora catatan Said Zahari, tercatat kisah Lee Kuan Yew yang tidak mahir bahasa Melayu. Lalu, Lee meminta khidmat Said yang bertugas sebagai Pengarang Utusan Melayu untuk memeriksa ucapannya melalui sehelai kertas.
Lee sedar bahawa pidato itu mesti diucap dalam bahasa Melayu untuk membentuk parti yang berpengaruh di Singapura. Parti yang diasaskan Lee dan A. Samad Ismail itu kini menguasai setiap inci ruang di Parlimen Singapura, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Di sini, ada persamaan watak antara Onn Jaafar (Umno) dan Lee Kuan Yew (PAP), iaitu mereka bukan tulen Melayu dan bukan Melayu. Paling mustahak dicatatkan di sini ialah mereka itu pada asalnya tidak tahu berbahasa Melayu dan kurang fasih bahasa Melayu.
Tapi mereka berusaha menguasai bahasa Melayu sebaik-baiknya demi membina kesatuan Melayu dalam era kemerdekaan. Maka, bahasalah aset penyatuan bangsa bagi menghalau penjajah, seperti pidato Ibrani oleh Musa untuk kemerdekaan Bani Israel dari cengkaman penjajahan Firaun. Maka, kebenaran slogan ‘bahasa jiwa bangsa’ terbukti benar.
Onn Jaafar segera memperbaiki kelemahan beliau itu. Dan, beliau bercakap dalam bahasa Melayu untuk menyatukan semangat dan perpaduan antara orang Melayu yang terpecah, terpisah oleh ikatan suku kaum, Banjar, Jawa, Boyan dan lain-lain.
Sumpah Pemuda dalam meniti Kemerdekaan Republik Indonesia 1945 telah memutuskan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan antara orang Jawa, Bugis, Acheh yang terpisah dan berselerak di seluruh gugusan kepulauan Tanah Melayu.
Seandainya Onn Jaafar berbicara dalam bahasa Turki, Inggeris atau bahasa bukan Melayu, mustahil beliau berjaya membina perpaduan antara orang Melayu. Hal kegigihan beliau mempelajari bahasa ini jaranglah dibualkan oleh ahli Pekembar (Umno) sendiri.
Iaitu betapa Onn Jaafar bersusah-payah mempelajari semula bahasa Melayu supaya dia berhasil membina kesatuan orang Melayu untuk menolak Malayan Union anjuran Harold Mac Michael yang telah ‘menipu’ Majlis Raja-Raja Melayu.
Ertinya, bahasa Melayu telah digunakan dalam usaha menolak Malayan Union. Bahasa Melayu digunakan untuk menolak penjajahan ketika Tunku menyebut ‘merdeka’. Bangsa Melayu tidak meminjam istilah Arab; ‘hurriyyah’ yang memiliki makna sama; merdeka.
Ertinya, orang Melayu tidak miskin bahasa dan faqir istilah ketika merebut kemerdekaan daripada penjajah. Istilah Melayu (Merdeka!) dilaungkan ketika ribuan tangan terurai di angkasa di Stadium Merdeka dan bukannya bahasa asing yang dilaungkan pada saat itu.
Oleh kerana tokoh-tokoh pembina bangsa itu terlalu ramai, maka eloklah kita tumpukan kepada sosok Onn Jaafar yang ingin kita bincangkan kisahnya di awal-awal bualan tadi. Iaitu, Onn Jaafar, setelah menyedari hakikat dirinya pemersatu bangsa Melayu, maka dia bersedia mempelajari bahasa Melayu sebagai alat penyatuan sebuah bangsa berdaulat.
Lalu, kita teringat Datuk Seri Hishammuddin bin Tun Hussein bin Datuk Onn bin Jaafar yang mewarisi bakat kepimpinan datuknya. Jika datuknya bermatian mempelajari bahasa Melayu demi bangsanya, maka apakah yang menghalang cucunya untuk mengembalikan dasar bahasa ibunda sebagai alat mendidik anak bangsa dalam Sains dan Matematik?
Umat Melayu tidak perlu keris keramat Panca Warisan sebagai simbol kedaulatan bangsa ini. Jawatan menteri telah diamanahkan kepada Hishammuddin dalam pendidikan negara. Manfaatkan semua itu seadil-adilnya, kerana Datuk Onn sendiri tidak berpeluang menjadi ahli kerajaan Perikatan. Ini kerana, di akhir hidupnya beliau menubuhkan parti baru, IMP.
Orang-orang seperti Datuk Onn tidak meninggalkan harta yang banyak. Menurut catatan cucunya, Mohd. Adib, cuma beberapa ringgit dijumpai dalam poketnya ketika Onn Jaafar menghembuskan nafas yang terakhir.
Manusia seperti ini biasanya tidak meninggalkan harta melainkan wasiat perjuangan. Kita seolah-olahnya terbayang ‘wasiat’ Onn Jaafar terhadap cucunya, Hishammuddin “Datuk berhempas pulas, sanggup bersusah payah berkorban masa belajar bahasa Melayu untuk menyatukan Melayu walaupun datuk bukan asli Melayu dan kurang fasih bahasa Melayu.
“Wahai cucuku sayang. Sudikah dikau berkorban, melakukan hal yang sama agar bangsa kita dapat belajar semula di dalam bahasa ibunda?”
Kalau wasiat itu wujud, kita tidak tahu apa jawapan Hishammudin. Tetapi apa yang pasti, Hishammuddin sebagai Ketua Pemuda Pekembar tidak mungkin menjawabnya sekarang kerana beliau sibuk menjawab ‘fitnah’ PKR ke atas insiden baling botol di Ijok kini.
Klip video Hishammuddin di hari penamaan calon amat jelas kelihatan ketika botol-botol air minuman mineral saling berterbangan ke udara. Seluruh rakyat Malaysia melihatnya termasuk anak-anak murid sekolah rendah dan menengah.
Jika begini keadaannya, kita fikir gejala buli dan gangsterisme di sekolah sangat mustahil dihapuskan. Bukankah pepatah menyebutkan, bahawa kepimpinan itu melalui teladan?
Currently have 0 comments: