Wujudkan program realiti tv 'Mencari Jalan Pulang' kepada Mat Rempit
Walau apa keadaan sekali pun, masyarakat kita jangan dibiarkan mati akal dalam mencari kaedah untuk merawat gejala kronik dalam masyarakat anak muda. Ini adalah sebahagian daripada proses mematangkan kita sendiri, baik generasi tua atau generasi muda. Kita telah pun mencuba pelbagai pendekatan lembut dan keras; samada tindakan sebat, berkonvoi bersama Putera Umno dan sebagainya.
Maka di sini, saya ingin menyarankan kepada Putera Umno dan pihak media elektronik agar saling mengadakan hubungan kerjasama dalam usaha mewujudkan suatu program tv yang mungkin boleh dilaksanakan sebagai program realiti yang semakin popular sekarang ini, seperti Gangstarz (TV3), Akademi Fantasia (Astro) Cari Menantu, Akademi al-Quran (TV9) dan lainnya.
Akan tetapi, matlamat dan tujuan program realiti tv yang dicadangkan ini bukanlah bertujuan mencari menantu, penyanyi, pembaca al-Quran terbaik, sebaliknya mencari 'perempit terbaik'. Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan sebagai 'perempit terbaik'?
Secara mudah, tafsiran 'perempit terbaik' adalah mereka yang kembali ke pangkal jalan dan menunggang motor dengan baik dan berhemah di jalan raya, sesuai dengan kempen kerajaan agar berhati-hati menunggang motor. Sebabnya, tujuan motorsikal itu dikeluarkan ialah untuk memudahkan manusia dan bukan untuk berlumba atau menunggangnya secara merbahaya. Selain itu, program realiti ini bertujuan mengubah watak perempit kepada wataknya atau fitrahnya yang asal.
Kita perlu sedar, bahawa dari segi rasionalnya, anak-anak muda ini tidak faham atau pun kurang jelas mengenai matlamat hidup. Kalau mereka sedar, bahawa tujuan hidup itu adalah untuk menempuh satu kematian, kematian itu pula mestilah dalam keadaan 'husnul khatimah' (kematian dalam keadaan yang baik), tentulah anak muda ini akan memilih cara mengakhiri hidupnya dengan kaedah yang diredhai Allah s.w.t.
Sudah tentulah program realiti ini dikhususkan kepada anak-anak muda Melayu beragama Islam. Menurut kajian, kehadiran perempit ini ramai dalam kalangan anak-anak Melayu dan Muslim. Justeru, mungkin nama program realiti ini kita berikan judulnya sebagai 'Mencari Jalan Pulang' (MJP) atau judul lain yang mencerminkan perasaan sedar dan keinginan untuk bertaubat dalam kalangan perempit. Atau, mungkin ada judul nama lain yang difikirkan molek pada perhitungan Putera Umno dan pihak pengurusan media eletronik di negara kita.
Mengapakah kita perlukan suatu kumpulan 'perempit terbaik'? Sebenarnya, nama lain yang lebih sesuai dan lunak digunakan ialah 'insan kamil', atau insan terbaik. Kumpulan 'perempit terbaik ini satu keperluan kerana mereka inilah yang akan bertukar watak menjadi pembimbing dan contoh teladan kepada perempit lainnya. Perempit tidak akan mendengar sangat timbunan kata-kata nasihat orang tua.
Mereka akan lebih mendengar kata-kata rakan-rakan sebaya yang pernah menjadi perempit juga. Jadi, kita harapkan agar 'kumpulan 'perempit terbaik' yang terhasil daripada program realiti tv ini dapat memancing perhatian perempit lainnya ke arah kebaikan. Sekarang, kita harus membicarakan mengenai apakah modul-modul latihan untuk menghasilkan 'perempit terbaik' itu.
Ajaran Islam banyak menitikberatkan soal mengingati mati atau 'zikrul maut'. Malah, ada hadis menyebutkan bahawa Muslim yang cerdik adalah mereka yang paling banyak mengingati mati. Dan termasuk dalam kategori amalan sunnah nabi, adalah amalan mengunjungi pusara kubur bagi tujuan mengingati mati.
Maka, didikan ke arah melahirkan 'perempit terbaik' bukanlah dengan memberikan kepada mereka motor-motor berkuasa tinggi untuk melihat kadar kelajuan dan sejauhmana mereka dapat menunjukkan aksi-aksi liar di jalan raya. Sebaliknya modul latihan program realiti tv itu boleh dibuat seperti mengafankan perempit dan membaca talkin ke atas mereka sehingga perempit tadi dimasukkan ke dalam liang lahad secara olok-olok.
Hal ini mestilah dilakukan secara langsung dan dipertontonkan ke seluruh negara. Jika ada perempit mengeluh kesal kerana mereka telah mensia-siakan hidup selama ini, maka raut kekesalan itu mestilah dirakamkan serta disiarkan juga sebagai tatapan perempit di luar sana.
Mungkin, dalam tempoh sejam di dalam bilik, sementara menunggu diri mereka ditalkinkan, telah timbul sedikit sebanyak kekesalan dan mereka teringatkan kaum keluarga. Bacaan talkin itu pula mestilah disuarakan dengan gaya yang menyentuh hati, perasaan dan meremangkan bulu roma apabila teringatkan kematian. Mungkin pihak Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) dapat ikut serta dalam menghulurkan bantuan dalam program realiti tv ini.
Saya percaya, bacaan talkin yang menggegar perasaan ini boleh dilaksanakan oleh agamawan tanahair kita yang banyak muncul dan berpengalaman dalam memberikan ceramah di tv selama ini. Program realiti tv ini adalah mirip kepada 'Fear Factor'. Namun, rancangan itu tidak Islamik, kerana 'memaksa' para peserta memakan makanan yang menjijikkan semata-mata merebutkan jumlah wang yang besar.
Oleh itu, saya menyarankan agar Putera Umno memperuntukkan dana yang besar bagi menarik minat perempit untuk memasuki program realiti tv ini. Misalnya, sesiapa yang bersedia dikafankan dan ditalkinkan dalam masa sejam atau lebih, maka merekalah yang berjaya mendapatkan wang tersebut dengan kadar-kadar tertentu. Hal ini lebih baik daripada membina litar perlumbaan khas dengan kos perbelanjaan yang tinggi kepada perempit.
Di sinilah letaknya sejauhmana keberanian sejati seseorang perempit itu. Kempen-kempen berbentuk mencabar keberanian perempit harus dibuat selalu supaya lebih ramai perempit akan berminat untuk dikafankan dan juga untuk ditalkinkan. Ini kerana, para perempit itu biasanya pantang dicabar. Jikalau mereka takut, jatuhlah maruah mereka. Perempit biasanya sanggup mempertahankan maruah dan pantang digelar sebagai penakut.
Mungkin ada juga perempit yang tidak berubah selepas dikafankan dan ditalkinkan. Hal ini terserahlah kepada Allah s.w.t yang memberikan petunjuk dan hidayah. Kita cuma manusia yang sentiasa berusaha mencari penyelesaian yang terbaik untuk kebaikan semua. Supaya kita tidak bangkrap idea dan muflis tindakan dalam upaya menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda dan lama.
H Fansuri
Sekolah Pemikiran Kg Baru
9:26 malam, 070407, (Sabtu)
Ni tumpang tanya sket bole tak? Sekolah Pemikiran Kg Baru ni kat mana haa? Dekat Juara Seafood ke Stesen LRT Putra? X pernah nampak signboard pun...
menarik jgk idea neh..huhu
You are not right. Let's discuss. Write to me in PM, we will talk.
Mr anonymous.. nak write macam mana?
tolong bagi mel-e anda. mel-e saya ibnuamir@gmail.com, ibnuamir@yahoo.com