Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Falsafah Cinta Mat Motor

Sunday, March 25, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 8:14 AM

(Al-Islam, Disember 2006)
Oleh Ali Bukhari Amir
Bergaul dengan remaja membuatkan penulis terserempak dengan banyak keadaan yang menuntut agar kita lasak dengan pemikiran. Terkadang kita bertembung dengan satu dua pertanyaan yang mencabar pemahaman kita mengenai al-Quran dan hadis.
Pada suatu hari, saya sedang berbual dengan seorang remaja yang terbabit dengan aktiviti lumba motor haram atau yang lebih dikenali sebagai gejala mat rempit. Fenomena ini wujud sudah begitu lama sebenarnya. Hanya akhir-akhir ini laporan mengenai mereka agak laris dipaparkan di dada akhbar.
Sebelum itu, dalam tulisan ini, saya tak akan melabelkan atau menamakan mereka sebagai Mat Rempit. Saya amat setuju kepada pandangan seorang ahli parti politik yang melihatkan gelaran tersebut sebagai satu penghinaan ke atas anak-anak muda itu.
“Ketika muda, saya pun ‘gila’ motor. Tapi, gelaran kami pada waktu itu ialah Mat Motor saja. Gelaran itu kelihatan lebih ‘neutral’. Istilah Mat Rempit menunjukkan remaja itu seperti nakal. Padahal mereka dinakalkan oleh keadaan,” jelas ahli politik itu terhadap saya pada suatu hari. Usianya yang muda menyebabkan dia jadi prihatin kepada mereka.
Perkataan ahli politik itu ada betulnya. Sebelum itu, seorang remaja ‘mat motor’ yang saya temui, juga telah mengungkapkan hal yang sama. Iaitu, gejala ‘rempit’ ataupun membawa motor secara merbahaya ini ada kaitannya dengan suasana persekitaran. Saya memberikan nama remaja itu sebagai Ahmad (bukan nama sebenar).
Remaja itu memberikan contoh sukan permotoran atau lumba kereta Formula 1 yang disiar secara langsung di televisyen dan akhbar perdana pula memberi liputan meluas mengenainya. “Apa yang menarik tentang sukan itu ialah, kaum wanita yang mendampingi juara sukan lumba motor dan kereta itu memang cantik. Jadi, kami hanya pindahkan hal itu ke dalam realiti kehidupan kami,” jelas Ahmad.
Ahmad bersungguh-sungguh menyatakan bahawa segala yang mereka lakukan itu adalah terjemahan langsung daripada suatu gambaran yang dilakukan oleh pihak pemilik media termasuk kalangan pihak berkuasa sendiri.
“Kita boleh lihat bagaimana pihak atasan sendiri mengesahkan kewujudan sukan itu di mana, semua wanita itu dibiarkan berpakaian seksi. Jadi, kaum wanita itu memang menjadi sesuatu barangan yang dipertaruhkan sebagai tontonan.
“Jika wanita itu bukannya satu pertaruhan, sukan itu sepatutnya dimansuhkan atau pun sukan itu diwujudkan tanpa pembabitan wanita seksi,” tambah Ahmad lagi.
Saya menolak andaian beliau, bahawa sukan itu menjadikan wanita sebagai kaum yang dipertaruhkan. Hujah saya, apabila nama pemenang telah diumumkan, maka bukan wanita yang diberikan kepada pemenang itu, sebaliknya mereka menggondol hadiah. Wanita cuma perhiasan. Ia bukanlah diberikan kepada kepada pemenang itu untuk ditiduri mereka. Demikianlah saya berhujah kepada anak muda di depan saya itu.
“Anda silap,” kata Ahmad, “cuba perhatikan bagaimana wanita dipergunakan lalu mereka disuruh bergambar bersama pemenang lumba itu.” Saya termenung sebentar. Memang saya tidak menyangka, sejauh itu mereka telah merenung hakikat sukan permotoran dan lumba kereta.
Kalau kita pernah menonton filem Fast and Furious, hal keseksian wanita diperalatkan, dipergunakan dan dipertaruhkan itu memang lebih jelas ketara. Jika kita boleh mengambil paradigma Ahmad sebagai cara berfikir yang mewakili paradigma majoriti mat motor, maknanya pihak berkuasa sendiri sedang menaja kegiatan rempitan secara tersirat dan secara tidak langsung sebelum ini.
“Kita memang nak tunjuk hebat kepada kaum wanita. Menang dalam perlumbaan itu adalah bertujuan menimbulkan rasa kagum ke atas wanita. Memang wanita akan lebih cenderung meminati kaum lelaki yang handal dalam beberapa segi.
“Jadi, apa salahnya kami beraksi semata-mata untuk menarik perhatian mereka?” Ahmad kembali berhujah kepada saya.
Barulah saya faham kenapa mereka menayangkan aksi-aksi dan lagak ngeri di jalan raya itu. Segala aksi lagak ngeri seperti berdiri di atas motosikal, mencangkung dan semua itu memang didorong oleh suatu keazaman membuak-buak supaya aksi itu dapat menarik perhatian kaum hawa di sisi mereka.
Sehingga catatan ini ditulis, kita tidak tahu apakah pendirian persatuan-persatuan wanita termasuk Kementerian Pembangunan Wanita sendiri. Adakah mereka sedar yang sukan bermotor atau sukan lumba kereta Formula 1 itu, setidak-tidaknya sedikit sebanyak menyumbang ke arah kebejatan moral mat motor sejak akhir-akhir ini bahkan sejak dulu?
Tetapi, ada satu perkara lain yang saya kira sebagai luar biasa tentang diri Ahmad. walaupun seorang yang ‘gila’ motor, tapi beliau mempunyai cara berfikir yang ada dalam kerangka pemikiran seorang pemikir atau ahli falsafah. Apakah hal itu?
Remaja itu dengan tiba-tiba bertanya saya mengenai cinta. Tiba-tiba, dia bertanya saya darihal kisah-kisah cinta yang pernah wujud di dalam al-Quran. Sebab itu, saya lihat bahawa dalam kalangan mat motor ini, kita perlu juga mengambil perhatian serius ke atas mereka yang memiliki pemikiran atau berjiwa falsafah.
Mat motor berjiwa falsafah seperti inilah yang sepatutnya diangkat menjadi ketua. Ini kerana, mereka ini biasanya memiliki daya tahan yang tinggi serta mampu ‘mendidik’ mat motor lainnya ke arah nilai yang positif jika kena dengan caranya. Kita juga tidak tahu, adakah Putera Umno dalam pengisiannya sebelum ini pernah merancang menaikkan mat motor berjiwa falsafah sebagai ketua seperti yang dilaporkan media.
Terkadang kita tertanya-tanya. Dalam masyarakat mat motor, bagaimana ketua itu dipilih? Adakah ketua itu dipilih dengan melihat individu yang lebih handal berlumba? Mat motor berjiwa falsafah ini, menurut saya ialah, merujuk kepada mereka yang suka berfikir dan aktif bertanya darihal kehidupan dan mempersoalkan sesuatu yang pada mereka adalah batil dan silap.
Lalu, mereka cuba mencari dan menyelami apa yang benar sebagai gantian terhadap sesuatu yang mereka anggap batil itu. Tidak semua mat motor yang suka berpeleseran dan hanya memikirkan kehidupan yang menyeronokkan semata-mata. Oleh kerana Ahmad terdidik dalam acuan agama, dia terus berbual mengenai ‘sejarah cinta’ anbiya’ yang tidak terjangkau oleh pemikiran saya.
“Ada beberapa kisah cinta membabitkan nabi-nabi. Yusuf dan Zulaika, Sulaiman dan Balqis serta Musa dengan isterinya,” kata Ahmad. Kata-kata Ahmad itu masih berbekas di ingatan saya.
Tetapi, remaja itu mengakui dia tidak dapat memutarkan ayat-ayat al-Quran itu bagi mendokong hujah-hujahnya. Dia bukan orang terpelajar dalam bidang agama. Hanya, datuknya pernah bercakap mengenai hal cinta para nabi itu dalam al-Quran ketika dia masih anak-anak.
Dan dia cuma menyampaikan hal itu kepada saya sebagai halwa kenang-kenangan di masa lalu. Pun begitu, dia kelihatan seperti ingin mencari jalan pulang. Hanya, remaja sepertinya tidak mampu menahan godaan wanita cantik. Ahmad akui hakikat keremajaan yang dilaluinya kini amat kuat hingga dia tidak mampu menepis godaan keseronokan itu.
Kemudian kami pun berpisah. Seolah-olahnya remaja itu memberi tugasan kepada saya sebagaimana seorang pensyarah memberikan tugasan kepada mahasiswa. Selepas itu saya tidak menemui beliau lagi. Hari demi hari, saya cuba menyelak kembali al-Quran serta menyemak semula hal percintaan tiga nabi yang diperihalkan oleh Ahmad.
Lalu, saya terkejut melihatkan hal itu adalah benar dan masuk akal juga. Adapun ayat-ayat, nas dan dalil tersebut ialah seperti berikut – (Yusuf ayat 23), (al-Qashash ayat 25 – 26) dan (an-Naml ayat 42 dan 44).
Dalam surah Yusuf, cinta dalam kategori ini ialah cinta berdasarkan syahwat yang mengajak ke arah penzinaan. Disebutkan juga, bahawa jika tiada bantuan Tuhan, nescaya Nabi Yusuf juga turut terjerumus dalam bujuk rayu Zulaikha.
Dalam surah al-Qashash, disebutkan kisah cinta Nabi Musa dengan salah seorang anak Nabi Syuaib yang disifatkan oleh al-Quran sebagai ‘malu-malu’. Sifat ini tentu juga hadir di dalam hati seorang anak dara yang masih belum biasa dengan pemuda. Akhirnya sosok Musa yang gagah itu dinikahkan oleh anak gadis yang malu-malu itu.
Saya melihat, mungkin juga wujud perencanaan oleh anak gadis yang malu-malu tadi untuk menjadikan Musa tinggal bersama mereka, agar Musa boleh dijadikan suaminya.
Akhirnya, kisah Sulaiman dan Balqis. Dalam surah an-Naml ini, saya melihat dari aspek lain pula. Walaupun pada ayat 42 dan 44 itu, Nabi Sulaiman cuba menunjukkan hal kebesaran Allah ke atas Balqis, tapi hal kekaguman itu terkait dengan citra cinta juga.
Sulaiman a.s dengan izin Tuhan telah mewujudkan rasa kagum dalam hati Balqis ke atas dua perkara; takhta Balqis dalam istana Sulaiman dan lantai marmar yang bersinar bagaikan kolam air rupanya hingga Balqis terpesona kagum kerana kehebatan ciptaan itu. Akibat kekaguman itu, Balqis akhirnya berkata dalam ayat berikutnya bahawa dia menyerah diri kepada Sulaiman a.s lalu memilih Tauhid.
Menurut kebanyakan mufassirin yang merakamkan riwayat mereka, Sulaiman dan Balqis akhirnya berkahwin. Meninjau isi butiran nas dalil inilah saya terkenang semula kepada kata si Ahmad, iaitu hal menunjuk-nunjuk oleh kaum lelaki itu bertujuan menimbulkan kekaguman pada hati kaum wanita agar mereka tertarik. Dalam kes ini, kita tidak tahu adakah Sulaiman a.s memikat Balqis dengan menunjukkan kehebatannya, sekali gus berniat dakwah juga?
Syahadan, terkadang guru yang baik bukan sahaja yang berpakaian kemas, bertali leher dan berkot dalam dewan kuliah atau kelas. Tapi, ada juga guru-guru tidak rasmi dan bergeliga pula akalnya dalam kalangan masyarakat bawahan.
Dalam kes saya, seorang mat motor telah menjadi guru secara tidak langsung dan kita mula sedar bahawa dalam dunia ini makin banyak misteri hidup yang amat sukar dan sulit sekali dibongkar dan dipecahkan.
Siapa menyangka seorang mat motor juga dapat berfikir secara falsafah dan tajam pula analisis pemerhatiannya. Itu baru seorang. Barangkali, di luar sana lebih ramai yang lebih tajam pengamatan mereka ke atas makna kehidupan.
### TAMAT ###

Currently have 1 comments:

  1. Anonymous says:

    salam
    di harap agar saudara dapat memfokuskan tulisan saudara terhadap usaha memperkasa golongan siwa.Masih amat teringat dengan ruangan rahsia dari menara dan profil pemimpin siswa kelolaan sadara dlm akhbar siasah.
    namum kini saudara beralih ke harakah...dan nampaknya sdr tidak memfokuskan tulisan sdr lagi terhadap golongan siswa.
    kami amat mengaharapkan agar saudara dpt kembali memfokuskan tulisan saudara agar golongan siswa kini makin peka,prihatin dan progresif kembali seperti mana di era 70 an dulu