Latest News
Sunday, March 25, 2007
, Posted by nota untuk Syiah at 7:54 AM
(Al-Islam, Disember 2006)
Oleh Ali Bukhari Amir
“Dan (Kami utuskan) kepada kaum Madyan saudara mereka, Syuaib. Dia berkata: Hai kaumku, sembahlah Allah tiadalah Tuhan bagimu selainNya. Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti yang nyata daripada Tuhanmu. Lalu, sempurnakanlah takaran dan timbangan dan jangan kamu kurangi barang-barang takaran dan timbangan bagi manusia, dan jangan membuat kerosakan di bumi sesudah Tuhan memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika betul-betul kamu orang-orang yang beriman.” (al-A’raaf, ayat 85)
Dewasa ini kita lihat kalangan agamawan dan penceramah seringkali menjadikan faham hedonisme yang terkait dengan aktiviti muda-mudi seperti perlakuan zina, minum arak, berjudi dan sebagainya sebagai kemungkaran yang wajib dicegah.
Di samping itu, seruan ke arah ritual keagamaan seperti qiamullail dan sebagainya sering mendapat tempat dalam setiap ceramah mereka juga. Sekali imbas dilihat, ia sudah menepati dua tema utama dakwah, iaitu amar makruf dan nahi mungkar.
Kadangkala, melihatkan situasi ini kita asyik tertanya-tanya. Adakah hal mungkar ini cuma milik muda-mudi sahaja? Adakah hal kerosakan tidak dilakukan oleh orang tua? Atau adakah fenomena menyalahkan anak muda ini terjadi kerana kebanyakan agamawan itu tergolong dalam kumpulan dewasa?
Kalau kita mahu bersikap adil kepada pemuda, kita harus mengkaji kenapa faham hedonisme ini berkembang ke atas anak muda. Kalau kita benar-benar mengenali mereka, maka kita akan dapati bahawa kebanyakan mereka ini berasal daripada keluarga berpecah dan mereka pernah menderita akibat korban pemerkosaan saudara sendiri.
Maknanya, faham hedonisme ini berakar daripada perlakuan orang tua yang tidak bertanggungjawab untuk mendidik anak muda tersebut. Sekarang, marilah kita tumpukan kepada salah satu dakwah yang perlu difokuskan kepada golongan tua. Dalam realiti serta konteks dunia hari, anak muda lazimnya dinisbahkan kepada golongan pelajar. Manakala golongan tua adalah kaum pekerja atau para peniaga.
Justeru, salah satu dakwah yang selalunya dilupakan ialah lapangan dakwah yang menyeru golongan peniaga agar berlaku adil dalam hal timbangan dan sukatan barangan dalam kegiatan berjual beli. Inilah satu bentuk kecurangan yang dilakukan oleh kaum tua dan lazimnya tidak dibahaskan dalam wacana-wacana ilmiah oleh para agamawan kita.
Tapi, dakwah ini pernah diseru Nabi Syuaib kepada peniaga Madyan yang curang kepada para pembeli. Amalan menipu di dalam sukatan timbangan seperti ini merugikan pembeli dan menindas mereka. Penindasan termasuk dalam wilayah dan batas kezaliman. Dan hal kezaliman itu sememangnya diperangi oleh Islam.
Sekarang jelaslah, apabila disebutkan kemungkaran, maka bukanlah gejala rempit oleh kaum pemuda saja yang mesti dibasmi. Hal kemungkaran dan kecurangan peniaga, majikan dan kapitalis patut diberi perhatian. Di mana pula kemungkaran kaum penguasa yang terbabit dengan skandal politik wang dan rasuah?
Sementara itu, kalau menyentuh bidang kemakrufan, kita cenderung menumpukan aspek kerohanian. Contoh mudah di bulan Ramadan, kita hebahkan fadhilat solat terawih, tadarus dan lainnya. Adakah kebaikan cuma terkait dengan kerohanian, zikir dan wirid? Adakah bukan kemakrufan jika kita memerah tenaga akal fikiran bagi menyusun strategi bagi membasmi amalan rasuah dan kecurangan para peniaga secara berjemaah?
Bagaimanapun, tulisan begini tidaklah bermaksud menafikan kepentingan amalan kerohanian seperti itu. Cuma, apa yang ingin ditimbulkan ialah-adakah seruan dakwah itu menganjurkan kebaikan yang cuma terbatas dalam aspek pengisian rohani peribadi?
Bukankah termasuk dalam seruan dakwah itu supaya kita berperang di jalan Allah secara tersusun dan melalui saf yang rapi? Dalam konteks perbincangan ini, kita perlukan tenaga kerja dan sumbangan pemikiran besar yang mesti dilakukan secara berjemaah dan bukannya peribadi. Amalan soleh peribadi seperti solat itu sunat hanya membawa kebaikan peribadi. Sedangkan, usaha memerangi rasuah dan kecurangan peniaga membawa kebaikan kepada umat seluruhnya. Inilah yang perlu kita libatkan kepada semua lapisan masyarakat kita.
Diriwayatkan juga para alim ulama dulu bangun malam bukan cuma bersolat. Ada kisah menunjukkan, mereka hanya solat dua rakaat. Baki masa seterusnya diperuntukkan untuk mengarang kitab di malam hari. Ini kerana, ilmu pengetahuan itu manfaatnya bakal tersebar kepada umat Islam. Sedangkan solat sunat hanya membawa kebaikan peribadi.
Ertinya di sini, kemakrufan itu yang terlebih baik dan utama bagi para ulama ialah amalan kebaikan seperti mengajar dan mendidik yang akhirnya menumbuhkan pengertian yang mendalam terhadap jiwa orang lain untuk beramal dengan agama mereka.
Berbalik kepada perbincangan asal, dakwah Nabi Syuaib a.s itu ada perbezaannya dengan seruan para rasul lain yang selalunya dakwah itu menganjurkan agar menyembah Tuhan dan mengerjakan solat, zakat dan seterusnya menjauhi segala kerosakan.
Dakwah dan seruan baginda seperti yang dirakamkan dalam surah al-A’raaf ayat 85 itu bolehlah kita simpulkan seperti di bawah:-
Sembahlah Allah, tiadalah Tuhan bagimu selainNya. Sempurnakan takaran serta timbangan. Jangan kurangi barang-barang takaran dan timbangan ke atas manusia. Jangan membuat kerosakan di bumi sesudah Tuhan memperbaikinya.
Justeru, dalam realiti kehidupan manusia hari ini kita melihat sikap kaum Madyan ini kembali menular dalam masyarakat kita. Malah, hal penindasan ke atas kaum pembeli ini semakin hebat berbanding sikap kaum Madyan di zaman Nabi Syuaib a.s dahulu.
Kaum peniaga hari ini tidak hanya menipu sukatan di dalam penimbangan, malah mereka sudah menyorokkan bahan-bahan keperluan, supaya dengan itu harga barangan itu makin naik dalam pasaran. Kaum penternak juga tidak terkecuali dalam hal ini.
Ada kes yang menunjukkan bahawa penternak telah membunuh anak-anak ayam, supaya harga ternakan ayam makin naik berikutan kekurangan ayam daging dalam pasaran. Hal yang sama terjadi kepada kekurangan gula kini.
Bagaimanapun, hal ini masih menjadi ‘dakwah peribadi’ KPDNHEP dan tidaklah menjadi urusan dakwah semua pihak yang mengaku diri sebagai Muslim dan penguatkuasa agensi agama. Ini kerana, penguatkuasa agensi agama cuma bertindak ke atas lelaki wanita yang bersekedudukan, menahan Muslim yang makan minum secara terbuka di bulan Ramadan dan lain-lain amalan yang kelihatan jelas bertentangan dengan larangan agama.
Andainya agama itu dilihat daripada kacamata yang luas, maka lebih ramai tenaga penguatkuasa agama yang boleh dikerahkan untuk pemantauan hasil dari aduan khalayak. Namun, suatu hal yang amat penting bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan itu ialah kemahiran menyamar oleh penguatkuasa itu sendiri.
Dalam suatu program temubual di televisyen bersama Menteri KPDNHEP, Datuk Shafie Abdal baru-baru ini berkata, pemantauan harga kurang berkesan lantaran peniaga telah mengetahui bilakah beliau membuat kerja lapangan di sesuatu lokasi perniagaan.
Kata Shafie, apabila peniaga itu sedar kehadirannya dan rombongan penguatkuasa ketika pemantauan harga dilakukan, golongan peniaga mula meletakkan harga sebenar di setiap premis perniagaan mereka. Namun, kata beliau, harga barangan itu kembali dinaikkan setelah beliau dan para penguatkuasanya beredar dari situ. Mungkinkah ada pihak tertentu yang memberi isyarat awal mengenai kedatangan beliau untuk gerak kerja pemantauan?
Jika tidak, semakin banyak aduan sekalipun, hal ini mungkin gagal diatasi. Rakyat sedar bahawa hal kenaikan harga yang tidak terkawal ini perlu dibanteras. Samada seruan ke atas para peniaga yang tidak jujur ini bernilai dakwah atau tidak, rakyat tetap berjuang menolak penindasan peniaga yang tidak jujur ke atas kaum pengguna.
Kalau ditinjau mengenai sikap tindak-tanduk para penguasa dan khalifah Islam di masa lalu, memang ramai kalangan mereka yang menyamar untuk mencari siapakah yang sering berlaku curang dalam menunaikan kehidupan mereka sebagai Muslim.
Sekali peristiwa, tersebut kisah Umar al-Khattab mencuri dengar perbualan antara seorang gadis muda dengan ibunya yang sedang memerah susu. Si ibu meminta anaknya mencampurkan susu dengan air supaya lebih banyak keuntungan diperolehi dalam jualan.
Si anak dengan tegas menolak suruhan ibunya walaupun ibu berkata: “Umar tidak mengetahui hal kecurangan ini.”
Lalu si anak itu berkata: “Umar tidak mengetahuinya. Tapi, Tuhan Umar tentulah sedang melihat perbuatan kita.” Akhirnya, kecurangan itu telah dipatahkan dengan iman.
Alam Melayu tak kurangnya dengan aktiviti penyamaran sultan yang adil. Sultan Alauddin Riayat Syah yang menyamar sebagai rakyat biasa, berhasil menangkap pencuri yang curang di malam hari. Sebenarnya, terlalu banyak kisah yang boleh kita paparkan.
Hanya kita menunggu agamawan berkempen dengan serius bagi membantu pihak kerajaan supaya gelora masyarakat terus bangkit bersama, berjuang bagi menolak amalan penindasan kaum peniaga ini ke atas semua pihak.
Currently have 0 comments: