Laporan Sayembara Mengarang Sempena Sambutan Jubli Emas DBP
…
PUISI
Puisi mempunyai keindahan, bagi memahami rahsia kehidupan. Puisi yang menyuarakan tentang kehidupan dan hati nurani kita sewajarnya peka pada alam dan kemanusiaan. Yang disoroti oleh sinaran pengucapan penyair sudah tentu berkisar di sekitar kehidupan perjuangan melalui bahasa Melayu yang dapat memainkan peranan mereka dalam meneruskan kerja membina, membangun, meneguhkan, memperkaya serta memperkasa tamadun bangsa dan negara Malaysia.
Melalui suku kata, kata demi kata, ungkapan, citra, imejan, kekentalan idea, ketekalan fokus, konsep dan penghujahan, keindahan, visi dan misi yang hidup serta penuh gaya, penyair membina mesej yang kuat, jitu dan padat. Suara penyair yang hidup, tidak akan mati-mati dan suara itu terus-menerus disambung dari generasi ke generasi mendatang. Begitulah mesej yang diketengahkan oleh DBP melalui manifestasi Sayembara Mengarang Puisi sempena Perayaan Jubli Emas ini.
Dalam kalangan peserta sayembara ini ada yang mampu menzahirkan gejolak jiwa, obsesi tentang kedudukan, krisis identiti dan masa hadapan bahasa Melayu dalam puisi mereka. Suara pejuang dan perjuangan bahasa Melayu menjadi inspirasi kepada para peserta yang memenangi sayembara ini sebagai jambatan bagi mereka untuk sampai ke destinasi memartabatkan bahasa Melayu yang diimpi dan diidamkan.
Maka, persoalan dan isu bahasa Melayu yang selama ini diperjuangkan oleh para nasionalis bahasa Melayu dapat diangkat oleh para peserta sayembara sebagai persoalan jati diri bangsa dan maruah negara dalam membina kebijaksanaan serta memelihara kebestarian negara bangsa Malaysia. Puisi yang dilahirkan dalam sayembara ini berjaya menyegar dan memekarkan jiwa pembaca melalui pemilihan dan penempatan kata, bahasa yang penuh bergaya, rima dan ritme yang membawa keindahan persekitaran dan sejarah bangsa dan bahasa.
Melalui tema dan persoalan yang diutarakan, penyair berupaya membawa maksud pengajaran dan nilai-nilai hadhari dalam latar dan nada patriotik, penuh cinta damai dan harmoni. Kesan dan pesan dalam puisi-puisi pemenang meninggalkan dampak yang dapat dimanfaatkan dalam memperkasa penulis, memasyarakatkan puisi serta meningkatkan mutu karya.
Setelah melalui proses pemilihan yang teliti, panel berjaya memilih 13 buah puisi seperti yang disyaratkan untuk diberikan hadiah.
Hadiah Utama
Pemilihan puisi-puisi ini seiring dengan ungkapan “berkata pada waktu yang tepat, dan tepat pula pada tujuan”, dan “sajak-sajak terbaik membawakan bahasa yang sarat dengan makna, lewat lambang atau metafora. Dalamnya muzik yang sederhana tetapi jujur bermain merdu”. Kedua-dua idea ini dapat kita telaah terutamanya dalam tiga buah puisi yang memenangi hadiah utama iaitu “Menyisir Tirai Jendela”, “Balada Burhan di Kota Raya”, dan “Lidah Ibu”.
Hal di atas dapat dilihat melalui petikan di bawah ini:
Sesayup musim-musim berganti
Pohon cemerlang semakin diyakini kukuh ilmu
Junjungan di persada pembelajaran ia lambang keutuhan
Melambak pengetahuan di kampus-kampus pengajian tinggi
Di laut pelayaran ke pelabuhan global
Bahtera bahasaku menyemarakkan persatuan
Martabat bahasa adalah pohon pusaka mencuar di pasak bumi mulia
Ialah sekam berbusa membenih dari rahimmu,
Hembus dan tiupkan azimat pengetahuan,
Api sekam itu terus membara dan ternyala,
Sendirinya nanti memegang panji-janji dan obor bahasa.
Ketika terlucut gari penjajah daripada tangan ibu
Setelah beratus musim merentas derita di gurun perhambaan
Keazaman segera sujud di sejadah nuraninya
Segera ibu pancangkan hasrat di tanah emas ini
Pancang hasrat bertukar menjadi tiang matlamat
Tiang yang satu menjadi utuh dan jitu
Tekad ibu lidahnya mesti kembali menjadi teraju
Sinergi imaginasi para penyair mencari diksi tidak menghalang memberikan idea pengucapan yang berbaur saintifik dengan artistik semasa meniti jambatan ke rumah puisi mereka. Hakikat ini dapat kita lihat dalam baris-baris berikut:-
Kini kebun itu telah mesra dengan pohonan bahasa
membentuk ikatan penyatuan dalam genggaman
terjulang bukan kepalang
Ledakkan api amarah di ruang terbuka
Biar terjulang keramat kata di angkasa kita
Biar diketahui rakyat dunia sejagat raya
Terbakarnya hutan rimba bahasa kita
Tak betah diredakan dalam kedinginan pujuk rayu
Oleh renjisan pidato kepuraan saban minggu
Dan pemimpin bermuafakat menenum sutera
Impian seluruh rakyat bertunas di meja ketetapan
Berdiri agama rumah 152 di tanah perlembagaan
Melalui sayembara ini, panel telah dapat menyenaraikan sekian banyak pemilihan kata yang menggambarkan kekayaan perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu. Perbendaharaan kata ini yang berasal daripada beberapa bahasa dunia amat popular pada zaman silam. Namun, digali dan diangkat semula melalui baris-baris puisi para peserta, sama ada perbendaharaan kata ini dapat dipopularkan kembali atau sebaliknya, hanya masa akan menentukannya. Kami tunrunkan beberapa pilihan kata tersebut:
Tian, Pencuar, Pencagun, Cendala, Ruwet, Cendera, Paksina, Daksina, Bijaya, Betara, Jata, Atma, Aksara, Maslahatan, Iktisad, Siasah, Kecongkakan, Pongah, Ahmak.
Peranan bahasa Melayu yang berkembang hingga kini menjadi bahasa kelima paling banyak penuturnya di dunia. Dalam hal bahasa Melayu sebagai Lingua Franca ini turut dirakam oleh para peserta seperti di bawah ini:
Aku tetap terus menyisir tirai jendela
Bahasa Bondaku ke wajah-wajah dunia
Mari labuhkan derita bahasa ini ke dermaga jiwa
Atau kita lompati bumbung madrasah bahasa
Untuk menjerut kecongkakan di langit tua
Di bawah teduh payung kebebasan ini
Lidah ibu bukan lagi milik mutlak kami anak kandungnya
Lidah ibu adalah lidah setiap warga tanah ini
Lidah ibu adalah penghubung ikatan penjalin kemesraan
Kami berkongsi lidah meskipun berbeza wajah
Kami menyusun madah dengan salam muafakat indah
Kami bermimpi dan berhujah dengan satu lidah
Di samping itu, puisi-puisi lain yang berjaya terpilih sebagai pemenang sagu hati turut mempunyai kekuatan tersendiri. Puisi-puisi tersebut menyeimbangkan tema nasionalisme, kenegaraan dan jati diri dalam teknik yang inovatif dan artistik. Tema nasionalisme, kenegaraan dan jati diri diadun secara verbal, vokal dan visual yang memenuhi persoalan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan sebagai alat untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia.
Puisi-puisi tersebut juga turut memfokus kepada pemeliharaan dan pemuliharaan bahasa Melayu bagi meneguhkan budaya, warisan, ilmu, martabat, Rukun Negara, tamadun dan perlembagaan amatlah dialu-alukan. Kehadiran puisi-puisi yang seimbang dan harmonis dari segi isi, bentuk dan teknik adalah yang dialu-alukan penampilannya oleh para penilai.
Puisi-puisi ini juga berupaya mengasimilasikan tema, persoalan, mesej, gaya dan estetika dalam memperkasa dan mendaulatkan bahasa Melayu yang kita junjung tinggi dan kasihi. Pada keseluruhannya setiap puisi yang mendapat hadiah sagu hati ini memperlihatkan tema sayembara dan diolah dari sudut kepenyairan mereka masing-masing.
Rumusan
Secara keseluruhan, puisi yang diketengahkan untuk sayembara mengarang puisi Sempena Jubli Emas DBP memenuhi pensyaratan dari segi temanya, tetapi didapati kurang mantap dari segi pengolahan, kesinambungan dan merangkaikan idea. Kebanyakan puisi yang ditampilkan tidak mantap dari segi pemilihan kata dan penempatan kata-kata (diksi) yang menjadi landasan utama kekuatan sesebuah puisi. Sebab puisi yang baik ditentukan oleh penempatan kata-kata yang baik dan bermakna. Dengan yang demikian, dari segi makna dan peta pemaknaan hanya beberapa puisi sahaja yang dapat dianalisis akan keluasan makna dan peta pemaknaannya.
Selebihnya, yang ditampilkan pada kebanyakan puisi hanya susunan kata-kata berbentuk puisi yang penuh dengan kata-kata bombastik, klise dan prosaik. Kelemahan yang tampak pada keseluruhan puisi yang ditampilkan iaitu kurangnya penghayatan dan perenungan penulis terhadap subjek yang diolah.
Meskipun penulis mencuba menggabung pelbagai elemen yang berkaitan dengan sejarah, perkembangan dan pengaruh globalisasi terhadap bahasa Melayu, namun pergabungan tersebut tidak memberi makna yang besar dan tidak indah. Impaknya kepada pembaca yang membaca puisi-puisi yang ditampilkan tidak meninggalkan kesan dan pesan yang mendalam hanya yang diperoleh pembaca sekadar maklumat dan pengetahuan umum tentang fungsi, peranan dan kedudukan bahasa Melayu dari dahulu hingga kini.
Begitu juga tajuk puisi yang ditampilkan sebahagian besarnya bersifat klise dan tidak indah. Dalam hubungan ini, menunjukkan bahawa kebanyakan para penulis sekadar menulis puisi tanpa menguasai teknik dan ciri-ciri penulisan puisi yang bermutu. Jadi wajarlah jika kebanyakan puisi yang ditampilkan tidak menuntut pembacaan berulang kali kerana sekali membaca sahaja sudah dapat memahami akan makna yang tersurat mahupun tersirat.
### TAMAT ###
Currently have 0 comments: