Rasuah Mengundang Kehancuran - Dewan Budaya, Mac 2007
Semangat mengganyang rasuah hanya hadir dalam kalangan pihak tertentu sahaja. Dalam mana-mana peradaban pun, kita dapat melihat, bahawa sesuatu agenda itu akan gagal jika pihak berkuasa sahaja yang beria-ia, tetapi dipandang sepi oleh rakyatnya. Lebih buruk lagi jika rakyat sahaja yang inginkan angin perubahan sedangkan pihak berwajib terkial-kial dengan karenah birokrasi.
Al-Qur'an memperincikan hal ini di dalam surah Yusuf, ayat 108: "Katakanlah: Ini jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata ...". Berdasarkan firman tersebut, jelaslah bahawa agenda perubahan mestilah dibawa oleh penguasa lalu disambut oleh rakyat. Dalam kata lain, agenda itu mesti disepadukan antara penguasa dan rakyat.
Ibnu Khaldun menyarankan agar rasuah ditangani secara menyeluruh oleh setiap ahli masyarakat. Jika negara mahu membendung gejala rasuah sama ada di peringkat bawah ataupun atasan, maka pemikiran setiap ahli masyarakat perlulah berorientasikan semangat untuk melahirkan masyarakat antirasuah. Secara tidak langsung, gelombang kesedaran ini akan menganjurkan setiap pemberi dan penerima rasuah dibawa ke muka pengadilan.
Pada hemat saya, satu cara terbaik untuk melahirkan masyarakat antirasuah adalah dengan memprogramkan minda masyarakat. Caranya adalah dengan meletakkan lambang antirasuah di mana-mana sahaja.
Jika kita cermati, simbol antirasuah telah mula diperkenalkan pada lencana pasukan polis. Tetapi, bukankah hal ini hanya membabitkan pihak polis sahaja? Bagaimanakah caranya agar kita dapat melibatkan semua pihak dalam memerangi gejala ini?
Salah satu cara yang terbaik adalah dengan mencetak mata wang yang memaparkan nilai murni seperti seruan daripada semua kaum dan agama untuk mengganyang amalan rasuah. Hal ini kerana, hampir setiap rasuah melibatkan wang, walaupun ada kategori rasuah yang tidak melibatkan wang.
Selain itu, beberapa petikan hadis atau kata-kata hikmat boleh digunakan dengan mencetaknya di atas helaian mata wang. Contohnya hadis berbunyi, “Ar-Rasyi wal murtasyi fin nar” yang bermaksud, “pemberi dan penerima rasuah itu ialah penghuni neraka”.
Sedikit sebanyak pendekatan ini akan melahirkan rasa gerun di hati para pemberi dan penerima rasuah jika mereka terpandang ayat-ayat suci tersebut di atas setiap lembaran dan helaian mata wang negara kita.
Kalau kita mahu menambahkan rasa gerun lagi, mungkin kita perlu meletakkan wajah para penguasa yang aktif mengganyang rasuah di setiap helaian mata wang. Kalaulah mereka tidak gentar dengan ayat-ayat suci, setidak-tidaknya mereka malu jika terpandang wajah penguasa di atas helaian mata wang ketika aktiviti buruk rasuah dijalankan.
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Adalah lebih baik kalau kita membina semangat ini melalui nyanyian lagu yang bertemakan antirasuah pada setiap sesi perhimpunan pagi di sekolah-sekolah.
Currently have 0 comments: