Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Memperhebat usaha perangi rasuah

Monday, April 09, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 10:35 AM

Sumber: Utusan Malaysia,

Titah itu menjadi pernyataan penting kepada seluruh rakyat selain melambangkan kesungguhan, keazaman dan keseriusan kerajaan untuk memperhebatkan usaha dalam memerangi amalan rasuah.

Dan dengan itu, ia wajar mendapat perhatian rakyat tanpa mengira fahaman, ras dan agama. Ini kerana kalau agenda rasuah ini hanya terapung sebagai kata-kata, ia tidak kekal dalam tempoh yang lama sebagai suatu tindakan yang terhimpun secara kolektif.


Lalu, bagi menunjukkan keseriusan kita dalam menangani dan membendung amalan keji ini, saya berpandangan sebuah jawatankuasa khas perlu dibentuk oleh Bank Negara untuk menilai semula, bagaimanakah reka bentuk wang negara kita hari ini boleh memiliki ciri-ciri yang diharapkan dapat menaikkan kesedaran rakyat untuk memerangi gejala rasuah.


Tidak dapat dinafikan bahawa, hampir 100 peratus setiap juzuk kehidupan manusia berasaskan kepada ekonomi. Bermula daripada kegiatan membeli peralatan dapur dan makanan oleh suri rumah, pembelian alat bantuan mengajar dalam alam pendidikan sehinggalah kepada dunia politik, kita memerlukan wang.

Ertinya, mesej memerangi rasuah ini tentunya mendatangkan kesedaran menyeluruh jika topik-topik membanteras rasuah turut menjadi bahan bualan di dapur oleh kalangan suri rumah, dibualkan di pasar-pasar ketika aktiviti jual beli dilakukan peniaga, ia dibahaskan oleh kaum pensyarah dan guru-guru dalam dunia pendidikan dan lain-lain tempat.



Jika riak-riak kecil perbualan di peringkat bawahan ini dapat dimulakan sekarang dengan bermodalkan helaian not wang bercirikan antirasuah, tidaklah mustahil riak-riak kecil ini berupaya mencetuskan gelora dan gelombang besar mengganyang rasuah secara holistik.


Buat permulaan, barangkali boleh diusulkan agar simbol dalaman yang mewakili citra Malaysia yang lemah lembut, berhemah tinggi dicetak di atas mata wang Ringgit Malaysia (RM) sebagai simbol dalam operasi bersama memerangi gejala rasuah.


Kita telah mencetak wang dengan meletakkan simbol luaran seperti hasil ekonomi negara, tapi simbol dalaman mempamerkan ciri-ciri berkenaan perlu dimasukkan juga.

Dalam hal ini, wajah Imam Diponegoro dicetak pada mata wang Indonesia sebagai seseorang yang banyak berjasa dalam perjuangan merebut kemerdekaan daripada penjajah. Wajah Yusof Ishak sebagai pemimpin Singapura, juga pemimpin Utusan Melayu yang lantang dan keras menentang British masih lagi dicetak di atas wang negara pulau berkenaan.


Semua itu diletakkan bukan dengan tujuan sia-sia, melainkan ada makna dan simbol yang tersendiri bagi melambangkan kekuatan dan maruah bangsa dan agama.


Sementara itu segala yang terkait dengan agenda memerangi rasuah perlu diberi perhatian dan dicetak di atas mata wang tersebut. Umpamanya logo Badan Pencegah Rasuah (BPR), Institut Integriti Malaysia (IIM), dan lain-lainnya perlulah kita cetak di atas setiap helaian kertas not wang RM itu.


Hal ini penting kerana kita perlu mengiklankan badan-badan agensi antirasuah ini sampai bila-bila pun. Biarlah anak-anak kecil di sekolah rendah lebih mengenali BPR, IIM dan semua agensi ini lebih daripada mengenali nama sekolahnya sendiri walaupun mereka tidak tahu apa fungsinya. Paling penting, nama agensi itu kekal dalam ingatan mereka.


Perlu juga dicetak hadis bermaksud: “Pemberi dan penerima rasuah ditempatkan di dalam neraka.” Atau, kalam hikmah serta mutiara falsafah daripada peradaban bangsa lain yang bernilai antirasuah.


Ini bagi membuktikan bahawa agenda antirasuah ini merentasi faham agama dan ras. Kita memiliki nilai-nilai kebersamaan dalam hal ini.


Ini bertujuan menimbulkan kesedaran yang lebih meluas dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai betapa perlunya kita bersama-sama beristiqamah memusatkan perhatian dalam memastikan agenda negara dan kerajaan menjadi matang dalam tempoh mendatang.


Kita mestilah optimis dengan perjuangan bangsa dan agama.


Hendaklah kita menjadikan agenda memerangi rasuah ini sama tarafnya seumpama perjuangan membebaskan negara daripada cengkaman penjajah pada suatu masa dulu.


Dalam hal ini, tidak boleh dinafikan bahawa gerakan persuratan yang membabitkan pengaliran idea, adalah termasuk di dalam jalinan perjuangan pembebasan tanah air daripada cengkaman penjajahan dan rasuah juga.


Gerakan persuratan dalam usaha membanteras rasuah ini walaupun ia tidak menunjukkan perubahan yang ketara positif dan berhasil menumbuhkan kejayaan besar dalam tempoh terdekat, namun yang mustahaknya ialah kita mestilah sentiasa beriltizam serta berusaha memajukan pandangan-pandangan positif ke arah merealisasikan agenda tersebut.


– ALI BUKHARI AMIR,
Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Currently have 0 comments: