Urusan pengiklanan, sms 014-3233287 @ mel-e ibnuamir@yahoo.com, subjek: Iklan Karya Fansuri
Latest News

Kekangan kebebasan akademik di IPTA

Wednesday, April 18, 2007 , Posted by nota untuk Syiah at 5:42 AM

Sumber: Siasah, bil. 43, halaman. 43.

Oleh Ali Bukhari Amir

Tiba-tiba saya teringatkan program temubual Isu Semasa (RTM, TV1) berjudul universiti bertaraf dunia tidak lama dulu. Secara khususnya, temubual itu membincangkan konflik tentang kebebasan akademik. Ia cukup hangat apabila disiarkan secara langsung.

Ruang kesempatan itu diambil oleh seorang pensyarah yang juga bekas pimpinan pelajar sekitar 70-an; Siti Noor Hamid Tuah yang membuat panggilan pada malam itu. Ayahnya, Hamid Tuah adalah seorang petani yang popular di zaman pergolakan pelajar kerana tuntutan mereka ke atas tanah tidak diendahkan pemerintah.

Siti Noor melontarkan masalah kekangan yang terpaksa dihadapi dalam penyelidikannya. Jika ingatan saya masih baik, penyelidikan itu terkait dengan pembaziran yang dilakukan oleh seorang pembesar dalam parti pemerintah. Kajian itu bagaimanapun, menurut beliau telah disekat dekan fakultinya. Hal yang sama boleh berlaku ke atas pensyarah lain.

Dalam program tv, Hujah (TV9) seorang pimpinan PAS Pusat Dr Syed Azman menyebut betapa sukarnya seorang pensyarah mahu mendapat kelulusan IPT bagi menghadiri suatu seminar penyelidikan luar negeri. Para pensyarah mungkin telah dipilih membentangkan semua penyelidikannya yang mungkin menaikkan nama universiti itu di peringkat dunia.

Tetapi, kita dimaklumkan bahawa ramai pensyarah–penyelidik yang tersekat atau disekat bagi melaporkan semua perkembangan penyelidikan itu.

“Mereka perlu isi borang untuk pergi luar negara dengan kelulusan dekan, TNC sehingga membabitkan kelulusan Menteri Pengajian Tinggi,” kata Syed Azman. Karenah birokrasi, kata beliau, bermula apabila pensyarah cuma mempunyai masa dua minggu untuk ke luar negeri, dalam masa yang sama mereka perlu menunggu kelulusan KPT selama sebulan.

“Imigresen boleh luluskan hal pasport dalam tempoh sehari. Kenapa tak dapat selesaikan masalah birokrasi melibatkan kegiatan akademik pensyarah?” kata beliau lagi.

Hal yang kita bangkitkan di sini – mampukah universiti mencapai tahap tertinggi apabila masih wujud sekatan ke atas ahli-ahli akademik? Dalam masa yang sama kementerian itu mahu wujudkan Akademi Kepimpinan bertujuan melatih pensyarah agar dapat dinaikkan martabat IPT ke tahap yang lebih tinggi. Ini suatu komedi yang paling hebat dalam IPT.

Kita lupa penyelidikanlah yang akan menaikkan nama IPT. Jika akademi kepimpinan itu melahirkan ramai pensyarah sebagai pentadbir universiti, tapi dalam masa yang sama IPT mengamalkan birokrasi dalam penyelidikan, masalah kemerosotan tetap berlaku.

Kajian dan penyelidikanlah yang melonjakkan IPT kita di peringkat antarabangsa. Bukan kemahiran menguruskan IPT untuk melahirkan pensyarah dan pelajar sebagai pendokong dasar parti pemerintah sahaja. Pensyarah dan pelajar yang aktif menyelidik pastinya akan terpaksa menyinggung polisi negara dengan alasan memperbaiki dasar tersebut.

Maka, tidak dapat kita elakkan lagi, bahawa apa sahaja kajian akademik pasti melibatkan kritikan ke atas dasar-dasar negara atas tujuan kebaikan. Kritikan itu seterusnya terhitung sebagai anti pemerintah. Hal ini tentunya suatu perkembangan yang tidak sihat.

Kebebasan akademik yang terhakis dalam kalangan pensyarah tak ghairah diwacanakan. Ini mungkin kerana pengamal media sendiri kurang terdedah dengan kepentingan hal ini.

Hal kekangan ke atas mahasiswa melalui Auku memang kedengaran juga di media-media berbanding kekangan ke atas pensyarah. Menjelang pilihan raya kampus (PRK) kekangan lebih terasa. Namun, antara tahap kritikal ialah apabila wujud pertembungan antara acara persatuan dengan kelulusan HEP. Saya sendiri pernah mengalami karenah birokrasi ini.

Misalnya, bukanlah aneh apabila pelajar itu terpaksa berulang-alik dari pejabat persatuan ke HEP cuma kerana pihak pentadbiran itu tidak menyenangi beberapa istilah yang ditaip di dalam kertas kerja projek tersebut. Istilah itu kebanyakannya berunsurkan istilah Arab.

Untuk pengetahuan sidang pembaca, antara perkataan itu ialah ‘muqaddimah’, ‘ukhwah’, dan lainnya yang sebenarnya tidaklah asing dalam penggunaan seharian seperti penulisan di akhbar, ucapan-ucapan dalam Perhimpunan Agung Umno sendiri dan sebagainya.

Pihak HEP meminta pelajar menulis semula kertas kerja. Ini amat memeningkan mereka, walhal istilah-istilah itu memang pun dikenalpasti kewujudannya dalam Kamus Dewan.

Itulah salah satu contoh birokrasi HEP yang tidak pernah diketahui umum hingga saat ini. Pihak HEP seharusnya sedar bahawa pemerintah sedang berusaha melenyapkan masalah-masalah birokrasi dalam pentadbiran kerajaan dan badan-badan berkanun.

Demikianlah kekangan ke atas pertubuhan pelajar selain kekangan terhadap penyelidikan pensyarah yang tertangguh atau ditangguhkan oleh bahagian-bahagian khusus dalam IPT atau di tahap lebih tinggi daripada IPT.

Hal ini sukar didedahkan dengan sebab ketakutan yang wujud dalam kalangan pelajar dan pensyarah sendiri. Tapi, jika pemerintah benar-benar ikhlas dalam mengatasi kemelut ini, adalah dicadangkan supaya diwujudkan sebuah lembaga yang berfungsi menerima aduan mengenai karenah birokrasi di bawah badan tertentu seperti Suhakam atau Parlimen.

Para pelajar yang pernah terlibat dengan karenah birokrasi universiti dan pensyarah yang tertangguh kajiannya boleh mengemukakan aduan dan syor mereka melalui badan ini.

Dengan cara ini kita akan dapat membuat siasatan secara telus dan terbuka, mengkaji dan mengupas permasalahan birokrasi ini secara lebih ilmiah – kenapa beberapa penyelidikan oleh pensyarah tidak diluluskan dan kenapa HEP tidak meluluskan projek-projek siswa.

Tinggal lagi, kita menunggu jawapan Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak universiti sendiri. Adakah mereka bersedia menunjukkan ketelusan sehingga setiap aduan mengenai karenah birokrasi itu boleh dibahas di parlimen? Saya berani kata–mereka tidak bersedia.

Pandangan ini tercetus apabila kita lihat, tiada pula karenah birokrasi yang wujud apabila pensyarah, pelajar, SB, HEP ghairah melakukan kajian ilmiah, tinjauan dan penyelidikan ke atas berapa ramai pelajar pro-pembangkang yang berkempen di Machap mutakhir ini. Anda fikir bagaimana?

Currently have 0 comments: